7 Tampar

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Tunggu, Nain!"

Terkocoh-kocoh kakinya melangkah di koridor dewan utama dalam pakaian uniform sekolah. Di tangannya terdapat satu kotak baldu cincin.

Seorang remaja lelaki berbaju Melayu putih elok tidak menoleh ke arah belakang. Dia hanya menghentikan langkah menanti si pemanggil tiba. Berdirinya sehelai sepinggang.

Betapa merahnya wajah Huda ketika itu. Diri sendiri dikuatkan untuk bertemu si dia. Huda mengatur langkahnya perlahan-lahan sebelum terpasak pada lantai. Dalam jarak ini, pasti Iskandar akan dengar jua apa yang hendak disampaikan. Hati tidak pernah tenteram semenjak semalam, pelbagai rasa terbuku kerana nukilan surat daripada lelaki ini.

"Kenapa kau bagi cincin ni?" Pengawas berbaju kurung itu mengeluarkan patah bicara. Di saat pelajar yang lain sudah bergerak untuk ke kelas seusai pembacaan yassin paada pagi jumaat, dua pelajar ini masih tidak berganjak.

"Cukuplah surat tu yang terangkan," jawabnya yang ringkas.

Huda menggeleng perlahan. Ya, memang itu tulisan Iskandar. Memang pun pada hari jamuan makan malam tempoh hari, dia telah menerima sejinjing beg hadiah pemberian insan yang tidak diketahui. "Kenapa kau tipu aku masa aku luahkan perasaan pada kau tahun lepas?"

Iskandar Dzulkarnain memalingkan badan menghadap gadis yang telah berjaya mencuri hatinya. "Sebab aku tahu kalau aku balas pun, ia takkan ubah apa-apa. Keadaan kita... Kita masih pelajar sekolah. Jadi, aku cuba anggap kau sebagai kawan."

"Jadi, apa makna cincin ni? Tak ada kawan yang bertukar hadiah sebentuk cincin melainkan ada makna lain," ujar Huda mendatar. Gugup hati ditahan dengan baik. Sebelum persediaan SPM jadi berantakan gara-gara terlajuk perahu dalam gelora perasaan, lebih baik segalanya diselesaikan sekarang.

Mata hitam remaja lelaki itu tertancap pada kotak cincin dalam genggaman si gadis.  "Tu cincin murah je, Huda. Padanlah, aku kan pelajar sekolah. Aku tak mampu nak beli lebih dari tu. Tapi..."

Setiap patah yang keluar, Huda yakin itu sebenar-benar rahsia hati. Iskandar baik orangnya, jarang pula menyebut nama perempuan di sekolah. Jika nama Huda yang dilafazkan, maka itulah yang termaktub tanpa sedar.

Iskandar Dzulkarnain tersenyum nipis.  "Tapi bila kita dah habis sekolah, aku akan cuba gantikan tu dengan cincin emas sebenar. Aku tak tahu apa kata orang tua kau. Tapi, ibu dan ayah aku izinkan aku untuk bernikah lepas habis sekolah. Dengan syarat, aku tak abaikan adik-adik aku dan pelajaran," sambungnya.

Bagaikan hilang detakan sesaat. Huda tertunduk menekur lantai. "Kau tak main-main, kan? Ni bukan dare daripada Fa-Fahim?"

"Fahim tak tahu tentang penerima cincin. Aku rahsiakan dari dia, sebab... Ya, kau faham-fahamlah otak biul dia tu. Cincin ni hanya antara aku dan kau. Kau pun tak khabarkan pada siapa-siapa, kan?" Iskandar inginkan kepastian. Wajahnya tidak menandakan dia gugup, malah nada suara pun kedengaran tenang seperti biasa.

"Tak. Hanim pun tak tahu," jawab Huda. Suara Iskandar menjadi halwa telinga, menenangkan hati yang resah. Sedikit lega andai ini kekal menjadi rahsia.

Remaja lelaki itu mengangguk faham. "Baguslah... Kalau kau terima cincin tu, maknanya kau terima hati aku. Kalaulah suatu hari nanti kau berubah hati, pulangkan cincin tu pada ibu aku. Jangan buang. Kita tak tahu apa akan jadi, kan? Segalanya akan berjalan sangat cepat."

"Aku terima. Ni rahsia kita, bukan?" Kepala diangkat memandang Iskandar. Huda sudah punya semangat dan kekuatan. Nampaknya, remaja lelaki ini bukanlah seperti buaya darat yang lain.

"Ya, rahsia kita. Doalah supaya segalanya dipermudahkan. Doa keputusan SPM kita cemerlang. Biar nanti aku boleh mohon satu kolej dengan kau dan mudahkan urusan pernikahan... Ya, kita akan bincang balik lepas habis SPM nanti. Kau fokus belajar je sekarang ni. Ada rezeki, adalah."  Terlalu muda hendak menuturkan tentang alam perkahwinan. Namun, kematangan bukanlah pada angka umur. Pertunangan bukan berdasarkan berapa lama telah cinta terjalin. Asal dia tahu apa amanah yang menanti, bahu pun siap sedia hendak memikul. Iskandar yakin dengan pilihan ini.

"Terima kasih , Nain. Aku akan tunggu kau." Senyuman diukirkan si gadis pengawas. Wajahnya kelihatan manis sekali dalam sepersalinan putih dengan blazer hitam. Tidak seresah tadi, tidak juga terpinga-pinga lagi. Jalan yang akan diambil bersama-sama tidak samar-samar.

"Tapi... Kalau aku tak dapat tunaikan semua tu... Maafkan aku. Aku cuma manusia biasa yang boleh pasang angan-angan. Selebihnya Allah yang tentukan." Iskandar hanya memandang Huda buat seketika.

"Kau akan berubah hati?" tebak Huda. Memang benar, ini hanya sebuah perancangan dua orang remaja 17 tahun.

"Tak. Hati aku akan tetap macam ni sampai bila-bila, Insya Allah." Lama solat istikarah ditunaikan Iskandar, pendapat sang bonda turut ditanya. Dia akan berusaha untuk mendapatkan Huda meskipun ada ujian yang menanti. "Kalau aku yang pergi dulu, aku minta maaf."

"Aku akan tetap tunggu kau."  Saat itu, hati telah bersumpah untuk terkunci di atas nama seorang insan.

"Tak payah tunggu aku kalau aku dah takde dekat dunia ni."

"Tak adil kalau hanya hati kau yang boleh tetap dengan satu nama. Aku tak kisah kalau kita takde jodoh dekat dunia, asalkan dekat 'sana' kita akan tetap berjumpa."

Iskandar tersenyum kecil. "Insya Allah, Huda."

Setiap kali memori lama berlayar, bibir pasti mengoyak senyuman. Kesemua ayat surah Yassin telah dibaca sebagai hadiah kepada 'dia'. Telekung putih selesa dipakai Huda di atas katil. Naskhah AlQuran bersalut keemasan dipeluk rapat ke dada.

" Ya Allah, biarlah setiap kali aku mengingati dia... Hati ini akan lebih mengingati Engkau. Aku cintakan dia kerana Engkau, tak lebih dari itu," getus hati kecil. Sebentuk cincin besi keemasan yang tersarung di jari diusap Huda.

Cintanya pada lelaki itu masih kukuh bertapak. Tomahan sesetengah rakan tidak pun membuat dia berubah fikiran. Kadang-kadang, dunia ini memang memenatkan. Yang sudah berkahwin, jadi bahan gosip. Yang bujang apatah lagi. Setiap jalan yang diambil akan tersedia satu dugaan.

Huda juga tahu, cintanya dianggap seperti sampah pada pandangan mata lain. Orang yang berhati busuk itu tidak tahu, hanya dengan Iskandar dia bagaikan ditarik kembali untuk kekal di atas jalan ketaatan. Berbading dengan lelaki lain, rasanya tidak sama.

Mereka datang menawarkan pangkat, harta dan keturunan, tetapi hati Huda tidak akan terbuka lagi.

***

Pelipis diurut Salahuddin yang terbaring di atas sofa tiga serangkai. Runsing kepalanya memikirkan kelakuan pelik Khaifa siang tadi.

Tawaran pekerjaan?

"Adik, kak Huda kirim salam." Zulaikha menapak ke ruang tamu rumah dengan telefon pintar di tangan. Dia menghenyakkan badan ke sebuah sofa berdekatan tanpa mengendahkan resah wajah sang adik. "Nampak abang Im, tak?"

"Eh, abang Im tak balik lagi? Dari siang hilang..." Salahuddin bingkas duduk.

"Itulah yang akak tanya... Bila mesej, dibalasnya on the way nak balik. Ini dah pukul 9 malam pun on the way lagi. Akak  risau..." Gadis berkaca mata itu mendung di sofa. Kakinya diangkat dan dipeluk ke dada. Perlahan-lahan tubuh bersandar pada tangan sofa.

"Kak Ika... Kak Huda, okay? Dia pengsan sebab apa?" Segar mata mendengar nama 'Huda'. Salahuddin duduk dengan tulang belakang yang tegak.

"Huda penat je. Dia kena berehat, nanti okaylah. Alhamdulillah... Takde apa-apa yang serius," maklum Zulaikha. Skrin telefon ditatapnya, menunggu balasan sang suami yang menghilang entah ke mana.

"Mujurlah... Boleh Salah tidur dengan tenang malam ni." Remaja lelaki itu pura-pura mengelap peluh di dahi.

"Yang awak ni sibuk sangat, kenapa?" Huda agak hairan dengan perangai adik sendiri. Takkanlah Salahuddin yang baru berusia 17 tahun telah jatuh hati pada seniornya yang berusia 30 tahun. Tekaan itu agak keterlaluan.

"Kak, Salah suka Kak Huda," jujur Salahuddin. Berani sungguh menyatakan hasrat hati pada kakak sendiri.

Zulaikha terdiam seketika, otaknya perlukan masa buat menghadamkan kata-kata Salahuddin. Dia yang tahu segala hubungan Huda dan arwah Iskandar Dzulkarnain menggeleng perlahan. "Jangan merepek. Seluar dalam pun akak yang belikan."

"Eh... Ibu kata along nak kahwin masa tingkatan lima. Ayah izinkan je... Bila giliran adik, selalu semua orang tak setuju," rungutnya.

"Arwah along bukan macam awak. Dia guna duit sendiri untuk beli apa-apa. Along sangat berbeza dengan Salah... Salah, lupakan Kak Huda. Fokus pada SPM." Adiknya yang membawa rupa oaras Iskandar Dzulkarnain dipandang Zulaikha. Mata menilik bahagian hidung dan mata, itulah kilasan yang membuatkan yang lain akan tertukar antara adik dan abang.

"Along je pun... Tak habis-habis nak puji melambung. Dia yang gatal nak kahwin, orang lain boleh terima. Salah yang baru cakap 'suka Kak Huda', dah kena ungkit macam-macam. Bagus sangat along dah mati, kalau dia ada sekarang ni... Mesti menyusahkan je." Desahan kata-kata kasar Salahuddin mengejutkan Zulaikha. Betapa angkuhnya dia mahu merendahkan abang sendiri yang tidak mampu untuk membalas apa-apa. Yang mahu melihat adik kandung membesar, namun tidak diizinkan Ilahi.

"Salahuddin Ayub, jaga mulut tu." Suara Zulaikha menjadi tegang.

"Apa? Tak boleh nak cakap langsung pasal along?" Mulut becok Salahuddin menjawab lantang. Bibir tersenyum sinis.

"Salah, jangan hina along. Along tak pernah sekalipun hina Salah... Dia cuma tahu nak buat Salah tersenyum."

"Iya? Kenapa Salah tak ingat?" Sedikit pun tidak heran. Fikiran mula serabut dek orang sekeliling yang sentiasa berpendapat bertentangan dengannya.

"Sebab awak kecil lagi. Tapi mata ni," Zulaikha memaksudkan matanya.  Cermin mata ditarik turun, dia melihat darah daging sendiri. "Mata ni nampak macam mana sayangnya along pada awak. Biar pun dia tak dapat balik selalu... Tapi kasih sayang along pada Salah tak pernah berubah. Bila along ada dekat rumah, Salahlah yang paling gembira dulu."

"Tu dulu. Sekarang dia dah mati, dah mereput dalam tanah, dah berulat. "

PANGGG

Terteleng wajah ke tepi dalam sekelip mata. Bekas tamparan pun berdenyut hebat. Salahuddin menarik nafas dalam sebelum mengangkat kepala, jantung berdetak laju kerana ketakutan. Berdesing telinga disapa bunyi telapak tangan bertemu pipi.

"Kenapa kau kurang ajar sangat?" soal Faizal. Iris hitam bak Iskandar menikam mata coklat Salahuddin. Wajahnya terpeta kemarahan yang teramat. Ayat kurang adab Salahuddin ditangkap telinga lelaki 50-an itu apabila membuka pintu kamar. Dek kedudukan bilik utama yang bersebelahan dengan ruang tamu, ayat-ayat hinaan langsung tidak bertapis kedengaran jelas.

"Ke-kenapa... A-ayah..." Terus gagap remaja itu. Buat pertama kalinya, dia menyaksikan sang ayah sebengis ini.

"Sebab kau dah melampau. Aku tak boleh duduk diam selagi kau tak habis-habis kutuk abang sendiri. Yang kau nak benci dia sangat, kenapa? Apa salah abang pada kau? Cakap... Apa salah dia? Kalau dia buat salah, biar aku yang minta maaf." Tangan yang pernah memandikan jenazah Iskandar Dzulkarnain akhirnya menampar pipi si bongsu. Faizal menggenggam penumbuk buat mengawal kemarahan. Tersembul urat pada kekura tangan.

Atmosfera ruang tamu rumah sepi tanpa sebarang balasan. Umpama merah biji saga, mata Faizal sedang menahan marah dan tangis. Dua perasaan bergolak dalam sanubari.

Zulaikha tertunduk menekur ke arah lain. Dua ulas bibir tidak berani membela Salahuddin di hadapan Faizal. Mulut dikunci, telefon pintar terlurut jatuh ke lantai sofa.

"Ayah mesti tak pernah tampar along, kan? Along baik... Tak macam adik..." kata Salahuddin. Hati menjauh lagi dan lagi.

"Bukan setakat penampar... Tali pinggang... Kaki.. Getah paip... Semuanya Iskandar dah rasa..." Sebutir mutiara luruh yang mana selama ini tidak ditayangkan pada siapa-siapa. Rindu itu menjadi satu rahsia yang terkadang disedari Raudhah. "Kau jangan hina dia dah," pesan Faizal. Jarinya menunding pada batang hidung Salahuddin.

"Awak, bunyi apa tadi?" Hadirnya Raudhah ke ruang tamu menarik perhatian tiga beranak itu. Wanita berkenaan tersenyum ke arah Faizal apabila terlihat air mata sang suami.

"Takde ada apa, ibu," jawab Zulaikha segera buat meleraikan keadaan. Jelingan pada Salahuddin memberi isyarat diam.

Jangan keruhkan lagi, jangan libatkan air mata ibu pula.

***
votexkomen
***

sorry lambat update!
hm.....
TQ 1k reads! Meh riuhkan ruangan komen. Jangan biarkan saya sendu. Dahlah cerita ni leleh je kerja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro