Prologue

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Namaku Arash. Seorang remaja normal yang menjalani hidup normal.

Namun, sesuatu telah berlaku pada diri aku. Hidup aku yang normal mendadak berubah dalam satu malam yang lepas. Aku sendiri keliru.

Malam itu, aku sendirian duduk di atas menara tangki air. Aku tak dapat tidur gara-gara ubat penahan kantuk yang aku makan petang tadi. Sampai tengah malam pun kesannya masih belum hilang. Puas aku berguling-guling di atas katil mencuba untuk tidur.

Sia-sia.

Sebab itulah, aku berakhir di atas tangki air ini untuk merenung langit malam. Dengan harapan kesejukan malam boleh buat aku mengantuk.

Malam itu langitnya cantik, penuh dengan bintang-bintang. Satu-satunya kecantikan alam yang masih terpelihara. Berbeza dengan keadaan bumi sekarang. Sebehagian besar menjadi dataran kontang ataupun tidak selamat untuk didiami kerana pencemaran kimia.
Langit malam masih cantik, kerana tidak dapat digapai tangan manusia.

Kerana itu, memandang bintang ialah hobiku dan abangku, Eizham. Kalau abang ada, mesti dia suka tengok pemandangan malam itu. Sayangnya dia sudah tertidur awal. Dia sangat kepenatan selepas bekerja seharian di bengkel sebelah rumah kami. Tak sanggup pula aku menganggu lenanya.

Badan aku pun kepenatan sebenarnya. Tetapi, mata ini tak mahu bekerjasama! Menyesal aku makan ubat itu tadi. Litar elektrik yang kubuat sudah lama siap, tapi keletihanku masih berpanjangan.

"Nak tidur..." keluhku sendiri. Siapa lagi yang nak dengar kalau bukan diri aku juga. Aku mendesah sambil mendongak langit. Manalah tahu mengira bintang boleh buat aku mengantuk?

Sedang aku mendongak langit, tiba-tiba aku melihat ada objek yang sedang jatuh, terbakar dengan ekor api yang terang lalu berdentum menghentam bumi.

DBUMMM!

Gegarannya sampai terasa menggoyangkan tangki air tempat aku berdiri.

Meteor?!

Aku segera turun dari menara tangki air itu. Palang besinya menghantar getaran dari tanah ke tanganku yang memegang. Seriau aku dibuatnya. Tergesa-gesa aku turun.

Tepat-tepat ketika kakiku menjejak tanah, tiba-tiba ada gelombang cahaya melanggar tubuhku. Seakan-akan membawa tenaga yang besar, tubuhku tertolak ke belakang.

Keseimbangan tubuhku mulai hilang. Aku serta-merta pening. Tanah yang aku pijak rasa macam bergoyang-goyang. Aku cengkam kepalaku dengan kuat. Kepalaku rasanya macam mahu meledak!

Dbuk!

Sedar-sedar, aku tertiarap di atas tanah. Terasa partikel pasir melekat di pipiku.

Duniaku berputar ligat. Perkara terakhir yang aku nampak, gelombang cahaya itu terus meluncur dan tersebar menerangi kegelapan sebelum menghilang di kejauhan. Kemudian, kegelapan benar-benar merampas kesedaranku.

Gelap.

Gelap.

Gelap.

……………..…………………………

Aku terjaga tidak lama kemudian. Ketika itu langit semakin cerah namun bintang masih kelihatan.

Aku bangun dan menggagahkan diri untuk masuk ke dalam rumah. Terhuyung-hayang aku berjalan. Dua tiga kali aku nyaris jatuh tersembam.

Kepalaku terasa berdenyut-denyut hebat. Pandanganku juga samar-samar bagai diselindung kabus.

Hendak menapak empat anak tangga pun aku merangkak. Aku benar-benar tak larat walaupun untuk mengangkat kelopak mata. Katil, aku perlukan keempukan katil sekarang! Tapi, aku tak kuat lagi untuk berdiri. Jadi, aku memilih untuk merebahkan diri di atas sofa sahaja.

Sebaik sahaja aku baring di atas sofa, secepat itu juga aku terlelap.

Gelap.

Gelap.
…………………………………………

Kerana bunyi bising, aku terjaga. Perkara pertama yang  aku lihat ialah abangku Eizham. Kabur-kabur pandangan mataku, aku dapat lihat susuk tubuhnya duduk di hujung sofa.

Perkara pertama yang kudengar pula ialah bunyi televisyen buruk kesayangan abang. Kuat sangat sampai aku boleh meneka abang mendengar berita tanpa membuka mata.

Kepalaku masih sakit. Macam semua urat kepala berdenyut menggila dengan serentak. Aku mengatup mata semula, cuba tak mengendahkan bunyi-bunyian di sekelilingku. Namun, lama-kelamaan aku jadi makin sensitif pula.

Aku menguis abang hujung kaki sambil mengerutkan wajah. Faham, dia mengecilkan suara televisyennya itu.

"Ada meteor jatuh dekat sini."

"Hmm, nampak...," balasku acuh tak acuh. Aku masih memejamkan mata. Badanku rasa tergam pada sofa.

"Oh ya? Ruginya abang." kata abang.

Tempatku berbaring berkeriut, tanda abang berdiri. "Dah, bangun cepat! Banyak kerja kita kena buat."

"Hmm..." Balasku lemah. Sumpah, membalas pun aku rasa malas.

"Arash..."

"Ya, abang. Nanti Arash datang..."

"Jangan lambat."

"Hmm..." balasku. Abang tak berkata apa-apa lagi. Kedengaran derap kakinya menjauh.

Selepas beberapa minit masih terbaring di situ, mahu tak mahu aku gagahkan diri juga untuk bangun.

Aku pula terkebil-kebil di situ sambil memicit-micit kepala. Agak lama juga aku di situ sebelum rasa sakit kepala itu berkurangan sedikit.

"Apa gelombang cahaya yang mengenai aku semalam? Akan adakah kesan sampingan pada badan aku nanti?"

Pelbagai kemungkinan buruk pun mula menerjah fikiranku, buatkan pening kepalaku kembali.

Ugh, nanti sajalah aku fikirkan. Aku rasa neuron-neuron otak aku masih malfungsi gara-gara pening ini.

Termanggu untuk beberapa minit lagi,
aku akhirnya memutuskan untuk mandi dahulu. Aku berhasrat mengadukan kejadian semalam kepada abang jika sakit kepala ini berterusan.

Anehnya, sekitar 8 jam selepas kejadian itu kepalaku kembali terasa ringan.

Kemudian, barulah aku memunculkan diri di bengkel. Abang tunjuk penumbuk, geram aku datang lambat. Sangkaku dia akan membebel panjang. Tapi, selepas itu dia kembali tenggelam dalam kerjanya.

Kami dua beradik yatim piatu. Abang berumur 22 tahun, bekas pelajar kolej di Rionzess dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Ibu bapa kami meninggal dunia kerana kemalangan yang berlaku di Rionzess. Ketika aku masih kecil. Abang terus memutuskan untuk berhenti belajar semata-mata mahu menjaga aku. Padahal, dia merupakan antara pelajar cemerlang di kolej. 

Dengan sedikit ilmu yang abang ada, dia menyara hidup kami. Dia menjual kemahirannya dengan membaiki alatan elektrik. Kadang-kadang, dia menjual paten rekacipta kami.

Remaja 17 tahun macam aku patutnya berada di Kolej Rendah Rionzess sekarang. Tapi, aku tak.

Rutin harian aku cuma membantu abang di bangsal kecil kami di sebelah rumah.

Sambil bekerja, abang akan membebel tentang pelbagai topik. Lincah tangannya membuat kerja, laju juga mulutnya bersyarah.

Akulah yang harus dengarnya setiap hari. Itulah proses pembelajaran untuk aku. Lebih baik daripada tak tahu apa-apa.

Kalau diberi kesempatan belajar di Rionzess pun, aku akan menolak tanpa ragu. Dapat hidup aman di pinggir kota metropolitan Rionzess sudah cukup baik. Hidup di kota moden itu terlalu mencabar untuk marhaen seperti kami.

Tapi aku suka begini. Hidup lebih bebas dan gembira. Kalau boleh, selamanya begini. Aman dan tenteram.

Aku tak ada keinginan lain. Itu saja yang aku mahu. Hidup dan bernafas. Aku tak mahu jadi tamak. Sebabnya, zaman ini bukan mudah untuk berumur panjang. Nyawa manusia sangat murah.

Abang kata, Rionzess mungkin secara lahiriahnya merupakan sebuah kota metropolitan yang serba maju. Namun manusia yang tinggal di dalam lingkaran dinding tinggi itu sebenarnya telah hancur peradaban dari segi rohaniah. Arwah ayah dan ibu mengambil keputusan yang tepat mengasingkan diri dari pembangunan rancak kota Rionzess lama dahulu kerana menyedari perkara itu. Aku hanya baru sekali menjenguk Rionzess dan itulah kali terakhir aku ingin ke kota itu.

Untuk rakyat rendahan dan tiada status sosial seperti aku dan abang, Rionzess ialah medan pertempuran untuk bertahan hidup.

Kerana itu, aku merasakan hidup secara bersederhana itu lebih baik walaupun aku tidak mempunyai gajet-gajet canggih seperti kebanyakan remaja sebayaku di Rionzess.

Aku tak berminat mahu ambil peduli apa-apa yang berlaku Rionzess.

Sedikit yang aku tahu, meteor itu hasilkan kekecohan di Rionzess sebelum dilupakan.

Tentang meteor itu? Selepas kepalaku kembali normal, aku lupa menceritakannya pada abang. Bagiku tak penting lagi. Abang juga tak mengendahkan lagi tentang meteor itu.

Kami kembali tenggelam dalam kerja kami tanpa memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling.

Ya, kami hidup normal seperti biasa. Sampailah sesuatu yang aneh dan luar biasa terjadi pada badanku.

[1195 words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro