5T5B: WB |Bab 19

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Too afraid to go inside, for the one more loveless night.
But the loneliness will stay with me, and hold me till I fall asleep."
—Christina Perri

————————

SEBELAH tangannya diangkat ke udara, menuju ke tingkap yang terbuka luas, membenarkan seluruh haba menggigit halus tangannya.

Hana mengukir senyuman tatkala tangan dinginnya sebentar tadi mula berasa hangatnya. Dia kekal berdiri di tepi jendela itu sambil membiarkan pula wajahnya disapa matahari pagi itu.

Beberapa hari lagi, hitung dirinya dalam hati. Beberapa hari lagi, dan jika rezeki berpihak kepadanya, dia akan ditakdirkan melihat semua keindahan alam kembali.

Dan, jujurnya, dia berharap dia boleh kembali melihat seperti biasa. Kerana, niatnya bukan semata-mata melihat alam sekitarnya.
Tapi kerana.....

"Berangan apa entah kau ni pagi-pagi."

Hana menoleh, mencari suara itu. Tak lama kemudian, dia terdengar bunyi cawan dan piring saling berlaga, tanda diletakkan di atas meja birai katilnya.

Terselit juga senyuman Hana. Barangkali mengagak akan empunya suara yang datang seperti selalu. Lebih-lebih lagi hari minggu begini. Meskipun sememangnya tidak diundang.

"Jangan senyum sendiri la. Macam orang gila." Komen Fahrin tanpa berbasa-basi. Fahrin lantas menarik kerusinya agar berada berdekatan meja tersebut, melabuhkan punggung di atas kerusi itu.

Hana mencebik. "Jengkelnya." Katanya sambil berhati-hati mencari birai katil dan lantas duduk bersetentang dengan Fahrin.

Wajah Hana ditatap agak lama di situ, bagaikan ralit memerhati segenap inci wajah wanita tersebut. Tanpa sebarang bunyi, tanpa suara.
Bagaikan juga memikir sesuatu.

"Saya tahu kamu sedang memandang saya. Ada apa yang kamu mahu katakan?" Soal Hana yang dapat mengagak perlakuan Fahrin kepadanya.

Termati sejenak lamunan Fahrin. Terus dia berdehem sambil mengalihkan pandangannya.

"Aku tak pandang kau. Jangan perasan." Nafi Fahrin.

Hana hanya tersenyum simpul. Tatkala itu, dia mencari-cari tangan Fahrin. Seketika merasakan kedua-dua kura tangan kekar Fahrin berada dalam tangannya, Hana lalu meramasnya lembut.

Fahrin melihat sejenak perlakuan Hana itu. "Kau dah kenapa?"

"Meminjam kekuatan. Saya risaukan pembedahan saya."

"Kenapa kena risau pulak?"

"Sebab saya tak tahu kalau-kalau saya boleh terima kalau saya masih tak dapat melihat." Balas Hana, begitu tenang. Yang namun jelas hanya semata menyembunyikan perasaannya.

Fahrin terdiam sebentar.

"Kau kena percaya takdir. Ada hikmah kalau sesuatu benda tu tak terjadi ikut apa kita nak." Pesan Fahrin kemudiannya.

Hana hanya mengangguk, memahami. Senyuman nipis sengaja diukir.

Dan tatkala itu, dia berasa tangannya disentuh dan diraih perlahan. Yang Fahrin tak pernah lakukan kepadanya sebelum ini.

"Hei, dengar apa aku nak cakap." Begitu datar suara Fahrin mengungkap itu.

"Ya..?"

"Jangan suka sangat menangis. Kalau sunyi, cari kawan. Faham?"

"Hmm?"

Fahrin terus menyambung. "Apa yang kita nak, tak semestinya kita boleh dapat. Tak semua hidup dalam dunia ni lancar, sebab dunia ni semata-mata ujian. Setiap kali kau rasa tak ada semangat, selalu ingat benda ni."

Hana terus terdiam. Memikirkan sebab tiba-tiba Fahrin mengungkapkan ini kepadanya. Sebelum Hana mula berfikir dan teringat sesuatu.

"Hana, I sebenarnya ada benda nak beritahu you. Pasal hubungan I dengan Fahrin."

Khabar dari Sarrah tempoh hari, bermain-main dalam kepalanya.

Perlahan, dia mengangguk setelahnya.

"Nanti bila-bila, Fahrin sendiri nak jumpa you. Nak cakap pasal ni."

"Ya, saya akan ingat semuanya." Balasnya akan pesanan Fahrin tadi.

"Tolong ingat yang.... orang tak tinggalkan kau sebab benci. Tak ada sebab kenapa orang kena benci kau." Kata Fahrin. Begitu rendah suaranya.

"Kalau kamu tinggalkan saya, adakah bukan sebab benci juga ?" Soal Hana tiba-tiba.

Wajah Hana ditatap dalam sepi.
Hana kemudian tersenyum.

"Saya gurau saja. Terima kasih ingatkan saya semuanya." Ucap Hana kemudiannya.

Tak berbalas. Fahrin berdehem kecil kemudian sambil menelan liurnya, cuba menenangkan dirinya. Tangannya tanpa sedar semakin galak mengusap lembut tangan Hana.

Banyak. Terlalu banyak yang mahu diperkatakannya. Terlalu banyak yang kalau boleh, ingin dikongsinya. Diperjelaskan biar dapat dihadam setiap yang berlaku. Namun, dia juga tak tahu kenapa dia termati kata apabila berhadapan dengan Hana begini. Sudahnya, semuanya dibiarkan terpendam sendiri.

"Fahrin Wildan." Panggil Hana.

Fahrin mengangkat wajahnya. "Hm?"

"Terima kasih, sudi tengokkan keadaan saya sepanjang saya buta. Terima kasih temankan saya selama ini. Terima kasih hilangkan takut saya." Ucap Hana, ikhlas.

Fahrin hanya mendengar. Hana yang erat menggenggam jemari Fahrin menyambung lagi.

"Jaga ibadah, jaga dirimu. Sampai hujung nyawa kamu."

Senyuman lembut Hana mula terukir.

Fahrin jauh menyepi. Tekun mendengar setiap perkataan yang Hana lontarkan. Bagaikan dapat menduga dalam situasi apakah yang sebenarnya mereka berdua hadapi kini.

Hana menyambung lagi pesanannya, dalam nada yang cukup tenang.

"Apa-apa pun yang kamu lakukan, saya akan tetap sokong. Apa-apa pun keputusan kamu, saya tidak akan salahkan kamu. Meskipun tak wajar, saya akan tetap cuba fahami. Sebab saya percaya kamu. Saya percaya keputusan kamu baik buat saya, dan baik buat kamu. Saya doakan kamu selamat, selalu bahagia...."

Liur ditelan pahit oleh Fahrin. Segenap perasaan terus menyusup dalam kalbunya. Dia jauh menyepi.

"...selepas perpisahan kita kali ini."

Wajah Fahrin mula bertukar, tak tertafsir sama sekali. Lama dia menatap kaku muka Hana yang masih cukup tenang itu.

Hana mengukir senyuman. "Bukankah kamu datang kali ini untuk hal ini? Kamu mahu tinggalkan saya, bukan?" Soal Hana.

Fahrin diam sejenak sebelum mengangguk. "Hmm."

"Akhirnya, kamu mahu juga ceraikan saya. Begitu lama kamu 'simpan' saya, entah mengapa." Ujar Hana, begitu tenang bunyinya. Tawa kecil sempat dilepaskan kemudian.

"Hm. Baru ada masa."

Anggukan diberikan, tanda memahami. Tak lama ketika itu, Hana mendapatkan Fahrin, ditariknya tubuh Fahrin kepadanya lalu dipeluk erat leher itu.

"Jaga diri kamu. Kamu pastinya bahagia dengan Sarrah. Saya yakin itu." Ujar Hana. Belakang Fahrin diusap lembut.

"Jangan nak suka sangat aku tinggalkan kau. Mentang-mentang tak ada yang kacau kau dah." Kata Fahrin dengan nada yang sengaja dingin begitu.

Hana tertawa. Begitu halus kedengaran pada pendengaran Fahrin.

Tanpa diduga, Fahrin membalas pelukan itu. Dan entah mengapa, Hana dapatrasakan Fahrin lembut mengelus rambut yang berwarna keperangan itu.

Dan, tidak Hana tahu juga mengapa Fahrin bersandarkan tubuh kepadanya, menumpangkan dahinya ke bahu Hana. Merapatkan lagi jarak antara mereka. Bagai tak mahu melepaskan tubuhnya pergi.

Dan, dia terdengar Fahrin yang menarik nafas sedalamnya dalam keadaan... sebak? Sendu?

Mata Hana bergenang. Sebelum dia mula tersenyum pahit.
Memahami bahawa, mungkin sebab ini pertemuan terakhir buat mereka. Setelah ini, masing-masing akan membawa haluan sendiri. Fahrin dengan dirinya, manakala Hana dengan diri sendiri. Mereka pastinya tidak akan bersentuhan seperti ini lagi.

Permintaan Hana sebelumnya untuk berjumpa Fahrin sebagai orang pertama setelah transplantasi itu jelas terpaksa dilupakan. Dek kerana titik perpisahan mereka jelas di sini.

Hana terima. Cukup menerima semuanya. Tiada apa yang dia boleh halang. Dia cukup menerima ketentuan jodohnya hanya sekadar di sini.

Meski dia tahu kelak, hanya air mata menjadi pengganti, sebagai pengubat rindu, tapi dia terima.

Fahrin di situ, masih tak betah memeluk Hana dengan sangat erat.
Sungguh, dia tak nafikan, hatinya terlalu sarat. Terlalu sebu. Dan tipu untuk dia katakan dia langsung tidak terasa apa-apa dengan yang terjadi. Dengan keputusan yang dibuatnya ini.

"Sarrah, I perlukan bantuan you. Tolong, sebelum hari pembedahan dia, tolong tipu pada Hana, yang I tak dapat tengokkan dia. Cakap dengan dia I kena tinggalkan dia sebab..."

"Sebab....?"

"Sebab I sibuk nak siapkan dokumen nikah kita. Dan, tolong I. Untuk tipu Hana, cakap pada Hana nanti I bawa dia uruskan proses cerai."

"Fahrin, you sebenarnya rancang apa ni? You nak ke mana?"

Tanpa diduga, air mata Fahrin mengalir perlahan dalam pelukan Hana itu. Yang pastinya tak disedari Hana meskipun pelukan mereka bersatu.

Jaga diri, Hana. Demi Tuhan, tolong jaga diri baik-baik.

Fahrin memejamkan matanya erat. Mengumpul kekuatan dalam dirinya.

Pelukan akhirnya dilepaskan. Masing-masing mengawal emosi sambil mengambil jarak. Fahrin menyapu pantas air matanya sambil mengetap bibirnya. Mana mungkin dia biarkan Hana mengetahui keadaannya kini.

Tak lama kemudian, dia mula bangun dari tempat duduknya dan terus berlalu tanpa menoleh kepada Hana lagi. Tanpa bunyi, tanpa ucapan terakhir.

Hana hanya mendengar tapak kaki itu beransur meninggalkan bilik yang didudukinya.
Meninggalkan dirinya, yang utama. Yang sebenar-benarnya.

Sejurus dirasakan langkah Fahrin tidak lagi kedengaran, air mata yang ditahan-tahan tumpah jua.

Wajah yang tadinya tenang yang jelas, hanya untuk memujuk situasi kian berubah mendung sementelah langkah itu pergi dan berlalu.

Cinta hatinya telah berlalu meninggalkannya. Telah pasti meninggalkan memori yang pernah terbina. Yang pastinya tidak akan lagi kembali padanya.

Tanpa tertahan lagi, Hana terus menekup wajahnya. Menghamburkan tangisan yang tidak berbelah bahagi. Meluahkan remuk hatinya yang tidak tertahan.

Dia merelakan ini hanyalah demi membahagiakan semua orang di sekelilingnya. Bukan dirinya. Dia barangkali selamanya akan tetap hidup penuh duka begini.

Hana tetap menangis.

Ternyata, tiada sesiapa jua yang bisa meramal bila cinta yang lama akan kekal pergi,
dan bila-bila cinta baharu yang lain akan berputik lagi.

——————————-

MASA itu akhirnya tiba jua. Begitu sukar dipercayai setelah begitu lamanya, pembedahan transplantasi untuk kornea mata Hana bakal berlaku hari ini.

Merasai bahang matahari menyapa wajahnya, Hana mula bangun dari pembaringan dan bersandar di kepala katil. Dia yang sememangnya sudah lama mempersiapkan diri di wad sementara yang disediakan itu termenung jauh.

Hari ini, adalah hari yang bakal menentukan sama ada Hana akan masih mengalami cacat yang sama ataupun akan hidup dalam nafas yang baharu. Ini hari terbesar buat Hana. Yang sekian lama ditunggunya.

Bukankah ini memang hari bermakna buatnya? Hana sendiri yang saban hari berkira-kira untuk pembedahan ini. Hana sendiri yang sebelumnya acapkali mengingatkan Fahrin dan Sarrah bahawa prosedur pemindahan kornea mata akan berlaku bila.

Cuma....jauh di sudut hatinya, kenapa dia tidak langsung rasakan gembira? Mengapa dia seperti rasakan sesuatu terbesar bakal hilang pada hari ini?

Ada kata hatinya yang begitu kuat memaksa untuk berhenti meneruskan pembedahan mata ini, dan hatinya bagaikan meronta-meronta untuk terus meninggalkan bilik tersebut dan pulang.

Ya. Pulang. Dan hidup seperti biasa, yang tanpa penglihatannya.

Mata Hana mula bergenang.

Mungkin, mungkin kerana niat asalnya untuk sembuh adalah demi Fahrin. Mahu menatap wajah Fahrin dan melihat keadaan semasanya. Memerhatikan perkembangan penyakitnya sekiranya masih melarat dengan mata sendiri.

Tapi, apakan daya. Fahrin terlebih awal memilih untuk meninggalkannya dahulu sebelum sempat dia hidup dengan mata baharunya.

Memikirkan Fahrin, menyebut nama itu dalam minda jelas membuatkan Hana dirundung pilu yang semakin menebal.

Bibirnya digigit halus. Menahan sebak yang tiba-tiba datang.

Kedengaran pintu ditolak perlahan. Langkah dilakukan menghampiri birai katil.

Sarrah menghampiri Hana yang dari tadi hanya termenung jauh sambil bersandar.

"Hana, you ok?"

Hana tertoleh, tercari-cari suara itu, sebelum dirasakan tangannya diraih lembut oleh Sarrah.

"Sarrah, kamu di sini?" Soal Hana.

"Hmm. I temankan you untuk pembedahan you. You ok tak? Teruja tak? Nervous tak?" Soal Sarrah. Yang tak dinafikan dia sebenarnya sangat teruja untuk menyaksikan Hana dapat melihat semuanya seperti sediakala.

Dia tahu, Hana begitu lama menantikan saat ini. Sejak mula-mula dikhabarkan tentang wujudnya penderma yang Sarrah juga tidak kenali itu, Hana tidak putus-putus bercakap hal yang sama kepadanya. Tanda Hana betul-betul teruja.

Hana tersenyum, penuh paksa. "Hmm." Bohongnya dalam anggukan yang jelas sekadar memujuk.

Suara yang jelas tanpa ceria itu sememangnya menarik perhatian Sarrah sepenuhnya. Tak pernah sesekali sebelum ini Hana muram apabila menyebut hal mata itu.

Sarrah memerhatikan raut wajah yang mula kelihatan sugul itu. Segera diambil tempat sebelah Hana.

"Hana, kenapa ni?"

Dagu Hana diangkat agar sepenuhnya tertumpu kepadanya.

"Sarrah, hati saya. Rasa tak senang. Saya susah hati sangat." Luah Hana, perlahan.

"Kenapa? Sebab takut pembedahan tak berjaya?" Soal Sarrah. Tangan Hana digenggam erat, memberi kekuatan.

Hana menggeleng-geleng dalam kolam matanya yang mula tercipta. Tangan yang digenggam itu hanya dibalas genggamannya lemah.

"Sarrah... saya mahu batalkan pembedahan ni, bolehkah? Masih sempatkah?"

Berubah wajah Sarrah mendengarkan itu. Terkejut dengan permintaan tak semena-mena adiknya.

"H...Hana... Kenapa you tiba-tiba?"

"Saya tidak tahu, Sarrah. Saya tak mahu teruskan semua ini. Saya tak tahu, tapi saya mahu balik. Saya...saya... tak nak teruskan—"

Tanpa dapat menyambung ayat seterusnya, tiba-tiba Hana terus menangis di situ. Tak dapat menyembunyikan perasaannya yang cukup mengharukan itu.

"Sarrah, saya tak mahu lagi semuanya... Saya mahu pulang.... Saya mahu rehat di rumah... Saya mahu hidup buta begini saja..." Ujar Hana dalam tangisannya.

Sarrah menarik Hana dalam pelukannya. Memujuk adiknya yang sudah semakin tidak keruan.

"Hana, jangan macamni, Hana. Kan dah siap semua? Ini semua untuk kebaikan you, masa depan you. You tak boleh terus bertindak macam ni..."

Hana hanya menggeleng-geleng dalam tangisan itu. Meluahkan rasa hatinya yang begitu berat, jelas penuh sarat itu.

"Saya tak mahu mata itu lagi...."

Semakin galak Hana menangis dalam pelukan kakaknya. Tak mempedulikan lagi masanya yang semakin dekat untuk dibawa ke bilik pembedahan. Umpama kosong fikirannya di situ.

Umpama mengetahui akan apa yang sebenarnya sedang berlaku, dan yang bakal berlaku pada hari yang penuh bersejarah itu.

—————————-

DALAM ruang yang berwarna serba putih itu, kelihatan satu susuk tubuh yang mendapatkannya yang sudahpun bersedia di atas kamar itu.

Sepasang mata yang sepenuhnya layu itu tidak lekang memandang Daniel yang semakin menghampiri.

"Tak sibuk ke?" Soal Fahrin sambil tetap memandang wajah itu. Dalam suara yang tenggelam timbul.

Sejak dua menjak ini, memang Daniel tak lekang menemaninya meski sementara cuma.

Daniel menggeleng perlahan dalam senyuman nipisnya.

"Kau macam mana? Ok ke?" Soal Daniel. Matanya tak lekang memerhatikan Fahrin yang hanya terbaring di atas katil hospital itu, yang jua telah menukar bajunya. Cukup bersedia dibawa masuk ke dewan bedah.

Fahrin mengangguk. "Hmm." Balasnya, sepatah. Kelihatan Fahrin meramas lembut jemarinya sendiri.

"Nervous?" Soal Daniel apabila melihat kelakuan Fahrin yang jelas menangkap perhatiannya.

"Hmm." Hanya itu yang dibalas Fahrin.

"Kau betul taknak jumpa Hana dah?" Soal Daniel. Sengaja memberikan Fahrin saat untuk berfikir lagi.

Anggukan diberikan.

Sepi sejenak. Fahrin menelan air liurnya pahit. Matanya dipejamkan seketika.

"Daniel, aku...sebenarnya risau."

"Risau kenapa?" Soal Daniel, begitu prihatin.

"Sebab aku rasa aku sakit sangat harini. Aku rasa macam..."

Sepi. Fahrin tidak menghabiskan kata-katanya.

Daniel memandang wajah lemah Fahrin, cukup sayu. Memahami apa yang cuba disampaikan Fahrin.

Semalam, Fahrin tiba-tiba pitam ketika mereka berjumpa buat kesekian kalinya. Sungguh, tak keruan Daniel dibuatnya melihat Fahrin begitu lemah demikian. Mujur juga Daniel masih berada sampingnya ketika itu.

Dan ketika Fahrin berada di wad pagi tadi untuk pembedahan mata pada hari ini, Fahrin semakin tidak bermaya. Dia mula muntah-muntah sehingga menjadi lemah-longlai tubuhnya. Jelas, keadaan Fahrin tidak kuat lagi seperti yang dijangka. Mukanya semakin memucat, wajahnya semakin redup dan sangat mendung.

Bahu Fahrin ditepuk-tepuk perlahan. Pelukan diberikan sekilas sebelum ditarik tubuhnya, mengambil jarak.

"Kuatkan semangat, Fahrin. Kau kena bertahan." Ujar Daniel, memberi sokongan.

Atau lebih kepada memujuk situasi.

Fahrin gigih mengukir senyuman. "Kalau tak tahan pun tak apa. Pembedahan masih boleh berjalan."

Halus suara Fahrin, namun sangat menusuk ke hati.

Daniel hanya mendengar ayat itu sambil menelan pahit air liurnya. Begitu perit dirasakan tekaknya ketika itu, dalam menelan setiap saat-saat penuh duka ini.

"Daniel."

"Hmm...?"

"Ingat apa yang kau kena beri pada Hana." Pesan Fahrin.

Daniel tertunduk sambil mengangguk. "Hmm." Mustahil dia lupa akan permintaan terakhir Fahrin itu.

"Kirimkan salam aku pada mak kau. Nanti bila-bila ada masa, bawalah Hana jumpa mak kau kalau dia nak. Buat lepas rindu dia pada mendiang ibu bapa dia."

Daniel mengangguk-angguk lagi, tanpa mampu menahan sebak yang bertakung. Langsung tak bersuara. Dan jelas disaksikan Fahrin, Daniel sedaya upaya menahan tangisnya.

"Jangan menangis. Macam cinggey." Kata Fahrin yang sempat bergurau meski suaranya sangat mendatar dan semakin tenggelam.

Daniel yang mendengar itu lantas menenyeh matanya dengan tapak tangan seketika dirasakan air matanya bakal tumpah tak lama lagi.

"Takkan kau nak aku buat kenduri pulak." Katanya, perlahan. Sendu cuba ditarik sedalam mungkin kemudiannya.

"Tahu. Tapi jangan nangis. Aku tak boleh tengok."

Wajah pucat Fahrin dipandang sekilas lantas mengangguk. Sungguh memahami hati Fahrin yang sebenarnya sedang bergolak penuh hebat itu.

"Daniel..."

"Hmm?"

"Jaga diri. Jangan lupa makan. Kerja jangan teruk-teruk, tau."

Mendengarkan pesan itu, Daniel menelan liurnya, pahit. Senyuman kelat dipaksa ukir, menenggelamkan rasa hatinya yang tiba-tiba menjadi sangat, teramat sayu itu.

Anggukan diberikan, lemah.

"Kau pun jaga diri, Fahrin. Tolong bertahan. Please."

Bahu Daniel kemudian disentuh oleh Fahrin lalu ditepuk perlahan dalam lemahnya. Sambil Fahrin mengukir senyuman nipis buat kesekian kalinya.

"Hmm."

Tatkala itu, pintu mula dibuka.

"Maaf, ya. Pesakit boleh bersedia. Kita nak bawa masuk bilik bedah sekarang." Kata salah seorang jururawat yang menghampiri mereka.

Mereka berpandangan seketika sebelum masing-masing akur.

"Fahrin, kita jumpa lagi lepas kau habis." Kata Daniel.

Tangan Fahrin digenggam utuh. Akur dengan permintaan Fahrin yang tak membenarkan dia mengikut lelaki itu hingga ke depan pintu bilik pembedahan.

Fahrin mengangguk lemah. Genggaman itu turut berbalas.

Ketika Fahrin telahpun bertukar tempat dan dibawa berlalu, dan ketika Daniel mula ditinggalkan, sempat Fahrin menuturkan sesuatu kepada Daniel melalui gerak mulut tanpa suara.

'Terima kasih.' Ucapnya.

Daniel yang sempat membaca gerak mulut itu mengukir senyumannya sebelum dia melambai kecil.

Fahrin yang semakin dibawa pergi, dalam keadaan terlantar itu, mula memejamkan mata penuh hiba.

Haruskah dia memberitahu Daniel bahawa dadanya begitu sakit kini?
Haruskah dia mengkhabarkan Daniel bahawa dia seperti tidak mampu bertahan sejauh mana lagi?
Haruskah... Daniel tahu semuanya?

Oh, serasanya tidak perlu.

Fahrin membawa tangan ke dadanya, menahan sesak yang semakin mendatang itu. Dalam mata yang dipejamkan, jelas takungan air mata membentuk, lalu mengalir perlahan pada wajah susutnya.

Tatkala itu, terbayang satu persatu wajah-wajah yang dikenali yang berada dalam mindanya. Yang silih berganti, dan yang lantas terawang-awang pergi.

Dia mengucap perlahan.

Sesungguhnya, sakit dada ini jelas bukan sakit biasa. Bukan sakit selalunya. Yang dia juga tidak tahu untuk luahkan kesakitan itu.

Air mata Fahrin deras mengalir.

Mungkin..... mungkin.

Dada Fahrin mula berombak kencang. Dalam pada dia berasakan kesakitan yang luar biasa yang seakan tidak berpenghujung itu.

Kalau katakan, katakan memang hal yang satu itu terjadi, adakah bisa...?

Daniel tidak lihat dirinya langsung sekarang. Kan?

Hana. Paling penting buatnya, Hana tidak akan tahu keadaannya, bukan?

Rasanya tidak mengapa. Tak ada sesiapapun di sisinya, bukan?
Ya, tiada siapa menyaksikan itu. Itu yang penting.

Air mata Fahrin masih mengalir pilu di situ. Merasai perit yang bukan kepalang.

Dalam keterpaksaan dan kekalutan itu, nadinya mula berdenyut perlahan.

Lalu,
dengan perlahan jua nadinya terhenti di situ.
Bersama satu bunyi bingit yang cukup panjang dari mesin pengimbas nadi di situ.

"Doktor! Doktor! Pesakit tak ada respons!"

"Apa? Ya Allah!"

Tak apa.
Sungguh, tak apa.
Dunia ini kan sementara cuma.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro