1: Pertemuan Pertama

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hujung lengan baju kurungnya ditarik oleh orang di sebelah buat beberapa kali. Matanya terkelip-kelip meluaskan pembukaan agar dunia realiti kekal di pandangan. Tarikan berterusan membuatkan gadis berkenaan naik rimas lalu satu tolakan dihadiahkan pada si teruna. Terus membuatkan kepala lelaki di sebelahnya terteleng ke kiri.

Bunyi aduhan lelaki itu diabaikan sahaja.

"Kau nak apa Sherry?" Hidung kecil ditenyeh perlahan sambil mulut menguap luas. Akma memencilkan mata pada Shahrul Ridzwan.

"Sebelum habis kelas, saya nak dalam dua minggu nanti assignment topik hari ni dah berada atas meja saya. Kalau saya tiada dalam bilik, boleh selitkan bawah pintu sahaja," ujar seorang pensyarah. Tangannya mematikan suis microphone lalu dia mengarahkan seorang lelaki berkopiah bagi memadamkan papan putih yang telah diconteng sepanjang proses pengajaran tadi.

"Weh, ada kerja ke? Aku tak dengar apa-apa pun tadi." Mata Akma membulat. Sudahlah mata dia memang luas, ditambah pula dengan jegilan terkejut.

"Habislah aku." Gadis itu meraup wajah seperti cacing yang kepanasan. Tangan kirinya beralih ke belakang kerusi dengan penuh kekecewaan. "Aku dah kata jangan biar aku tidur. Sherry, kau nak aku kena repeat semester ke?"

Shahrul tertawa sahaja. Perwatakan Akma amatlah kontra nak dibadingkan dengan Shahrul. Ini kali pertama Shahrul melihat gadis di sebelahnya berbaju kurung elok pada tubuh yang kurus sepapan itu.

Para penuntut ilmu telah pun bingkas berdiri dan menaikkan kerusi dewan kuliyah. Bunyi kebisingan derapan tapak kaki mula mengisi benak. Kesejukan dewan masih menggoda Saidatul Akma bagi melelapkan mata di situ.

Mata yang terjegil tadi kian layu di luar kawalan separa sedar.

"Hoi, perempuan. Bangunlah!" Shahrul Ridzwan membalas tolakan kepala tadi. Kepala gadis itu tersengguk ke bawah dengan kasar. Urat batang lehernya menjadi tegang dan sakit.

Akma hampir terjatuh dari kerusinya. Iris mata menjeling tajam ke arah lelaki muka tak siap di sebelahnya.

"Kau ni kan... Kalau aku bagi penyepak kan mendapat? Elok-elok jadi sotong, aku tumiskan masak berlada terus," bengang Akma. Dahi lelaki itu ditunjal kegeraman. Dadanya naik dan turun dengan laju.

"Kau ni dah lah buruk. Tambah pula dengan muka selenga, lagilah buruk. Memang takde lelaki nak dekat kau sampai tua kalau macam ni." Shahrul pun tak mahu kalah. Ditikam lidah Akma dengan sekali bidas.

"Ewah kau..." Juntaian tudung yang terjatuh dibawa selempang ke belakang hingga butang baju kurungnya kelihatan. Tika disedari, dia cepat-cepat menarik sedikit untuk menutupi bahagian hadapan baju. Nak tutup dada pun, memang tubuhnya tidak menonjol seperti gadis lain. Itu yang tudung sekadar atas leher baju.

"Kau ingat ada orang nak dekat kau? Muka pecah rumah, parut jerawat sana sini... Ada hati nak perli aku?" sambung Akma dengan penuh sinis. Biji matanya terguling ke atas. Tangan pula menyilang. Hujung bibir gadis itu tertarik selamba, lalu menghadiahkan senyuman jahatnya.

"Kisah pula aku? Aku pun tak ingin dekat perempuan. Nak-nak lagi perempuan macam kau. Kalau kau je perempuan yang tinggal dekat dunia ni, aku rela jadi teruna tua," becok sahaja mulut Shahrul menjawab dengan suara kepitnya. Sekali dengar seakan suara perempuan. Dua kali dengar ternyata ini suara lelaki lembut.

Jeliran Shahrul lagi menghangatkan hati Saidatul Akma, seorang gadis yang berkulit putih gebu. Pipinya sedikit kemerahan kerana terbiar dalam suhu dewan yang sejuk.

"Kau ni kan... Dah la pondan... " Gunung berapi dalam diri Akma hampir meletus. Lengan baju kurung disinsing hingga siku.

Shahrul sedar bahawa dia telah menempah maut dengan gadis tak tahu malu itu. Buku-buku di atas meja segera disatukan. Shahrul menggalas beg hitamnya dengan sebelah bahu lalu menolak meja kerusi ke bawah bagi membuka laluan.

Belum sempat dia berdiri, Akma sudah menggertak dengan satu penumbuk di tengah-tengah wajahnya. Liur ditelan kesat.

"Nak lari mana?" Gadis itu tercebik simpati. Rambut Shahrul disikat perlahan dengan jemari. Shahrul jadi kaku. "Nak jadi teruna tua sangat, kan?"

Penumbuk sulung Akma dikepal dan ditiupnya. Jika terkena pada pipi berjerawat Shahrul, pasti meraung hingga bergema satu dewan. Inilah yang akan memberikan Akma kemenangan tanpa perlu berlawan.

Jari jemari menggenggam.

Akma telah berdiri. Senyumannya makin menakutkan Shahrul.

"Aduh."

Bunyi aduhan disusuli dengan jatuhan buku-buku dari pegangan.

Penumbuk cepat-cepat ditarik balik. Akma menoleh ke belakang dengan mata yang membulat. Ketika ditarik ke belakang, genggamannya telah terkena pada badan seorang lelaki yang mahu melintasi ke pintu keluar di bahagian belakang dewan tadi!

Akma jadi kabut. Dia menyatukan seluruh buku itu dan pulangkan kepada si lelaki dengan senyuman janggal.

"Sorry, tak sengaja," kata Akma.

Shahrul menghela nafas lega. Dia telah terselamat daripada perempuan gila itu. Dadanya diurut. "Siapa tu?" soal Shahrul buat Akma yang masih berdiri menghadap lelaki berkenaan.

"Kau ni lelaki ke perempuan?" Satu soalan menghiris hati Akma kepada cebisan.

"Kau ada masalah?" Sebelah kening Akma dijongketkan.

"Takde," geleng Amir. Kad pelajar yang dipakai lelaki itu dikerling Akma.

Amir Farhan.

"Cumanya kau tu perempuan, buatlah cara perempuan. Berkawanlah dengan perempuan." Amir tidak pun berasa gentar dengan gadis kurus itu. Dia lagi tercabar dengan jawapan berani milik Akma.

"Sorry ya, ustaz. Ustaz boleh jalan keluar kalau takde masalah." Akma menapak ke belakang. Tangannya menunjukkan laluan ke pintu keluar dengan penuh 'hormat'.

Lelaki itu hanya mampu tersenyum nipis.

"Mir, kenapa tunggu lagi ni?" Perdebatan kecil mereka disertai pula oleh seorang lelaki. Hairannya yang datang itu tidak berkopiah tetapi mempunyai raut yang tenang untuk ditatap. Si acah ustaz ni pula berkopiah namun rautnya boleh memberapikan hati Akma.

"Bawa kawan kau ni pergi. Dia menggatal pula dekat sini," khabar Akma.

Senyuman Amir tidak lekang. "Okaylah."
Lelaki berkopiah itu mengajak rakannya untuk mengangkat kaki. Mereka hilang daripada pandangan Akma setelah melepasi pintu keluar.

Shahrul terangguk sendiri. Sedar-sedar sahaja dia berdiri di sebelah Akma dan menyaksi lelaki berkopiah berkenaan beredar dengan penuh kesabaran.

"Kau kenal ke dia tu siapa?" Akma mengetap bibir.

"Mungkin budak surau."

"Serabut je lelaki tu," dengus Akma. Beg sandangnya disambar.

"Kau nak ke mana lepas ni? Lunch?" Shahrul segera menyaingi langkah Akma. Meskipun Akma berbaju kurung, langkahnya bukan main luas lagi seperti lipas kudung.

"Aku takde seleralah. Mamat tu kan... Jaga dia nanti." Mata Akma entah menjeling siapa.

Hujung kening digaru Shahrul. "Biarlah dia. Dia tu bukan level-level kita. Kita ni walaupun tak baik mana, tapi takde pun nak cari pasal dengan orang."

Bibir Akma terkumat kamit menahan geram terhadap lelaki yang entah jatuh dari mana tadi.

***

3 April

Hari ni aku dipertemukan dengan seorang lelaki acah ustaz. Muka dia saja dah cukup untuk rosakkan mood seharian aku. Tolonglah sesiapa kutip dia. Paling teruk, ini hari pertama aku pada semester ketiga. Maknanya aku ada lagi satu semester untuk kongsi kelas dengan Pak Ustaz tu.

Apple Pen nya berhenti dari menari di atas skrin tatkala telefon pintar di sebelah kaki berdering. Lutut diturunkan.

Akma mengangkat panggilan itu setelah melihat empunya pemanggil. Skrin tabletnya ditekan-tekan, catatan tadi telah disimpan di dalam diari rahsianya.

"Akma nak tak ibu datang hujung minggu ni?"

"Tak payah la ibu," pantas Akma menjawab dengan gelengan walaupun hanya dia berseorangan di dalam bilik. Hujung kakinya dipegang sambil mengintai keberadaan seseorang yang tidak pulang semenjak tadi.

"Okay belajar?"

"Okay je. Ibu... Akma rindu ibu," Akma tersenyum sendiri.

"Ibu nak datang Akma tak bagi."

Akma membalas dengan tawaan halus. "Ibu, Akma cantik tak?"

"Mestilah cantik."

"Tadi Sherry kata Akma buruk," adu Akma sayu. Tak guna punya pondan.

"Biarlah dia. Tapi Akma tetap paling cantik buat ibu."

Kata-kata ibunya mengubat hati yang kusut itu. Harapkan Shahrul nak puji, sampai tua pun belum tentu. Dah pakai baju kurung lawa-lawa pun tiada siapa yang nak memuji dirinya. Itu yang terkadang dia fikir, Shahrul ada betulnya. Dia memang tidak cantik.

"Akma cantik, orangnya baik..."

"Ibu ni... Sengaja kan nak puji Akma?" Pipi Akma memerah malu. Bantal peluk berupa sebiji pisang ditariknya ke dalam dakapan.

Ketukan pintu bilik menghentikan perbuatan Akma. Dia bingkas berdiri dan berlalu ke pintu bilik.

12 Malam.

Tika dikuakkan, wajah seorang gadis menyapa pandangan. Akma hanya mengabaikan teman sebiliknya. Dia kembali berbaring di atas katil untuk berbual dengan bondanya.

Ekor mata melihat wajah Saiyyidah Nafisah yang sedang menanggalkan tudung labuh. Setelah itu, Nafisah menyarungkan pula sehelai tudung sarung yang menyebabkan Akma tidak pernah melihat warna rambutnya semejak hari pertama menjadi rakan sebilik gadis lembut itu. Entah hitam ataupun perang.

Hairan. Sesama perempuan pun nak bertudung.

"Ibu, Akma sayang ibu," bisik Akma. Dia tersenyum-senyum sendiri apabila panggilan itu diserahkan pada ayahnya.

"Ayah!" Akma terjerit kecil. Jarinya lincah membuka whatsApp bagi membuka peti perbualan dia dan ayahnya. Satu gambar yang telah dicuri dari google dihantar kepada si ayah.

"Ayah, cuba buka phone ayah. Akma ada hantar mesej," pinta gadis itu. Dia pasti apa jawapan yang bakal diberikan Encik Mukhriz.

Sekeping gambar deretan Disney Princess telah dihantar buat tatapan Encik Mukhriz. Lelaki tua itu terpaksa melayan karenah anak tunggalnya

"Kenapa dengan kartun ni?"

"Tu puteri, bukan kartun. Dalam banyak-banyak puteri tu... Siapa yang paling cantik?" Terkelip-kelip Akma menanti jawapan.

Say its me.

"Ayah lah yang paling cantik."

"Ayah...." Kecewanya dia.

Berdekah tawa lelaki tua itu di hujung panggilan. "Ayah yang paling cantik. Akma yang kedua. Okay?"

Akma sedar Nafisah sedang memandangnya semenjak tadi. Apabila dibalas pandangan itu, Nafisah hanya akan tersenyum kecil dan kembali mengemas tempat tidur sendiri.

***
Bil. patah perkataan: 1458

It just the beginning.
Save dalam RL korang tau!
Maksimum setiap bab ialah 1500 words mungkin.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro