Racun

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Raizhan!" Kami bertiga menjerit serentak.

Untunglah Raizhan tidak lengah. Intuisi dan ketangkasannya telah menyelamatkan dia. Dia spontan berbalik sekali lagi lalu berputar rendah menyapu kaki penyerangnya itu.

Namun, Raizhan hanya melibas angin kerana penyerangnya itu melompat tinggi mengelak serangannya. Penyerang itu yang berhud hitam itu ternyata lebih lincah!

Raizhan segera berdiri. Refleks tangannya digenggam separuh, bersedia untuk bertukar buku lima.

Penyerang itu mendarat dengan cantik sambil mencabut satu lagi pedang yang bersilang di belakang tubuhnya. Dia menghadap kami lalu membuka kuda-kuda. Tangan kanannya mengacu pedang pada Raizhan sementara pedang di tangan kirinya melintang di atas kepala.

Kerana naluri yang mengesan bahaya, kami berempat segera menghunus senjata kami sambil serentak mengelilinginya.

Ekor mata kami mengerling Raizhan. Namun, dia masih tidak mengisyaratkan apa-apa. Wajahnya tanpa emosi, sukar untuk dibaca namun terbayang waspada.

Raizhan mengeluarkan pedang. Sengaja dibuat bunyi bingit yang panjang semasa pedang itu dikeluarkan dari sarungnya.

Manakala, orang yang kami kepung pula kekal tenang. Tidak gentar langsung walaupun sedar dia sudah terkepung.

Aku tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana tertutup hud hitamnya. Dia memakai jaket kulit hitam. Terdapat dua jalur "V" berwarna merah pada dada dan pangkal lengannya. Dua sarung pedang jenis bilah runcing pula bersilang di belakangnya. Dari bentuk tubuh yang sederhana dan ketinggiannya yang menyamai Nikho, aku rasa dia seorang perempuan.

Aku telan liur. Aku tak tahu sejauh mana kemampuan pemain pedang ganda ini. Tapi, aku tak ragukan kemampuan Raizhan dan Nikho untuk mengalahkannya.

Pertarungan tidak akan dapat dielakkan.

Empat lawan satu? Bagai nampak sudah kesudahannya. Siapa yang akan kalah dan siapa yang akan menang.

Aku cuma berharap satu.

"Janganlah jadi Meteoris!"

Walaupun kami berempat sudah bertemu ramai pemain, aku belum bertemu dengan seorang Meteoris pun. Aku akan berdebar-debar setiap kali bertemu pemain lain. Walaupun aku terbeban harus menewaskan mereka, lebih daripada itu aku sentiasa rasa bersyukur jika mereka hanya pemain biasa. Nampaknya, remaja yang menjadi Meteoris seperti 1 dalam 10 orang. Itu perkiraanku sahaja.

Raizhan menapak ke kanan sambil sengaja mengheret hujung pedangnya di atas lantai. Kami juga mulai bergerak perlahan mengikut rentak Raizhan, mengitarinya.

Ketika aku berhadapan dengannya, aku menerima renungan tajam sepasang mata biru di bawah bayang hud itu.

Rasa cuak dalam diriku mencanak naik, buatkan aku meningkatkan kewaspadaanku.

'Tap, tap, tap'

Raizhan masih mengitarinya. Kami juga mengikuti. Dari siri-siri pertempuran kecil kami yang lalu, kami telah membentuk corak serangan yang terhasil dari kerjasama. Raizhan akan mengetuai gerak serangan jarak dekat mana Nikho komander serangan jarak jauh.

Berhadapan musuh sedekat ini, kami semua menanti arahan bisu dari Raizhan.

Luput aku dari berhadapan dengan pemain pedang ganda itu, giliran Nikho pula yang bertemu muka dengannya.

"Eh, Nikho?!" Serta-merta kekuda yang dipasangnya tadi bubar.

"Eh?!" Nikho juga keliru. Sesaat kemudian, dia juga menyeru teruja, "Light Shadow!"

"Aaa, lama tak jumpa!" Light Shadow terus menerpa dan memeluk Nikho.

"Ehh?!" Aku, Raizhan dan Elyssa menjerit seia sekata.

Mereka berdua terus berpelukan dengan pedang tajam berkilat di tangan masing-masing! Kalau terpotong anggota badan nanti bagaimana?

"Wow, aku tak sangka boleh jumpa kau di sini!" balas Nikho teruja sambil membalas pelukan Light Shadow dengan sebelah tangan. Pedangnya dijauhkan ke belakang.

Kami bertiga saling berpandangan, keliru hendak melarang atau menyerang.

Kalau diikutkan pandangan kami, Nikho sedang diancam bahaya. Masalahnya, dia tak kisah pun ada dua bilah pedang sedang bersilang di belakangnya. Kalau Nikho meronta atau cuba melepaskan diri, 100% dia akan terpotong pedang itu.

Tapi, Nikho cukup relaks. Seolah-olah yakin orang yang baru sahaja nyaris menikam Raizhan, tidak akan membunuhnya.

Light Shadow ketawa sambil meleraikan pelukannya. Pedang-pedangnya dimasukkan semula ke dalam sarung. Dia kemudian menarik hud yang menutupi kepalanya.

Terserlahkan wajahnya yang sebenar. Tepat dugaanku, dia seorang perempuan. Mukanya bujur sirih, berhidung kecil mancung dan berkulit kuning langsat. Dia mengirai rambut hitamnya yang panjang ke belakang lalu mengikatnya tinggi.

"Quinze, kau dengan mereka semua?" soalnya sambil menunjuk aku, Elyssa dan Raizhan. Wajahnya berkerut, sinis memandang setiap daripada kami atas ke bawah.

Nikho mengangguk. "Aku
berkutu dengan mereka semua. Kau sendiri? Solo?"

"Ya, solo..." Light Shadow menyahut perlahan sambil matanya tak lepas merenung Raizhan.

"Apa pandang-pandang?! Lu mau wa cungkil biji mata lu?" sergah Raizhan apabila rimas direnung begitu.

"Cubalah kalau berani!" balas Light Shadow sama mengertak. "Eh, bukannya lu Riffle X?Nikho, kau bersekutu dengan musuh ketat kau sendiri? Kau biar betul?! Budak ni boleh dipercayakah?"

"Wa bukan budaklah!" marah Raizhan, "Lagipun, Nikho yang minta bersekutu dengan wa!"

"Biar betul?" Light Shadow pandang Nikho.

"Ya. Err... panjang ceritanya. Aku ada sebab sendiri," Nikho menggaru tengkuk.

"Bersekutu bukan cara kau Nikho... Lagi-lagi dengan musuh tradisi kau."

Nikho angkat bahu sambil ketawa yang dibuat-buat. "Wa kena ambil keputusan ini sebab sebuah janji. Lagipun, permainan kali ini bukan permainan biasa."

"Kerana janji, huh?" Perempuan itu mengerling sekilas ke arah aku dan Elyssa.

Dia memandang kami atas ke bawah. Apa maksud pandangan matanya itu? Tampak penuh sinis, prejudis dan simpati. Entahlah.

Aku tak pasti dia sedang merenung siapa. Tetapi, aku rasa tak selesa. Elyssa juga bersembunyi sedikit di belakangku. Mungkin dia juga merasa kekok.

"Tapi, memang menyesal sikitlah bersekutu dengan 'budak' ni. Kepala batu, mulut macam longkang dan bengap sebab otak dalam otot," kata Nikho lagi dengan selamba. Berdas-das sindiran dikeluarkan dalam senafas. Sengaja lagi ditekankan perkataan 'budak' itu.

"Hahahaha!" Light Shadow ketawa lepas. Dan, Raizhan betul-betul meradang.

"Apa masalah lu, hah?!" bentak Raizhan.

Lihat Raizhan sudah macam mahu meletup, tanpa tangguh aku terus menahannya.

"Raizhan..." tegurku dengan gigi tergetap. Raizhan menyentak lengannya dari peganganku lalu berpeluk tubuh. Senafas desahan kuat dikeluarkannya.

Argh, kenapalah mereka mesti bergaduh sekarang? Lupakah kami semua sedang dalam masa-masa genting?!

Elyssa mencubit dan memulas pinggang Nikho. Muka Nikho berkerut menahan sakit. Tetapi, dia tak jadi marah sebab Elyssa menjengilkan mata padanya.

"Berapa lama kamu sudah di sini? Apa yang kamu buat?" Aku bertanya, cuba mengubah topik.

"Kau siapa?"

"A-arash."

Perempuan itu merenung aku lagi. Tambahlah aku jadi gelabah. Cepat-cepat aku larikan pandangan mataku ke arah lain. Sepasang mata biru itu semacam dapat mengimbas seluruh rahsia yang ada padaku!

"Aku dah lama ada di sini. Bahkan, aku orang pertama yang keluar dari tempat itu. Tanpa bantuan sekutu pun, aku boleh hidup. Kalau mahu tahu, kau semua kumpulan keempat yang berjaya keluar," dia akhirnya menjawab dengan santai dan sedikit bongkak.

"Kumpulan keempat? Habis tu, mana mereka pergi?" sampuk Nikho. Dia menyeluruhi tempat itu dengan waspada.

Light Shadow tersengih, "Tiga kumpulan sebelum lu semua? Mereka semua berjumlah 9 orang. Semuanya sudah menjadi data untuk wa tingkatkan kekuatan."

"Semua? Wow, gempaklah!" Nikho menepuk kuat belakang Light Shadow. "Macamana lu boleh keluar dengan cepat? Mereka bertiga ini habis masa yang lama juga untuk selesaikan teka-teki tu."

Aku pula tersentak. Dia telah mengalah 9 orang, sendirian? Orang pertama pula yang berjaya selesaikan teka-teki itu!

"Senang saja pun teka-teki tu... Tengok saja garis dan bintik tu, wa sudah tau itu Kod Morse."

"Kod Morse? Apa itu?" tanyaku.

"Itu satu sistem kod rahsia antarabangsa lama dahulu. Dulu ia digunakan untuk pertukaran maklumat rahsia dalam militer. Aku tau tentang kod itu sebab aku pernah baca tentangnya dulu. Jadi, wa tinggal terjemahkan. Senang!"

Okey. Aku harus mengaku.
Pemedang ganda di depanku ini bukan calang-calang orang. Bijak, ya. Kuat, juga ya.

Nikho ingin mengatakan sesuatu. Namun, niatnya terbantut apabila gegaran kecil berlaku lagi di tempat itu.

"Ada lagi yang berjaya keluar dari ruangan pertama!" Kata Light Shadow.

Tepat ketika ayatnya habis, ketika itulah berbondong-bondong pemain lain keluar dari pintu batu yang terbuka. Jarak mereka dari kedudukan kami sekitar 30 langkah.

"Ada musuh. Serang!"

Tak semena-mena, berpuluh-puluh batang anak panah meluru ke arah kami.

"Lari!" jerit Raizhan. Lalu, kami semua berpecah ke semua arah demi mengelakkan hujan anak panah itu.

"Kamu semua, habisi mereka dulu!" Ada suara seseorang bertempik dalam kalangan mereka semua.

Alamak, kami perlu bertempur lagikah?!

Aku segera berdiri selepas terjatuh sebentar tadi. Aku menggeluarkan pedangku.

Sebolehnya aku mahu mengelakkan pertempuran ini. Kumpulan pemain yang baru keluar itu terlalu ramai! Sekitar 15 orang, 3 kali ganda jumlah kami!

Walau bagaimanapun, aku tetap menyertai Raizhan yang baru bangkit berdiri. Matanya merenung tajam ke arah segerombolan remaja yang sedang berlari menuju ke arah kami.

Lapan orang pemain berlari ke arah kami sementara tiga orang lagi membelok ke arah Light Shadow. Ruang besar itu bergema dengan teriakan mereka yang seperti orang gasar.

"Arash, sedia!" jerit Raizhan

"Ya!" sahutku kuat.

"Elyssa, Nikho! Lindungi kami!" arah Raizhan lagi.

Aku tak perlu memandang ke belakang. Tapi aku tahu mereka berdua sudah bersedia dengan busur dan anak panah masing-masing.

"Hiah...!" Gerombolan musuh semakin dekat. Dalam jarak 20 langkah lagi.

Aku dan Raizhan dalam posisi sedia. Kurang dari seminit pedang-pedang kami akan saling berlaga.

"Hiah!!" Mereka masih menjerit kuat. Senjata mereka dijulang di udara.

10 langkah lagi!

Pada masa yang sama, empat batang anak panah melayang di atas kami lalu hinggap dan terpacak pada dada tiga orang musuh yang sedang mara.

"Argh!" Mereka terkejang, wajah mereka terpapar kesakitan lalu mereka rebah tak berkutik.

Dua lagi anak panah terbang melengkung di atas kami lalu sekali lagi menumbangkan dua orang musuh.

Enam tumbang dan tinggal dua.

Jasad mereka yang tertewas pun bertukar menjadi debu nipis yang bercahaya.
Lalu bagai ditiup angin, debu-debu berterbangan ke arah Nikho dan Elyssa.

Sementara itu, dua orang musuh yang tinggal pula masih tergamam. Mereka gentar ketakutan melihat rakan seperjuangan mereka sudah bertukar menjadi debu cahaya.

Serentak, aku dan Raizhan memecut, meluru ke arah mereka berdua dengan pedang yang terhunus.

Aku menyerang musuh yang berada di sebelah kanan manakala Raizhan menyerang yang di sebelah kiri.

"Hiah!" Aku menerjah lawanku.

'Ting, trang, tang!"

Pedang kami pun berlaga, menyertai kegamatan medan pertempuran.

Bunyi senjata besi yang berlaga mewarnai medan tempur itu, bertingkah-tingkah di beberapa tempat bersulam jerit sakit dan amarah. Debu cahaya juga semakin banyak, membentuk kabus nipis yang berapungan di udara.

Lawanku ialah seorang remaja lelaki yang kelihatan sebaya denganku. Mungkin setahun muda atau setahun tua.

Beberapa kali cubaanku untuk mencederakannya gagal. Aku akui pergerakannya cukup pantas.

Bagaikan dapat membaca pergerakanku beberapa detik lebih awal, dia dapat mengelak dan menahan seranganku cukup baik.

"Hei!" kataku sambil cuba menebas kakinya. Sekali lagi dia berjaya menahannya dengan pedang. Dia menolak pedangku dengan kuat.

Aku berputar mengikut momentum daya tolakannya. Jika tidak, peganganku pada pedang terlepas. Aku kembali menghadapnya sambil membuka kuda-kuda.

"Apa?!" bentaknya kasar.

"Kamu Meteoris?"

Dia sedikit keliru, "Bukan!" Dia mengangkat pedangnya tinggi dan menghayunnya laju ke arahku. Aku spontan membalikkan tubuh.

"Chang!" Lantai batu jadi mangsa tetakannya.
Fuh, nyaris aku terkena tadi!

"Kamu yakin kamu bukan bukan Meteoris?" tanyaku separuh mendesak. "Kamu tak pernah hasilkan dinding kuasa?"

"Apa yang kau merepek ni, hah? Kenapa kau peduli tentang Meteoris? Kenapa, kau Meteoriskah?"

"Bu-bukan!"

"Aku pun bukan!" bentaknya kasar. "Tapi, kau Meteoris atau bukan, aku nak bunuh kau!"

Dia menjerit lalu cuba menetakku. Aku segera melintangkan pedangku di atas kepala dan...

"Ching!"

Tetakannya berjaya aku tahan. Dia menekan lebih kuat sampai tanganku menggigil menahan kekuatannya.

"Hei, aku minta maaf. Aku akan selamatkan kamu kemudian. Aku janji!" kataku sambil merenung tepat ke dalam matanya.

"Apa yang kau merepek ni?!" jerkahnya frustasi.

Aku rasa dia tak tahu apa yang akan berlaku jika dia terbunuh dalam permainan ini.

"Aku yang akan tamatkan permainan ini... tolong bertahan..." kataku perlahan.

"Kau mau menang? Jangan mimpi! Aku yang akan jadi pemenang!" balasnya angkuh.

Aku menarik nafas dalam. Dengan sekali hembusan nafas, aku menolak pedangku ke atas. Daya tolakkan itu berjaya membuatkannya terjulang kedua belah tangannya yang memegang pedang.

Sepantas kilat, aku menendang kuat rusuknya yang terdedah.

'Dush!'

"Argh!" Dia hilang kesimbangan.

Saat itu juga, aku mencabut kunaiku lalu kulempar. "Maafkan aku!"

'Shak!'

Tepat mengenai dada kirinya! Ketika tubuhnya hampir menyentuh lantai, ia sudah bertukar menjadi debu-debu cahaya. Aku menghela nafas tertahan.

Orang yang ke-15. Mengingatkan jumlah mangsaku yang makin bertambah, dadaku rasa sempit.

"Arash, berundur ke sini sekarang! Ada pintu lain akan terbuka!" Jeritan Nikho dari kejauhan menyelinap masuk ke dalam deria pendengaranku. Aku segera mencari keberadaannya.

Dia bersama Elyssa berdekatan blok batu besar itu. Nikho melambai kearahku dengan bersungguh-sungguh. Tidak jauh dari mereka, Raizhan sedang bersemuka dengan dua orang yang cuba mendekati Nikho dan Elyssa.

Aku membalas balik lambaian Nikho sambil mula berlari ke arah mereka.

"Grrrrr!"

Bunyi batu bergeser yang kuat menarik perhatianku.

Aku menoleh dan ketika itu, aku melihat Light Shadow masih bertarung dengan lawannya yang berjumlah dua orang.

Aku terpegun sebentar melihat ketangkasannya mengendalikan pedang gandanya itu. Sekejap sahaja, mata pedangnya sudah memangsa salah seorang lawannya itu.

Pada masa yang sama, pintu batu yang berada berdekatan dengannya terbuka. Dari celahnya, aku melihat seseorang memfokuskan anak panahnya ke arah Light Shadow. Dia tidak sedar perkara itu kerana masih sibuk bertarung!

"Light Shadow, jaga-jaga!" jeritku.

Sekuat hati, aku pecut ke arahnya sambil mencabut dua bilah kunaiku.

Dalam jarak 10 langkah, Aku melempar satu ke arah lawan Light Shadow dan lemparanku tepat mengenai leher. Seketika itu, dia berubah menjadi debu cahaya.

"Tunduk!" Tempikku sambil membuat lompatan. Ketika itulah, aku melempar kunaiku ke arah pemanah itu.

Kunaiku itu sempat berselisih dengan anak panah yang dilepaskan di udara lalu masing-masing meluru laju mengikut arahnya.

"Argh!"

Kunaiku terlebih dahulu menemui mangsanya.

"Ada musuh!" Aku sempat mendengar tempik marah dari balik pintu batu yang masih bergerak terbuka.

Ketika aku menerkam Light Shadow, sesuatu mengenai bahu kananku. Aku dan Light Shadow terguling di atas lantai batu.

"Ergh!" Aku merasakan segaris kesakitan yang dalam.

"Arash, cepat ke sini! Mereka akan keluar sekejap lagi!" tempik Raizhan.

"Mari pergi!" Aku bingkas berdiri sambil menarik pergelangan tangan Light Shadow.

"Kenapa kau suka cari maut, hah?!" Jerkah Nikho dari jauh. Dia berlari maju ke hadapan. Elyssa menyertainya lalu mereka berdua melepaskan anak panah bertalu-talu. Anak panah mereka itu terbang melengkung di atas kepala aku dan Light Shadow.

Satu demi satu jeritan kesakitan kedengaran di belakang kami. Aku terus membawa Light Shadow berlari tanpa menoleh ke belakang. Aku tahu tiada seorang pun musuh dapat mendekati kami kerana Nikho dan Elyssa melindungi kami.

"Cepat, masuk ke dalam!" arah Raizhan. Nikho dan Elyssa pun segera masuk ke dalam celah blok batu yang bercahaya itu sebaik sahaja kami sudah berada di zon selamat.

Aku meluru masuk diikuti Light Shadow dan Raizhan. Cahaya membuatkan pandangan mataku silau.

Apabila pandangan mata kami pulih, kami berada di ruang lain.

"Apa yang kau fikir tadi, hah?!" Raizhan dan Nikho menjerit ke arahku serentak.

"Kau gilakah? Kenapa kau suka buat begitu?" Jerkah Nikho lagi. Suaranya yang kuat serta-merta buat kepalaku berdengung.

"Arash, kamu menakutkan saya! Cubalah pentingkan diri sendiri sikit!" Elyssa memukul dadaku sambil teresak kecil. "Saya tak sanggup tengok kamu jadi debu cahaya!"

Pukulan Elyssa tidak kuat, namun membuatkan aku tumbang.

"Arash!" Namaku diseru serentak.

Aku sedang jatuh.

Aku sedar badanku sedang jatuh ke belakang dan disambut seseorang. Wajah terkejut Raizhan menjenguk masuk dalam ruang pandanganku.

Tanganku terkulai jatuh begitu saja. Nafasku mula-mula laju dan kemudian semakin perlahan. Badanku terasa panas dan longlai seperti tidak bertulang. Rasanya seperti sel-sel ototku tak menerima arahan otakku untuk bergerak lagi.

Raizhan perlahan-lahan membaringkan aku di atas lantai yang dingin dan berpasir. Kepalaku dipangkunya.

Apa yang terjadi ke padaku?!

"Apa yang terjadi kepada Arash?!" Soalan yang bergema dalam mindaku dizahirkan Elyssa.

Pandangan mataku mulai samar-samar. Aku melihat mereka berlima mengelilingi aku.

"Tengok, bahu Arash cedera!" Itu suara Nikho.

"Cedera begini akan cepat sembuh sebab level Arash sudah tinggi!" tingkah Raizhan pula.

Bahu aku cedera? Aku dapat membayangkan bentuk luka itu berdasarkan rasa sakit yang menikam di sana. Luka di dunia VR tidak mengeluarkan darah. Sebaliknya mengeluarkan cecair bercahaya. Semakin banyak cecair cahaya itu tumpah, seseorang pemain itu akan semakin lemah dan jika tidak dirawat, tenaganya akan disedut habis. Sama seperti pendarahan realiti, pemain itu akan mati.

"Aku rasa aku tahu kenapa..." Suara Light Shadow pula kedengaran. Aku melihat bayang-bayangnya mendekati aku. Nikho beri laluan kepadanya. Sepicing pun aku tak dapat bergerak. Badanku rasa lumpuh- selumpuhnya.

"Kau sudah kena panah beracun," katanya pendek.

"Racun?! Tapi, kita tiada posyen penawar!" Sampuk Nikho. "Habislah... Arash, kau mungkin tak dapat diselamatkan!"

"Kau suka buat benda bodoh begini? Kenapa kau suka jadi hero, hah?! Tak bolehkah kau berhenti fikirkan tentang orang lain dan mula fikirkan diri kau sendiri! Tengok, kau selamatkan orang, kau sendiri nak mampus!" bentak Raizhan pula. Aku dapat melihat dia menumbuk perutku. Namun, badanku rasa kaku dan hilang rasa. Sedikitku aku tak merasa sakit.

"Kenapa kau selamatkan aku? Kita beru berkenalan sekejap..." kata Light Shadow perlahan.

"Se-sebab... k-kamu... k-ka-kawan... Nikho... " Susah payah aku cuba menuturkan jawapan balas.

"Arash, memang kami kawan. Tapi, permainan ini medan perang! Semua orang musuh! Bahkan kami bertiga akan jadi musuh kau lepas tahap kedua!" Marah Nikho. Ada sebak dalam kata-katanya.

"Hmmph, tak sangka ada orang senaif dan sebodoh ini pada zaman ini," kata Light Shadow sinis. "Patutlah kau semua lindungi dia."

Light Shadow menyelak jaket kulitnya dan mengambil sesuatu. Aku tak nampak apa benda itu. Dia datang lebih rapat ke padaku.

Tiba-tiba, rahang mulutku dibukanya paksa. "Hanya kali ini sahaja. Anggap posyen ini kata terima kasih dari aku. Kau akan tertidur sementara racun itu dineutralkan."

Ada cecair dituangkannya masuk ke dalam mulutku. Aku yang terlalu lemah untuk melawan, terpaksa membiarkan cecair itu menuruni tengkorokanku. Aku tersedak dan terbatuk. Argh, rasanya seksa dengan badan yang lumpuh!

Light Shadow menutup mulutku dan mengelap sisa cecair yang tumpah di hujung bibir. Dia membawa sisa cecair itu ke bibirnya pula.

"Aku harap kita takkan jumpa lagi, Arash. Tapi, aku mahu kau ingat namaku."

Kelopak mataku terasa sangat berat.

"Ingat, namaku Aleena."

Dan, aku hilang kesedaran.

[2894 Words]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro