Kelebihan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Jadi..."
suara Elyssa yang lunak memecahkan kebisuan yang terapung-apung antara kami.

Dia tersenyum, "Sebab kita sudah rasmi menjadi sekutu, apa kata kalau kita saling berkenalan? Kelebihan kamu atau sedikit sebanyak latar belakang, mungkin?"

Daripada gerak-gerinya yang kurasa agak dibuat-buat, aku tahu Elyssa sedang cuba menceriakan suasana kekok antara kami.

"Kamu mula dulu, sebab kamu yang paling pendiam dari tadi!" dia tiba-tiba menuding jari ke arahku.

Aku terkejut. Laju telunjukku mengarah ke arah diriku sendiri.

"Hah, boleh jugak. Lu budak yang paling akhir masuk Dome tu, kan? Kejam betul Kapten Zilgaf layan lu," kata Nikho. Dia berpusing arah untuk menghadapku. "Ceritalah sikit pasal diri lu."

Memandangkan mata mereka semua sudah merenung ke arahku, mahu tak mahu aku memulakan bicara. "Sa... saya Arash, 17 tahun. Saya tinggal di luar Rionzess bersama dengan abang saya. Dan..."

Kemudian, aku terkelu. Aku tak tahu hendak cakap apa lagi tentang diriku. Mustahil aku hendak ceritakan soal ibu bapaku. Itu rahsia yang harus aku simpan kerana mengingat janjiku dengan abang.

"Biar betul lu tinggal di luar Rionzess?! Wa ingat Kapten Zilgaf main-main kata lu tinggal di luar. Tak bahayakah? Kenapa tak mahu tinggal dalam Rionzess?" tanya Raizhan bertalu-talu.

Aku tergelak kecil sambil mengangguk. "Saya tinggal beberapa kilometer dari Rionzess. Kena lalui kawasan bukit-bukau dahulu sebelum sampai ke rumah saya. Hendak kata bahaya, tak adalah bahaya. Hidup terasa lebih aman dan bebas!" kataku dengan teruja. Ya, aku bangga dengan kehidupan aku yang normal dan biasa-biasa.

Sesaat kemudian, ada sebak yang setajam jarum menikam hatiku. Aku terdiam.

Rumah. Dapatkah aku kembali ke sana?

"Peliklah lu ni," komen Nikho buatkan aku kembali ke realiti. Aku cuma tersenyum kelat.

"Hah, giliran lu pula," Nikho menuding ke arah Raizhan.

"Bukankah wa sudah bagitahu nama wa tadi?" balas Raizhan, malas.

"Wa sudah lupa nama asli lu. Wa cuma ingat lu sebagai Riffle_X yang suka bikin panas," kata Nikho pula sambil tersengih.

Raizhan tunjuk muka menyampah.

"Nama wa Raizhan. Ingat, Raizhan, jaguh dunia VR!"

"Eleh, pernah juga lu kalah dengan wa," sampuk Nikho.

"Baru sekali dua sudah berlagak," Raizhan mencebik buatkan Nikho dan Elyssa ketawa.

"Dunia VR tak mainlah! Dunia nyata lu siapa?" kata Nikho lagi.

"Wa dunia nyata? Di dunia nyata, wa tak ada keluarga. 17 tahun. Wa tinggal di kawasan urban di bahagian timur Rionzess. Wa sara hidup wa dengan ikut pertandingan dunia VR, lumba haram dan kadang-kadang gusti. Tch, sebenarnya lebih banyak wa habiskan hidup wa dalam dunia VR," balas Raizhan.

"Lari dari realiti?" sampuk Elyssa.

"Lari dari realiti," Raizhan mengangguk.

"Hah..." Nikho menghela nafas. "Hidup lu lebih kurang sama dengan hidup wa..."

"Jangan lu reka cerita. Apahal pula kita sama?" kata Raizhan. Nikho hanya menjelingnya tajam.

"Betullah! Buat apa wa reka cerita? Wa mula banyak habiskan masa wa dalam dunia VR masa wa umur...9 tahun. Mula-mula tu wa cuma main-main. Lepas tahu wa boleh buat duit dengan menang main permainan ni, baru wa mula serius. Kira-kira masa umur wa 15 tahun."

"Dua tahun lepas kita dapat jumpa, dalam dunia VR jugak!" sampuk Raizhan.

"Betul, sejak tulah lu dan wa jadi seteru!" sahut Nikho sambil menepuk lutut. Mereka berdua saling merenung sebelum sama-sama ketawa berdekah-dekah.

Aku dan Elyssa ikut ketawa, terhibur melihat gelagat mereka walaupun tak tahu hujung pangkal.

"Wei, tadi kata tak mau tahu pasal dunia VR. Sekarang lu sendiri lebih-lebih cerita pasal tu. Cakaplah pasal lu di dunia realiti. Dunia realiti lu siapa?" kata Raizhan setelah tawa kami reda.

"Wa tinggal dekat bahagian selatan Rionzess. Kerja sebagai mekanik, tolong atuk wa," kata Nikho pendek.

"Mekanik? Lu biar betul?"

"Lu jangan pandang wa sebelah mata. Wa begini-begini pun hebatlah!" tegas Nikho. Raizhan cuma angkat kening, tanda dia masih ragu.

"Elyssa?" Tanya Raizhan pula.

Elyssa tersenyum manis, "Saya tinggal di selatan Rionzess juga. Penempatan dekat Dinding Rionzess. Saya bantu mama jaga cafe. Walaupun saya tak begitu pandai bertarung, saya pandai masak. Makanan kamu semua, serahkan kepada saya!" katanya penuh semangat.

"Yeah!" Serentak aku, Raizhan dan Nikho bertepuk tangan.

"Jangan risau Elyssa. Soal lawan-lawan serah kepada kami berdua," kata Raizhan.

"Hmm, yalah tu. Habis tu, Arash pula buat apa?" Kata Nikho pula. Aku tersentak bila namaku disebut.

"Err..." Lidahku terkelu.

Aku tak kuat, aku tak pandai bertarung dan aku tak tahu tentang dunia VR ni. Pendek kata, aku ini ialah ahli lemah dalam kumpulan ni.

Apa kelebihan aku yang dapat aku sumbang untuk mereka?!

"Me... memasak, mungkin?"

Nikho dan Raizhan memasang wajah.

"Tch, kita tak perlukan dua tukang masaklah. Takkan lu tak pandai bertarung?" kata Raizhan.

Aku geleng.

"Oh, wa lupa," kata Raizhan sambil menepuk dahi. Dia tersengih. Aku yakin dia teringat kembali peristiwa memalukan yang menimpa aku di Dome. Aduh...

"Memanah?" Tanya Nikho pula.

Aku geleng lagi.

Raizhan dan Nikho saling bertukar pandang.

"Lu tukang bawa barang!" Kata mereka berdua serentak.

Aku menghembuskan nafas. Pasrah. Haih... jadi kuli pun jadi kulilah.  Sekurang-kurangnya, ada juga fungsinya aku dalam kumpulan ini.

"Kamu buat apa di dunia nyata sebenarnya?" Tanya Elyssa. Nasib baik nada suaranya lembut dan lunak. Kalau tidak, pasti aku akan terasa hati kerana seolah-olah merasa dia sedang mengejek kekurangan aku.

"Saya tak bersekolah. Belajar pun dari abang saya saja. Saya belajar membaiki alat elektronik dan membuat reka cipta." kataku perlahan.

"Wa percaya lu dengan abang lu memang hebat dalam reka cipta. Wa sendiri sudah nampak buktinya tadi," kata Raizhan.

Aku tersenyum nipis. Taklah aku terlalu mengalami kejatuhan moral mendengar kata-katanya itu.

"Masalahnya, wa tak rasa kebolehan lu boleh pakai dalam dunia VR ni sekarang. Sebabnya, latar dunia VR ini ialah zaman teknologi elektronik belum wujud lagi."

Ah, sudah...
Apa aku boleh buat? Mereka-cipta alatan elektronik ialah satu-satunya kelebihan yang aku ada. Aku menggosok tengkuk. Kalaulah ilmu yang aku ada itu tidak berguna di dunia ini, macamana aku mau bertahan hidup?!

Matilah aku...

"Eish, tak mengapalah kalau begitu. Walaupun kemahiran Arash tidak boleh diguna pakai sekarang, saya rasa Arash ada kelebihan lain. Biasanya, pereka cipta ini orang yang bijak dan kreatif! Betul tak, Arash?" kata Elyssa.

Aku hanya senyum kelat. Hendak mengangguk mengiakan, rasa tak layak. Hendak menggeleng, rasa bersalah pula.

Namun, apa yang pasti aku rasa lega sebab ada orang yang membela aku. Pada masa yang sama, aku juga rasa malu dengan kekurangan aku.

Haih...

"Sshh, shhh!" Nikho tiba-tiba mendesis. Telunjuknya tegak di bibir, mengisyaratkan kami untuk diam.

Aku kemam bibir, Elyssa menekup mulut.

"Raizhan?" bisik Nikho. "Lu dengar apa yang wa dengar?"

Raizhan diam seketika, mendengar dengan saksama. Dia mengangguk dengan tersenyum senget.

"Jom. Kita tengok kebolehan masing-masing," balas Raizhan, separuh berbisik. Tangannya digerak-gerakkan di batang lehernya, seolah-olah memotong leher sendiri.

"Okey," Nikho bangun. Dalam keadaan membongkok, dia dengan pantas dan senyap bergerak ke pintu gua.

Tanpa aku sedar, dia sudah mengambil senjatanya semula. Padahal, senjatanya itu tepat berada di belakangku.

Raizhan pula meminta pedangnya elok-elok daripada Elyssa. Dia kemudiannya menyertai Nikho, mengintip keluar gua di sebalik juntaian tumbuhan menjalar.

Mereka berdua berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Dari mimik muka dan gerakan tangan mereka, aku dapat agak mereka sedang merancang strategi.

Tiba-tiba, Raizhan berpaling dan menepuk bahuku. "Arash, lu diam-diam dalam sini. Wa mau keluar sekejap. Ambil barang."

"Arash, lu jaga Elyssa baik-baik. Kalau dia luka sikit, siap lu!" pesan Nikho berbaur ugutan.

"Ta... Tapi?!"

Dan, mereka berdua melompat pergi. Kelibat mereka berdua dengan pantas menghilang di sebalik pokok-pokok.

Aku getap bibir geram. Apa yang mereka fikirkan sebenarnya? Tinggalkan kami berdua di sini, tanpa perlindungan?!

Aku meraba pisau-pisau yang tersisip di tali pinggang yang aku pakai. Aku cuma punya ini sebagai senjata, sebab aku tak tahu gunakan busur panah. Elyssa pula seperti tidak membawa sebarang senjata.

Argh!! Bolehkan aku mempertahankan diri aku dan Elyssa dalam keadaan begini?! Bagaimana kalau ada pemain lain muncul di sini? Habislah...

"Arash!"

Elyssa tiba-tiba menarik pergelangan tanganku. Aku terduduk.

"Kenapa?!"

"Shhh!" Elyssa mengisyaratkanku untuk diam dengan panik. "Ada orang!" bisiknya.

Mataku terus terbeliak. Spontan aku menarik dia untuk merapatkan badan pada batu-batu besar yang menutupi pintu gua itu.

Kami berdua membatukan diri. Elyssa menekup mulutnya kuat. Aku pula seakan-akan menahan nafasku.

Dari jauh, aku mendengar bunyi derap tapak kaki. Bunyi ranting patah dan bunyi dedaunan lembap yang dipijak semakin lama semakin kuat.

Aku semakin berdebar-debar. Mengalir peluh dingin dari dahiku menuruni wajahku. Tak guna! Kenapa sekarang musuh muncul pula?

Elyssa memegang hujung bajuku dan menggenggamnya kuat. Wajahnya berkerut, jelas mempamerkan ketakutan.

Entah mengapa, saat mencemaskan itu aku mampu senyum kepadanya.

Aku capai sebilah pisau yang bersaiz paling besar antara pisau-pisau kecil itu. Berbentuk tirus dan berbucu tajam. Bentuknya seperti kunai, pisau yang aku nampak dalam buku sejarah lampau milik abang. Pernah digunakan oleh ni...ninja? Entahlah.

Kunai itu aku serahkan kepada Elyssa.

"Pegang," bisikku kepadanya. Dia mengambilnya teragak-agak dengan dahi yang berkerut. Aku pula mengambil dua bilah kunai yang lain.

Bunyi derap kaki itu semakin hampir. Aku dapat dengar dengan jelas.

"Drap, drap, drak!"

Berdasarkan jelasnya bunyi yang aku dengar, ada orang lain di luar gua tempat kami bersembunyi. Seorang. Aku yakin cuma seorang.

Dia melangkah lagi.

Tolonglah jangan ke sini...
Tolonglah jangan ke sini...
Tolonglah jangan ke sini!

Dan, dia berhenti di situ.

[1517 words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro