Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"You say my name like you know my dark side,
Can't beat the taste of the tears that I cried."
-Ellie Goulding

—————

KETIKA dia membuka pintu rumahnya, kelihatan Daniel sudah memandangnya dengan senyuman yang tertayang di bibirnya.

"Selamat pagi, Puan Raihana!" Ucap Daniel.

Raihana segera menutup pintu rumahnya, kuat. Bersandar refleks di belakang pintu.

Macam mana dia tahu tempat aku yang ini?!

"Puan Raihana! Ooo, Puan Raihana!" Panggil Daniel.

Raihana menutup telinganya. Kenapa memekak pulak mamat ni pagi-pagi macam ni?!

"Puan Raiha...na..." Berlagu-lagu Daniel memanggil namanya.

Tak tertahan lagi, Raihana membuka pintu itu kasar.

"Awak ni kenapa, hah? Datang rumah orang, memekak sana sini. Tak malu ke?" Soal Raihana.

Daniel tersengih. "Nak malu apanya, Puan Raihana? Semua orang dah pergi kerja." Balas Daniel.

Raihana merenung jamnya sekilas sebelum memeluk tubuhnya. "Nak apa?"

"Janganlah marah, Puan Raihana. Muka berkerut tu macam cencurut dah." Usik Daniel.

Raihana mengetap bibirnya. Segera dia keluar dan mengunci pintu sebelum dengan marahnya menuju ke lif.

"Alololo, marah ke, Puan Raihana? Marah ke?" Soal Daniel. Bahu Raihana dicuit-cuit.

Raihana memusingkan badannya.

"Jangan ikut, boleh tak?" Soal Raihana.

Daniel yang turut berhenti berfikir sejenak. "Hmm, boleh ke tak, ya?"

"Pergilah tempat kerja awak sana!" Raihana terus masuk ke dalam lif.

Daniel masih mengikut Raihana ke dalam lif itu.

Di dalam lif itu, Daniel bersiul-siul gembira. Semakin lama, semakin kuat siulnya. Apabila menyedari Raihana memandang wajahnya, lantas dia menayangkan giginya.

Raihana menjeling. Jengkelnya dia ni!

Setibanya di tempat parkir, Raihana berjalan dengan pantasnya menuju ke keretanya dan terus masuk. Pintu kereta dikuncinya pantas.

Daniel yang hanya berdiri di luar, mengukir senyumannya. Sebelum tingkap kereta itu diketuk.

Raihana pantas menghidupkan enjin keretanya. Tak mahu melayan Daniel lagi.

Ketukan itu semakin kuat. Akhirnya, Raihana menurunkan tingkap keretanya.

"Nak apa lagi?" Soal Raihana.

"Puan Raihana tak wish saya 'Good Morning' pun?" Soal Daniel.

"Wish la diri sendiri." Balas Raihana, acuh tak acuh.

Daniel memuncungkan mulutnya. "Ala, wish la sekali."

"Saya tak ada masa. Kalau awak memang tak ada benda penting nak dicakap, pergi sana."

"Hmm, pergi sana? Maksud awak, tempat kerja awak? Lunch nanti saya datang, ok?" Ujar Daniel yang kemudian berundur pergi.

Mata Raihana membulat.

"Hei, bukanlah! Daniel!"

Daniel sempat menoleh ke arahnya, sebelum mengangkat tangannya dan melambai-lambai. Lantas, dia menuju semula ke lif itu dan terus menghilang di balik pintu lif.

Raihana bersandar seketika. Memejamkan matanya. Pening betul dibuatnya.

Ya Tuhan, sabarkanlah hamba-Mu ini. Jangan sampai ada yang hilang gigi nanti.

------------------------------

SEDANG dia sibuk dengan kerjanya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya, menandakan mesej yang masuk.

'Jangan lupa lunch nanti okay, Puan Raihana? ;)'

Mata Raihana membulat. Mana dia tahu nombor baru aku ni?!

Tatkala itu, dia dikejutkan pula dengan panggilan dari nombor yang tak dikenali.

Ni mesti si malaun tu! Bisik hati Raihana.

"Nak apa? Jangan kacau boleh tak?" Soal Raihana.

"Hok aloh, Puan Raihana marah!" Usik Daniel di hujung talian.

"Saya tak main-main."

"Saya datang waktu lunch nanti, eh?"

"Tak payah!"

"See you, tau!"

"Hish!"

Raihana mematikan taliannya. Kemudian nombor itu muncul lagi, menghubunginya.

"Awak nak apa lagi?" Soal Raihana, hilang sabar.

"Janganlah cepat sangat letak. Tak puas lagi dengar suara Puan Raihana, tau?" Ucap Daniel.

"Sekarang dah dengar, kan? So, boleh tak awak buat kerja awak sendiri sekarang?" Soal Raihana.

"Nanti jumpa waktu lunch, okay?"

"Takde siapa nak jumpa awak, tau tak?"

"Tapi saya nak jumpa Puan Raihana. Hmm, terlupa dah muka dia macam mana."

"Jangan merepek boleh tak?"

Talian tu dimatikan. Raihana mengetap bibirnya, cuba mengumpul kesabaran.

Tak lama kemudian, telefon berbunyi lagi.

"Saya dah kata, saya taknak jumpa awak. Awak faham tak ni?" Suara kasar Raihana mula kedengaran.

"Em.. Rai?"

Mata Raihana membulat. Mulutnya ditekup, menahan terkejut.

"F—Fahrin?"

"Awak ok? Siapa buat awak marah ni?" Soal Fahrin.

Raihana mengetuk-ngetuk kepalanya. Kau ni pun, kenapa tak tengok dulu nama? Main angkat je. Alahai.

"T..tak ada apa-apa. Tadi client tu, menggatal sangat. Saya marahlah." Dalih Raihana.

Fahrin tertawa kecil. "Nak pergi lunch sama-sama? Saya free hari ni." Ajak Fahrin.

Raihana terdiam seketika sebelum berfikir.

"Lunch nanti saya datang, okay?"

Mana boleh biarkan mereka berdua bertembung. Daniel yang tak betul tu mana boleh dijangka. Silap haribulan, Fahrin boleh syak wasangka.

"Er, harini saya tak free, Fahrin. Sorry." Ucap Raihana. Walaupun jauh di sudut hati, memang dia teringin sangat mahu keluar bersama Fahrin. Bukan senang nak cari masa berdua. Masing-masing memang selalu sibuk.

Ini semua salah Daniel. Tak guna.

"Oh, yeke? Hmm, tak apalah. Kalau macam tu, lain kali je." Ujar Fahrin, kedengaran hampa pada nada suaranya.

"Sorry." Ucap Raihana, rasa bersalah.

"Tak apa. Awak kerja baik-baik, okay? Jangan suka marah-marah. Tak elok untuk kesihatan." Pesan Fahrin.

Raihana tertawa kecil. "Tak adalah. Awak pun, jaga diri, okay?" Pesan Raihana.

"Okay then. See you later, baby girl."

Raihana tersenyum. "Okay then."

Talian dimatikan. Mendengar suara Fahrin, dan mengingatkan perangai penuh kematangan itu, membuatkan Raihana cukup tenang sendiri.

Sebelum ketenangannya diganggu oleh satu suara di hadapan pintu.

"Hello, Puan Raihana!" Kedengaran girang bunyi itu.

Raihana membeliakkan matanya. Spontan, dia berdiri, memandang Daniel yang sedang mendekatinya itu.

"Awak ni gila ke? Kenapa sampai datang office saya?" Soal Raihana. Ternaik suaranya.

"Um, saya lalu je tadi. Lepastu, saya terdengar ada bisikan kata, 'Daniel, datanglah sini.' Bila diteliti, rupanya itu suara Puan Raihana. Jadi saya pun masuklah dalam." Bersungguh Daniel bercerita, macamlah betul.

Raihana mengecilkan matanya. Bibirnya diketap. Mahu meledak tapi nanti apa kata orang-orang kat luar tu.

"Awak ingat lawak ke? Keluar sekarang sementara saya ada tolak ansur ni." Halau Raihana dengan suara rendahnya itu, tak mahu didengari pekerja yang sibuk lalu-lalang di hadapan biliknya.

Daniel mengukir senyuman lebarnya.

"Nah." Sekuntum bunga mawar itu diserahkan kepada Raihana.

Raihana memandang Daniel dan bunga itu, silih berganti.

"Ambillah. Saya belanja. Semalam kan awak belanja saya makan." Ujar Daniel.

Raihana menjeling.

"Masalahnya semalam tu awak paksa, tau tak?" Balas Raihana.

Daniel ketawa sebelum tangan Raihana ditarik dan ditadahkan. Bunga itu bertukar tangan.

"Sama-sama." Ucap Daniel. Umpama Raihana mengucapkan terima kasih kepadanya.

Raihana menjeling. Bunga itu dicampak tepi ke atas meja sebelum Raihana duduk dan menyambung kerjanya. Tak mahu melayan Daniel.

Daniel, dengan selambanya, menarik kerusi dan duduk di hadapan Raihana.

Dagunya ditongkat, memerhatikan Raihana yang tekun berkerja itu.

Raihana memandang Daniel sekilas. Menjeling sebenarnya.

Dia ni tak kerja ke? Ke dah hilang kerja?

Kalau melihatkan dari penampilan Daniel, macam tak. Tapi macam ya pun ada juga.

Mengingatkan tempat tinggal Daniel pula, rasanya mustahil. Kos penempatan apartment bukannya murah. Kalau hilang kerja, siapa pulak nak bayar.

Jangan dia suruh aku yang bayarkan, sudah. Melayang jugak fail-fail ni kat kepala tu nanti.

Tapi sejak bila dia tinggal situ?

"Puan Raihana." Panggil Daniel dalam senyuman itu.

Raihana mendiamkan dirinya. Berpura-pura menyibukkan diri. Malas mahu melayan Daniel yang dirasakan sangat menyebalkan.

"Puan Raihana..." Panggil Daniel buat kesekian kalinya.

Raihana masih begitu. Memfokuskan pandangannya pada skrin komputer itu.

"Puan Raiha..."

Uhuk! Uhuk!

Tiba-tiba kedengaran Daniel yang terbatuk itu. Raihana hanya membuat tak peduli.

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Semakin kuat pula batuk Daniel itu. Raihana cuba melihat dengan ekor matanya. Dilihatnya Daniel yang sedang mengurut dadanya itu.

Dia ni main-main ke apa?

Uhuk! Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Fokus Raihana mula hilang. Dia memandang Daniel yang terbatuk semakin kuat itu. Walaupun mulutnya ditekup namun, batuk itu semakin kedengaran teruk. Sapu tangan dikeluarkan, menutup mulutnya.

Sebelum dia terlihat Daniel yang mula mengcengkam dadanya dan mengalas kepalanya dengan lengan di atas meja itu.

"Daniel." Panggil Raihana apabila Daniel mula diam.

Eh, pengsan ke dia ni?

"Daniel. Daniel." Sebatang pen diambil lalu lengan Daniel dicuit-cuit. Tak ada respons.

"Hei, Daniel. Hei." Kedengaran nada itu mula cuak. Dia menggerakkan pula lengan Daniel.

Raihana lantas bangun dan mendapatkan Daniel.

"Daniel, awak ok tak ni?" Soal Raihana yang menggerakkan bahu Daniel.

"Daniel! Daniel!" Panggil Raihana, bertambah cuak. Bahu Daniel digoncang-goncang.

Raihana mula gelabah. Dia segera mahu meminta bantuan di luar bilik itu.

Sebelum kemudian, dilihatnya Daniel mengangkat kepalanya dan menayangkan giginya. Raihana hanya tercengang dengan tindakan Daniel itu.

"Jom makan? Laparlah." Ujar Daniel yang sudah pun duduk tegak itu.

Raihana membulatkan matanya. Sumpah dia menipu? Sumpah!

Spontan, bahu Daniel dipukul kuat. Melepaskan marahnya di situ.

"Lawak ke, ha?" Marah Raihana. Dipukul lagi berkali-kali bahu itu.

"Aduh! Aduh!" Daniel berusaha melarikan tubuhnya.

Tak puas, lengan Daniel pula dicubit.

Daniel, dalam terasa pedih dicubit demikian, ketawa terbahak-bahak.

"Awak boleh gelak lagi, ha? Lawak ke? Lawak?" Daniel dipukul lagi.

Geramnya aku dengan dia ni!

Daniel memandang Raihana yang juga memandangnya dengan bibir yang diketap, tanda marah yang meluap-luap. Senyuman manis diukir sebelum tangan Raihana dicapai.

"Jomlah makan. Lapar sangat dah ni."Daniel memuncungkan bibirnya, sambil menggosok-gosok perutnya.

Raihana merentap tangannya. Namun, segera Daniel menarik kembali tangannya.

"Jomlah." Ajak Daniel lagi.

"Tak nak!" Balas Raihana.

"Ala, jomlah." Pujuk Daniel.

"Saya tak laparlah!" Balas Raihana. Segera dia mahu mengangkat kakinya, menuju kembali ke tempat duduknya.

Tiba-tiba juga, perut Raihana berbunyi sebelum dia sempat mengangkat kakinya.

Daniel memandang Raihana yang kelihatan terkejut itu. Wajah Raihana berubah merah, menahan malunya.

Ketawa Daniel akhirnya terhambur di situ. Yang kemudiannya juga menimbulkan amarah Raihana.

Raihana lantas menarik lengan Daniel, memaksa Daniel untuk bangun.

"Bangun! Bangun cepat!" Lengan itu ditarik-tarik.

"Nantilah sekejap, Puan Raihana."

"Ah, takde sekejap-sekejap! Bangun!"

Daniel terpaksa mengangkat punggungnya apabila diperlakukan demikian.

Dia berdiri berhadapan Raihana yang semakin membengis wajahnya. "Sebelum saya panggil pengawal, baik awak keluar." Ugut Raihana.

Dia bingkas ke tempatnya semula, dan merapatkan kerusi ke mejanya. Rasa malu, geram, marah, menyampah, segan, semuanya ada.

Masa ni pulak la perut dia nak bergendang. Spoil betul! Getusnya.

Daniel ketawa di situ. Tahu akan sebab Raihana menjadi tiba-tiba agresif.

Sebab malulah. Apa lagi.

"Puan Raihana?" Panggil Daniel seusainya dia ketawa.

Raihana mendiamkan dirinya. Hanya berpeluk tubuh di situ. Tak juga menyambung kerjanya. Masih lagi melayan rasa malunya yang dirasakan sebeban itu.

"Puan Raihana." Panggil Daniel.

"Baliklah." Ujar Raihana sepatah.

Daniel tersenyum sebelum bangun. Lantas, dia berdiri di hadapan Raihana.

"Janganlah malu. Jom makan?" Ajak Daniel.

Raihana hanya diam di situ.

"Jom?" Ajak Daniel lagi. Tangannya dihulur, minta disambut.

Raihana mengangkat wajahnya perlahan-lahan, memandang Daniel yang berdiri dihadapannya itu.

Segera dia melarikan pandangannya semula. Sebelum terasa tangannya ditarik.

Dalam antara mahu dan tidak itu, Raihana akur. Tak mampu menolak kenyataan yang dia sememangnya lapar.

Raihana bangun perlahan-lahan sebelum menarik tangannya agar tidak terus dipegang Daniel.

Daniel tersenyum. "Good dog." Kepala Raihana diusap persis haiwan peliharaan.

Raihana memandang Daniel. "What?"

Daniel ketawa kecil sebelum memeluk leher Raihana. Terkejut beruk Raihana dibuatnya.

"Jom makan! Puan Raihana nak makan apa?" Pelukan itu dieratkan sebelum Raihana dipaksa mengiringi Daniel keluar dari bilik pejabatnya.

Raihana berusaha mahu melepaskan dirinya, namun semakin kuat pula Daniel memeluk lehernya.

"Ish, Dani...."

"Syhh." Jari telunjuk itu disua ke bibir Raihana sebelum sempat Raihana memanggil nama penuh Daniel.

Daniel kemudian mendekatkan bibirnya ke telinga Raihana. "Saya cium bibir Puan Raihana kat sini nanti."

Mata Raihana membuntang.

"Daniel!" Bibirnya diketap kuat, menahan suaranya agar tak terlontar kuat.

Daniel tersenyum. Langkah terus diatur bersama keluar dari bilik Raihana itu.

Beberapa pekerja yang masih berada di ruangan kerja itu  memandang kelakuan mereka berdua dengan tertanya-tanya.

"Hai semua! Hai! Hai!" Sapa Daniel, tanpa segan silu.

Pekerja-pekerja lain membalas sapaan itu, seolah-olahnya tiada apa-apa yang pelik berlaku.

Berkerut juga dahi Raihana melihat mereka begitu. Lagak macam dah lama kenal je.

Wajah Daniel dipandang. Daniel hanya menayang giginya.

Dasar gila! Bisik hati Raihana sendiri.

Leher Raihana terus dipeluk keluar dari bangunan itu.

Sejurus selepas mereka keluar dari dalam bangunan itu, Raihana segera menolak tubuh Daniel. Ketika Daniel memandangnya, segera Raihana mengangkat tangannya. Membuat isyarat mahu menampar.

"Lempang karang." Raihana menjeling Daniel sebelum berlalu pergi.

Daniel mengangkat keningnya sebelum tertawa kecil. Dia mengikuti Raihana yang berjalan menuju ke kawasan parkir.

Raihana tiba-tiba berhenti dan memandang Daniel sebelum berpatah balik dan menuju ke arah Daniel.

"Kereta awak mana?" Soal Raihana.

"Hmm? Kenapa?" Soal Daniel, berpura-pura bertanya.

Raihana menghela nafasnya. "Kunci saya tertinggal kat atas. Sekarang, kereta awak mana?" Soal Raihana.

Ni semua sebab si manusia depan matanya dia ni. Seret dia macam apa je tadi. Hish!

"Pergilah ambil." Balas Daniel dengan lagak bodohnya itu.

"Eh, tak kuasa saya nak berlari naik atas lepas tu turun balik semata-mata sebab kunci kereta sejemput tu. Nak kena bawa awak pulak tu. Kalau takde kereta, takpe. Saya nak sambung kerja. Bye!" Raihana menjeling sebelum berlalu pergi.

Daniel menahan tawanya sebelum pantas tangan Raihana dicapai.

"Jom!" Ajaknya.

Hampir hilang imbangan Raihana dibuatnya apabila ditarik Daniel. Dengan langkah yang laju dan besar itu, Raihana sedaya upaya mengikut corak langkah Daniel.

"Nak ke mana ni?" Soal Raihana.

Daniel berhenti seketika dan memandang Raihana lalu berbisik. "Kita merempit."

Raihana mengerutkan keningnya. "Merempit?"

Daniel tersenyum sebelum terus mengorak langkah.

"Wait, jangan cakap..."

Belumpun sempat Raihana menghabiskan ayatnya, Daniel sudah pun berdiri betul-betul di sebelah motor itu.

Rahang Raihana jatuh dibuatnya. Terlopong melihat motosikal di sebelah Daniel itu.

Segera dia tersedar. Wajah Daniel dipandang.

"Awak nak suruh saya naik motor Jaguh ni?" Soal Raihana.

"Namanya Boulevard, Puan Raihana. Suzuki Boulevard." Perbetul Daniel yang tersenyum kemudiannya.

"Tak kisahlah! Masalahnya takkan saya nak naik ni?" Soal Raihana.

"Well, kalau taknak, terpaksalah Puan Raihana ambil kunci kereta Puan Raihana." Sengaja Daniel menguji.

Raihana mengetap bibirnya. Saling berlaga gigi dibuatnya.

"Saya taknak makan." Dia segera memusingkan badannya. Namun cepat pula bahunya ditarik.

Sedar tak sedar, topi keledar itu tepat tersarung ke kepalanya tanpa sempat dia menolak.

"Kenapa takut sangat, Puan Raihana? Kan hari ni pakai shawl. Awning kan tak ada?" Senyuman di bibir Daniel terukir lebar tatkala mengetatkan topi keledar itu.

"Dah tak suka, suka hatilah." Balas Raihana.

Daniel hanya ketawa kecil lalu mula menaiki motosikal itu. Raihana yang masih membentak hanya menurut dengan wajah mencuka.

Nasib baik hari ni pakai seluar. Masalah betul.

Tatkala dia membetulkan posisinya, lantas tangannya ditarik melingkari pinggang Daniel sendiri.

"Jangan lepas, ok?"

Raihana hanya diam, tak menjawab. Daniel pula terus tersenyum.

"Sedia, Puan Raihana! One, two, go!"

Motosikal itu segera dipecut selaju mungkin, melepasi kawasan parkir itu.

Raihana mula terasa kecut yang teramat sebelum dia menjerit.

"Daniel!! Perlahanlah sikit!!!"

---------------------

"TERMENUNG apa, Puan Raihana? Tunggu nasi melompat dalam mulut ke?" Soal Daniel, bersahaja.

"Diamlah." Balas Raihana.

Setibanya mereka ke restoran itu, terus Raihana mencari tandas. Menghamburkan isi perutnya.

Dan kini, masih, Raihana terpaksa melayan loyanya.

Daniel tersenyum. Jus orennya ditolak ke Raihana. Kesian pula tengok wajah Raihana yang memucat sebab naik motor tadi.

Raihana, dalam terpaksanya, menyedut air oren itu. Menghilangkan loyanya. Mana cukup sekadar minum air mineral.

"Ada juga orang loya bila naik motor, eh?" Daniel sempat mengusik.

"Semua sebab awak, tahu tak?" Balas Raihana, geram.

Bawak laju mengalahkan apa. Tak fikir langsung jalan sesak ke, berlopak ke, berlubang ke.

Dia ingat ni nak main lumba haram ke?

Daniel tersengih. Lantas dia memanggil pelayan restoran itu.

"Bagi segelas jus tembikai. Thank you."

Pelayan itu menggangguk sebelum beredar.

Daniel memandang Raihana yang menjelingnya. Lantas, makanan disuap ke mulutnya dengan begitu berselera.

Raihana menjelingnya sekilas. Tengok Daniel makan macam pelahap, tiba-tiba rasa lapar yang semakin memuncak Tapi, tekak ni loya teramat.

Dia melihat butir-butir nasi di hadapannya, lemah.

"Hmm, macam mana ni?" Keluhnya. Sadis betul bunyinya.

Daniel memandang nasi di hadapan Raihana itu, persis apa yang Raihana lakukan.

Seolah memahami, dia mengambil sudu dan garfu di sisi Raihana itu. Nasi itu dikaut sedikit sebelum disua ke mulut Raihana.

Pandangan mereka saling berbalas sebelum Daniel menganga mulutnya, memberi isyarat untuk Raihana membuka mulutnya.

Raihana dengan perlahannya, membuka mulut. Nasi yang sejemput itu dikunyahnya perlahan.

"Minum ni." Daniel menyua jus tembikai yang sudah dihantar tak lama kemudian ke meja mereka.

Raihana menurut. Diminumnya perlahan. Tekaknya menelan satu persatu, perit.

Agak lama, Raihana mengurut tekaknya perlahan.

Boleh tahan lega juga.

"Nak lagi?"

"Hmm."

Daniel terus menyuapkan Raihana buat kesekian kalinya. Raihana dengan pantasnya mengambil jus tembikai itu lalu menyedutnya perlahan.

"Ok?"

Raihana mengangguk. "Hmm."

Raihana memandang Daniel yang menggaulkan nasi di pinggannya itu.

"Awak tak kerja ke?" Soal Raihana tiba-tiba, ingin tahu.

Daniel menggeleng sebelum tersenyum. "Cuti."

Patutlah sibuk harini. Sibuk mengacau orang, bisik hati Raihana.

"Awak kerja apa?"

Daniel memandang Raihana lalu disuapkan Raihana lagi.

"Jaga Puan Raihana." Selorohnya.

"Ish, orang betul-betullah."

"Puan Raihana nampak orang lidi ke kat sini? Mana?" Kening Daniel terangkat. Dia menjenguk ke kiri dan kanan.

Raihana memukul lengan Daniel. Daniel ketawa.

Ketika Daniel mahu menyuapkan lagi, pantas Raihana menolak.

"Tak apa. Saya makan sendiri." Katanya.

"Tak apa, Puan Raihana. Saya berbesar hati dapat suap Puan Raihana." Tangannya diletakkan ke dadanya sambil memejamkan mata.

Raihana mencebik. Konon berjati diri sangatlah tu.

Raihana disuapkan lagi. Tak mampu dah Raihana nak melawan lagi.

"Awak kerja apa?" Ulang Raihana. Lebih serius. Mengharapkan Daniel mampu membalas dengan baik.

Daniel diam. Berfikir sejenak. Sengaja bebola matanya dijulingkan ke kiri dan ke kanan.

"Hmm, kerja yang 'up' sikit dari sebelum ni." Daniel mengjungkitkan bahunya apabila menyebut perkataan 'up' itu.

"Apa dia?"

Up la, apa la. Ingat ni main Snake And Ladder ke? Nak naik turun bagai.

"Puan Raihana jangan risau. Yang penting halal. Motor kat luar tu, saya beli pakai duit sendiri, tau? Bukan motor curi." Ujar Daniel sambil tersengih.

"Tak tanya pun siapa yang beli motor tu." Balas Raihana. Kuat betul melencong si mamat ni.

Daniel hanya menyeringai.

"Kenapa awak cari saya?" Soal Raihana pula.

"Sengaja nak jenguk Puan Raihana. Mana tahu kena makan dengan serigala ke." Balas Daniel.

"Serigala apanya dia ni." Gumam Raihana.

Daniel ketawa. Entah apa yang lawaknya.

Suasana sepi seketika. Raihana hanya melihat Daniel yang sibuk menggaul nasi di pinggannya.

Sebelum dia teringat sesuatu.

"Mama dengan papa sihat?" Soal Raihana, lambat. Seperti berhati-hati.

Daniel yang sedang menyuapkan makanannya lantas mengangkat wajahnya, memandang Raihana. Dengan senyuman yang sangat lebar. Sebelum ibu jarinya dinaikkan.

"Sihat!"

Raihana tersenyum. Tiba-tiba hatinya terasa lega mendengar itu.

"Diorang mesti marah saya, kan?" Soal Raihana, rendah suaranya. Senyuman pahit diukir. Rasa bersalah tiba-tiba menerjah.

Daniel menghentikan seketika suapannya, berfikir sesuatu.

"Ye ke diorang marah Puan Raihana? Last sekali, yang mama jerit, mama cakap 'Jangan balik sini selagi tak jumpa Raihana!'" Ujar Daniel, meniru gaya emaknya memarahinya dahulu.

Raihana, dalam kegusarannya itu, tertawa dengan gelagat Daniel itu. Selamba betul mengajuk orang tua sendiri.

"Ye ke?" Soal Raihana.

Daniel mengangguk-angguk. "Tapi lepas tu, mama yang datang rumah jenguk saya. Risau katanya. Nak tahu tak? Sebelum dia balik, sempat dia kata, 'Cepat cari Raihana.' dengan muka garang dia tu." Cerita Daniel sambil mengajuk gaya itu lagi.

Raihana ketawa lagi. Lebih girang. Tak dapat bayangkan keadaan macam mana masa tu.

Melihat Raihana yang ketawa itu, Daniel tersenyum juga.

Akhirnya.

Raihana diam kemudiannya apabila melihat Daniel turut tidak ketawa bersamanya.

"Sorry. Terover pulak." Ucap Raihana, tersipu-sipu malu.

Daniel masih mengukir senyumannya. "Makan." Dia menyuapkan Raihana lagi.

Raihana tersenyum sebelum menerima suapan itu.

Dan, dalam waktu yang singkat itu, pelbagai cerita dibuka dan dikongsi antara mereka berdua.

-----------------------

"KENYANGNYA!" Daniel mengusap-ngusap perutnya yang kekenyangan itu.

Raihana memandangnya, mencebik.

Dah makan macam satu kontena punya stok, memanglah kenyang, bisiknya.

Mereka berjalan beriringan menuju ke motosikal milik Daniel itu.

Di sisi motosikal itu, Raihana kelihatan berkira-kira sama ada mahu naik motosikal itu atau hanya memanggil teksi berdekatan.

Daniel yang terlihat akan riak Raihana itu lantas teringat sesuatu.

"Sekejap." Daniel mencari sesuatu dari dalam poket jaket denimnya itu.

Raihana hanya memandang Daniel demikian. Zaman bila entah orang masih guna pemain MP4. Sekarang semua guna Spotify.

Tangan Raihana ditarik sebelum ditadahkan. Earphone itu bertukar tangan.

"Pakailah ni." Kata Daniel.

Raihana memandang Daniel, agak lama.

"Kenapa?" Soalnya.

"Pakai je."

"Er, ok." Akur Raihana. Dilihatnya Daniel sedang memilih lagu untuk dimainkan.

Ketika earphone itu dipasang elok ke telinga Raihana, Daniel lantas menekan butang 'Play'.

Terkejut juga Raihana apabila mendengar itu.

"Apa benda ni?" Soal Raihana, pelik.

Suara seseorang yang terpekik menyanyi lagu yang entah apa-apa menerjah telinganya.

Suara siapa lagi kalau bukan si Daniel ni.

"Awak simpan recording suara sendiri?" Soal Raihana. Gila betul dia ni!

Daniel hanya tersengih sebelum dia menyerahkan Mp4 itu kepada Raihana dan terus menaiki motornya.

Raihana tersenyum sebelum menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sepanjang dalam perjalanan, lagu-lagu yang bermain adalah hasil nyanyian sumbang Daniel.

Dahlah sumbang, lepas tu ada pulak penyanyi latar yang turut menyanyi, semakin merosakkan lagu asal.

Tawanya mula meledak apabila sampai tahap, suara Daniel memang hancur habis.

"Sedap, kan?" Jerit Daniel kuat agar didengari Raihana.

"Tak langsung! Macam sakit mental, tahu tak?" Balas Raihana, juga dalam jeritannya.

Daniel ketawa kuat. Raihana juga.

Dan, siapa tahu, disebabkan itu, Raihana bagaikan lupa akan rasa loyanya.

Yang hanya kedengaran, tawa Raihana yang galak itu.

Yang sangat indah pada pendengaran Daniel.

Motosikal itu terus ditunggang dengan berhati-hati. Tak selaju tadi.

Ingin menghabiskan masa yang ada untuk mendengar gelak tawa Raihana.

Sambil mencuri pandang wajah Raihana yang ketawa itu dari cermin sisi,
Daniel perlahan mengukir senyumannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro