Bab 20 (Akhir)

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


SEKILAS, kepalanya dijengukkan ke dalam pintu. Apabila sepasang mata itu tertancap kepadanya, Raihana terus tersengih sebelum terus masuk ke dalam bilik Daniel itu.

"Kenapa terjenguk-jenguk?" Soal Daniel yang sedang bersandar di kepala katil sambil mula meletakkan buku yang dibacanya di sisi.

Raihana menggeleng-geleng. Senyuman diukir lebar buat Daniel.

"Dah makan?" Soal Raihana.

Daniel mengangguk. "Awalnya datang. Tak kerja?" Soal Daniel.

"Tak. Tapi saya ada hal kena uruskan hari ni. Saya datang nak jenguk awak sekejap. Nanti lewat petang sikit saya datang lagi."

"Oh."

Suasana sepi seketika. Hanya Raihana memandang Daniel dengan senyumannya.

"Senyum, senyum. Kenapa?" Soal Daniel.

Raihana menyeringai. Di tangannya terdapat beg kertas yang agak besar dan diletakkan di sisi Daniel.

Daniel hanya memandang wajah Raihana. Raihana kemudiannya mengeluarkan beberapa hiasan di dalam beg kertas besar yang dibawanya.

"Tengok ni. Saya ada beli hiasan untuk digantung. Awak tengoklah. Kalau tak cukup, boleh kita tambah lagi." Kata Raihana yang seakan teruja menyuakan beg kertas itu kepada Daniel.

Sempat juga sebuah topi harijadi dikeluarkan dan dipakaikan ke atas kepala Daniel tatkala Daniel membelek isi dalam beg kertas itu.

"Saya sengaja beli awal-awal sebab saya takut tak ada masa. Dah nak dekat, kan?"

Daniel memandang Raihana sambil meraba topi yang dipakaikannya. Raihana ketawa kecil sebelum mencabutnya kembali.

"Tak boleh pakai lama-lama. Nanti tak syok dah." Kata Raihana yang meletakkan kembali topi kertas ke dalam beg kertas itu.

Daniel yang melihat gelagat Raihana tersenyum. Dah gaya macam dia pula yang disambut.

Kesian Raihana. Terpaksa uruskan semuanya sendiri. Daniel pastinya tak mampu untuk menemaninya keluar membeli semuanya bersama-sama.

"Nak sambut kat mana?" Soal Daniel.

Raihana berfikir sejenak. "Kat sinilah. Kenapa? Awak ada nak pergi tempat lain ke?" Soal Raihana.

Daniel menggeleng. "Awak tak apa ke sambut kat sini?" Soalnya pula.

"Tak kisah pun. Senang juga. Kalau bersepah sangat, boleh suruh cleaner yang bersihkan."

"Ceh." Raihana ketawa.

Raihana lantas mengeluarkan telefon pintar dari dalam beg tangannya.

"Awak rasa cukup dah ke? Ke hiasan ni macam sikit sangat?" Soal Raihana.

"Hmm, ok je. Banyak-banyak nanti tak tahu pula nak hias kat mana." Balas Daniel.

Raihana tersenyum girang sebelum mengangguk faham. Kelihatan tangannya ligat menulis sesuatu menggunakan pen khas pada skrin telefon pintarnya.

"Apa tu?" Soal Daniel.

"Checklist!" Balas Raihana yang menyuakan telefon pintarnya kepada Daniel.

Daniel mengangkat keningnya sebelum ketawa kecil. "Semangat!"

"Eh, mestilah! Bukan selalu!"

Daniel ketawa lagi. "Nak tengok." Pintanya.

Raihana menyerahkan telefon pintarnya kepada Daniel. Kelihatan senyuman Daniel terukir apabila melihat satu persatu senarai barang yang tertera di situ.

"Kek apa?" Soal Daniel kemudiannya.

"Awak nak kek apa?" Soal Raihana pula.

"Kekwa." Gurau Daniel.

"Ish, dia ni. Pukul kang."

Daniel ketawa kecil. "Beli apa-apa pun boleh. Saya tumpang makan je."

"Chett." Daniel ketawa lagi.

Raihana berfikir sejenak. "Nanti saya fikir kek apa yang paling sedap. Ha, awak ada nak makan apa-apa tak? Saya boleh masakkan. Nak rasa tak resepi istimewa saya?"

Bersinar mata Daniel dibuatnya. "Awak nak masak?" Soalnya.

Raihana mengangguk. "Saya harap doktor bagi awak makan macam-macam. Satu hari je, kan. Lagipun, selama ni tengok awak macam tak ada selera langsung."

Daniel tersenyum dan mengangguk tanda faham. Siapa yang tak suka dengan air tangan isteri, kan. Mana tahu, seleranya boleh bertambah.

Daniel melihat skrin telefon pintar Raihana sebelum menulis sesuatu.

"Awak tulis apa?" Soal Raihana yang menjengukkan kepalanya.

Daniel tak membalas. Hanya kemudian, dia menayangkan telefon pintar itu kepada Raihana selepas siap.

"Saya nak buat benda ni hari tu." Kata Daniel.

Raihana mengambil telefon pintar tersebut dan membaca tulisan Daniel itu.

'Stargazing'

Raihana menatap wajah Daniel. Daniel pula membalas pandangan itu dengan penuh pengharapan.

"Kita boleh buat, kan?" Soal Daniel.

Anggukan diberikan. "Saya usahakan."

Daniel mengukir senyumannya. "Terima kasih." Ucapnya.

"Okay. Kasih diterima." Balas Raihana, bersahaja.

Daniel tertawa kecil.

Raihana melebarkan sengihannya.

"Daniel, saya tiba-tiba rasa tak sabar. Rasa nak buat harini jugak." Kata Raihana.

"Kalau tiba-tiba ada bawa hadiah untuk saya sekali, boleh la. Kalau tak ada, tak boleh." Ujar Daniel, selamba.

"Amboi!"

Mereka berdua tertawa kemudiannya sebelum masing-masing diam kemudiannya.

"Daniel..."

"Hmm?"

"Awak akan bertahan sampai hari tu tiba, kan?" Soal Raihana, berhati-hati.

Daniel memandang Raihana tanpa suara. Membisu tiba-tiba.

Raihana meramas lembut tangan Daniel sebelum memeluk Daniel.

"Saya harap awak boleh bertahan." Kata Raihana.

Mendengarkan itu, mata Daniel bergenang tiba-tiba. Sebelum kepala Raihana diusap lembut dan perlahan-lahan.

"Hmm." Hanya itu yang diucapkannya.

Raihana mengukir senyuman. Pelukan itu dieratkan.

"Saya tahu, awak akan bertahan." Katanya, menyelesakan pelukan itu kemudian.

Daniel mengangguk. "Saya teringin nak sambut. Betul-betul teringin." Kata Daniel.

"Saya pun." Ujar Raihana.

Daniel memejamkan matanya rapat.

"Mama, boleh minta tolong sesuatu?"

"Apa dia, Niel?"

"Niel tinggalkan satu beg kertas besar dalam bilik Niel kat rumah mama. Nanti mama tolong berikan pada Hana, ya?"

"Ada apa dalam tu?"

"Semua hadiah birthday Hana. Sejak lima tahun lepas. Yang Niel tak sempat bagi."

Kepala Raihana diusap lagi, lebih lembut.

Saya pun, Hana.

"Apa impian awak, Hana?" Soal Daniel.

Raihana sepi sekejap. "Kenapa?"

"Sengaja nak tahu."

"Hmm, adalah."

"Apa dia?"

Raihana hanya tersenyum sebelum menggeleng. Tanda tak mahu memberitahu.

"Ceh, berahsia." Hidung Raihana dicuit.

Raihana hanya ketawa.

Masing-masing sepi, melayan diri.

"Awak ada apa-apa hasrat yang tak terlunas lagi ke, Daniel?" Soal Raihana.

Daniel memandang Raihana dengan senyumannya.

"Saya cuma nakkan hari tu untuk tiba."

Raihana tersenyum.

Kepala Raihana digosok lembut sebelum dikucup.

"Awak bahagia, Hana?" Soal Daniel.

Raihana mengangguk dan tersenyum. "Hmm."

Daniel mengukir senyumannya.

"Saya pun. Dan saya doakan awak selalu bahagia, sepanjang hidup awak."

Angin bertiup agak lembut melalui tingkap itu, membuai mereka yang semakin memeluk rapat antara satu sama lain, sebelum Raihana bersuara.

Bersama matanya yang mula berkaca-kaca.

"Saya akan selalu bahagia. Awak tak perlu risaukan saya, Daniel."

Agak lama mereka menghabiskan masa di dalam bilik hospital itu dengan berbual-bual kecil, Raihana mula meminta diri.

Sempat dia memeluk Daniel dengan erat.

"Tunggu saya datang balik nanti." Kata Raihana.

Daniel mengangguk dengan senyumannya. "Hmm. Hati-hati."

Raihana terus berundur dan berlalu pergi. Perlahan-lahan pintu itu dibuka sebelum dia melangkah keluar dan terus ditutup kemudiannya.

Melihat Puan Maria yang sedang berada di luar bilik itu, Raihana mula berdiri menghadap Puan Maria.

Puan Maria melihat genang pada mata Raihana yang cukup sembam itu, tanda dirinya tak bermaya.

"Rai..." Panggil Puan Maria sebelum tangan menantunya itu ditarik.

Raihana mengukir senyuman lemah. Dia terus memeluk Puan Maria dengan eratnya, meminta kekuatan.

"Rai tahu." Kata Raihana, rendah suaranya.

Kepala Raihana diusap lembut.

Pelukan terus dieratkan. Raihana memejamkan matanya erat sambil terus mengukuhkan pelukan itu.

Saya tahu, Daniel.

----------------------

PEMERIKSAAN hari itu dijalankan dengan sangat terburu-buru, namun mengambil masa yang agak lama.

Tadi, bagaikan renjatan, dada Daniel tiba-tiba berombak yang sangat kencang. Seolahnya dia menahan perit dadanya yang tidak lagi mampu terkawal itu.

Tangan Raihana digenggam dengan sangat erat. Bagaikan memaksa Raihana berada di situ meskipun tadinya jururawat meminta Raihana untuk beredar.

Mujur juga Doktor Zaid sangat memahami. Dibenarkan olehnya untuk Raihana kekal di samping Daniel begitu.

Raihana mengusap pipi Daniel. Menyedari mata Daniel mula bergenang, terus Raihana mengusap kepala Daniel.

Tatkala suntikan mula diberikan, wajah Daniel sudah berkerut, menahan kesakitannya lebih-lebih lagi.

Terdengar juga suara halus dari bibir Daniel yang bergerak-gerak, menyebut nama Tuhan.

Daniel memejamkan matanya. Entah ubat apa yang diberikan doktor kemudiannya, dia mula terasa lemah, sebelum terus tertidur tak lama itu.

Genggamannya pada Raihana mula longgar. Raihana kemudiannya meletakkan tangan itu ke sisi, perlahan. Membiarkan Daniel terlena demikian.

Dia memandang Doktor Zaid yang mula menghampirinya.

"Keadaan dia kritikal." Ujar Doktor Zaid.

Tak sampai beberapa hari tiub Daniel mula ditanggalkan, sejak melihat keadaan Daniel yang semakin berubah parah–malah lebih parah dari sebelum ini– segera tiub itu disalur seperti dulu.

Raihana kelihatan terjeda seketika. Wajah Doktor Zaid ditatap, perlahan-lahan.

"Kritikal yang macam mana?" Soalnya, perlahan.

"Lebih kritikal dari sebelum ni."

Sepi. Sebelum Doktor Zaid menyambung.

"Maaf, Raihana. Dia mungkin dah hampir pada penghujung nyawa dia." Kedengaran pilu jua nada Doktor Zaid apabila mengungkap itu.

Raihana yang tadinya sepi kini mengangguk perlahan, tanda faham. Tahu akan itu. Sedia maklum akan penghujung bulan itu.

Masa Daniel adalah sangat, dan tersangat suntuk.

Ini adalah penghujung bulan. Dan, segala kemungkinan yang terjangka pasti akan terjadi bilamana melihat keadaan Daniel sekarang.

Sebelum tiub wayar Daniel mula disambungkan kembali, Daniel begitu mengalami perubahan yang ketara.

Banyak makan, banyak ketawa, banyak bergurau. Dia juga sedang mula bergerak sedikit demi sedikit, menuju ke bilik air dengan sendiri. Menimbulkan harapan buat para doktor untuk mengatakan Daniel mampu sembuh.

Tapi, apalah daya manusia untuk menjangka semuanya. Tuhan jualah yang berkehendak mengatur semuanya. Daniel kembali terlantar sakit walaupun baru seminggu dia demikian.

Malah kini, Daniel benar-benar tidak mampu lagi bergerak. Kesakitan yang Daniel alami sekarang juga bukan lagi calang-calang. Tubuhnya terkadang menggeletar hebat dan berpeluh deras demi menahan sakitnya.

Sejak Daniel mengalami sakit berat seperti itulah, para doktor mula menolak jangkaan bahawa Daniel akan sembuh.

Lalu, apa yang termampu buat Raihana adalah hanya kekal berada di sisi Daniel. Menjadi saksi pertempuran Daniel yang tidak terperi itu. Menenangkan Daniel sehingga terlelap dalam pangkuannya.

Pernah juga, tiga hari berturut-turut Raihana langsung tidak melelapkan mata demi menjaga suaminya itu tatkala Daniel mula mengerang semalaman. Menandakan sakitnya yang tak terkata.

Semuanya adalah sebagai tanda saat-saat akhir Daniel yang hampir tiba.

Raihana mengerti, dan menghadam semuanya. Tahu akan tanda-tanda jelas pada tubuh Daniel. Dia sememangnya sudah sedia maklum akan itu sekian lamanya.

Hanya kini semuanya bergantung pada hatinya untuk menerima dengan sepenuh jiwa atau tidak. Untuk meredhakan semuanya ataupun sebaliknya.

Suasana dikawal dengan senyuman yang diukir lemah.

"Saya faham, doktor." Kata Raihana kemudian.

Doktor Zaid mengangguk-angguk kecil sebelum beredar. Dan Raihana mengerti jua akan kehampaan yang dialami Doktor Zaid.

Sepeninggalan Doktor Zaid dan para jururawat yang bertugas, Raihana mendekatkan wajahnya kepada Daniel.

Diusapnya kepala Daniel yang sedang melelapkan matanya itu dengan lembut. Dahi itu dikucup penuh kasih.

"Apa akan jadi dengan sambutan kita?" Soalnya, perlahan.

Sejak Daniel sakit tenat, perkara itu seolahnya termati dan tak dilanjutkan. Kerana keadaan Daniel yang teruk memaksa semuanya untuk melupakan hasrat itu buat seketika. Atau mungkin selama-lamanya.

Matanya dipejamkan, agak lama. Sebelum senyuman pahit terukir di bibirnya.

Tuhan, sesungguhnya janji Engkau jualah yang pasti.

Raihana memalingkan wajahnya.

Dia kemudian mengambil langkah keluar dari bilik Daniel. Dengan sepenuh perasaan yang...entahlah. Tak mampu bertafsir.

Hanya yang dia tahu, dia harus akur.

Raihana yang tertunduk mula memejamkan matanya. Menarik nafas agar meredakan perasaannya.

Di muka pintu, terasa akan seseorang yang bagai melihatnya, Raihana mula mengangkat kepala.

Dhia yang sedari tadi sebenarnya melihat situasi di dalam bilik wad itu memandang Raihana. Merenung sedalamnya sepasang masa redup yang malap itu.

Raihana mengukir senyumannya, sebelum dia menghampiri Dhia dengan lebih dekat.

Pipi Dhia disentuh lalu diusap perlahan-lahan.

"It's all because of love. Jangan risau." Ujar Raihana.

Semuanya kerana cinta, yang datangnya rasa sedih, hiba, kecewa, sayu. Atas sebab kau peduli akannya.

Semua kerana cinta, hati kau mula rasakan ketidaktenteraman akan kehilangannya.

Semuanya kerana cinta, diri kau sentiasa bersikap tamak untuk mendambakan waktu dan hari-hari yang lebih untuk bersama yang engkau cintai.

Semua kerana cinta. Atas nama cinta.

Dhia merasai hangat tapak tangan itu. Wajah Raihana ditatap, redup.

"Apa akan jadi pada awak lepas dia pergi?" Soal Dhia, perlahan.

Raihana jeda seketika tatkala dia menunduk. Matanya dipejamkan sebelum dia menarik nafas yang sangat dalam.

"Longing for his presence. Over and over again."

Senyuman terukir di bibir Raihana. Kelihatan tenang mengungkap itu.

Suasana sepi. Hanya mata mereka saling bertatapan di situ.

"Tak apalah, Dhia. Dunia kan tetap satu persinggahan sementara."

Mata Dhia mula berkaca-kaca apabila Raihana mula berlalu perlahan meninggalkannya berdiri di situ.

Raihana terus berjalan pergi. Meninggalkan Dhia dengan langkah yang semakin menjauh.

Melangkah pergi, membawa hati. Mengumpul kekuatan dalam diri.

-------------------------

MATA itu sedari tadi memandang Raihana yang sedang sibuk mengelap tubuhnya dengan lembut dan berhati-hati.

Sekejap, dilihatnya Raihana memerah tuala basah itu ke bekas kecil yang berisi air lalu mengelap segenap anggota Daniel. Dan, itu yang diulang-ulang Raihana.

Wajah Daniel juga dilap perlahan-lahan. Agar terasa segarnya.

Tatkala Raihana memandangnya, masing-masing mengukir senyuman.

Bekas kecil itu kemudian diletakkan ke atas meja.

"Hana." Panggil Daniel apabila Raihana mula berada di sisinya.

"Ya?"

Daniel mencapai tangan Raihana lalu diusapnya lembut. Raihana hanya membiarkan dirinya diperlakukan demikian.

"Bila-bila awak hidup sendiri, tinggal dengan ummi walid, ya? Jangan tinggal sorang-sorang. Bahaya." Pesan Daniel.

Raihana terdiam seketika sebelum mengangguk kecil. "Hmm." Balasnya.

Memang selalu itu yang dipesan Daniel, dan selalu juga yang Raihana sematkan dalam hatinya.

"Jangan risaukan saya, Daniel. Saya akan selalu ok kat sini." Kata Raihana.

Daniel tersenyum. "Baguslah."

Suasana sepi seketika sebelum Raihana menatap wajah Daniel, perlahan-lahan.

Raihana menarik nafas sedalam-dalamnya. Wajah Daniel dipandang penuh kasih, dan sayang.

Daniel mengusap pipi Raihana, lembut.

"Doa saya sebagai suami akan selalu iringi awak. Redakan saya, Hana. Sepanjang saya jadi suami awak, dan sepanjang hidup saya. Redakan saya." Ucap Daniel.

Raihana yang tertunduk seketika mengangguk perlahan.

Daniel tersenyum.

"Daniel, kita tak sempat sambut hari jadi sama-sama ke?" Soal Raihana, memberanikan diri bertanya itu.

Liur itu ditelan.

Tak sempat.

Dua patah perkataan itu cukup mudah meluruhkan segenap perasaan Raihana.

Hanya lagi beberapa hari lagi tibanya hari itu, dan itu masih dikira sangat suntuk.

Daniel memandang Raihana dengan mengukir senyumannya.

"Semua hadiah birthday Hana. Sejak lima tahun lepas. Yang Niel tak sempat bagi."

"Kenapa Niel tak nak beri sendiri?"

Sepi seketika.

"Nanti mama tanyakan sekali pada dia kalau dia dah dapat hadiah Niel untuk tahun ni ke belum."

"Tapi kenapa?"

"Sebab.... Niel rasa masa Niel, dah tak lama."

Puan Maria terdiam.

"Niel tak sempat nak bersama Rai untuk birthday dia?" Soal Puan Maria, perlahan.

"Dan untuk birthday mama juga, nanti."

Mata Puan Maria mula bergenang.

Daniel tersenyum nipis. "Halalkan semuanya, mama. Susu mama, air mata mama. Niel minta maaf kalau Niel bukan anak yang taat."

Suasana bertukar sepi.

"Ma, terima Niel "pergi", ya? Mama janji mama jaga diri, ya?"

Empangan yang dicipta Puan Maria mula pecah.

"Saya dah janji pada awak, kan?" Kata Daniel setelah mematikan lamunannya.

Raihana mengangguk perlahan.

Senyuman Daniel ukir lebih lembut.

"Tapi saya ada ucapan yang saya nak sampaikan pada awak sekarang. Sebab saya takut saya terlupa."

"Gaya macam panjang sangat." Kata Raihana.

Tawa kecil Daniel meletus. "Nak dengar tak?"

"Iya. Cakap je. Saya dengar." Balas Raihana.

Daniel tersenyum kemudiannya. Tangan Raihana dicapai lalu diusap.

"Selamat ulangtahun, isteri solehah saya. Setiap hari yang ada dengan awak, adalah hari yang sangat, dan tersangat bahagia buat saya. Stay cute and pretty, okay?" Ucap Daniel.

Kepala Raihana ditarik lalu dahi itu dikucup lembut sebelum dipeluk tubuh wanita itu.

"Ma, jangan beritahu Hana, ya. Dia seronok sangat nak sambut hari tu sama-sama."

"Jangan sedih selalu, Hana, kalau memang masa saya dah tak panjang. Nanti lama-lama awak akan biasa hidup tanpa saya. Doakan saya tenang di "sana". Jangan lupa doakan saya selamat." Ucap Daniel yang lembut mengusap-usap kepala Raihana.

Raihana kaku seketika dalam pelukan itu.

"Terharu tak?" Soal Daniel, berusaha untuk bergurau.

"Ayat awak tak boleh sedih lagi ke?" Gumam Raihana.

Daniel hanya tertawa kecil.

Pelukan Daniel dibalas Raihana selepas itu dengan erat.

Saya faham, Daniel.

"Terima kasih, untuk lima tahun dan lima bulan paling yang bermakna saya pernah alami. Terima kasih jagakan saya sepanjang tempoh ni. Terima kasih sudi terima baik buruk saya." Ucap Raihana.

Mata Raihana pejam erat.

Saya faham awak dah nak "pergi".

"Terima kasih, Daniel. Awak adalah anugerah Tuhan yang paling indah saya pernah dapat." Sambung Raihana, dalam rendah suaranya. Bagaikan diserbu segunung perasaan sebak.

Air mata yang menitis seusainya mengucap itu disapu pantas. Tak mahu Daniel tersedar ataupun melihatnya.

Mata Daniel berkaca-kaca sebelum dia mengangguk-angguk.

"Maaf, kalau saya mungkin tak boleh temankan awak lama-lama, sampai kita tua. Saya harap awak tahu ini semua bukan niat sebenar saya." Ujar Daniel.

Raihana menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Tak apalah, Daniel. Dah lama sangat awak jaga saya. Awak dah lama sangat temankan saya. Cuma saya yang tak perasan." Balas Raihana.

Daniel tersenyum dalam genang matanya. Terharu.

"Hana...?" Panggil Daniel.

"Hmm..?" Sahut Raihana.

"Awak dulu pernah suruh saya untuk sentiasa jujur dengan apa yang saya rasa. Sama ada saya bahagia, sakit, pedih. Dan saya buat semuanya." Kata Daniel.

Raihana hanya mendengar tanpa membalas.

Daniel mula menyentuh dagu Raihana dengan lembut.

"Boleh tak kali ni, kalau saya nak awak buat benda yang sama? Untuk malam ni cuma?" Soal Daniel.

Raihana memandang Daniel, agak lama.

Daniel menyambung. "Saya nak dengar semua yang awak rasa sekarang. Pahit yang awak sembunyikan di sebalik senyuman dan ketabahan awak. Saya nak tahu isi hati awak."

Saya nak dengar tangisan awak, Raihana. Untuk satu malam ini.

Raihana diam seketika. Mengalihkan pandangannya dari memandang Daniel.

"Kalau saya buat, awak nak buat apa lepas tu?" Soal Raihana apabila dia memandang kembali wajah itu.

"Saya takkan tutup mata awak untuk halang awak daripada menangis. Sebab saya dah bersedia. Cukup bersedia untuk mendengar luahan hati awak." Balas Daniel, menghadirkan sepi Raihana kemudiannya.

Raihana mula memandang Daniel dengan senyuman nipisnya.

Pipi itu diusap berkali-kali dengan lembutnya sebelum perlahan-lahan, Daniel dipeluknya, erat.

Tanpa suara.

Hanya Raihana yang sepi, bagai mencari kata yang sesuai. Dan juga Daniel yang seolahnya menunggu Raihana di situ, bersedia mendengar kata-kata Raihana selanjutnya.

Kedengaran nafas Raihana hela perlahan sebelum senyuman nipis terukir.

"Dulu, Daniel, awak pernah cakap yang kita akan cara yang lebih baik untuk berpisah dari bercerai." Kata Raihana.

Daniel hanya diam, mendengar kata-kata itu.

Raihana menelan liurnya sebelum dia menyambung. "Cara tu, ajal ke?"

Mata Raihana mula berkaca-kaca apabila menyoal itu.

Daniel mengusap kepala Raihana perlahan. "Hmm." Balasnya.

Nafas Raihana tarik sedalamnya. Pelukan itu semakin dieratkan.

"Awak memang dah jangka awak akan "pergi" awal, kan? Cuma saya yang tak sedar." Kata Raihana, perlahan.

"Hmm."

"Disebabkan leka dan lalai saya tu, saya selalu berharap akan masa tambahan untuk kita berdua. Untuk saya tebus masa-masa yang saya terlepas pandang. Mungkin, sebab tu, hati saya jadi sangat berat untuk lepaskan awak."

Daniel masih begitu. Hanya mendengar.

Suasana berubah sepi seketika.

"Awak pernah tanyakan apa impian saya sebelum ni. Dan saya tak berikan awak jawapan pun."

Raihana diam seketika sebelum menyambung. "Awak tahu, Daniel. Saya sebenarnya masih harapkan kita sempat sambut ulangtahun perkahwinan kita yang ke-6."

Dalam mengungkap itu, suara Raihana mula berubah. Terdengar getar pada hujung suaranya itu.

"Ataupun, sampai ulangtahun perkahwinan yang ke-10. Demi menebus lima tahun lepas."

Jeda seketika, sebelum Raihana terus menyambung. "Sebab itu impian saya, Daniel ; nak tebus lima tahun yang saya abaikan."

Getar yang memikul perasaan sebak.

"Tapi kita..awak..."

Kata-kata itu termati. Sesaat dua.

"K-kita tak... awak tak–"

Termati lagi kata-kata itu.

Raihana memejamkan matanya erat sebelum membukanya perlahan setelah mengumpulkan kekuatan.

"Sebenarnya saya tahu masa awak sekarang dah sangat singkat, Daniel. Petanda awak makin sihat dulu, saya boleh agak kenapa. Dan, saya tahu, mungkin awak tak sempat pun nak sambut birthday saya."

Raihana menelan liurnya. Dia mengukir senyuman nipisnya kemudian.

"Saya tak tahu kenapa saya berkeras nafikan yang awak masih ada masa. Padahal saya dah tahu. Semua orang tahu." Katanya, perlahan.

Jeda seketika. Sebelum Raihana kembali menyambung.

"Tapi tak apalah, Daniel. Kita dah usaha yang terbaik. Awak pun dah terlalu kuat berjuang untuk sakit awak. Awak tak patut rasa semua ni lama-lama semata-mata untuk bahagiakan saya. Tak apa. Saya akan belajar terima takdir saya."

Raihana menundukkan pandangannya seketika mengusap lembut tangan Daniel. Dia kemudiannya memandang wajah Daniel dengan senyumannya. Pipi itu perlahan-lahan diusap.

Daniel memandang Raihana sedalamnya. "Hana?"

"Hmm...?"

"Stop fighting. Can we?"

Raihana menelan liurnya sebelum mengangguk.

Syurganya ini, bakal meninggalkannya. Syurganya ini, sudah bersedia sepenuhnya menemui Sang Pencipta.

"Hmm."

Dia mula menggigit bibir dan mengetapnya dengan kuat.

"Can you?" Soal Daniel.

"Saya ok. Tak apa."

Tangan mula mengusap tangan Daniel sebelum dia menggeleng-geleng.

"T-tak apa..."

Getar suara itu mula kedengaran. Raihana memejamkan matanya erat.

Tanpa mampu dikawal, air matanya mengalir. Berkali-kali Raihana mengesat air matanya namun semakin banyak yang tumpah. Tangannya pantas menyeka air mata yang berguguran itu sebelum mengukir senyuman memujuk diri.

Daniel merenggangkan pelukannya sebelum memandang wajah Raihana.

"Mungkin, Sirius cuma ada saat seketika. Tapi dia masih mampu menerangi dunia, kan?"

Raihana diam sekejap sebelum mengangguk perlahan. "Hmm."

Daniel tersenyum halus.

Kepala Raihana diusap.

"Kalau rindukan saya satu hari nanti, tengoklah langit. Saya selalu ada kat sana." Ujar Daniel.

Raihana mengetap bibirnya sebelum mengangguk-angguk. Menahan sebak dalam hatinya yang bertalu-talu memukul sanubari.

Melihat bintang di langit dan menghitungnya saban malam.

Macam dulu, yang selalu dia lakukan.

Mungkin selepas ini, tak lama lagi, dia akan ulangi perkara yang sama.

Cuma bezanya, kali ini, dia akan lakukan itu untuk tempoh yang sangat lama.

Selama-lamanya.

Raihana membawa tangannya, menutup mulutnya sendiri.

Sebelum kedengaran esakan Raihana mula menerjah pendengaran Daniel.

Esak yang telah lama dipendam. Yang disembunyikan sekian lamanya.

Daniel memejamkan matanya.

Akhirnya.

Akhirnya, terluah juga tangisan yang selama ini disembunyikan Raihana dari pengetahuan Daniel.

Terluah juga segenap perasaan yang sekian lama membengkak dalam hati Raihana demi menjaga satu-satunya jiwa milik sang suami.

Daniel yang mendengar hanya membiarkan Raihana menangis demikian.

Raihana pula mula merintih.

Tak apa. Walaupun hati saya terasa berat, Daniel.

Bahunya mula terhenjut-henjut. Esak Raihana semakin menjadi-jadi apabila menyebut itu dalam hatinya. Dalam pelukan Daniel yang mula menariknya rapat itu.

Dalam ruangan bilik hospital itu, tidak ada satu pun yang terlepas dari mendengar esak tangisan Raihana. Yang pada mulanya hanya perlahan namun berubah menjadi yang sangat mengharukan.

Tak apa.

Dada Raihana cengkam kuat. Menahan sebak dadanya yang terasa bagaikan terjerut itu.

Raihana terus mengongoi dalam pelukan Daniel itu. Meluahkan hiba dan perit jiwanya yang tersangat sarat.

Ya. Dia tak mampu nafikan. Dia sangat, dan tersangat sedih untuk melepaskan Daniel "pergi". Walaupun sememangnya Tuhan jua yang sudah menetapkan semuanya.

Walaupun kata Tuhan, ini adalah ketetapan. Inilah takdir. Inilah qada' dan qadar.

Namun dia juga hanyalah manusia. Yang punya sekeping jiwa yang mudah goyah dengan dugaan-Nya.

Tapi juga, esakan hari ini adalah detik penguat dia pada masa akan datang, bukan?

Jadi, biarkanlah dia lepaskan semuanya pada hari ini.

Untuk masa yang masih ada, biarlah dia melepaskan perasaannya yang sentiasa mengurung jiwanya. Siapa tahu, esok dia akan menjadi lebih kuat.

Tak apa. Tak apa.

Raihana terus menangis kuat dalam larut malam itu tanpa tertahan lagi.

Tangisan hiba Raihana pada malam itu, adalah tangisan yang sepaling-paling haru pernah diluahkannya. Yang sesiapa jua mendengar, akan turut berasa luluh dan hancurnya.

Daniel di sisi Raihana hanya mengeratkan pelukannya. Sebagaimana yang dijanjikan, dia takkan menghalang.

Hanya kepala Raihana diusap-usap perlahan, menandakan dia masih ada di samping Raihana.

Membiarkan kekasih hatinya, menghamburkan segala-galanya. Agar semuanya tidak tersarat lama dalam hati sang kekasih itu.

Tak apa, Hana. Saya faham.

Raihana yang masih terhenjut-henjut meluahkan sedu dan sedihnya tetap demikian. Tanpa dia sendiri jua menghalang dirinya, malah semakin melepaskan semua yang tersimpan.

Dalam kesedihan yang dialami Raihana itu, akhirnya dia surut sendiri dalam pangkuan Daniel. Sebelum dia terus tertidur apabila dibuaikan Daniel yang menepuk-nepuknya perlahan lalu didodoikannya dengan nyanyian kecil.

Persis apa yang selalu dilakukan Raihana buatnya.

Yang berbezanya, itu adalah kali pertama dan kali terakhir Daniel memperlakukan Raihana demikian.

Kerana malam itu, adalah malam terakhir Raihana meluahkan sedihnya di hadapan Daniel seperti itu.

Malam itu, adalah malam terakhir buat Raihana melepaskan segala yang ada dalam sudut hatinya. Yang tak pernah pun Daniel ketahui sebelum ini.

Malam itu jua, adalah malam terakhir Daniel mengusap kepala Raihana demikian dalam pelukannya.

Kerana siapa sangka, malam itu adalah benar-benar malam terakhir buat mereka berdua.

Siapa juga yang mampu menjangka bahawa esok paginya, hanya satu jiwa yang masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.

Manakala buat sekeping jiwa yang lainnya, sudah menemui Penciptanya.

Menghadirkan seribu gundah dalam jiwa yang masih diberi peluang untuk bertaut dengan jasad di muka bumi. Untuk merelakan semuanya pergi. Menerima janji Tuhan yang pasti.

Untuk merelakan si cinta hati, pergi meninggalkannya sendiri.

Tatkala pagi yang berganti tiba, hanya sepucuk surat yang ditinggalkan—di atas kotak hadiah hari lahir yang dijanjikan—, sebagai menyimpulkan perasaan sang suami buat isteri secara keseluruhannya.

Sebagai memoir terakhir sang suami yang sentiasa menjadi memori terakhir buat kekasihnya di dunia ini.

'Hana,
terima kasih.
Saya sayang Hana.'

-Tamat-

-----------------------------------

Poem at 1726 hrs,
Jan 30 2017.

[continue]

It was the day, the whole day that I actually realized
how much you had done for me,
And I thought you loathed me for leaving,
But you still didn't.

so I waited for you to wake up in the next morning
for us to collect all the puzzles we had missed
And I waited for you to open your eyes
to recall the last time we kissed
...but you didn't.

It Was The Day, But You Didn't by Hfil

----------------------------------------------

Special in remembrance,

Ezlyanis Aidid.

----------------------------------------------

Promote:

Hey Awak! by itsyhaeys
Genre : Romance

Arianna Sofia by itsyhaeys
Genre : Romance

Miss & Mr Engineer by Lavendarheart
Genre : Romance

Beriku Peluang Kedua by Lavendarheart
Genre : Romance

His Vampire by neesofiya
Genre : Fantasy

Adrianna Hafiz by ardellshah
Genre : Chicklit

Asrama by ardellshah
Genre : Chicklit

Chess Love by Nz_Fare
Genre : Teen Fiction

-----------------------------------------------

Masih ada epilog. (:

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro