1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                TERSENGGUK-SENGGUK kepala dek kerana menahan rasa mengantuk yang amat. Hampir sahaja dia tersembam ke bawah apabila mata tiba-tiba terlelap tanpa tersedar, namun tindakan refleks lebih pantas membetulkan posisi duduknya semula. Ada dinding pameran di belakang ruangan menunggu, bolehlah dia bersandar sekejap sementara bas tiba.

Mengantuknya. 

Dah beberapa hari dia mengalami insomnia, kepala sering rasa terganggu dengan masalah yang harus dihadapi sejak jawatannya telah dirampas oleh pekerja muda baru itu. Sofea namanya. Dia dahulunya seorang wartawan daripada stesen News Viral, akan tetapi kini pangkatnya dipindahkan ke bahagian penulisan artikel. Semuanya berubah dalam sekelip mata.

Hanya kerana satu benda.

Iaitu cantik.

Ya, dia akui. Dimata sesiapa pun, Sofealah yang paling cantik sekali. Wanita yang pandai bersolek, pandai bergaya dan pandai membodek dengan bicara manis bibir merah traffic lightnya tu. Kerana cantik, Sofea dapat naik pangkat.  Kerana cantik juga, Sofea menerima layanan serupa puteri ditempat kerja.

Tidak macam yang seorang itu. Sufi. Siapa lagi kalau bukan dia? Sufi Leila nama diberi. Memang sedap apabila didengar, tetapi malang sekali nama itu tidak menggambarkan betapa cantiknya Sufi Leila. Dia... biasa-biasa sahaja.

Seorang yang berkaca mata nerd. Bertudung bawal yang sentiasa dikenakan bersama baju kurung. Bukannya tak reti bergaya, malah dia kalau bergaya boleh kalahkan kecantikan ratu cantik Malaysia tau! Cumanya...

Heh, M-A-L-A-S.

MALAS.

Tempek bedak dan lipbam sahaja dah cukup manis bagi Sufi. Rupa itu mungkin ada. Tetapi tarikan, hmm...

Orang gila pun belum tentu mahu.

Haih,

Kenapalah dunia ini selalu berpihak kepada yang cantik dan sempurna? Kalaulah dia secantik Sofea yang digilai netizen, staff dan bos. Tentu jawatan itu masih lagi menjadi miliknya. Tapi...

Terkadang tertanya-tanya juga satu soalan, seronokkah bila menjadi kegilaan orang? Setiap saat ada surat misteri berbaur ayat cinta terbang ke atas meja, setiap minit juga dapat sejambak bunga mawar, jiwa keperempuanan siapa sahaja yang tak suka dilayan sebegitu hari-hari, kan? Malah lebih bersemangat hendak ke kerja lagi adalah.

Pin! Pin!

Bunyi hon yang ditekan sebanyak dua kali menyentakkan Sufi yang hampir terlelap sekali lagi. Terkebil-kebil matanya melilau ke sekeliling kawasan, seakan memproses apa yang baru berlaku. Dek kerana terkejut punya pasal sehingga tercampak fail yang dipeluk sejak tadi. Berterbangan kertas-kertas ringan itu ke udara sebelum jatuh menimpa tanah.

"Hoi, Cik Adik! Nak naik bas ke tidak ni?" Tegur pemandu bas itu dengan nada sedikit meninggi. 

Aduh, berapa lama agaknya dia termenung sampaikan Pak Cik itu macam nak mengamuk kerana terpaksa menunggu?

"Ke... kejap! Aduh, jatuh pula." Cepat-cepat Sufi bangkit daripada kerusi. Akibat tindakan kelam-kabutnya, Kaca mata yang senget hingga menyentuh hidung itu pula yang jatuh ke tanah. Alahai, kenapalah malang sangat dia sejak beberapa hari ni?

"Kejap ya pak cik!" Jerit Sufi dengan nada kelam-kabutnya.  Langsung dia mencangkung di atas tanah, mengambil kembali kaca mata petak yang jatuh pada hujung kasutnya lalu dipakai. Barulah pandangan kabur sebentar tadi kembali terang-benderang dengan jelas.

"Cepat sikit sebelum pak cik tutup pintu bas ni!"

Makin panik Sufi apabila pemandu bas itu mula menakut-nakutkan dia. Sudahlah susah nak dapatkan grab pada jam sekarang.  Kalau kena tinggal, alamatnya kena jalan kaki beribu batulah jawabnya! Elok sampai pintu rumah, turun 5 kg.

Tak pun, tidak sampai sekerat jalan dah pengsan.

"Sekejap! Sikit aje lagi ni!" Laju tangan Sufi mengutip kertas-kertas bersaiz A4 yang bersepah di atas tanah. Tangannya menggigil. Takut kalau pemandu bas itu betul-betul meninggalkan dia keseorangan di sini. Dua tangan yang
ada tidak cukup laju untuk mengumpul 20 helaian kertas yang bertebaran di atas tanah dalam masa sepuluh saat.

"Hoi, cepatlah sikit! Orang dah mengantuklah. Aku nak balik rumah nak rehat!" Jerkah suara penumpang lelaki yang duduk di tepi tingkap bahagian kanan.

Sufi ketap bibir. Sabarlah sekejap! Ingat kau seorang sahaja ke yang nak rehat dalam dunia ni? Sumbat kertas a4 ni dalam mulut kau baru tahu! Getus dalam hati Sufi berbaur geram. Setelah siap mengumpul kesemua kertas itu, lalu Sufi selitkan ke dalam fail plastik berwarna merah jambu miliknya. Beg tangan yang berada di atas bangku diambil, lantas Sufi berlari masuk ke dalam perut bas.

Kad My Rapid ditekap pada skrin, selesai membayar tambang bas barulah Sufi mencari kerusi kosong untuk duduk. Tak ramai manusia yang naik bas waktu malam seperti waktu pagi. Jadi banyak kerusi tak berpenghuni. Lantas Sufi mengambil tempat duduk di bahagian hadapan sebelah kiri berdekatan tingkap.

Dia memang suka duduk tepi tingkap.  Banyak faedah, salah satunya boleh melentok kepala ke cermin jika mengantuk. Hehehe.

Terasa tayar bas mula bergerak, Sufi keluarkan telefon canggih dari beg tangannya. Apps clock dibuka. Set pada angka 20 minit. Nada dering dipastikan pasang kuat. Kerana selalunya dia akan tertidur semasa dalam perjalanan.Jika telefonnya berdering, bermakna dia telah sampai ke destinasi yang dituju.  Tak adalah terlajak sampai ke tempat lain.

"Eh, ada orang lagilah." Perlahan pemandu itu menghentikan bas saat menyedari ada figura lelaki berpakaian serba hitam berdiri di tepi jalan. Sedang melambai-lambai tangan kanannya, menarik perhatian pemandu untuk menghentikan basnya. 

Sebaik sahaja bas diberhentikan, pintu automatik terbuka. Lelaki itu terus masuk ke dalam perut bas. Menekap kadnya ke skrin.

Entah mengapa anak mata Sufi tiba-tiba rasa tertarik memandang lelaki yang baru masuk itu. Bibir menyenget sedikit. Tak sangka, bukan aku seorang aje yang balik lewat selama ni. Omel Sufi di dalam hati. Kepala tunduk kembali menatap skrin telefonnya. Tidak peduli tentang lelaki tak dikenali itu, malah kepala disandarkan pada cermin. Melelapkan mata yang terasa berat sejak di pondok bas tadi.

"Encik nak ke mana? Pak cik tak pernah nampak kamu naik bas ini sebelum-sebelum ni?" Kedengaran pemandu bas itu menegur.

"Saya akan turun bila saya nak turun."  Acuh tak acuh suara garau itu menjawab sebelum menapak ke bahagian belakang bas.

Telinga Sufi yang dikurniakan jelas pendengaran dapat menangkap suara keluhan. Serentak dengan itu, kerusi kosong di sebelahya terasa diduduki oleh seseorang. Pelik. Rasanya ada banyak lagi kerusi kosong, tetapi mengapa kerusi di sebelah dia juga mahu duduk?

Ah, malas Sufi mahu fikir. Dia terlalu mengantuk. Tidur sekejap pun jadilah. Lagipun bukannya dia bayar kerusi kelas pertama pun untuk duduk seorang diri.

Entah bila masa Sufi terlelap, tiba-tiba sahaja dia dikejutkan dengan deringan bunyi jam yang agak kuat. Tersentak dia daripada lena. Cepat-cepat jari Sufi menolak tombol bewarna biru ke atas. Semerta deringan bingit itu terhenti. Dengan otak yang masih mamai, Sufi menebarkan anak matanya ke luar cermin bas.

Kelopak mata yang terasa berat itu terus meluas besar.  Ya Allah, dah tiba di destinasi aku!

Kelam-kabut Sufi bangun dari kerusi, menekan butang kuning yang tersedia di sebelah kirinya. Memberi isyarat kepada pemandu bas itu untuk menurunkan dia di sini. Semerta bas yang dinaikinya berhenti. Pintu bahagian hadapan automatik terbuka.

Fail dan beg galasnya diambil. Dan saat Sufi menapak keluar, baru Sufi menyedari cuma dia sahaja penumpang terakhir yang tinggal di dalam bas itu. Fuh, nasib baik dia tak terlepas dari destinasinya. Kalau tidak, dengan siapa dia mahu minta tolong?

"Terima kasih pak cik." Ucap Sufi, pemandu bas itu tidak membalas apa-apa.  Terus tutup pintu dan membawa bas itu pergi daripada kawasan pangsapuri tempat dimana dia tinggal.

Tiada rasa hendak marah atau terasa hati. Yang Sufi tahu, dia mahu segera balik ke rumahnya sekarang. Letih yang amat! Lantas, Sufi mengatur langkah masuk ke kawasan pangsapuri, sambil-sambil tangan menyelongkar beg galas mencari sesuatu. Sesaat keningnya berkerut. Kenapa macam ada yang kurang?

Sufi tunduk melihat isi di dalam beg tangannya. Dompet ada, charger ada, beberapa alat solek ringan juga ada. Apa yang tiada ya?

Sufi menghentikan langkah sebaik berdiri betul-betul di bawah cahaya lampu. Mungkin sebab gelap dia tidak nampak dengan jelas isi di dalam beg tangannya.

Pap!

Serentak dengan itu, bunyi derap langkah seseorang dari belakang ikut sama berhenti. Tika ini baru Sufi perasan ada orang lain berada di luar kawasan pangsapuri. Sufi toleh ke belakang. Tergamam seketika melihat figura berpakaian serba hitam yang berdiri lima meter daripada jaraknya.

Seluruh bulu romanya tegak berdiri. Tiba-tiba naluri hati Sufi diserbu rasa tidak enak. Melihat pemakaiannya yang misteri buatkan otak Sufi sudah terfikir macam-macam. Lagipun kawasan pangsapuri ini sunyi, tidak nampak mana-mana manusia yang sedang lepak ditangga atau berdekatan dengannya untuk buat Sufi rasa sedikit selamat.

Gulp!

Air liur ditelan kesat. Niatnya yang hendak mencari sesuatu yang hilang tadi terbantut begitu sahaja. Cepat-cepat Sufi menyambung langkah ke menuju ke arah lif. Namun telinganya juga menangkap derap langkah yang sama laju dengannya. Sekilas Sufi berpaling ke belakang.

Mata membulat terkejut.

Mengapa lelaki itu nengekori dia?

Fikirannya hanya dihantui pemikiran negatif. Beg galas dipegang kuat-kuat.  Takut jika diragut. Sufi melajukan lagi langkah.

"Ya Allah, selamatkan aku..." Bisik Sufi dengan suara bergetar. Sungguh, dia takut sangat-sangat. Apatah lagi figura misteri itu semakin laju mengejarnya dari belakang buatkan Sufi diserang panik. Lif yang selama ini dekat tiba-tiba terasa jauh bermahalah

Sufi mempercepatkan lagi lariannya.  Figura misteri itu juga sama. Okay, kali ini dia benar-benar fikir itu adalah orang jahat. Ya Allah, lindungilah aku!

"Argh!" Akibat larian yang terlalu laju, entah dimana silap langkahnya sehingga Sufi jatuh tersembam ke tanah.  Sikunya terasa pedih. Sah, ada luka di situ. Namun, bukan sakit yang dihiraukan saat ini. Laju pandangan Sufi melempar ke belakang. Degupan jantung semakin melaju saat figura berpakaian serba hitam itu semakin menghampirinya.

Alamak, nak bangun pun dah tak sempat!

Terus Sufi angkat kedua belah tangannya serupa merayu. Sambil pejam mata dia berkata...

"Tolong jangan apa-apakan saya! Saya tak ada duit! Dalam dompet saya ada lima ringgit aje, percayalah! Saya janji takkan buat report polis! Saya orang baik!" Kata Sufi bersungguh-sungguh, sekadar mahu meyakinkan pencuri itu bahawa dia akan selamat jika tidak meneruskan niat jahatnya. Tangan masih lagi menggigil. Mata tak sanggup untuk dibuka. Terlalu takut.

"Sedihnya hidup kau..."

Sufi tersentak. Laju matanya terbuka. Kepala terus mendongak, memandang lelaki yang berdiri di hadapannya dengan muka penuh tanda tanya.

"Huh?"

Tudung hoodie diturunkan ke bawah. Kali ini barulah Sufi boleh lihat dengan jelas wajah yang disangka pencuri tadi. Rambutnya agak serabai, namun rupa parasnya yang tampan membuatkan lelaki itu makin kelihatan kacak di mata Sufi. Terpukau sejenak Sufi melihat.

"Telefon kau. Tercicir semasa turun bas tadi." Katanya, kemudian tangan menyeluk poket hoodie mengeluarkan telefon canggih milik Sufi yang disimpan di situ lalu disua ke hadapan wajah Sufi yang masih terngadah memandangnya.

Lambat-lambat Sufi mencapai telefonnya. Patutlah dia rasa seperti ada yang kurang. Rupa-rupanya telefon yang tercicir. Dah berapa kali dia cuai agaknya? Bawah bibir digigit.  Tiba-tiba rasa bersalah pula kerana menganggap dia lelaki jahat tadi.

Tanpa berkata apa-apa lagi, lelaki itu terus pusing ke belakang ingin pergi. Sufi yang menyadarinya terpinga-pinga  bangkit daripada terduduk di atas tanah.

"Encik!" Panggil Sufi.

Semerta langkah lelaki itu terpasung di situ. Tidak menoleh.

"Sa... Saya minta maaf!" Rayu Sufi. Dia kesal dengan kecuaian sendiri. Haraplah lelaki itu tidak menganggap buruk terhadapnya. Dia cuma hendak berjaga-jaga.

"Lain kali jangan kelam-kabut. Kecuaian kau lebih bahaya daripada dikejar pencuri." Sekali lalu sahaja lelaki itu menitip pesanan sebelum kembali menyambung langkah pergi. Sedikit pun wajah Sufi tidak dipandang.

Entah mengapa hati Sufi rasa terobek apabila dia berkata begitu. Nampak sangat lelaki itu marah kepadanya. Hujung telefon diketuk ke dahi sendiri dengan perlahan berkali-kali.  Menghukum diri sendiri yang begitu lembab membuat spekulasi yang bukan-bukan. 

Tengok sekarang apa dah jadi!

Hendak sahaja Sufi menahan lelaki itu, namun dia sudah jauh pergi.

"Haish, kenapalah dengan aku ni? Siapa aje yang nak kejar orang macam kau? Perasan sungguhlah kau ni Sufi! Memalukan diri sendiri betul!"

Sufi mendengus geram. Kepala menunduk memandang telefonnya. Kerana telefon inilah dia ingat lelaki itu penjahat.

"Aku kena lebih berhati-hati selepas ni."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro