10 | Runner

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Satu keluhan terbit di bibir Salman.

"Takpelah kalau Ain sibuk. Abang pun tak nak kacau Ain belajar." Panggilan itu dimatikannya setelah tak sampai lima minit berhubung. Stereng kereta berlogo 'H' di hadapannya ini dipandang sepi. Jarinya mengetuk-ngetuk stereng berkulit itu.

Sudah siap mandi awal pagi, tiba-tiba sahaja Farah Ain membatalkan janji temu mereka dengan alasan kelas. Tak habis-habis alasan yang sama digunakan tiap kali dia mengajak keluar. Dia cuma ingin mengenali gadis itu dengan lebih dan seriuskan perhubungan mereka.

"Hari Ahad pun ada kelas?" Salman tersenyum sungging. Entah-entah keluar dengan lelaki lain.

Kerdipan lampu LED telefon pintarnya membuatkan dia mengambil telefon itu. Notifikasi mesej daripada Zack dipandangnya. Terus vermillion bibirnya terjungkit sedikit.

Salman tergumam sendiri sambil membalas kembali mesej itu.

Tak lama selepas itu, satu lagi mesej masuk. Jarinya pantas mengetik peti perbualan.

Doktor Aisyah

Assalamualaikum. Salman, awak kerja ke hari ni? Saya ingat nak tengok Ahmad dekat rumah kebajikan tu. Awak nak pergi sekali?

Waalaikumsalam.
Tak kerja pun. Boleh juga.

Awak nak naik kereta sendiri ke saya ambilkan?
Mana tahu kawan awak nak guna kereta tu...

Dia tak guna pun. Takpe, saya je la jemput doktor. Kita nak pergi satu tempat lagi pun.

Okay.
[Doktor Aisyah sent a location]

Kerelaan Salman untuk menjemput gadis itu membuatkan dia sedikit kesal. Lokasi itu diamati lama selok beloknya dari rumah flat setinggan yang dia diami ini. Boleh tahan jauh juga. Kira-kira 45 minit jarak perjalanan.

"Takpelah Salman. Doktor tu pun dah banyak tolong kau. Tak salah pun habiskan minyak kereta sikit," omel lelaki itu sambil membetulkan rambutnya lalu menyarungkan sepasang cermin mata hitam. Kulit sawo matangnya padan dengan cermin mata itu menyerlahkan lagi aura maskulinnya.

Kereta Honda mula membelah jalan raya kota. Dia hampir terlupa satu benda penting mengenai ibu bapa Ahmad dan perkaitan dengan diri dia sendiri. Sampai sekarang ini, kanak-kanak itu masih memanggil dia dengan panggilan 'ayah' dan tak suka berenggang dengannya. Salman mengusap dagu sendiri sambil sebelah tangan mengawal stereng kereta.

Nak upah orang untuk siasat, lebih baik serahkan pada pihak polis. Mungkin jika dia lihat wajah ibu bapa Ahmad, dia akan jumpa jawapan yang dicari.

***

"Nak pergi mana?"

Aisyah terhenti langkahnya di hadapan muka pintu apabila dipanggil Mikhail dari belakang.

"Aisyah nak tengok pesakit Aisyah," jawab bibir munggil itu. Abang sulungnya melangkah mendekati dan kini betul-betul berdiri tegak di hadapan.

"Oh, baru along nak ajak Aisyah pergi rumah anak yatim Al-Iman tempat yang Fadzli selalu datang. Boleh kita rancang sumbangan untuk rumah tu," ujar Mikhail.

"Fadzli? Rajin pula dia pergi rumah anak yatim," sedikit pun Aisyah tidak menunjukkan minatnya terhadap doktor lelaki itu. Matanya terguling ke atas secara sendiri.

Reaksi Aisyah membuatkan Mikhail tertawa. "Kenapa Aisyah tak suka dia? Hm?"

"Along, dia tu gatal. Dia pegang tangan Aisyah tahu tak? Kalau along nak berkawan dengan dia, jangan libatkan Aisyah." Geram betul gadis itu.

"Ya-ya. Nanti along tegur dia."

"Along jangan terfikir ya nak jodohkan Aisyah dengan lelaki tu," awal-awal lagi Aisyah sudah dapat meneka buah fikiran abangnya ini.

"Kenapa tidak adikku? Aisyah pun bukan ada kenalan lelaki ramai sangat." Kepala Aisyah yang berbalut selendang kelabu itu diusap Mikhael. Lelaki itu hanya tersenyum melihat kedegilan adik perempuannya.

"Aisyah tak suka dia, long."

"Takpelah tak suka pun, nanti ada masa jomlah ikut along pergi rumah anak yatim tu. Hari ni along nak pergi ke sana dengan Fadzli," tuturnya.

Aisyah Qomar mengeluh. "Aisyah pun nak pergi pusat kebajikan hari ni. Ingat tak baju kanak-kanak yang along kumpul tu? Baju tu untuk pesakit Aisyah. Sekarang ni dia ada dalam jagaan rumah kebajikan sementara polis selesaikan kes dia."

"Sorang je ke pergi?"

KRINGGG

Getaran telefon pintar Aisyah menghentikan perbualan mereka.

"Siapa tu?" Mikhail turut menyibuk untuk melihat paparan telefon. Gambar seorang lelaki tampil di skrin utama itu mengerutkan kening si abang.

"Dah sampai? Okay, saya datang," ujar Aisyah pada pemanggil. Setelah panggilan dimatikan, dia segera bersalaman dengan Mikhail.

"Eh, sekejap. Siapa dia tu?" Mikhail menahan Aisyah.

"Dia senior Aisyah dulu dekat universiti. Aisyah nak pergi melawat pesakit Aisyah dengan dia lah. Bye!" Honda biru tua itu telah terparkir di bahu jalan rumah banglo mereka. Tingkap gelap kereta itu menyukarkan Aisyah bagi melihat keberadaan Salman di dalam sana. Perlahan-lahan gadis itu melangkah dalam baju kurung cottonnya. Sempat dia membetulkan kedutan di baju itu sepanjang melintasi halaman rumah.

Gugup jantungnya terasa. Macam mana dia boleh menerima ajakan Salman begitu mudah seperti ini?

"Masuklah," ujar Salman. Cermin kereta itu dinaikkan semula oleh si pemandu yang berkaca mata hitam.

Aisyah diam di tempat duduknya. Dia memaniskan wajah di hadapan lelaki itu. Pendingin hawa kereta itu amat kuat hingga menyejukkan sesiapa sahaja yang berada di dalam.

"Maaf, lambat. Saya tak biasa dengan jalan dekat sini," Salman melepaskan gear kereta sambil melihat cermin sisi kereta. Dia hendak memastikan tiada kenderaan yang melintasi.

"Tak lambat pun, saya tengah bersembang-sembang dengan abang saya."

"Doktor ada abang?"

"Ada. Kami dua beradik je. Awak tak payah lah panggil saya doktor. Cukup panggil Aisyah. Kita kan dekat luar tempat kerja," balas Aisyah. Setiap kali Salman memanggil panggilan 'doktor', seakan ada jurang sosial di antara mereka berdua.

"Aisyah." Salman mengangguk kecil lalu membawa kereta itu memacu di jalan bertar.

Jahitan di bibir Salman menarik perhatian si gadis. Lama dia memerhatikan kesan jahitan yang masih baharu itu.

"Kenapa dengan bibir awak tu?"

"Kelmarin saya terlanggar penghadang jalan."

"Ya Allah, teruk ke?" Jelas riak risau di wajah Aisyah. Dia berpaling ke arah Salman.

Sepasang mata di sebalik kaca hitam itu hanya fokus pada pemanduannya. "Saya okay je cuma bumper depan tu kemek. Tapi dah tukar dah. Aisyah janganlah risau."

"Baguslah," lega sedikit hati kecil itu. Dia kembali bersandar pada kerusi dengan tenang.

Salman diam di sebelah doktor itu. Rasa prihatin yang diberikan tadi meninggalkan secebis rasa. Namun, dia mengabaikan kerana Farah Ain masih di hatinya buat masa ini. Dia tak mahu terpikat dengan mana-mana gadis yang cuba rapat dengannya.

"Awak tak kerja hari ni?" soal Aisyah.

"Em... Tak. Saya ingat nak berhenti kerja. Nak cari kerja yang elok sikit."

"Awak kerja apa sebenarnya?"

"Saya jadi runner je."

"Eh, kan elok kerja tu... Asalkan gaji berkat, Insya Allah semuanya akan cukup."

"Aisyah rasa macam tu ke? Yelah kan, macam Aisyah, Aisyah kerja doktor. Jauh beza dengan saya."

"Kenapa pula awak kata macam tu? Tak kisahlah apa pun pekerjaan yang kita buat, jika berkat, ikhlas kerana Allah, apa-apa pekerjaan pun tak menjadi masalah. Macam awak kerja runner, banyak pahala awak dapat sebab tolong orang buat macam-macam. Awak janganlah risau, " ujar doktor itu dengan mesra. Dia menyimpulkan senyuman manisnya kepada Salman agar lelaki itu senang dengannya.

Ayat-ayat Aisyah membuatkan lelaki itu terdiam. Dia perlahan-lahan menekan pedal brek di hentian lampu isyarat.

" Pada saya, semua manusia sama. Tak kira pangkat, harta... Kita hanyalah hamba Allah yang berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah." Gemersik suara itu menyentakkan hati Salman berkali-kali.

Salman memegang kejap stereng keretanya. Dia tersenyum nipis membalas kata-kata doktor itu. " Aisyah, kenapa awak ambil berat pasal Ahmad? "

" Dia budak-budak yang tak berdosa yang tak punyai sesiapa di sisi, salah ke untuk saya ambil berat?"

"Tak. Tak salah," jeda. Salman berfikir lama untuk menyambung perbicaraannya. Dia tidak mahu bertentangan mata dengan gadis di sebelahnya itu. "Kalaulah nanti saya tak boleh ambil dia sebagai anak angkat... Aisyah tengok-tengokkan dia, ya? " ujar Salman.

"Insya Allah," Aisyah mengangguk kecil. Sekali lagi Salman membahasakan doktor itu sebagai 'Aisyah', jantungnya berdetak laju. Aisyah mengetap bibir dan menekur tas tanggan di ribanya.

Salman segera memakai earpodnya tatkala nada dering telefon berbunyi. Matanya fokus pada pemanduan, Aisyah pula senyap di sisi.

"Ya. Belikan panadol? Kau ni... Aku ajak pergi klinik tak nak. Lepas tu merengek sakit gigi," tiba-tiba sahaja Salman mengeluh.

Aisyah memasang telinga sepanjang perbualan itu. Kadang-kadang dia menahan ketawa halusnya.

"Panadol tu sekadar penahan sakit bukan penyembuh. So kena tengok juga apa punca sakit tu dengan pergi rujuk doktor gigi. Kau ambil banyak mana pun panadol, tetap sakit la nanti," Salman membebel sepanjang Zack menelefon. Dia cukup geram dengan orang yang suka ambil lewa tentang penjagaan gigi walaupun hanya pernah belajar setahun di sekolah pergigian.

***

Pelukan di kakinya tak mahu dilepaskan walau petugas di situ terbongkok-bongkok memujuk anak kecil itu. Ahmad terus membatukan diri di kaki Salman. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangisan hingga seluar jeans yang tebal itu terasa basah.

Pandangan Salman dibalas Aisyah dengan senyuman. "Takpe, tidurkan dia dulu baru hantar saya."

Salman mengedipkan mata lalu dia menimang tubuh Ahmad. Tersebek-sebek Ahmad menangis kerana takut ditinggalkan lagi dan lagi. Dia tak mahu Salman hilang dari pandangannya. Petugas rumah kebajikan memberi ruang kepada Ahmad bagi melepaskan rindu meskipun dari pagi mereka berkampung di situ bagi luangkan masa bersama-sama.

"Tsk... Tsk..."

"Jangan menangis, dik. Ayah tak pergi mana-mana pun." Salman melihat wajah sayu itu. Hidungnya habis kemerahan. Bunyi alunan nafas yang tak menentu dapat dirasakan Salman.

"Ayah ti-tipu... Tsk.." Kedua-dua tangan kecil itu mengusap air mata sendiri. Hingus dan air mata silih berganti mengalir.

"Shh... Ayah ada." Tangan kasar lelaki itu naik mengesat air mata ikhlas di hadapannya. Tindakan itu diperhatikan Aisyah yang turut bersalah ingin tinggalkan Ahmad di rumah itu. Bagaimana pun, mereka tak mempunyai hak untuk menjaga Ahmad selagi mahkamah tidak putuskan.

Salman yang sedang berdiri masih mendukung tubuh Ahmad sambil mengusap belakangnya. Dia berjalan keluar beranda bagi mengambil angin luar. Di situ tangisan Ahmad semakin beransur reda.

Angin petang mengeringkan sisa tangisan di wajah suci itu dengan sekali tiupan. Baju tshirt yang dipakai Salman digenggam Ahmad erat kerana takut ditinggalkan lagi.

"Nanti bila ayah dah dapat kerja elok, ayah akan bawa adik pergi dari sini," bisik Salman di sebelah telinga Ahmad. Dia mencium pipi kanak-kanak itu. Kemudian, bibir itu berlabuh pula pada ubun-ubunnya.

Ahmad diam di dalam dakapan Salman. Apa yang dia tahu, lelaki yang sedang mendukungnya ini adalah ayahnya. Dia berasa selamat. Bukannya seperti berada dengan orang-orang asing di rumah kebajikan itu. Walau apa pun usaha pengasuh di situ, dia masih takut. Hati kecil itu takut dengan segalanya melainkan dengan wajah Salman.

Matanya makin lemah ingin minta ditutup. Akhirnya dengkuran halus kedengaran.

Salman terpacak berdiri di luar sambil melihat langit senja petang. Wajahnya tak beriak dari sisi pandangan Aisyah.

"Awak okay?"

Perlahan-lahan Salman menoleh.

"Tidur dah anak ayah," ujar Aisyah lagi. Dia tersenyum kecil.

Salman juga tersenyum nipis. "Esok lusa Aisyah datanglah sini lagi. Dia nampak ngam dengan Aisyah juga."

"Awak datang juga esok?" Aisyah berdiri di sebelah lelaki itu, berkongsi permandangan dan juga rasa yang sama. Hangat kasih sayang disalurkan kepada Ahmad yang kehausan.

"Saya tak boleh nak janji sebab ada kerja terakhir yang perlu saya uruskan. Kalau saya tak dapat datang, Aisyah datanglah. Sekurang-kurangnya dia ada wajah yang dia kenal dekat sini," ujar Salman. Betapa gembiranya wajah Ahmad saat terlihat mereka berdua di muka pintu utama.

" Hati-hati, walau apa pun kerja yang awak buat." Wajah Ahmad yang bersandar pada bahu Salman dielus Aisyah. Dia mula sayangkan Ahmad sebagaimana Salman. Pada awal perkenalan, rasa itu tiada pun. Namun, segalanya berubah dek masa. Hampir bermingu-minggu mereka berdua berhubungan bagi menguruskan si kecil ini.

* * *

Upcoming chapter :
"Takkan lah Salman ni pengedar dadah."

***

Dah seminggu lebih novel mendung diceritakan. Ini pula bab ke 10.

Jangan lupa vote dan komen. Jangan jadi silent reader pula.

Boost this novel with your comments. Kita akan tunggu untuk read novel ni hit 1000 reads. 🌻

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro