Parasit

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"HMMPH?!!"

Mulutku ditekup kuat. Seberkas ranting-ranting yang kukutip bertaburan di tanah. Aku cuba mencabut tangan yang biadap mencengkam rahangku dan mendakap aku dari belakang. Tetapi, tangan itu terlalu kuat!

"Raizhan, Raizhan! Tolong!!"

"Hmmph, hmmph! Hmmph!!" Jeritanku terhalang tangan yang menekup. Aku meronta-ronta ganas. Cuba membebaskan diri.

Tetapi, aku semakin diheret masuk ke dalam ke dalam hutan yang semakin suram. Tanganku terkapai-kapai cemas. Sumber cahaya tempat aku mula-mula masuk ke dalam hutan ini mulai menjauh. Habislah, suaraku takkan dapat didengar oleh Raizhan!

Matilah aku!

Aku meronta-ronta lagi. Kali ini lebih ganas. Mulutku terbuka sedikit. Kesempatan itu, aku menggigit tangan itu sekuat-kuat hati.

"Arrgh!" Orang itu menjerit lalu aku ditolak ke hadapan. Nyaris aku jatuh tersembam. Nasib baik aku berjaya menstabilkan diri. Aku segera berpaling ke belakang.

"Lu!" Dia menerkam aku.

Belum habis terkejutku melihat gerangan orang itu, aku spontan mengelak ke sisi, menyebabkan dia memeluk angin.

'Lari Arash. Lari!!!' Saranan mindaku menggesa cemas. Aku segera membuka langkah untuk lari dari situ. Arah mana, aku tak peduli!

"Jangan lari!"

Semakin laju aku memecut. Raizhan, mana Raizhan?! Aku mesti balik pada dia!

Dengan nafasku yang termengah-mengah aku terus berlari. Habis segala akar pokok yang melintang aku lompati.

Nanti dulu!

Aku mendadak berhenti dan berpusing pantas memerhatikan sekelilingku. Pokok, pokok dan semak. Aku ada di mana?! Tanda yang aku buat sudah hilang!

Dari kejauhan, aku nampak dia yang tadi menekup mulutku memecut ke arahku dengan wajah yang benar-benar berang. Dialah orang yang membuli aku di Dome!

Dengan pisau rambo di tangannya, kalau tak bunuh aku untuk balas dendam, apa lagi?!

Baru aku hendak berpusing, wajahku tersembam melanggar tubuh seseorang. Aku segera mendongak ke atas.

"Yo, lama tak jumpa!" Seorang lagi wajah yang menjadi sebahagian memori burukku muncul. Dia mengangkat tangan sambil tersengih sinis. Serta- merta riak wajahnya berubah seram.

Aku berundur dua tapak ke belakang. Kepala lutut aku terasa bergegar. Aku cuba lari ke arah lain, tetapi ada seorang lagi muncul di sebalik pokok. Dia selamba menyeluk poket dan tersengih kepadaku.

Aku menapak ke belakang. Semakin aku berundur, semakin mereka mendekati aku.

Deja vu peristiwa buruk yang aku alami di Dome berulang kembali. Aku mulai merasa cuak.

"A...apa yang kamu semua nak?!" tanyaku gugup.

"Bunuh kau," kata dia yang memegang pisau rambo dengan selamba. Dia mendekati aku sambil memutar-mutarkan pisaunya di tangan.

"Jangan dekat! Kalau tak nanti saya..." Aku mencapai salah satu kunai yang tersisip di pinggang. Aku acukan kepada mereka bertiga. Tanganku yang menggeletar seperti pesakit Parkinson hanya mengundang tawa mereka.

"Lu nak apa? Panggil Riffle_X?" Muncul seorang lagi dari balik pokok. Aku telan liur. Sekarang mereka sudah lengkap berempat.

"Heh, kalau di Dome dia boleh buat lagak. Tapi, dalam game ini dia bukan siapa-siapa!" kata salah seorang daripada mereka yang berambut merah.

"Kami telah bentuk pakatan untuk jatuhkan Riffle_X dan Quinze_01 semasa masih berada di Dome. Kalau lu mau tau, mereka berdua itu punya ramai musuh di dunia VR. Terlalu ramai sampai kami tak perlu bazir tenaga menghapuskan mereka berdua! Hahaha...!" kata yang berambut merah dengan bongkak.

Aku terbungkam mendengar kata-katanya.

"Kami fikir lu semua dapat lari di titik awal dan dah pergi jauh. Jadi, kami semua terburu-buru meneruskan perjalanan kami untuk mengejar lu berempat. Tak sangka lu semua masih berada di belakang kami? Turun di tempat yang salah pula tu," sampuk pemegang pisau rambo. Mereka berempat ketawa berdekah-dekah mendengarnya.

"Puluhan orang melawan dua?Memang hantar leher minta pancung!" sahut si rambut merah pula, masih ketawa.

Aku tersentak. Jangan-jangan... sekarang Raizhan, Nikho dan Elyssa sedang diserang hendap?!

Oh, tidak!

"Apa? Lu harap Riffle_X akan muncul dan selamatkan lu? Jangan harap! Wa yakin, sekarang dia sudah mampus atau dia sendiri sudah cabut lari dulu!" kata remaja berambut merah itu lagi.

"Lu sudah pilih orang yang salah untuk bergantung, budak kampung. Tch... tapi, apa boleh buat? Orang lemah macam lu hanya boleh bergantung orang yang lebih kuat kalau mahu hidup!" kata yang menyeluk poket sedari tadi.

"Macam parasit!"

"Heh, parasit macam lu, cuma layak dibunuh. Sama ada di dunia nyata atau dunia VR, nyawa orang macam lu cuma sampah!" sambung si rambut merah.

Dan kata-katanya buatkan darahku mendidih.

"Raizhan bukan orang begitu!" bentakku spontan. "Dan, saya bukan orang yang lemah atau parasit!"

Aku genggam penumbukku kuat. "Kamu fikir kamu siapa? Tuhan? Suka hati saja hendak mempermainkan nyawa orang lain? Kenapa kamu semua sanggup mengikut permainan bodoh ini? Sanggup jadi kejam, membunuh sesama sendiri? Saya tak peduli permainan ini palsu atau apa, tapi di mana kemanusiaan kamu semua?! Semua orang berhak hidup... termasuklah Meteoris!" Aku luahkan segala isi hatiku dengan penuh emosi.

"Ah, diamlah!" Tubuhku ditolak kasar sehingga belakangku terhentak pada batang pohon yang keras.

"Guhh!" Aku menyeringai sakit.

Dush!

Si pembawa pisau rambo menghenyakku lebih rapat ke batang pohon itu, menahan leherku dengan lengan kanannya, manakala tangannya menghalakan hujung pisaunya ke tengkukku. Dia merapatkan wajahnya ke wajahku.

"Wa tak mahu dengar bebelan lu. Orang lemah seperti lu tak layak tentukan bagaimana lu mahu hidup atau mati. Sedar diri! Dunia VR atau dunia realiti... orang lemah cuma akan jadi pijakan orang yang lebih kuat!"

Walaupun aku rasa tercekik kerana tidak dapat bernafas, entah bagaimana aku malah tersenyum sinis.

Sombongnya mereka. Mereka tidak sedar agaknya kalau hidup macam roda? Kita tidak akan selamanya berada di atas.

"Tak ada akal," sumpahku dalam hati. Aku dan dia masih berbalas renungan maut. Sehinggalah si rambut merah bersuara.

"Kenapa lu sibuk sangat pasal nyawa Meteoris dan orang lain? Atau... lu seorang Meteoris?"

Jantungku bagai terhenti saat itu.

"Ma-macamana kamu tahu sa-saya...saya Meteoris?" tanyaku terketar-ketar.

Mereka bertiga saling berpandangan. Si Pisau Rambo melepaskan aku. Aku terbatuk-batuk, menahan sakit setelah dicekik. Terkapar-kapar aku menyedut udara.

"Heh, kami tak cakap pun lu seorang Meteoris?" kata si rambut merah. "Lu betul-betul Meteorislah ni?"

Mataku membulat. Serta-merta tanganku menekup mulut sendiri. Apa yang aku dah cakap ni?!!

Aku buka rahsiaku sendiri!

"Tak, tak, tak!! Sa-saya bukan Meteoris!" nafiku dengan kalut.

Aku berundur ke belakang. Malangnya, ada batang pohon yang menahanku! Kenapa kau tumbuh di situ?!

Mereka berempat mengangkat kening. Senyuman nakal terukir pada wajah masing-masing.

Melalui isyarat mata, perlahan-lahan tiga daripada mereka semakin rapat denganku. Aku hanya terkaku di situ. Aku terperangkap!

Kepalaku ditepuk lembut, membuatkan aku semakin kecut perut.

Sambil bermain dengan anak rambutku, si rambut merah berkata, "Bukankah mereka kata... kalau kita membunuh seorang Meteoris, kita akan dapat drop item paling istimewa? Lu Meteoris, betul tak budak?"

Aku menggeleng laju.

"Hmm... boleh jadi? Budak ini tinggal di luar Rionzess. Kemungkinan dia termutasi sangat-sangat... tinggi," kata yang seorang lagi.

Si Pisau Rambo muncul semula di hadapanku setelah menghilang sebentar. Dia tersengih dengan segulung akar tumbuhan.

"Kenapa kita tak cuba menguji dia saja?"

Tidak semena-mena, mereka berempat bertindak cepat memaku aku pada batang pohon itu.

"Hei, apa yang kamu semua cuba buat? Lepaskan saya! Lepaslah!" Aku meronta-ronta. Tetapi mereka lebih cepat melilitkan akar tumbuhan itu sehingga aku  terikat sepenuhnya pada pokok. Aku tak dapat bergerak langsung!

Mereka bertiga berundur menjauhiku. Tangan masing-masing mencapai senjata masing-masing; pisau, pedang, pisau lempar dan busur panah.

Apa yang mereka bertiga mahu lakukan?!!

[1186 words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro