Bab 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Rachel, kamu mesti makan walaupun sedikit. Jika tidak, tubuh kamu akan semakin lemah. Ubat pun tidak akan dapat membantu kamu." Wanita tua itu menyuakan sesudu bubur. "Bubur oat ini saya tambahkan dengan sedikit madu, buah pic, beri biru kering serta sedikit serbuk kayu manis supaya rasanya lebih lazat. Cubalah walaupun sedikit."

Wajah Rachel kelihatan pucat dan tubuhnya kurus melidi. Tulang bahunya kelihatan tersembul, menunjukkan keadaan yang tidak semakin baik. Bibir yang kering dan hampir merekah itu cuba mengorak senyum. "Puan Ulrike, jika Tuhan takdirkan saya untuk menemui Tuhan lebih awal, saya mahu puan menjaga Adam. Gunakanlah semua harta yang ditinggalkan oleh saya dan arwah bapa Adam untuk memenuhi keperluannya. Berikanlah pelajaran dan didikan yang terbaik, supaya dia dapat membesar menjadi orang yang berguna."

Mangkuk berisi bubur itu diletakkan ke atas meja yang terletak di sisi katil. Ulrike mengambil kedua telapak tangan Rachel lalu digenggam rapat ke dada. "Usah berkata begitu Rachel sayangku. Kamu masih muda dan kamu sepatutnya hidup lebih lama daripada saya." Air mata dikesat dengan hujung lengan baju. "Saya mahu kamu sembuh dan sihat. Saya mahu melihat senyuman di wajah kamu dan Adam. Segala-galanya akan pulih seperti sedia kala."

Namun begitu, Rachel hanya menggeleng. "Puan Ulrike, saya beruntung kerana puan dan Wilhem menjaga kami berdua seperti ahli keluarga puan. Berjanjilah kepada saya, bahawa puan akan mengambil alih tanggungjawab untuk mendidik Adam Dennis, anak lelaki tunggal saya," rayu Rachel dengan air mata bercucuran membasahi pipi.

"Jangan menangis anakku. Saya berjanji untuk menjaga Adam Dennis sehingga nafasku berhenti. Saya akan menjadikannya insan yang akan kamu banggakan." Ulrike memeluk Rachel erat seakan tidak mahu melepaskannya. Wanita tua itu turut menangis.

Ulrike mengenali pasangan ibu dan anak itu, apabila mereka berpindah ke apartmen yang bersebelahan dengannya beberapa tahun lalu. Rachel yang bertugas sebagai kurator di muzium sentiasa tersenyum dan ceria. Pada hari cuti, Rachel sering muncul di hadapan rumahnya membawa kek ataupun biskut buatan tangan. Mereka akan berbual lama seakan saudara-mara yang terpisah jauh. Namun begitu, semenjak beberapa tahun kebelakangan itu, Rachel sering sakit-sakit. Kesihatannya jauh merosot lebih-lebih lagi selepas suaminya meninggal dunia.

"Saya kehilangan anak lelaki dan menantu saya secara tiba-tiba. Mereka meninggalkan Wilhem sebagai peneman dan penghilang kedukaan saya. Kemudian Tuhan bermurah hati memberikan saya ahli keluarga yang baru iaitu kamu dan Adam Dennis. Saya akan menjaga keluarga ini dengan sebaik mungkin," bisik Ulrike.

"Terima kasih Ul. Saya ada satu lagi permintaan." Ulrike mengangkat kepala memandang Rachel. "Saya mahu Adam Dennis kekal dalam agamanya. Saya mungkin tidak dapat mendidiknya dengan baik...." Rachel terbatuk-batuk kecil. Jelas sekali penyakitnya sudah terlalu parah.

"Jangan bercakap lagi," pujuk Ulrike.

"Tidak, masa saya semakin singkat." Rachel membetulkan letak punggung. "Semenjak dua tahun lalu, saya telah menghantar Adam Dennis ke pusat komuniti dan belajar dengan seorang imam di sana." Wanita itu batuk lagi berterusan untuk beberapa ketika. Ulrike mengurut belakang adan Rachel sehingga dia kelihatan lebih selesa. "Saya mahu puan pastikan pembelajarannya di sana tidak terhenti."

Ulrike terdiam seketika sebelum membalas, "Saya janji."

"Terima kasih Ul," balas Rachel sambil tersenyum.

Ulrike mengangguk. "Wilhem juga sepatutnya mendekatkan diri dengan gereja. Pastor Martin kerap bertanyakan Wilhem. Saya akan memaksa mereka berdua pergi ke rumah ibadat. Manusia tanpa agama sebagai pembimbing, akan mudah hanyut dalam hidup."

Meskipun usianya sudah lanjut, Ulrike merupakan seorang penganut Katholik yang taat. Setiap pagi Ahad, wanita itu akan berusaha untuk menghadirkan diri ke gereja di bandar mereka. Kerap kali dia menyatakan kebimbangannya berkenaan generasi muda yang semakin jauh daripada agama kepada Rachel. Ulrike berpegang bahawa sekiranya manusia sentiasa mengingati tuhan, mereka tidak akan melakukan jenayah dan perbuatan tidak bermoral yang lain.

Bunyi loceng pintu yang kedengaran secara tiba-tiba, mengejutkan kedua wanita itu. Ulrike segera bergegas ke pintu. "Siapa?" Soalnya sambil membuka daun pintu. Seorang lelaki Asia dengan usia lingkungan 30-an berdiri di hadapan pintu sambil tersenyum. Tubuhnya sederhana tinggi dan kulitnya berwarna putih kekuningan. Topi yang menutupi kepala diangkat dan diletakkan ke dada. Berdiri di sisinya seorang budak lelaki yang sibuk melihat ke sekeliling. "Tuan mencari siapa?" soal Ulrike.

"Saya mencari Puan Rachel."

++++

"Saya berterima kasih atas tawaran yang Akmal berikan tetapi maaf, saya terpaksa menolak. Saya ingin menghabiskan sisa-sisa hidup saya di rumah ini," ujar Rachel tegas. Ulrike telah membantunya untuk duduk bersandar ke kepala katil.

Tengku Akmal hanya tersenyum. "Selepas pemergian abang saya, saya berusaha untuk menyatukan semula seluruh keluarga ini, tetapi nampaknya saya harus membiarkan semua orang memilih jalan yang terbaik buat mereka. Sekiranya Kak Raihanah juga ingin kekal di sini, saya tidak boleh memaksa. Saya akan menguruskan semua harta peninggalan abang untuk kebajikan kakak berdua."

Terdiam seketika Rachel, apabila nama 'Raihanah' disebutkan oleh tetamu itu. Nama yang diberikan oleh suaminya ketika dia mengucap kalimah syahadah beberapa tahun dahulu. Soal Rachel, "Bagaimana dengan mereka semua?"

"Kak Shaliza dan dua orang anak perempuannya telah berhijrah meninggalkan tanahair. Mereka enggan mempunyai sebarang hubungan dengan keluarga ini lagi. Namun begitu, saya akan tetap menguruskan bahagian saham yang dimiliki mereka dalam syarikat, kerana ia adalah hak mereka," balas Tengku Akmal. Anak lelaki yang menemani tadi sedang duduk di ruang tamu membaca buku yang dibawa.

"Jemput minum." Ulrike datang dengan menatang sedulang air coklat panas. "Cuaca sejuk sebegini sangat bagus untuk menikmati minuman panas."

"Terima kasih Ul. Perkenalkan, ini adalah Akmal, adik lelaki suami saya. Akmal, ini adalah Puan Ulrike Fischer yang menjaga saya selama ini." Tengku Akmal dan Ulrike saling bersalaman.

"Saya bersyukur kerana Rachel memberikan saya pekerjaan di kala saya kesempitan wang setelah kematian anak dan menantu saya," ujar Ulrike.

"Jangan berkata sedemikian Ul. Bantuan yang puan berikan kepada keluarga kami melebihi daripada apa yang saya berikan kepada puan. Malahan puan juga sudah saya anggap sebagai ibu saya sendiri." Ulrike tersenyum dengan wajah yang penuh terharu. Rachel segera dipeluknya erat. "Siapakah budak lelaki yang datang bersama dengan kamu?" Batuk Rachel masih belum ada tanda untuk surut.

Tengku Akmal menoleh ke arah ruang tamu. "Zahiruddin, makcik kamu ingin bertemu." Anak lelaki itu menutup buku lalu masuk ke bilik tempat Rachel ditempatkan. "Ini anak sulung saya Tengku Zahiruddin. Zahiruddin, kenalkan ini adalah isteri pertama Pakcik Aizat iaitu Makcik Rachel atau nama Islamnya Raihanah. Ini pula penjaga Makcik Raihanah, iaitu puan Ulrike." Tengku Zahiruddin segera menyalami makcik yang baru dikenalinya itu dan juga Ulrike yang berdiri di sisi katil.

"Apa khabar makcik?" soal Tengku Zahiruddin.

Rachel tersenyum memandang sebelum menutup mata perlahan-lahan. Bisik Rachel, "Maafkan saya. Saya merasa terlalu letih."

"Makcik?"

"Rachel?"

++++

"Siapakah nama kamu?" Tengku Zahiruddin mengambil tempat di sebelah remaja lelaki yang sedang menangis tersedu-sedan itu. Buku di tangan dimasukkan ke dalam beg sandang yang dibawa.

Remaja itu mengalihkan pandangan ke arah Tengku Zahiruddin. "Adam... Adam Dennis. Siapakah kamu?"

"Saya Zahiruddin. Kamu tahu membaca Al-Quran?"

Adam Dennis mengangguk. "Saya belajar membacanya dengan Imam Abdel Raof di Pusat Komuniti." Adam Dennis mengesat air mata. Wajahnya masih dirundung kesedihan.

"Saya tahu, kamu telah kehilangan bapa dan kini ibu kamu pula menyusul. Kamu berhak untuk menangis dan bersedih. Sebagai anak, ada satu perkara yang kamu boleh lakukan untuk mereka."

"Apakah yang boleh saya lakukan?" soal Adam Dennis. Pandangan dilemparkan ke arah orang ramai di Pusat Komuniti yang sibuk menguruskan jenazah ibunya. Kelas petang masih belum berakhir apabila Wilhem menghubungi, memaklumkan keadaan ibunya yang semakin tenat. Ketibaan Adam Dennis di rumah disambut oleh Ulrike, pakcik Akmal serta sepupu yang baru pertama kali ditemuinya itu. Tanpa berkata apa-apa, Ulrike memeluk Adam Dennis erat. Butir bening jatuh membasahi pipi tua itu dan Adam Dennis segera memahami apakah yang telah terjadi.

"Kamu boleh membacakan mereka doa dan ayat-ayat daripada Al-Quran. Pohonlah kepada Tuhan akan kesejahteraan mereka di alam sana." Suara halus Tengku Zahiruddin mengembalikan Adam Dennis ke alam realiti.

"Zahiruddin, berapakah usia kamu?" Pandangan Adam masih tidak lepas daripada memandang ke arah yang sama.

"11 tahun," jawab Tengku Zahiruddin ringkas.

"Kata-kata kamu terlalu matang untuk usia kamu. Jauh lebih matang daripada saya." Adam Dennis tersenyum kelat. Dia cuba menahan air mata daripada jatuh buat kesekian kalinya.

"Tidak mengapa untuk kamu menangis. Orang dewasa juga menangis." Tengku Zahiruddin menundingkan jari ke arah Ulrike yang masih menangis. "Kamu mahu saya menemani kamu membaca ayat suci Al-Quran?"

Adam Dennis menangis dan mengangguk. "Ya, silakan."

+++

Foto keluarga berusia puluhan tahun yang disimpan di I-Ran itu ditatap buat kesekian kali. Adam Dennis mengalihkan pandangan meneliti setiap sudut dalam bilik bacaan di rumah agam milik keluarganya itu. Tengku Akmal menjemput Adam Dennis ke rumah mereka, namun lelaki itu memilih untuk tinggal di rumah yang tidak pernah didiaminya itu.

Keadaan rumah itu tidak banyak berubah seperti ketika kali pertama dia menjejakkan kaki dua puluh tahun lalu. Binaannya masih kukuh dan persekitaran dijaga dengan baik. Tengku Akmal telah mengekalkan beberapa orang pembantu rumah untuk terus memelihara rumah tersebut supaya tidak reput ditelan usia. Beberapa bahagian rumah telah diganti dan dibaik pulih namun rekaan asal masih jelas kelihatan.

Pembantu rumah membawa Adam Dennis melawat ke seluruh rumah dan menerangkan fungsi setiap ruang yang dilewati mereka. Dia melihat bilik-bilik yang pernah menjadi tempat beradu datuk, nenek, ayah dan juga pakcik-pakciknya. Perjalanan Adam Dennis terhenti di bilik bacaan keluarga yang dipenuhi dengan ribuan buku pelbagai genre. Buku-buku itu tersusun rapi pada rak di dinding yang tinggi sehingga mencecah ke siling. Sebuah tangga tersandar ke dinding. Bersedia untuk digunakan bagi mencapai buku yang berada di tempat yang tinggi.

Bahagian dinding yang tidak ditutupi rak pula dipenuhi dengan foto kejayaan keluarga. Plak-plak anugerah serta pingat yang diterima oleh mereka turut dipamerkan sama.

"Oh, tuan berada di sini?" Pembantunya Maximilian Wagner datang menjenguk.

"Adakah terdapat sebarang perkembangan dalam usaha mencari Tengku Amir?" soal Adam Dennis.

Balas Max, "Maaf tuan, kami masih tidak dapat menemui Tengku Amir. Namun begitu, ada perkhabaran positif daripada Wilhem."

"Berkenaan Moonlight?" Wajah suram Adam Dennis bertukar menjadi lebih ceria. "Adakah Moonlight telah dapat berfungsi dengan baik?"

"Biarlah Wilhem yang menerangkan." Wilhem segera dihubungi. Sebaik sahaja imej Wilhem muncul pada skrin di hadapan mereka, Max segera bertanya, "Sahabatku Wilhem, bagaimanakah dengan keadaan Moonlight? Bolehkah tuan terangkan kepada Tuan Adam berkenaan situasi di sana?"

Seakan tidak mendengar soalan Max, Wilhem memperbetul-betulkan kaca mata sambil melihat I-Ran di tangan. Wajahnya serius dan dia terus diam membisu. Tidak berkata walau sepatah perkataan pun. "Will?" Soal Max.

Masak dengan perangai Wilhem, Adam Dennis menghela nafas panjang. "Baiklah sahabatku Wilhem Fischer yang kacak, tampan, baik budi serta bijak bestari. Tanpa tuan di sana, kami di sini akan kehilangan punca. Tergapai-gapai ibarat orang lemas dipukul badai. Terpinga-pinga seperti orang buta kehilangan tongkat. Bolehkah tuan memberitahu kami perkhabaran dari sana? Ingin sekali kami mendengarnya."

Wilhem tersengih lebar mendengar kata-kata Adam Dennis. Lelaki itu mengangkat tangan, memberi isyarat supaya Adam Dennis dan Max tidak bergerak ke mana-mana. Wilhem bingkas bangun dan membiarkan dua orang itu tertanya-tanya.

Skrin dialihkan ke arah yang bertentangan dengan Wilhem. Berganti imej dengan sebuah android yang telah lengkap dipasang. Umum Wilhem, "Berdiri di hadapan kalian adalah buah hati kesayangan kita semua, Moonlight!"

Senyuman lebar terukir di bibir Adam Dennis dan Maximilian apabila mendengar pengumuman Wilhem. "Moonlight dibina berdasarkan model Puteri. Namun begitu, teknologi terkini membolehkan sejenis bahan yang lebih ringan dan lebih kukuh digunakan dalam pembinaannya. Berbanding dengan Puteri yang lebih menyerupai seorang manusia, Moonlight dibina tanpa menitik beratkan kulit luarannya. Ia lebih menyerupai android industri, tetapi mempunyai keupayaan yang jauh lebih baik," Wilhem memberi penerangan panjang lebar.

"Apakah kelebihan Moonlight, berbanding Puteri?" soal Adam Dennis.

Giliran Wilhem pula yang tersenyum. "Kalian lihat sendiri."

Pandangan mereka tertumpu kepada Moonlight yang mulai melangkah daripada para yang menempatkannya. Android itu berjalan beberapa pusingan sebelum terhenti dengan tubuh menghadap skrin. Belum sempat Adam Dennis membuka mulut untuk bertanya, Moonlight mulai menunjukkan beberapa aksi seni mempertahankan diri. Terlopong mereka apabila melihat Moonlight menendang, menumbuk, membuat balik kuang dengan lincah dan tangkas tanpa sebarang kecacatan pada pergerakkannya.

Para penonton termasuk petugas-petugas makmal bertepuk tangan sebaik sahaja Moonlight mengakhiri persembahan dengan tarian 'Moonwalk'. "Bagaimana?" soal Wilhem. "Saya layak untuk mendapat bonus?"

"Selepas kamu berjaya mengalahkan Puteri," balas Adam Dennis sambil tersenyum-senyum.

Wilhem menarik muka masam. "Adam Dennis, kamu masih kedekut seperti waktu dahulu. Saya berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga terpaksa mengorbankan waktu tidur serta rehat saya. Sedikit pun tidak kamu hargai!"

Adam Dennis ketawa besar mendengar rajukan Wilhem. "Sahabat baik saya Wilhem, kita hanya akan membuat sambutan perayaan selepas semua perkara, selesai dengan baik. Ketika itu, saya akan menjemput Ulrike dan semua orang. Kita akan makan sepuas-puasnya dan berhibur sehingga kamu tidak berupaya untuk bangun. Namun begitu, keadaan kini tidak membenarkan kita untuk berhenti. Masih ada tugasan yang perlu kita selesaikan dan kita tidak mengetahui sama ada usaha kita ini mencukupi ataupun sebaliknya. Menghentikan Puteri itu hanyalah salah satu daripada perkara yang perlu kita lakukan sebelum kita mencapai agenda sebenar kita untuk mengembalikan Mel ke jalan yang benar."

"Kamu sememangnya bijak memanipulasi orang. Saya tahu dan faham situasi yang berlaku. Sampai bila kamu berdua hendak berada di situ?"

"Eh?" Adam Dennis mengerutkan dahi lalu memandang ke arah Max di sisi. Max hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. "Apa maksud kamu Wilhem?"

Wilhem muncul semula di skrin dan menarik muka masam. "Sampai bila kamu berdua mahu duduk-duduk di sana? Datang ke sini dengan segera supaya kita dapat mencari dan menjejaki adik perempuan kesayangan kamu serta robot kawalannya itu. Jika perlu, kita akan merotan dia agar sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya!" marah Wilhem, lalu memutuskan talian.

"Nampaknya Wilhem bersungguh-sungguh untuk mencari Mel?" soal Max.

Adam Dennis tertawa kecil. "Dia mahu berparti dengan segera."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro