3 Janji

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Berdebuk bunyinya bila tubuh abang jatuh di atas lantai. Aku melompat turun dari kerusi tapi jatuh tersembam kerana kegopohanku.

Ketika aku cuba bangun semula, aku nampak barang-barang besi di atas meja yang dirempuh abang bergoyang-goyang. Abang masih tidak bergerak, terbaring saja di lantai sedangkan silinder besi di atas meja tumbang, bergolek, hampir ke bucu meja... dan dalam beberapa saat, akan jatuh menghempap abang!

Alamak, aku takkan sempat!

"Tidak!" Aku jerit histeria.

Lalu, perkara pelik itu terjadi lagi! Silinder besi yang berat itu berhenti di awangan, nyaris-nyaris mengenai abang. Sejengkal lagi bucunya yang tajam dari perut abang.

"Gahh!!" Abang tersedar kerana jeritankj. Dia spontan bergolek ke tepi.

Dia memandang aku dan silinder besi itu berkali-kali. Aku pula masih terkaku.
Ada sesuatu yang berdenyut di kepalaku. Ada sesuatu yang bagai menjalar ke seluruh saraf otakku!

  "A...abang, apa patut Arash buat?" Suaraku mengeletar. Aku bahkan tidak berani mengalihkan pandangan dari silinder besi itu.

"Wah, Arash betul-betul ada kuasa Telekinesis!" Abang kedengaran kagum.

"Abang?!!" Sempat lagi dia hendak kagum sekarang?

"Okey, maaf. Dengar. Telekinesis bergantung arahan minda kamu. Fokus pada silinder itu. Bayangkan ia kembali ke atas meja semula."

Aku ikut kata-kata abang. Silender besi itu aku renung tajam sambil membayangkan aku sedang mengangkatnya dengan tangan ghaib.

Berjaya! Perlahan-lahan silinder itu terangkat dan kembali elok terletak di atas meja.

Sejurus selepas itu, aku terduduk lemah. Penat! Tenagaku bagai diperah habis. Nafasku termengah-mengah, seperti baru sahaja berlari pecut. Ada cecair hangat yang mengalir dari hidungku. Aku lap dengan belakang tangan kiri.

"Darah?!"

"Ini perkara normal bila kamu baru gunakan telekinesis. Mari sini abang tolong," Abang tiba-tiba mencangkung di sebelahku.

Dia membuka peti kecemasan milik ibu dan mengeluarkan kain kasa sintetik. "Gila! Ini pertama kali abang tengok orang ada kuasa telekinesis!" katanya sedikit teruja sambil mengelap darah yang mengalir dari hidungku.

"Eh, abang pun cederalah!" aku merampas kain kasa itu dari tangan abang lalu menekapkan kain itu pada pipinya yang bergaris luka.

"Sakit!" Dia spontan menjauhkan wajahnya. Tangannya perlahan mengusap pipinya kelihatan merah dan bulat. Kesan terkena bola tadi!

"Alamak... Apa Arash dah buat ni?" kataku panik. Melihat kecederaan abang, aku rasa mahu menghantukkan kepalaku ke dinding. Aku tertunduk.

Abang mengangkat daguku sambil tersenyum. "Abang tak apa-apa."

Aku menggeleng laju.

"Baru sekejap! Kuasa yang ada pada Arash dah cederakan abang. Bagaimana pula nanti? Arash tidak mahu kuasa ini! Bagaimana nanti kalau Arash akan bun..." Abang mencekup mulut aku kuat tanpa aku sempat menghabiskan ayat. Kali ini wajahnya serius.

"Berhenti gelabah, boleh tak?"  Dia mendesah sambil menurunkan tangannya. "Itulah Arash, senang betul nak gelabah.''

   Dia mengambil kain kasa lain dan mengelap darah hangat yang masih mengalir dari hidungku. Aku menahan tangannya lalu mengambil kain kasa itu sendiri. Hidungku berdarah atau tidak, aku rasa tak selesa bila abang buat begitu. Aku menekapkan kain kasa itu pada hidungku sambil memandang ke arah lain.

"Perkara yang dah jadi, Arash. Terima hakikat. Arash nak lari kemana kalau inilah takdir yang telah terikat pada Arash? Abang pun terkejut. Tapi, kemampuan baru kamu ini sebahagian daripada kamu juga. Kuasa pun itu datang dari sini." Abang menjentik dahiku.
 
"Aww...!"

''Masalah kita sekarang, bagaimana kamu nak menyembunyikan kemampuan kamu itu daripada orang-orang di Rionzess itu!" kata abang tegas.

Darah yang mengalir dari hidungku sudah berhenti. Denyutan saraf-saraf kepalaku yang sebentar tadi rasa macam nak meletup  juga sudah semakin surut. Walau bagaimanapun, aku rasa pening-pening lalat sedikit.

"Okey tak?" tanya abang bila aku menggumpal kain kasa sintetik yang penuh darah itu. Aku angguk perlahan. Abang pun menghulurkan paket tisu basah sintetik pula kepadaku. Aku bersihkan kesan darah dengan cepat. Macam raksasa agaknya jika aku lihat wajah aku yang comot sekarang.

"Abang, Arash nak tanya...," Aku akhirnya memecahkan kesunyiaan.

"Tanyalah," Abang bersila di hadapanku sambil mengemaskan peti kecemasan.

"Seberapa banyak abang tahu tentang kuasa minda separa sedar ini? Reaksi abang melampau! Arash sedang ketakutan tetapi abang pula teruja?"

Gerak tangan abang terhenti seketika sebelum dia menyambung, ''Abang tak tahu banyak. Apa yang ayah beritahu abang, itulah apa yang abang tahu. Apa yang abang tahu? Semua yang abang sudah beritahu kamu."

Dia memandang aku tepat ke dalam mata, "Abang tak peduli kamu ada kuasa boleh terbang atau apa-apa sahaja sekalipun. Apa yang abang tahu, kamu masih manusia normal dan tak termutasi. Titik!"

"Jadi, pahlawan zaman dahulu dan manusia super yang boleh terbang-terbang tu betullah?"

"Kenapa? Tak percayakan abanglah selama ini?" Abang angkat kening.

Aku mengangguk teragak-agak. "Masalahnya tak logiklah cerita abang. Selama ini Arash anggap fiksyen saja..."

"Bila kamu dah jadi begini sekarang?"

Aku mencebik. Sinis sungguh soalan retorik abang. Abang ketawa. Tak guna betul. Dia bolehlah kata begitu sebab yang merasa aku!

   "Tahu pun! Dah, sekarang kita kena sembunyikan kuasa kamu ini untuk sementara waktu. Tapi, satu hal abang nak minta pada kamu. Boleh janji pada abang?"

"Jan... janji apa?"

Abang menghela nafas berat. Dia diam sejenak sebelum berkata, "Pertama, abang nak Arash yakinkan diri kamu sendiri, kamu bukan manusia biasa lagi. Masih normal, masih waras... cuma kamu berbeza. Dan abang mahu kamu terima hakikat itu."

Aku angguk kemudian aku geleng. Permintaan abang agak sukar untuk aku penuhi. Terima hakikat tak semudah berjanji! Ada tak sesiapa yang faham perasaan aku sekarang ni? Ada tak?

Ada perubahan berlaku pada badanku tanpa aku relakan. Memanglah aku kononnya dapat kuasa luar biasa, tapi apa maknanya kalau hidup aku tak sama macam dulu lagi? Lebih ironi, perubahan yang tak aku inginkan ini mengancam nyawaku!

Aku cuma nak hidup normal! Hanya itu.

"Kenapa pula Arash tak mahu?" tanya abang perlahan. Tak mampu menatap pandangan hampa abang, aku hanya tunduk sambil meramas tangan.

Aku menggeleng perlahan.

"Arash takut..." bisikku perlahan. Aku malu mahu mengaku, tapi itulah apa yang aku rasakan sekarang. Ya, memang aku lemah, lembik atau apa-apa sajalah!

"Ah, sudahlah Arash! Abang tak suka tengok kamu begini," Nada suara abang kedengaran meninggi. "Apa yang abang pernah kata tentang ketakutan?"

Aku mengangkat wajah memandang abang. Tegangnya wajah abang buat aku rasa cuak. Aku gelabah.

"Ke...ketakutan ialah salah satu perasaan natural yang ada pada manusia. Tapi, takut yang melampau-lampau pada sesuatu ialah sekatan minda yang boleh mengekang kemajuan seseorang. Contohnya, fobia," Aku menjawab perlahan. Kata-kata itu ialah kata-kata yang selalu abang ulang kalau dia mengesan ketakutan padaku.

Semasa aku masih budak, aku takut ketinggian, takut kegelapan dan takut berjumpa orang yang tidak dikenali (kebanyakannya pelanggan abang. Aku tak tahu kenapa aku selalu jadi mangsa dicubit-cubit orang dewasa semasa aku kecil. Bukannya aku comel sangat pun!)

"Lagi?" tanya abang. Dia berpeluk tubuh sambil menjongketkan keningnya, menanti jawapanku.

"Ketakutan yang dibiarkan mencengkam hati akan buatkan kita lemah. Ketakutan yang dilawan akan menjadikan kita kuat. Cara mengatasi ketakutan ialah lawan!"

"Tahu pun!" sindir abang.

Aku tersenyum kelat. Kurang asam punya abang. Pandai betul dia. Dia buatkan kata-kata aku sendiri kena tepat ke batang hidung aku. Betul juga apa katanya. Aku harus berani untuk mengatasi ketakutan ini. Sama macamana aku berperingkat mengurangkan ketakutan-ketakutanku semasa aku kecil dulu.

"Jadi, Arash boleh berjanji dengan abang? Janji untuk terima apa seadanya keadaan kamu sekarang?''

"Arash akan cuba," balasku, ayat terbaik yang dapat aku berikan.

"Bagus! Sekarang, abang nak Arash janji supaya tak salahgunakan kuasa kamu ini."

Abang meletakkan telapak tangannya pada ubun-ubunku lalu menyambung, "Jangan pernah guna kuasa kamu ini, kecuali untuk kebaikan."

"Mestilah! Tapi, kenapa abang cakap begitu?"

"Bukan abang tak percayakan kamu. Abang tahu jiwa kamu luhur. Tapi, abang takut kuasa ini akan buatkan kamu tamak kerana dirasuk inginkan kekuasaan. Ingat Arash, kuasa ini bukan kelebihan. Tapi, ia semacam menjadi tanggungjawab kepada kamu. Kita tak tahu takdir yang tersirat. Mungkin kamu ditakdirkan untuk lakukan kebaikan dan menegakkan keadilan dengan kuasa ini....'' Abang menurunkan tangannya sambil merenung anak mataku dalam-dalam. "Boleh?"

Kali ini aku mengangguk.

"Janji yang ketiga, abang mahu kamu rahsiakan identiti kamu. Jangan pernah beritahu kamu ada kuasa ni pada sesiapa. Terutama orang-orang di Rionzess. Jangan beritahu siapa ayah atau ibu. Kata kamu cuma ada abang seorang. Darimana kamu tahu tentang kepalsuan dakwaan Rionzess ini pun rahsiakan."

Kali ini aku mengangguk . Kami berdua sememangnya punya rahsia tersendiri. Contohnya makmal rahsia ini. Cuma yang masih menjadi misteri kepada aku, kenapa abang tak pernah  aku dedahkan siapa ayah dan ibu kepada orang lain? Kadang aku curiga ayah dan ibu ada menyimpan rahsia yang lebih besar dari pengetahuan kami. Tapi, biarlah. Abang pasti ada sebabnya sendiri.

Abang bangun sambil menepuk-nepuk seluarnya. Kemudian, dia bercekak pinggang. "Sekarang, masalah utama kita ialah...bagaimana kita nak bersedia menghadapi orang-orang gila di Rionzess."

[1409 words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro