5 Takut

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Seketika daun pintu dikuak, wajah pucat lesi Salman menyapa. Zack mengusap belakang leher tidak mengerti. Dia melangkah ke luar lalu mengatup pintu utama kembali.

Belum sempat menoleh ke arah Salman, sahabatnya menanyakan soalan cepumas. "Kau keluar rumah siang tadi?"

"Aku... Beli barang rumah..." jawab Zack teragak-agak. Nyata dia tidak berani memandang wajah berang Salman ketika itu. Bunyi riang-riang dari kiri dan kanan rumah mengisi benak sepi.

Dingin tidak berdarah, Salman menyilangkan tangan ke dada. "Apa kau tak pernah ambil nasihat aku secara serius?"

"Sekejap, Man. Kenapa ni... Tengah-tengah malam datang serbu aku. Ada benda jadi? Aku okay je sekarang ni. Tengok badan aku, tak ada pun yang terluka kalau setakat keluar satu jam siang tadi." Zack tersenyum nipis. Dia tahu perbuatan siang tadi adalah salah, namun tak perlulah diambil serius.

Sebuah telefon pintar dikeluarkan dari saku seluar Salman Firash. Video viral berdurasi 60 saat telah membawa dia ke sini sepantas kilat bagi memastikan keadaan Zack baik-baik sahaja. Sungguh, jantung Salman tidak berhenti berdenyut sejak tadi.

"Apa ni?" Zack terkejut dengan huluran gadjet berkenaan. Ibu jarinya menyentuh skrin sesentuh lalu termainlah suatu rakaman. Kanta matanya terpaku. Bunyi hiruk pikuk orang ramai pada siang tadi mengetuk kotak memori.

"Aku dah kata jangan tunjuk diri kau dekat orang ramai! Kau tahu tak tindakan kau ni akan buat Mat Shah sedar yang kau masih hidup. Sekarang, berapa juta orang dah tengok video kau siang tadi? Kau tak rasa Mat Shah akan nampak juga? Zack, tolong... Tolong jangan buat macam ni lagi," kesal Salman yang akhirnya memecahkan bengang. Kesunyian malam itu melantunkan suaranya jelas ke sang pendengar. Ada marah, ada juga terselit kebimbangan tidak terhingga.

"Aku terpaksa, Man. Budak tu nak kena langgar..." Perlahan suara Zack membalas. Mungkin dia ditakdirkan ke sana petang itu semata-mata untuk menyelamatkan nyawa seorang anak kecil yang tidak berdosa.

"Aku tak tahu la Zack." Salman menghela nafas kesal. Fikirannya benar-benar serabut tika itu. Langkah diatur ke tempat duduk di sebelah rak kasut. Akhirnya lelaki itu berlabuh di situ sedang matanya jauh menembusi pagar rumah di bawah cahaya lampu kalimantang.

Apakah nasib mereka di kemudian hari?

Tak siapa tahu.

"Kau rasa Mat Shah akan sedar tentang ni?" Zack menjatuhkan pandangan. Penumbuk digenggam erat hingga tersembul urat hijau pada kekura tangan

"Ya. Dia ada banyak mata-mata." Nada Salman mendatar.

Mata dipejamkan Zack kedua-duanya. Salman buntu, apatah lagi dia di sini. "Apa yang patut aku buat sekarang ni?"

Dikerling wajah sahabat dunia akhiratnya. "Hantar Najla dan Naufal ke tempat selamat. Kita tak tahu apa akan jadi esok lusa."

"Tapi... Bini aku dah nak dekat tarikh bersalin. Aku tak nak letak dia jauh-jauh dari aku." Betapa sarat hati pada pilihan yang ada.

"Kita terpaksa. Entah berapa banyak masa yang tinggal sebelum Mat Shah sedar tentang kau. Aku harap esok masih selamat," bilang Salman. Keselamatan keluarga adalah keutamaan mereka ketika itu.

Andai mereka mengetahui tentang keluarga Zack, tak mustahil nyawa Naufal dan Najla berada di hujung tanduk. Lelaki tak berperi kemanusiaan seperti Mat Shah sanggup melakukan apa sahaja asalkan identiti rahsianya tidak diketahui pihak polis.

Lutut pun jatuh mencium lantai. Zack  terduduk. "Aku memang bodoh kan , Man?"

"Kenapa cakap macam tu?"

Nasi sudah menjadi bubur.

"Sebab tak dengar cakap kau."

Salman Firash menarik nafas panjang. "Jujurnya, kalau boleh aku nak bunuh kau malam ni juga. Tapi kalau kau tak ada... siapa je yang hari-hari akan tanya khabar aku kalau bukan kau? Siapa yang akan ambil Ahmad balik sekolah masa aku sibuk... Aku cuma percayakan kau seorang. Sudahlah, Zack. Benda dah jadi..." Dia cuba mengukir sebuah senyuman nipis.

"Aku minta maaf..."

"Jangan risau. Aku akan jaga kau walau apa pun yang terjadi."

"Walaupun kau mati?" Cerlungan tajam menikam pula. Ah, bukannya tidak pernah Salman menabur kata janji begini. Alih-alih si gila itu akan membuat apa sahaja termasuklah mengorbankan nyawa sendiri.

Pernah sekali dalam cubaan meloloskan diri. Salman telah memengsankan Zack gara-gara tak mahu melibatkan Zack ketika berhadapan dengan Mat Shah.

Zack tidak mahu itu terjadi sekali lagi. Dia hampir hilang separuh nyawa ketika menerima berita kematian Salman.

"Mungkin bukan untuk kali ni. Nyawa aku... Penting untuk Aisyah, Ahmad, Jannah dan Firdaus. Jadi aku akan jaga diri sebaik mungkin juga," Salman membalas berserta senyuman nipis yang sama. Tangan kanan dihulurkan kepada sahabatnya yang terduduk di lantai.

Zack bangkit dengan lemah. Lututnya tidak kuat. Dia begitu takut tatkala terbayangkan Mat Shah dan konconya. Dipandang Salman, figura seorang abang pada diri itu. "Terima kasih, Salman."

"Jom, aku hantarkan keluarga kau ke tempat selamat. Malam ni juga."

"Kereta aku?"

"Biarkan."

"Kau nak bawa aku ke mana?"

"Ke rumah aku." Salman memutuskan tempat persembunyian buat sementara waktu. Dia tidaklah sekejam mana mahu memisahkan Zack dan Najla yang sarat hamil.

"Rumah kau selamat ke?"

"Tak pasti. Tapi itu lebih baik sebab berita kematian aku masih valid. Lagipun hotel atau mana-mana tempat sewa agak merbahaya. Andai Mat Shah akses kesemua data pelanggan, dengan mudah mereka dapat kesan penyewa. Jadi buat masa ini... Kau tinggal dengan aku. Kita tak boleh berpisah Zack. Perpisahan itu yang akan buatkan kita lemah."

"Baik, Man. Aku ikut cakap kau kali ni... Sekejap... Aku dapatkan Naufal dan Najla. "

***

"Tak bawa bekal isteri hari ni?" Angin membawa suara seorang lelaki kepadanya. Dia yang melangkah keluar melalui pintu belakang kedai komputer, tempat kerjanya berkelakuan tenang.

"Dah setuju untuk lunch dengan aku?" balas suara berkenaan walhal Salman Firash mengunci kedua-dua ulas bibir. Sebelum tiba ke tempat kerja, pagi tadi dia menerima sebuah panggilan. Yakin suara di corong telefon dan suara yang ada di hadapan ini adalah suara yang sama.

Seteguk air perahan jus lemon diambil lelaki berpakaian serba gelap yang setentang dengannya. Jaket kulit, cermin mata gelap jenama Rayban dan kumis nipis di atas bibir.

Betapa ketat wajah Salman terhidang, memerhatikan tindak tanduk lelaki berkenaan. Tiada air yang mampu menyejukkan panas di hati. Di atas meja terdapat dua gelas air buahan, ia tidak disentuh Salman Firash. Hadirnya dia ke kafe itu semata-mata untuk mendapatkan jawapan kepada panggilan misteri pagi tadi.

"Salman Firash... Bekas anak buah Mat Shah. Posisi kau sebagai apa dalam kumpulan?" Lelaki berbangsa cina itu meletakkan gelas ke atas meja kaca hitam. Daripada luaran, dapat dijangka Salman tidak akan bersetuju. Arahan sudah dikeluarkan pihak atasan, mahu tidak mahu dia akan memaksa Salman untuk menurut.

"Kau nak apa?" Lontaran soalan maut bermula. Silap hari bulan, penumbuk sulung Salman akan menjemput wajah lelaki asing berkenaan. Dia masih cuba bertenang. Pantang disebut nama Mat Shah, bergeledak darah di pembuluh. Urat pelipisnya naik tersembul di kulit.

"Aku polis."

Papp

ID polis diletak ke meja. Polis berpangkat inspektor itu cuba melengahkan masa agar mereka mampu berbincang.

"Aku tak nak bekerjasama dengan pihak polis." Jelingan tajam Salman menikam mata Inspektor Chow tanpa segan silu. Mata hitam itu seperti sedia membunuh sesiapa sahaja yang berani mengungkit sejarah silam yang sudah lama terkubur. Dia bersumpah tidak akan teragak-agak mengancam nyawa mereka yang menjadi musuh.

"Terserah pada kau. Tapi jangan kata aku tak ingatkan... Yang mereka sedang sasarkan Zack!"

Berdesup tikaman menghiris hati. Salman terkelu seribu bahasa.

"Merepek." Sepatah dijawab. Dia tidak akan mudah tertipu dengan taktik bodoh sebegini. Mana mungkin rahsia mereka sudah diketahui. Mustahil!

Semua tahu bahawa dia dan Zack telah mati.

Salman, mati ditembak Mat Shah.
Zack, mati dalam sebuah kemalangan.

Perancangan sempurna mereka ini bertahan bertahun-tahun lamanya. Mereka sudah memulakan kehidupan baharu dengan gadis pilihan masing-masing. Dunia kecil tersendiri, sambil mengecapi kebahagian sebagai seorang lelaki. Lelaki yang punya isteri solehah dan zuriat penyejuk mata.

Degupan jantung menjadi kencang. Salman cuba menafikan kenyataan itu dengan akal logiknya.

"Mungkin Mat Shah tak tahu kau masih hidup... Tapi Mat Shah tahu yang Zack masih hidup. Sekelip mata kehidupan kawan baik kau boleh musnah.. Sekelip mata." Inspektor Chow menyilangkan kaki. Jarinya sedang bermain dengan penyedut minuman pada gelas.

"Kau saja reka cerita, bukan? Supaya aku jadi kambing hitam polis." Hambur Salman. Vermilionnya naik membentuk senyuman tidak puas hati.

"Up to you."

Tidak semena-mena meja dihentam dengan buku lima Salman. Inspektor Chow berlagak tenang. Gelas airnya dipegang, takut tertumpah seperti nasib gelas jus buahan yang lagi satu.

Salman jadi bengang. Kaki bertindak membuka langkah besar tanpa menghiraukan mata-mata yang sedang memandang. Yakin kedatangan Inspektor Chow tidak bersendiri. Pelanggan kafe yang lain ini pun seolah-olah polis penyamar, yang menyasarkannya mulai saat itu.

Lelaki tinggi lampai berkenaan menghumbankan diri ke dalam perut kereta Hondanya. Dia sedang kusut. Bahkan nalurinya berasa tidak sedap. Enjin kereta dihidupkan dengan sekali pusingan kunci. Berderum bunyi tekanan pedal minyak.

Apakah episod bahagianya akan berakhir berganti duka?

Dia punya anak dan isteri. Begitu jua Zack. Khabaran kedatangan Mat Shah tidak boleh dibawa bergurau. Ada nyawa yang akan menjadi taruhan.

Wajah-wajah insan tersayang saling berganti.

Sesuatu perlu dilakukan.

***

"Saya nak minta kerja separuh hari mulai hari ni." Salman berkata setelah menekan pilihan loud speaker telefon pintarnya. Tidak terjumpa pula earphone wireless yang baharu dibeli. Barangkali Ahmad telah mengambil diam-diam.

"Betul ke ni?" Kedengaran balasan majikan dalam keadaan ragu-ragu. Siapa sahaja tak hairan, Salman punyalah beria nak overtime semalam. Hari ini minta half-dah pula.

"Ya."

Tayar kereta terhenti tatkala brek tangan ditarik. Dia mematikan panggilan telefon lantas menapak laju ke pintu rumah. Dipandang kiri, kanan, depan, belakang. Tiada yang mencurigakan.

Makna kata, selamat.

Salman menyusun langkah ke dalam rumahnya. Tak dinafikan rumah ini dibeli dengan menggunakan loan bank atas nama Aisyah Qomar. Tetapi bulanannya, Salman jua yang bayar. Tugas seorang suami, menyediakan sebuah kediaman yang selamat tuk berehat.

Suara riuh kanak-kanak bermain ketika melintasi bilik Ahmad naik ke atmosfera. Di atas lantai yang dipagari pula terletak si kembar, tak betah duduk berkurung. Firdaus dan Jannah berpaut pada pagar mahu berdiri. Naufal ada di samping, menjadi pengikut Ahmad.

Salman Firash tersenyum kecil .

"Abang." Suara sang isteri memanggil.

Pandangannya teralih.

"Awal abang balik hari ni?" Aisyah Qomar berkerut sedikit. Jam dinding menunjukkan angka sebelas.

"Awak tak pergi kerja hari ni?" Salman pun hairan juga melihat isterinya terpacak di tengah laman rumah.

"Alang-alang abang balik awal, saya ada nak tunjuk sesuatu." Wanita itu menggulung senyuman. Lengan suaminya dipaut lembut.

Tiba di bilik utama, kamar mereka berdua, Aisyah Qomar mengeluarkan satu pucuk surat dari laci meja solek pula.

Diam Salman membuka bentangan kertas berkenaan. Punggungnya berlabuh dibirai katil sementara Aisyah utuh berdiri tidak sabar mahu melihat reaksi suami kesayangan.

Notis berhenti kerja.

Jiwa seorang suami itu terkelu. Cepat-cepat mahukan kepastian sang isteri. "Aisyah berhenti kerja?"

"Ya."

"Kenapa?"

"Sebab abang rindu saya."

"Bila pula," nafi Salman. Ingin ketawa namun ditahan.

"Kalau tak rindu, saya pergi sambung kerja balik," respons Aisyah secara ringkas.

"Eh, janganlah... Ish. Duduk sini dulu." Lengan isterinya ditarik segera, biar papan punggung berlabuh di atas ribanya lalu dia mengetepikan surat itu. Fokusnya hanya pada sang isteri.

"Terima kasih, sayang," ujar Salman yang tersenyum nipis. Bibirnya itu melakar gembira di kala sebahagian hati masih bimbangkan hari mendatang.

"Abang tak gembira?"

"Gembira." Jeda. Anak matanya dibawa menembusi lantai bilik, di mana asyik ditekur. "Cuma.. abang takut kehilangan semua yang abang ada sekarang ni. Abang ada Aisyah, anak-anak, dan Zack."

Aisyah Qomar mengangguk faham. Tangannya menyulam dengan jari jemari  Salman sambil sang ibu jari mengelus ibu jari suaminya. Kuku Salman sudah memanjang, sedarnya. Aisyah sedar dia amat sibuk di klinik, hinggakan Salman sedikit terabai. "Dunia memang macam tu. Tak ada apa yang kekal. Kalau abang sedih, sedih abang akan hilang suatu hari nanti. Kalau abang gembira pun, gembira abang akan hilang. Kita duduk dalam dunia yang sementara dengan nikmat yang sementara."

"Abang tak suka."

"Abang tak suka Aisyah?" soal Aisyah kembali.

Salman menggeleng perlahan. Diam lelaki itu difahami Aisyah sendiri. Dua tubuh berkenaan kekal berpelukan buat seketika. Kesunyiaan yang dipinta membiarkan detik berlalu hingga tenteram hati yang dahulu resah dan keliru.

***
.

vote x komen!!

.
Jom kita marathon tulis Untuk ke Syurga 3 sbb author cuti hehe


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro