18 : Berdua di dalam Hutan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Akma?"

Badrul berkerut melihat sosok tubuh gadis yang amat dikenalinya sedang menapak keluar tapak perkhemahan. Songkok pada kepala dipakai kembali. Aktiviti pada malam itu hanyalah latihan dalam kumpulan. Maka Badrul memilih untuk mengambil angin malam setelah penat seharian.

"Akma, tunggu." Lelaki itu berlari anak. Dia beransur pergi dari kelompok rakan-rakannya. Semakin dikejar, Akma semakin laju berlari. Kawasan berturapkan tar bertemu dengan jalan denai.

"Akma, aku minta maaf. Tolong jangan larikan diri dari aku. Aku sayang kau tak ubah macam dulu." Langkah Badrul semakin perlahan ketika tiba di pinggir sungai. Hairannya air terjun berada jauh di sana, kini dia asyik mengikut langkah gadis itu hingga tiada lagi cahaya lampu dari tapak perkhemahan.

Akma kelihatan memperlahankan langkah. Badrul tersenyum kecil. "Kau tak tahu, Akma. Aku fikir aku dah hilang kau. Rupanya kita belajar di tempat yang sama."

"Akma, aku janji aku takkan biarkan kau sorang-sorang," kata Badrul lagi. Akma diam sahaja tidak membalas. Apabila gadis itu mahu memalingkan wajah, kakinya tergelongsor jatuh ke dalam sungai. Bunyi deruan air yang deras menyentakkan hati Badrul.

Mata Badrul membulat. Dia turut terjun ke dalam sungai tanpa berfikir panjang hakikatnya menempah maut buat diri sendiri. Seumur hidup, Badrul tidak pernah pandai berenang. Kakinya gagal menjejaki dasar. Arus sungai yang deras memaksa tubuhnya untuk ke bahagian yang lebih dalam. Tubuh yang disangkakan Akma itu melemaskannya.

***

Lelaki itu membiarkan tubuhnya dipeluk si gadis. Dia kaku, tak tahu mahu berbuat apa. Akma benar-benar sedang menangis teresak seperti menyesalkan sesuatu yang tidak difahaminya. Nama Amin dan Nafisah disebut silih berganti.

"Akma," panggil Amir. Jantungnya berdegup kencang. Dia tidak pernah memeluk mana-mana perempuan hingga ke hari ini. Tubuhnya erat menjadi tempat Akma menenangkan hati. Teruna dan dara itu berduaan di tengah-tengah hutan. Cahaya purnama mengizinkannya untuk melihat Akma walaupun tidak jelas mana.

"Amin, kenapa kau masuk dalam hutan ni? Kau sesat ke?" soal Akma perlahan. Wajahnya tertunduk dan bersandar pada badan lelaki itu.

"Akma, ni Amir. Bukan Amin," balas Amir Farhan. Hatinya dihenyak rasa bersalah kerana gagal menghalang Akma melangkah ke dalam hutan tadi. Suara jeritan Akma membawanya untuk menjumpai gadis itu yang telah rebah ke bumi.

Akma kehilangan kata. Dia menahan getaran di dada. Bulu romanya meremang apabila terlihat wajah Amir sedekat itu. Dia pula sedang memeluk lelaki itu seperti merelakan maruah sendiri bakal dicarik sekali lagi.

Badan Amir ditolak kasar agak menjauh. Kakinya turut naik menendang peha lelaki itu. "Kau ambil kesempatan dekat aku?"

Deruan nafas Akma menjadi tidak teratur. Dadanya berombak kencang. Tubuh sendiri dipeluk. Akma menangis teresak-esak. Semua lelaki jahat padanya dan mahu menggunakan kelemahannya. Dia hendak berdiri namun kakinya sakit yang teramat.

"Akma, sabar. Aku takde niat jahat," balas Amir. Dia duduk berdekatan gadis kecil itu. Semakin dia mendekati Akma, Akma mengesot ke belakang penuh ketakutan. Daun yang tergenggam di tangan Akma dibaling mengenai badannya.

"Pergi!" Suara Akma naik seoktaf.

"Akma..." Amir memujuk. Dia kekal tidak berganjak. Badan Akma kelihatan sedang menggigil.

"Tak... Kau nak rogol aku. Kau dengan lelaki lain sama je," geleng Akma. Wajah Amir kelihatan seperti semua lelaki miang itu. Lengannya diusap, Akma melihat sekeliling. Gelap sahaja. Kalau dia tidak larikan diri sekarang ini, Amir mungkin akan melayan dia sebagaimana lelaki lain yang tak berguna itu.

"Amin... Tolong..." lirih Akma. Nafas ditariknya perit.

" Akma, kau nak jumpa Badrul Amin?"

Akma mengangguk laju. "Aku beritahu abang aku yang kau nak rogol aku. Siap kau... Nanti dia belasah kau."

"Badrul ada dekat tapak perkhemahan." Tenang sahaja Amir menutur kata. Takut dia tersalah, nanti Akma meronta seperti orang gila.

"Kau tipu. Tadi kau kata kau tak tahu." Langsung Akma tidak percaya.

"Demi Allah, dia ada berehat dalam khemah rawatan. Dia hampir lemas malam tadi tapi Tuan Adham sempat selamatkan dia."

"Penipu," potong Akma. Senyuman pahitnya mengukir.

"Dia ada dekat khemah bawah jagaan petugas perubatan. Cuma badan dia ada calar balar sikit. Tuan Adham tak bagi kami yang tahu ni ceritakan pada peserta lain sebab... Nanti semua akan gelabah dan buat spekulasi macam-macam. Malam ni pula memang Tuan Adham sengaja adakan cerita peserta hilang untuk gerak semua orang bangun. Mereka ada dekat trek denai untuk night walk. Tapi kita dah tersasar jauh, Akma." Amir cuba menceritakan satu per satu. Air mata Akma tidak lagi mengalir. Wajah gadis itu terpinga-pinga.

" Akma, Badrul ada dekat khemah. Jom kita balik jumpa dia." Amir mendekati Akma perlahan-lahan.

" Kenapa pula dia lemas?" Akma tak berpuas hati. Satu ranting kayu diangkat. Mahu saja dihunus ke tubuh Amir yang cuba mendekatinya.

" Aku tak tahu. Nanti kita tanya dia sendiri... Kenapa dia boleh pergi masuk dalam sungai tengah-tengah malam macam ni. "

" Betul ke dia selamat? "

" Ya. Aku sendiri dah periksa dia."

"Baguslah..." Matanya terpejam. Tubir mata mengalirkan air. Dia berusaha untuk berdiri saat itu dengan sebelah kaki yang telah terseliuh teruk.

"Akma, biar aku tolong kau." Amir bingkas berdiri.

"Jangan dekat. Aku tak percayakan lelaki macam kau." Kaki kirinya menapak ke depan lalu dia terjatuh ke tanah. Rintihannya kedengaran. Selipar Akma hilang entah ke mana. Dia berkaki ayam sahaja.

Lelaki itu duduk bercangkung di sebelah Akma. Kaki kiri Akma ditariknya berlunjur untuk diperiksa.

" Sakit, jangan sentuh," ujar Akma. Matanya terpejam menahan sakit.

"Kau tak boleh jalan langsung?" Amir memandang wajah gadis itu.

Gelengan Akma membuatkan dia berfikir lama.

"Amir, jangan tinggal aku. Aku boleh berjalan." Akma membulat matanya apabila Amir selamba pergi ke arah lain. Gelap sahaja. Tidak sempat untuk dia menarik tangan lelaki itu, Amir telah hilang daripada pandangan mata.

Air mata Akma mengalir. Pasti Amir merasakan gadis sepertinya ini menyusahkan sahaja.

"Nah." Lelaki itu kembali dengan sebatang kayu. "Guna ni kalau nak berjalan. Kita cari jalan keluar sama-sama."

Akma cepat-cepat mengesat air matanya. Hood baju dipakai pada kepala bagi melindungi rambut. Entah kayu apa yang Amir ambil, Akma terima sahaja. Dengan bantuan kayu itu, dia mampu untuk berdiri meskipun sukar.

" Boleh?" soal Amir.

Langkah Akma membuatkan dia tersenyum senang. Perjalanan mereka bagi mencari laluan denai yang biasa dilalui orang bermula. Amir tak boleh melajukan langkah dengan keadaan Akma ini. Dia berjalan terlebih dahulu dan memastikan tanah selamat sahaja untuk dipijak dengan kaki ayam Akma.

"Kau dah maafkan aku?" tiba-tiba Amir bersuara.

Akma tersentak. Dia pun sudah lupa dendamnya terhadap Amir. "Lupakan je la. Anggap je takde apa-apa berlaku."

"Baguslah. Aku cuma lagi suka kau bertudung berbanding tutup kepala dengan hood je. Kau nampak lagi cantik macam tu. Salah aku yang sound orang tak bertempat."

Perjalanan yang lama itu sepertinya mereka berlegar-legar di tempat yang sama. Tipulah hati Akma tidak berdebar saat itu. Pertama kali lelaki memujinya cantik dalam keadaan rela hati. Dia mengetap bibirnya.

" Kau ada apa-apa ke dengan Badrul? Korang nampak rapat," sambung Amir.

"Dia... Abang aku." Hati Akma perlahan-lahan menerima Badrul sebagai abang susuannya.

"Oh, ingat korang suami isteri ke apa."

"Kau tahu tak Badrul dah kahwin?" soal Akma. Amir sepertinya kawan rapat buat Badrul.

"Tak. Dia dah kahwin ke?" Hairan Amir. Baju tidur perempuan tempoh hari di dalam bakul baju Badrul masih tidak dipersoalkannya kerana terlupa.

Akma menggeleng. "Lupakan je la."

Pasti ada sebab kenapa tiada yang mengetahui perkahwinan antara Badrul dan Nafisah. Nafisah pula sedang mengandung di trisemester yang pertama. Kasihan pada gadis hamil itu, Akma mahu memeluk Nafisah dan meminta maaf atas kekasarannya.

Sesuatu yang tajam menusuk ke telapak kaki apabila dipijak. Akma meringis kesakitan. Kayu pada pegangannnya dilepaskan.

"Kenapa?"  Amir berhenti melangkah.

"Kaki aku." Akma duduk di atas tanah bagi memeriksa kakinya. Ada cairan yang meleleh daripada tapak kaki sendiri.

"Akma, aku rasa baik kita duduk sini sampai cerah," putus Amir.

"Kau gila apa?" Gadis itu tidak bersetuju. Duduk dalam hutan ni?

"Sekurang-kurangnya kita dapat jimatkan tenaga kita. Badan kau pun mesti dah letih kan sebab tak tidur dari tadi? Kau tidurlah. Aku boleh tengok-tengokkan sekeliling." Kepalanya terdongak ke atas. Cahaya bulan pun semakin menghilang hinggga nanti mereka akan bergelap sepenuhnya. Kawasan landai itu boleh dijadikan tempat untuk berehat.

Sudah hampir 3 pagi rupanya.

Lama juga Akma berfikir bagi melelapkan mata. Tubuhnya bersandar pada sepohon kayu sebesar pemeluk. Kaki yang sakit dilunjurkan ke hadapan.

"Tidurlah. Kalau aku nampak bantuan, aku gerak kau," kata Amir. Punggungnya berlabuh di atas akar pokok yang menjalar berdekatan Akma.

Hati Akma mula berbelah bahagi. Macam mana kalau Amir mengambil kesempatan ke atasnya apabila dia melelapkan mata? Tiada siapa akan tahu perbuatan terkutuk itu kerana mereka berdua di dalam hutan. Paling teruk, Amir mungkin akan membunuhnya selepas itu. Mulalah Akma dan sangkaan buruknya.

"Ya Allah, lindungi aku," bisik hati Akma. Lemahnya dia saat itu. Matanya perlahan-lahan terlelap dengan sendiri. Bayangan Amir menghilang.

***
votexkomen
***

macam mana ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro