Terperangkap

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Tak... tak mungkin kita terperangkap di sini. Kalau lorong tadi tertutup, mesti ada terbuka lorong lain!" kata Nikho cemas.

Namun, sebaik sahaja dia bergerak selangkah, tiba-tiba tempat itu bergegar.

"Tempat ni macam nak runtuh!" Jerit Elyssa panik.

"Nikho, berdiri balik ke tempat kau tadi!" kata Raizhan

"Apa?"

"Berdiri sajalah di sana!" bentak Raizhan lagi.

Nikho berundur kembali ke tempatnya tadi. Serentak, gegaran di tempat itu terhenti dan siling batu di atas kami juga berhenti merendah.

"Nikho tak boleh bergerak dari situ?" kataku sambil menyapu debu dari rambut dan bahuku. Aku mendongak. Ngeri rasanya bila membayangkan siling batu itu menghempap kami.

"Ya, kau jangan bergerak atau tempat ini akan runtuh. Tengok, ada batu empat segi yang kau pijak tu. Aku rasa itu pemicu perangkapnya," sambung Raizhan pula dengan serius.

Dia menghalakan obor api yang dipegangnya ke arah Nikho. Dengan bantuan cahaya api itu, kami dapat melihat ada kepingan batu empat segi yang sedang dipijak Nikho.

"Perangkap timbangan?" tanya Nikho gusar. Raizhan mengangguk.

"Jangan bergerak sedikit pun, Nikho. Aku rasa, permainan kali ini akan ada sedikit persamaan dengan permainan internasional dulu...."

"Sebab permainan ini juga dicipta oleh Daviex?" sambung Nikho.

"Ya," Raizhan mengangguk. "Kita tak boleh lengah sebab aku rasa Daviex dah naik taraf permainan ini."

Nikho mendesah berat. "Susahlah kalau begini..."

"Sekurang-kurangnya kita ada pengalaman."

"Apa itu perangkap timbangan?" tanyaku teragak-agak.

"Sejenis perangkap. Kalau kau terpijak pemicunya dan berpindah dari situ, kau akan terkena bala. Situasinya sekarang, Nikho dah terpijak pemicu itu. Berat badan dia sudah ditimbang, jadi dia tak boleh bergerak ke mana-mana. Sebab kalau berat di atas pemicu itu bertambah atau berkurang selain berat badan Nikho, kita akan mati tertimbun di tempat ni," terang Raizhan lalu mendengus.

"Nasib baiklah hanya Nikho yang terpijak. Kalau kita berempat yang terpijak, tiada siapa yang boleh bergerak ke mana-mana dan sampai bila pun kita takkan dapat keluar dari tempat ni. Ngok kau Nikho! Menyusahkan orang betul!" Sambung Raizhan. Sempat lagi dia menyembur rasa kesalnya.

Nikho cuma mampu getap gigi menahan marah. Dia tak dapat membalas sebab memang dia yang bersalah.

"Jadi, apa yang kita kena buat sekarang?" tanya Elyssa.

"Cari petunjuk untuk keluar dari tempat ini," balas Raizhan. "Hati-hati. Jangan sampai terpijak perangkap lain."

Kami memerhatikan tempat itu. Sawang tebal di mana-mana. Ada juga akar tumbuhan mati yang berjuntaian. Tempat ini betul-betul seram. Agak sukar untuk melakukan pencarian hanya berbekalkan sebatang obor api.


Aku mendekati dinding yang berada di sebelah kanan. Ada sesuatu pada dinding itu yang membuatkan aku rasa tertarik. Di sebalik sawang dan debu tebal, seakan-akan ada tulisan putih pada dinding itu.

"Saya jumpa sesuatu!" belum sempat aku menyentuh sawang itu, kedengaran jeritan Elyssa. Spontan, aku dan Raizhan mendekatinya.

Elyssa menuding pada ukiran unik pada dinding. Ukiran itu bercorak-corak aneh seperti abjad purba yang membentuk tulisan.

"Macam masih ada lagi," Aku meraih sawang tebal yang masih menutupi sebahagian tulisan yang lain.

"Arash, jangan!" Pantas Elyssa menggenggam pergelangan tanganku. Aku tersentak.

"Ke... kenapa?"

Elyssa menggeleng. "Dinding ini terlalu rapuh," telunjuknya menekan tempat lain selain tulisan purba itu. Bahagian itu pecah dengan mudah.

"Kalau kita tak berhati-hati, kita akan rosakkan petunjuk ini nanti..." kata Elyssa sambil menurunkan tanganku. "Kita kena bersihkan sawang-sawang ini dengan sangat teliti."

"Jangan bagi Raizhan buat, Elyssa. Tangan dia tu tangan perosak," kata Nikho dari pelantar itu.

"Apa?!" Raizhan separuh bertempik.

Elyssa ketawa kecil. "Kalau begitu, Raizhan jauh-jauh sikit. Syuh, syuh!"

"Kau halau aku, Elyssa? Kau halau aku?" Raizhan menunjuk dirinya sendiri. Bulat matanya tak percaya.

Elyssa mengangguk penuh yakin, membuatkan Raizhan memeluk tubuh sambil mulutnya muncung sedepa.

"Huhuhu...Sampai hati!"

Spontan, kami bertiga ketawa mengekek. Buruk benar muka Raizhan! Tidak lama kemudian, dia sendiri menyertai kami bergelak ketawa.

"Woi, Nikho! Apa yang kau dah ajar pada Elyssa, hah? Menjangkit dah perangai kau."

"Aku tak ajar dia apa-apa. Dia sendiri yang halau kau, salahkan aku pula," balas Nikho selamba.

"Memang saya menghalau kamu pun Raizhan. Betul apa Nikho? Kamu tahu rosakkan barang saja. Ganas!" kata Elyssa pula.

"Kahkahkah! Padan muka!" Nikho ketawa puas kerana dapat sokongan Elyssa untuk mengenakan Raizhan. Dia dan Elyssa bertepuk-tampar dari jauh.

"Aduh, kecewa kali kedua! Sampai hati kau tikam belakang aku, Elyssa..." rintih Raizhan pilu. Dia menekan dadanya, berlagak menderita sakit. Tapi, lakonannya berlebihan!

Kami ketawa lagi.

Sambil berundur selangkah ke belakang, Raizhan berkata, "Baiklah, baiklah! Aku takkan sentuh pun benda rapuh tu. Sebab, aku sendiri takut nak pegang."

"Tahu tak apa. Biar saya yang buat."

Elyssa mulai menyentuh sawang-sawang itu dengan berhati-hati. Jari-jemarinya yang runcing mengoyakkan lapisan sawang itu tanpa menyentuh dinding. Lembut dan teliti. Sekejap sahaja, keseluruhan tulisan pelik itu dapat dilihat dengan jelas.

Buat seketika, kami bertiga merenung tulisan itu dengan mata terkedip-kedip.

"Ada sesiapa dapat membaca ini tulisan apa?" tanyaku.

Kami bertiga saling berpandangan lalu sama-sama mengangkat bahu. Serentak juga kami menggeleng.

"Tulisan apa ni?" Raizhan mendekatkan wajah ke ukiran tersebut. "Yaba neupao: neayounae navpen bavo sae naoa bawao nanae?"

"Takkanlah bacaannya begitu? Mengarutlah kamu ni Raizhan!" kata Elyssa.

"Manalah aku tahu? Aku hentam saja baca. Dah ukiran ni nampak macam abjad..."

"Masalahnya, ini bukan huruf-huruf yang biasa kita gunakan. Ia lebih kepada bentuk simbol. Takkanlah ini bahasa kuno? Macamana kita nak faham kalau begini?" gumamku perlahan.

"Bahasa Daviex, mungkin? Mereka yang cipta permainan ini, bukan?" cadang Elyssa.

"Daviex tak ada bahasa sendirilah, Elyssa. Mereka juga gunakan bahasa yang sama dengan kita. Seluruh dunia gunakan bahasa yang sama untuk berkomunikasi. Jadi, tak wujud bahasa Daviex," balas Raizhan.

"Betul tu. Lagipun, istilah bahasa dan bangsa juga sudah lama hilang. Cuma bahasa dan tulisan yang kita gunakan pada hari ini sahaja yang tinggal," sambut Nikho.

"Apa yang kamu semua harapkan? Kita generasi pasca akapolips! Tamadun manusia pada zaman dahulu hancur. Segalanya! Apa yang tinggal untuk kita?
Jasad planet yang bersusah payah untuk hidup dari pencemaran kimia?
Ya! Sumber alam sekitar?
Hampir tak ada! Tamadun bangsa? Identiti? Jati diri? Sudah lama punah kerana arus kemodenan! Apa yang kita harapkan? Tiada apa yang tinggal untuk kita..." tiba-tiba aku mencelah penuh emosi.

"Wo... sabar! Kau nak hambur marah pada kami pun tak ada gunanya. Salahkan nenek moyang kita. Mereka tak fikirpun tentang generasi masa depan macam kita," Raizhan tepuk-tepuk bahuku. Aku mendesah lalu mengukirkan senyuman tawar.

"Tapi, aku tak mahu mengaku generasi lalu yang laknat tu sebagai nenek moyang aku. Aku tak warisi apa-apa pun dari mereka! Kesengsaraan adalah!"

"Kau warisi genetik mereka. Tengok diri kita yang berbeza. Warna rambut, warna kulit, warna anak mata, ketinggian dan lain-lain... semuanya ciri-ciri yang datang dari bangsa tertentu. Tapi, sekarang kita cuma manusia tanpa ada identiti bangsa yang jelas."

"Baguslah sekarang tiada lagi bangsa-bangsa yang wujud macam dulu. Tiada yang akan taksub dengan bangsa sendiri, tiada yang terlalu membanggakan bangsa sendiri, sampai sanggup membunuh bangsa lain! Sikap rasis melampau juga takkan muncul dalam kalangan manusia kalau kita menganggap semua orang sama. Aman sikit dunia," sambung Elyssa pula.

"Hahaha, sabar Elyssa...," kata Raizhan.

"Nanti dulu, kenapa perbahasan kita jauh menyimpang ni?" Nikho bercekak pinggang, "Kalau Daviex mahu gunakan tulisan purba berjuta tahun yang lepas sekalipun, mesti ada caranya agar kita boleh fahaminya. Ini permainan! Mustahil tiada jalan keluar. Aku yakin itu sebuah kod rahsia. Cari lagi, mesti ada petunjuk itu di mana-mna. Otak tu guna!"

"Cari perhati, dengan saksama. Engkau akan jumpa falsafah jaya..." Elyssa membacakan ayat dalam puisi petunjuk itu.

"Tengok? Betul cakap aku. Apa lagi, carilah sekarang!" Nikho mengarah serupa diktator.

Raizhan mendecit, tidak puas hati. Paling pantang dia jika menerima arahan orang lain terutama Nikho. Dia merungut sendiri, sesekali memaki Nikho sambil menuju ke arah lain. Elyssa juga tertunduk-tunduk, meneliti bahagian bawah.

Aku teringat hasratku yang terbantut. Segera aku menuju dinding berukir yang aku tinggalkan tadi.

"Elyssa! Raizhan! Tengok ni," kataku sambil menuding dinding itu.

"Kau dah jumpa?" tanya Raizhan sambil berdiri di sebelahku. Aku sekadar mengangguk untuk membalas pertanyaannya.

Sementara itu, Elyssa sudah membersihkan sawang tebal yang menutupi dinding itu tanpa disuruh. Aku dan Raizhan cuma dapat memerhati.

"Kau sudah jumpa petunjuk lain? Senangnya! Macam mencurigakan...," kata Nikho.
"Aku pun tak rasa cabaran tahap pertama akan semudah ini. Walaupun biasanya, tahap pertama mudah untuk aku lepasi. Tapi, bukan cabaran seperti ini. Ugh, aku benci main teka-teki," komen Raizhan pula.

"Kau tak suka sebab otak kau letak dekat otot!" sela Nikho.

"Kau, diam." Raizhan mengacu penumbuk pada Nikho.

Aku mendesis untuk menyuruh mereka supaya diam. Tak kira masa, bertekak saja mereka berdua ini. Haih...

"Masih tak jelaslah. Apa yang tertulis ini?" kata Elyssa sambil berundur ke belakang. Dia membersihkan tangannya.

Ada garis-garis putih pada dinding itu. Kami tidak dapat melihat dengan jelas kerana tulisan itu ditutupi dengan debu.

Aku cuba menyentuh tetapi cepat-cepat aku tarik balik tanganku.

"Rapuh. Tulisan ini pun seperti ditulis dengan kapur. Kita perlukan berus lembut macam yang digunakan ahli arkeologi untuk bersihkan debu-debu ini tanpa memadam tulisannya...."

"Mana kita nak cari berus?" jerit Raizhan frustasi.

Elyssa tersenyum. Dia menarik getah rambutnya. Rambutnya yang sebentar tadi diikat tepi menjurai jatuh dengan cantik di atas bahunya. Kemudian, dia menyisir rambutnya dengan jari. Aku pandang dia tak berkelip.

"Kau buat apa, Elyssa?" Pertanyaan Nikho buatkan aku tersentak. Tanpa sedar, pandanganku rupanya sudah terpaku pada Elyssa. Cepat-cepat aku mengalih pandangan.

Sekilas, aku sempat melihat Raizhan masih merenung Elyssa. Terpana ialah kata yang lebih sesuai.

"Arash, pinjam pisau!"

Tanpa sempat aku merespon, Elyssa sudah mencabut salah satu kunai yang tersisip di pinggangku.

"Eh, kamu nak buat ap..."

'Slash!'

Elyssa melepaskan genggaman tangan kirinya. Sejemput rambut miliknya melayang jatuh lalu bertaburan di atas lantai.

"Elyssa?!" Nikho dan Raizhan sama-sama terjerit.

"Kenapa potong rambut?!" Ajaibnya, kami bertiga melontarkan soalan yang sama, dengan nada terkejut yang sama.

Elyssa ketawa mengekek melihat reaksi kami. Dia menunjukkan hujung rambutnya yang sudah dipotong sekata. Dengan senyum bangga dia berkata, "Berus!"

Tanpa menghiraukan kami yang masih terlopong kerana kelakuannya, Elyssa berbalik menghadap dinding itu. Maka, dengan 'berus'nya itu, Elyssa mula membersihkan debu-debu yang melekat.

Selepas beberapa minit, dia selesai. Terserlahlah tulisan kapur berwarna putih itu dengan lebih jelas.


Sekali lagi kami bertiga terkebil-kebil memandang tulisan pada dinding itu.

"Okey, bagi tahu aku apa yang kamu nampak," kata Nikho separuh mendesak.

"Entahlah, Nikho. Kami pun tak faham. Ia nampak macam senarai penuh simbol purba yang ada di dinding sebelah sana. Dan di sebelahnya ada garis berombak dan bunga kecil."

"Ada pelbagai kombinasi dan untuk setiap simbol purba itu, tiada kombinasi yang sama," sampuk Raizhan.

Aku pula tidak berkata apa-apa. Pandanganku tertancap pada dinding itu. Sepenuh hati aku cuba fokus untuk mencari jawapan kepada teka-teki ini.

Okey, Arash. Gerakkan neuron otak kau tu.

Ada beberapa idea kecil yang tercetus dalam kepalaku. Tapi, masih terlalu kecil untuk menerangi semua kegelapan misteri ini. Umpama cahaya bintang di dada langit yang berawan. Ada, tapi tak jelas.

Aku tahu ada jawapan kepada semua persoalan ini. Kedua-dua dinding itu aku pandang silih berganti. Aku yakin ada.

Tapi, apa?!

'Grrrrrrrrwww!'

Tiba-tiba tempat itu bergegar lagi.

"Kyaaa!" jerit Elyssa. Dia kehilangan kesimbangan lalu jatuh terduduk.

Raizhan segera mengeluarkan pedangnya lalu dijadikannya tongkat. Aku pula membongkok dan menopang diri sendiri dengan sebelah tangan kerana aku nyaris tersembam.

"Nikho!!" Kami bertiga menyeru namanya, melawan bunyi bingit gegaran yang berlaku.

"Aku tak buat apa-apa pun!" balas Nikho panik.

"Kalau kau duduk diam-diam, kenapa tempat ni bergegar?!" jerkah Raizhan.

"Sumpah, seinci pun kaki aku tak gerak!"

"Nikho!" Elyssa menutup kepalanya, hampir menangis ketakutan.

"Nikho, kalau siling ini terus merendah, kedua-dua dinding ini akan hancur!" jerit Raizhan. Dia menolak pedangnya ke atas, berusaha menahan siling yang sudah turun sedepa dari atas kepalanya. Aku juga keluarkan pedangku lalu membantu Raizhan.

"Kita kena fikirkan jawapannya cepat atau petunjuk ini akan rosak! Fikirkan sesuatu!" jerit Elyssa.

Aku getap bibir. Sedaya upaya aku salurkan tenaga untuk menahan siling batu. Ia seolah-olah mahu menghempap kami hidup-hidup.

Tak guna! Dalam situasi ini, otak aku rasa kosong. Aku tak boleh fikir apa-apa!

"Kita tak boleh mati di sini!" kata Raizhan.

Ya, kami tak boleh mati di sini. Aku tak mahu dihibernasikan. Aku mahu menang! Aku mahu pulang! Aku kena berfikir cepat untuk menyelesaikan teka-teki ini.

Tapi, aku tak boleh berfikir!

Sesiapa... sesiapa sahaja,
TOLONG KAMI!!

[2018 Words]



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro