BAB 40: Trauma

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"APA bukti?"

Rudy menyoal cuba bertenang.

"Bukti aku ada dekat badan kau sendiri." Sekali lagi tenang Shin menjawab. Kali ini dia menoleh memandang Rudy.

"Luka yang dalam dekat belakang lengan kau."

Langsung bulu roma Rudy merinding. Liur diteguk luar sedar. Hampir tergerak tangan Rudy ingin mengusap lengannya yang luka namun terhenti.

"Mesti kau pun sedar, kan? Tak pernah tertanya datang dari mana?" Berganda soalan yang diutarakan oleh Shin.

"Macam mana..."

"Aku tahu?" soal Shin, tolong menghabiskan ayat Rudy. Agak sinis bunyinya.

"Sebab aku nampak, Rudy."

Rudy meneguk liurnya. Melihat pada mata wanita itu, Rudy tahu dia tidak berjenaka. Dan wanita ini juga tahu namanya. Itu saja sudah cukup membuatkan jantung Rudy berdegup resah.

"Aku nampak macam mana kau sakitkan diri sendiri lepas kau campak cawan kaca kat Akak Fisha, suruh dia blah."

Bibir Rudy yang terketar diketap. Aku apa?

"Walaupun akak dah cakap jangan bangun, sikit pun kau tak nak dengar. Kau tetap juga bangun. Tetap marah. Keadaan kau yang lemah waktu tu, buatkan kau terjatuh atas serpihan kaca atas lantai yang kau sendiri pecahkan," terangnya lagi dengan sejelas mungkin agar setiap ayat masuk ke dalam otak Rudy.

Shin ada. Dia ada semasa Rudy sedar dan masih hangat di benaknya melayarkan situasi yang dicerita. Betapa Rudy kelihatan sungguh galau.

Sungguh takut.

Sungguh mengingatkan Shin kepada seseorang.

"Kau bangun tak lama, empat jam je. Lepas tu kau tidur. Koma balik."

"Sejak dari tu, Akak Fisha buat keputusan, disebabkan PTA kau... hanya orang terapat saja yang boleh melakukan pemeriksaan. Iaitu Geetha sendiri."

PTA? Dahi Rudy berkerut. Macam pernah dengar istilah itu.

"Tapi sekarang PTA kau dah takda. Jadi jangan nak mengada dan dengar cakap aku. Baring dan bukak baju kau." Sekali lagi Shin bertegas. Jelas sekali tidak mahu berkompromi.

Rudy terteguk liur. Berderau darahnya mengalir ke muka. Aku lelaki, dia perempuan. Gila! Tak segan ke cakap benda macam tu?

Shin menjongketkan bahu ke atas. Malas menunggu.

"Kau tak nak, aku buat sendiri."

"Tak payah!" pekik Rudy tanpa sedar. Menyebabkan dadanya sakit semula.

Terhenti langkah Shin daripada terus mendekati. Tidak betah menahan sakit, Rudy pun membaringkan sekujur tubuhnya. Akur.

Shin menggigit bawah bibir menyembunyikan senyuman. Pandai gelabah rupanya budak beku ni. Ingatkan takda perasaan.

"Antibiotik dah makan?" Shin mengerling Rudy sesaat sebelum memeriksa jahitan pada bahagian luka Rudy.

"Aku dah habiskan."

Shin terangguk kecil. Bagus.

"Bila kali terakhir tukar gauze?"

Rudy terdiam seketika, mengira di benaknya.

"Tiga... hari lepas."

"Okey, aku nak bersihkan luka kau dan pasang yang baru. Tahan sikit."

Seperti anak kecil Rudy akur. Ah! Rudy, sejak bila kau mendengar kata ni?

Usai itu, Shin menegakkan tubuhnya semula.

"Jahitan luka kau nampaknya takda apa-apa, jadi kau okey. Mungkin sebab aktiviti lasak kau tadi ada trigger luka kau sebab tu kau tiba-tiba sakit," ulasnya.

"Jadi kesimpulannya, jangan nak sesuka hati masuk bilik latihan lagi. Aku tak kisahlah kau stres ke bosan ke, kau tu tengah sakit," sambung Shin lagi membuka sarung tangan.

"GSW boleh amik masa berbulan untuk sembuh dan selalunya bertahun. Bergantung pada variasi senjata dan saiz peluru yang diguna. Makin besar senjata tu, makin lama masa yang diambil untuk sembuh dan makin tipis peluang untuk kau hidup."

Rudy sekadar mendengar bebelan panjang lebar Shin tanpa reaksi. Malas nak gaduh. Baju sudah selamat disarungkan.

"Ada anxiety?"

"Ada tapi manageable."

"Kemurungan?"

Rudy menggeleng kecil.

"Masalah tidur?"

Hening. Shin berkalih memandang Rudy yang membatu.

"Mimpi ngeri?" tebaknya, jelas sekali dapat membaca air muka lelaki itu.

Satu saat.

Dua saat.

Tiga saat.

Tiada apa-apa. Angguk tidak, geleng pun tidak.

"Ada amik spesifik ubat?"

Sekali lagi Shin menyoal dan sekali lagi soalannya tidak berjawab. Sunyi memenuhi segenap ruang namun Shin bijak memahami situasi.

Nafasnya ditarik perlahan. Wau! Sakit betul hati hawanya. Rasa macam tengah bercakap dengan batu.

"Memang normal untuk mangsa GSW mengalami trauma dan penyakit mental," bicara Shin tanpa dipinta.

"Tapi insomnia..." Ayat sengaja digantungkan. Ingin melihat reaksi Rudy. Dan seperti yang dijangka, budak itu tersentak.

"... bukan penyakit mental. Tapi lebih kepada kecacatan sifat."

Reaksi kejut Rudy jelas terpancar. Terngadah kepalanya.

"Jadi kalau kau ada ambik risperdal, ambien, lorezepam atau seumpama... aku nasihatkan berhenti," lanjut Shin lagi sambil mengambil sebotol air mineral di dalam rak.

Bulu roma Rudy merinding seriau mendengar nama ubat itu. Ambien.

"Tak kiralah berapa ramai orang kata ubat itu berkesan dan tak tinggalkan kesan sampingan, dadah tetap dadah."

Ambien. Itulah ubat tidur yang ada pada Rudy sekarang. Namun belum... sehingga sekarang satu pil pun belum dia telan.

"Ambil saja ubat yang doktor prescribed untuk kau, cuma jangan ambil ubat tidur." Sekali lagi Shin menegaskan nasihatnya.

Tak macam depresi atau anxiety, ubat untuk sakit tu berlesen dan memang disarankan untuk diambil atas nasihat doktor. Sayang sekali, insomnia bukan penyakit mental sebaliknya gejala penyakit lain yang perlu disiasat oleh seseorang.

"Cuba sembuh dengan cara semula jadi. Kesannya memang lambat dan terseksa tapi aku janji, berbaloi," ujarnya buat kali terakhir menamatkan bicaranya di situ.

Hening. Hanya bunyi penutup botol yang dibuka memecah sunyi. Rudy hanya memerhati.

"Kau bercakap macam ada pengalaman," bicaranya setelah lama membisu.

Tingkah Shin langsung terhenti. Matanya terkelip sekali. Perlahan, botol air diletakkan di sisi.

Dia memandang Rudy buat beberapa saat tanpa bersuara. Nafas ditarik panjang lalu baju di bahagian bahunya diselak sedikit.

Rudy terus menggelabah dengan tindakan wanita itu dan rasa hendak lari. Namun sebaik disajikan dengan parut berlubang pada pektoral atas Shin, Rudy langsung terkedu.

"Umur kau berapa?"

"14." Ringkas Rudy menjawab.

"Aku dapat ni masa aku 15," ceritanya, memandang parut tersebut dengan senyuman lemah.

"Tak dapat keluarkan peluru dia... terlampau berisiko."

Wajah Rudy terkendur sendiri. Matanya terkelip tanpa sedar menandakan yang dia bersimpati.

"Jadi dah hampir tiga tahun aku hidup dengan peluru ni. Ambik masa setahun juga untuk aku angkat tangan aku macam orang normal," sambung Shin, menutup kembali parut lukanya.

Tiga tahun? Jadi sekarang umur wanita ini sudah 18 la. Rudy memandang Shin atas bawah. Pendek betul akak ni.

"Macam kau, aku pun ada insomnia lepas alami trauma."

"Kau ambil ubat tidur?"

"Ambil?" Shin tergelak sinis mendengar soalan Rudy.

"Aku dah ketagih."

Berderau darah Rudy mendengar akuan Shin.

"Masuk harini, dah enam hari aku tak tidur."

Enam?! Hampir terbelalak mata Rudy pula.

"Satu-satunya cara untuk aku tidur, aku kena makan ubat. Tapi ubat tu dah jadikan aku gila. Awalnya aku cuma perlukan 1 ml untuk tidur tapi sekarang lebih 10 ml baru aku boleh lena."

"Nak kata mimpi ngeri, aku dah takda semua tu. Anxiety? Jauh panggang dari api. Ramai doktor aku jumpa dan jawapan semua sama."

Rudy diam mendengar tanpa mencelah.

"Aku. Dah. Ketagih." Satu persatu perkataan dia tuturkan.

"Bukan trauma yang buatkan aku susah nak tidur tapi cara aku sembuh. Aku terlalu bergantung kepada ubat."

"Sebab tu aku nasihatkan kau awal-awal. Kau beruntung sebab hanya ditembak dengan pistol dan sut ejen kau berjaya melambatkan pergerakan peluru tu."

Rudy kekal membisu. Dia melihat Shin menghela nafas setelah menariknya panjang. Kumpul nafas lepas dah banyak bercakap la tu.

"Tadi..." Rudy akhirnya bersuara.

"Kau cakap aku dah bangun tiga hari lepas aku koma?"

Shin sekadar menggumam mengiyakan.

"Tapi kenapa aku tak ingat?"

Shin mengukir senyum kecil. Dah agak Rudy akan tanya soalan ini. Shin mengubah posisi duduknya. Tubuh ditegakkan.

"Post-traumatic Amnesia (PTA)." Dia menjawab tenang.

"Fasa sementara lepas koma. Kiranya kau macam ada suis la kejap sedar, kejap tak sedar. Sedar balik tak ingat apa-apa. Memori lama kau tak terganggu cuma kau ada masalah untuk simpan memori baru. Perkara normal je tu."

Rudy mengangguk memahami. Kenapa Ejen Geetha tak pernah beritahu pasal hal ini?

"Cuma..."

Rudy kembali mengangkat kepalanya. Ada lagi?

"Aku pelik dengan kau."

"Kau..." Shin meneguk liurnya. Teragak sedikit dia.

"Kau macam tak nak bangun."

"Maksud kau?" Rudy tidak mengerti.

"Sepanjang tempoh kau koma, kau okey. Tekanan darah kau normal, denyutan nadi normal. Walaupun kau dapat keruntuhan paru-paru tapi semua itu berjaya diselamatkan. Kitorang berjaya elakkan kau daripada mendapat cardiac arrest."

"Jadi? Apa yang peliknya?" Rudy tidak memahami. Bukankah itu memang terjadi pada mangsa koma?

"Kau faham tak apa yang aku cakap ni sebenarnya, Rudy?" Shin merengus kecil.

"Kau... okey. Sihat. Takda apa-apa. Tapi kau tak nak bangun. Walaupun kau sihat kau tak nak bangun." Sekali lagi dia berkata sambil menekan setiap patah perkataannya.

"Selalunya pesakit koma akan sedar sebaik diorang mendapat rawatan. Tapi kau... kau bukan macam dalam koma. Tapi kau macam tengah tidur. Tidur yang kau sendiri tak nak bangun-bangun."

Rudy terdiam. Sekarang baru dia faham apa yang ingin diutarakan Shin.

"Jadi aku nak tanya." Wanita mendekatkan wajahnya.

"Apa kena dengan kau sebenarnya? Kenapa kau tak nak bangun?"

Rudy mengerut tidak memahami. Jawapan itu ada pada dirinya ke?

"Kau... ada trauma lain ke?"

Mendengar tebakan itu Rudy terbungkam. Segera kepalanya dipalingkan. Lama dia berdiam. Cukup lama sebelum dia memejamkan mata untuk sesaat.

"Bukan masalah kau."

Shin terundur ke belakang. Jawapan Rudy ringkas namun bagi Shin dia cukup faham maknanya.

'Kau orang luar. Tak perlu sibuk hal aku.'

"Okey..." Shin mengangguk faham.

"Apapun aku tak boleh lepaskan kau tanpa bebelan," ujarnya seraya mencapai pamphlet kertas.

Pap!

Teraduh Rudy tanpa sedar. Tertunduk dia memegang kepalanya yang dilibas. Tak sakit mana namun cukup untuk mencalar maruah lelakinya.

"Berlagak hero! Kau ingat kau gempaklah berlari keluar Akademi macam tu? Nak jadi Romeo konon. Menyampah aku," herdik Shin.

Rudy memegang belakang kepalanya yang ditampar sambil mengetap rahangnya kuat. Hatinya tanpa henti menyumpah seranah.

"Jangan terfikir nak buat kerja bodoh lagi lepas ni. Ejen M.A.T.A. bergerak secara berkumpulan bukan individu."

Rudy terpaksa menyorokkan julingan matanya. Naik bernanah telinga Rudy mendengar benda sama. Bukan setakat jeneral saja yang memarahinya. Malah mentor, ejen-ejen senior juga.

Pun begitu, Rudy sedar apa yang dia buat salah. Dan sebab itu dia terima saja apa yang mereka lontarkan. Dia juga mengaku tindakannya sungguh tidak berakal.

"Jangan kau gatal-gatal nak masuk bilik latihan. Masuk bilik kau, rehat. Bersihkan badan ke apa patut," pesan Shin tapi lebih kepada arahan.

"Luka kau..." Shin merenung Rudy atas bawah. "Belum sembuh pun lagi, budak."

Rudy mengetap rahangnya. Budak? Berani sungguh dia panggil Rudy budak. Tak sedar diri tu katik. Sekejap saja, tubuh Shin sudah lesap di balik celahan pintu.

Rudy duduk menakur di atas tilam di bilik infirmary itu. Dinding dipandang. Siling ditenung.

Teringat dia semasa Ejen Geetha teragak-agak ingin memberikan dia Ambien semasa dia masih ditahan.

"Saya kalau boleh, tak nak awak ambil ubat ni. Tapi saya pun tak sampai hati tengok keadaan awak semakin teruk. Awak perlukan rehat sebab itu saya bagi tapi..."

Ejen Geetha tak nak saya ketagih. Bisik hati adamnya.

Rudy meraup segenap wajahnya. Dia tak nak aku jadi hamba kepada satu pil yang kecil. Dalam diam Rudy melafazkan syukur.

Syukur kerana dia bertindak mengikut akal. Bukan kehendak tak berkesudahan hati atau nafsu.

Tak lama, barulah Rudy bangun. Ingin menapak ke biliknya. Namun belum sempat dia membuka melangkah, wanita tadi kembali masuk ke dalam infirmary dalam gegas.

"Tolong ambik burn dressing dalam laci atas kedua belah kanan."

Tanpa berlengah, Rudy pantas bergerak ke arah yang diberitahu. Walaupun Shin yang tiba-tiba masuk semula ke dalam infirmary ini menghairankan, Rudy malas hendak bertanya.

Sebaik burn dressing berada di tangan, Rudy memusingkan tubuh. Terpanar dia tanpa sedar. Melihat gadis yang turut ada bersama Shin membuatkan wajah tegangnya kendur.

"Iman, Iman. Aku rasa baru haritu dahi kau melecur."

Perlahan-lahan Rudy meletakkan kotak bersebelahan Shin. Sempat dia menjeling jari runcing Iman yang sedang disapukan ubat.

Kenapa jari Iman merah?

"Kau, tolong balut tangan dia."

Rudy terpempan. Sedikit terbuntang matanya. Aku? Dia melihat Shin sudah mengangkat kaki ingin beredar.

"Weyh, kejap..." Belum dapat Rudy hendak menahan, Shin terus saja melesap.

Rudy meneguk liurnya kelat. Dia memandang Iman dan seperti dia juga, Iman memandangnya. Namun pantas Iman membawa matanya ke bawah kembali.

Sangat. Canggung.

Melihatkan Iman yang terkial-kial membuka balutan luka itu sendiri, Rudy mengeluh kecil. Mahu tak mahu terpaksalah dia tolong juga.

Baru saja dia ingin mendekati, satu jeritan lunak bergema dari luar.

"Iman-ah!"

Tersentak kedua-dua manusia itu memaling dengan jeritan disusuli kelibat wanita bertudung merah dengan seekor monyet di belakang.

Melihatkan wanita asing ini sudah mendekati Iman, Rudy tiada pilihan lain selain berundur diri. Tak lama, dia memilih untuk beredar dari situ.

Pintu biliknya ditutup rapat dan dikunci. Rudy mencampakkan telefonnya ke atas katil.

Rak dibuka ingin mengambil baju namun matanya mendarat pada kotak baldu biru kecil tanpa sengaja. Tingkah Rudy terhenti sesaat sebelum dia menarik nafas pantas.

Rudy membuang segala apa yang di benak adamnya. Pakaian dicapai dan rak segera ditutup. Selajur dia melangkah ke bilik mandi setelah mencapai tuala.

 

═ ∘◦❦◦∘ ═

 

ALI memanjangkan lehernya ke dalam suatu sudut di belakang stor. Sebaik matanya mendarat pada gadis bercekak kuning yang sedang duduk membelakanginya, dia terseringai jahat.

Ngeheh...

Ali berjalan penuh cermat ingin mengejutkan Alicia dari belakang. Membuat Alicia menyampah sudah menjadi hobi hariannya.

Tiba saja beberapa inci daripada gadis itu, dahi Ali lantas berkerut. Dia melihat skrin telefon Alicia yang memaparkan blouse kuning pastel turut dipadankan dengan beret walnut.

"Kau tengok apa... aduh!"

Jeritan halus Alicia kedengaran sebelum Ali mengaduh sakit.

"Ali!" Terbuntang mata Alicia melihat Ali. Lantas fail di tangannya dilepaskan.

"Aduh... apahal kau?" soal Ali sedikit marah.

"Apahal aku apa? Kaulah, siapa suruh datang dari belakang?"

Alicia membalas dengan nada garang cuba menyembunyikan rasa segannya. Liur terteguk perlahan.

Memang sahlah Ali nampak apa yang dia buka tadi. Telefon segera ditutup lalu dimasukkan ke dalam poket.

Aduh... macam mana Alicia boleh tak sedar kehadiran seseorang? Terkejut punya pasal, laju saja refleks tangannya membentes kepala Ali.

Ali mencebik kecil sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah kotak yang menjadi halal gap antara dia dan Alicia.

"Kau tak bosan ke asyik lepak sorang?" soal lelaki itu mencapai saja mana-mana fail.

"Aku lagi bosan kalau lepak dengan orang." Alicia menjawab tanpa menoleh.

Ali tergelak kecil. Kelakar. Dia membaca nama pemilik fail yang diambilnya.

Alynuur Haram. Nama asli Kwon Haram (권 하람).

Ali membaca isinya sebelum matanya terbuntang luas.

"Menanggung kerugian hospital sebanyak 10 juta?" Semput sesaat tika Ali menarik nafas.

"Dia tu hacker," kata Alicia bersahaja. Sudah agak Ali akan memberi reaksi begitu.

"Apa benda kes 10 juta ni?" soal Ali memandang Alicia ingin kepastian.

Alicia menutup seketika fail di tangannya.

"Haram tu anak kepada pengarah hospital kat Korea sana. Jun tahun lepas, hospital ayah dia kena hack. Semua data hospital mengenai pesakit, lesap macam tu je. Semua kegunaan elektronik macam lift, eskalator, pintu staff tak boleh pakai. Bilik ubat pun tak dapat bukak."

Berkerut-kerut dahi Ali mendengar Alicia bercerita.

"Haram tolong ayah dia tengok-tengok sistem hospital tu. Bila diperiksa, memang ada orang yang sengaja kacau kod hospital."

"Sebab?"

"Tak diberitahu. Tapi tengok pada corak, pihak tu sengaja nak kebas duit hospital dengan alasan akan datang untuk membantu klien dia. Kononnya nak selamatkan hospital tu la."

Ali mengangguk kecil memahami ekoran cerita.

"Kiranya bila Haram berjaya kembalikan semua data hospital, secara tak langsung dia dah jimatkan 10 juta yang kononnya 'ganti rugi' untuk hospital tu la, kan?" simpul Ali mendapat anggukan kecil daripada Alicia.

"Ohh..." Kagum Ali dengan kebolehan Haram. Dia menyimpan semula fail Haram dan matanya terjatuh pula pada fail milik Syarif.

"Aku tengok dia dengan Syarif rapat semacam. Risau."

"Diorang keluarga," balas Alicia mengerling Ali sekilas.

"Seriuslah?" Terbuntang mata Ali mendengarnya.

"Dan Syarif pun sebenarnya bukan muslim."

"Apa? Aduh!" Ali melekap sikunya yang terlanggar rak besi di belakang.

"Dia direkrut sebab M.A.T.A. tertarik dengan ketangkasan dia berfikir, kebolehan bercakap dalam 15 bahasa, mahir seni pertahankan diri dan fleksibiliti dia dalam mengadaptasi situasi tertekan," jelas Alicia tanpa dipinta. Daripada Ali tanya dulu, baik dia cakap awal-awal.

"Gilalah..." Hampir hilang kata-kata Ali. Bagus betul dapat member otak scan. Tak payah Ali penat baca panjang-panjang.

Memulakan latihan pertama sebagai pelajar tentera pada umur 9 tahun di New Zealand sebelum berpindah ke pangkalan Rusia pada umur 13 tahun.

Membaca semua kebolehan Syarif, Ali merasakan dirinya terlalu kerdil. Hebat sungguh orangnya. Lebih 10 bahasa dia boleh bercakap. Fail Syarif disimpan lalu diambil pula fail pelajar lain.

Aik? Nipisnya. Dia menyelak ke muka depan.

Dahi Ali berkerut. Pelik. Tiada sebab direkrut pun dalam rekod fail Shin.

"Kau baca apa..." soal Ali seraya memicingkan matanya membaca tajuk besar.

Manson Gill. Tergamam lelaki itu sesetika.

"Rekod pasal dia pun ada kat sini?"

Alicia sekadar menjongketkan kening. Manson telah menjadi antara sasaran M.A.T.A. setelah mereka dapat tahu lelaki itu juga antara penyamun yang menjual teknologi-teknologi tinggi Cyberaya di pasar gelap.

Semerta Alicia terduduk tegak secara mendadak. Terlompat kecil Ali dengan tindakan mengejut kawan itu. Dah kenapa dia?

"Arjuna?" Alicia menggumam perlahan.

Kening Ali tercantum. Siapa tu?

"Boyfriend kau eh?"

 

 

 

 

 

 

 

 

 

═════════
[AKAN DIEDIT]
Total words: 2.7k

Cuti sekolah nak habis. Tengah sendu ker tew?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro