57 Solat zohor

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Lelaki itu sedikit hairan melihat isterinya tidak menjamah hidangan di atas meja. Dia meletakkan sudu dan garfu ke tepi. Dipandang sahaja sisi wajah Alya sebelum mulut direnggangkan.

"Kenapa tak makan?" Khairul menggapai kekura tangan Alya yang terselindung di bawah alas meja.

"Teringat Zahra. Lama kita tinggalkan dia."

Terus lelaki itu melihat jam tangan. Sudah pukul 3 petang. Kemudian, matanya terarah ke sekeliling pula. Para tetamu sedang menjamu selera di meja yang tersedia. Pelayan juga berjalan ke sana ke mari bagi memastikan setiap perut terisi. Pengantin baharu itu berlabuh sedikit ke depan, hanya mereka berdua. Sayang sekali lauk yang tersedia tidak mengecurkan liur Alya.

"Saya tak pernah tinggalkan dia lama macam ni..." adu Alya. Daripada pagi hingga ke petang si kecil itu dibiarkan di bawah jagaan penjaga.

Khairul jadi tidak sampai hati. "Kita makan dalam bilik persalinan nak dengan Zahra?"

Lelaki itu mengambil satu pinggan seramik kosong. Dia mengalihkan beraneka pemanis mulut ke ruangan pinggan dengan berhati-hati dek baju Melayu putih yang tersarung senang sekali dikotori. Kebanyakannya terdiri daripada ketulan kuih pastri. Hidangan nasi langsung tidak menarik perhatian Khairul ketika itu. Dia lebih fokus pada pemanis mulut sahaja.

Alya di sebelah memerhati sesaat dua. Pasti Khairul kelaparan. "Awak makanlah dulu dekat sini."

"Tak nak. Dekat sini tak boleh manja dengan awak. Dekat dalam bilik boleh minta suapkan."

Gadis itu memencilkan matanya yang bulat. "Awak ni mengada."

"Awak tu yang mengada. Dari tadi asyik nak pegang tangan saya."

"Awak yang pegang tangan saya... Saya tak minta pun." Sesuka hati sahaja lelaki itu memutar belitkan fakta semasa.

Khairul ketawa seiring dengan wajah cemberut gadis yang merona merah bak tomato. Jelingan tajam Alya dibuat tidak endah. "Biarlah saya nak pegang. Baru cantik gambar kita. Jomlah kita cari Zahra."

"Tak apa ke? Inikan masih majlis..." Alya melalukan mata ke sekeliling. Dia sedikit khuatir tindakannya yang menghilangkan diri bakal menyusahkan semua pihak.

"Ini waktu makan. Semua orang tengah makan. Kita sahaja belum lagi," gumam Khairul Iddin. Rasanya tiada salah mereka keluar sejenak bagi menghirup udara segar. Berdasarkan tentatif majlis, segalanya berjalan dengan lancar. Bersyukurlah Datin Farina yang banyak mengatur majlis ini. Maka Khairul dan Alya tidak perlu bersusah hati.

Alya tersenyum kecil pada kek berwarna biru laut yang baru dipotong mereka berdua ketika sesi bergambar. Dia mengasingkan sepotong kek, lalu dibaringkan ke atas piring berdekatan.

"Suka makan kek?" soal Khairul.

"Saya ambilkan untuk awak. Awak suka kek, kan?"

Lelaki tampan itu sedikit terkejut. "Awak tahu?"

"Ya, saya tahu. Awak suka pergi bakeri. Awak suka yang manis-manis. Patutlah mulut pun manis je ayat..." Di penghujung ayat sengaja bertujuan menyindir sikap Khairul.

Khairul menyimpulkan senyuman, sedikit pun tidak goyah. "Nasib awaklah dapat suami macam saya. Takut overdose gula je kalau tinggal dengan saya. Hari-hari saya bagi ayat manis."

"Kalau overdose jadi apa?" Dipandang sang suami. Wajah polos Alya menjadi tatapan Khairul.

"Bahaya overdose... Nanti awak mabuk angaukan saya. Susahlah saya nak pergi kerja nanti. Kalau dah jadi macam tu, takde ubat dah."

"Perasan." Biji mata digulingkan ke tepi. Makin menyampah sahaja jika dilayan jejaka berkenaan. Dia berdiri dengan penuh berhati-hati daripada kerusi.

Sementara itu Khairul melihat jam yang melingkar di pergelangan tangan. Berkerut kening, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Matanya membulat, tangan pun menampar dahi perlahan. Bagaimana dia boleh terleka.

"Ya Allah, saya lupa nak solat zohor," kata lelaki itu.

"Biar saya cari Zahra, awak pergilah solat dulu... Pinggan ni biar saya yang bawakan." Silap Alya juga yang langsung tidak melihat jam. Setidaknya dia boleh mengingatkan Khairul tentang waktu solat yang hampir tiba di penghujung. Andai sahaja Haji Daud ketahuan, mahu diceramah Khairul tiga hari dua malam.

"Awak dah solat?" Khairul bingkas berdiri.

"Saya ABC."

"ABC? Air batu campur ke?" tanya si jejaka lagi.

"Allah beri cuti," jawab Alya lalu tersengih. Dua pinggan diangkatnya ke udara.

"Apa benda..." Bertambah kerutan di dahi Khairul Iddin.

"Solatlah. Saya tunggu awak siap sembahyang, baru kita makan sama-sama di bilik persalinan. Okay?" Alya malas hendak menerangkan lebih lanjut.

"Okay. Jangan jatuhkan kek saya." Akhirnya Khairul beredar dahulu. Tinggallah sang pengantin perempuan berdiri di tengah-tengah dewan majlis.

Anak mata dijatuhkan ke bawah, ke pinggan makanan yang mereka pilih buat mengalas perut.

"Risau sangat kek dia jatuh," bisik Alya sendirian. Dia membiarkan bibir mengoyak senyuman bahagia.

Ini hari bahagia mereka, bukan?

Daripada pagi hingga ke petang, indah-indah belaka. Laksana mimpi di siang hari. Udara dihirup mengisi ruang dada. Atmosfera majlis walimatulurus Khairul dan Alya dihiasi segala keindahan, dilimpahi keberkatan. Usia mereka berdua mempunyai jurang beberapa tahun, bermukim usia. Sedang berputik cinta. Keredhaan Allah menyatukan dua jiwa ini, terhapus jua segala jurang kenangan silam.

****

Usai menanggalkan baju Melayu, Khairul Iddin berlari sepantas kilat ke bilik air tingkat satu. Dia yang hanya bersarungkan baju t-shirt bergegas ke kepala paip. Air jernih mula membasahi wajah berserinya. Mungkin inilah yang dinamakan seri pengantin. Tidak sudah-sudah bibir hendak membentuk senyuman.

Dia sudah terlalu cintakan Alya.

"Seronok kahwin?"

Mata dikerdipkan. Tangan meraup sisa air wuduk di wajah sebelum tulang lutut ditegakkan. Khairul berpaling ke sisi.

Seorang lelaki memerhatikannya semenjak masuk ke ruangan tandas bersebelahan surau. Mata hitam pekat, memandang dengan penuh kebencian. Raut wajah yang tidak seperti dahulu, bahkan semakin kusam.

"Apa kau buat dekat sini?" Khairul me lontarkan soalan. Air paip mengalir ke lantai, bunyi jatuhannya mengisi benak sunyi.

"Nak tengok kau kahwin dengan bekas teman wanita aku," bilang Azzam. Setapak demi setapak mendekati Khairul yang statik di tempat berdiri.

"Aku ingat kau dah mati..." kata Khairul. Ini bukan sebuah ilusi. Lantunan suara keras Khairul membalas kehadiran Azzam di situ. Imej pantulan satah cermin tandas memaparkan dua orang lelaki yang berbeza ketinggian sedang menghadap satu sama lain.

"Kenapa pula? Jika mati, mestilah ada kuburnya." Azzam tersenyum senget. Kakinya berani menyusun atur langkah. Bengang hatinya, perit dan sakit melihat segala adegan manis antara Khairul dan Alya pada hari itu. Dendam atas arwah Lia tidak tertunai, dia ditikam pula dengan sembilu cinta Alya pada Khairul Iddin.

"Aku mimpikan kau, berhari-hari. Kau datang minta maaf pada aku dan mengaku..." Mata Khairul memandang jauh ke hadapan, tidak mengikut ke mana Azzam pergi. Bunyi tapak kasut lelaki itu dapat ditangkap telinga, ditemani deruan bunyi air paip.

"Rindukan aku? Sampai terbawa dalam mimpi." Azzam berhenti di belakang Khairul, tangan dipanjangkan bagi memulas kepala paip. Terus suasana menjadi sunyi.

"Aku tahu kau hantar santau pada aku. Kau berdendam dengan aku sebab aku punca Lia mati."

"Kau buat aku gila, Khairul. GILA." Desahan nafas sesal Azzam berbunyi. Mimik wajahnya seperti ingin ketawa, namun mata memejamkan tangisan kecewa. Tak siapa tahu apa yang dipendam.

"Apa yang kau nak lagi? Aku dah bagi duit hari tu..."

"Duit saja tak cukup. Aku nak kau mati," bilang lelaki yang berpakaian baju hospital berwarna hijau lembut. Di dadanya terkait tiga patah perkataan.

Hak milik kerajaan.

"Bukan aku yang bunuh Lia," Khairul cuba membela diri.

"Jadi kau nak salahkan aku?" potong Azzam. Mereka saling bercakap, namun tidak berhadap.

Khairul berpaling membelakangi Azzam dengan wajah yang tidak beriak. Menyangka tebakannya benar. Pada minggu lepas, kuat benar firasat mengatakan bahawa Azzam ada di sekeliling.

Sementara Azzam menggenggam penumbuk. Benar-benar mahu melakukan sesuatu kepada Khairul ketika itu.

"Aku tak salahkan sesiapa." Khairul tersenyum nipis.

DUSHHH

Tidak semena-mena satu pukulan mengenai belakang lehernya dari arah belakang. Dia menahan diri di dinding agar tidak jatuh ke lantai. Kepala ditoleh ke belakang. Bahana kesan pukulan itu ditahan sakitnya, sebelah mata terpejam.

Sebatang kayu dicampak Azzam ke lantai. Senyuman kepuasan terpeta.

"Kau bodoh ke, Azzam? Ramai orang dekat luar sana..." Suara Khairul kedengaran perlahan. Hentakan pada tulang lehernya menarik pergi separuh kudrat. Namun, masih sahaja mampu tuk berdiri dengan bertahan pada dinding.

"Yang bodoh tu kau. Kau bunuh adik aku... Kau rampas Alya..." bilang Azzam berserta tangisan yang tidak diundang. Mengalir air mata lelaki itu, tangannya sedang mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar.

Dengan mudah, dia membawa Khairul jatuh ke lantai. Wajah musuhnya ditumbuk sekali. Kuatnya pukulan itu hinggakan genggaman berasa pijar dan berdenyut. Azzam membuka genggaman dan menggibas ke udara.

Pergelutan mula terjadi apabila Khairul melakukan serangan balas. Silap besar jika mahu menguji Khairul dalam pergaduhan. Apa yang diberikan pasti akan dibalas kembali. Khairul menumbuk wajah Azzam, namun pukulannya lemah. Serangan itu tidak cukup kuat buat menghentikan tindakan Azzam.

Capaian tangan pada kayu yang dibuang ke tepi mengizinkan Azzam tuk melayangkan objek keras itu pada kepala Khairul. Kali ini, tempurung kepala yang dihentam.

DUSH

Khairul memejamkan mata, dadanya berombak pantas. Setakat kayu, apalah sangat. Dia pernah dipukul batang pengunci stereng kereta hingga berjahit kepala. Lelaki itu berusaha bangkit. Urat di pelipis menegang, menahan kesakitan berkenaan.

"Jangan sampai aku bunuh kau, Azzam."

Amaran keras Khairul membuatkan Azzam meledakkan tawa. "Yang akan mati tu kau!"

Nasib menyebelahi Azzam. Khairul tidak boleh melawan pada pergelutan yang terjadi. Kepalanya telah dipukul depan dan belakang, tolakan tangan tidak berjaya melakukan apa-apa. Diheret tubuh Khairul ke tempat wuduk tadi.

Azzam membuka air paip, alirannnya mengenai wajah Khairul yang dirapatkan ke lantai. Dia mengunci tubuh bidang lelaki itu berbaring ke lantai.

"Lepas..." kata Khairul separuh berbisik. Digenggam buku lima kanan. Pedih dahinya yang terluka dibasuhi air. Melihat Azzam dalam keadaan berpinar, Khairul memejamkan mata beberapa kali. Dia perlu kekal sedar. Terlintas keberadaan Alya yang berdua bersama-sama Zahra di kamar persalinan, kebimbangan melanda hati. Fikirannya tidak lagi memikirkan cara buat mematikan langkah Azzam, fokusnya lari.

Azzam mengeluarkan sesuatu daripada saku seluar. Tangannya menggenggam rambut hadapan Khairul, menarik kepala lelaki itu sedikit melangut. Ada sesuatu berupa serbuk dimasukkan ke dalam rongga mulut Khairul. Azzam tersenyum sendirian. Kasihan melihat Khairul seperti sukar menelan liur, air paip ditadah ke mulut lelaki berkenaan.

"Uhuk-" Khairul menjauhkan mukanya daripada terus mencium lantai. Pada saat Azzam membiarkan dia di penjuru dinding, tiada lagi serangan yang hadir. Malah abang kepada Lia itu beransur pergi sepantas kilat.

"Apa..." Khairul menahan perit lehernya yang tersedak sejenis serbuk dan air paip sebentar tadi. Dia menarik nafas dalam. Kelopak mata kedua-dua diturunkan.

Pedih.

Pejaman matanya bertukar pedih dan hangat. Dia segera mencelik.

Tubuh itu tidak akan memberikan reaksi secepat ini melainkan pada satu benda.

"Alya..." Menggigil jari, cuba mendail suatu nombor. Saluran pernafasannya membengkak. Udara jadi sukar buat dihirup.

Tangan kirinya mula mengusap dada. Bergenang mata menahan pedih. Pembuluh darah dipenuhi

"Awak dah siap solat?"

"Alya..." Pen epinephrine ada di bilik persalinan. Dia tidak bawa ke mari dek mahu solat sebentar. Seharusnya tiada pun kekacang dalam mana-mana hidangan kerana Datin Farina telah menapis kesemua menu sebelum memberi keizinan tukang masak menyediakan juadah.

"Awak kenapa ni?"

Cemas suara sang isteri di corong telefon pintar.

***

votexkomen

***

Sebelum start kelas esok. update jap


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro