Epilog Satu

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DI HALAMAN rumah itu, kelihatan girang dua kanak-kanak yang bermain antara satu sama lain sambil ditemani oleh ibunya yang tidak betah melayan mereka.

Dari sudut itu, jelas wajah kanak-kanak tersebut yang sangat gembira sambil bermain pancutan air dari pili paip bersama ibunya di laman yang luas tersebut.

Tak lama kemudian, datang pula seorang bayi yang masih baru bertatih lalu mendapatkan wanita itu. Dalam senyuman lebar ibunya yang tak lekang, bayi itu diangkat dan dipeluk.

Lelaki yang merupakan ayah kepada kanak-kanak itu yang lantas mendapatkan mereka berempat lalu dipeluknya bahu sang isteri sebelum lantas mengajak keluarganya masuk ke dalam rumah.

Tawa mengisi ruang yang sedia riuh. Senyuman masih mengiringi sehinggalah mereka kesemuanya hilang dari pandangan.

Raihana yang melihat tingkah mereka dari jendela di tingkat atas rumahnya sedari tadi hanya mengukirkan senyumannya.

Kawasan halaman yang mula sepi itu mula dipandang tanpa sedikitpun berganjak. Seolahnya bayangan keluarga bahagia tadi langsung tiada terpadam.

Senyuman lembut masih terukir di bibir Raihana, sambil sebelah tangannya bermain-main dengan cincin perkahwinan yang cantik tersarung pada jarinya.

Sebelum dia terasa pinggangnya dipeluk seseorang.

Raihana terus mengukir senyumannya tatkala Daniel mula mengeratkan lingkaran tangan sasanya ke pinggang Raihana.

"Termenung apa?" Soal Daniel. Begitu lembut suaranya, sambil membuai Raihana, juga lembut.

Gelengan diberikan. "Tak ada apa-apa. Sengaja tengok-tengok luar. Cuaca cerah hari ni." Kata Raihana yang spontan meletakkan tangannya di atas tangan kekar Daniel. Mengusap kura tangan Daniel lembut.

Raihana menyandarkan kepalanya ke dada bidang Daniel.

"Jangan selalu termenung. Terkenan kat baby nanti. Saya kan ada. Baik tengok muka saya. Lagi handsome." Seloroh Daniel.

Raihana ketawa. "Perasannya!"

Daniel juga ketawa kemudiannya. Tangannya lantas mengusap perut Raihana yang membesar itu perlahan.

Raihana tersenyum, bahagia. Lebih melebar senyumannya apabila terasa kepalanya dikucup.

"Saya sayang awak. Sayang isteri saya, sangat-sangat."

"Saya pun, Daniel. Saya rindu awak."

"Kenapa nak rindu? Kan dah ada depan mata ni?" Terdengar usikan Daniel tatkala itu.

Raihana hanya menguntumkan senyuman lembutnya.

Mata Raihana kemudiannya pejamkan agak lama. Merasai hangatnya pelukan itu.

"Jangan rindukan saya, Raihana. Saya takkan tinggalkan awak. Awak tahu, kan?" Lembut suara itu, bagaikan memujuk.

Raihana mengangguk dalam keadaan matanya yang terpejam itu.

"Ya. Awak tak tinggalkan saya." Katanya.

Senyuman diukir lembut.

Sebelum jua tiba-tiba dia terasa tubir matanya panas.

Air matanya kian menitis. Sedang dia terasa hangatnya tangan yang diusapnya itu, semakin melebat air mata yang membanjiri.

Tatkala itu, Raihana membuka mata perlahan-lahan kemudiannya. Dalam keadaan masih berbaring, dia memandang siling, merenung jauh seketika.

Sisa air mata yang masih dirasakan basah di pipi itu dibiarkan tak diseka. Matanya lantas memerhatikan sekeliling.

Di situ, yang ada hanyalah kegelapan malam. Tanpa sesiapa pun kecuali dirinya dalam bilik itu. Malah, bayangan tadi juga sudahpun hilang.

Mana ada orang. Mana ada sesiapapun. Daniel, dia manakan ada di samping Raihana kini.

Raihana memejamkan matanya kembali.

Mimpi, akankah kau datang lagi?

Sebab aku mula dimamah rindu.

Di atas katil tersebut, sendirian, Raihana membiarkan air matanya mengalir buat kesekian kali. Bagaikan masih terbawa-bawa mimpi tadi.

Acapkali kalau bermimpi tentang Daniel, pasti air matanya bercucuran sebegitu. Menangis dalam mimpi yang dalam masa yang sama, terbawa-bawa juga di dunia realiti.

Dia kemudian perlahan-lahan berkalih memandang sisinya yang kosong.

Tangan itu menyentuh perlahan bahagian katil itu yang senantiasa sejuk. Diusapnya, umpama empunya tubuh yang sepatutnya ada itu masih wujud di situ.

Senyuman Raihana terukir lembut, dan sayu dalam masa yang sama.

Agak lama, Raihana melihat sisinya yang tidak langsung berbayang tersebut sebelum terdengar azan Subuh mula berkumandang dari telefon bimbitnya yang telah ditetapkan.

Raihana bangun dari katilnya. Wajahnya diraup perlahan-lahan.

Sisa air mata yang masih tertinggal diseka lembut.

Seperti biasa, dia mula turun dari katil dan terus berlalu untuk menyiapkan dirinya.

Bersendirian. Hanya bersendirian.

Dia mahu ke sesuatu tempat pada hari ini.

Tempat yang mampu mempertemukan dirinya dengan satu jiwa sepanjang detik itu.

----------------------------

RAIHANA.

Langkah diatur turun dari kereta. Kaca mata hitam berbingkai besar itu dicapai lalu dipakai.

Yang aku hitung, dalam tempoh empat bulan dia meninggalkan kami dan dunia ini, aku selalu menghabiskan masa di sini. Seolahnya sentiasa mahu berbicara dengannya.

Semuanya di kawasan tanah perkuburan Islam ini.

Yasin itu aku pegang erat dalam tangan. Pusaranya aku hampiri perlahan-lahan.

Sudah beberapa bulan dari hari dia tinggalkan aku, dan kini akulah yang selalu mengemaskan pusaranya. Mencabut rerumput kecil yang mula tumbuh di sekitar pusara itu, juga menabur bunga sebagai memperlihatkan seri pusaranya.

Batu nisan itu aku usap perlahan dengan senyuman. Seolahnya aku memang sedang bercakap dengannya, menyentuh tubuh sang empunya.

"Assalamualaikum." Ucap aku.

Sepi. Namun aku tahu, dia sedang menjawabnya di alam sana.

Kini sudah beberapa bulan, dan aku tidak lagi mendengar suara itu. Terasa bagaikan semalam aku baru menghabiskan masa bersamanya di hospital, menemani dia selagi dayaku ada.

Terasa sekejap namun masih, aku jujurnya terasa akan lamanya.

Tanpa membuang masa, aku mula menyelesakan duduk. Senaskhah Yasin itu mula aku buka dan aku baca dengan penuh bertasydid.

Tidak berhenti aku mendoakan agar rahmat bacaan itu melimpah ke atas rohnya.

Tatkala satu persatu ayat itu dibaca, hati aku yang asalnya seperti kukuh, mula dirundung sebak.

Bacaanku yang hampir saja tidak teratur segera aku betulkan seiring dengan pernafasanku yang mula menahan sesak.

Jangan menangis. Itu yang aku pujuk dalam hati.

Usai bacaan ayat suci dialunkan, aku duduk menatap pusaranya.

Pokok kecil yang kutanam di pusara itu meliuk lembut apabila ditiup angin. Sengaja aku letakkan di situ. Kata orang, pokok itu akan berzikir, sekaligus mencurahkan rahmat buat penghuni di dalamnya.

Kalaulah betul demikian, aku jua terasa lapangnya.

Aku mula mengusap pusaranya, perlahan-lahan.

"Sekurang-kurangnya, awak bahagia." Ujar aku, perlahan. Diiringi dengan senyuman memujuk.

Mata aku pejamkan, agak erat.

Andainya kalau kalian tanyakan tentang kehilangan seseorang itu, percayalah, meskipun kau hanya mengenalinya kurang dua jam lalu, tapi apabila dia meninggalkan kau dan tak kembali lagi, kau tetap akan rasa sarat dalam dadamu.

Aku 'berbual' sebentar dengan empunya pusara itu, dengan doa-doa yang tak pernah putus aku hadirkan buat dia, sebelum aku mula berlalu.

"Nanti, saya datang lagi." Ujar aku, memberi janji. Bagaikan dia sedang menunggu aku, saban hari.

Aku melangkah pergi dengan sedikit berat. Ikut hati, aku mahu kekal bersamanya. Melihat dia sentiasa ceria dan bahagia.

Aku mahu lihat senyumannya buat kesekian kali. Atau tawanya. Atau wajahnya. Paling tidak, sekali.

Tapi, aku pasti tidak akan mampu untuk itu.

Roh yang bertemu Tuhan adalah atas janji Tuhan untuk berjumpa-Nya kembali. Kerana perjanjian waktu di Luh Mahfuz sudah pun berakhir.

Langkah terus diatur.

Bersama air mata yang tiba-tiba mengalir, basah di pipi.

----------------------------

SEDANG dia mengelamun sendirian dalam bilik utama rumahnya, satu panggilan diterima Raihana pada petang itu.

"Ummi."

"Rai, Rai sihat?" Lembut suara itu menyoal anaknya.

"Sihat je. Ummi sihat? Walid?" Soal Raihana.

"Ummi sihat je. Walid pun sama. Ummi sengaja telefon nak tanya khabar Rai. Tengah buat apa?" Soal ibunya.

"Tak ada apa-apa pun. Tengah berehat je." Balas Raihana.

"Baguslah. Rai tak nak datang sini? Tak apa ke duduk sorang-sorang kat sana? Nak ummi dengan walid datang?" Soal si ibu.

"Tak apa, ummi. Rai ok je sorang-sorang kat sini. Dalam seminggu dua, Rai datang sana."

"Rai ok?"

Raihana diam sejenak sebelum mengukir senyumannya. "Kenapa tak ok pula?" Soal Raihana pula. Sengaja tawa kecil diselitkan, cuba menghilangkan gusar ibunya.

"Ummi cuma bertanya. Rai kalau ada apa-apa, jangan diamkan. Beritahu ummi, ya?"

"Ya, ummi. Kalau ada apa-apa, Rai telefon ummi."

"Baguslah. Jaga diri, hmm?"

"Baik, ummi."

"Oklah. Ummi letak telefon dulu, ya? Nanti ummi telefon lagi."

"Ok, ummi."

Setelah salam diberi dan disahut kemudiannya, Raihana mematikan taliannya.

Sempat juga dia terlihat skrin telefon bimbitnya yang memaparkan gambarnya bersama seseorang. Dan tentunya seseorang itu adalah, Daniel.

Itu adalah gambar yang Daniel pernah hantarkan kepadanya dahulu. Gambar Daniel sendiri yang sedang menongkatkan dagunya dan memandang kamera.

Itu adalah gambar yang pernah dihantar Daniel tatkala mereka berjumpa kembali setelah bertahun-tahun lamanya. Ketika Daniel ligat mengusik dan menguji kesabaran Raihana.

Raihana tersenyum mengenangkan kejadian itu, juga teringat akan kapsyen yang disertakan bersama gambar tersebut.

Gambar wajah itu disentuh perlahan dengan hujung jemari. Seolahnya cuba merasai kehangatan wajah tersebut melalui sentuhan itu, kalau ada.

Dia berjalan menuju ke tepi jendela.

Pandangannya mula dihalakan ke arah luar tingkap yang terbuka luas itu. Membiarkan angin menyusup masuk menyapa pipinya.

Dalam tangannya, erat menggenggam sepucuk surat terakhir yang pernah Daniel berikan kepadanya. Manakala tangannya yang lain dibawa ke leher, menyentuh loket yang bergantungan cantik pada rantai di leher jinjangnya.

Loket berbentuk bintang. Rantai pemberian Daniel sempena hari lahir Raihana dahulu.

Raihana mengerti akan pemberian loket berbentuk bintang itu– sebagai cara Daniel memujuk seandainya dia berasa rindu dan sedih di kemudian hari.

Macam apa yang Raihana rasakan sekarang ini.

Siapa jua takkan berasa rindu? Sedangkan berpisah untuk beberapa jam cuma, hati terasa berat umpama ditindih-tindih. Apatah lagi yang Raihana lalui kini.

Tapi Raihana kini hanya menerima semuanya. Menerima situasi dirinya.

Matanya dipejamkan. Cuba mengingati semua memori bersama Daniel. Tatkala itu, senyuman diukir.

Rindu. Itu yang berbisik dalam hati kecil wanita tersebut.

Raihana membuka mata, mengalihkan pandangan pada surat di tangannya. Surat itu dibaca lagi sekali. Berulang-ulang kali.

'Saya sayang Hana.'

Yang kini, tiada lagi yang akan memanggil nama itu. Baik 'Puan Raihana', 'Cik Puan' ataupun 'Hana'. Kesemuanya tiada lagi meniti di bibir lelaki bernama Daniel.

Nama yang dipanggil khas untuknya dari jejaka itu, tidak lagi kedengaran kini.

Raihana menarik nafas sedalamnya sebelum cuba menguntumkan senyuman.

Rindu itu perkara biasa. Sepi itu juga perkara biasa. Atas sebab kau cinta.

Atas nama cinta.

Surat itu dibawa ke dada. Sambil dia memerhatikan ke luar jendela, melihat langit yang membiru di atas sana.

Agak lama begitu, Raihana berlalu pergi. Bersama dengan sebuah kotak besar yang dicapai di atas meja, dia mengambil duduk perlahan-lahan di atas katil.

Raihana mengeluarkan setiap satu isinya dan menyusun satu persatu di atas katil itu. Kesemuanya adalah barang-barang kenangan yang masih ditinggalkan Daniel. Tak lupa juga album perkahwinan mereka dulu yang masih disimpan rapi.

Dalam membelek satu persatu barangan itu, termasuklah hadiah-hadiah pemberian Daniel sempena ulang tahun kelahirannya selama lima tahun dulunya, Raihana mengukir senyuman buat kesekian kali.

Sememangnya acapkali itulah yang dilakukan bagi menghilangkan rasa rindu yang kadangkala terlalu membendung dirinya.

Raihana menuju ke almari pakaiannya. Mencari sebuah kotak berhias yang pernah diberikan buatnya dulu.

Apabila kotak itu diambil dan dibuka, Raihana mengeluarkan gaun kembang pengantin bersama satu set sut putih yang pernah dipakai Daniel ketika mereka bersama di butik dahulu.

Raihana kembali duduk di sisi katil sambil membelek set sut itu. Mengangkat tinggi sut tersebut sambil membayangkan figura Daniel yang pasti segak memakainya.

Serta merta dia teringat akan ketika mereka bersama-sama berada di butik dahulunya. Sempat menari malah bersembang kecil, juga bersama-sama.

Dia mengukir senyumannya buat kesekian kali apabila membayangkan hal itu.

Tubuhnya direbahkan perlahan ke atas katil sambil membawa kedua-dua set sut dan gaun pengantin ke dadanya lalu dipeluk perlahan.

Seolahnya melepaskan sejuta kerinduan dan kasih sayangnya melalui sentuhan itu.

Senyuman diukir lagi. Sambil mata dipejamkan, dan mula mengimbas kembali pertemuan mereka sejak pertama kali. Tentang pemberian bunga mawar, juga saat ketika Daniel mula memperkenalkan dirinya.

Senyuman semakin lebar diukir. Melepaskan rindu melalui perkara-perkara lalu yang diputar-putar kembali agar tak pernah luput.

Agak lama diulit memori lalu, dia lantas bangun dan mencapai tudungnya sebelum dia keluar perlahan-lahan dari bilik utama tersebut. Membiarkan segalanya berada di situ tanpa dikemaskan. Kalau rindu nanti, boleh tengok lagi.

Cardigan disarungkan elok ke tubuhnya lalu tudung dicapai sebelum dia ke dapur dan membuatkan secawan teh panas untuk dirinya.

Selalunya pada waktu cuti dan sekiranya ada masa terluang, dia akan menghabiskan masanya di laman rumah villa miliknya.

Untuk melihat kegembiraan dan kegirangan jiran sebelahnya yang acapkali menarik perhatian dengan tawa mereka sekeluarga yang dirasakan sangat bahagia itu.

Setiap kali cuti, pasti keluarga tersebut yang terdiri daripada sepasang suami isteri beserta tiga anak mereka akan meluangkan masa bersama-sama di laman itu selain keluar bersiar-siar.

Raihana suka melihat keluarga itu. Baginya, itu adalah keluarga idamannya. Yang seringkali bermain-main dalam minda tentang impian keluarga bahagia yang sebenarnya.

Tentang isteri yang dimanjakan suami. Anak-anak yang dijaga rapi.

Dan suami yang setia berada di sisi.

Perlahan-lahan, Raihana keluar sambil membawa secawan teh di tangannya lalu duduk di kerusi batu yang tersedia di laman villanya.

Baru saja dia melabuhkan punggungnya, Raihana terdengar suara tawa bayi yang memecah kesunyian petang apabila diagah oleh bapanya yang baru keluar dari rumah mereka.

Tak lama kemudian, kedengaran pula suara sang ibu yang turut menyertai mereka, diiringi anak-anak yang mula menjerit kegirangan.

Senyuman Raihana terukir. Dapat mengagak akan itu. Dapat mengagak akan semuanya.

Secawan teh disisip perlahan dengan tenang sambil jauh dia termenung sendiri. Sambil juga membiarkan tawa jiran sebelahnya memecah kesunyian petang itu dan menerjah pendengarannya.

Kalau dia tak mampu, ada baiknya dia menumpang kebahagiaan orang lain buat seketika. Boleh juga buat mengubat hati. Apa salahnya.

Dia memandang tembok yang memisahkan rumahnya dan rumah sebelah itu. Seolahnya mampu menembusi dan melihat kebahagiaan keluarga di seberang.

Apabila kedengaran semakin jelas dan kuat tawa mereka sekeluarga, Raihana memejamkan matanya perlahan-lahan. Membayangkan jika dia jua turut berada dalam posisi yang sama.

Sedang dia sendirian demikian, Raihana terdengar loceng rumahnya dibunyikan.

Matanya dibuka. Pandangan terarah kepada pintu pagar utama rumahnya.

Tertanya-tanya juga siapa yang datang tanpa menghubunginya dahulu.

Langkah Raihana atur menuju ke pintu pagar utama itu, sebelum dia terlihat satu susuk yang berdiri di hadapannya apabila pintu pagar automatik itu mula terbuka.

Siapa? Bisik hati Raihana sendiri.

Melihatkan susuk tubuh yang tadinya membelakangi Raihana mula menoleh ke arahnya, mata mereka mula bertaut.

Agak lama mereka saling memandang.

Raihana malah kelihatan terpempan seketika apabila melihatnya.

"Fahrin?"

Reaksi Raihana yang agak terkejut itu dibalas dengan segarit senyuman yang terbit dari bibir lelaki itu.

"Rai."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro