Latihan Memburu

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Arash. Wei, bangunlah!" Bahuku terasa digoyang-goyang.

"Bangun!" Raizhan terus mendesak. Lagi ganas dia menggoncang badanku. Aku menghela nafas kesal. Mahu tak mahu aku membuka mata.

Aku menguak selimut yang diperbuat daripada bulu binatang lalu duduk menghadap dia yang sedang mencangkung di hadapanku.
Aku menguap sambil menggosok mata.

Ditarik secara tiba-tiba daripada alam mimpi buatkan aku bingung seketika di mana aku berada. Suasana masih gelap. Pagi pun belum hampir lagi.

"Wargh!" Aku segera berpaut pada dahan yang paling hampir. Aku terkejut melihat aku sedang duduk di mana. Di atas dahan pokok!

"Kau ni dah kenapa?" Raizhan menghempuk kepalaku. Aku tersengih getir sambil air liur. Aku pandang sekeliling termasuk tanah keras yang berada jauh di bawah. Seriau!

Lupa.

Aku memang tidur di atas pokok. Begitu juga dengan mereka yang lain. Beg tidur kami yang diperbuat daripada kulit dan bulu binatang kelihatan seperti kepompong besar yang melekat pada dahan pokok.

Kami memakukan beg tidur kami pada dahan pokok supaya tak terjatuh. Semuanya gara-gara arahan Raizhan dan Nikho. 'Keunikan' tempat kami tidur ini hampir buat jantung aku luruh! Semalam aku ambil masa yang agak lama untuk melelapkan mata dalam keadaan aku sedang gayat begitu. Jadi, sekarang aku masih pening-pening lalat. Argh, kepalaku masih kacau-bilau sebab tak cukup tidur!

"Kenapa kejutkan saya pagi-pagi begini Raizhan?" tanyaku dalam keadaan mamai. Menguap lagi. "Kita hendak bergerak sekarangkah?"

"Bukan. Aku nak ajak kau pergi memburu. Aku rasa nak makan daginglah...."

"Sekarang?"

"Ya, sekarang! Cuma waktu sekarang binatang buruan banyak berkeliaran."

Aku bergulung masuk ke dalam selimut semula. "Tunggulah pagi sikit... Saya mengantuklah, Raizhan. Rasa saja daging. Padahal, itu cuma suntikan nutrien..."

Kedengaran Raizhan mendengus. Selimutku ditariknya. Dalam keadaan mataku yang masih kabur, aku melihat Raizhan menggapai dan menarik ranting berdaun yang berada diatasku.

'Swassh!' Ranting basah itu dilepaskan.

"Sejuknya!" jeritku sebaik sahaja embun menimpaku seperti hujan. Serta-merta mataku membulat segar.

"Raizhan!"

Raizan cuma ketawa tanpa rasa bersalah. "Sekarang kau dah tak mengantuk. Jom ikut aku memburu. Mana senjata kau?"

Tanpa memperdulikan aku, Raizhan menyelongkar tumpukan beg yang aku susun di cabang dahan yang lain. Dia menemukan pedang, pisau, set kunai milikku dan rod hoverboardku. Lalu, dia campak semuanya dalam ribaanku dengan selambanya.

"Jom!"

Aku meraup wajah yang masih dibasahi embun. Dinginnya embun itu terasa menyucuk kulit kerana sejuknya pada pagi itu.

"Kenapa kali ini tidak ajak Nikho?" Dengan sepenuh tenaga aku bangkit juga dari beg tidurku. Aku bersiap apa adanya.

"Malas. Asyik-asyik dengan dia. Lagipun, dia takkan mahu beri kerjasama. Jadi, lebih baik aku bawa kau. Anggap sajalah ini sebahagian daripada latihan."

"Saya pun malas juga, Raizhan..." rungutku perlahan.

"Apa lu kata? Lu malas ikut wa?" Tiba-tiba nada suara Raizhan berubah dingin.

Aku mendongak dan bertembung pandangan matanya yang setajam mata helang. Sengihannya tadi hilang. Tubuhnya seakan-akan keluar aura hitam. Auranya pula lebih gelap daripada kegelapan malam. Serta-merta aku berpeluh dingin.

"Eh, tak. Sa-saya ikut!" kataku kalut. Lebih-lebih lagi apabila tangannya bergerak menyentuh tengkuknya.

"Bagus!" Raizhan menayangkan sengihannya lagi. "Kau memang kawan aku!"

Hujung jarinya yang tadi memegang hulu pedang diturunkan. Wajahnya kembali berekspresi teruja dan bersemangat.

Aku telan liur.

Raizhan...
Dia sangat menakutkan!!

..........................

Lalu aku mengekorinya berjalan meredah semak, meniti batang pokok reput dan kadang-kadang bergayut dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Terkial-kial aku meniru pergerakan Raizhan.

Dia seperti berjalan di atas angin. Ringan, tangkas dan senyap tanpa sebarang bunyi. Sepanjang beberapa minit perjalanan, aku hanya fokus menirukan hal itu. Sebab aku tahu kalau aku buat bising, aku akan menyebabkan binatang buruan kami lari. Aku tak mahu buat masalah. Kalau tak habis aku dikerjakan Raizhan.

"Arash."

"Hmm?"

"Aku tertanya-tanya saja. Kenapa kau tegar sangat gunakan kata ganti diri 'saya-kamu'? Peliklah aku dengar. Tak payahlah nak formal dan skema sangat. Kita sebaya, kan? Orang sesama pegawai saja gunakan kata ganti diri begitu. Kau dengan Elyssa sama saja."

Aku ketawa kecil mendengar rungutannya. "Saya memang dilatih cakap begini sejak dari kecil. Sudah jadi kebiasaan pun. Tak tahu pun kata ganti diri ini formal di Rionzess."

"Biar adil, boleh tak kau ganti 'saya-kamu' kau tu jadi 'aku-kau'?"

Aku berfikir sejenak lalu menggeleng perlahan, "Abang saya takkan suka..."

"Haih, kau cakap begitu bila berada dalam dunia VR ini saja. Lagipun, aku dah sanggup ubah cara bercakap aku sebab kau dan Elyssa."

"Tapi kamu belum berubah sepenuhnya. Kadang, keluar juga slanga bandar kamu tu. Nikho pun masih pekat lagi slanganya. Saya agak susah nak memahami apa yang dia cakap."

Raizham mencebik, "Sekurang-kurangnya aku berusaha berbanding dia. Apa salahnya kau berubah juga? Aku masih kekok sebenarnya bercakap dengan kau. Gara-gara kata ganti diri kau itulah... Ah, anggap sajalah ini pengaruh rakan sebaya. Kau dah mengubah aku, aku pun kenalah mempengaruhi kau."

'Kau dah mempengaruhi aku lebih dari yang sepatutnya, Raizhan. Kau saja yang tak sedar...' bisikku dalam hati.

"Err, nantilah saya fikirkan. Tapi, beri saya masa," kataku perlahan. Secara tak langsung, aku membenarkan diriku menerima 'pengaruh rakan sebaya' yang dikatakan Raizhan ini.

Apa-apa sajalah.

Kemudian, kami diam. Tiada apa yang dapat kami bualkan lagi. Aku terus melangkah mengekori Raizhan. Entah ke manalah dia membawa aku?

Sampai satu pokok yang besarnya pemeluk dua orang dewasa, dia berhenti.

"Panjat pokok ni," arahnya pendek.

Aku mengerutkan dahi. Nak buat apa memanjat pokok? Sedikit curiga, tetapi aku tetap turutkan. Aku malas mahu mulakan pertengkaran sebab membantah arahannya. Dia itu pantang dibantah.

Aku mula memanjat. Raizhan pula mengekori aku di belakang. Sampai salah satu cabang dahannya, aku berhenti dan membantunya naik.

"Apa kita nak buat di sini?"

"Memburu," jawab Raizhan. Masih dengan sengihannya. "Kau sedia?"

"Sedia?"

Tak semena-mena, Raizhan menolak aku ke belakang.

"Ahh!!" jeritku terkejut. Saat badanku jatuh ke tanah dengan sangat laju, Raizhan hanya memandang.

'Dbukk!' Aku mendarat di atas sesuatu yang kenyal. Bukan kerasnya tanah.

"Guhhh!" Kedengaran erangan seseorang.

Alamak, aku mendarat di atas badan seseorang! Belum sempat aku bangun, orang di bawahku menolak aku kasar sampai aku terguling di atas tanah.

"Kurang ajar! Siapa kau?!" Jerkah satu suara dengan kuat. Tiga orang remaja lelaki, mungkin tua setahun dua daripadaku  mengerengkot kesakitan. Tadi aku mendarat di atas mereka!

Aku menerpa mereka dengan tergesa-gesa. "Maafkan saya! Saya tak sengaja."

'Dush!'

Aku terdorong ke belakang kerana terkena tendangan tepat di perut. Aku terbongkok menahan senak.

"Minta maaf?! Kau boleh pergi mampus! Kau mau cari pasalkah? Sudahlah menghempap kami. Sakitlah bodoh!" Salah seorang remaja lelaki yang memakai pengikat kepala berwarna merah menjerkahku.

"Dziwan, kenapa kau terjerit-jerit tengah-tengah malam buta ni?" Aku tiba-tiba mendengar ada suara orang lain di belakangku.

Aku menoleh memandang empunya suara yang sedang menguap. Tiba-tiba dia bertempik, "Hah, ada musuh? Bangun semua!"

Jeritannya itu buatkan aku tersentak. Begitu juga dengan pemain-pemain lain yang tidur bergelimpangan di situ. Aku serta-merta diserang rasa cemas. Bila aku berpusing memandang sekeliling, baru aku sedar aku sedang berada di tengah-tengah sekumpulan pemain lain! Mereka semua, dalam anggaran 10 orang bangkit terpisat-pisat dari pembaringan mereka. Sebaik sahaja melihat aku berdiri dalam kalangan mereka, serta-merta mereka melompat bangun dan dalam posisi bersiap-siaga.

Gila, matilah aku...

'Shing, shing, shing!'

Bunyi bilah pedang dikeluarkan dari sarungnya bertingkah-tingkah. Mereka mulai mengelilingi aku dan memerangkap aku di tengah-tengah mereka dengan pedang masing-masing yang terhunus.

"Nan-nanti dulu! Saya tak berniat jahat! Saya betul tak sengaja. Ada yang menolak saya dari atas sana," terangku bersungguh-sungguh. Semua mata memandang dahan tempat aku jatuh sebentar tadi.

Tapi, tiada sesiapa di sana!

"Kau fikir kami akan tertipu? Kau sebenarnya mahu menyerang kami semasa kami semua tidur bukan?" kata Dziwan lagi.

"Tak! Saya serius. Saya tak berniat jahat sama sekali. Saya takkan mengapa-apakan kamu. Jadi, jangan mengapa-apakan saya..." kataku perlahan sambil mengangkat tanganku separas bahu, tanda aku mahu berdamai.

Pada masa yang sama, hatiku mula terasa terbakar. Sanggup Raizhan buat ini kepada aku?! Aku menggetap bibir kerana menahan geram yang teramat.

"Oh, ya?" kata Dziwan sinis

"Hiah!" Dziwan tiba-tiba meluru kepadaku. Secara refleks, kedua belah tanganku mencabut kunai yang tersisip di pinggang.

Mendadak, Dziwan berhenti berlari. Aku terpinga-pinga sesaat.

"Kau cuba menyerang balas. Ini yang kau katakan tidak akan mengapa-apakan kami? Penipu!" kata Dziwan sambil menuding kunai yang berada dalam genggamanku.

"Apa?!" aku terkejut. "Saya cuma nak pertahankan diri!"

Seorang budak lelaki maju ke hadapan, "Tak perlu berbasa-basi lagi, Dziwan. Biar kita habiskan saja budak biadap ini. Biar dia tahu yang dia telah mengganggu kumpulan yang salah."

Dia menghunus pedangnya ke arahku lalu bertempik, "Aschiente, serang!"

"Tung-tunggu... Saya tak mahu berlawan!" jeritku panik. Namun, sedikit pun tidak mereka pedulikan.

Satu demi satu mereka mengasak aku dengan serangan yang bertubi-tubi. Aku hanya mampu mengelak semampuku. Berkat latihan yang aku buat, aku perasaan pergerakanku lebih teratur dan lincah. Banyak pertahanan mereka terdedah. Namun, sedikit pun aku tidak cuba melawan balik.

"Argh, tak guna! Liat betul nyawa dia ni!" jerit salah seorang ahli kumpulan itu. Kali ini dia bertindak lebih agresif.

"Hiah...!" jeritnya sambil melompat tinggi dengan pedang yang terhunus.

'Chiang!' Kunai dan pedang saling berlaga. Terbeliak nataku melihat bilah pedang itu hampir sahaja menetak aku. Lalu, pada saat yang bersamaan, ada dua orang budak lelaki menghayunkan pedang mereka, mensasarkan badanku. Dengan tangan yang masih bergegar menahan pedang, aku dengan pantas menyepak tinggi dua orang budak itu.

"Argh!"

"Aduh!"

Menjerit mereka berdua apabila badan kecil mereka sedikit melayang lalu menghempap ahli kumpulan lain yang lebih tua.

"Argh!" jeritku sekuat hati. Aku menolak pedang yang masih mahu menetak aku dengan sepenuh tenaga.

"Tak guna!" gerutu pemedang itu apabila dia terdorong ke belakang. Pada saat yang bersamaan, dua-dua kunaiku terpelanting!

"Nanti!" jeritku lantang. Mereka semua terpegun. Aku telan air liur lalu menyambung, "Saya tak mahu mencederakan kalian. Biar saya pergi dengan aman dan kamu semua juga boleh tidur semula dengan aman. Kalau kamu semua terus mengasak saya begini, saya takut saya tak dapat mengawal diri lagi."

"Diamlah!" jerit salah seorang budak yang aku sepak tadi. "Sesiapa yang sudah ganggu Abang Dziwan, tak layak hidup!"

"Betul tu, betul!!" sahut yang lain.

Aku menggenggam hulu pedang yang kusandang di belakangku, "Siapa kamu semua untuk menentukan saya hidup atau mati?" Aku memasang kuda-kudaku.

"Kami, Aschiente!" balas salah seorang ahli kumpulan yang lain. "Serang!"

Aku belum sempat mengeluarkan pedangku. Lalu, pilihan yang aku ada kini ialah menggunakan tangan kosong!

Tiga orang pemedang muda menyerangku serentak. Aku pantas mengelak hayunan pedang mereka, menyelit antara dua orang dan mengakhiri aksi agresif mereka dengan tetakan tangan pada tengkuk mereka berdua. Keduanya rebah pengsan. Lalu yang satu yang tersisa juga menerima nasib yang sama. Pengsan tergeletak di atas tanah. Teknik yang diajar Nikho memang berkesan!

"Achiente, jangan main-main! Seorang saja pun. Bunuh dia sekarang juga!" Dziwan menjerit.

Bunuh?

Entah mengapa perkataan itu menyusup masuk ke gegendang telingaku lalu bergema berulang-ulang, membawa satu perasaan lain. Aku terpegun seketika kerana perasaan yang baru bangkit dalam diriku itu. Bulu tengkukku tegak, jantungku berdegup dua kali lebih laju dan peluh dingin mengucur turun daripada dahiku.

Dari segenap arah, aku nampak mereka semua menyerang aku serentak. Pada masa yang sama, aku ternampak Raizhan sedang bertenggek pada dahan pokok yang lain, menayangkan wajah dengan senyuman sinis.

"Pengkhianat!!" jeritku lalu mencabut pedang. Lalu, tiga ahli kumpulan Aschiente yang menghalang pandanganku daripada Raizhan aku libas.

"Argh!" jerit mereka sebelum jatuh ke tanah. Namun, telingaku bagai tertutup untuk mendengar raungan kesakitan itu. Hatiku kini terbakar, dikuasai amarah yang meluap-luap pada Raizhan.

Aku melangkah ke arah pokok tempat Raizhan berdiri namun dihalangi lagi. Habis kesabaranku, aku membalas balik serangan mereka.

Raizhan, dia yang membuatkan aku berada dalam pertarungan ini!

Tikam.

"Argh!"

Raizhan sengaja buatkan aku jatuh di tengah-tengah kumpulan ini!

Libas dan libas lagi.

"Argh...!"

Raizhan pengkhianat! Kenapa
Dia lakukan ini kepadaku?!

Jeritan batinku bersatu bersama jeritan zahirku, menghasilkan suara oktaf paling tinggi yang pernah aku laungkan. Terkejut segala burung-burung yang bersarang di atas pokok. Berterbangan mereka semua melarikan diri.

Aku berputar menghayunkan pedangku, memotong apa sahaja dalam radius tarian mautku.

"Arghh!" jerit seseorang, kuat di hadapanku. Aku tersentak lalu segera mengangkat wajah. Wajah Dziwan yang berkerut menahan kesakitan menyapa pandangan mataku. Terketar-ketar tangannya mengenggam pedang yang menusuk dadanya. Aku memerhati bilah pedang itu sehingga sampai ke tangan kananku yang menggenggam hulunya.

"Kau memang hebat... Achiente yang sudah cari pasal dengan orang yang salah. Sepatutnya... aku dengar cakap kau supaya berdamai saja. Jumpa lagi di dunia nyata. Aku mahu sparing lagi dengan kau lain kali." kata Dziwan sambil tersengih. Sebaik sahaja dia menghabiskan kata-katanya, matanya kosong.

"Gyahh!" jeritku ngeri. Aku melepaskan pedangku lalu terduduk, terkejut melihat mata kosong itu. Jasad Dziwan rebah menimpa kakiku. Segera aku mengengsot menjauhkan diri, tetapi punggungku tersentuh jasad ahli kumpulan Aschiente yang lain.

Apa yang... Apa yang aku dah buat?!

Angin bertiup deras, menguak rimbunan daun yang menutup langit di atasku lalu membenarkan cahaya matahari pagi turun ke tanah.
Aku dimandikan cahaya matahari lembut bersama belaian angin yang menjadi sepoi-sepoi bahasa.

Air mataku tumpah sederas-derasnya melihat jasad-jasad ahli Achiente bergelimpangan kaku di sekelilingku. Tetapi, tiada suara yang dihasilkan oleh lidah yang terkelu.

'Akukah? Akukah yang lakukan semua ini?' Mataku masih terbeliak. Tidak percaya.

Angin berhenti bertiup,  meninggalkan aku dalam kesuraman hutan itu semula.

Jasad-jasad ahli Aschiente mulai bercahaya biru lalu menjadi serbuk-serbuk bercahaya. Aku cuba menepis serbuk-serbuk itu, tetapi ia tetap mendatangi dan menyelaputi aku. Aku tersilau cahayanya yang memaksa aku menutup mata.

Bila aku buka mata, badanku terasa lebih ringan dan bertenaga.

'Pak, pak, pak!'

Aku menoleh ke arah suara tepukan tangan itu. Raizhan berjalan ke arahku dengan cara berjalannya yang agak berspring.

"Kau memang hebatlah, Arash! Ada bakat terpendam kau ni. Cuba kau tak payah buat baik sangat dengan mereka semua tadi. Tak adalah kau sempat terpuruk oleh asakan mereka. Padahal kau boleh menewaskan mereka semua begitu sahaja!" kata Raizhan dengan teruja.

'Tak payah buat baik?'

Aku hanya memandangnya tajam tanpa berkata apa-apa.
Raizhan mencangkung di sebelah aku.

"Mari aku tengok kau dah level berapa," Tanpa sempat aku tepis, Raizhan sudah menekan belakang telingaku. Skrin maya milikku terpapar.

"Woah, kau dah level 7! Cepat gila pencapaian kau. Kalau kau tewaskan beberapa orang lagi, kau mungkin dapat melebihi level Nikho!"

"Kenapa kau buat begitu?" Aku bertanya dengan setiap kata tekankan.

Raizhan menayang sengih. "Jangan marah. Aku nak buatkan kau lebih kuat. Jiwa kau terlalu baik dan masih lemah..."

"Dush!"

"Guhh!" Raizhan tertoleng. Dia sampai sedikit beranjak daripadaku. Penumbukku rasa perit, tapi aku mahu menghentamkannya lagi!

Lalu aku menerpa Raizhan, mencekak kolar bajunya dan menghenyakkan satu lagi tumbukan pada pipi kirinya. Raizhan tertoleng sekali lagi. Dia berpaling semula dengan tatapan matanya yang tajam.

Tatapan matanya itu biasanya akan buat aku kecut perut dan akur sahaja apa katanya.

Namun kali ini, sekecil hama pun tak wujud rasa takut itu. Sebaliknya, aku mencekak kolarnya lebih erat dan memaksa wajahnya hampir dengan wajahku.

"Kau sengaja lakukan ini untuk menguatkan jiwaku yang lemah? Tak guna! Jangan pernah anggap kebaikan yang pernah aku buat sebagai satu kelemahan! Atau kau akan membangunkan raksasa di dalam aku!" bentakku sekuat hati.

"Arash, jangan!" Aku mendengar suara Elyssa sayup-sayup. Dari kejauhan aku nampak dia sedang berlari ke arah aku dan Raizhan sambil menggeleng.

Aku getap bibir sambil melepaskan genggamanku pada baju Raizhan dengan kasar. Tanpa memperdulikan panggilan Elyssa, aku berjalan pantas dari situ tanpa tahu arah tuju.

"ARGHHH!!" tempikku sampai menggegarkan hutan.

[2529 words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro