2 Kerja

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Abang," Bisik Aisyah. Terasa ini satu tempat yang asing. Lalu dia berpaling ke arah suaminya. Sisi profil wajah Salman Firash diterangi lampu-lampu jalan yang membelah kegelapan malam. Mata hitam itu khusyuk pada pemanduan.

Sebaik sahaja selesai menyiapkan anak-anak mereka di kamar tidur rumah mertua, pasangan itu langsung menghidupkan enjin kereta buat makan malam seperti yang dijanjikan.

"Ya, sayang."

"Kita nak ke mana ni?"

"Dating." Sebuah senyuman manis dibalas Salman. Terlihat lekukan mata yang seolah-olah turut tersenyum sekali.

Aisyah Qomar mengherotkan bibir. Itu tidaklah menjawab pertanyaannya. Tingkap pendingin hawa kereta di sebelahnya ditolak ke bawah agar tertutup. Dia sudah beku di tempat duduk kiri kereta.

"Abang, Najla macam mana? Zack ada kata apa-apa ke?" Teringat pula perihal kawan baiknya yang masih tiada khabar. Aisyah agak khuatirkan kandungan Najla yang hampir tiba di penghujung purnama. Bila-bila masa sahaja wanita kesayangan Zack berkenaan akan bersalinkan seorang puteri.

"Doktor kata takda apa pun... Tak kena warded. Ada darah sikit keluar... Mungkin sebab terlampau banyak buat aktiviti," bilang Salman. Pacuan Hondanya memasuki simpang terakhir.

"Mesti Zack cemas semacam. Dia dah lah sayang Najla sangat-sangat."

Salman yang mendengar sekadar menyepikan diri. Aisyah pernah keguguran di awal trisemester di kala dia sedang demam panas. Zack jua menghulurkan bantuan bagi membawa isterinya ke hospital. Sungguh terasa maruah lelakinya tercalar kerana tidak mampu berbuat apa-apa ketika pengarang jantung sendiri kesakitan. Kisah itu acap kali terlayar dalam ingatan.

Lalu Salman membalas, "Abang lagi risau kalau jadi apa-apa dekat awak. Awak nyawa abang."

"Betul ke ni?" Ayat manis sang suami mengundang senyuman. Hati Aisyah berbunga-bunga dalam samar kegelapan. Di sebalik wajah beku lelaki berkenaan, ada tersimpan sejuta kasih dan cinta. Bukan senang hendak pendengarkan kalimah cinta kerana lelaki itu teramat pemalu.

"Apa jenis darah awak?" Salman bertanya. Tiba-tiba sahaja soalan di luar kotak terlintas.

Kening Aisyah berkerut hairan. "A positif."

"Darah abang O. Kalau jadi apa-apa pada awak... Abang boleh derma darah abang. Jadi jangan risau. Abang ada sahaja dekat sini." Sempat mata dikenyitkan sebelah. Salman tersenyum bak seorang pelindung yang berani berkorban apa sahaja.

Ketawa kecil Aisyah kedengaran. Ayat berlagak Salman Firash terasa lucu padanya. Acah-acah mahu jadi hero drama pula. "Apa je boleh jadi dekat Aisyah..."

"Mungkin pendarahan waktu nak lahirkan anak ketiga kita..."

Membulat mata Aisyah. Ketam batu pun mencapai kulit pada rusuk muda Salman.

"Aw... Kenapa cubit abang?" Sakit cubitan jemari runcing Aisyah Qomar menjalar ke segenap abdomen. Lelaki itu segera mengusap bekas cubitan.

"Abang miang." Wanita yang bertudung litup itu menjeling tajam.

Salman tersenyum kecil. Terhibur dengan gelagat Aisyah yang garang umpama singa. Tayar kereta mula memasuki perkarangan kawasan sebuah resort.

"Abang... Kita dekat mana ni?"

"Resort."

"Nak buat apa?"

Seraya dengan soalan itu, tangan lelaki berkenaan lincah mengeluarkan sesuatu daripada saku seluar jeans. Kad plastik yang berupa kunci kepada bilik tempahan The Haven Hotel Resort  ditayangkan Salman ke udara.

Samar-samar, Aisyah termenung sesaat dua. Mengapa suaminya memegang kunci kamar hotel?

"Abang tempah bilik?" Aisyah jadi terkedu. Mati-matian dia ingat bahawa mereka akan menyantap makan malam di warung tepi jalan.

"Abang baru dapat gaji semalam. Tak tahu nak buat apa dengan duit... Abang pun tempah bilik yang sekali pakej dengan makan malam." Salman mengusap belakang tengkuknya setelah mematikan enjin kereta. Pacuan berwarna biru gelap itu terparkir di kawasan yang disediakan buat pengunjung.

Sejumlah gaji sebagai pekerja di kedai telefon mahu dibelanja Salman pada perkara yang membahagiakan insan tersayang.

"Tak perlu pun bazir duit macam ni..." balas Aisyah Qomar. Dia dijerut serba salah. "Kita makan biasa-biasa pun saya dah hargai sangat-sangat."

"Mana ada membazir. Rezeki abang memang untuk anak bini abang. Sikit pun abang tak kisah. Lagi pun kita jarang keluar makan macam ni... Apa salahnya abang nak hadiahkan pada isteri tercinta?" Dipandang retina hazel milik sang isteri.

"Abang cintakan saya?"

Sudah tahu, lagi mahu ditanya. Salman menggeleng perlahan. Matanya langsung tidak teralih seinchi daripada terus menatapi wajah bersih itu.

"Aisyah. Semua tahu saya cintakan awak. Semua tahu saya bahagia dengan awak..." Jarinya menekan butang kunci tali pinggang kaledar Aisyah. Dijongketkan sebelah kening tanda ajakan untuk menapak keluar kereta.

Rangkulan lengan dieratkan. Padanlah bayu dingin membaluti pasangan itu. Mereka saling berpandangan ketika menyusun langkah ke lobi utama yang tersergam di sebalik dinding kaca. "Seronok juga makan malam sekali sekala. Kalau tahu... Saya tak pakai baju macam ni tau."

"Sayang, awak pakai apa-apa pun cantik di mata abang," bilang Salman.

Blouse labuh dan seluar palazzo dikenakan Aisyah Qomar. Ala kadar sahaja kerana sungguh Salman tidak mengkhabarkan hendak ke mana. Lelaki itu pun berpakaian biasa. Seluar jeans dan t-shirt kosong yang tersarung pada badan bidangnya.

"Kita tidur sini ke malam ni?" Sepertinya Salman sudah ke sini siang tadi. Laju sahaja kaki melangkah ke arah lift di lobi. Agak mewah juga hiasan resort itu. Reka bentuk binaannya pun tersergam indah. Aisyah tidak meghiraukan suasana di sekitar. Wajah suaminya lebih menarik berbanding menilik infrastruktur bangunan.

"Sudah tentu. Abang dah tempah satu malam." Hujung telunjuk Salman menekan punat tutup. Kotak lift yang hanya dinaiki mereka berdua teralih ke aras yang dikehendaki.

Rangkulan lengan kekar Salman diperkemaskan wanita itu. "Anak-anak macam mana?"

"Abang dah melutut dekat mama siang tadi... Minta jagakan anak-anak. Orang nak dating kot malam ni."

"Miang," kata Aisyah. Kali ini nadanya tidak segarang di dalam kereta. Lelaki beku itu amat dicintai seorang Aisyah Qomar. Daripada sisi profil, terlihat sifat pelindung Salman. Daripada sudut yang sama juga terpahat gaya seorang suami dan bapa mithali. Semuanya lengkap menjadi satu figura sempurna buat Aisyah jatuh cinta berkali-kali.

***

Bunyi serangga silih berganti membentuk irama merdu. Di ketinggian aras lima, mereka disajikan dengan pemandangan tasik semula jadi. Balkoni kamar tidur telah dilengkapkan pihak resort dengan pakej candle light dinner.

Lilin cawan menyala di sekeliling dan juga di kamar beradu sana. Semerbak haruman mawar merah memikat deria bau. Seluas-luas bilik ini hanyalah untuk mereka berdua. Katil bersaiz King dihiasi beberapa kuntum mawar merah, yang bakal menjadi tempat berisitirehat.

"Abang masih ingat lagi ilmu pergigian? Waktu dekat universiti kan abang antara pelajar top." Aisyah meningkat dagu, sambil mata yang tidak lepas daripada terus memandang raut maskulin milik Salman Firash.

"Gigi?" Salman memotong hidangan daging kambingnya kepada cebisan kecil. Daun rosemary dikuis ke tepi satu per satu. Walaupun sudah lama meninggalkan medan belajar, ilmu pergigian masih terpahat di dadanya kerana itulah salah satu perkara yang amat diminati. Namun, takdir hidup membawa dia ke sebuah tragedi yang akhirnya menggantungkan gelaran pelajar pergigian. "Abang ingat sahaja. Nak-nak lagi sekarang kita ada anak kecil. Hari-hari abang analisis gigi dorang."

Bibir Aisyah direnggangkan tatkala Salman menyuap hirisan daging kambing perapan lada hitam. Sungguh empuk dan berjus.

"Betul ke pelajar pergigian ni dorang bila bercakap tak tengok muka. Tapi dorang tengok gigi..." tanya Aisyah. Dia menikmati makan malam itu tanpa memegang sudu dan garfu. Semuanya Salman suapkan atas kehendak sendiri. Di sini, jiwa wanitanya terbelai.

"Abang memang macam tu pun. Dan abang suka tengok gigi Doktor Aisyah. Cantik tersusun." Sempat kata-kata pujian diberikan. Gigi Aisyah yang tersusun rapi tanpa jarak adalah kegemaran Salman. Dalam jiwanya masih ada minat terhadap hal-hal berkaitan gigi.

"Saya pula suka tengok abang. Semua yang ada pada abang sempurna pada saya." Atmosfera romantik makan malam itu membaluti jiwa. Kelopak mawar ros bertaburan di sekeliling meja. Matanya bercahaya, terus disuapkan makanan seperti anak kecil. Sudah tidak teringat tiga orang kanak-kanak di rumah ibu bapa mereka.

"Aisyah... Abang ada satu permintaan."

"Apa? Cakaplah pada Aisyah." Simpulan senyuman dipamerkan wanita itu.

Salman meletakkan sudu dan garfu. Kelihatan ada sesuatu yang sarat di kalbu. Selagi tidak diluah, selagi itu jiwa seorang suaminya tidak tenang. "Tapi... Abang tak tahu sejauh mana Aisyah akan tunaikan."

"Cakaplah abang. Aisyah sanggup buat apa sahaja untuk abang. Abang nak anak lagi ya?" tebak Aisyah Qomar. Manalah tahu yang Salman inginkan zuriat baharu.

"Bukan hal tu." Nafi Salman Firash.

"Abang nak kahwin lagi?" Tebakan kedua. Agak jauh ke tepi, namun tidak mustahil untuk seorang lelaki yang masih mempunyai tiga kuota kosong.

"Bukan. Aisyah seorang dah cukup untuk abang."

"Jadi... Apa, abang? Ceritalah pada Aisyah."

Kekura tangan sang isteri dielus Salman. Dia memenungkan tangan kecil itu. Hendak diluah, takut tidak sehaluan. Hendak disimpan, rasanya tidak tertahan lagi. Maka, nafas dalam ditarik.

"Abang tahu menjadi seorang doktor itu ialah kerjaya impian Aisyah. Tapi sebagai seorang suami... Abang sangat berharap aisyah boleh jadi suri rumah sepenuh masa. Yang boleh tunggu abang depan pintu rumah... yang boleh masakkan makan tengah hari setiap hari..."

Bagaikan sembilu menusuk ke hati. Aisyah berasa perit menerima komen pada kekurangan diri. Hati perempuannya terkesima. Apa yang dikatakan Salman Firash benar belaka. Dia kurang pada sudut itu atas kesibukan kerja.

Salman mengelus kulit kekura Aisyah dengan lembut. "Yang boleh jaga anak-anak abang tanpa perlu hantar pada pengasuh. Yang layan abang sepenuhnya..."

"Abang, Aisyah tak boleh berhenti kerja."   Titik. Keputusan Aisyah adalah jitu dan muktamad.

"Tapi kenapa? Abang boleh sahaja tanggung nafkah dan perbelanjaan rumah dengan gaji abang." Salman tidak berpuas hati. Suaranya masih lembut memujuk, berdoa agar Aisyah dapat dilenturkan jua.

"Gaji abang tak besar. Kita ada dua biji kereta nak bayar bulanan. Sebuah rumah... Tiga orang anak nak tanggung..."

Bertubi pula kalimah pahit dipaksa tuk telan. Salman tersenyum sumbing. "Abang sedar Aisyah, dalam soal tu ada sebahagian guna duit gaji Aisyah. Aisyah halalkan yang mana abang tak mampu nak bayar waktu kesempitan. Tapi sekarang ni abang kira-kira, abang mampu bayar semua tu."

"Abang, izinkan Aisyah kerja." Aisyah memegang tangan suaminya. Soal kerja adalah perkara yang teramat mustahak. Dia selaku doktor tetap di hospital kerajaan menentang untuk diberhentikan kerja setelah menjawat jawatan tetap. Tak cukup dengan itu terkadang masa lapang digunakan sebagai doktor sambilan di klinik swasta.

"Abang nak Aisyah jadi suri rumah sepenuh masa abang." Mendatar suara seorang suami kedengaran.

"Maaf, Aisyah tak dapat tunaikan." Wanita itu menggeleng kiri dan kanan. Hidangan yang masih berbaki beberapa suap menjadi saksi kedinginan hubungan malam itu. Sepatutnya ini menjadi malam yang indah tetapi sebaliknya pula bakal berlaku.

Berpasir mulut Salman Firash. "Aisyah sayangkan kerja daripada abang?"

"Ini bukan soal sayang kerja. Tapi Aisyah tak nak kita kesempitan dalam soal kewangan. Banyak perbelanjaan menanti... Nak-nak lagi kalau kita rancang nak tambah anak... Aisyah kerja pun sebab abang dan anak-anak."

Sudahnya hati Salman tersakiti. Dia yang seharusnya berhempas pulas demi keluarga. Sanggup dibuat dua tiga kerja demi menampung perbelanjaan kecil mereka. Hanya satu yang dipinta, dia mahukan Aisyah sentiasa di sisi. "Aisyah percaya pada rezeki Tuhan?"

"Abang, Aisyah tak nak bergaduh dengan abang sebab ni."

"Abang... Nak pergi ambil angin luar." Kata putus Salman menjadi noktah perbualan. Lelaki itu bingkas berdiri meninggalkan sang isteri sendirian di balkoni yang dibentangkan tasik indah sebagai pemandangan.

Aisyah pun berpaling ke arah bertentangan. Dipejam kelopak matanya, sebutir mutiara jatuh berlinangan. Betapa sakit berada dalam pergelutan. Dia memeluk tubuh erat. Langkah Salman semakin menjauh.

Angin bertiupan membelai selendang di kepala. Sejuk rasanya menampar lelehan tangis.

Ting ting ting

Ting ting ting

Loceng di luar bilik memanggil Salman yang baru bercadang hendak menenangkan diri. Tanpa usul periksa, lelaki itu langsung membuka daun pintu. Mahu dilihat siapa pula yang menekan loceng di tengah malam buta.

Di balkoni, Aisyah Qomar mengesat segala air mata.

"Ya, ada apa?" Salman menjenguk di muka pintu. Kelihatan beberapa orang lelaki dan wanita berpakaian serba hitam menantinya. Yakin itu bukanlah pekerja hotel.

"Kami daripada jabatan agama islam." Salah seorang dari mereka memperkenalkan diri.

Salman berkerut kehairanan.

***
Sedutan episod akan datang...

"Duduk diam belakang abang. Dorang orang jahat."

***

Please vote like utk support sekuel 3 ni okayhh

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro