Bab 30: Menggalangkan Batang Leher

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Pasukan pencari dan penyelamat sudah kembali!"

Laungan itu mencetus kekecohan di dalam khemah yang tadinya suram. Serta-merta, para wanita dan gadis kampung yang merawat mangsa segera heboh. Masing-masing menerpa ke pintu khemah.  Dari kejauhan, gerombolan pemuda kampung sedang bergegas. Tangis mulai bertindan-tindan apabila mereka melihat ada beberapa susuk tubuh digendong anggota penyelamat.

"Perawat sekalian! Bersedia untuk menerima mangsa! Bergerak ke tempat masing-masing sekarang! Nyawa mangsa bergantung kecekapan kalian! Jangan lengah!" Lantunan suara Putera Zulkarnain menyentak mereka semua. Spontan kaum wanita di dalam khemah itu mengelap air mata, menggantikannya dengan kecekalan. Berlari mereka mengambil peralatan.

"Mana tabib? Tolong! Budak ini masih hidup!" Deraman yang pertama menerpa khemah. Dia menggendong seorang kanak-kanak perempuan.

"Ini anak Pak Masul! Bawa ke mari, lekas!" Wanita separuh baya menuntun Deraman ke para kosong yang disediakan. Jasad kanak-kanak itu dibaringkan dengan berhati-hati. Deraman menyisih untuk memberi laluan anak-anak gadis kampung pula yang menerpa bersama air dan kain. Lima orang berkerumun untuk merawat mangsa pertama malam itu.

Setelah itu, seorang demi seorang mangsa yang masih berpaut di hujung nyawa dibawa masuk. Sesuai arahan Putera Zulkarnain tadi, mereka memberikan bantuan pertama. Mereka menggantikan pakaian mangsa, membersihkan tubuh mereka dari lumpur dan memeriksa luka dan kecederaan.

"Tuan tabib, kami sudah selesai di sini!" Seorang gadis melaung. Putera Zulkarnain melipat lengan bajunya lalu membuka langkah panjang ke arah mereka. Kanak-kanak perempuan tadi kini sudah bersih dan diselimutkan.

"Lapor," kata Putera Zulkarnain sambil mencapai pergelangan tangan kanak-kanak itu, mencari nadi. Ada, namun halus.

"Ada benjol pada dahinya, kaki kanannya seperti terseliuh dan tiada luka besar. Dia sempat sedar dan dapat menjawab tadi. Tapi, sekarang tertidur semula." Gadis itu melapor dalam senafas.

Putera Zulkarnain terus membelek kepala kanak-kanak perempuan itu. Dia mengusap benjol yang membiru di dahi dengan tangan yang bercahaya. Suara taKemudian, dia pindah memeriksa kaki kanan yang terseliuh. Tulang tidak patah, jadi keadaannya tidak begitu merisaukan. Hanya bibir yang kering menunjukkan kanak-kanak perempuan itu sudah kehausan dan kelaparan sepanjang terperangkap.

"Terus perhatikan pesakit. Pastikan dia sentiasa hangat. Kalau sedar nanti, cuba berikan dia makan dan minum sedikit demi sedikit." Putera Zulkarnain bingkas berdiri.

"Baik, baik! Terima kasih, tuan tabib. Terima kasih!"

Putera Zulkarnain sekadar mengangguk acuh tidak acuh. Dia segera meminta diri apabila ada kumpulan lain yang memanggilnya.

Seorang demi seorang dirawat dan berikan rawatan awal. Putera Zulkarnain berterusan menyalurkan kuasa penyembuhannya kepada mangsa-mangsa yang terselamat. Keriuhan di dalam khemah itu menjadi suara latar, tenggelam timbul di deria pendengarannya ketika fokus merawat.

Bunyi halus rintik hujan menimpa atap khemah sekali sekala singgah.

Sedar tidak sedar, hari sudah larut malam. Kedengaran sayup-sayup gema beduk dipukul 2 kali. Pukul 2 pagi. Ketika itu, suasana sudah mulai reda. Selepas mangsa yang ke-12 dihantar para pemuda kampung, mereka tidak muncul lagi. Para sudah penuh dengan pesakit. Manakala, para wanita dan gadis kampung terlentok di merata tempat untuk mencuri lelap.

Bunyi rintik hujan semakin lama semakin lebat.

Putera Zulkarnain memeluk tubuh. Kesejukan mula terasa. Air hujan mengalir cetek di kaki. Mujurlah tapak khemah itu dilitupi rumput. Tidaklah lecak pijakan mereka.

Walau bagaimanapun, paluan hujan yang semakin menjadi-jadi mengundang rasa tidak sedap di hati Putera Zulkarnain. Dia melangkah ke arah celah yang menjadi pintu khemah. Dua orang Satria Istana sedang berteduh di luar.

"Apa yang kalian lakukan di sini?" tegur Putera Zulkarnain. Mereka spontan bangun. Walau bagaimanapun, Putera Zulkarnain menahan, membuatkan mereka duduk kembali.

Mereka saling berpandangan sebelum salah seorang dari mereka membalas, "Kami hanya melepas lelah. Karunia kami sudah hampir habis, jadi Tuan Satria Jamdar menyuruh kami pulang dahulu." 

"Begitu..." Putera Zulkarnain hanya membalas ringkas. Matanya melilau mencari. "Di mana pasukan Satria Putera?"

Tiada kelibat Athari, Lanang, Jallal, Nasir, Bakti dan Guntur di mana-mana. Hanya ada beberapa orang Satria Istana dan pemuda-pemuda kampung yang kelihatan. Masing-masing kelihatan lesu, duduk bertebaran sambil teduh dari hujan.

"Mereka masih berada di tapak runtuhan."

Pantas Putera Zulkarnain menoleh kembali.

"Masih di tapak runtuhan? Tapi, saya lihat hampir semua Satria Istana ada di sini? Adakah misi pencarian dan penyelamatan masih belum selesai?"

Saria itu menggeleng. "Belum. Kami telah memindahkan sebahagian besar runtuhan tanah yang menimpa rumah-rumah di sekitar kaki bukit. Sekarang, penduduk kampung masih mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Kami harus kembali kerana kuasa kami sudah terkuras habis..."

"Jadi, kalian meninggalkan orang kampung sendirian di tapak runtuhan?" Suara Putera Zulkarnain tiba-tiba meninggi.

"Tuan muda, orang kampung yang berkeras mahu tetap tinggal dan mencari lebih lama. Kami pun tak sampai hati hendak melarang..." Satria yang kedua membalas takut-takut.

"Dua anak penghulu kampung masih ada di situ. Mustahil mereka akan biarkan apa-apa berlaku pada orang-orang kampung mereka. Tuan muda usahlah risau."

"Tapi, mereka bukan bangsawan!" herdik Putera Zulkarnain. "Hujan semakin lebat! Kalian tidak terfikirkah kemungkinan bukit itu akan runtuh ketika mereka masih mencari? Jika terjadi apa-apa, kalian mahu bertanggungjawab?"

Ada orang melatah dek terkejut dari dalam khemah. Putera Zulkarnain meraup wajah, baru tersedar dia sudah terkasar bicara. Perlahan Putera Zulkarnain melafazkan permintaan maaf pada dua Satria Istana itu. Mungkin kelelahan yang membelenggu yang mengacaukan fikirannya.

Putera Zulkarnain mengumpulkan sisa-sisa ketenangannya. Namun, guruh tiba-tiba berdentum keras, membuatkan dia tersentak.

"Mereka harus pulang." Putera Zulkarnain menyentap kelubung kulit yang tersadai di atas bangku. Dia melontarkannya ke atas kepala.

"Teng... tuan muda!"

Tanpa menghiraukan jeritan para Satria, Putera Zulkarnain memecut meredah hujan. Tumpuannya adalah cahaya api obor yang berkelip di kejauhan. Panggilan cemas Satria-satria Istana langsung tidak dihiraukannya.

"Sedikit sahaja lagi! Dia sudah hampir terkeluar!" laung Deraman. Anggota Satria Putera dan pemuda-pemuda yang lain berterusan menghayun cangkul. Jasad seorang lelaki tua yang tertimbun di dalam tanah sedikit demi sedikit digali. Masing-masing bekerjasama dengan cekap tanpa banyak bercakap. Jika ada air mata yang mengalir, dibiarkan sahaja bersatu bersama hujan. Jasad yang sedang cuba dikeluarkan, ialah satu lagi mangsa yang ditemui tanpa denyut nadi.

"Biar saya gerakkan tanah." Athari mencadang, berniat untuk membantu mereka dengan kuasanya.

Namun, Lanang terlebih dahulu menghalang. "Tak usah, Tuan Muda. Saya lihat Tuan Muda sudah pucat lesi. Khuatir saya jikalau Tuan Muda sudah terlalu banyak menggunakan kesaktian tuan. Pergilah berehat seperti Satria bangsawan yang lain. Biar kami menyelesaikan bakinya."

Athari mengerutkan kening. Sekali lagi, Lanang membahasakan dia dengan gelar kehormatan di depan orang lain. Dia terasa hati, tapi pasti ada sebab mengapa Lanang berbuat demikian. Beberapa pemuda kampung yang lain mengangguk mempersetujui kata-kata Lanang. Mahu tidak mahu, Athari terpaksa akur dengan pujukan mereka untuk menyisih di tepi.

"Baik, dalam kiraan tiga, kita tarik." Sekali lagi Deraman menjerit, menyaingi hujan yang kian deras. "Satu... dua, tarik!"

Jasad lelaki tua itu akhirnya bebas dari cengkaman tanah. Ramai-ramai pemuda di situ menghembus nafas lelah, terduduk. Jallal menawarkan diri untuk mengangkat jasad itu pergi ke pedati lembu yang menunggu. Dua orang pemuda bangkit untuk membantunya.

Titisan hujan yang tadinya hanya rintik sekarang sudah bagai dicurah dari langit. Lanang menepuk bahu abang sulungnya itu.

Deraman meraup wajah, lama. Dia akhirnya bercakap. "Saudara-saudara sekalian, marilah pulang. Kita akan menunggu hujan ini reda, barulah kita sambung semula. Maka..."

'Boom!'

Tiba-tiba, ada bunyi kuat bergema. Tersentak mereka semua. Mereka tertoleh-toleh mencari punca bunyi itu.

Guntur yang sedang duduk di tanah tiba-tiba melonjak berdiri. Dia berteriak cemas, "Semua orang! Lari! Lari dari sini! Cepat!"

Mereka tidak sempat terpinga-pinga dengan amaran Guntur. Tiba-tiba sahaja, tanah yang dipijak bergegar hebat. Dari puncak bukit, ketulan-ketulan besar tanah mulai bergulingan jatuh. Teriakan amaran mula bersahut-sahutan antara satu kumpulan ke kumpulan yang lain.

"Tanah runtuh lagi!"

"Keluar! Keluar! Keluar!"

"Cepat!" Guntur menjerkah anggota kumpulannya. Bertempiaran mereka berlari menuju ke dataran rata. Cangkul-cangkul ditinggalkan. Dalam kalut-kalut berlari, Athari menoleh ke belakang beberapa kali, memastikan tiada sesiapa yang tertinggal di belakang. Hanya Nasir dan Bakti berada tidak jauh di belakangnya.

"Ah!"

'Suara Bakti!' Athari menghentikan lajaknya. Bakti sedang tertiarap di tanah. Dia cuba bangun, tetapi kakinya tersangkut di dalam lubang. Nasir tergopoh-gapah membantu Bakti untuk berdiri semula.

Pada masa yang sama, bunyi tanah bergerak makin rancak, diikuti bunyi kayu patah. Bertindan-tindan, meluncur seperti gelombang tsunami, pantas menuju ke arah mereka berdua.

Berderau darah Athari. "Di belakang kalian!"

Nasir terus memikul Bakti di bahu seperti memikul guni beras.

"Cepat, Nasir!" jerit Lanang. Bakti melolong ketakutan di bahu Nasir, melihat gelombang tanah yang makin hampir mengejar mereka

Sebaik sahaja Nasir dan Bakti menyertai, mereka berempat berlari menuruni bukit. Permukaan yang terjal menyukarkan mereka untuk bergerak lebih pantas. Guntur dan Jallal sudah seperti cacing kepanasan menanti mereka di tanah lapang. Apabila mereka sudah bertembung, baru mereka berlima menyambung pecutan.

Seseorang tiba-tiba berselisih dengan mereka, berlari arah bertentangan. Athari spontan memusing tubuh. Orang gila mana yang menempah maut ini?

"Hei, bahaya!"

Orang itu meloncat tinggi ke udara. Bila mendarat ke tanah, blok gergasi menjulang tinggi dari bumi. Namun, blok itu semakin sendeng.

"Sokong!" jeritnya.

Athari terbeliak. Itu Putera Zulkarnain!

"Jangan kekal di situ!" jerkah Athari. Tetapi, Putera Zulkarnain seperti tidak mendengar amarannya. Athari  menghentak tumit ke bumi. Tidak semena-mena, terpacul tanah seperti batang kayu balak, memancang blok tanah buatan Putera Zulkarnain. Satria Istana yang masih ada di sana juga spontan menambahkan pancang.

"Berundur sekarang!" Putera Zulkarnain berlari patah balik. Bunyi kuat masih kedengaran, namun gelombang tanah runtuh itu dapat ditahan oleh benteng yang baru tercipta.

Beberapa detik kemudian, bunyi runtuhan berhenti. Suasana serta-merta sunyi sehingga semua yang ada di situ dapat mendengar deru nafas masing-masing. Athari segera membuka langkah kepada Putera Zulkarnain.

'Kenapa dia ada di sini?' jeritnya cemas di dalam hati. Dia tidak memperdulikan dadanya yang semakin sempit. Putera Zulkarnain tidak perlu menggalangkan batang lehernya di sini!

"Cepat kira anggota kumpulan masing-masing!" Putera Zulkarnain menjerkah. "Laporkan segera jika ada kehilang..."

Tanpa amaran, Putera Zulkarnain tiba-tiba tumbang ke belakang.

"Tengku!" Athari sempat menyambut tubuh Putera Zulkarnain. Kepala putera itu terlentok dan tengkoloknya tercabut, memperlihatkan rambut yang selama ini tersembunyi. Ketika itulah, Athari merasa jantungnya seperti direntap orang.

"Teng... Tengku?" Menggigil tangan Athari menepuk-nepuk perlahan pipi putera itu.

Putera Zulkarnain tidak bergerak sama sekali.

Akan bersambung...

"Menggalang batang leher"
[Maksud; Menyabung nyawa kerana hendak menolong seseorang. alang = lintang, tahan]

P/s: Niemza di sini!
Kepada yang telah setia membaca 'Kronika Inderagana' sehingga bab ini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih! Terutamnya, kepada yuuki_aida yang tidak pernah gagal untuk jadi pembaca, pengundi dan meninggalkan komen yang paling awal setiap kali saya terbitkan bab baru. Terima kasih juga kepada yang sudi membaca dan meninggalkan undian, termasuklah para 'silent reader' yang sudi singgah walau sebentar di cerita ini.

Saya telah menerbitkan KI tepat 1 Julai 2023. Sekarang sudah 5 Ogos 2024.
Bila saya kira, tarikh ni tepat-tepat berjarak 400 hari! Hahaha, dahsyat juga proscrastination saya ni. Selama itu, cerita ini berjaya dapat...
3565 views
684 votes
76 engaged readers
Yeay! Alhamdulillah. Okaylah tu... saja letak sini sebagai rekod dan penanda aras untuk bahagian yang seterusnya.

Cerita ini masih belum selesai. Putera Zulkarnain masih belum dapatkan apa yang dia mahu, tapi ada halangan yang tidak terduga harus dia tempuh. Tapi, untuk draf (sebenarnya, saya buat revision dan editing untuk versi Wattpad, jadi ini Draf 2.0) saya rancang nak terbitkan sehingga bahagian ini sahaja untuk tatapan umum. Sambungan cerita, saya masih bertungkus-lumus tukang.

I doubt myself a lot. I feel so lost. I'm unsure about so many things.
Tapi, saya katakan pada diri saya, saya nak kisah Putera Zulkarnain menemui penamatnya. I want to debut as published author with him as my first protagonist. I love him dearly, although I'm struggle to write this story. Doakan supaya saya mudah dapat ilham dan idea sentiasa mengalir lancar, ya!

Kalau sudi, kongsikanlah cerita ni pada orang lain!  Itu sahaja, terima kasih!💕

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro