5T5B: WB |Bab 8

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"If love is like driving a car, then I must be the worst driver in the world.
I missed all the signs and ended up lost."
— Brian MacLearn

———————————

TADI dirasakan cuma pening kepala. Namun, selepas pulang berjumpa doktor, demam Fahrin naik pula jadinya. Entah kenapa begitu.

"Kamu selalu demam mengejutkah? Doktor kata apa?" Soal Hana yang masih berada di sisi katil Fahrin.

"Entah." Hanya itu yang dibalas Fahrin yang sedang berbungkus selimut.

Hana menghela nafas sebelum mencekak pinggangnya.

"Paling tidak, kamu perlu beritahu saya, Fahrin Wildan. Bukannya berkurung dalam bilik sendirian." Katanya.

Rasa macam nak berleter panjang pun ada dengan lelaki ni. Mana tidaknya, sakit sendiri dibiarkan sendiri. Tak berubat langsung. Tahu-tahu saja muka Fahrin mula memerah menandakan demam panas yang dialaminya. Itupun sebab Hana sendiri yang menerjah bilik Fahrin malam itu.

Sekarang pula, mula buat perangai degil semacam. Makan ubat, taknak. Ditanya apa doktor kata, tak jawab. Minum air masak pun tak mahu. Bertanya pulang tadi siapa yang hantarkan pun dia tak melayan. Susah betul nak berurusan.

Fahrin menjeling Hana. "Jangan bebellah. Suara tak sedap." Katanya sambil mula mengiring, membelakangi Hana.

Tengok, aku juga yang dikatanya membebel.

"Sudahlah. Saya malas melayan kamu. Biar kamu sakit sendirian sampai sembuh sendiri." Hana kemudian terus berlalu meninggalkan Fahrin sendirian.

Fahrin yang tadinya berpura-pura melelapkan mata kemudian mencelik sambil telinganya mendengar bunyi pintu bilik yang tadi dibuka kembali ditutup.

Er, dia pergi dah ke? Bisik hatinya.

Dia menunggu sendirian di situ dalam keadaan masih berbungkus selimut. Badannya pula terasa semakin hangat. Agak lama juga dia bersendirian. Malah, sempat juga dia terfikir kalau-kalau Hana memang tak akan datang menjenguknya kembali atau sebaliknya.

Akhirnya, Fahrin kedengaran pintu dibuka kembali.

Ha, datang balik jugak. Beriya je.

Fahrin menguntumkan senyuman kecil sebelum dia cepat-cepat matikannya apabila terasa Hana mula menghampiri. Matanya terus dipejamkan, kononnya terlena.

Hana pula, setelah mendapatkan Fahrin, diletakkannya tuala lembab di dahi Fahrin dengan berhati-hati setelah rambut di dahinya dikuak tepi, tak mahu mengejutkan lelaki itu.

Tangan Hana mula meraba pipi Fahrin, juga lehernya.

"Panas dia makin naik pula." Ujar Hana sendiri.

Entah apa yang Hana fikirkan ketika itu, tidaklah Fahrin tahu. Hanya yang Fahrin sedar kemudian, Hana berlalu pergi setelah agak lama duduk di sampingnya.

"Cepat sembuh."

Bersama usapan lembut di kepala lelaki tersebut, kata-kata itu diungkapkan sebelum Hana terus berlalu.

Mata Fahrin mula tercelik.
Dalam sakit itu, senyumannya terukir.

Dah sakit macam ni, bolehlah arah perempuan tu macam-macam. Yes.

------------------

KENING kakaknya terjungkit sedikit apabila melihat Hana membeli sekotak besar CoolFever dan begitu banyak ubat-ubatan lain di farmasi itu.

"Kenapa tiba-tiba beli semua ni? Siapa yang sakit?" Mengalahkan buat stok darurat.

"Kawan serumah saya. Dia tidak berapa sihat." Balas Hana ketika masuk ke dalam kereta.

"Tak pergi klinik?" Soal Sarrah.

Hana menggeleng. "Dia memang begitu. Susah dipujuk. Tapi suka merengek semacam. Pagi tadi pukul dua pagi dia minta saya masakkan bubur untuk dia. Mahu bawa ke klinik, saya pula dimarahnya. Jengkel." Luah Hana.

Tertawa Sarrah dibuatnya. "Sejak bila Hana sorang ni suka mengeluh ni?"

"Bukan mengeluh. Tapi dia memang begitu. Saya juga tidak tahu selama ini bagaimana dia jaga dirinya sendiri." Kata Hana sebelum dia terdiam sebentar dan menyambung kemudiannya. "Dia buatkan saya rasa berat hati tinggalkan rumah itu nanti. Dahlah minggu depan, saya dah tiada."

"Ajaklah dia tinggal sekali dengan you." Balas Sarrah, bersahaja. Sengaja bergurau.

"Taknaklah. Pening kepala saya melayan dia. Saya berjumpa dia pun secara tak sengaja. Jadi, mahu tak mahu, terpaksa menumpang dengannya." Balas Hana.

"Gaduh-gaduh manja macam tu, dah macam pasangan suami isteri pula. Silap haribulan, tersuka pula satu jantina." Gurau Sarrah yang masih menumpukan pada pemanduannya, menyangkakan Hana sebumbung dengan wanita.

Kening Hana terangkat sedikit. Gaduh tu memang tidak ada manjanya, tapi memang kami suami isteri pun, bisiknya sendiri.

"Hidup suami isteri yang manis sememangnya ada pada Khadijah dan Muhammad sajakah?" Gumam Hana sendiri, perlahan.

"Hmm? Apa?" Soal Sarrah yang tidak jelas akan suara Hana itu.

"Hmm? Apa dia?" Soal Hana pula.

"I dengar you cakap pasal suami isteri tadi. Apa dia?" Soal Sarrah.

"Oh, tidak. Hanya bercakap sendiri."

Sarrah tersenyum. "Kalau dah ada seseorang yang istimewa, jangan diamkan. Tak baik, tau. Dah janji taknak berahsia!" Kata Sarrah.

Hana tertawa kecil.

"Kamu juga! Pastinya sekarang kamu sudah ada, kan? Kan?"

"Tak adalah! I masih solo. Tengah mencari."

"Tipu!"

"Tak percaya, sudah."

"Kamu mahu orang Melayukah?" Soal Hana.

Sarrah diam sejenak. Memikirkan sesuatu. Wajah adiknya itu dipandang sekilas dengan senyuman kemudiannya.

"Kita ada banyak benda yang tak diborakkan bersama, kan? Sedangkan you sendiri pun tak cerita macam mana you boleh tukar agama."

"Tidak mengapa, Sarrah. Kita masih banyak masa. Nanti kalau ada masa lapang, datanglah rumah baru saya itu." Balas Hana.

"Hmm, kalau ada masa."

Hana diam sejenak sebelum tersenyum.

"Terima kasih, Sarrah. Kamu tidak membenci saya kerana saya bertukar agama. Sedangkan Mum dan Dad dahulunya bergaduh dengan saya sehingga saya kemalangan, tapi kamu begitu tenang menerima saya." Ucap Hana.

Sarrah membalas senyuman itu. Hidung Hana dicuit.

"Siapa lagi yang suka memberontak kalau bukan kita adik-beradik, hmm?"

Hana ketawa sebelum lengan Sarrah ditarik lalu disandarkan kepala pada lengan itu.

Senyuman terukir kemudiannya.

"Terima kasih. Kamu buat saya sentiasa rasa selamat."

-------------------------

KEPULANGAN Hana hari itu disambut dengan mata yang tidak langsung berkedip oleh Fahrin yang duduk bersandar di sofa ruang tamu apabila melihat sekotak besar CoolFever itu.

"Untuk siapa ni?" Soal Fahrin dengan kerutan seribu di dahi.

"Kamulah. Ada orang lain lagikah dalam rumah ini? Itu pun tak tahu fikir." Balas Hana, selamba. Langkah dilalukan ke dapur kemudiannya.

Fahrin menjeling. Eh, dia ni. Bukan main sedap lagi cakap macam tu.

"Aku dah sihat. Membazir kau beli semua ni." Kata Fahrin yang sempat membuntuti Hana ke dapur.

Hana terus meletakkan kotak tersebut di kabinet. Lengan Fahrin terus ditarik lalu dibawa kembali ke ruang tamu.

"Kau nak buat apa ni, ha?"

Hana menolak Fahrin untuk terus duduk. Rahang Fahrin mula dipegang.

"Buka mulut kamu."

Alat pengukur suhu badan di tangannya terus diletakkan di bawah lidah Fahrin tanpa sempat Fahrin melawan. Terkejut beruk rasanya ketika itu.

Tak lama kemudian, alat itu diambil kembali. Terus Hana menyuakan kepada Fahrin.

"Sihatkah begini?" Soalnya, perli.

Fahrin hanya menjeling dan terus bersandar di kepala sofa. Dan, wajah itu hanya diperhatikan Hana yang masih berdiri di hadapannya sebelum wanita itu berlalu pergi.

Tak lama kemudian, yang Fahrin lihat, Hana membawa CoolFever itu kepadanya. Tubuhnya menghampiri lelaki itu, dan dengan perlahan, rambut Fahrin dikuak.

"Kamu jangan risau. Saya tidak minta dibalas apa-apa. Adatlah membantu orang rumah. Kalau saya duduk di rumah orang lain pun, saya akan lakukan yang sama." Perjelas Hana.

Fahrin hanya menyepi. Wajah Hana dipandang dengan ekor matanya. Seketika itu, dia terasa Hana melekapkan CoolFever itu di dahinya.

Ah, ini yang aku tak suka kalau sakit ni. Semua rasa sayu semacam. Sikit-sikit rasa macam nak menempel lebih-lebih. Tengok, sekarang ni dah mula rasa sebak dengan benda yang Hana buat pulak. Ish.

"Kamu boleh bangunkah? Mahu berehat di bilik atau di sini? Saya ambilkan bantal dan selimut kamu jika kamu mahu di sini." Soal Hana, lantas mematikan lamunan Fahrin.

Mujur Hana bertindak begitu. Kalau tak, dah bergenang mata Fahrin dibuat dek Hana bila jauh melangut sendirian.

"Bilik." Balas Fahrin, pendek.

Sememangnya tadi dia turun semata-mata mencari Hana. Tekaknya rasa payau semacam jadi nak juga kulikan Hana selagi boleh.

Kuli atau menempel. Mana-mana jelah. Dia pun dah tak faham mana satu kehendak hatinya sekarang.

Hana terus meraih tangan Fahrin. Mahu membantunya bangun dan menemani ke bilik.

"Hei."

Hana mengangkat wajah. "Ya?"

"Boleh buatkan bubur ayam macam pagi tadi?"

Seketika soalan itu terlontar, Hana dilihatnya kini tak berkedip langsung matanya.

Fahrin terus menggigit kecil bibir sambil melarikan pandangannya.

Alamak aku ni pun, dah kenapa bertanya macam tu? Mana pernah selama ni aku tanya dia boleh ke tak boleh bila buat semua benda. Kan selama ni aku arah je dia tu?

"Pergilah buat sana." Terus berubah nada Fahrin.

Arahan Fahrin itu terus dibalas dengan senyuman lebar Hana.

"Saya masakkan lepas bawa kamu ke bilik." Ujar Hana.

"Aku nak rehat kat sini. Kau buat dulu. Nanti kejutkan." Kata Fahrin yang mula berbaring.

"Kamu mahu apa-apa lagikah?" Soal Hana. Tatkala itu, terasa mendarat pula tangan Hana ke kepala Fahrin, menyentuhnya lembut.

Fahrin menggeleng seraya membalikkan tubuhnya. Cuba tidak bertentang mata dengan Hana. Sebab dia dah mula rasa sebak yang bertandang!

Ah, benci! Benci! Benci!

Hana hanya menggeleng kecil dalam senyumannya sebelum terus berlalu. Sempat juga dia menyanyi kecil ketika itu.

Fahrin menjungkitkan bibirnya.

Tak guna. Dia mesti rasa seronok lepas aku tanya dia baik-baik tadi. Sepatutnya aku sebut pasal bubur dia tak sedap biar dia rasa bersalah banyak nak masak lagi.

Tapi, ish, bubur dia memang sedap masalahnya. Aku dahlah memilih sikit bab makanan ni. Mana senang aku nak menipu.

Fahrin menghela nafas deras.

Cepatlah baik, demam. Otak tuan punya badan ni dah macam salah sistem saraf dah jadinya sebab kau.

------------------

MALAM itu, Hana seperti biasa-macam dayang istana—menemani Fahrin di kamarnya.

Dari tadi kerja Hana memang menyiapkan Fahrin. Tempat tidur Fahrin, hidangan makanan Fahrin, malah nak ambil wudhu pun dipimpin Hana.

Fahrin pula, bukan main. Pantang diberi perhatian, makin naik tanduknya. Sekarang ini, tubuh Fahrin sedang diurut-urut lembut oleh Hana.

"Kalau esok demam kamu tidak surut, saya bawa kamu ke klinik." Kata Hana.

"Kau mana boleh bawa kereta." Balas Fahrin.

"Kan ada teksi? Kamu jangan mengelat sangat. Demam sekarang tak boleh dipandang ringan. Nanti kalau kamu terkena jangkitan lain, kamu juga yang susah." Ujar Hana.

"Tak payahlah. Aku memang senang demamlah." Tipu.

"Senang demam sebab kamu panas baran? Jadi semua dalam badan kamu selalu membara?" Soal Hana, selamba.

Fahrin menjeling tajam. Eh, dia ni. Kalau aku tengah duduk ni, aku tunjal dahi tu ha.

Hana senyum mengejek. Sengaja mengenakan Fahrin.

"Kamu harus jaga diri kamu, Fahrin Wildan. Kamu pun tahu, minggu hadapan saya akan berpindah. Jadi, tiada sesiapa yang akan temankan kamu." Kata Hana.

Fahrin terus memandang Hana.

Erk, bila masanya aku tahu yang dia nak pindah minggu depan? Dia tak pernah cakap pun.

"Jangan ambil barang aku apa-apa kat sini." Ujar Fahrin.

"Kamu fikir saya sukakah? Barang kamu bukannya berjenama semuanya. Saya mampu dapatkan lebih dari itu. Huh." Kata Hana.

Fahrin berdecit kecil. Menyampah dengar.

"Eh, Fahrin Wildan, kamu tiada keluarga sendirikah? Ibu dan bapa kamu? Adik-beradik?" Soal Hana.

"Aku sakit la." Sengal apa dia ni ajak berborak pulak.

"Saya mahu lihat keluarga kamu. Kan mereka keluarga saya juga? Kamu boleh katakan saya kawan kamu. Saya boleh simpan rahsia hubungan kita." Kata Hana, masih membicarakan hal itu.

Fahrin diam tatkala itu. Tiada sebarang kata yang keluar.

"Adik ikut tinggal dengan suami dia, California." Ujar Fahrin kemudiannya.

"Ibu bapa?"

"Ayah aku dah lama meninggal sejak aku kecil. Sakit jantung."

Hana kelihatan terkaku sejenak. "Ibu kamu?"

"Meninggal. Lima tahun lepas. Masa buat umrah dengan saudara yang lain."

"Meninggal? Lima tahun lepas?"

Adakah ini punca Fahrin menjadi keras hati sebegini? Bukan semata-mata sebab kisah cinta lamanya?

Fahrin memandang Hana. "Aku takkan ulang. Semua salah kau sebab tanya." Terus Fahrin palingkan kepalanya, langsung tak bersuara kemudiannya.

"Fahrin Wildan..."

"Tak payah nak tanya apa-apa lagi. Dah lima tahun." Potong Fahrin yang mula mengiring dan membelakangi Hana.

Hana tersenyum lembut. Tangan hangat Fahrin diraihnya lalu digenggam.

Mata Fahrin tercelik melihatkan itu. Genggaman pada tangannya diperhatikan.

"Hanya mahu meredakan panas kamu. Memindah haba. Mum selalu lakukan ini ketika saya demam." Kata Hana.

Fahrin tak membalas, hanya membiarkan. Baik jangan dibalas kalau dah terasa mood tak stabil. Nanti berjuraian air mata, siapa nak tanggung. Buat kena gelak Hana sepanjang tahun pulak nanti.

Entah bagaimana, sudahnya Fahrin terlelap jua. Dalam keadaan hanya lampu tidur yang dipasang menerangi bilik itu. Dalam keadaan Hana di sampingnya, turut terlena dengan dengkuran kecilnya.

Tatkala Fahrin tersedar apabila dirasakannya tubuhnya terasa kurang selesa dan mula berkalih, dia terdengar rengekan kecil Hana yang masih terlena.

Terus tercelik mata Fahrin melihat Hana di sampingnya. Ketika itu, matanya tertancap pula pada genggaman tangan mereka yang masih bertaut, meskipun Fahrin sudah bertukar dari posisi awalnya.

Jemari runcing Hana yang menyelit di setiap jari kekar Fahrin diperhatikan. Apabila diangkat, lemah sahaja gaya jari Hana bertaut begitu. Disebabkan itu, Fahrin terus meletakkan tangan itu kembali.

Mata mula dipejamkan. Tautan itu dibiarkan.

Mungkin, kisah Mum dia selalu buat begini hanyalah sebagai alasan untuk memujuk Fahrin secara tidak verbal. Fahrin agak akan itu.

Perlahan-lahan, jemari Hana ditaut erat sebelum Fahrin kembali terlena.

Benci, tapi selesa.
Maksudnya, sangat selesa.

------------------------

TERASA pening-pening lalat juga Hana dibuatnya pagi itu, memikirkan keberadaannya kini. Apatah lagi, sekarang ini, Fahrin telah mula bercekak pinggang di hadapannya.

"Bangunlah cepat. Kau nak tunggu matahari terpacak ke baru nak hilang mamai?" Soal Fahrin.

Boleh tahan kuat juga lontaran suara Fahrin pagi ini. Rasanya semalam demamnya masih tak kebah.

"Saya tertidurkah?" Soal Hana yang menggosok matanya.

Fahrin berdecit. Dah tahu, lagi nak tanya.

Hana yang sedang duduk di birai katil itu melihat Fahrin. Dia berdiri kemudiannya dan cuba meraba dahi Fahrin. Namun, segera Fahrin berundur.

"Aku ada wudhu la." Katanya.

"Oh." Hanya itu yang dibalas Hana sebelum dia menggeliat kecil dan terus ke pintu bilik.

"Hei, nak ke mana?" Soal Fahrin. Tersampuk Valak ke apa dia tu.

"Ambil wudhu di bilik saya. Mahu solat." Kata Hana.

"Bilik air kat situ la. Ambik kat situ je. Kumur Listerine sekali."

Hana hanya menurut. Terus kemudian dia berlalu ke bilik air.

Tak lama kemudian, setelah dia keluar, Hana melihat Fahrin yang duduk bagaikan menunggu sesuatu di atas sejadah. Apabila terlihatkan Hana, segera Fahrin bangun dan menghulurkan telekung buat Hana.

"Solat sama-sama." Hanya itu yang diungkap Fahrin sebelum dia terus berdiri di tikar sejadah, membuatkan Hana kelihatan terpaku sejenak.

Namun, itu jugalah yang mendatangkan rasa gembira buat Hana. Bersegera dia memakai telekung dan membetulkan tegak dirinya di atas sejadah yang telah dibentang Fahrin.

Hari itu, adalah kali pertama, sepanjang perkahwinan mereka, Fahrin menjadi imam buat Hana. Pertama kali juga Hana solat berjemaah bersama keluarganya. Perasaan itu tak usah diungkap. Segalanya bercampur baur buat Hana. Rasa terharu, sebak, teruja, gembira, semuanya ada.

Usai berwirid dan berdoa, belumpun Fahrin sempat memusingkan tubuhnya, Hana sudah terlebih dahulu mendapatkan Fahrin, menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Fahrin tak pasti apa dia, namun melihat Hana dengan senyuman itu, seolahnya nampak Hana begitu bahagia tatkala itu. Entah mengapa.

Ketika Hana mengangkat wajah dan memandang Fahrin setelah bersalaman, Fahrin lihat Hana yang ketawa kecil sebelum terus memeluk Fahrin. Tergamam Fahrin dibuatnya.

"Kau ni dah kenapa?" Soalnya.

Hana menggeleng. "Hanya teruja kerana ini pertama kali saya berjemaah dengan keluarga sendiri." Balasnya dalam senyuman.

Fahrin hanya menyepi. Dan mendengar kata-kata Hana kemudiannya.

"Terima kasih, Fahrin Wildan."

Satu ucapan yang tulus lahir dari bibir wanita tersebut.

"Kau ni, mengada-ada betullah. Drama lebih." Ujar Fahrin pula. Hana hanya tersenyum lebar di situ.

Pelukan itu direnggangkan. Hana mula menatap wajah Fahrin. Dahi Fahrin diraba.

"Demam kamu sudah surut nampaknya. Alhamdulillah." Kata Hana.

"Simpan semua CoolFever kau kat rumah baru. Ubat semua tu jugak." Ujar Fahrin.

Hana menggeleng. "Tidak perlu. Kamu kan katanya selalu demam mengejut. Itu untuk simpanan kamu nanti. Saya boleh belikan yang lain untuk saya."

Dia jeda seketika sebelum menyambung. "Saya buatkan kamu sarapan, ya?"

Terus Hana bangun dan berlalu. Meninggalkan Fahrin sendirian di situ setelah sejadahnya disangkut kembali ke tempat asal.

Fahrin hanya memandang bayang Hana.

Apa saja kerenah dia tu.

--------------------

TENGAH MALAM apabila rumah dirasakan sangat sunyi, Fahrin keluar dari biliknya sebelum melihat cahaya yang terang benderang dari bilik Hana.

Kening diangkat sekejap sebelum Fahrin menuju ke bilik itu. Lantas, pintu ditolak tanpa ketukan.

Tatkala itu, dilihatnya Hana yang baru keluar dari bilik air di biliknya, memandang Fahrin dengan kejutan pada riak wajahnya.

"Kamu tidak reti memberi salam atau ketuk pintu dulukah? Macam mana kalau saya berbogel tadi?" Soal Hana.

"Rumah aku, suka hati akulah. Siapa suruh kau tak kunci." Balas Fahrin pula.

"Sebenarnya dia memang berniat nak tengok pertunjukan percuma, kalau ada peluang. Macamlah saya tak tahu." Kata Hana.

Fahrin yang masih di muka pintu itu berdecit. "Kau rasa aku tergiur ke tengok kau?" Soalnya.

"Ya. Cuma saya tidak menggoda kamu. Kalau saya cuit kamu sedikit, kamu pasti kalah." Balas Hana, selamba.

Hei, selamba betul mulut dia ni. Piat telinga tu, baru kau tahu erti kesakitan.

Ketika itu, Fahrin terlihat Hana yang sibuk menyusun barang-barangnya di dalam sebuah kotak besar.

"Bila kau keluar?" Soal Fahrin yang mula berpeluk tubuh di situ.

"Lusa." Balas Hana.

Kening Fahrin terangkat. Lusa? Awal pulak.

"Kenapa tak esok?" Soal Fahrin pula.

"Adakah itu sebenarnya kamu mahu bertanya 'kenapa bukan minggu depan'? Sebab saya sengaja mahu berpindah awal." Balas Hana, selamba.

Fahrin hanya menjeling sebelum terus memerhatikan perlakuan Hana. Hana pula sempat menjeling Fahrin sekilas.

"Kamu patut tidur. Sudah lewat." Ujar Hana.

"Aku kena tengok gerak-geri kau. Aku taknak ada barang aku lesap kau bawa lari." Balas Fahrin.

"Kamu masih tidak percaya sayakah? Selama ini, pernahkah barang kamu hilang? Jengkel sungguh." Rungut Hana.

"Mungkin ada, cuma aku tak perasan." Balas Fahrin.

"Ish. Sudahlah. Mari sini, bantu saya. Daripada kamu terus bercakap, menyakitkan hati saja." Kata Hana.

"Kenapa aku nak kena tolong kau pulak?" Soal Fahrin. Selamba je mengarah.

"Cari pahala. Anggap saja ini kebajikan kepada saya sebelum saya pergi. Saya tak akan ganggu kamu lagi selepas ini, lagipun." Balas Hana, bersahaja.

Fahrin berdecit. Namun, langkah diturutkan jua menghampiri Hana. Kemudian, dia terus membantu Hana mengemas dengan arahan Hana.

Rasa-rasanya dia awal-awal dulu cuma bawa dua bagasi besar. Tapi sekarang kenapa barang dia macam bawa satu kontena? Siap terpaksa berkotak-kotak pula tu.

"Barang saya tidak akan sebegini banyak jika kamu benarkan saya memandu. Saya boleh bawa sikit-sikit ke rumah baru."

"Memang takkan benarkan." Pantas Fahrin membalas.

Hana mencebik. "Tunggu saja saya ada lesen kereta sendiri. Saya langgar pintu pagar depan rumah kamu sampai roboh."

Fahrin hanya menjulingkan mata ke atas. Ye la tu.

"Pergi nanti, panggil teksi." Ujar Fahrin.

"Tidak perlu. Saya boleh meminta tolong kakak saya." Kata Hana.

Kening Fahrin berkerut. "Kakak?"

"Ya. Kakak. Saya tidak beritahu kamukah? Saya sudah jumpa kakak saya." Balas Hana.

Kening Fahrin terangkat tinggi. Bila ke masanya dia lancarkan misi menjelajah dunia menjejak kasih ni?

"Asalkan tak naik kereta aku, sudah." Ujar Fahrin.

"Kedekutnya." Rungut Hana.

Sambil itu, Hana terhenti sejenak sebelum terus menyambung.

"Saya harus kenalkan kakak saya kepada kamu. Dia kan keluarga kamu juga? Kamu pasti terpesona dengan kecantikannya. Siapa tahu, kamu berkenan." Kata Hana.

"Kau pun buruk, kakak kau apatah lagi." Balas Fahrin tanpa ragu.

Tatkala itu, bahu Fahrin dipukul kuat.

"Aduh!"

Hana memandang wajah Fahrin dengan rasa geram. "Kamu juga lelaki buruk. Buruk, buruk, buruk!" Sengaja dia menekankan perkataan itu berkali-kali.

Ei, geram sungguh dengan mulut tiada insurans macam dia ni.

Fahrin hanya membuat muka selamba. Tak terkesan langsung. Macam tak berdosa. Hanya kemudian, wajah bengang Hana dipandang.

"Kau dah kenapa nak buat muka tahi macam tu?"

Hana terus menjegilkan matanya. "Muka tahi apanya?"

"Muka kau la muka tahi."

"Muka kamu tu macam loji." Kutuk Hana dalam rendah suaranya.

"Apa?" Berkerut wajah Fahrin di situ.

Hana hanya membuat muka selamba, pura-pura tidak mendengar. Fahrin pula menjulingkan matanya ke atas.

"Dahlah. Aku nak keluar. Kau siapkan semua ni sendiri." Kata Fahrin sebelum terus berlalu.

"Tapi memang dah siap pun." Balas Hana.

"Eh, kalau aku cakap tu, diam je, boleh?" Ada je yang nak dibalas dia ni.

Hana tak menjawab, namun mula mengembang-ngembangkan hidungnya. Membuatkan Fahrin secara tak langsung terus rasa geli hati namun segera ditahan air mukanya.

Dahi Hana terus ditunjal.

"Kau rasa aku boleh terhibur ke dengan hidung kembang kau tu ha?" Soal Fahrin.

Hana mengekek. Fahrin pula menayang muka jeliknya sebelum terus beredar.

Di biliknya, Fahrin termenung seketika di birai jendela sebelum dia terpandangkan laci meja di biliknya. Lantas, langkah dilalukan ke situ sebelum laci itu ditarik.

Tatkala matanya terpandangkan sebuah bekas kecil di situ berserta sekeping sampul, Fahrin terdengar pintu diketuk.

"Fahrin Wildan?" Panggil Hana dari luar sebelum tombol pintu mula dipulas.

Fahrin memandang ke arah pintu, memerhatikan bayang Hana yang mula menapak masuk.

Hana berdiri sejengkal jaraknya dari Fahrin. Terus beberapa keping not RM50 itu dihulur.

"Bayaran bulan ini. Meskipun saya di sini tidak sampai akhir bulan, saya halalkan saja."

Fahrin melihat dua benda yang dihulurkan kepadanya itu. Wajah Hana yang masih menunggunya itu ditatap sejenak sebelum Fahrin menghela nafas kecil.

Duit itu diambil. Namun, yang Hana lihat, Fahrin kemudian dilihatnya mengambil sampul yang berada di dalam laci lalu duit tersebut diselitkan ke dalamnya.

Sampul itu dihulur kembali kepada Hana. Membuatkan Hana mengangkat keningnya tinggi sebelum mengambil sampul tersebut.

Apabila dibelek, sebeban not RM50 dan RM100 terletak di dalamnya. Hana mengeluarkan semuanya.

"Fahrin Wildan, ini semua duit sewa yang saya pernah berikankah?" Soal Hana sambil memandang Fahrin.

Wajah Hana dibalas pandang.

"Aku ada tambah. Buat belanja kau sendiri. Jangan merungut pulak tak ada duit nanti." Kata Fahrin.

Hana hanya menatap wajah Fahrin yang mula mengalihkan pandangan.

"Aku tak perlukan duit kau. Kau patut tahu kenapa."

"Saya tak tahu. Kenapa?" Soal Hana, polos.

Fahrin memandang Hana sebelum bercekak pinggang. "Kau rasa aku patut bagi kau duit ke kau yang patut hulur aku duit?" Soal Fahrin.

Hana diam sejenak, berfikir sesuatu sebelum tersenyum.

"Nafkah?" Soal Hana.

"Apa-apa jelah kau nak panggil. Dah, pergi sana. Ambil ni sekali."

Tiba-tiba Hana terasa satu kotak baldu kecil diletakkan di atas telapak tangannya. Riak Hana yang terkejut semakin berubah apabila melihat isinya.

"Jangan tanya kenapa. Aku bukan melamar. Cuma rasa kau patut dapat sebab kau tak pernah mintak benda mahal." Kata Fahrin yang tak langsung memandang Hana.

Hana melihat rantai leher emas tersebut. Seketika memandang wajah Fahrin, Hana lihat ekor mata Fahrin yang memandangnya. Cebikan kelihatan dari bibir Hana.

Pantas, Fahrin terus ditarik dalam pelukan eratnya.

"Terima kasih. Apa saja yang saya telah lakukan, halalkan semuanya." Ucap Hana.

Fahrin hanya memandang Hana demikian. Memang terasa utuh pelukan itu.

Ini, boleh dikatakan pelukan terakhirkah? Untuk sepanjang tempoh mereka ditakdirkan bersama, ini dikira pertemuan terakhir?

Mungkin ya. Sebab pelukan ini ada rasa lainnya berbanding sebelum ini.

Dan juga, manalah Fahrin tahu Hana tinggal di mana. Tak pernah-pernah pun dia bertanya Hana apatah lagi menjenguk sendiri rumah tersebut.

Hana yang masih erat memeluknya ditatap.

Hei, minah ni pun. Teruja sangat nak duduk sendiri tu dah kenapa? Selama ni, rumah ni tak cukup beri privasi ke apa?

"Aku bencilah kau peluk-peluk macam ni." Kata Fahrin setelah mematikan ayat-ayat dalam mindanya.

Hana mengangkat wajah, memandang Fahrin. Umpama tahu maksud sebenar, terus Hana mencapai tangan Fahrin lalu diletakkan ke atas kepalanya sambil tersenyum simpul. Atas sebab Fahrin selalunya menepuk-nepuk kepalanya sebelum ini.

Hana semakin merapatkan kepalanya ke dada Fahrin. Membuatkan dia sendiri dapat mendengar degupan tenang jantung lelaki itu.

"Duduk sorang-sorang tu perangai biar senonoh sikit. Biar serupa manusia."

Hana tertawa kecil.

"Baik, bos."

"Jangan jatuhkan semua barang."

Hana diam sejenak sebelum tersenyum kecil. Anggukan diberikan.

"Fahrin Wildan....?"

"Apa dia."

"Adakah mustahil untuk seseorang datang dalam hidup kamu dan mengubat hati kamu? Dan menjadi kisah cinta kamu seterusnya selepas Raihana?" Soal Hana.

Soalan itu jelas membuatkan Fahrin tak berkedip di situ. Sejenak, didengarnya Hana melontarkan soalan buat kesekian kali.

"Adakah pelik kalau saya katakan..." Sepi sejenak sebelum Hana menyambung. "...yang saya terlalu rasa selesa berada di rumah ini?"

Fahrin tak membalas. Hana juga tak berlengah, sempat mengukir senyumannya sebelum melepaskan pelukan.

"Terima kasih untuk ini." Ucap Hana sambil menunjukkan kotak baldu dan sampul itu sebelum terus berlalu.

Fahrin yang melihat bayang itu hanya berdiri begitu, hinggalah Hana hilang daripada pandangannya.

Jelingan sempat kelihatan daripada lelaki itu.

"Siapa suruh kau keluar." Ujarnya sendiri.

--------------------

SELENDANG di kepala dibetulkan. Rambut yang berjuntaian di dahi diselak ke belakang.

Malam tadi, dia sudah pun mengosongkan bilik itu, membawa barangan semua ke bawah. Senang diangkut ke dalam kereta nanti.

Langkah dilalukan ke bilik Fahrin. Lantas, pintu itu diketuk.

"Fahrin Wil-"

Terus pintu itu dibuka.

Hana melihat Fahrin yang berdiri di hadapannya kini.

"Mengapa kamu bersiap-siap begini?" Soal Hana apabila melihat penampilan kasual Fahrin itu.

"Bawa barang masuk kereta aku. Cepat." Berbaur arahan kata-kata itu. Fahrin kemudiannya terus berlalu.

"Eh? Tapi saya dah janji dengan kakak saya."

"Cakap je la kat dia tak jadi. Bisinglah kau ni." Kata Fahrin ketika menuruni tangga.

"Hmm, oklah jika begitu." Kata Hana. Segera dia mencapai telefonnya dan menghubungi Sarrah.

Tatkala dia melangkah ke ruang tamu kemudiannya, dilihatnya Fahrin sedang sibuk memunggah barang miliknya ke dalam kereta.

"Kenapa kamu tiba-tiba mahu menghantar saya? Baru dapat hidayah semalamkah?" Soal Hana.

Fahrin tak menjawab. Hanya jelingan diberikan.

"Pergi kunci pintu tu." Arahnya kemudian.

Hana yang mencebik hanya menurut. Usai itu, dia masuk ke dalam perut kereta.

Perjalanan yang pada mulanya sunyi kini mula diisi dengan bunyi lagu yang dimainkan di radio, berserta nyanyian Hana kemudiannya.

Fahrin di sisi sempat menjeling. Dan makin dibuat begitu, makin kuat Hana menyanyi.

"Bising la. Kau ingat kereta aku ni pusat karaoke percuma ke?" Soal Fahrin.

Hana hanya menyanyi terus. Entah dari mana dia tahu lagu-lagu Melayu semua ni.

Tiba-tiba rasa, dia terasa kepalanya ditunjal dengan kuat.

Hana tertawa. Terhibur tidak semena-mena. Dia kemudiannya menyanyi lagi.

Nyanyian itu hanya dibiarkan meresap ke segenap pendengaran Fahrin yang masih memandu akhirnya.

Bukan boleh dicegah dia ni. Makin dimarah, makin dibuat.

Kenapalah degil sangat, Fahrin pun tak tahu.

----------------

"BURUKNYA rumah."

Itu komen pertama yang keluar daripada mulut Fahrin ketika melihat rumah tersebut.

"Buruk lagi perangai kamu. Huh." Kata Hana yang mula mengeluarkan bagasinya.

Fahrin hanya menjungkitkan bibirnya. Matanya hanya memerhatikan Hana yang mula membuka kunci mangga rumahnya.

"Bantu saya bawa barang sampai ke dalam." Ujar Hana.

"Tahu la. Tak payah nak mengarah." Fahrin terus membawa kotak keluar dari keretanya.

Hana mengecilkan matanya sambil bercekak pinggang. Ketika Fahrin menoleh memandangnya, gaya penumbuk dituju ke arah Fahrin.

Fahrin hanya menjulingkan matanya ke atas. Malas melayan Hana. Terus dibawanya sampai ke hadapan rumah dan diletakkan di situ.

"Eh, mengapa di situ? Bawa masuk dalamlah." Ujar Hana dengan keningnya yang terangkat.

"Kau bawa sendiri masuk dalam. Aku nak cari air." Fahrin terus menanggalkan sandalnya dan masuk ke dalam rumah Hana, membiarkan Hana sendiri di muka pintu.

Pinggang dicekak sambil keningnya diangkat lebih tinggi. Ewah, lelaki ni. Banyak cantik!

"Dahlah masuk rumah perempuan. Tak bagi salam pula tu. Ish, tak malu betul. Jengkel sungguh saya dibuatnya." Rungut Hana sendiri yang mula mengangkat kotak itu.

Apabila kotak-kotaknya telah selamat berada di ruang tamu, Hana mula mencari keberadaan Fahrin sebelum dilihatnya bayang itu tiada pun di dapur.

Seketika dia menaiki tangga menuju ke tingkat atas, dia terlihat Fahrin yang sedang berada di bilik tidur utama, berdiri melihat kawasan sekeliling. Di tangannya terdapat segelas air masak sejuk yang dibawa sekali bersama.

Hana berpeluk tubuh.

"Kamu mahu buat apa? Mahu komen apa lagi?" Soalnya.

Fahrin yang menoleh memandang Hana kemudian terus mengambil langkah pergi.

"Nak komen apa bendanya. Dah terang-terangan semuanya buruk." Kata Fahrin.

Gelas tadi ditinggalkan di atas meja berdekatan, sengaja.

Hana menjeling sambil menjungkitkan bibirnya. Makin kuat mengutuk pulak lelaki aneh ni sejak dua menjak ini. Dia rasa dia sempurna sangat ke?

"Cepat kemas mana yang patut. Aku nak keluar makan." Kata Fahrin.

"Kenapa saya pula yang kena cepat kemas kalau kamu yang mahu keluar sendiri?" Soal Hana.

Fahrin menoleh. "Ada aku kata aku nak makan sorang?"

Kening Hana ternaik seketika. Berfikir sejenak, sebelum dia mula tersenyum sendiri.

Bayang Fahrin dibiarkan berlalu, barangkali mahu menunggu di kereta. Hana terus mula mengemas apa yang patut dengan nyanyian kecil.

Fahrin berjalan ke keretanya. Berdiri menunggu di luar kereta dan bersandar di pintu. Harapnya minah tu tak lama buat kerja kat dalam. Kalau tak, memang aku luku kepala dia sampai benjol.

Pandangannya terarah kepada sekeliling. Sempat juga dia bermonolog dalaman sendiri.

Buat apa la beli rumah besar, cantik macam ni. Kan duduk satu kepala je. Dia ni membazir betullah.

Ceh, baru nak kata cantik. Tadi bukan main kata buruk bagai depan Hana.

Fahrin menghela nafasnya.

Rumah Hana kali ni memang besar, tapi kosong betul. Bahagian tengah di segenap kawasan semuanya dibiarkan lapang. Sedangkan meja makan juga ditolak ke dinding. Usahkan itu, sofa dan meja kopi di ruang tamu semuanya dibawa ke dinding.

Rasa pelik juga sebab nak kata masih tak berkemas, rasanya semuanya dah cukup. Hana pun banyak kali beritahu dirinya bahawa rumahnya memang tersedia semuanya, dan sudah tersusun.

Sebab itu dia sengaja ke bilik utama Hana, melihat dekorasi bilik itu. Yang apabila dilihat, masih kawasan bahagian tengah bilik dibiarkan lapang. Katilnya juga terletak di tepi dinding. Dan lagi satu yang Fahrin tersedar, perabot semua bagaikan disusun di satu tempat yang sama. Saling bersebelahan dan rapat.

Citarasa pelik betul.

Lama mengomel sendiri, Fahrin merenung jam tangannya sekilas. Memang ada yang nak kena luku ni.

Bunyi deruman enjin kereta yang lalu lalang di kawasan depan rumah langsung tidak diendahkan. Sibuk pula Fahrin menahan panas di bawah mentari yang mula terik itu sambil dalam hatinya membebel.

Hanya satu kali itu, bunyi deruman enjin yang umpama menghampiri Fahrin itu membuatkan dia tertoleh kepada kereta tersebut. Namun, atas sikap tak pedulinya, dia kembali merenung jam sekilas.

Bunyi enjin kereta, kicauan burung dan semuanya, Fahrin tak peduli. Cuma satu suara itu, yang membuatkan Fahrin terhenti sejenak. Terkaku, tak berkutik langsung.

"Fahrin...!"

Sepantas itu, dia terasa tubuhnya didakap erat.

Fahrin yang masih berdiri kekal di situ, terpana. Hanya tiba-tiba, perkara lama, satu demi satu bermain-main dalam kepalanya.

"I love you, Fahrin. So much...."

"I m...minta maaf... Jangan tinggalkan I..."

Dalam dunia sebenarnya, terasa pelukan itu semakin kuat. Tidak memberi sedikitpun ruang buat mereka berpisah.

"Fahrin, I rindu you...." Terdengar nada yang bergetar apabila mengungkap itu.

"S... Sarrah..."

Hanya itu yang Fahrin mampu katakan di situ.

"I miss you so much... I'm sorry..."

Yang sebenarnya di ruang tamu, Hana yang tadinya teruja dan berlari-lari anak menuju ke arah Fahrin terus terhenti langkahnya.

Mata Hana tak berkedip melihat Sarrah yang erat memeluk Fahrin di depan matanya.

Mulut Hana bagai terkelu, bagaikan mahu mengungkap sesuatu namun tidak terkeluar.

"I sebenarnya memang ada sukakan seseorang ni. Lelaki Melayu."

"Oh, iakah? Sejak bila?"

"Bertahun-tahun dulu. Dan, cuba teka sesuatu."

"Apa dia?"

"Itulah saat yang I sedar, itu sebenarnya cinta pertama I."

Adakah.... Adakah?

"Mengapa kamu sukakan dia?"

"Sebab I yakin, kalau I bersama dia, I takkan terpukul dengan rasa dipulaukan keluarga sendiri, Hana. I ada dia, dia akan lindungi I."

Hana berjalan perlahan-lahan melangkah ke luar rumah dan mendapatkan mereka berdua.

Fahrin yang berasa kaget dengan kedatangan Hana lantas mengeraskan tubuh, menolak tubuh Sarrah. Mengambil jarak antara mereka berdua. Sarrah juga kemudiannya.

Sambil mengesat air mata yang hampir menitis, Sarrah mengukir senyumannya.

"Y..you tunggu adik I ke? You kenal adik I?" Soal Sarrah.

Hana tersenyum. Wajah Fahrin yang melirik kepadanya dipandang sekilas.

"Ya. Saya kenal Fahrin Wildan." Ujar Hana, begitu tenang.

"Oh? Serius?"

Hana mengangguk. "Kami pernah terserempak dahulu, ketika saya mencari kamu di sini. Dia membantu saya."

Sarrah menutup mulutnya, menahan rasa terkejutnya.

"Jadi, kalian memang dah lama kenal?" Soal Sarrah.

Hana mengangguk-angguk.

Fahrin tak membalas. Hanya matanya memandang Hana, cuba membaca reaksi wajah itu.

Adakah Hana rasakan sesuatu? Apa perasaan Hana? Semua itu bermain-main dalam fikiran Fahrin.

Cemburu, atau marah, Hana tidak rasakan itukah?

Namun, seketika teringat akan hubungan dan status mereka, serta diri Hana sendiri, Fahrin menolak bahawa Hana akan rasa terpukul dengan adegan tadi, dan pertemuan tak diduga ini.

"Ya. Kamu juga sudah lama kenal Fahrin?" Soal Hana, sengaja bertanya.

Sarrah mengangguk-angguk dalam rasa terharunya. Didekatkan Hana kepadanya lalu berbisik.

"Cinta pertama."

Hana mengukir senyumannya buat kesekian kali.

"Boleh agak." Katanya. Lengan kakaknya dicuit sambil dia berbisik. "Untunglah kamu!"

Sarrah ketawa kecil. Hana pula memandang Fahrin.

"Kamu masih ingat kakak sayakah? Burukkah dia sekarang macam yang kamu kata, huh?" Soal Hana yang memeluk lengan Sarrah.

Fahrin membuat muka jelik. Erk?!

Sarrah mengangkat keningnya. "Buruk?" Soalnya.

Hana memandang Sarrah. "Saya ajak dia berjumpa kamu untuk berkenalan sebenarnya, tapi dia kata kamu dan saya buruk pula." Ujar Sarrah.

"Hei...." Fahrin sudah mengetap bibirnya. Itu pun nak dicakap ke? Hadoilah!

Sarrah hanya tertawa di situ, tahu yang mereka berdua sedang bergurau.

"Jadi, em, Fahrin, you ada nak pergi mana-mana lepas ni?" Soal Sarrah.

Fahrin memandang Hana. Bertatapan agak lama dengan wanita itu.

"Nak keluar, dengan...."

"Saya rasa dia tiada apa-apa perkara mahu dibuat sekarang. Kalian patut luangkan masa bersama. Inikan pertemuan kalian kembali?" Potong Hana.

Wajah Fahrin jelas berubah. Sarrah pula sudah mengukir senyuman lebarnya. Hana kemudian memandang Fahrin sekilas dengan bahu yang diangkat.

Tangan Hana diraih Sarrah kemudiannya.

"Nanti I datang balik."

Hana mengangguk. "Hmm. Saya masuk dalam dulu. Selamat tinggal, Fahrin Wildan. Jumpa lagi." Hana terus berlalu ke dalam tanpa menunggu Fahrin.

Fahrin pula, hanya mampu memerhati Hana demikian sejak hilang dari bayangan. Sebelum kemudian dia terasa Sarrah memanggilnya.

"Boleh kita luangkan masa sekejap? I ada benda yang nak cakap dengan you." Kata Sarrah.

Fahrin kembali melihat Hana. Entah apa yang difikirkannya tatkala itu, Fahrin kemudiannya terus berlalu.

Hana di dalam, dari celahan pintu yang hampir dirapatkan, melihat dua kereta itu dipandu pergi. Pintu itu terus ditutup rapat sebelum Hana mengambil duduk di sofa berdekatan.

"I yang silap dulu, Hana. I uji dia dengan benda tak masuk akal sebab I nak tahu sejauh mana dia mampu bertahan."

"Tapi, kamu cintakannya."

"Sebab I tak pasti mungkinkah seseorang lelaki itu akan mencintai keluarganya, atau dia akan berhenti menyayangi macam Dad."

"Jadi, apa yang kamu fikirkan sekarang buat kalian?"

"I nak baiki semua kesalahan I. Supaya hubungan kami boleh jernih balik. I masih cari dia untuk betulkan keadaan."

Itu niat kakaknya, dia tahu. Maka sekarang inilah peluang buat kakaknya. Dan, sebagai adik, dia memang akan sepenuhnya menyokong kakaknya. Dia ikhlas akan ini.

Cuma, hatinya terasa sesuatu. Sesuatu seperti remuk redam. Ada satu harapan yang terasa hancur di situ.

Hana mengukir senyuman paksa. Loket pada rantai lehernya disentuh perlahan.

"Adakah mustahil untuk seseorang datang dalam hidup kamu dan mengubat hati kamu? Dan menjadi kisah cinta kamu seterusnya selepas Raihana?"

Loket itu digenggam erat.

Adakah selama ini dia memang cuma mengharap sendiri? Sengaja memanipulasi setiap perlakuan keras hati Fahrin kepada sikap ambil berat hanya kerana mahu menyedapkan hatinya sendiri?

Walhal, Fahrin sememangnya tiada perasaan padanya. Sedikitpun.

Fahrin ada Sarrah selain Raihana. Dalam hati Fahrin, pernah ada Sarrah.

Hana termenung jauh sambil duduk sendirian di situ.

"Mrs Hana, I know this might be not possible but you need to get your eyes a lot of rest from now on. You can't put pressure to your eyes anymore. Don't direct your eyes to sunlight, and avoid any other direct light. Torchlight or anything. Oh, and you'd get your helper by this week as you want."

Termenung jauh sambil mula mengukir gelak kecil.

"Mujur saja, Fahrin Wildan. Mujur saja semalam saya tidak berasa yakin untuk meluahkan sesuatu kepada kamu. Seolah-olah saya ada peluang untuk itu."

Mula mencipta genang di hujung matanya.

"Yang saya sudah jatuh hati pada kamu."

Hana menarik nafas dalamnya.

"Apakah yang saya fikir tentang semua ini? Bukankah saya sedia maklum tentang semuanya? Bukankah saya dah mengagak semuanya? Bukankah...."

Suara itu berubah rendah. Tatkala itu, air mata Hana terus menitis.

"Ya. saya patut tahu dia tak akan pernah memilih saya."

.
.

My heart pretends not to know our ends
Yes, hello, self-esteem
We should finally be free before you go.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro