5T5B: WB |Bab 17

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"I don't know why we need to break so hard."
—Birdy
—————-

TANGAN sebelah utuh menggenggam tongkat halus yang dihayun perlahan-lahan ketika berjalan. Apabila langkah Fahrin yang mendampinginya mula berhenti, Hana turut melakukan yang sama.

Pintu terus ditolak Daniel perlahan-lahan, membantu langkah Hana yang diiringi Fahrin itu. Daniel kemudiannya memilih untuk hanya menunggu di luar.

Tangan Hana terus ditaut Fahrin, sebelum matanya sekilas memerhatikan tubuh yang masih terkaku di atas katil itu.

Ketika Hana dan dirinya mula menghampiri, dilihatnya Raihana mula memandang ke arah mereka berdua. Segera langkah diberhentikan apabila mereka mula berdiri betul-betul bersebelahan dengan katil yang menempatkan Raihana tersebut.

Melihatkan wajah yang penuh lebam dan kesan calar serta kepala yang berbalut demikian, Fahrin hanya mampu mengucap jauh dalam hatinya. Terkejut juga melihat keadaan Raihana sebegitu yang sebelum ini tak pernah dijenguknya.

Namun, secara tidak langsung di situ, Fahrin teringatkan keadaan Hana ketika pernah kemalangan dahulunya.

Adakah seteruk ini keadaan Hana dahulunya? Dan sewajarnya lebih teruk, bukan? Kerana keadaan wanita tersebut yang bukan sahaja menjejaskan memorinya, malah keadaan matanya juga.

Liur ditelan pahit. Dengan pantas, Fahrin mengalihkan mindanya dengan membuka mulutnya.

"Rai." Panggil Fahrin, memecah kesunyian.

"Hmm." Sahut Raihana. Masih sedaya upaya membuka mulutnya meskipun berasa pedih.

Fahrin sepi sejenak. Dilihatnya kemudian, Hana perlahan-lahan meraba-raba tangannya di atas katil itu.

Memahami tindakan Hana, Fahrin lantas membawa tangan itu ke pergelangan tangan Raihana.

"Jangan alihkan tangan. Itu je yang tak lebam." Bisik Fahrin kepada Hana.

"Oh, baiklah." Kata Hana.

Raihana hanya memandang Hana sedemikian. Hana pula sedaya upaya menganggar kedudukan wajah Raihana sebelum mengukir senyumannya.

"Maaf, saya sudah tidak boleh melihat." Ucap Hana, umpama menjawab teka-teki pada wajah Raihana yang jelas tertanya-tanya itu.

Wajah Raihana berubah seketika di situ. Terfikirkan pertemuan mereka dahulunya, dan kini, wanita itu tidak lagi boleh melihat.

Mata sayu itu lemah menatap wanita di hadapannya.

"H...Hana..." Panggil Raihana, perlahan.

"Ya, saya." Sahut Hana.

"F... Fahrin.." Nama itu pula dipanggil.

"Hmm?"

Raihana, dalam nafas yang tersekat-sekat itu, mula terdiam sebentar. Sebelum dia meluahkan kata-kata seterusnya.

"Jagakan anak kami. A..dam.. I..ka.."

Pandangan itu mula berkaca-kaca. Tak lama kemudian, Raihana perlahan-lahan menggerakkan tangannya ke perutnya.

Fahrin memandang Hana seketika. Hana yang jelas terpaku itu hanya mampu mendengar.

"Awak cakap apa ni?" Soal Fahrin.

Raihana mula menggenggam tangan Hana dan ditariknya perlahan agar Hana lebih rapat kepadanya.

"Jagakan Daniel..." Bisiknya.

Wajah Hana semakin berubah.

"Raihana, kamu... kamu tidak bolehkah..."

"Sorry..." Terus Raihana memintas itu.

Tangan Hana ditarik perlahan, dibawa ke perutnya lalu diusapnya bersama sentuhan itu sebelum dilepaskan lemah.

Mata Hana entah mengapa, mula bergenang di situ. Manakala Fahrin pula sudahpun mengetap bibirnya.

"Jangan merepek. Awak takkan sekarang dah fikir nak tinggalkan keluarga awak sendiri?" Soal Fahrin, keras.

"Fahrin, kawal suaramu." Tegur Hana, perlahan.

Raihana hanya memandang wajah Fahrin dengan sayunya.

"Lepas semua yang awak buat pada saya sebab awak pentingkan diri awak sendiri, awak biarkan saya macam orang yang tak ada perasaan, lepas saya dah dermakan hati saya pada Daniel untuk tengok dia hidup dengan awak, awak dah rasa awak tak patut hidup lama lagi? Itu ke yang awak nak?" Soal Fahrin, makin kasar. Meski dalam keadaan suaranya yang sedaya upaya dikawal setelah ditegur tadinya.

Raihana menggeleng kecil.

Hana segera menarik tangan Fahrin, menghalangnya dari berkata lanjut.

"Raihana..."

"Balik, Hana. Kita takkan jaga sesiapa pun untuk pihak dia." Tangan Hana terus ditarik.

"Fahrin Wildan, kamu mengapa tiba-tiba begini?" Soal Hana yang berasa tidak puas hati di situ.

"Cepat keluar." Hanya itu yang diarah Fahrin.

Hana menarik perlahan tangannya daripada dalam genggaman Fahrin. Segera dia mendapatkan Raihana di sisi katil itu sebelum mula bersuara dalam nada yang rendah.

"Saya tunaikan permintaan kamu." Kata Hana pantas sebelum kembali mendapatkan Fahrin. Menimbulkan senyuman sebak buat Raihana yang hanya sempat melihat kedua-dua bayang itu hilang di balik pintu.

Ketika mereka berjalan keluar, sempat Fahrin bertembung dengan Daniel yang masih menunggu di luar bilik.

"Anak-anak kau macam mana?" Soal Fahrin.

"Masih tak sedarkan diri." Balas Daniel.

Suasana sepi seketika. "Jaga diri kau, Daniel." Ujar Fahrin.

Daniel memandang tepat wajah lelaki itu. Fahrin, tanpa berlengah terus menghilangkan diri, memimpin Hana bersamanya. Tidak berkata lanjut.

Sesampainya di bilik wad Fahrin, Fahrin terus membawa Hana masuk ke dalam dan duduk di atas sofa. Ketika dia mula berlalu, Hana perlahan-lahan menarik tangan Fahrin, tidak melepaskan lelaki itu berlangsung pergi.

"Fahrin Wildan..." Panggilnya, perlahan.

Fahrin memandang Hana yang memanggilnya. Lalu, entah mengapa dia melabuhkan jua punggungnya di sebelah Hana itu.

"Kamu mengapa begitu marah padanya, Fahrin Wildan?" Soal Hana.

Fahrin diam sebentar. "Bukan hal kau pun." Ujar Fahrin kemudian.

"Memang bukan hal saya, tapi dalam keadaan Raihana begitu, kamu tidak kasihankah?" Soal Hana lagi.

"Kau kalau nak tegur aku sebab benda tu, dahlah. Aku dah tak nak cakap dengan kau lagi. Susah betul. Bukan nak ikut aku." Balas Fahrin dalam omelan sendiri.

Kening Hana terangkat tinggi. Sepantas itu, peha Fahrin ditampar kuat.

"Aduh! Hei!"

"Kamu berani merajuk dengan sayakah? Fikir saya ada masakah melayan rajukmu?" Soal Hana.

Fahrin berdecit. Pehanya digosok-gosok. Pedih betul!

"Kau ni kan, tangan tu tak boleh ke bawak bincang? Sakit, tahu tak?"

"Sebab saya memang marahkan kamu sejak tadi!"

"Hei, kau dah kenapa nak marah aku sebab perempuan tu? Aku ni siapa? Dia tu siapa?" Soal Fahrin.

Hana menyepi di situ. Dalam keadaan geramnya, Hana cuba jua menenangkan dirinya.

Nafas dihela melalui mulutnya. Cuba mengawal perasaan.

"Kamu tahu, saya tidak suka berlawan mulut begini selalu." Kata Hana kemudian apabila marahnya mula surut.

Fahrin hanya memandang Hana demikian. Sebelum terdengar Hana bersuara lagi.

"Kamu juga, bolehkah sesekali untuk tidak tinggikan suara begitu? Seberapa legakah kamu melakukan itu?" Soal Hana.

Tanpa menunggu jawapan, Hana terus bergerak pergi entah ke mana. Sebelum kemudian, dia terasa Fahrin membuka mulut.

"Tidur sini."

Hana perlahan-lahan berpatah balik, mencari arah katil itu. Tak lama kemudian, Fahrin terus membantunya untuk berbaring. Selendang yang dipakai terus diletak tepi.

Tak lama kemudian, dia berasa pula Fahrin berbaring di sebelahnya tanpa suara.

Suasana berubah sepi. Tiada lagi sebarang kata-kata yang keluar dari mulut mereka berdua.

Hana, yang sememangnya masih belum mahu melelapkan matanya, mula membuka mulut kemudian.

"Fahrin Wildan, kamu sudah tidurkah?" Soal Hana.

Sepi.

"Dah." Tiba-tiba Fahrin membalas itu.

Hana diam sejenak. "Fahrin Wildan, kamu rasa, Raihana mampu bertahankah?" Soal Hana. Mengetahui jawapan sebenar Fahrin tadinya.

Fahrin yang sedari tadi berpura-pura memejamkan matanya akhirnya tercelik mendengar soalan itu.

"Tak tahu." Balas Fahrin, pendek.

"Kalau dia tidak mampu..."

"Jangan sibuk hal orang."

"Tapi ia mengganggu fikiran saya."

"Nak ganggu apanya? Bukan ada kena mengena dengan kau pun."

"Sebab ia tentang satu kehilangan. Yang saya pernah alaminya." Balas Hana.

Fahrin terus terdiam. Terus matanya menatap wajah Hana yang masih kosong begitu.

"Tapi benar kata kamu. Saya lebih baik diamkan diri saja." Ujar Hana kemudian.

Fahrin hanya mendengar kata-kata tersebut, tak pula mahu membalas.

"Fahrin Wildan..."

"Hmm." Hanya itu yang disahut.

"Mengapakah kamu berkeras tidak mahu menceraikan saya?" Soal Hana.

Fahrin terkelu sejenak mendengar soalan itu.

Hana menyambung lagi. "Kerana kasihankan hidup sayakah?" Soal Hana.

Sepi.

Hanya kemudian, Hana terus membuka mulut.

"Tidak mengapa. Tidak perlu jawab."

Hana mula memejamkan matanya, menyelesakan pembaringannya.

Tangannya mula mencari-cari sesuatu, yang hanya dilihat Fahrin di situ. Seketika terasa tangan mereka bersentuhan, Hana terus mencapai tangan milik Fahrin itu dan menggenggamnya perlahan.

"Tidur saja. Saya cuma mahu lakukan ini seketika. Tangan saya sejuk." Kata Hana.

Fahrin cuma mampu memerhatikan Hana. Memang tak dinafikan, tangan Hana agak dingin ketika itu.

Apabila Hana benar-benar terlena, Fahrin masih di situ, memerhatikan wajah Hana.

Nafas dihela kemudiannya. Entah mengapa.

Dia ni, memang kadang-kadang mengada-ada juga. Tak padan dengan lantangnya.
Entah apa-apa.

Wajah Hana terus dipandang.

"Kau tahu ke kita kena buat apa sekarang?" Soal Fahrin, umpama sedang berkata-kata dengan empunya wajah itu.

Pandangan dialihkan sebelum air liurnya ditelan pahit.

"Sebab aku sendiri pun tak tahu."

-------------------------

HARI itu, setelah Hana pulang ke rumah untuk mempersiapkan diri sambil dibantu Adira, dia kembali ke hospital pada tengah harinya.

"Adira, kamu boleh hantarkan saya hanya sampai di depan pintu bilik Fahrin hari ini? Saya akan hubungi kamu jika ada apa-apa." Ujar Hana.

Adira diam sejenak, bertimbang-timbang sewajarnya sebelum hanya menurut. "Baik, Cik Hana."

Hana terus dibawa menuju ke hadapan bilik wad yang menempatkan Fahrin. Di situ, Hana mula ditinggalkan sendirian. Sempat juga Adira berpesan kepada Hana agar terus menghubunginya jika perlu.

Wanita tersebut kemudiannya mula mencapai tombol pintu dan memulasnya perlahan-lahan, sebelum kemudian dia terdengar satu suara selain Fahrin dari dalam.

Langkah Hana terhenti. Sempat juga dia menangkap gelak tawa dari dalam bilik tersebut. Antara dua insan, yang jelas dia tahu siapa gerangannya.

Lama jua Hana berhenti di situ, umpama hanya memasang telinga. Hinggalah dia terasa disapa seseorang.

"Hana?"

Hana mencari-cari punca suara itu.

"Daniel?" Soal Hana.

"Hmm, saya. Kenapa berdiri je kat sini? Kenapa tak masuk?" Soal Daniel yang sedari jauh tadi melihat kelakuan Hana di situ.

Hana perlahan-lahan menarik pintu kembali.

"Tidak mengapa. Fahrin ada tetamu." Kata Hana yang mula membawa diri.

Daniel masih melihat Hana demikian. Sempat pintu ditolak seketika, melihat tetamu yang dimaksudkan sebelum dia mendapatkan Hana.

"Itu kawan Fahrin ke?" Soal Daniel, menghalang langkah Hana.

Hana berhenti seketika. "Orang istimewa dia."

"Kekasih?" Soal Daniel, berkerut wajahnya.

Hana menyepi seketika sebelum hanya mengukir senyumannya sebagai membalas.

"Daniel, kamu sibukkah? Mahu melawat Fahrinkah?" Soal Hana.

"Er, haah. Tapi, dia tengah ada tetamu tu."

"Boleh bawakan saya menuju ke ruang menunggu?" Pinta Hana.

"Oh, boleh, boleh. Jom, saya bawa."

Hana terus dipimpin menuju ke ruang menunggu.

Seketika Hana duduk, Hana mula mengagak kedudukan Daniel untuk memandang wajahnya.

"Terima kasih. Kamu boleh selesaikan urusan kamu." Ucap Hana, sopan.

Daniel hanya memandang Hana demikian. Tak lama begitu, dia mengambil duduk di sebelah Hana.

"Fahrin tak pernah kata dia ada kekasih." Ujar Daniel sambil melihat Hana yang mula termenung sugul.

Hana menelan liurnya. "Mungkin kerana memang tidak mahu memberitahu sesiapa." Ujarnya kemudian.

Daniel mengangguk faham. Memahami bahawa sikap perahsia yang sedia ada pada Fahrin itu sememangnya tidak boleh dibuang.

"Awak tak marah?" Soal Daniel.

"Saya tiada hak untuk memarahinya. Rasa sayang itu fitrah." Balas Hana.

Wajah Hana dipandang. "Tapi awak isteri dia."

Hana tersenyum nipis. "Kami bernikah bukan juga kerana cinta. Apa yang boleh dijangka?"

Daniel terdiam seketika. "Awak sayang dia?"

Hana termenung seketika apabila mendengar soalan itu sebelum meluahkan senyuman pahit.

"Dia suami saya. Meskipun pertemuan kami adalah secara tak sengaja, tapi sejak dulu dia selalu menjaga saya." Jawab Hana.

Diam.

"Daniel, saya terlalu sayangkannya."

Senyuman paksa diluahkan. Yang terlihat kemudian adalah mata Hana yang mula berkaca-kaca. Menandakan begitu tulusnya hatinya berkata demikian.

Reaksi Hana itu hanya mampu diperhatikan. Dapat menjangka akan jawapan, cuma entah mengapa dia masih juga terkaku dengan pengakuan tersebut.

Suasana berubah sepi seketika.

"Daniel..."

"Hmm?"

"Keadaan anak kamu bagaimanakah?" Soal Hana.

Daniel diam sebentar. "Masih tak sedarkan diri, dua-dua."

"Oh."

"Kenapa tanya?" Soal Daniel.

"Kalau boleh, saya mahu berjumpa mereka."

----------------------

"TERIMA kasih."

Hanya kata-kata terakhir itu umpama terngiang-ngiang di dalam bilik wad tersebut.

Sejak tadi, sejak Sarrah meninggalkan bilik tersebut, Fahrin hanya tinggal bersendirian kini.

Pintu dijeling sekilas. Melihatkan kalau ada susuk tubuh yang akan datang kembali.

Bukannya dia tak sedar kehadiran Hana tadinya. Cuma dia masih sengaja berada di dalam bilik wad tersebut, menghabiskan masanya bersama Sarrah.

Entah ke mana agaknya Hana pergi selepas itu. Sampai sekarang masih tak memunculkan diri.

Wajah diraup perlahan. Fahrin kemudiannya hanya berbaring di situ, termenung sendiri. Terdengar jua hela nafasnya kemudian.

Dia bingkas bangun kemudiannya. Baju hospital yang biasa dipakai itu ditukar kemudiannya.

Seketika kemudian, dia terasa pintu ditolak. Terus terhenti segala perbuatannya.

"Encik Fahrin?" Soal doktor yang mula mendapatkannya.

Wajah doktor itu dipandang.

"Saya nak keluar." Katanya, tegas.

-------------------

SEDARI tadi, tangan kecil itu diraih lembut. Yang hanya diperhatikan Daniel yang berdiri di sisinya yang melabuhkan punggung pada kerusi yang disediakan.

Ketika ini, Hana langsung tak bersuara. Hanya menyentuh lembut tangan anaknya yang masih tak berdaya untuk digerakkan sendiri.

"Ika, namanya?" Soal Hana.

"Hmm." Balas Daniel.

Hana menarik nafasnya. Tangan si kecil itu diusap perlahan sebelum dia mula mendekati telinga kecil itu dan dibisikkan sesuatu. Yang tidak kedengaran oleh Daniel akan segala yang disebut Hana.

Tadi, Hana jua melakukan yang sama kepada anak lelakinya. Masih, ada sesuatu yang disebut Hana namun Daniel tetap jua tidak dapat mengagak butir bicara itu.

Dan yang Daniel lihat setelahnya, ada air mata yang mengalir dari mata wanita tersebut.

Hana mula berdiri lurus, menarik nafas dalam dan menghapus air matanya sebaik mungkin. Apabila dirasakan lega, Hana mula menoleh, mencari bayang Daniel.

"Saya." Daniel segera mendapatkan Hana, bagaikan tahu Hana mencarinya.

Hana menguntumkan senyuman kecilnya. Lantas, dia dipimpin Daniel menuju ke pintu luar.

"Daniel?"

"Hmm?"

"Sejauh manakah kamu boleh berasa redha dengan ketentuan takdir untukmu?" Soal Hana.

Daniel sepi seketika sebelum disusuli senyuman nipis.

"Kita takkan tahu sekuat mana kita sampailah cuma menjadi kuat tu satu-satunya pilihan yang kita ada."

Mendengarkan itu, Hana diam sejenak.

"Kamu ada harapan bahawa kesemua keluarga kamu sembuhkah?" Soal Hana.

"Saya cuma mampu redha untuk apa-apa pun. Ada yang terbaik yang kita takkan mampu nampak. Sebab akal kita sentiasa terbatas daripada apa yang Dia tahu, kan."

Hana tersenyum nipis.

"Hmm. Kamu betul."

Ketika langkah bersama diatur menuju ke arah kaki lima berdekatan, dan tatkala mulut Daniel mahu berkata sesuatu, matanya mula tertancap kepada figura Fahrin yang sudahpun berdiri di hadapan mereka.

Langkah masing-masing terhenti.

"Daniel, kenapa?" Soal Hana yang turut sama berhenti.

"Kau dengan Hana pergi mana ni?" Soal Fahrin tanpa berbasa-basi.

Kening Hana terangkat seketika mendengar suara itu. Segera dia membalas sebelum sempat Daniel membuka mulut.

"Saya jenguk anak-anak Daniel. Kamu buat apakah di sini?" Soal Hana pula.

"Fahrin, kau dah boleh keluar ke?" Soal Daniel pula apabila melihat cara Fahrin berpakaian demikian.

Hana mengangkat keningnya buat kesekian kali. Segera langkah diatur berdekatan Fahrin lalu hujung baju Fahrin disentuh untuk merasai jenis fabrik pada baju tersebut.

Segera, pada masa itu, Fahrin menarik Hana kemas ke sisinya.

"Haah. Dah boleh keluar." Balas Fahrin.

"Oh."

"Kau ada apa-apa nak cakap dengan aku ke?" Soal Fahrin. Memahami tujuan Daniel bertembung dengan Hana mungkin kerana ingin berjumpa dia sendiri pada awalnya.

"Sengaja nak jenguk kau tadi sebenarnya. Em, aku pergi dulu. Nak jenguk Raihana. Lama dah biarkan dia sendiri." Kata Daniel yang mula berlalu.

"Hati-hati, Daniel." Ucap Hana.

Daniel menoleh sepintas kepada Hana dan Fahrin dengan senyumannya.

"Terima kasih." Katanya sebelum terus meninggalkan mereka berdua di situ.

Fahrin hanya memilih untuk memerhatikan bayang itu pergi tanpa bersoal lanjut lagi.

"Dia pasti terlalu rindukan isterinya, kan?" Soal Hana kemudiannya apabila dirasakan Daniel tidak lagi berada berdekatan.

Fahrin sepi sejenak sebelum memandang Hana.

"Kau je yang orang tak rindu." Balasnya, selamba.

Hana berdecit. "Sarrah manakah? Kenapa kamu tidak pulang bersamanya?"

"Ada urusan." Balas Fahrin, ringkas.

Suasana sepi sejenak.

"Fahrin Wildan..."

"Cakap je."

"Kamu percayakah bahawa masa Raihana itu sebenarnya makin 'hampir'?"

Fahrin bagaikan terpempan sejenak.

"Jangan doakan orang mati cepat la." Sengaja mengelak.

"Fahrin Wildan, kamu akan berpegang dengan janji Raihana untuk tengokkan Daniel, kan?"

"Daniel dah besar. Dia tahu jaga diri dia sendiri."

"Kehilangan orang yang besar ertinya itu tidak mudah, Fahrin Wildan. Harus ada yang melihat keadaan dia." Balas Hana.

"Dia masih ada mak dia."

Segera pinggang Fahrin dicubit kuat.

"Aduh! Sakitlah!"

"Bolehkah kalau semuanya tidak dilawan? Ada saja yang nak dibidas. Huh!"

"Habis, tak betul ke?" Soal Fahrin yang masih berkerut menahan sakit.

"Betul tu betul, tapi gaya kamu itu begitu tak peduli!" Balas Hana.

"Kau tu yang asyik fikir negatif, kau tahu tak. Semuanya fikir tak pernah nak elok." Kata Fahrin, tak mahu mengalah.

"Saya pula yang kena. Sudahlah, saya mahu pulang. Nanti Adira akan ambil saya. Kamu juga harus pulang."

"Tahu la." Balas Fahrin, sepatah.

Tangan Fahrin Wildan diraih lalu dikucup.

"Jumpa kamu lagi, nanti."

"Tengoklah nanti."

Drama betul, padahal duduk dah sebumbung, bisik hati Fahrin sendiri.

"Jaga makan kamu." Pesan Hana.

"Tak payahlah ingatkan macam budak-budak." Balas Fahrin.

"Sama-sama." Balas Hana selamba, seolahnya Fahrin mengucapkan terima kasih kepadanya.

Fahrin mengjungkitkan bibirnya. Sebelum terdengar kemudiannya Hana berkata lanjut.

"Kamu boleh tolong sayakah?" Soal Hana.

"Cakap jelah."

"Kalau ada apa-apa hal berkaitan keluarga Daniel, khabarkan pada saya." Pinta Hana.

"Kau tu sibuk kenapa?" Soal Fahrin.

"Saya hanya mahu tahu." Balas Hana.

"Aku takkan beritahu kau apa-apa. Kau tak perlu tahu." Ujar Fahrin kemudian.

Hana mengetap bibirnya. Sekali lagi perut Fahrin dicubit, kali ini lebih kuat dan sepenuh hati.

"Aduh!! Sakitlah!" Bergema ruang laluan itu dek suara Fahrin yang lantang mengaduh.

"Padan muka! Asyik tahunya melawan saja!"

"Ish! Dah la! Aku tinggalkan kau kat sini! Kau jalan sendiri!" Terus Fahrin membentak kakinya sekejap dan meninggalkan Hana yang masih berdiri di situ.

Benci betullah dengan tangan yang asyik ringan semacam je macam dia tu, gerutu Fahrin dalam hati.

Hana hanya mendengar langkah tersebut yang meninggalkannya. Masih tak berganjak dari tempat dia berdiri.

"Merajuk pula. Dia tidak tahukah saya buta begini? Fikir saya akan kejar dia dan meminta maafkah?" Soal Hana yang bercekak pinggang di situ.

Namun, tak lama selepas itu, dia terasa ada sesuatu yang dekat dengannya. Secepat itu, lengannya dipaut.

"Jalan la. Kau nak tunggu apa lagi kat sini? Tunggu hantu?" Perli Fahrin. Terus Hana ditarik untuk berjalan bersamanya.

Hana berdecit. Dia ni nak tolong ke taknak tolong. Tak pernah nak baik-baik perangainya.

"Tunggu hantu sampuk kamu!" Balasnya, geram.

Fahrin hanya mengajuk dalam diam. Masih memimpin Hana yang memuncungkan bibirnya.

Suasana sepi seketika sebelum Fahrin membuka mulut.

"Kau buat apa jumpa anak-anak Daniel dengan Rai tu?" Soal Fahrin.

Hana mendiamkan diri sesaat dua sebelum menjawab.

"Memujuk mereka untuk bersabar dan kuatkan hati."

"Bukannya diorang dengar pun." Ujar Fahrin.

"Siapa tahu, boleh dengar melalui mimpi." Kata Hana.

"Mustahil la. Drama betul."

"Saya ketika koma dahulu boleh mendengar kadang-kadang orang bercakap dengan saya. Cuma saya tidak boleh membalasnya." Kata Hana, membuatkan Fahrin terus menyepi.

Kedengaran nafas hanya dihela Fahrin kemudiannya. Entah mengapa.

"Kamu tahu, Fahrin Wildan...."

Fahrin lantas menoleh, memandang Hana yang tiba-tiba bersuara selepas itu.

"Apa."

"Saya jauh berfikir tentang permintaan Raihana tempoh hari." Kata Hana.

"Kau fikirkan apa pulak?" Soal Fahrin.

"Untuk kembali melihat semula." Balas Hana.

Fahrin terus terdiam.

Hana kemudiannya terus menyambung.

"Saya berasa ada perlunya untuk saya melihat semula dan memerhatikan anak-anak mereka terutamanya." Kata Hana.

Fahrin masih menyepikan diri begitu sebelum Hana menyambung lagi.

"Tapi, saya tahu segalanya mungkin sia-sia. Saya juga sedar keadaan mata saya bagaimana."

Senyuman nipis segarit kelihatan dari bibir wanita itu. Membuatkan Fahrin hanya mampu mengerling dari arah ekor matanya.

"Tapi, saya boleh bergantung harap padamu, kan?" Soal Hana, tiba-tiba.

"Tak boleh." Balas Fahrin, pantas.

"Saya tahu kamu akan lakukannya juga." Ucap Hana pula.

"Jangan nak yakin sangat."

"Ya. Kamu akan lakukannya juga. Hanya bilamana kamu benar-benar tidak mampu atas sebab yang tak boleh dielakkan barulah kamu tidak lakukannya." Ujar Hana.

"Heh. Apa contohnya?"

"Sakit teruk yang mungkin membawa mati."

Terus Fahrin terdiam.

--------------------

TUBUHNYA, entah kenapa, dalam lena itu, bagaikan tersentak sendiri.

"Astagfirullah!"

Hana bingkas duduk. Diraup-raupnya wajah yang sudah sedikit berpeluh itu.

Telefon pintarnya dicapai. Segera dia mendail butang segera untuk menghubungi seseorang.

Namun, memikirkan waktu lewat malam itu, Hana pantas mematikan niatnya.

Dia mengambil duduk di birai katil. Cuba mententeramkan dirinya sendiri. Nafas ditarik sedalam mungkin.

Itu hanya mimpi, bisik hatinya. Yang sememangnya kerap mengganggu lenanya sedari dulu. Permainan syaitan untuk menguji sabarnya dalam menghadapi emosi.

Liur ditelan, pahit.

Kehilangan orang yang disayangi itu sememangnya tidak mudah. Akan rasa hiba yang melekat jauh dari lubuk hati, tidak kira sejauh mana keredhaan itu diperoleh. Akan sentiasa jua terngiang-ngiang, dan membayangkan orang yang sama sepanjang masa.

Tanpa disedari, mata Hana bergenang.

Mimpi itu, mengapa terasa begitu benarnya?

Namun jua, tatkala itu, dia terdengar suara seseorang yang kelihatan begitu gelabah mendapatkannya.

"Hana!"

Yang Hana sendiri terpana dengan kemunculan Fahrin yang secara tiba-tiba mendekatinya entah dari mana itu.

"F...Fahrin Wildan?" Soal Hana yang masih tidak mampu mengawal rasa terkejutnya.

Namun, belumpun sempat Hana bertanyakan lanjut, Fahrin segera mencelah.

"Bangun, Hana. Siap sekarang. Kita pergi." Kata Fahrin yang sudah kelam-kabut mencari persalinan baju buat Hana.

"P...pergi manakah?" Soal Hana, agak gelabah dengan nada Fahrin yang jelas terburu-buru itu.

"Raihana dah "tak ada", Hana. Dia baru meninggal tadi. Daniel telefon."

Hana tergamam hebat di situ.

Kerana hal ini demikian persis benarnya dalam mimpinya tadi. Tentang suasana pengebumian yang Hana sendiri hadiri. Tentang insan yang saling menyayangi.

Tentang kisah Daniel dan kematian Raihana.

Serta-merta, air mata Hana gugur setitis.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro