Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Loving can hurt, sometimes
But that's the only thing that I know."
-Ed Sheeran
—————————-

JAM di dinding tepat menunjukkan waktu rehat sudah tiba. Raihana segera mencapai beg tangannya dan terus keluar dari bangunan tempat kerja tersebut.

Telefon pintar dicari-cari di dalam beg tangannya sebelum dia mengeluarkannya. Pantas, satu nama itu dicari.

"Hello, Fahrin. Awak dah sampai mana?" Kedengaran suaranya bercakap dengan seseorang di telefon itu.

"Ok. Saya tunggu awak." Katanya kemudian.

Talian dimatikan. Raihana mengambil keputusan untuk menunggu lelaki itu di bahagian lobi.

Sekian lama menunggu, dia tersedar ada yang mencuit bahunya.

"Hai!" Ucap satu suara di belakangnya.

"Lambatnya awak, Fah–"

Kata-kata itu termati apabila melihat lelaki di hadapannya.

"Raihana! Ingat saya lagi tak?" Soal lelaki itu, girang.

Raihana terpaku. Hampir saja dia jatuh terduduk di situ.

"A..awak buat apa kat sini? Macam mana awak boleh ada kat sini? M..mana awak tahu...?" Soal Raihana.

"Hmm, well, memandangkan dah tak ada alasan yang lebih munasabah, jadi, saya rasa jawapan yang tepat adalah, jenguk awak?" Soal lelaki itu.

Lelaki itu tersengih. Menampakkan baris gigi yang cantik tersusun.

Raihana menelan liurnya, melarikan pandangannya buat seketika, sebelum terlihat Fahrin yang sedang berjalan ke arah mereka.

"Sorry Rai, lama tunggu. Jalan sibuk tadi." Ucap Fahrin.

Raihana memandang Fahrin. "Tak, tak apa."

Fahrin menoleh, memandang pula lelaki itu. "Siapa ni?" Soalnya dalam senyuman.

"Ini..."

"Daniel. Kawan Raihana." Perkenal Daniel terlebih dahulu. Tangannya dihulur tanda mahu bersalaman.

Raihana memandang Daniel. Daniel memandangnya dengan senyuman, menampakkan lesung pipit yang tenggelam di kedua-dua pipi Daniel itu.

Kawan?

Oh, kawan.

"Fahrin. Boyfriend Raihana." Perkenal Fahrin tanpa segan silu. Tangan itu disambut.

Raihana menatap sekilas wajah Fahrin dan seterusnya beralih ke Daniel. Ingin membaca reaksi Daniel namun gagal.

Daniel mengukir senyumannya, seolah-olahnya berbesar hati apabila mendengar perkataan itu.

"Boyfriend? Wah, bagus, bagus. Handsome betul boyfriend awak ni, Raihana!" Daniel membelek-belek wajah Fahrin kemudiannya.

Fahrin membulatkan matanya, menarik wajahnya dari terus disentuh Daniel.

Apa kena mamat ni?

Daniel tersenyum dengan perbuatan Fahrin itu.

Bahu Fahrin ditepuk-tepuk sebelum Daniel mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Hmm, beruntung betul! Sado pun sado! Memang cukup pakej!" Komen Daniel sambil menaikkan ibu jarinya.

Fahrin melirikkan pandangannya kepada Raihana yang kelihatannya terpaku melihat perbuatan Daniel itu sebelum dia tergelak kecil.

Raihana memandang Daniel yang tersengih memandangnya.

Kenapa dengan Daniel? Kerana dia nampak lebih ceria berbanding dulu?

Selama beberapa tahun tak berjumpa, dia dah berubah sepenuhnya, kah?

"Bagus betul korang berdua ni. Sama cantik, sama padan. Bila nak kahwin?" Usik Daniel.

Raihana terdiam. Wajah Fahrin dilihat. Fahrin pula tersenyum.

"Secepatnya." Balas Fahrin.

Raihana menatap wajah Fahrin sekilas sebelum memandang Daniel, melihat reaksi itu buat kesekian kalinya. Cuba melihat kalau ada perubahan di wajah Daniel.

Namun, yang dia hanya lihat, Daniel malah tersenyum dan mengangguk-angguk faham.

"Fahrin, jom." Ajak Raihana, pantas.

Fahrin kemudian mengiringi gerak langkah Raihana, meninggalkan kawasan lobi, juga Daniel yang berada di situ.

Daniel yang melihat susuk tubuh yang berlalu itu mengukir senyumannya.

Sempat juga dia menoleh ke arah pekerja di kaunter perkhidmatan itu.

"Dia lawa betul, kan?"

---------------------------

"SIAPA dia tu?" Soal Fahrin ketika dalam perjalanan.

Raihana yang sedang mengelamun terus tersedar.

"Ka....kawan." Balasnya, sedikit lambat.

Entah kenapa, begitu sukarnya dia mengucapkan jawapan itu.

Fahrin ketawa kecil. "Awak yakin awak ada kawan macam tu? Pelik betul dengan dia." Ujar Fahrin.

Raihana hanya mengukir senyumannya sebelum hanya mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.

Ya. Sebab itu bukan kawannya.

Mereka lebih dari itu.

Raihana termenung.

Adakah Daniel datang untuk hal itu? Hal yang satu itu?

Setelah sekian lamanya, kenapa dia baru hadir sekarang?

-------------------

LEHERNYA diurut untuk menghilangkan lenguh. Jam di meja itu ditenung sekilas.

Kerja sampai larut malam memang memenatkan, bisiknya.

Dia merenggangkan tubuhnya sebelum mula mahu mengemaskan barangnya dan berlalu.

Setibanya di kawasan parkir, dia terus menuju ke keretanya.

Namun, tiba-tiba langkahnya terhenti apabila melihat Daniel yang sudah pun berdiri menunggu di sebelah keretanya.

"Hai?" Tangan kanannya diangkat separas bahu, tanda menyapa. Senyuman seperti biasa, terukir di wajah itu.

"A..apa awak buat kat sini? M...mana awak t..tahu kereta saya?" Soal Raihana.

Daniel tersengih. Pantas bahu Raihana dipeluk.

"Bukannya susah sangat pun, Puan Raihana." Balas Daniel, selamba.

Mendengar panggilan 'Puan' itu, serta merta riak Raihana berubah.

"Apa ni pegang-pegang? Ish." Tangan Daniel ditepis.

Daniel ketawa.

"Hantar saya balik, hmm?" Pinta Daniel.

"Kenapa saya kena hantar awak balik pulak?" Soal Raihana. Dia ni, kan!

"Sebab saya jalan kaki je tau datang sini. Lenguh satu badan." Daniel berpura-pura memicit lengan dan kakinya. Mulutnya sengaja dimuncungkan apabila berkata demikian.

Raihana mengerutkan dahinya.

"Dahlah. Saya nak balik." Kata Raihana, malas melayan Daniel.

Daniel tersenyum sebelum mula masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Raihana.

"Eh, siapa suruh awak masuk?" Soal Raihana.

Daniel memandangnya dengan senyuman. Selamba tali pinggang itu dipasang ketat. Dia membetulkan posisinya sebelum wajah Raihana dipandang.

"Jom?" Ajaknya.

Raihana mengetap bibirnya.

"Hish."

Lantas enjin kereta itu dihidupkan sebelum dipandu keluar dari pekarangan parkir itu.

Sepanjang dalam perjalanan, hanya Daniel yang banyak bercakap. Raihana hanya mendiamkan diri.

"Wah, selesa betul kereta awak ni, Puan Raihana!"

Raihana menjeling. "Jangan panggil saya 'Puan', la." Katanya, geram.

Daniel tersenyum, sebelum dia memandang sekeliling.

"Bila awak beli kereta ni, Puan Raihana?" Soal Daniel.

"Semalam." Balas Raihana, acuh tak acuh.

"Ye ke? Tapi nombor plat macam dah lama, Puan Raihana!" Sengaja Daniel melayan jawapan Raihana itu.

"Dah tahu nak tanya lagi." Gumam Raihana.

Daniel melihat kawasan luar.

"Kita nak ke mana pulak ni, Puan Raihana?" Soal Daniel yang memandang Raihana dengan senyuman kemudiannya.

"Balik rumah awaklah." Balas Raihana.

"Wah! Awak nak tidur rumah saya ke, Puan Raihana?" Soal Daniel.

"Saya hantar awak je, ok. Jangan merepek." Balas Raihana.

Daniel berfikir sejenak. "Tapi saya dah pindah, Puan Raihana."

Raihana memandang Daniel sebelum menghela nafasnya. "Awak tinggal mana?" Soalnya.

"Saya laparlah, Puan Raihana. Jom makan dulu." Ajak Daniel.

"Saya tak ada masa."

Bahu Raihana ditepuk.

"Takut kalau saya makan banyak, eh? Tak apa, Puan Raihana. Saya belanja kali ni, ok?"

Raihana memberhentikan keretanya.

Dia lantas memandang Daniel.

"Apa tujuan awak muncul balik sebenarnya? Awak nak apa dari saya?" Soal Raihana.

Daniel hanya memandang Puan Raihana, dengan secalit senyuman di bibirnya.

Raihana mengetap bibirnya, menahan marah. Sebelum dia terdengar bunyi hon dari belakang.

Daniel menoleh belakang sekilas sebelum memandang Raihana dengan senyuman lebarnya.

"Puan Raihana, nampaknya kereta belakang dah marah." Katanya dalam senyuman itu.

Raihana menjeling sebelum dia memandu kembali.

Entah betul ke tak si Daniel ni. Lama tak berjumpa, otaknya dah biul agaknya.

"Saya tahu tempat mana yang sedap, Puan Raihana. Tak silap saya, hmm, dekat-dekat sini jugak." Kata Daniel, seolah-olah tak memahami amarah wanita itu.

"Awak kalau nak makan, saya tinggal. Saya tak ada masa nak teman." Ujar Raihana.

"La, kenapa macam tu pulak, Puan Raihana? Kan saya nak belanja?" Soal Daniel dengan senyumannya.

"Saya sibuk."

Daniel tersenyum sebelum mendekatkan tubuhnya kepada Raihana, dan melagakan bahu itu dengan bahu Raihana.

"Sibuk dengan Mr. Fahrin ke?" Usik Daniel.

Raihana menjeling.

"Jangan sibuklah."

Daniel semakin melebarkan senyumannya. Bertambah lebar apabila terfikir sesuatu.

"Puan Raihana, Apa kata kalau saya tapau makanan balik rumah awak lepas tu tidur sana malam ni?"

Mata Raihana membulat.

"Gila ke? Mana boleh!" Ujar Raihana.

"Kenapa? Takut kena tangkap basah ke?" Usik Daniel.

Raihana mendiamkan diri. Bibirnya diketap kuat.

Ikut hati, kena tendang keluar kereta jugak si Daniel ni.

"Rumah awak mana? Cepat saya hantar." Katanya, tak mahu berlengah lagi.

"Oh, awak nak masakkan untuk saya ke?" Soal Daniel.

"Mana adalah! Saya tanya sebab saya nak hantar awak je, faham?" Ujar Raihana.

"Ala, Puan Raihana, saya lapar ni. Nanti mati kebulur saya, tau? Tak kesian ke, hmm?" Soal Daniel.

Raihana memandang wajah Daniel sekilas. Daniel sengaja menayang wajahnya kepada Raihana dan mencebik.

Raihana menjeling. Ingat comel la tu?

Setibanya di lampu isyarat, Raihana mengambil pandang luar tingkap. Hanya termenung jauh di kala itu. Manakala Daniel pula sedang asyik bersiul kecil.

Tak lama selepas itu, dia terdengar sayup-sayup bunyi lain dari Daniel.

Krukk, krukk..

Segera dia memandang Daniel.

Daniel menyeringai sambil memegang perutnya. "Sorry. Hehe."

Raihana mengalihkan pandangannya.

Dia ni, buat apa sepanjang hari sampai tak makan? Diet ke apa?

Hish. Masalah betul.

Raihana memusingkan sterengnya, terus masuk ke suatu simpang.

"Puan Raihana, rumah saya tadi sepatutnya jalan lurus je. Lupa nak cakap tadi. Hehe." Daniel tersengih.

Raihana hanya menjeling tanpa menjawab apa-apa.

Daniel tak bersuara demikian. Hanya bersiul kecil sambil memegang perutnya.

Memang dia tengah lapar yang tahap ekstrem sekarang ni.
Dalam hatinya, sedang berfikir akan apa makanan segera yang boleh dibedalnya di rumah nanti.

Sedang mengelamun, tiba-tiba kereta Raihana itu meluncur masuk ke kawasan parkir dan berhenti.

Daniel memandang papan tanda besar yang tertera di depan matanya.

Dia memandang Raihana yang hanya membuat muka tegangnya, tanpa reaksi.

Seketika kemudian, Raihana memandangnya pula.

"Apa? Tadi lapar sangat, kan?"

Daniel tersenyum girang.

"Sweetnya awak, Puan Raihana!" Lantas tangannya mahu mencuit dagu Raihana.

"Ha, berani pegang! Nampak ni?" Raihana mengepal penumbuknya.

Daniel segera merapatkan dua tangannya.

"Sorry, Puan Raihana!" Senyuman itu diukirkan tatkala mengucapkan kata-kata itu.

"Jom?" Ajak Daniel selepas itu.

Raihana menghela nafasnya sebelum mematikan enjin keretanya dan berlalu keluar.

---------------------

RAIHANA mula melihat jamnya setelah sekian lamanya.

"Puan Raihana nak apa?" Soal Daniel yang sibuk melihat menu itu.

"Awak nak tenung menu tu sampai bila? Tahu tak, dah dekat setengah jam awak menghadap menu tu?" Soal Raihana, menahan sabar.

Daniel menutup buku menu itu sebelum tersenyum. Tangannya diangkat, memanggil pelayan.

"Saya nak nasi goreng biasa dengan air kosong suam." Pesan Daniel.

Mata Raihana membuntang luas.

"Itu je awak nak pesan?!" Soal Raihana. Suaranya sedikit meninggi, tak mempedulikan pelayan yang sedikit terkejut dengan nada suaranya itu.

Daniel mengangkat bahunya sambil tersenyum melihat Raihana yang mula memeluk tubuh, tanda marah. Mukanya semakin tegang daripada sebelum ini.

"Bagi jus tembikai satu." Kata Daniel.

"Itu saja?"

"Yupp." Balas Daniel.

Raihana memandang Daniel.

Dia masih ingat aku suka apa? Maksud aku, dia tahu aku suka apa?

"Kenapa? Tergoda ke dengan ketampanan saya harini?" Soal Daniel yang menongkat dagunya sendiri.

"Apa? Siapa yang tergoda?" Soal Raihana. Tiba-tiba betul.

"Jangan malu-malu, Puan Raihana. Saya..."

"Stop calling me that, would you?" Potong Raihana.

"Kenapa? Kan betul awak Puan Raihana? Ke tak betul?" Duga Daniel.

Raihana mengetap bibirnya sebelum menjeling.

Daniel tersenyum kemudiannya.

"Comelnya Puan Raihana bila buat muka marah-marah." Kata Daniel.

"Kan saya kata, jangan panggil saya 'Puan'. And, saya tak buat-buat marah tapi saya memang tengah marah. Jadi, baik diam." Ujarnya.

"Tapi panggilan tu sesuai dengan awak, Puan Raihana." Balas Daniel.

"Eh, awak ni dah buang tebiat, eh?" Soal Raihana dalam sindirannya.

Daniel ketawa kuat. Membuatkan meja mereka menjadi perhatian pelanggan di situ.

"Hish, diamlah sikit! Apa yang lawaknya?" Soal Raihana, geram. Matanya dibulatkan.

"Muka saya nampak macam buang tebiat ke?" Soal Daniel dalam tawanya.

"Haah. Nampak macam nak mati kena penyepak saya." Balas Raihana sambil menjeling.

"Mesti sakit kan, Puan Raihana? Hurm. Tapi saya rasa tak adalah sampai mati. Boleh ke mati?" Sengaja Daniel berteka-teki.

Raihana hanya melirikkan pandangan kepada Daniel. Beberapa ketika, dia membiarkan suasana itu berubah sepi.

Nafas dihela kemudiannya.

"Awak ada apa sebenarnya nak jumpa saya?" Soal Raihana.

"Hmm? Kenapa?" Senyuman Daniel diukir tatkala bertanyakan soalan itu.

"Takkan tiba-tiba je awak nak jumpa saya. Dah lima tahun tak jumpa. Mesti ada sebab." Balas Raihana.

Daniel kembali menongkat tangannya ke dagunya. Memerhatikan wajah Raihana itu.

"Hmm, lama jugak tak jumpa awak. Makin cantik." Puji Daniel.

"Jangan nak membodek la. Ada apa sebenarnya?" Soal Raihana, tak mahu berdalih lagi.

Daniel menghalakan jari telunjuknya ke wajah Raihana. Digerak-gerakkan jarinya di hadapan Raihana itu.

"Hmm, cantik. Kat sini, cantik. Ini pun, cantik." Puji Daniel akan satu persatu anggota wajah Raihana.

"Saya tak main-main, Daniel." Raihana mula bosan dengan sikap Daniel itu.

"Eh, makanan dah sampai!" Daniel kemudian terus kemudian membaca doa apabila makanan itu tiba. Sempat juga dia memandang Raihana yang hanya memandangnya dengan pandangan bosan.

"Oh, lupa pulak Puan Raihana. Ini untuk awak. Mesti haus marah-marah tadi,kan?" Soal Daniel sambil menolak segelas jus tembikai buatnya itu.

Raihana tak menyambut. Hanya berpeluk tubuh, memandang Daniel yang mula menyuap makanan itu ke dalam mulutnya.

Tiada apa yang berubah pada Daniel, menurutnya. Cuma Daniel mengalami sedikit susut pada badannya. Atau mungkin juga dia yang tersalah pandang akan perubahan itu, sebab dia pun mana ingat akan figura badan Daniel dahulu.

Tapi sebenarnya bukanlah susut cuma, lebih berbentuk. Sado, kata orang. Sebab Daniel dulu boleh dikategorikan sebagai sangat berisi orangnya.

"Saya nak kahwin." Kata Raihana, menghentikan suapan Daniel seketika.

Daniel mengangkat wajahnya, memandang Raihana dengan senyuman.

"Dengan Mr. Fahrin ke? Wah!" Ujarnya, teruja.

"Daniel, saya tak main-main."

Daniel hanya tersenyum sebelum menyambung suapannya, sebelum Raihana melarikan pandangannya seketika, menarik nafasnya.

"Tiga tahun lepas, rasanya awak dapat mesej saya. " Ujar Raihana.

Wajah Daniel ditenung. Raihana berpeluk tubuh.

Raihana tersenyum sinis. "Kenapa awak yang macam nak larikan diri? Dulu rasanya awak yang beriya. Pelik." Soalnya, seperti menyindir.

"Hmm? Kenapa?" Soal Daniel.

"Jangan buat-buat tak tahu. Awak mesti dah baca mesej saya." Balas Raihana.

Daniel berpura-pura berfikir. "Hmm, saya terlupa nak baca, kut. Atau, nombor tu dah tak digunakan lagi. Saya ada beli nombor baru waktu tu." Balas Daniel.

Raihana mengerutkan keningnya, Mustahil. Mesej tu dah delivered.

Belum sempat dia mahu bertanya lanjut, dilihatnya Daniel telahpun menegakkan tubuhnya.

"Saya dah kenyang!" Katanya sedikit kuat, menarik perhatian pelanggan buat kesekian kalinya.

Raihana melirikkan pandangannya kepada beberapa mata yang memerhati mereka.

Ish. Masalah betul la. Memalukan betul!

Dia melihat pula pinggan Daniel yang masih berbaki sebahagian besar itu.

Tadi macam lapar sangat. Lepas tu, dapat makanan, sikit pula yang dikuisnya.

Dia ni memang sengaja nak buang masa aku!

"Dahlah. Cepat masuk kereta."

Daniel menaikkan ibu jarinya. "Ok! Terima kasih!" Dia lantas keluar, meninggalkan Raihana yang masih duduk di situ.

Sebelum Raihana mula teringat. Terima kasih? Kenapa pulak?

Dia menoleh, memandang Daniel yang melambaikan tangan kepadanya sebelum terus ke kereta.

Raihana membentakkan kakinya. Ish, tak guna betullah! Dia yang memandai order, aku yang kena bayar!

Bibirnya diketap kuat. Silap haribulan, boleh berdarah. Tapi dia memang betul-betul geram!

Ketika menuju ke kaunter dan mahu membuat bayaran, sempat dia menjeling Daniel yang tersengih memandangnya di luar restoran itu.

Kurang diajar betul.

Dia terus keluar kemudiannya.

"Dah, pergi balik sendiri. Saya taknak hantar awak balik." Ujar Raihana, beku.

Daniel memandangnya dengan senyuman, sebelum tangannya ditadahkan.

Raihana membalas pandangannya. "Nak apa?" Apa masalah entah lelaki depan dia ni.

"Kunci kereta." Balas Daniel dalam senyuman itu.

"Pergi balik sendiri."

"Kalau tak, tak boleh masuk, Puan Raihana!" Tangannya didepangkan, menghalang Raihana untuk masuk ke dalam keretanya itu.

Raihana menolak tangan Daniel. Bergelut mereka seketika di situ, tanpa mempedulikan orang yang memandang mereka. Sebelum Daniel mula memegang kejap bahu Raihana, mematungkan Raihana.

Raihana memandang wajah Daniel dengan penuh rasa meluat, sebelum terlihat sesuatu yang digoncangkan di hadapannya. Kunci kereta Raihana sendiri.

Matanya membulat. Daniel sudah tersengih.

Pantas, Daniel masuk ke dalam kereta itu, di bahagian pemandu. Enjin kereta dihidupkan, sebelum tingkap kereta diturunkan.

"Puan Raihana tak nak masuk ke? Nak jadi penyambut pelanggan ke?" Soal Daniel yang tersengih kemudiannya.

Raihana mengepal penumbuknya sebelum hanya menurut dengan perasaan yang membara.

Daniel hanya bersiul girang kemudiannya. Sebelum kereta terus dipandu melepasi kawasan itu.

Wajah Raihana ditenung sekilas. Makin mencuka nampaknya wanita itu.

Daniel terus bersiul.

---------------------------------

"KENAPA awak berhenti kat sini?" Soal Raihana yang mula memandang sekeliling.

"Oh? Tadi kan awak suruh balik?" Soal Daniel, sengaja membuat muka tertanya-tanya.

" Masalahnya, Ini kawasan rumah saya. Itu apartment saya. Awak ni dah kenapa?" Soal Raihana.

"Wah! Kebetulan la! Saya pun tinggal kat sini!" Ujar Daniel.

Raihana mengerutkan keningnya. "Apa?"

Daniel menayang giginya. "Tak sangka kita berjiran, kan? Kan?"

"Awak stalk saya sebenarnya, kan?" Soal Raihana. Walaupun dia memang tak selalu beramah dengan jiran-jiran, tapi dia kenal juga penghuni-penghuni di situ.

Dan pastinya, nama Daniel tak pernah disebut-sebut, malah mungkin takkan pernah ada dalam senarai penduduk pun. Batang hidung pun tak pernah nampak.

Hatinya yang sebal makin bertambah geram dengan perangai Daniel itu.

"Eh, mana ada. Tak baik Puan Raihana menuduh saya." Ujar Daniel.

Raihana mendiamkan diri, berpeluk tubuh. Sumpah tak dapat terima semua ni. Sumpah.

Daniel menarik dagu Raihana, membawa wajahnya untuk memandangnya. Berkeras juga Raihana mematungkan diri.

"Pandanglah sini. Sekejap je, hmm?"

Raihana memandang Daniel dengan ekor mata. Sebelum kemudian, dia beralah. Wajahnya ditayangkan kepada Daniel.

Daniel membelek-belek wajah Raihana.

"Bagus, makin cantik. Makin lawa. Nampak sihat." Puji Daniel.

"Dahlah." Tangan Daniel ditepis. Namun sememangnya tak berhasil mengalihkan tangan Daniel yang sasa itu.

"Awak tahu kan, yang awak tak boleh kahwin?" Tenang Daniel berkata itu.

Raihana memandang Daniel. Suara yang seperti berubah itu membuatkan Raihana terpana seketika.

Pipi Raihana diusap sebelum Raihana dipeluknya. Mengejutkan Raihana buat kesekian kalinya.

"Kenapa awak lama sangat pergi?" Soal Daniel, seperti berbisik halus. Suaranya kian berubah, tak segirang sebelum ini.

Raihana terpaku.

Daniel terus memeluknya. Mengusap lembut kepala Raihana. Pelukan itu dieratkan, bagaikan melepaskan rindu yang telah bersarang.

"Awak yang taknak saya. Jangan buat-buat lupa." Ujar Raihana, cuba dikeraskan hatinya. Pelukan itu langsung tak dibalas.

Daniel terdiam seketika. Tak lama kemudian, Daniel melepaskan pelukan itu sebelum memandang wajah Raihana, dengan senyuman. Dagu Raihana dicuit.

"Janganlah serius sangat, hmm?" Ujar Daniel dalam senyumannya sebelum dia mula memusingkan badannya, mahu keluar dari perut kereta itu.

"Em, by the way..."Daniel menjenguk dashboard, mencari-cari sesuatu sebelum dia terlihat sekeping kertas kecil terselit di situ.

Dia lantas mengeluarkan pen dari poketnya dan menulis sesuatu. Raihana hanya memerhatikan dengan ekor matanya.

Daniel menyerahkan kertas itu kepada Raihana. "Nombor baru saya. Baru tukar."

Raihana tak menyambut. Daniel yang tersenyum hanya meletakkan kertas itu semula dia dashboard kereta itu.

Tangannya ditadahkan.

"Apa?" Soal Raihana.

"Nombor baru Puan Raihana. Baru tukar tahun ni jugak, kan?"

Raihana memalingkan tubuhnya. "Cepatlah keluar."

Daniel mengukir senyumnya lagi.

"Eh, sekejap. Macam mana awak tahu saya...?"

"Huwahh! Mengantuknya! Saya nak naik dulu, eh?" Pinta Daniel yang mula memusingkan badannya, membuka pintu kereta itu, memotong soalan Raihana.

"Oh, sekejap. Terlupa." Secepat itu, satu kucupan di dahi Raihana dilepaskan sebelum Daniel terus keluar.

Raihana tergamam. Bayang yang berlalu pergi itu sempat melambainya sebelum dia mula melangkah pergi.

Dia bersandar di kerusi kereta itu.

Tak guna. Dia memang sengaja tak datang! Mesej tu dia dah baca dah pun! Tak ada maknanya tukar nombor masa tu!

Raihana memejamkan mata, meletakkan lengan di atas dahinya.

Mengingati kisah lepas yang berlaku pada dirinya, lima tahun lepas.

"Saya tak rasa saya mampu untuk kahwin macam ni, Raihana. Saya tak tahu sama ada saya mampu hidup dengan awak atau tak."

"Jadi, awak fikirkan apa? Cerai? Macam tu?"

"Hmm."

"Kenapa awak tiba-tiba fikir macam ni? Hanya sebab keluarga kita suruh kita hidup sendiri, sekarang awak dah fikir yang awak tak mampu tanggung saya lagi?"

"Maaf, Raihana."

"Awak tak ada perasaan apa-apa pada saya ke?"

"Saya cuma tak mampu hidup dengan awak."

"Sebab awak tak suka saya? Tak mampu sayangkan saya yang baru kenal dengan awak ni? Kenapa awak baru cakap pasal semua ni?"

Dia teringat jua kejadian yang berlaku beberapa hari selepas itu.

"Saya dah buat keputusan. Kita takkan bercerai dalam masa terdekat ni. Mungkin, kita patut berpisah buat sementara dulu."

"Nikah gantung, maksud awak?"

"Hmm. Saya taknak benda ni nampak sangat depan keluarga kita buat masa sekarang."

"Apa?"

Peristiwa lima tahun lepas mula bermain dalam mindanya. Mengingatkannya satu persatu akan detik perpisahan itu.

Ya. Dia mengaku. Perkahwinan yang terbina pada lima tahun lepas itu adalah saat mereka berdua hanyalah tangan kosong, tanpa harta. Bukan seperti sekarang.

Penyatuan itu juga, bukan kerana rela hati, tapi hanyalah atas permintaan keluarga.

Dan, dia mengaku juga, walaupun memang niat asal Daniel untuk berpisah, namun dia terlebih dahulu membuka langkah pergi dari hidup Daniel.

Tak mampu menerima kenyataan bahawa Daniel sanggup memperjudikan perkahwinan dengan cara begitu.

Daripada dia berhempas pulas untuk mempertahankan rumah tangganya sedangkan Daniel sudah pun lama mengalah, lebih baik dia sendiri membawa diri. Membiarkan rumah tangga yang hanya sempat berlangsung selama kurang seminggu itu, tergantung tanpa sudahnya.

Liur itu ditelan pahit.

Kita sepatutnya dah betul-betul bawa haluan sendiri sejak tiga tahun lepas, bisik Raihana sendiri.

Dia memandang ke arah luar tingkap.

Apa yang awak mahukan sekarang, Daniel?

-------------------------

DI DALAM rumah itu, Daniel asyik membelek-belek gambar yang berbingkai itu.

"Cantik dah awak sekarang." Katanya, sambil mengusap perlahan wajah di dalam gambar perkahwinan itu.

Daniel mencapai pula surat yang sedari tadi diletakkan di atas meja sebelah bingkai gambar itu. Lalu dibacanya baris demi baris.

Untuk Daniel,

Saya cuba faham situasi kita, tujuan kita hidup bersama, dan saya cuba dalami jiwa awak. Tapi, keputusan awak buatkan niat dan kata hati saya mula berubah.
Saya taknak bertanggungjawab atas rasa sakit hati saya di atas ketidaksediaan awak sendiri.

Jadi, sebelum saya terasa lebih sakit hati bila awak tinggalkan saya, ada baiknya saya yang pergi dulu.
Bila saya dah bersedia, saya akan cari awak balik untuk proses penceraian kita.

Selagi tu, jangan cari saya lagi, sampai bila-bila.

Maaf, untuk semuanya.

—Raihana.

Kertas yang masih disimpan kemas sejak lima tahun lalu dilipatnya kembali.

Telefon pintarnya dicapai, lalu mesej pesanan ringkas yang disimpan dalam 'Archieve' dicari dan dibuka.

'Let's discuss our divorce. Saya tunggu awak hujung minggu ni pukul 3.'

Mesej tiga tahun lepas itu dibaca berulang-ulang kali.

'Jangan buang masa saya. Please come. Wouldn't take much time, though.'

Daniel menutup telefon pintarnya.

Gambar itu ditatap buat kesekian kalinya. Seolahnya membayangkan kalau wajah itu benar-benar berdiri di hadapannya kini.

"You're getting tougher, aren't you?" Soal Daniel.

Dia duduk di lengan sofa itu sebelum menghela nafasnya.

A lot stronger than I ever expected.

Senyuman diluahkan kemudiannya.

"Baguslah."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro