15 | Pulang ke 'Rumah Kita'

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Alaa... nak balik juga ke?" Puan Wahidah menyoal, bersama riak muka monyok.

"Ibu... rumah Afiq dengan rumah ibu bukan jauh mana pun. Nanti bila-bila, Afiq baliklah sini lagi. Kalau Afiq tak balik sekalipun, ibu pergilah tidur rumah Afiq pula. Bu Dewi pun dah rindu dekat ibu tahu." Afiq menjawab panjang.

Bu Dewi ialah adik kepada Bu Yati.

Setelah Afiq berpindah rumah, Afiq telah mengajak Bu Dewi bersama suaminya, Pak Herman agar berpindah kerja di rumah Afiq pula. Pak Herman bekerja sebagai tukang kebun Afiq. Sekali-sekala, menjadi pemandu Afiq juga jika perlu.

Namun, mereka berdua tidak tidur di rumah Afiq. Sebaliknya, mereka tinggal di rumah mereka sendiri. Hari bekerja mereka pula hanya dari hari Isnin sehingga hari Khamis.

Puan Wahidah mengeluh kecil. Baru dua malam diorang berdua ni tidur sini, dah nak balik. Tak puas lagi bersembang dengan diorang.

Setelah Nazliyana dan Afiq bersalaman dengan Puan Wahidah, Encik Zuhairi dan Wani, mereka berdua masuk ke dalam kereta.

Saat kereta menghilang dari pandangan, "Abang... nanti diorang balik dari bulan madu, kita pergi tidur rumah diorang, nak?" soal Puan Wahidah.

"Kamu ni Wahidah. Pengantin baru, jangan diganggu..." Encik Zuhairi menggeleng kepala. Namun setelah melihat wajah monyok isterinya, "Dua minggu lagi... kita pergi."

Tersenyum Puan Wahidah dan Wani yang mendengar. Yeah!

Di dalam kereta, "Arash... yang tadi tuu, rumah ibu?" soal Nazliyana.

"Iya..." Pendek Afiq menjawab.

"Sekarang, kita nak pergi rumah Arash?" soal Naz lagi.

"Bukan 'nak pergi'... tapi 'nak pulang'. Bukan 'rumah Arash'... tapi 'rumah kita'." Afiq menidakkan kata-kata Nazliyana.

Nazliyana diam terkedu. Terkejut dia bila bangun je pagi tadi, tiba-tiba Afiq suruh dia kemas beg baju. Afiq nak bawa Naz balik 'rumah'. Nazliyana ingatkan, Afiq tinggal sekali dengan ibu abahnya. Rupanya, salah.

"Jauh tak rumah Arash..." soalan Nazliyana tak sempat habis sebelum dia diberi jelingan laser maut dari mata Afiq. "Jauh tak rumah... dari rumah ibu?" soal Naz.

"Rumah siapa?" Sengaja Afiq menyoal.

"Malaslah nak tanya..." Nazliyana elakkan diri dari menjawab soalan Afiq. 'Rumah kita'? Hmm... saya perlukan masa untuk sebut ayat sebegitu. Rasa macam... aneh?

Lebih kurang 20 minit perjalanan, mereka sampai ke tempat yang dituju.

'Rumahmu, rumahku'.
'Rumahku, syurgaku'.

Dari pintu garaj menuju ke hadapan pintu rumah, cuma berjarak dalam 100 meter sahaja... tak macam rumah ibu. Halaman depan juga tak sebesar mahupun sehijau halaman rumah ibu. Kebanyakannya berlantaikan konkrit. Rumah juga tak sebesar rumah ibu.

Tapi, terlihat kemas dan cantik! Itu, sama sebiji macam rumah ibu!

Rumah Afiq dilihat Naz, mungkin tiga kali ganda, lagi besar dari rumah Nazliyana di kampung.

"Assalamu'alaina wa'ala 'ibadillah hissholihin..." Afiq memberi salam panjang. Salam yang dikhaskan untuk rumah yang tidak berpenghuni.

Nazliyana mengikut Afiq dari belakang, "Assalamualaikum."

Afiq tersenyum, lantas menjawab salam dari Nazliyana, "Waalaikumsalam."

Nazliyana memerhati reka bentuk dalaman rumah. Ala-ala barat, moden kontemporari. Warna hitam, putih, kelabu. Tanpa sedar, bibir Naz mengukir senyum. Cantiknya rumah ni. Macam... rumah, orang kaya?

"Arash... Arash kerja apa?" soal Nazliyana, polos.

Afiq terkejut mendengar soalan 'tiba-tiba' Naz. "Err... I... kerja... office?" jawab Afiq, teragak-agak.

"Gaji Arash sebulan berapa?" tanya Naz lagi. Wajahnya masih dihiasi riak muka tak bersalah.

Afiq menarik sengih. Aduh. Soalan dia, tak boleh 'lurus' lagi, ke? "Jom... bilik kita dekat tingkat atas." Afiq tidak menjawab soalan Nazliyana. Dia cuma menghadiahkan secebis senyumannya.

Nazliyana muncung bibirnya ke hadapan. Alah... orang teringin nak tahu gaji dia berapa sebulan! "Rumah ni, rumah Arash betul-betul kaa, Arash sewa?" Naz kemukakan lagi soalan kepada Afiq. Kaki mereka sedang menapak ke arah tangga.

"Hmm... rumah... 'betul-betul'? Well, setahu I, rumah ni bukan rumah lego. Yang itu I pasti betul." Afiq ketawa kecil dengan 'jenaka' yang pada Nazliyana, itu ialah lawak-yang-tak-menjadi. Kedua-dua belah tangannya sedang membawa bagasi mereka berdua.

Nazliyana muncungkan bibirnya lagi sekali. Fine... malas dahlah nak tanya kalau gini. Jawapannya, macam nak tak nak jawab je.

"Jom naik atas." Afiq mengajak Nazliyana.

"Eyh... bilik Harry Potter," tegur Nazliyana akan bilik kecil di bawah tangga itu.

Afiq tersengih mendengar komen Naz. Mereka berdua menaiki anak tangga untuk ke tingkat atas.

Usai menaiki anak tangga, Afiq belok ke kanan lima tapak... ke pintu bilik utama. Bagasi diletak ke lantai, tombol pintu bilik kemudian dipulas, lantas pintu bilik ditolak buka. Afiq mempersilakan Naz untuk masuk ke dalam.

Nazliyana melangkah masuk. Entah kenapa jantungnya dirasakan berdebar-debar, tiba-tiba. Ini, bakal jadi, 'bilik kita'?

Afiq menutup pintu bilik sejurus Nazliyana melangkah masuk. Bagasi mereka yang dibawa oleh Afiq diletakkan sekadar di tepi pintu bilik. Afiq kemudian melangkah lurus ke hadapan. Tiga tapak kakinya melangkah pula ke sebelah kanan... ke arah pintu balkoni.

Langsir biru tua tebal ditarik agar cahaya matahari menerobos masuk. Pintu kaca itu digelongsor ke kiri dan ke kanan. Angin menerpa ke wajahnya. Automatik, Afiq menarik nafas dalam.

Alhamdulillah, banyak benda dah selesai. Akad nikah, majlis resepsi sebelah pengantin perempuan, majlis resepsi sebelah pengantin lelaki, semua dah buat. Tinggal satu je lagi yang belum.

Afiq tersenyum. Dia melangkah keluar, ke balkoni bilik. Balkoninya jenis yang berbumbung. Afiq membawa langkah ke salah satu chaise lounge yang berwarna kelabu. Ada dua buah chaise lounge di balkoni itu. Afiq duduk bersandar di kerusi tersebut.

Nazliyana mengikut Afiq dari belakang. Namun, dia tidak melabuh duduknya di sofa. Sebaliknya, dia melangkah ke pinggir balkoni. Tangannya mencapai birai balkoni. Namun, kakinya ditapak agak jauh dari birai. Dia ialah seorang yang takut akan ketinggian.

Nafas dalam ditarik Naz. Indah, cantik, tenang pemandangan yang menyapa retina membuatkan bibir Naz automatik mengukir senyum.

Senyumlah, agar alam turut tersenyum melihatmu. Subhanallah! Cantik betul! Ini, kalau waktu malam, nampak cahaya-cahaya macam dalam movie ke, tak? Kalau matahari timbul ke, matahari tenggelam ke, romantik macam dalam drama ke, tak?

"Naz... nak berehat dulu ke, nak jalan-jalan pusing rumah?" soalan dari Afiq menghentikan Nazliyana dari terus berangan tentang movie dan dramanya.

"Apa?" Nazliyana yang tidak mendengar soalan Afiq dengan jelas, menyoal semula.

"A... bang tanya... Naz, nak berehat dulu ke, nak tidur tengah hari dulu ke, nak pusing-pusing tengok rumah dulu? Sekarang." Afiq berkata dengan kelajuan kata-katanya, lambat.

Nazliyana terkebil-kebil. Dia? Dia bahasakan diri dia, apa? Aaabang? Dia cakap abang? Err... dia demam ke? Dah dua minggu kitorang kahwin, tak pernah-pernahnya dia bahasakan diri dia 'abang'. Yang tetiba je dia bahasakan diri dia 'abang' ni, kenapa?

Haa! Entah-entah, ada hantu dalam rumah ni, dah masuk dalam badan dia? Oh my! Yelah... cuba fikir balik. Kan dah dua minggu dia tak balik rumah ni, mestilah dah ada 'benda lain' yang bertandang. Kan?

Astaghfirullah hal'azhim. Macam mana ni? Aku memanglah adik pak ustaz, tapi, aku tak belajaq pun cara-cara nak berubat! Cemana ni?

...
(bersambung)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro