2: Solat yang Ditinggalkan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bunyi azan subuh yang berkumandang di langit fajar tidak diendahkan si gadis yang sedang nyenyak tidur dengan seluar pendeknya. Selimut habis jatuh ke lantai kerana tidurnya buas ke sana ke mari. Bantal turut menemani sang selimut di atas lantai.

"Awak," panggil Nafisah. Pagi kebiasaan memang Nafisah ialah yang terawal bangun dalam bilik itu. Setiap bilik di hostel mempunyai dua biji katil. Tiada pemisah untuk melihat katil di seberang, apa jua yang rakan sebelah lakukan akan ternampak.

"Awak," ulang Nafisah. Dia mengutip bantal dan kain selimut. Aurat rakannya yang terdedah di tutup agar tak perlu menyakiti mata sendiri.

"Apa?" gumam Akma dengan mata yang terpejam rapat. Wajahnya berubah geram dengan panggilan itu berkali.

"Bangunlah solat subuh. Kita boleh solat sekali," ujar Nafisah.

"Aku tahulah." Tangan Nafisah yang menyentuh lengannya ditolak jauh. Kain selimut dibentangkan menutupi keseluruhan tubuh badan.

"Akma, bangunlah."

"Ish, pergilah sana. Aku tak suka orang panggil nama aku banyak kali. Nanti aku bangun juga." Akma sedang menahan geram. Badannya mengiring membelakangi Nafisah yang masih tercegat di situ. Tidurnya lebih berharga berbanding semua itu. Jari naik menggaru pipi sedang mata masih terpejam.

Tiada lagi panggilan yang mejengkelkan. Akma tersenyum kemenangan.

Sedapnya tidur di dalam selimut.

Gadis bertudung litup itu terdiam. Tangannya ditarik kembali. Akma benar-benar marah jika dikejutkan pada waktu subuh. Dia cuma masih belum biasa untuk menjadi teman sebilik buat Akma. Segalanya masih baharu.

Lampu pada bahagian katilnya sudah terbuka. Dia kembali duduk di birai katil. Rasa ingin buang air kecil kerap sekali hadir menjengah sejak akhir-akhir ini.

Sayyidah Nafisah mengambil lipatan sejadah dan telekungnya yang tersidai di kepala katil. Sekali lagi Akma dipandang sepi.

***

Berdekah tawaan mereka apabila satu topik hangat dibuka. Kafe itu sudah lali dengan kumpulan gadis yang suka bercakap lantang ibarat teman semeja duduk sebatu jauhnya.

"Serius la dia buat macam tu?" soal Mila. Ketawanya tidak dapat diselindungi meski ada juga kaum lelaki yang sedang membeli makanan di kafe kuliyah. Perkara biasa juga.

"Tapi kan... Dia tu hensem juga, kan? Walaupun blur kadang-kadang," sampuk Akma pula.

Kawan-kawannya pakat tertawa.

"Hari tu aku ada pergi kompleks sukan. Kau patut tengok dia lari macam mana. Kelakar tau," ujar seseorang.

"Badan dia tu sasa juga. Kalau dia pakai baju ketat masa lari mesti habis nampak otot lengan dia."

Saling setujulah antara mereka. Seorang lelaki yang baru masuk ke kolej itu menjadi perbualan hangat dek rupa parasnya ibarat artis.

Tiba-tiba, ada satu tepukan mengejut pada meja. Akma terhinjut bahunya dek terperanjat. Dada diusap sambil mata mengerling ke arah lelaki yang datang tidak diundang.

"Suami kau dah datang tu, pergilah." Mila menolak tubuh Akma dengan sikunya. Mereka tersengih-sengih gelakan Shahrul yang mengharapkan untuk Akma menemaninya makan tengah hari.

Pada tangan lelaki itu terdapat sepinggan nasi kerabu. Elok sahaja Shahrul berdiri di sebelah Akma. Lambat-laun, Akma bermalasan juga bangun dari kerusi.

Langkahnya seiring dengan lelaki berbadan gempal itu. Shahrul sedikit berisi, tidak pun kurus. Akma pula jauh beza nak dibandingkan dengan lelaki itu kerana rupa parasnya yang cantik. Gadis berseluar jeans skinny itu berlabuh ke meja yang sedikit jauh dari rakan sekelasnya. Malas nak menadah telinga dengan sindiran 'suami'.

"Kau nak apa?" soal Akma.

"Aik?" Shahrul berkerut hairan. Dia duduk setentang dengan Akma di meja yang sama. "Bukan biasa je ke kalau kita makan sama-sama. Kita kan BFF?"

"Hm, ya. Cuma aku tak suka kau muncul depan kawan-kawan aku," keluh Akma.

"Kenapa?"

"Susahlah nak cakap. Kau makan je la nasi tu." Dagu ditongkatnya.

"Serius la kau tak nak makan ni?"

"Ya. Aku makan roti dah tadi."

Shahrul menggeleng perlahan. "Kalau kau gemuk ke kurus ke sama je. Tetap buruk juga. Lebih baik kau pergi beli nasi. Nanti lapar pula kelas petang ni."

Mood Akma tidaklah cepat melenting tiba-tiba. Dia hanya mencebikkan bibir malas nak bergaduh dengan lelaki lembut di hadapannya.

"Kau tak suka dah ke kawan dengan aku?" Suapan nasi yang nak dimasukkan ke mulut termati.

Mata lelaki itu mengintai kumpulan gadis di hujung sana. Kelihatan kawan-kawan Akma masih mentertawakan entah siapa. Pandangan Shahrul jatuh kembali pada wajah gadis yang ayu di hadapannya ini.

" Bukan... Dorang tu kutuk kau tadi," ujar Akma. Matanya menekur meja. Sebelum mereka membuka kisah seorang pelajar baharu tadi, Shahrul turut dibahan.

"Dorang kata apa? Aku gemuk? Pondan? Mak nyah? " Tentang itu rupanya. Shahrul malas hendak melayan sejenis perempuan yang suka menjadikan orang lain sebagai bahan hinaan.

"Macam tu lah... Aku tak suka orang kutuk kawan aku. Aku pula yang jadi sedih." Tiba-tiba sahaja mata Akma berkaca. Dia tertawa sendiri bagi menghilangkan sedihnya.

Keihklasan gadis itu bersahabat dengan dia membuatkan Shahrul masih setia di sisi. Sanggup berbuat apa sahaja demi Saidatul Akma. "Aku okay je. Kau ni over la. Kau kutuk aku takpe pula?"

"Aku kutuk takpe. Aku kan kawan kau. Kalau orang lain kutuk kau, panas telinga aku ni."

"Sayang juga kau dekat aku?" Shahrul Ridzwan tersenyum.

Akma berkerut lalu menggeleng menafikan segalanya. "Cermin muka dulu. Aku cuma simpati dengan teruna lembut macam kau."

Lelaki di hadapannya hanya memekakkan telinga. Dia menikmati nasi kerabunya tanpa apa-apa perasaan. Tak kisahlah lembut atau apa, memang dia bersikap begini sejak kecil. Namun, jauh sekali terdetik untuk jadi perempuan.

"Malam ni dah start usrah." Akma mengeluarkan telefon pintarnya bagi memeriksa jadual kumpulan.

"Usrah je pun. Aku ni anak usrah kesayangan naqib tau."

"Aku... Dapat kumpulan dengan..." Jari Akma bergelongsor di atas skrin kaca dengan laju. Tercari-cari nama sendiri di dalam jadual usrah semester.

Rahang Akma hampir terjatuh. "Sherry, aku dapat dengan perempuan tu."

"Siapa?"

"Roommate aku." Pelipis dipegang dengan mata yang tertutup.  "Ini bala untuk aku."

"Tak baiklah kau ni. Dia tu baik je budaknya." Geleng Shahrul awal-awal. Gadis berbaju sweatshirt di hadapannya ini memang banyak ragam dan keluhan nak dilayan.

"Aku tak suka usrah. Kalau aku nak larikan diri, susahlah. Sebab naqibah aku ialah kawan bilik aku. Cuba kau fikir nanti kalau dia membebel je kerja." Sepanjang Akma meluahkan pelbagai kemungkinan, matanya turut membulat sekali. Telefon pintar ditelangkup ke atas meja.

Hood baju disarungkan pada kepala lalu dia kembali memegang pelipis. "Masalah betul. "

"Relakslah. Usrah je pun. Seminggu satu jam. Tu pun nak berkira ke?" soal Shahrul.

"Hm. Kau tak payah lah nak sindir aku. Malam ni pertemuan pertama. Aku tak bangun subuh tau tadi. Kau rasa?" Sebelah kening terjongket memandang lelaki di hadapannya.

"Cuba kawan dengan dia. Baru seminggu tukar bilik, kau dah nak judge dia macam-macam," jawab Shahrul. Kalau dah mula bersembang, lambatlah nasi kerabunya nak habis.

"Okay, fine. Aku cuba."

***

Amir Farhan berlabuh di sebelah seorang lelaki. Peha rakannya ditepuk lalu mereka berjabat tangan. Ahli usrah yang lain disapa dengan mesra kerana ini pertemuan pertama mereka. Usrah membawa maksud keluarga. Ianya penting dalam kehidupan seorang muslim bagi memastikan perjalanan yang mencabar ini dapat diteruskan meski sering kecundang.

Saling menegur andai melakukan kesilapan, saling mengingati untuk melakukan kebaikan. Berkongsi satu matlamat yang sama iaitu keredhaan Ilahi di penghujung nyawa.

Bacaan Al-Quran mendahului lalu mereka akan bergerak kepada peringatan yang bakal dikongsikan buat muqaddimah pada malam ini.

Amir mengeluarkan sebuah buku nota bagi mencatat bait-bait Badrul selaku ketua usrah mereka itu.

Seorang lelaki yang berwajah tenang bak air di kali, Badrul Amin. Buku modul ditolak ke tepi. Dia sudah dapat mengecam setiap wajah di situ kerana telah belajar di kolej selama tiga tahun. Di hadapannya ini juga adalah rakan-rakan dan junior-junior sendiri.

Usai sesi taaruf, Badrul kembali kepada topik yang akan dibawa. Ringan sahaja di bibir tetapi sukar untuk dikerjakan.

"Susah kan nak solat?" soalan itu terbit di bibir Badrul.

Mata yang memandang jadi tertumpu pada lelaki itu. Suaranya sahaja ibarat meminta perhatian setiap yang mendengar. Amir juga menumpukan perhatian pada Badrul.

"Renungkan dalam surah Al-Mudathsir ayat ke 42 dan 43.

Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk neraka Saqar ini? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk golongan orang-orang yang bersembahyang," ujar Badrul.

"Dekat sini aku bukan nak menafsir atau mentadabbur Al-Quran kerana kalau nak buat kedua ni kena melalui disiplin ilmu yang betul. Tetapi dekat sini aku nak gariskan kepentingan menunaikan solat lima waktu.

Apa soalan yang akan ditanya dalam kubur nanti? Ianya tentang solat. Kalau nak sebut apa hukum meninggalkan aku yakin semua tahu. "

Ada wajah-wajah yang tidak beriak kerana mereka sudah menunaikan solat lima waktu. Jadi tidaklah nasihat itu menusuk ke kalbu.

" Ada pula orang yang solat 60 tahun tapi tak diterima," sambung Badrul.

" Kenapa?" soal pula seseorang.

" Kerana... Mungkin dia telah menunaikan solat dengan kejahilan. Mungkin dia solat tapi tak tahu apa yang membatalkan solat. Atau dia membaca Al-Fatihah tidak betul kerana tak check bacaan dekat ustaz yang arif," jawab Badrul.

Perhatian mereka tertangkap dengan itu. Nak cermin diri sendiri, last pergi kem bestari solat pun waktu sekolah rendah. Itupun ingat-ingat lupa.

" Jadi, aku nak ajak korang ke majlis ta'lim tentang fiqh solat lusa ni. Supaya nanti kita dapat baiki solat kita. Biarlah kita ni jahat pun tapi kena juga usaha untuk keluar dari kejahilan dengan ilmu. Ada orang dia solat, tapi dia main ikut je orang solat. Apa yang wajib pun tak tahu. Aku tak nak anak-anak usrah aku macam tu. Sedih rasa hati ni kalau solat dah 20 tahun lebih tapi satu pun tak diterima... " Hujung ayat disulami dengan senyuman daripada Badrul. Dia berhasrat besar untuk menguatkan ikatan ukhuwah kerana Allah pada semester itu.

" Wah... Kau ni macam pencetus ummah dah, " puji Amir. Semua telah beredar kecuali dia dan Badrul yang masih duduk bersila di karpet surau.

"Jangan puji aku. Aku tak suka," tegur Badrul.

"Puji pun salah?" Hairan Amir.

"Ya. Salah. Sebab pujian boleh menjadi ujian hebat untuk orang yang kau puji," jawab Badrul.

"Okaylah. Ni, kau tahu tak perempuan hari tu?"

"Yang dekat dewan tu?"

"Yup. Aku baru tahu aku dah cari pasal dengan orang kaya," keluh Amir Farhan.

"Nanti kau minta maaf ya pada dia?"

***
vote x komen
***

selamat datang pembaca! Ini buku hijrah seorang muslimah. Boleh add dalam RL sebab buku ni tak ramai lagi baca. Meh support novel ni.
🌻💞

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro