5T5B: WB |Bab 18

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"I wish I could escape, I don't wanna fake it.
I wish I could erase, make your heart believe,  but I'm a bad liar."
—Coldplay
—————————

MATANYA melirik kepada wajah perempuan di sebelahnya yang menahan tawa.

"Diamlah. Kau pun beriya jugak tadi." Ujar Fahrin dalam geram sambil tangannya memimpin Hana.

Hana dari tadi masih menyeringai dalam tawa yang ditahan-tahan. Mujur juga mereka masih di hospital. Kalau rumah, mahunya pecah gegendang telinga Fahrin dek tawa Hana yang mungkin tidak akan berkesudahan itu.

"Tapi saya tidak dramatik seperti kamu. Tidak seteruk kamu yang berlari berpeluk Daniel tadi. Mesti dia terkejut sangat!" Balas Hana, seketika mengimbas kejadian yang baru saja terjadi tadi.

Tadinya, dengan bersegera Fahrin, sejurus melihat Daniel seperti berseorangan di bilik wad hospital itu, memeluk erat Daniel tanpa memikirkan apa-apa pun di sekelilingnya. Hana yang tadi dipimpinnya juga tidak dihiraukan lagi, bahkan Fahrin terus meleraikan genggaman lengannya dan lantas menyebut nama Daniel, meminta bersabar akan "khabar buruk" itu.

"Daniel! Daniel! Mengucap, Daniel!"

"Tak payah la ungkit." Tekan Fahrin dalam nada tegasnya. Masih menahan malu dalam muka yang sengaja ditegangkan itu.

Siapa sangka rupanya hanya tersalah dengar. Yang Daniel sampaikan padanya hanyalah bahawa Daniel mimpi buruk tentang Raihana. Bukannya realiti. Dek kerana terkejut dan cuak serta tak membiarkan Daniel menghabiskan ayatnya, maka terjadilah babak tak diundang seperti sekarang.

Terkejut beruk Daniel apabila melihat Fahrin menolak pintu kuat, menerpa kepadanya lalu memeluknya erat. Semakin terkejut apabila Fahrin berkali-kali memintanya bersabar di bilik itu. Bagaikan seorang yang cukup panik tak semena-mena. Tapi tiba-tiba pula Fahrin terperasan yang Raihana menoleh memandangnya, mungkin sama terkejut dengan adegan itu.

"R... Rai? Rai bukan ke...?"

"Er, Fahrin? Sebenarnya, aku cuma mimpi buruk tadi. Aku tak sempat habiskan ayat tapi kau dah tutup telefon."

Fahrin mengetap bibirnya. Janggal betul bila fikir semula! Malu sebeban!

Hana yang berada di belakangnya ketika itu yang mula sedar situasi sebenarnya yang berlaku langsung tak dapat menahan tawa.

"Fahrin Wildan, kamu tersilap dengarkah? Kamu salah dengar rupanya!"

Bukan main teruk lagi Fahrin cuba berlagak biasa. Mujur saja Daniel tidak mengeruhkan keadaan, tidak mengejeknya macam minah sebelah dia ni. Mungkin sebab Daniel masih terkejut dengan cara Fahrin menerpa. Disebabkan Daniel begitu, kurang juga malunya tadi. Mujur juga dia membawa Hana bersama jadi langkah yang dilakukan tidaklah lebih melampau disebabkan turut menjaga langkah Hana.

"Kau kalau berhenti gelak, tak boleh ke? Sakitlah telinga aku ni!" Ujar Fahrin, begitu bengang dengan Hana yang tak habis-habis ketawa.

Dia ni, kalau dapat peluang kenakan aku, memang sampai ke bulan, eh!

"Saya cuba berhenti tapi tak dapat. Terhibur sangat!" Balas Hana dalam tawanya yang masih bersisa.

Fahrin membebel sendiri, berdecit. Kenapalah benda ni jadi depan mata Hana. Blergh.

Apabila dirasakan Hana sudah berhenti ketawa, Fahrin melirik kepada Hana sebentar. Wanita itu mengukir senyumannya.

"Ha? Dah puas?" Perli Fahrin.

"Daniel sangat bermakna buat kamu." Ujar Hana dalam senyumannya yang masih belum mati. Kata-kata Fahrin tadi dibiarkan tak berbalas.

Fahrin hanya mendiamkan diri.

"Atau sebenarnya Raihana yang—"

"Jangan merepek. Aku tak fikir dia." Pantas Fahrin memotong.

"Wah, cepat sekali membidas." Duga Hana dalam senyuman.

"Sebab kau suka cakap bukan-bukan. Sebelum kau merepek entah ke mana, baik aku pangkah."

Hana hanya tersenyum simpul kemudiannya.

Fahrin pula hanya menjelingnya sekilas. Lengan Hana dipautnya erat sambil mengiringi langkah wanita itu.

Tatkala berjalan, langkah Fahrin tiba-tiba berhenti.

"Hei, Fahrin Wildan, mengapakah?" Soal Hana yang juga turut terpaksa menghentikan langkahnya.

"Assalamualaikum." Terdengar ucapan dari suara wanita itu.

"Waalaikumussalam." Balas Fahrin.

"Lama tak jumpa Fahrin." Kata wanita yang pada telahan Hana, sudahpun mengjangkau usia pertengahan abad.

"Hmm, lama dah, makcik." Akui Fahrin.

Puan Maria mengukir senyumannya. "Datang tengok Raihana, Adam dan Ika, ya?" Soalnya.

"Hm. Tadi alang-alang lalu, singgah sekejap dengan Hana." Balas Fahrin, sopan. Terpaksa menipu hal sebenar. Yang pada ketika itu Hana sudah mengetap bibirnya sambil menahan tawa sebelum lengannya disenggol Fahrin sebagai isyarat untuk diam.

"Hana?" Soal Puan Maria.

"Ya. Ini Hana, sebelah saya ni. Dia ni..."

"Assalamualaikum, puan. Saya Hana, kawan Fahrin dan Daniel." Tangan mula dihulur sopan kepada Puan Maria, memotong percakapan Fahrin.

Terangkat juga kening Puan Maria seketika apabila melihat Hana dek pertuturan fasihnya.

Senyuman diukir perlahan sambil tangan mula bersambut. "Panggil 'makcik' saja. Nama kamu Hana, ya?"

Hana mengangguk. "Ya. Hana. Maaf ya, makcik. Saya buta."

"Oh. Ya, tak apa, Hana. Tak perlu minta maaf. Makcik faham." Puan Maria yang kelihatan terkelu seketika tadi mula mengukir senyumannya.

"Ini isteri saya sebenarnya. Dia silap cakap tadi." Perbetul Fahrin. Mendatangkan gamam Hana sejenak di situ.

"Oh, isteri rupanya. Cantik sangat orangnya." Puji Puan Maria.

Fahrin hanya tersenyum. Hana juga kemudiannya.

"Kami pergi dulu." Kata Fahrin, tak mahu berlama-lama di situ.

"Oh, iyalah. Makcik pun nak jumpa mereka ni. Jumpa lagi bila-bila nanti ya. Assalamualaikum." Kata Puan Maria sebelum berlalu.

Fahrin dan Hana hanya menjawab perlahan akan salam itu.

"Oh ya, anak..."

Fahrin menoleh. "Ya, makcik?"

Puan Maria memandang Fahrin. "Kalau tak sibuk, Fahrin dan Hana jemputlah datang rumah makcik. Boleh kita bersapa." Jemput ibu kepada Daniel itu.

Fahrin kejap terdiam sebelum mengangguk. "Hmm. Insha-Allah, saya usahakan."

Puan Maria mengangguk tanda faham dalam senyuman sebelum mula berlalu dan menghilang. Membuatkan Fahrin yang memerhatikan langkah yang beransur pergi termenung seketika.

Hana di sisinya dipandang sekilas. Bagaikan berfikir sesuatu.
Nafas dihela perlahan kemudiannya.

Apabila dirasakan bayang Puan Maria sudahpun hilang, Fahrin terus kembali menarik lengan Hana.

"Berat sekali kedengarannya apabila kamu membahasakan saya sebagai 'isteri' kamu kepada orang lain." Kata Hana.

"Diamlah. Daripada kau tu mengaku kawan. Gila apa kawan paut-paut macam ni." Balas Fahrin.

Hana hanya mencebik. Tak pernah nak elok-elok lelaki yang seorang ini.
Tapi betul juga kata Fahrin. Walaupun mereka sebenarnya sangat dingin antara satu sama lain, namun pada mata kasar, pelukan itu sememangnya sangatlah erat, meskipun hanya terjadi kerana Fahrin membantu langkah Hana yang tidak dapat melihat.

Mereka berdua terus berjalan sehinggalah berada di laluan pejalan kaki yang agak sunyi dan menuju ke kawasan parkir.

"Hei."

"Ya? Ada apa?" Soal Hana.

Fahrin diam seketika sebelum bersuara.

"Jangan lupa suara tadi."

"Hm? Makcik Mariakah, maksudmu?" Soal Hana.

"Hm." Balas Fahrin sepatah.

"Mengapa?" Soal Hana pula.

"Sebab kau tak boleh lupakan suara tu." Balas Fahrin.

"Iya, saya tahulah. Tapi mestinya ada se—"

"Jangan banyak tanya." Ujar Fahrin yang pantas menepis ayat Hana.

Hana terus terdiam kemudiannya sebelum mencebik.

Lelaki yang sangat pelik. Tak pernah tak pelik.

"Dari mana kamu kenal dia?" Soal Hana.

Fahrin diam sejenak. "Dulu, Daniel sakit teruk. Jadi, aku lawat la. Lepastu, jumpa la."

"Hm? Sakit apa? Dia macam baik-baik saja sekarang." Balas Hana.

"Sekarang dah ok la. Dulu dia nyawa-nyawa ikan."

Hana mengangguk faham. Seketika itu dia baru teringat. "Eh? Waktu kejadian itu, Raihana dan Daniel sudah menikahkah? Kamu dengan Raihana sudah bercintakah? Daniel tahu hubungan kamu dengan Raihanakah? Saya tak dapat bayang situasi sebenar."

"Rai dengan Daniel memang dah kahwin, tapi Daniel tinggalkan dia masa tahun pertama kahwin. Aku mula kenal Rai setahun selepas Rai kena tinggal. Tiga tahun kenal, aku dengan Rai baru sah bercinta. Dua tahun bercinta, Daniel datang balik. Aku tak pernah tahu Rai tu isteri orang sampailah Daniel yang datang beritahu, sekali dengan sakit dia tu." Begitu panjang lebar Fahrin membalas, tak melupakan sedikitpun rentetan peristiwa yang berlaku.

Hana yang tekun mendengar mengangguk-angguk kemudian. Baru faham.

"Jadi, watak saya terselit bahagian mana antara kalian bertiga ini? Bila?" Soalnya, sengaja ingin tahu.

"Aku mula kenal kau tahun yang sama aku mula sah bercinta dengan Rai. Dalam awal tahun, kau dah duduk rumah aku. Tengah tahun, aku dengan kau kahwin sebab risau kena cekup tu. Lebih kurang akhir tahun dalam tahun yang sama, aku dengan Rai rasmi bercinta. Rai dengan Daniel tak tahu langsung kes kau tinggal dengan aku atau pasal kahwin tu. Tahun ni baru berdua tu tahu. Kiranya, cerita aku dengan kau lebih kurang la dengan Daniel-Rai tu."

"Oh. Mengapa Daniel lari? Kakaknya sudah dijumpaikah?" Polos Hana bertanya itu.

Fahrin menjulingkan matanya ke atas. Dasar lembab.

"Bukan sebab kakak la. Dia lari mula-mula tu sebab ada hal rumah tangga sendiri, lepastu taknak Raihana tahu kanser hati tahap keempat dia."

"Kanser hati tahap keempat? Jadi bagaimana boleh sembuh?" Soal Hana, terkejut.

Fahrin terus tidak membalas.

Dan Hana juga tak mengambil masa lama untuk mengagak apa yang berlaku dek kerana teringat parut di dada Fahrin yang pernah dilihat olehnya, serta kata-kata Fahrin kepada Raihana tempoh hari berkaitan derma hati itu.

Suasana terus terbiar sepi.
Agak lama, Hana membuka mulutnya.

"Kamu bahagiakah ketika itu?" Soalnya, perlahan. Meski dia sendiri tahu jawapan yang sebenarnya ada dalam hati Fahrin.

Fahrin menatap Hana sekilas. Diam, seketika kemudian dia berdehem kecil. "Tak ingat."

"Fahrin Wildan." Panggil Hana.

Langkah mereka diperlahankan. Tatkala Hana berhenti seketika, Fahrin terasa Hana utuh menggenggam tangannya.

"Maafkan saya."

"Kenapa tiba-tiba kau ni?"

"Tidak menemani kamu, dalam saat susah kamu begitu. Tidak berada dengan kamu untuk memujuk, memberi sokongan sebagai orang yang kamu kenal. Sebagai teman serumah kamu." Ucap Hana.

Fahrin jauh menyepi. Apabila dia mahu membuka mulutnya, Hana terlebih dahulu bersuara.

"Fahrin, kita ada berjumpa di hospital dulu. Ingatkah?" Lembut Hana berkata itu sambil mengimbas memori lama.

Segera Fahrin terimbas hal lalu. Di hospital ketika Fahrin berkeputusan untuk mendermakan hatinya kepada Daniel. Dia jua jelas akan wajah Hana yang memandangnya lembut ketika itu.

"Saya lupa banyak hal dalam masa lepas saya. Tapi saya tidak pernah lupa keadaan kamu ketika itu. Selalu, saya teringatkan kamu sebab entah kenapa, saya sangat kecewa dengan orang yang menyakiti kamu begitu. Siapa sangka kamu orang sama yang saya terhutang budi kerana menjaga saya sepanjang saya di sini sebelum ini. Patutlah saya tak semena-mena beremosi begitu." Kata Hana dalam tawa kecilnya.

Fahrin menelan liurnya. Pandangannya dilarikan entah ke sembarangan arah. Pengakuan Hana membuatkan sesuatu dalam hatinya seperti.... tak tergambar dengan kata. Berkocak-kocak, penuh sarat apabila mendengar pengakuan itu.

Jujurnya, Hana tidak meninggalkan dirinya, bukan?

"Benda dah lama." Hanya itu yang diucap Fahrin.

Hana mengangguk-angguk faham. "Saya faham. Sekarang pun kamu sudah bahagia dengan Sarrah. Tidak perlu difikirkan lagi." Kata Hana.

Tangannya yang erat menggenggam Fahrin tadi mula mahu dilepaskan, mahu beralih ke lengan Fahrin, menandakan hanya mahu menjadikan lengan Fahrin itu sebagai bantuan dirinya teruskan berjalan.

Fahrin yang melihat Hana demikian pantas menggenggam erat tangan wanita itu. Tidak membiarkan ia beralih ke lengan.

"Jalan tak rata. Hati-hati la." Kata Fahrin, memberi amaran.

Atau lebih tepat, mencari alasan untuk terus erat menggenggam tangan Hana.

"Eh? Tapi tongkat saya terasa jalan rata saja." Ujar Hana.

"Jangan banyak cakaplah. Dah la tak seronok dengar suara kau." Kata Fahrin sambil mula melangkah sambil mengiringi Hana dengan berhati-hati.

Hana hanya mencebik. Tak pernah nak elok-elok.

Tiba-tiba tak lama kemudian, terdengar suara Fahrin berbunyi.

"Aku pun tak ada waktu kau susah dulu."

Hana mendengar suara itu sambil perlahan mengukir senyumannya. Mengerti di balik ayat Fahrin itu.

"Maaf diterima."

———————————

"KAMU tidak pergi semula ke hospitalkah?" Soal Hana kepada Fahrin yang masih berada di sampingnya malam itu.

"Tak. Daniel ada dengan keluarga dia." Balas Fahrin, seolahnya mengetahui akan sebab soalan itu diajukan.

"Oh. Keadaan kamu?" Soal Hana.

"Ada nampak aku sakit ke sekarang?" Soal Fahrin kembali.

"'Jangan tanya bukan-bukan. Saya bukannya dapat melihat. Mana saya tahu kamu sakit atau tidak." Balas Hana.

"Dah tu, jangan sebut yang bukan-bukan." Ujar Fahrin pula.

Hana hanya mencebik.

"Adira di mana? Saya masih belum dengar suaranya di rumah ini. Masih belum datangkah?" Soal Hana.

"Belum. Sekejap lagi datanglah tu."

"Oh. Baiklah. Saya mahu lelap sebentar. Kamu boleh pulang. Saya mahu berehat." Kata Hana yang terus berbaring dan menyelak selimutnya.

"Tahu la." Fahrin lantas meninggalkannya tanpa sebarang isyarat lagi.

Maklumlah, bukan bergerak jauh pun. Rumah Hana ni pun dah macam rumah dia sendiri juga. Padan muka senang kena tipu.

Tatkala itu, dia terbatuk sendiri.

Bermula dengan batuk kecil, kemudian terasa semakin memberat dadanya. Apabila dirasakan dadanya begitu sarat, dia bergegas keluar dan menuju ke biliknya di tingkat atas. Segera digagahkan tangannya mencapai ubat-ubatan yang disimpan. Namun, seketika berasakan dadanya terlalu sakit, dia mampu bersandar di sisi katil cuma.

"Hei, you ok? Nak apa-apa?"

Fahrin menatap wajah yang bertanya.

"Ambilkan ubat I dalam drawer. Air atas meja." Balas Fahrin, tiada pilihan.

Sarrah hanya menurut. Dihulur semuanya buat Fahrin sambil memerhati wajah yang mula pucat itu.

"I rasa you kena pergi hospital. You nampak pucat sangat ni. I bawakan you?" Kata Sarrah, bimbang.

Fahrin menggeleng, tanda menolak. Dia kemudiannya bersandar sambil meletakkan kepalanya di birai katil itu. Cuba merehatkan badannya.

Sarrah mengemas semula ubat-ubatan Fahrin sebelum dia memerhatikan Fahrin yang lemah begitu, lantas merendahkan tubuhnya di sebelah Fahrin.

"Hana tahu tak keadaan you ni?" Soal Sarrah.

Fahrin menggeleng. "Jangan bagi dia tahu." Kata Fahrin.

"Dia tak perlu tahu?" Soal Sarrah.

Fahrin menggeleng. "Apa yang dia boleh buat kalau dia tahu? Sama juga."

Sarrah hanya diam, tak bersoal lanjut.

Fahrin memandang sekilas Sarrah yang hanya menekur di lantai setelah mendengar jawapan tadi, bagaikan ada sesuatu yang bermain di mindanya.

"Sarrah."

Dipanggilnya nama itu perlahan dalam rendah suara.

"Ya?"

Mata mereka bertatapan.

"Ini apa yang sebenarnya you kena hadap kalau you masih nak pilih I." Kata Fahrin, bersama segarit senyuman yang teramat nipis yang Sarrah tak langsung dapat tafsirkan makna di sebalik senyuman itu.

Fahrin menyambung lagi.

"Ini apa yang you, atau Hana kena rasa kalau pilih I sekarang. Sakit teruk, umur pendek. Semua takkan sempat bahagia. Dan mustahil I ada masa untuk bagi apa-apa pun selain rasa sakit I. Sebab penyakit I, terlalu sakit yang I selalu tak dapat tahan sampai tak sempat fikir orang lain. Dan I menghitung mati."

Sarrah terus terdiam.
Hanya kelihatan matanya yang mula bergenang hebat.

"Bila-bila I ada bagi you harapan palsu, I minta maaf. I harap you tahu bukan niat I nak perlekehkan perasaan you. I selalu doakan you jumpa jodoh yang betul. Terima kasih untuk semua pertolongan you." Ucap Fahrin, tulus. Ingin diperjelaskan lagi, biar Sarrah benar-benar faham niatnya.

Air mata Sarrah lantas mengalir perlahan-lahan.

"I harap you buka buku baru, Sarrah. Sebab kita semua seri. Hana ada masalah memori, tak lama lagi dia mungkin tak akan ingat siapa I. Dia tak akan fikir I wujud. I pula dah "tak ada" nanti. Jadi, tak ada sesiapa yang menang lebih daripada sesiapa. Jadi, I rasa kita patut lepaskan semua." Kata Fahrin selanjutnya.

Mendengarkan itu, Sarrah mula menutup sepenuh wajahnya dengan kedua-kedua tapak tangannya.
Dalam keadaan berlutut di sisi Fahrin, dia mula menangis perlahan di situ.

Fahrin hanya memalingkan wajahnya ke sisi. Membiarkan telinganya disapa sayup-sayup tangisan itu. Bagaikan satu perbualan biasa yang tidak terkesan di hatinya untuk mendekat mahupun memujuk.

Pandangannya ditoleh ke arah jendela. Kosong. Hanya mindanya bermain-main dengan soalan yang pernah diajukan kepadanya.

"Encik Fahrin, boleh kita tanya kalau encik setuju untuk menjadi penderma organ selepas kematian encik? Kita cuma boleh lakukan ini dengan izin pesakit atau waris sahaja ya."

Dan, apa yang pernah disoal kembali kepada empunya suara.

"Kalau saya nak derma sesuatu sebelum mati pada seseorang, macam mana?"

———————————-

SEDANG Hana duduk di birai katil bersendirian di dalam bilik tidurnya, dia terdengar ada suara yang berdehem membetulkan tekaknya. Yang bagi anggarannya, jarak itu mungkin dalam beberapa langkah menghampirinya.

Dari haruman milik lelaki itu juga Hana dapat menebak siapa yang hadir.

"Fahrin Wildan, mengapa kamu ini selalu di sini? Saya pelik betul." Kata Hana sambil berkerut dahinya.

"Kenapa sibuk? Bukan susahkan kau pun." Ujar Fahrin pula.

"Saya kira-kira, hampir dua minggu berterusan kamu datang sini. Tak penatkah ulang-alik? Mengapa asyik datang?" Soal Hana, langsung tak puas hati akan keberadaan Fahrin.

"Tak payahlah tanya-tanya. Tak luak pun bil elektrik kau aku datang sini."

"Berlagaknya." Hana terus mencebik.

Fahrin berpura-pura sibuk membelek barangan dalam bilik Hana. Malas mahu bertekak lebih-lebih.

"Fahrin Wildan, boleh saya tanya sesuatu?" Soal Hana.

"Cakap jela." Balas Fahrin, mendatar.

"Sakit kamu makin terukkah?" Soal Hana.

Wajah Hana dipandang. "Kenapa kau nak tahu?"

"Saya cuma tertanya-tanya. Sebab kamu tidak khabarkan pada saya keadaan kamu selepas kamu keluar hospital." Balas Hana.

Fahrin diam sejenak. "Kalau kau masih dengar suara aku tu maknanya ok dah la." Bohongnya.

"Oh." Jeda seketika. "Kamu masih makan ubat yang bukan-bukankah?" Soal Hana lagi.

"Tak." Balas Fahrin sepatah.

Hana mengukir senyuman lembutnya. "Boleh kamu ke sini? Duduk di sebelah saya sekejap." Pinta Hana.

Fahrin diam sejenak, berfikir-fikir. Perlahan-lahan, langkah diatur ke arah Hana. Dia mulai melabuhkan punggungnya di sebelah wanita itu.

Hana yang terasa Fahrin di situ mula mengangkat tangannya, menyentuh wajah Fahrin. Dirabanya keseluruhan wajah Fahrin dengan kedua-dua tangannya.

"Saya hampir lupa wajah kamu." Ujar Hana, sepertinya menjawab persoalan dalam kepala Fahrin yang tak diluah.

"Macam orang tua. Itu pun lupa." Mendatar suaranya.

Hana hanya tersenyum. "Kamu semakin susut." Jujur Hana apabila tangannya mula diturunkan sendiri.

Sebenarnya jelas, niatnya hanya mahu merasai perubahan tubuh Fahrin. Bukan kerana lupa.

"Aku jaga badan." Cuba menafikan apa yang Hana cuba sampaikan. Baru sedar niat sebenar Hana menyentuhnya begitu.

Hanya anggukan dibalas Hana, bagaikan mengerti dan percaya kata-kata itu.

"Sarrah bagaimana melayani kamu sepanjang kamu dengannya? Kamu berdua ok sajakah?" Soal Hana.

"Ok je. Boleh tak jangan banyak tanya? Aku nak baring la. Aku penat." Kata Fahrin.

Terangkat kening Hana dibuatnya. Tiba-tiba betul.

Namun, ditepuk jua perlahan ribanya, memberi isyarat Fahrin untuk menumpangkan kepalanya di situ. "Sini. Rehatkan kepalamu."

Fahrin yang jelas tidak menolak itu terus menurut. Tak mahu berfikir panjang. Sememangnya dia sangat penat sepanjang hari ini.
Diletakkan jua kepalanya di atas pangkuan Hana.

Hana tak berlengah, diperbetulkan kakinya agar lebih menyelesakan lelaki itu. Sempat juga dia mengelus lembut rambut Fahrin.
Fahrin pula hanya membiarkan dirinya disentuh di situ dan mula memejamkan matanya.

"Fahrin Wildan, kamu kalau sakit teruk, dan andainya kamu ada peluang untuk sembuh, kamu akan cubakah?" Soal Hana.

Tercelik mata Fahrin mendengarkan soalan Hana.

"Hmm." Hanya itu yang dibalas.

Suasana sepi seketika. "Fahrin Wildan, ini sangat tiba-tiba tapi saya dah dapat penderma kornea mata saya. Maksud saya, saya boleh jalani transplantasi kornea untuk gantikan kornea mata saya yang rosak."

Fahrin mengangkat wajahnya, memandang Hana yang masih meluruskan wajahnya ke hadapan.

"Kau nak cuba?" Soalnya.

Hana mengangguk-angguk. "Saya dah fikir. Walaupun risiko tinggi tapi rasa rugi kalau tidak mencuba. Mencari penderma di sini sangat susah. Lagipun, tidak mengapa jika tidak berjaya. Sekurangnya, ada usaha." Balasnya.

Fahrin terdiam di situ. Memikirkan ayat tersebut.
Dalam diam, dia mengakui kebenaran kata-kata Hana itu..

"Suka hati kau la. Asalkan jangan sibuk hal orang lain." Kata Fahrin.

Hana mengukir senyumannya tatkala mendengar ayat daripada Fahrin itu. Memahami maksud Fahrin untuk melupakan saja niat asal Hana untuk kembali melihat demi 'menjaga' anak-anak Daniel, kerana keluarga Daniel buat masa sekarang tiada apa-apa yang merisaukan.

"Saya tak tahu sama ada perlu atau tidak saya katakan ini. Tapi sejak saya dengar berita tentang penderma ini, saya rasa terharu dan teruja untuk lakukan pembedahan. Dan saya harap boleh berhasil." Kata Hana.

"Sebab?"

Hana mengangkat bahunya. "Mungkin sebab masalah hilang ingatan saya. Bila saya tak dapat melihat, saya makin sukar mengingat sesuatu. Macam yang pernah saya beritahu kamu dulu. Saya risau lama-lama fikiran saya kosong. Macam zombie. Jadi saya memang harap sangat pembedahan itu berhasil. Tak sabar rasanya!" Ujarnya dalam nada bersahaja namun terselit semangat Hana di situ.

Tatkala Fahrin hanya memerhati Hana yang mengucap demikian tanpa sedikitpun Fahrin balas kata-kata itu, kedengaran Hana menyambung percakapannya.

"Fahrin Wildan, bolehkah nanti kalau...."

"Kalau apa?"

"Kalau katakan saya dapat melihat, saya mahu melihat muka kamu sebagai orang pertama?"

Sepi.
Hanya liur Fahrin yang pahit ditelan. Langsung tak dapat menjawab soalan Hana itu. Bahkan, langsung tak menyangka itu permintaan yang Hana mahukan.

Dalam nada teruja itu, Hana menyambung lagi. "Sengaja mahu lihat muka buruk kamu versi terbaru." Pipi Fahrin ditepuk-tepuk perlahan.

"Tak nak aku jumpa kau kalau macamtu."

Hana terus ketawa. "Ok, ok. Saya gurau. Tapi kamu jangan menghilang dulu. Kita patut berjumpa untuk kali pertama itu. Saya akan tunggu kamu."

Sepi.

"Fahrin Wildan, janji kita jumpa lagi nanti, ok?" Ulang Hana.

"Ya, tahu la. Asyik ulang je. Cuba diam. Aku dah pejam mata tadi tau tak." Tipu.

"Oh, iyakah? Maaf. Hehe."

Di luar pengetahuan Hana, Fahrin sebenarnya tetap mencelikkan matanya, termenung jauh. Sebelum dia menyepi sendiri.

Menolak segala perasaannya yang berbelah bahagi.

Cepat-cepat, Fahrin menyangkal segenap perasaan dalam dirinya.

Tak apalah, dia bukannya ingat pun nanti.

————————

MATA saling bertatapan. Sedari mendengar segala berita tadi dari empunya badan sendiri, jelas insan di hadapannya kelu tanpa bicara.

"Kau tahu tak apa yang kau cuba buat ni, Fahrin? Kau betul dah fikir masak-masak nak derma mata kau ni?" Soal Daniel, tak berbasa-basi. Pinggangnya dicekak. Menunjukkan betapa seriusnya perbincangan mereka pada hari itu.

Fahrin jauh menyepi sambil cuba melarikan pandangan. Membiarkan kata-kata Daniel berlalu di telinganya tanpa membalas semula pandangan lelaki tersebut.

"Fahrin, aku cakap dengan kau. Ini bukan solusi yang betul, tahu tak?" Soal Daniel lagi. Tak berpuas hati dengan sepi Fahrin. Tanpa langsung dia tahu sebab di sebalik keputusan Fahrin itu.

"Daniel, aku tak panggil kau datang untuk pendapat kedua."

Terus Fahrin membalas itu tanpa memandang wajah Daniel.

Daniel menghela nafas.

Mengalah, dihampirinya Fahrin yang sedang tenang duduk di bangku taman itu. Yang ralit bermain-main dengan jemarinya sendiri sambil tertunduk kecil.

"Apa jadi dengan kau nanti?" Soal Daniel.

"Aku ... balik kampung aku. Teruskan hidup kat sana."

"Hana?"

Muka Daniel dipandang sebelum Fahrin tersenyum nipis. "Dia bukan budak lagi. Dia boleh bawa diri."

"Aku tak maksudkan itu. Aku maksudkan rumah tangga kau dengan dia. Macam mana? Kau nak biar tergantung? Macam dulu?" Soal Daniel.

Fahrin menyepi beberapa ketika sebelum menggeleng. Lantas, dia bersuara.

"Perjalanan dia masih jauh."

Sepi.
Daniel terus berdiam seribu bahasa.

"Daniel." Panggil Fahrin kemudiannya.

"Hmm..?"

"Aku rasa kau tahu yang aku bukan jenis senang putus asa kalau aku mula rasa sesuatu tu sangat penting."

Daniel menelan liurnya, menadah telinga mendengar kata-kata Fahrin.

"Macam masa aku sakit dulu." Kata Daniel, perlahan. Berubah nadanya.

"Hmm." Mengiyakan, lalu jeda seketika. "Tapi mungkin bukan rezeki aku untuk hidup macam biasa. Hidup lama, hidup bahagia. Hidup macam orang normal."

Masing-masing menyepi kemudian.
Begitu jauh termenung akan suratan takdir yang akan berlaku selepasnya.

Lama terdiam, tiba-tiba yang Fahrin sedar, Daniel menyapu pantas air matanya.

Fahrin yang melihat Daniel demikian terus membuka mulutnya, "Kau dah kenapa tiba-tiba menangis?"

"Tak. Entah. Aku pun tak tahu kenapa aku rasa sedih." Daniel tertawa kecil, menyembunyikan rasa dalam hati.

"Keluarga kau ok?" Soal Fahrin.

"Fahrin, jelas sangat sekarang ni tengah cakap pasal kau. Dan aku fikirkan kau. Maknanya aku sedih ni sebab kau la." Balas Daniel tanpa berselindung sambil menggosok hidungnya perlahan. Cuba membuang sendu.

"Nak sedih sebab apa? Bukannya ada apa-apa pun. Aku ok je." Kata Fahrin.

"Aku cuma, aku rasa ralat sebab tak dapat buat apa-apa untuk tolong kau." Luah Daniel.

Wajah Daniel masih sepenuhnya ditatap.

"Kau betul-betul nak tolong aku?"

Daniel memandang Fahrin. "Aku nak tolong semua. Selagi aku ada kudrat."

"Tolong tengok-tengokkan Hana. Cuma tanya dia apa-apa yang dia perlukan. Bantu dia kalau ada apa-apa. Aku tahu dia ada kakak dia, tapi aku tetap perlukan pertolongan kau." Pinta Fahrin.

Pandangan saling berbalas. Fahrin kemudian menyambung lagi sebelum sempat Daniel membuka mulut.

"Daniel, aku tak pernah fikir nak derma bahagian mata aku untuk Hana sejak Hana buta. Sebab bagi aku, aku boleh tengokkan Hana selagi aku hidup. Aku boleh jaga dia sampai dia tua. Tapi, aku jadi buat semua keputusan sekarang ni sebab aku fikir Hana kena hidup sendiri. Sebab..."

"Sebab....?"

".....sebab aku sendiri tak dapat hidup sampai tua tu."

Daniel terus tergamam.
Langsung tak bergerak.

Bagaikan ada sesuatu yang tertusuk ke dadanya. Yang begitu tajam mencarik dadanya, merentapnya dalam keadaan penuh sedar itu.

"M-maksud kau apa?"

Suasana umpama terpegun. Sepi tanpa bunyi.

Tatkala mata itu berpandangan, dilihatnya mata redup Fahrin mula bertukar terlalu sayu. Cahaya pada mata itu terlalu kelam.

Dan, untuk pertama kalinya di mata Daniel,
sepasang mata redup yang selama ini hanya membeku tanpa dapat dibaca, kini mula bergenang.

"Aku tipu. Aku tak duduk sendiri lepas transplantasi mata tu. Aku mungkin kena tahan wad dah. Sebab aku sakit dah kritikal. Sebab doktor kata paling lama aku bertahan, kalau ikut pengalaman pakar, cuma...sebulan dua."

Terluah jua pengakuan jujur dari mulut Fahrin sendiri. Tak mampu bersembunyi lagi.

Hampir rebah Daniel mendengarkan pengakuan itu.

"F...Fahrin.. kau serius....?" Soal Daniel, bergetar suaranya.

Fahrin mengetap bibir, menahan segenap perasaannya yang menjalar.

"Aku dah usaha, Daniel. Aku dah lama usaha untuk sembuh macam biasa. Aku ulang-alik hospital, aku pergi sana-sini. Aku tak pernah menyerah. Dah jauh sangat aku pergi. Sebab aku betul-betul nak sembuh. T-tapi...."

Daniel melarikan pandangannya. Sedaya upaya dia menarik nafas yang sangat dalam agar tidak perasaannya tidak membatasi akal warasnya.

Mata Daniel mula dikaburi dengan genang hebat.

"K...kau sakit apa, sebenarnya?"

"Buah pinggang."

Terpana. "Jadi, s...sebab ini ke kau keluar masuk hospital selama ni? Selalu pengsan? Termasuk waktu kau kat rumah Hana dulu....?" Soal Daniel, cukup perlahan dan rendah suaranya.

"Hmm." Akui Fahrin.

"Oh..."

Jelas, makin sayu kedengaran suara Daniel itu. Antara dengar atau tidak.

Fahrin terus menyambung. "Aku ingat pesan kau dulu. Untuk jangan tinggalkan dia. Hadapi hari mati dengan dia. Aku cuba ikut. Tapi, bila aku tahu kesusahan dia sejak dulu, aku rasa tak adil untuk buat dia rasa bahagia untuk tempoh sekejap cuma. Aku tak sampai hati sebab aku rasa dia ada peluang lebih baik daripada hidup terus buta dan terpaksa jaga aku sampai aku mati waktu terdekat ni. Dia muda lagi."

Daniel jauh menyepi. Yang entahkan sepenuhnya dihadam kata-kata Fahrin itu kerana jelas Daniel sedang hanyut dalam perasaan sendiri.

Masing-masing membisu, tertunduk memandang lantai setelahnya.

Beberapa ketika kemudian, Fahrin menatap sekilas wajah Daniel yang sedari tadi hanya diam terkelu itu.

"Jangan menangis. Muka kau dah merah dah tu." Tegur Fahrin yang lantas mengalihkan pandangannya kemudian.

"T...tak. Mana ada. Aku tak menangis." Nafi Daniel. Liur ditelan. Nafasnya ditarik sedalamnya.

Wajahnya diraup pantas. Cuba menyembunyikan keadaan dan perasaan yang dipikul sebaiknya.

"Daniel."

"Ya?"

Mata mereka bertatapan.

"Terima kasih. Sebab sudi jadi 'abang' aku. Banyak temankan aku sejak dulu. Tak tinggalkan aku, walaupun kita mula kenal dalam waktu rumit, yang bercelaru. Bila semua orang tinggalkan aku, terima kasih sebab masih ada." Ucap Fahrin, tulus.

Senyuman nipis terukir dari bibir lelaki itu. Benar-benar memaksudkan.

Mata Daniel semakin berkaca-kaca mendengar kata-kata yang langsung tak disangka-sangka meniti dari mulut lelaki itu.

Mulut Daniel langsung terkunci, demi menahan sebaknya yang bertalu-talu.

Liur ditelan.

"Kau masih.. 'adik' yang aku peduli. Ingat tu, ok?"

Fahrin mengangguk dalam senyuman nipisnya. "Selalu."

Daniel mengangguk perlahan dalam lemah.
Tatkala itu, dilihatnya Fahrin menghulurkan kepadanya satu bekas kecil yang mengandungi kad memori di dalamnya.

"Tolong jaga baik-baik. Bila ajal aku dah sampai, aku dah "tak ada", tolong bagi ni pada Hana. Suruh dia tengok." Pinta Fahrin.

Daniel menatap bekas tersebut yang telah bertukar tangan.

"Apa ni...?" Soal Daniel.

"Pasal apa yang aku ada, bahagian yang aku tinggalkan untuk dia lepas aku "tak ada"." Balas Fahrin, tidak berbohong.

Daniel terkesima.
Ternyata, Fahrin telahpun bersedia terlebih awal untuk ini.
Untuk pemergiannya.

Sememangnya, dia telah cukup bersedia meninggalkan semua yang ada di sekelilingnya kini.

Fahrin kemudiannya bersuara. "Daniel, kalau ajal aku dah nak sampai, aku tak nak jumpa sesiapa yang aku kenal."

Mulut Daniel terkunci.
Fahrin lantas menyambung. "Aku...aku tak bersedia nak ada orang tengok aku masa aku meninggal nanti."

"Fahrin..."

"Aku memang nak kuatkan diri. Cuma, kalau betul-betul ajal aku dah sampai, jangan tengok aku. Sebab...aku sendiri pun tak dapat nak terima ajal aku dekat sangat macam ni."

Daniel, dalam terpaksanya, cuba mengukir senyum.

Anggukan diberikan, tanda memahami permintaan Fahrin itu.

Bahu Fahrin ditepuk-tepuk dengan sebelah tangan. Cuba meredakan perasaan dan golak hati.

"T...tak apa. Aku faham."

Entahkan untuk memujuk Fahrin, atau memujuk dirinya sendiri, dia juga tidak pasti.

Sebelum tepukan itu melekap kekal pada bahu Fahrin.

Sebelum Fahrin terasa cengkaman halus pada bahunya.
Sebelum jua, Fahrin terasa sentuhan itu seperti bergetar.

"Tak apa... tak apa..."

Ulang Daniel berkali-kali.

Wajah Daniel tidak langsung dipandang. Umpama dapat mengagak apa yang terjadi sebentar nanti.

Masing-masing senyap, sepi, tanpa bunyi.

Sebelum sesaat kemudian, Daniel kelihatan mengetap bibirnya sekuat hati. Sebelum dia menundukkan kepala, merendahkan tubuhnya.

Sebelum yang Fahrin dapat dengar kemudian, esakan halus mengiringi sentuhan di bahunya itu.
Yang dia jelas tahu itu pastinya dari Daniel sendiri.

Akhirnya, Daniel tewas juga.

Di situ, Daniel menangis pilu di sisinya.
Tak mampu menyembunyikan perasaan sendiri lagi.

Jelas, lelaki itu tak mampu menerima hakikat bahawa dia akan kehilangan seseorang yang begitu rapat dengannya. Seseorang yang belum punya bahagia meski bertahun-tahun dimamah rawan hati yang sukar diubati.

Daniel ralat. Dia jelas ralat tidak dapat membalas jasa dan kebaikan Fahrin walaupun sedikitpun.

Mendengarkan tangisan sayu itu, mata Fahrin semakin jelas berkaca-kaca.
Hanya menunggu masa untuk tumpah.

Wajah Daniel langsung tak dipandangnya. Tangan Daniel yang makin melekap di bahunya dalam keadaan terketar-ketar dek melepaskan esak itu cuma dibiarkan. Dia hanya membatu, memandang lurus ke hadapan bagaikan tiada sesiapapun yang sedang berada di sisinya itu.

Mendengarkan esak Daniel yang semakin kedengaran, Fahrin semakin jauh menelan perasaan sendiri.

Bagaimana mungkin dia mampu bercerita kepada Hana semua ini untuk Hana benar-benar menerima semuanya dengan penuh lapang hati tanpa duka, sedangkan lelaki di sebelahnya yang selama ini kental jiwanya kini jua tumpas dengan air mata?

Bagaimana dia boleh begitu bersahaja bercerita yang sejujurnya kepada Hana tanpa masing-masing jauh hanyut dalam sembilu, cuba menyangkal ajal yang bakal merenggut nyawa lebih awal tanpa rela?

Fahrin memejamkan matanya.

Tak, dia takkan pernah mampu bercerita segalanya tanpa perasaan. Dia takkan mampu bercerita bagaikan bukan dia sendiri yang sedang berada di tempat itu.

Tatkala itu, mengalir jua air mata di pipinya.
Mengalir pilu mengenangkan sisa-sisa waktu yang begitu mencemburui hayatnya.

Di sisi Daniel yang masih meluahkan rawan hatinya melalui esak yang panjang itu, semakin berlinangan air mata Fahrin membasahi pipinya.

Ya, dia takkan mampu untuk bercerita.
Meski dia begitu ingin meluah segala-galanya tentang semua kepahitan, segala resah, segala penyesalan, jika peluang itu jelas terbuka untuknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro