HV | Fantasy : Jam Dinding Halloween

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Aku membelek surat dari Auntie Emily Blunt. Tersenyum saat membaca dakwaan Auntie Emily adalah seorang ahli sihir. Ini kelakar.

Kalaulah bukan kerana peristiwa kebakaran 2 tahun lepas yang mengorbankan ibu ayahku, pasti hubungan keluargaku dan Auntie Emily serta keluarga lain takkan serapat ini.

Simpati.

Seluruh keluarga termasuk datuk dan nenek menjadi penyokong meneruskan hidup. Dalam derita kehilangan, aku bahagia kerana mendapat keluarga yang lebih besar.

Jam dinding pemberian Auntie Emily dipandang. Aku bukan budak-budak untuk percaya kata-kata Auntie Emily bahawa aku akan ke tahun lain jika berdiri di hadapan jam itu tepat pukul 12.00 malam. Tapi, apa salahnya mencuba? Musim Halloween, kan?

12.10 am.

Nampaknya tiada apa yang berlaku. Entah bagaimana aku terlanggar bingkai gambar lalu jatuh pecah di lantai.

"Chloe Graze Moretz! Tak tidur lagi?" satu suara melaung di luar pintu.

Tubuhku mengeras. Mimpikah aku? Pintu dibuka dan aku berlari ke anak tangga.

"Betul cakap saya, dia tak tidur lagi," sela Mr. Moretz.

"Papa? Mama?" Air mata bergenang. Ibu bapaku tenang bersandar di sofa seperti malam-malam minggu yang dulu. Pantas aku berlari mendapatkan mereka.

Oh Tuhan... aku rindu.

Tidak aku peduli kehairanan mereka. Jadi benarlah kata-kata Auntie Emily! Aku benar-benar kembali pada 2 tahun yang lepas.

Aku berkeras tidak mahu naik ke bilik. Bila lagi peluang ini akan ada. Aku tak peduli jika ini adalah mimpi. Aku cuma tidak mahu ia berakhir.

"Awak terlalu manjakan dia," marah mama.

"Biarlah. Dia saja keluarga kita," sayu suara papa.

"Kenapa? Awak menyesal kahwin dengan saya?"

"Mrs. Moretz!"

Aku memejamkan mata apabila suara papa meninggi. Saban hari mereka bertengkar kerana hal yang lebih kurang sama. Papa mengahwini mama namun keluarga mama menyebabkan syarikat papa dan datuk gulung tikar.

Kami dipinggirkan kerana papa memilih untuk memaafkan mama yang tidak tahu rancangan jahat keluarganya sendiri namun mungkin kerana tertekan dengan layanan keluarga papa, mama selalu mengungkit hal itu. Keluarga mama turut memulaukan kami atas sebab yang sama.

"Awak boleh ceraikan saya, kembali pada keluarga awak. Tak perlu buat muka sedih depan saya lagi. Tak berbaloi korbankan seluruh keluarga untuk saya seorang."

Aku tahu mama berjauh hati walhal dia tidak maksudkannya. Aku juga sedih dicaci dan diperli keluarga kami apalagi mama.

"Awak selalu begini!"

"Memang saya tak guna, kan?" mama mula melawan.

Aku berdiri memandang mereka. Kesal. Trauma melihat pergaduhan yang sama setiap hari.

Aku pandang kalendar di dinding. Bukankah ini tarikh kebakaran berlaku? Puncanya kerana litar pintas di dapur? Aku terselamat kerana terjun dari tingkat 2.

Aku ke dapur, memandang percikan api kecil di kotak suis.

Patutkah aku menghalang tragedi ini dari berlaku?

Maka aku akan kehilangan kasih sayang seluruh ahli keluargaku dan mama papa akan terus berbalah.

Atau...

Aku biarkan saja takdir ini terjadi. Dan membiarkan diri aku mati bersama di sini.

Kerana aku tidak layak menerima semua kasih sayang yang ada di atas penderitaan mama dan papa.

Api semakin marak dan aku tegak berdiri bersama tangisan.

Aku tahu... suis itu akan meletup.

Aku tahu... tapi kaki terkaku mendengar suara mama dan papa yang bertingkah tidak sudah.

Aku menangis.

FANDOM :
Chloe Graze Moretz
Emily Blunt

500 patah perkataan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro