Tanah Semantan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Penulis: Nursuraya misz_sr

Terkocoh-kocoh Samad berlari menuju ke rumah ibadat. Penghadang tangga yang diperbuat daripada kayu dipegang seraya badan dibongkok untuk mengembalikan semula nafas yang tercungap-cungap.

"Kamu sudah kenapa, Samad?" tegur satu suara dari dalam rumah ibadat. Berkerut wajahnya melihat Samad yang terburu-buru datang ke mari.

"Datuk, Inggeris akan sampai ke Lubuk Terua!" ujar Samad.

Semua yang ada di situ terkejut mendengarnya. Mereka sudah tidak senang duduk.

"Mana kamu tahu?" soal Mat Lela yang tadinya sedang sama-sama bermesyuarat di dalam rumah ibadat itu.

"Mak Long Esah yang beritahu sewaktu saya dan yang lain mahu pulang ke rumah. Suaminya hendak ke Pasir Rawa. Tetapi sampai sahaja di Batu Hampar, dia terlihat perahu orang Inggeris bersama mata-mata Sikh." jelas Samad.

"Di dalam perahu mereka penuh dengan papan dan atap nipah. Mata-mata Sikh pula sudah siap bersama bedilan mereka." sambung Samad lagi.

Datuk Bahaman berang. Dia bangun dari duduknya.

"Celaka Inggeris! Sudah mereka mengkhianati kita semua, sekarang mahu menjajah kawasan kita pula." Datuk Bahaman mengetap giginya.

"Apa perlu kita buat, ayah?" soal Mat Lela yang merupakan salah seorang anak Datuk Bahaman.

"Inggeris sudah mencabar kedaulatan orang melayu! Seperti apa yang sudah saya jangkakan, mereka sudah bersiap mahu membina rumah pasung di sini." Datuk Bahaman menghela nafas kecewa.

"Tanah Semantan sudah tidak selamat, Datuk. Bedil milik mata-mata Sikh sudah menghala tepat ke rumah Datuk Panglima Raja. Saya yakin mereka sudah memilih kawasan itu untuk membina rumah pasung." sampuk Samad yang berada di luar rumah ibadat.

Datuk Panglima Raja terkejut mendengar khabar dari Samad.

"Nampaknya kita harus bersiap-siaga. Kubu perlulah digali secepat yang mungkin. Kita juga perlu persiapkan bekalan makanan yang cukup agar tiada penduduk di sini mati kebuluran!" kata Datuk Bahaman lagi.

"Samad." panggil Datuk Bahaman.

"Ya, Datuk." pantas Samad menyahut.

"Saya mahu kamu sebarkan berita ini kepada orang kampung. Katakan pada mereka yang tanah Semantan sudah tidak aman. Tetapi ingat pesan saya, jangan sesiapa berani berhadapan dengan Inggeris buat masa terdekat ini." arah Datuk Bahaman.

Samad menganggukkan kepalanya lalu lekas dia beredar dari situ. Dia perlu segera menyampaikan amanat Datuk Bahaman kepada seluruh penduduk kampung.

Datuk Bahaman duduk semula. Wajahnya masih lagi tegang. Dia perlu bertafakur dan memikirkan semula bagaimana cara mahu menghalau orang-orang Inggeris dari sini.

* * *

"Datuk!" teriak Datuk Panglima Raja di luar rumah Datuk Bahaman.

Datuk Bahaman segera keluar dari rumahnya. Berkerut wajahnya melihat dahi Datuk Panglima Raja yang penuh dengan keringat.

"Kenapa engkau datang ke mari, Panglima?" soal Datuk Bahaman.

"Kebun durian saya sudah diceroboh!"

"Sabar, Panglima. Engkau masuk dahulu ke dalam. Pak Long Abas juga turut berada di dalam." potong Datuk Bahaman. Dia menjemput Datuk Bahaman untuk naik masuk ke dalam rumahnya terlebih dahulu.

Datuk Panglima Raja mengangguk perlahan. Alas kaki ditanggal dan dia terus mendaki anak tangga masuk ke dalam rumah Datuk Bahaman. Datuk Panglima Raja menyertai Pak Long Abas dan juga Mat Lela yang sedang duduk bersila di atas lantai.

Datuk Bahaman kemudian menutup pintu rumahnya dengan rapat. Dia berjalan dan duduk menghadap mereka bertiga.

"Apa yang engkau mahu katakan, Panglima?" soal Datuk Bahaman. Tanjak yang dipakai dikepala ditanggal dan diletakkan dengan penuh cermat di atas lantai.

"Inggeris sudah melampau! Mereka sudah menceroboh dusun durian milikku. Kubu pula sudah digali dengan panjang di tepi tebing. Mungkin selepas ini mereka akan membina rumah pasung pula." jelas Datuk Panglima Raja.

Datuk Bahaman menghela nafas dengan tenang.

"Benar tekaanku selama ini." kata Datuk Bahaman perlahan.

"Kita tidak boleh berdiam diri, Datuk. Mereka sudah menghina kita! Mereka menceroboh halaman kampung kita seperti kita tidak punyai maruah!" sampuk Pak Long Abas. Tinggi suaranya akibat terlampau geram dengan tindakan Inggeris.

"Sabar, Abas." kata Datuk Bahaman tenang.

"Masih mahu bersabar lagi?" tengking Pak Long Abas.

Datuk Bahaman sedikit terkilan. Dia menghela nafasnya.

"Persiapan kita masih belum cukup. Baru sahaja semalam saya arahkan penduduk untuk menggali kubu." jawab Datuk Bahaman tenang.

"Macam inilah, Datuk. Izinkan saya dan juga dua atau tiga lagi penduduk kampung untuk pergi membuat kacau di sana. Saya yakin dengan seramai itu mampu menghalau Inggeris dari kampung kita ini."

"Tidak boleh Abas...," sangkal Datuk Bahaman. Dia menggelengkan kepala. Baginya cadangan yang diberi Pak Long Abas tadi amatlah tidak bernas.

"Tindakan kamu itu akan membuat keadaan menjadi bertambah buruk. Bagaimana kalau Inggeris menghantar serang balas? Mungkin peperangan kita ini akan berlangsung dengan lebih lama. Mungkin berbulan atau bertahun-tahun lamanya." kata Datuk Bahaman.

"Tambahan lagi, tindakan kita ini akan membabitkan raja. Saya tidak mahu tindakan ini akan membuatkan raja kita senasib dengan raja Perak yang dahulu. Baginda dibuang negeri ke sebuah pulau di lautan Hindi." jelas Datuk Bahaman lagi.

"Habis itu apa tindakan kita? Adakah kita akan melihat sahaja tanah kita dijajah oleh Inggeris bedebah itu?" soal Pak Long Abas bengang.

"Bukan begitu, Abas." sanggah Datuk Bahaman.

"Saya tidak mahu tindakan kita hanya untuk kalah dalam pertempuran. Saya mahu apa yang kita lakukan sekarang akan membuahkan hasil." sambung Datuk Bahaman.

"Inggeris tidak kuat, Datuk! Mereka lemah!" sampuk Datuk Panglima Raja pula.

"Saya tahu itu, Panglima. Tapi kita perlu penuhkan ilmu terlebih dahulu agar Inggeris tidak berani-berani lagi membuat kacau di tanah kita. Sebagai ketua di sini, saya juga cukup terhina dengan tindakan Syres yang menceroboh halaman kampung kita. Tetapi saya akan menghadap raja terlebih dahulu."

"Lihatlah nanti. Sekali Bahaman menentang, tidak mungkin Bahaman akan berundur! Ini sumpah saya." kata Datuk Bahaman sekali dengan sumpahnya.

Datuk Panglima Raja dan Pak Long Abas mengangguk setuju.

"Jika begitu kata Datuk, saya tetap ada di belakang Datuk!" sahut Datuk Panglima Raja.

* * *

Mat Lela dan Imam Perang Weh segera berjalan menuju ke kubu yang digali oleh Samad dan yang lain di Lubuk Sengarat. Mereka mendapat khabar yang dua buah perahu Inggeris telah singgah ke rumah pasung. Mereka tertanya-tanya.

Kedatangan mereka disambut baik oleh Awang Muhammad, adik Mat Lela. Kemudian mereka terus menuju ke kubu. Di dalamnya ada Samad dan juga Zahid. Lama mereka berlima memerhatikan orang Inggeris yang sedang memudik sampan ke hilir.

"Kau agak siapa Inggeris itu?" soal Mat Lela.

"Aku tidak tahu. Yang pasti itu bukanlah Syres." balas Awang Muhammad dengan separa berbisik.

"Kalau bukan Syres, siapa orang Inggeris itu?" soal Mat lela lagi.

"Owen!" Terbuntang mata Mat Lela apabila nama itu muncul di fikirannya.

"Owen?" soal Imam Perang Weh hairan.

"Aku tidak tahu. Aku cuma terdengar perbualan Mat Kilau bersama ayahku pada malam semalam." jelas Mat Lela.

"Jikalau benar itu Owen, maka dia akan membanci semua penduduk di kampung kita ini." kata Mat Kilau lagi.

"Jika begitu, lekaslah kita berjumpa dengan ayahmu. Kita perlu maklumkan hal ini kepada beliau." cadang Imam Perang Weh.

"Ayahku tiada di kampung." pintas Mat Lela. Awang Muhammad mengangguk setuju.

"Tiada?" soal Imam Weh hairan.

"Ayah telah pergi ke Johor bersama-sama Datuk Panglima Raja dan juga Rahman." jawab Mat Lela.

Imam Weh mengangguk faham. Mereka kemudian memerhati semula gerak-geri Inggeris dan mata-mata Sikh. Mereka semakin bimbang kerana ketiadaan Datuk Bahaman di kampung ini.

* * *

"Lajis!" teriak Datuk Bahaman.

Datuk Bahaman berniat hanya untuk menjenguk kubu Samad dan yang lain. Tetapi apabila terlihat akan Lajis yang terkocoh-kocoh mengemudi sampannya, niatnya terbantut. Dia menyorok di semak yang berhampiran kubu Samad. Awang Muhammad dan Zahid turut berada di situ.

Lantas Lajis memudik perahu ke hilir. Dia melompat keluar dari sampan dan menambat perahunya pada sebatang pokok besar. Langkah kakinya tergesa-gesa mendapatkan Datuk Bahaman dan yang lain.

"Apa yang engkau kejarkan, Lajis?" soal Datuk Bahaman.

"Ab... Abas," kata Lajis tercungap-cungap. Berkerut wajah Datuk Bahaman melihatnya.

"Abas dan Ismael ditangkap Desborough dekat batu Hampar!" jelas Lajis.

Terkejut yang lain mendengarnya.

"Bila mereka ditangkap?" soal Datuk Bahaman lagi.

"Dua hari yang lepas." jawab Lajis.

"Malam tadi saya didatangi mata-mata Sikh untuk memberi makan kepada orang yang salah. Tetapi tidak pula saya tahu bahawa orang salah yang dimaksudkan itu Abas dan Ismael." terang Lajis lagi.

"Apa kita hendak buat sekarang?" soal Datuk Bahaman risau. Dia menunduk kepalanya. Kepalanya kusut.

"Datuk Bahaman pergilah berjumpa dengan Desborough di rumah pasung. Arahkan mereka agar lepaskan Abas dan Ismael." cadang Lajis.

"Aku sudah tiada kuasa lagi, Lajis." terang Datuk Bahaman.

"Orang Inggeris sudah melucutkan jawatanku setelah aku pulang dari Johor. Mereka memaksa raja mengaku yang aku merupakan seorang derhaka." jelas Datuk Bahaman.

Lajis terdiam.

"Tidak mengapa. Memang aku sudah dilahirkan tanpa apa-apa jawatan. Tetapi yang jelas, Inggeris telah mencabar maruahku. Mereka hendak memecah-belahkan aku dengan pembesar Pahang. Jika kami terpisah, maka senanglah mereka menjajah bangsa-bangsa Melayu." jelas Datuk Bahaman lagi.

"Aku pasti yang selepas ini sudah pastinya mereka akan mencari dan menangkapku. Aku tidak kisah. Demi Tuhan dan raja, aku sanggup bersumpah yang Bahaman akan berjuang berhabisan demi agama dan juga bangsa!" kata Datuk Bahaman penuh dengan emosi.

Tergamam yang lain melihat semangat yang dimiliki oleh Datuk Bahaman.

"Saya juga bersedia melawan Inggeris biadab itu!" kata Lajis. Yang lain pula mengangguk dan bersetuju dengan apa yang dikatakan Lajis tadi.

"Jikalau dulu Owen telah menceroboh kampung kita semasa melakukan kerja membanci, sekarang tidak mustahil Desborough juga akan melakukan hal yang sama." kata Datuk Bahaman.

"Saya cuma risau jikalau Abas dan Ismael memberitahu Inggeris akan rahsia pertahanan kita di sini." kata Datuk Bahaman yang mula gusar.

"Saya yakin yang Abas dan Ismael tidak melakukan hal sebegitu. Mereka amat setia kepadamu, Datuk." ujar Lajis.

"Tidak mustahil, Lajis. Mereka tetap terpaksa membuka rahsia jika tidak tahan akan diseksa." bidas Datuk Bahaman.

Lajis hanya mendiamkan diri. Dia juga hilang arah.

"Beginilah. Apa kata engkau membawaku ke rumah pasung itu. Kita sama-sama melepaskan Abas dan Ismael." cadang Datuk Bahaman. Lajis mengangguk laju. Dia bersetuju akan cadangan Datuk Bahaman itu.

"Samad dan Awang." panggil Datuk Bahaman. Matanya melihat anak muda yang berada di tepi kiri dan kanannya.

"Eh, mana Samad?" soal Datuk Bahaman hairan.

"Samad pergi memancing ikan di tebing, ayah." jawab Awang Muhammad.

Datuk Bahaman mengangguk faham. "Tidak mengapalah. Engkau dan Zahid pergilah panggil sepuluh orang lagi untuk membantu dalam menyelamatkan Abas dan Ismael ini." arah Datuk Ismael.

Tanpa berlengah, dua pemuda itu terus berlari untuk mencari sepuluh lagi orang kampung untuk membantu misi mereka itu.

* * *

"Bunuh semua mata-mata Sikh itu!" arah Datuk Bahaman. Semua penduduk kampung yang ada di hadapannya mengangguk setuju.

"Rampas semua senjata mereka!" tambah Datuk Bahaman lagi.

"Desborough sudah melampau! Mereka sudah berani membedil orang di kampung kita! Kita tidak boleh berdiam diri!" ucap Datuk Bahaman.

"Datuk!" jerit Lajis dari kejauhan.

Semua mata mula memandang Lajis yang sedang berlari mendapatkan Datuk Bahaman.

"Desborough dan mata-mata Sikh sedang memudik ke mari! Saya lihat di salah satu perahu mata-mata Sikh terdapat satu mayat. Yang pasti, itu bukan mayat dari mata-mata Sikh. Itu sudah tentu salah seorang dari penduduk kampung kita." jelas Lajis.

Datuk Bahaman mengetap giginya. Inggeris bedebah!

"Enam buah perahu sudah ke mari, Datuk! Saya dengar mereka mahu menangkap Datuk. Kalau tidak ditangkap hidup-hidup, mayat Datuk tetap akan dibawa ke Kuala Semantan." jelas Lajis lagi.

"Tidak mengapa! saya langsung tidak gentar!" sambut Datuk Bahaman.

* * *

Datuk Bahaman sembunyi di sebalik semak. Dia menanti ketibaan Desborough bersama mata-mata Sikh ke tebing. Setibanya perahu di setentang rantai yang tenggelam di dalam air, Datuk Bahaman menarik rantai tersebut sehingga menjadi tengang. Terbalik perahu Desborough dan mata-mata Sikh kepunyaannya. Satu per satu perahu milik Desborough terbalik di dalam air.

"Serang!" teriak Datuk Bahaman.

Lajis yang ada berhampiran lekas berlari. Serentak itu tabuk di rumah ibadat diketuk. Maka bermulalah peperangan penduduk di tanah Semantan itu. Berpuluh-puluh buluh runcing dilempar ke arah mata-mata Sikh.

"Aidil!" jerit satu suara.

"Ya, mak!" air liur ditelan kesat. Takut dia melihat wajah emaknya yang sedang berang itu.

"Balik! Dah maghrib! Engkau buat apa dekat dalam semak itu?" jerit Mak Long Aini yang merupakan emak kepada Aidil. Dia sudah mencekak pinggang memandang anaknya yang masih lagi menyorok di dalam semak.

Aidil bangun. "Maaf, geng. Esok sambung lagi. Macam biasa, aku pegang watak Datuk Bahaman." kata Aidil. Yang lain turut sama keluar dari semak belukar itu.

"Astaghfirullahalazim... Memang menyinga emak kau orang menunggu dekat rumah. Balik!" teriak Mak Long Aini.

"Apa-apapun, selamat hari merdeka, geng!" jerit Aidil sambil berlari mendapatkanemaknya. Sesudahnya, telinga Aidil dipiat sepanjang perjalanan mereka pulang kerumah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro