Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Dua puluh tahun berlalu dan kisah serangan Puteri hanya menjadi secebis kisah dalam lipatan sejarah. Bandar Bintang yang hampir lumpuh selepas serangan itu telah membangun semula dengan pesat. Ia kini menjadi sebuah kota metropolitan yang menjadi tumpuan jutaan orang untuk pelbagai tujuan dan urusan daripada aktiviti ekonomi sehingga ke perlancongan. Infrastrukturnya dibangunkan dengan teknologi terkini. 

Pengangkutan awam berupa kapsul-kapsul yang menghubungkan daripada satu bangunan ke bangunan lain diperkasa dan menjadikan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain menjadi lebih mudah.

Seperti bandar-bandar lain, rumah di Bandar Bintang dilengkapi dengan sistem pengurusan dengan kecerdasan buatan yang dikenali sebagai AIDA (Artificial Intelligent Domestic Aid). AIDA diprogram untuk mengawal selia semua perkakasan berupa robot kecil pembantu rumah dan juga menjaga keselamatan penghuninya. 

Demi kemudahan, ia diprogram supaya dapat mengecam suara pengguna dan menerima arahan suara sebelum diproses ke pangkalan datanya. Sesetengah versi yang terkini, turut dilengkapi sistem keselamatan yang mampu mengeluarkan renjatan elektrik ringan terhadap sesiapa yang disyaki sebagai penceroboh. AIDA biasanya diubahsuai mengikut citarasa pengguna dan diberikan nama unik sebagai pengenalan.

"Nina, saya mahu kamu turunkan sedikit suhu di bilik bacaan saya kepada 18˚ darjah," ujar Dato' Sofea sambil memperbetul-betulkan letak kaki. Sebuah buku motivasi pengurusan dibelek-belek kasar, sebelum diletakkan di meja kopi di sisi. 

Muzik Mozart Symphony 41 K 551 – Andate Cantabile yang dimainkan sebagai latar, tidak dapat mengurangkan kegelisahan yang terpancar di wajah wanita itu. Terdapat pelbagai jenis buku tersusun rapi di rak berhampiran dengan wanita itu, namun tiada satu pun yang berjaya menarik perhatian. Dato' Sofea mencebik apabila terpandang ke arah foto ahli keluarga yang tergantung di dinding. Arah Dato' Sofea lagi, "Nina, saya mahukan aroma lavender."

"Baik, Dato' Sofea."Serta-merta aroma lavender tersebar di seluruh bilik. Lavender itu bersifat menenangkan, namun Dato' Sofea masih jauh daripada perasaan itu.

"Nina, sudah berapa hari Lazim pergi dengan Sonia dan Salim?" Dato' Sofea gelisah di kerusi menanti jawapan Nina.

AIDA yang bernama Nina itu tidak menunggu lama untuk menjawab, "Dua minggu, Dato' Sofea."

Bingkai foto yang terletak berhampiran diambil, lalu direnung dalam-dalam. "Ah, biarkan mereka pergi. Kelak, mereka pasti akan sedar juga, apa yang mereka lakukan hari ini adalah salah. Ketika itu, mereka akan kembali melutut dan menyembah kepadaku." Nina yang hanya akan memberi tindakbalas apabila namanya disebut, mendiamkan diri seribu bahasa.

Wanita berusia lingkungan awal 40-an itu bangun menghadap cermin kaca yang terletak bersebelahan rak buku. Cermin itu berhias indah dengan ukiran kayu bermotif bunga. Dia tersenyum memandang pantulan wajah. "Barangkali Lazim terlupa dengan siapa dia berhadapan? Ini adalah Dato' Sofea, Pengarah Pusat Sekuriti Negara! Tiada siapa yang berani membangkang dan menaikkan suara kepada Dato' Sofea!" Dato' Sofea berdiri tegak, mendabik dada.  

"Lelaki itu kata, wanita ini terlalu angkuh!" Ujarnya kepada pantulan imej di cermin. "Wanita ini tidak sesuai untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Hah, dia sangka dia akan menang di mahkamah? Selama ini, siapakah yang menanggung semua keperluan? Rumah besar? Kenderaan yang hebat? Pakaian terbaik? Semuanya daripada titik peluh wanita ini juga! Akhirnya, anak-anak akan kembali kepada wanita bernama Dato' Sofea!" Wanita itu tertawa besar. 

Foto sang suami yang sedang memeluk ceria kedua-dua anak mereka itu hanya dipandang sinis. "Mereka akan kembali jua!" Suara Dato' Sofea kedengaran angkuh, namun terdapat nada sayu pada hujung kata-kata itu.

Tawanya terhenti apabila Nina memainkan muzik menandakan ada tetamu bertandang di hadapan pintu pagar rumah. "Nina, siapa yang hadir waktu malam sebegini?!" Dato' Sofea mengeraskan suara.

"Tiada rekod di dalam pangkalan data, Dato'."

Jawapan itu membuatkan wanita itu mengerutkan dahi. "Nina, lakukan imbasan dan tanyakan tujuan orang itu." Dato' Sofea mengambil tempat kembali ke kerusi empuk tadi. Sebuah majalah hiasan diambil pula dari atas meja kopi untuk dibaca.

Nina diam seketika sebelum membalas, "Imbasan telah berjaya dilakukan. Objek dikenal pasti sebagai bukan manusia. Tiada rekod dalam pangkalan data."

Wanita itu mendongak ke lelangit dengan wajah kehairanan. "Bukan manusia? Nina, paparkan visual di hadapan pintu pagar." Dato' Sofea memperbetulkan duduk menghadap ke satu arah. Sebuah alat diturunkan daripada siling bilik lalu memancarkan visual tetamu tersebut. Dato' Sofea dapat melihat dengan jelas bahawa susuk tubuh itu merupakan seorang wanita berusia lingkungan usia 20-an. "Bukankah itu manusia? Nina, tanyakan tujuannya."

"Sila berikan identiti dan nyatakan tujuan anda." Suara Nina jelas kedengaran.

Wanita pada visual itu hanya kaku tanpa sebarang emosi. Rambutnya panjang mengurai dan topi yang dipakai menutupi sebahagian wajah. Dia juga mengenakan sehelai kot panjang berwarna coklat cair, berseluar jeans dan berkasut but tinggi. 

"Sila berikan identiti dan nyatakan tujuan anda." Nina mengulangi arahan, tetapi wanita itu tetap tidak memberi tindak balas.

"Nina, arahkan Benjamin halau wanita itu. Buat semak sahaja di hadapan pintu rumah aku!" Dato' Sofea dapat mendengar Nina memberi arahan kepada Benjamin. 

Lelaki yang diupah untuk menjaga keselamatan kawasan rumah itu tergesa-gesa berjalan menuju ke pintu pagar. Kelihatan di skrin visual, Benjamin menghampiri pintu dan berkata sesuatu kepada tetamu yang tidak diundang itu.

Wanita itu baru sahaja memusingkan badan membelakangkan layar visual apabila Nina membunyikan siren. "Amaran, senjata api! Senjata api! Amaran! Amaran! Amaran!" Dato' Sofea segera menoleh dan dia dapat melihat wanita itu mengeluarkan senjata api daripada balik kot labuh lalu menembak Benjamin bertubi-tubi. Lelaki itu rebah dalam lautan darah dan Dato' Sofea menjerit sekuat hati.

"Nina, kod keselamatan TAHAP 1! TAHAP 1!!" Sebaik sahaja arahan itu diberi, kubah perlindungan elektrik segera diaktifkan. Semua pelindung pintu dan tingkap ditutup kedap. Makluman segera dihantar ke balai polis berhampiran. Siren yang berbunyi panjang, mengejutkan pembantu-pembantu rumah yang berada di aras bawah.

Soal salah seorang pembantu, "Kenapa Dato'? Apa yang telah berlaku?" Mereka dapat melihat wajah cemas Dato' Sofea di skrin mereka.

"Berhati-hati, ada penceroboh di pintu masuk! Benjamin telah pun dibunuh!"

"Apa? Benjamin? Tidak!!!" Jerit seorang yang lain.

"Senyap! Sila masuk ke tempat perlindungan! Aku telah aktifkan kod TAHAP 1."

Kod TAHAP 1 merupakan kod keselamatan tertinggi. Aliran elektrik yang digunakan pada kubah perlindungan jauh lebih kuat daripada kadar biasa. Semua laluan masuk akan dikunci rapat dengan lapisan perlindungan yang kalis peluru. Apabila kod TAHAP 1 diaktifkan, pihak berkuasa sepatutnya tiba dalam tempoh kurang daripada lima minit.

"Kubah perlindungan elektrik telah dimusnahkan! Kubah telah dimusnahkan! Objek bergerak pantas dan semakin menghampiri rumah. 50 meter... 40 meter... 20 meter... 10 meter...." Nina membuat kiraan. Darah di wajah Dato' Sofea seakan disedut keluar. Wajah cemas tadi bertukar pucat dengan dada berombak kencang.

Tanpa bertangguh, senjata api yang berada di dalam laci meja kopi segera dikeluarkan. Soal Dato' Sofea, "Siapakah orang itu? Mengapa dia dapat memusnahkan kubah perlindungan elektrik dengan mudah?"

"BOMM!!" satu letupan kuat kedengaran dan menggegarkan rumah agam itu. Dato' Sofea jatuh terduduk ke atas lantai. Pistol yang dipegang tercampak ke lantai.

"Apa yang telah berlaku?" Pistol tadi diambil kembali. Tubuh Dato' Sofea menggeletar dengan kuat. Pembantu-pembantu rumah yang bersembunyi di bilik perlindungan di bahagian bawah kelihatan pada visual sedang berpelukan dan menangis ketakutan. Rumah itu mempunyai beberapa buah bilik perlindungan yang dibina lebih kukuh berbanding bilik-bilik lain. Bilik perlindungan ini dibina supaya kalis api dan tidak mudah runtuh sekiranya berlaku gempa bumi. Kod TAHAP 1, menjadikan bilik-bilik ini lebih kebal apabila pintu dan tingkap dipasang dengan pelindung besi yang tidak lut peluru.

Melalui kamera di ruang tamu, Dato' Sofea dapat melihat dinding yang menempatkan pintu hadapan rumah, berlubang besar akibat letupan itu. Di tengah-tengah kepulan asap dan runtuhan bangunan rumah, wanita bertopi serta berkot coklat itu melangkah masuk dengan pelancar bom di tangan. Kemudian, wanita itu berdiri kaku tidak bergerak-gerak.

"Cubaan menceroboh pangkalan data! Cubaan menceroboh pangkalan data!" Suara Nina nyaring kedengaran.

"Nina, pasang firewall tahap maksimum!" Wanita tadi masih tidak bergerak di tempatnya. Tidak terdapat sebarang komputer di tangan. Hanya pelancar bom dan senjata api. "Siapa pula yang sedang menceroboh pangkalan data? Tentu wanita ini mempunyai rakan subahat yang lain! Nina, cuba pastikan penceroboh itu datang dari mana!"

Siren yang berbunyi nyaring, senyap secara tiba-tiba. Pelindung kalis peluru terbuka dan disimpan kembali. Visual yang dipancarkan daripada seluruh pelusuk rumah terus terpadam. Dato' Sofea terkaku. Jeritnya, "Nina, apa yang telah berlaku?" Namun Nina terus sunyi daripada sebarang maklum balas. "Nina!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro