64 Syukur

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Lembut sentuhan kulit bertemu hujung jemari.

Kelopak mata terbuka. Pergerakan itu mengganggu tidurnya. Dia melirik ke kiri katil.

"Abang tak tidur?"

"Tak." Jawapan separa berbisik Khairul Iddin kedengaran. Sambil itu wajahnya yang lesu terpampang dalam senyuman nipis.

Alya bingkas duduk. Sepi sahaja suasana hospital tika dua per tiga pagi. Ruangan mereka yang sedikit terasing lagi memberikan ruangan peribadi. Seeloknya begitu, kerana Khairul mahu menemani Alya di setiap saat yang berlalu.

"Tapi... Kenapa? Abang tak boleh tidur?" Sedikit rasa risau bertapak di hati. Adakah kerana Khairul terlalu risaukan pembedahan yang akan berlangsung keesokan hari?

Lihatlah jemari lelaki itu masih mengusap lengan Alya. Di tubuh, tersarung baju hospital merah jambu. Kepala Alya pula dilitup tudung sarung hijau emerald. Semenjak isyak tadi, inilah yang menjadi tatapan Khairul Iddin.

"Abang tak mengantuk," bohong Khairul.

Haruman kopi menyucuk reseptor bau si gadis. Matanya teralih ke tepi meja sisi. Di situ terletak  dua cawan kopi yang pasti dibeli suaminya ketika dia terlelap selepas solat Isyak. Alya pun menyentuh cawan kertas berkenaan.

Kedua-duanya kosong.

"Kenapa abang berjaga?"

"Abang takut... Kalau abang tidur, nanti sayang tinggalkan abang. Abang tak boleh tidur."

Begitu sekali ketakutan yang membelenggu pemuda berkenaan. Pengalaman pahit ketika mak teh terlantar di hospital masih segar dalam ingatan. Sekali dia terlelap, keesokan pagi mak teh telah meninggal dunia.

Alya mengetap ulas bibir. Bebola mata suaminya sedang memerah dek kantuk. Detikan jam tangan Khairul mengisi detik yang berlalu.

"Abang... Meh duduk sebelah saya." Kakinya ditarik ke dalam silaan. Dia mengalihkan selimut ke tepi. Ruang kosong itu ditepuk-tepuk. Suaminya harus berehat. Kasihan tubuh Khairul jika langsung tidak tidur pada malam itu.

"Abang nak duduk dekat kerusi je." Khairul menggeleng perlahan. Bertegas bahawa dia akan menjadi pengawal peribadi sepenuh masa Alya pada malam itu. Keselamatan Alya adalah keutamaannya.

"Sayang nak abang baring dekat sini..." Pujuk Alya. Wajahnya bertukar rajuk.

Kedegilan Khairul tidak pun tergugat. Malah dia menyilang tangan ke dada. Dipandang sahaja isterinya dengan wajah kosong.

Kalau diikutkan hati, mahu saja Alya pipi kiri dan kanan Khairul. Biar padan muka lelaki itu. Sengaja menayang wajah toya kepadanya. Namun, Alya ingin menarik tali. Diredupkan mata bulatnya. Anak tekak melontarkan suara manja. "Sayang rindu abang."

"Kalau rindu, pandang la." Balasan dingin Khairul Iddin berlalu di angin malam. Sedingin embun.

Perlahan-lahan Alya menjatuhkan pandangan. Menekur riba sendiri. Mimik wajahnya bertukar sedih. Khairul memang tidak berminat. Khairul sukar digugat walaupun sudah dilunakkan nada suara selembutnya.

Pada titik itu, hati Khairul tidak enak. Melihat isteri kesayangan berduka. "Nanti abang terlelap kalau baring."

"Abang dah minum dua cawan kopi double triple shoot. Takkanlah terlelap..." gumam Alya dalam rajuknya.

Ada betulnya kata Alya. Kafein telah pun mengalir dalam pembuluh darah di kesemua tempat. Otaknya segar, mata pun mampu saja bertahan andai kata berbaring buat seketika.

"Abang penat siang tadi," adu Khairul yang seperti inginkan ruangan kosong katil itu buat merehatkan diri. Perlahan-lahan mengalihkan papan punggung ke hujung katil.

"Baringlah dekat sini. Riba sayang untuk abang," bilang Alya.

Pujukan Alya berjaya.

Khairul mendaratkan kepala ke atas ribanya seperti yang diminta. Telapak tangan Alya terlekap pada rahang sang suami sambil mata bulatnya menekur wajah yang sedang berbaring di riba.

"Lenguh bahu?" soal Alya.

"Ya." Jawapan Khairul menyahut. Kelopak mata terturun sendiri. Selesa di situ. Dia dapat merasakan hangat haba Alya sedang berada di sekeliling. Biarpun terpaksa meringkukkan tubuh di atas katil hospital, Khairul sudah cukup selesa.

"Pinggang sakit juga?" Tangan runcingnya mengusap bahu lenguh Khairul. Setelah Khairul mengiring, dicuba tuk memicit sekadar otot yang membaluti tulang bahu. Jadilah, asalkan sentuhan isteri mengenai tempat sakit. Khairul terlayar dalam kantuk pada belaian Alya.

"Ya." Bibir Khairul menjawab.

"Nak baring lama lagi?" Kekal mengusap tempat yang diadukan lenguh. Alya tersenyum kecil. Usap-usap sedikit sebegini pasti akan melelapkan suaminya yang keras kepala ini.

"Nak... Tapi sekejap je. Nanti abang bangun balik."

"Rehatlah sekejap."

"Baik, sayang."

Selang beberapa minit, mata itu terkatup rapat. Tewaslah dalam kepenatan. Badan memilih kerehatan berbanding berjaga di malam hari. Tenaganya perlu dicas juga.

"Keras kepala," bisik Alya. Kepala Khairul diusap kasih. Susah benar hendak memujuk lelaki seego Khairul Iddin. Tetapi tidaklah sesusah mana kerana Alya tahu Khairul amat mencintai diri itu.

***

Kringgg

Fajar subuh mengiringi. Langit gelap dibelah cahaya melintang di ufuk sana. Tinggi bangunan menyukarkan terlihatnya fajar.

Kringgg

Tepat pukul 6 pagi, penggera tetapan telefon menghasilkan nada tidak putus selagi pemiliknya tidak mencelikkan mata.

"Dah subuh ke?" Tangan berpaut pada sisi katil. Dia memaksa diri tuk duduk. Sebelah tangan tercari-cari telefon bimbit yang entah tertiarap di mana. Yakin ia ada berdekatan dek bunyi deringan yang sungguh bingit.

"Ya, abang," bilang Alya.

Khairul yang terpisat-pisat memeriksa waktu di skrin telefon pintarnya yang hampir kehabisan bateri. Dia harus mencari pengecas.

6.08 pagi

Seketika tersedarlah lelaki itu. Selimut putih membaluti ribaannya. Alya pula kekal bersila pada sandaran kepala katil. Dua cawan kopi bergelimpangan di tepi meja.

Ya, dia terlelap dengan jayanya malam tadi. Terima kasih kepada Alya yang pandai memancing.

"Penggoda..." kata Khairul sinis.

Alya membuat wajah toya. "Saya bukan buat apa-apa dekat abang pun..."

Pasangan suami isteri itu saling bertentangan mata di atas katil. Boleh tahan lenguh juga riba Alya menampung kepala Khairul selama beberapa jam.

"Tak kira la. Awak goda saya semalam," gumam lelaki berbaju lengan panjang itu. Kaki dihulurkan ke lantai mencari sepatu.

"Belasah kang..." geram si bunga. Perangai mengada suaminya itu bikin sakit hati.

"Dah lah sakit, ada hati nak belasah orang. Pendek. Penggoda," tambah Khairul Iddin. Berdirinya dia sambil memencilkan mata pada Alya yang berwajah cemberut.

"Pergilah sana tu."

Sebelah kening lelaki tinggi lampai itu terjongket. Badan ditunduk hingga mata mereka jadi separas. Dia menikam mata Alya yang redup dengan lentikan bulu mata lebat.

Alya pula mengetap bibir kegeraman. Rasa dahaga tidak menyinggah kerana dia kini berasa seperti mahu menelan suami sendiri hidup-hidup.

Sekilas ciuman di pipi merah itu. Terhenti bibir bersebelahan sisi wajah. "Terima kasih izinkan abang tidur atas riba sayang semalam..."

Berdebar jantung. Berderu darah panas, membawa sekali rasa cinta.

"Abang nak pergi solat subuh dan balik mandi dulu. Abang busuk ni... " Khairul kembali berdiri tegak. Dia tersenyum segan kerana belum bersiram. Baunya yang baru bangun tidur tak sewangi selepas mandi. Terus dijarakkan diri dengan gadis itu.

Alya mengoyak senyuman. Perasaan malu berkecamuk.

"Nanti abang datang... sebelum sayang kena masuk bilik bedah," katanya. Jam tangan besi yang melingkar di pergelangan tangan ditenung. "Pukul 10 pagi kan?"

Laju Alya menjatuhkan kepala. "Ya.."

"Sekarang dah nak dekat 6.15pagi... Abang akan datang semula pukul 8.00 pagi. Sayang okay abang tinggal sekejap ni?" Khairul perlu memastikan permaisuri hatinya baik-baik sahaja.

" Okay... "

" Tak rindu? " soal Khairul.

" Rindu."

Vermilion lelaki itu tertarik membentuk senyuman. "Jangan rindu."

Ubun-ubun Alya diusapnya sehingga gadis itu naik rimas. Habis senget benget awning tudung sarung. Khairul memang sengaja mencari pasal.

"Abang pergi dulu. Assalamualaikum."

***


Baju merah jambu hospital ditukar kepada baju bedah di bilik persalinan. Diam gadis kecil itu di atas katil. Mata bulatnya meliar ke sekeliling. Pembedahan kecil sebegini pernah dilihat banyak kali tika menjawat sebagai jururawat hospital. Tidaklah perasaan gemuruh hadir. Yang penuh di sanubari hanyalah rindu pada sang suami.

Dia tahu dia akan rindu walhal baru ditinggalkan seketika.

"Mana Khairul..." bisik sang hati. Bermonolog sendiri dia dalam penantian kehadiran susuk tubuh yang dirindui. Jarung panjang jam dinding menunjukkan angka enam, lagi setengah jam pembedahan bakal bermula.

"Puan tunggu suami puan ke?" Tegur jururawat di sebelah.

"Aah ya... Ada nampak?" Alya tersenyum segan. Adakah pada wajahnya sahaja terpeta kegusaran?

"Dah nak pergi ke?" Seorang lelaki berpakaian rapi berkemeja sedang menyinsing pergelangan tangan baju hingga ke paras siku.

"Aah, ya tuan," khabar sang jururawat.

Hati Alya yang menggunung kegusaran perlahan-lahan menyurut. Bibir delimanya bertaut senyuman. Melihat pada wajah jejaka itu, dia tahu betapa risaunya Khairul Iddin.

"Lima minit," bilang Khairul pada jururawat. Dia mahu lima minit ruang personal bersama-sama isterinya.

Jururawat itu pun menganguk faham, langsung membuka langkah pergi.

Setelah orang asing meninggalkan mereka berdua, Alya memandang suaminya. Begitu jua Khairul, membalas pandangan Alya.

"Abang lambat. Janji pukul 8 pagi... Ni dah 9 lebih... " omel gadis berkenaan. Bibir pun memuncung sedepa. Masih ada omelan berikutnya, sayup sahaja di hujung pendengaran.

Khairul melabuhkan punggung di tepi. Lengannya melingkar di pinggang isterinya, dagu direhatkan pada tulang bahu. Seraya dengan itu, mata terus menatap dari susut sisi.

"Belah kanan kan benjolan tu?" soalnya. Sedikit pun tidak menghiraukan bebelan Alya.

"Iya."

"Doktor nak keluarkan seluruh benjolan tu... Sayang kena cepat sembuh tau. Nanti kesian Zahra nak minum susu... Tadi abang lambat sebab beri Zahra minum susu botol sekejap. Dia rindu abang. Dia tak nak lepaskan abang." Ayat akhir sengaja ditekankan dalam irama sindiran manja.

"Ye-ye je..." jawab Alya acuh tidak acuh. 

"Betullah. Tak percaya... Tanya mama. Berenggang sikit pun menangis tadi. Jadi kita tahulah perangai dia ikut siapa." Khairul menegakkan jawapannya. Wajah Alya kekal pada tatapan retina.

"Hm... Saya minta maaf sebab jadi macam ni... Kena susahkan mama jagakan Zahra pula..." Fikiran Alya melayang ke rumah. Rindu pada Fatimah Azzahra, cahaya mata mereka berdua.

"Jangan kata macam tu. Kan sayang kata ini sikit je. Jadi sekejap je mesti sembuh. Mama faham kita. Jangan risau..." pujuk Khairul Iddin. Kedutan jatuhan tudung yang melitupi kepala Alya dibaikinya.

Pujukan ini menenangkan gelodak yang membadai pesisiran hati. Hendak mencebik lama, suami ada di sebelah tuk lima minit sahaja. Maka, gugurlah wajah cemberut berganti senyuman bak gula. Alya mengangguk faham dan setuju. Bibir mengucup pipi jejaka itu sekilas.

Tepat lima minit berlalu, Khairul Iddin menurunkan diri daripada katil. Hadirnya dua orang jururawat wanita yang berpakaian seragam putih dan bertudung turquoise menarik katil isterinya keluar.

Perpisahan terjadi di lift. Dia tidak dibenarkan mengikut lebih jauh selain menunggu di ruangan yang telah disediakan.

Mata Khairul melihat jam tangan tika itu. Ini hanya akan mengambil paling kurang pun satu jam termasuk persediaan lain-lain.

Waktu dhuha.

Hayunan kaki memilih tuk menapak ke koridor yang menghadap ke musolla lelaki di hujung bangunan. Sesungguhnya dia bersyukur pada Allah kerana dikurniakan seorang isteri yang baik. Sedikit ujian ini langsung tidak menghilangkan rasa syukur itu malah dia bertambah syukur kerana ketulan yang ada pada payudara Alya tidak merbahaya.

***
votexkomen
***

late update 😊

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro