19| Firash

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Aisyah mengambil tempat di kerusi berhadapan doktor setengah abad itu. Dia menyimpulkan senyuman nipis apabila namanya dipanggil.

"Cik Aisyah dah tengok pesakit? Betul ke tu kawan cik?" soal doktor berkenaan.

Anggukan kecil diberikan Aisyah. Memang benar itu Salman Firash yang terlantar di atas katil dengan wajah pucatnya. Lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia menjenguk melalui bilahan dinding kaca.

"Sebab pihak kami memang takde apa-apa maklumat tentang lelaki tu untuk masuk ke dalam data hospital. "

"Boleh letak nama saya sebagai ahli keluarga terdekat. Saya akan tanggung semua kos perubatan dia," tutur Aisyah. Duit simpanannya cukup jika ingin menampung lelaki itu di hospital kerajaan sehingga sembuh kecederaannya.

"Okay, baiklah. Apa nama pesakit tu?" Doktor itu menantikan jawapan sebelum ingin menerangkan keadaan pesakit.

"Saya tak tahu nama penuh dia. Tapi nama dia Firash." Segala yang dikatakan Salman masih segar di ingatan Aisyah. Jangan panggil Salman tetapi panggil Firash. Mungkin ada sebab kukuh kenapa Salman menegah.

"Kami menerima mangsa dalam keadaan dia tak sedarkan diri dan kami diberitahu mangsa hampir lemas di sebuah sungai. Pertolongan cemas telah diberikan oleh orang yang menjumpainya. Dan mungkin disebabkan pertolongan tu, beberapa tulang rusuk dia patah." Sebuah skrin komputer di halakan ke arah Aisyah. Pengimejan resonans magnetik telah dilakukan kepada lelaki itu.

Dengan itu, Aisyah dapat menilai sendiri keadaan tisu lembut, saluran darah, serat saraf, tulang rawan, tulang dan organ dalaman. Tiada pneumothorax berlaku, mujurlah. Organ dalaman selamat daripada ditusuk tulang rusuk yang patah itu. Cuma berlaku kerosakan tisu dan pengumpalan darah di kawasan sekitar yang akan memakan masa dua bulan untuk sembuh.

"Firash juga ada kecederaan pada bahu dia. Kami dah buat pembedahan untuk keluarkan peluru. Pesakit mengalami kehilangan darah dan masih tidak sedarkan diri. Setelah kesan ubat pelali hilang, kami akan pindahkan ke wad biasa jika tiada komplikasi. Cik ada apa-apa soalan? "

" Tak. "

Gadis itu berpeluk tubuh ketika melangkah keluar koridor. Suasana sibuk hospital menyapa pandangannya. Kaki itu mengatur langkah satu per satu tanpa arah tuju. Ketika terlihat taman di aras satu, dia memanjangkan langkah ke situ.

Bangku yang berhampiran menjadi tempat persinggahan seketika bagi menghirup udara. Dia telah pun hilang kata-kata.

Telefon pintarnya mendail satu nombor. Hanya Najla yang difikirkan saat itu, yang dapat menenangkan dia. Peluru? Siapa pula yang menembak Salman dan sanggup biarkan lelaki itu hampir separuh mati di dalam sungai.

"Assalamualaikum, Najla," Aisyah menyandarkan badannya. Tas tangannya diletakkan ke atas riba sambil matanya memandang kosong lantai rumput taman. Plastik yang mengandungi barang-barang Salman dibiarkan di sisi.

"Waalaikumsalam. Kau tak kerja ke telefon aku tengah hari ni? Lunch hour kan pukul dua. " Suara ceria Najla membalas salamnya. Aisyah tersenyum kecil.

"Tak. Aku off hari ni," tutur Aisyah perlahan.

"Kenapa? Kau tak sihat ke? "

"Bukan. Pagi tadi ada pihak hospital call aku. Dia kata Salman ada dekat hospital. Aku tak tahu nak beritahu siapa keadaan dia. Rumah family dia pun aku tak tahu dekat mana. Jadi, kau kan kenal kawan Salman. Mungkin kau boleh beritahu lelaki tu..."

"Kau ada tengok tak berita tengah hari ni?"

" Tak."

"Zack maut dalam sebuah kemalangan," ujar Najla dengan tenang.

Aisyah mengetap bibirnya. Liur kesatnya ditelan sukar. Satu kejutan yang tak disangka menghempap diri. "Sorry, Najla. A-Aku tak sempat nak tengok berita sebab uruskan hal Salman."

"Eh, takpe. Cuma itulah... Salman cedera sebab kemalangan juga ke ?"

"Tak. Ada orang tembak dia dekat bahu dan tulang rusuk dia patah. Dia masih tak sedarkan diri. Mungkin malam ni dia baru sedar. Aku... Aku tak tahulah sekarang ni nak buat apa, Najla. " Nak buat laporan polis, Aisyah takut tindakannya akan dihentam Salman. Dia buntu untuk melakukan apa selain risaukan keadaan lelaki itu.

"Pergilah solat hajat. Doakan semuanya baik-baik. Doakan juga Zack."

Dua orang lelaki itu hadir memberikan impak dalam hidup mereka. Najla masih tenang seperti tiada apa yang berlaku, dia pula diselubungi rasa yang berbaur. Jika benar Zack telah tiada, Salman hanya akan mempunyai dia dan Ahmad di sini.

Tak dapat dibayangkan jika Salman sedar nanti dan mengetahui sahabat baiknya telah tiada. Aisyah memejamkan mata seketika.

Gadis itu menguatkan hati dan berdiri tegak. Plastik dan tas tangan diambil sebelum dia membuat keputusan untuk ke surau berdekatan. Walaupun perutnya tak terisi sejak pagi, rasa lapar langsung tidak menjengah. Dia lebih risaukan masalah yang menimpa lelaki itu walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan melebihi seorang kawan.

***

"Mana ayah?" soal bibir kecil itu polos. Dia penat berlari mendapatkan doktor tinggi lampai itu. Matanya melilau di belakang Aisyah bagi mencari kelibat ayahnya. Hampa, wanita itu hanya datang seorang diri.

"Ayah sibuk," jawab Aisyah ceria. Sengaja dia datang ke situ bagi melawat Ahmad. Tubuhnya direndahkan agar ketinggiannya separas dengan Ahmad. Pipi kanak-kanak itu dielusnya kasih. "Adik dah makan?"

"Adik nak ayah," cebik Ahmad. Dia menggeleng wajah tak mahu dibelai. Botol susu kosongnya tercampak ke atas lantai.

"Nanti kita jumpa ayah," balas Aisyah. Bersinar-sinarlah mata Ahmad. Dia tersenyum senang. Tangan Ahmad dipimpinnya hingga ke berenda lalu dia dudukkan tubuh itu di atas kerusi yang tersedia.

"Adik nak hadiah?" Sebuah beg kertas diambilnya dengan senyuman manis.

"Nak!" Kanak-kanak lelaki itu semakin teruja. Dia menepuk-nepuk tapak tangannya serta bersorak riang.

Tanpa berlengah, Aisyah mengeluarkan permainan baharu itu. Terpampang sebuah set permainan kereta Robocar Poly. Karakternya cukup kesemuanya. Ada warna biru, merah dan pink.

Keterujaan Ahmad menggelikan hati Aisyah. Dia membantu Ahmad bagi membuka bungkusan kotak itu. "Adik suka?"

"Cuka," balas Ahmad. Dia membelek-belek mainan baharunya dengan senyuman di wajah. Tak perlulah dia berebut dengan kawan-kawan lain selepas ini jika ingin bermain kereta. Betapa gembiranya wajah si kecil itu.

"Nanti kita tengok ayah esok. Kalau ayah dah buka mata, kita pergi tengok." Rambut kanak-kanak itu disikat dengar jari jemari agar tampak kemas. Dia membiarkan Ahmad ralik bermain di sisi buat beberapa ketika. Kekusutan hatinya mula terungkai. Bibir merah itu tak lekang dengan senyuman melayan karenah Ahmad.

" Adik pandai nyanyi," Ahmad mendongak wajahnya tiba-tiba.

"Iya? Nyanyilah. Biar doktor dengar."

"Bangau oh bangau... Tenapa engkau kuyus... Macam mana aku tak kuyus.. Ikan- Erm.. Ikan- Adik tak tahu."

"Ikan tak nak timbul lah, sayang." Pipi Ahmad ditariknya.

"Tenapa ikan tak nak timbul?" Ahmad terkelip-kelip memandang Aisyah.

"Sebab rumput panjang." Aisyah tertawa halus. "Siapa ajar adik lagu ni?"

"Adik nyanyi dengan kawan," jawab Ahmad. Jeda. "Nak nyanyi dengan ayah."

"Ayah?" Lagilah Aisyah ketawa. "Nanti kita jumpa ayah. Tapi adik kenalah pandai nyanyi dulu. Ayah bukannya tahu lagu macam ni."

"Otey. Nanti adik ingat balik," Ahmad tersenyum gembira. Dia sambung bermain kereta mainannya di atas lantai kerusi kayu itu.

Terasa seperti sudah mempunyai anak sendiri.

" Doktor Aisyah nak ambil Ahmad jadi anak angkat?" soal seorang petugas rumah kebajikan itu. Dia berlabuh di kerusi berdekatan untuk melihat Ahmad bermain.

"Kalau boleh, memang saya nak," jujur Aisyah. Kalau Salman tak diluluskan untuk mengambil Ahmad, dia boleh wakilkan lelaki itu. Namun sekarang ini Salman terlantar di hospital, proses pengambilan anak angkat tak dapat dijalankan jika begini keadaannya.

"Encik Salman tak datang?" soal wanita itu pula. Selalunya pasangan ini memang datang berdua.

"Tak, dia tak sihat."

"Rasa macam lama dah dia tak datang. Yang datang hari tu pun kawan dia, Zack namanya."

"Zack ada datang?"

"A ah. Dia kata dia nak melawat Ahmad sebab Salman sibuk. Dah seminggu berlalu, polis pun takde khabar tentang penjaga Ahmad. Mungkin doktor boleh usulkan untuk ambil Ahmad. Kesian dia menangis. Bila datang buat perangai dia, habis bising nak ayah dia." Tingkah laku Ahmad diperhatikan mereka berdua.

"Nantilah saya fikirkan," senyum doktor Aisyah. Dia tak mampu membuat keputusan sekarang ini atas beberapa sebab. Pendapat dari ibu bapa dan abangnya juga perlu diambil kira jika dia mahu mengambil si cilik ini. Sudahlah dia belum berkahwin, kemudian mahu mengambil anak angkat. Ini akan menjadi diskusi hebat jika abangnya sertai.

"Kalau doktor nak bantuan, pihak kami boleh permudahkan urusan pengambilan anak angkat tu. Asalkan Ahmad jumpa orang yang betul-betul nak jaga dia, kami alu-alukan sangat."

***

Nafasnya masih sakit. Setiap kali dia cuba menghirup udara, alunan dadanya menyebabkan bahagian rusukya kesakitan. Perlahan-lahan Salman bernafas dengan mulut. Tekaknya kering sudah lama tak terbilas dengan air. Sesekali Salman terbatuk sendiri, rasa sakit itu mula mencengkam lagi.

Matanya terkelip-kelip melihat ke sekitar bilik. Bau ubatan menusuk ke rongga hidung. Lelaki itu mengeluarkan sedikit kudrat bagi mengangkat kedua-dua belah tangannya. Diperhatikan telapak dan kekura tangan silih berganti. Terdapat branula tercucuk pada kulit tangannya.

Salman kembali memejamkan mata. Fikirannya kosong sewaktu itu. Mungkin ini mimpi. Bayangan Farah Ain yang berdiri di sebelah Mat Shah menerjah secara tiba-tiba. Disusuli pula dengan Naufal dan Zack yang memegang pistol di tangan. Bunyi tembakan asyik kedengaran di gengendang telinga sehingga menyukarkan dia untuk melelapkan mata.

BANG

Salman segera memeriksa dadanya yang tak berbaju. Dia cuba untuk duduk walaupun berasa amat sakit. Kulit dadanya disentuh lalu dia meringis kesakitan.

Mat Shah telah menembak dia tepat ke dada kiri. Salman tidak mengerti. Kenapa dia masih hidup lagi saat itu?

Kesan lebam kebiruan terpampang di tempat yang sepatutnya peluru Mat Shah menumbusi. Hanya lebam dan tiada luka sedikit pun. Salman sendiri masih cuba mengingati apa yang terjadi sebenarnya.

Apa?!

Dia periksa pula bahunya walaupun sukar. Pelik. Pada bahunya ada pula kesan tembakan. Luka itu masih basah berjahit.

Kepalanya sakit memikirkan semua itu. Apa yang ada di hadapan matanya ini mimpi atau realiti?

"Argh..." Salman mengerang kesakitan. Ubat tahan sakit semakin hilang kesannya. Untuk membuat banyak pergerakan, itu akan menyakitkan bahu dan rusuknya. Lelaki itu kembali berbaring dan mengurangkan pergerakan.

Siling bilik dimenungkan lelaki itu lama.

"Salman, Salman, Salman. Kau ni memang menyusahkan aku!" Bergema suara Mat Shah di dalam hutan itu. Salman mencengkam bahunya yang perit. Tiada tempat untuk melarikan diri apabila tapak kasutnya merasai diri sudah tiba di tebing.

Hatinya beristighfar melihat wajah Mat Shah. Sepucuk pistol dihalakan kearahnya lalu picu ditarik dengan senyuman di wajah.

BANG

Tepat ke dada kiri.

Hentakan di dadanya membuatkan dia tersentak ke belakang. Satu langkah dan terhumbanlah tubuh itu jatuh menuruni tebing.

Arus sungai yang deras menghayutkan tubuh pemuda itu menuruni jeram. Tanpa sedar, tubuhnya dibawa ke arah batu-batuan tajam.

Salman memejamkan mata erat. Air sungai memasuki mulutnya setiap kali dia cuba menghirup udara di permukaan air. Telefon pintar Zack di dalam poket turut terhanyut dengan aliran air yang kuat. Hanya dompetnya sahaja masih utuh di dalam poket seluar jeans kerana permukaannya yang kesat.

Kilauan merah terpecah-pecah di dalam air itu. Bentuknya masih tersergam indah walaupun menahan tembakan pada dada Salman. Butir delima berharga itu dibawa arus air keluar daripada poket baju Salman.

Pemuda itu hampir kehilangan nyawa hinggalah satu tangan menarik leher bajunya. Tubuh Salman lekas dibawa ke tebing sungai yang agak rendah. Betapa jauh dia bergelut di dalam air. Dari tebing setinggi dua tingkat rumah, hingga ke tebing yang dihuni oleh para remaja bagi melepak.

"Check nadi dia," ujar seorang remaja bertopi. Dia semakin khuatir apabila tiada respons daripada Salman. Kawannya mengangguk akur.

Nadi pada leher Salman diperiksa. Kemudian dia mendaratkan telinganya pada jantung Salman pula. Masih ada degupan meskipun hidung dan mulut sudah tidak bernafas.

Mulut Salman dibuka lelaki itu. Nafas dihembus melalui mulutnya ke mulut Salman dua kali selama beberapa saat. Dia memerika tubuh itu untuk lihat pergerakan pada dada.

Hampa, Salman masih tidak bernafas, batuk atau bergerak. Kini, lelaki bertopi pula mengambil alih. Dia menindihkan tangan kanan di atas tangan kirinya ke atas dada Salman. Dada Salman mula ditekan dengan seluruh daya tubuh. Risiko untuk rusuk mangsa patah amatlah tinggi kerana daya yang kuat dikenakan.

"Uhuk," Salman terbatuk perit. Badannya dialihkan mengiring.


Pandangannya jatuh pada pintu bilik. Dia sedar bilik ini agak privasi berbanding ketika dia demam tempoh hari. Hanya ada empat buah katil di dalam ini serta birai berwarna peach lembut yang memisahkannya.

Akhirnya mata itu mulai terkatup rapat. Badannya masih lesu dan perlukan rehat yang panjang.

***

Upcoming chapter:
"Najla, kau rasa betul ke tindakan aku untuk luahkan hati aku pada dia?"

***

vote x comment
jadi, perempuan yang akan luahkan hasrat hati dulu?
Ada satu masalah sekarang ni yang tak settle lagi, Dr. Fadzli.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro