29 : Bantuan seorang Kawan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Betul ke kau selalu jumpa abang aku?" soal Akma. Air barli ais disedutnya dengan rakus kerana dahaga. Dia tetap mahu berjumpa Shahrul. Kedai makan Thailand menjadi sasaran tengah hari itu.

"Ya. Dia yang datang dan kenalkan diri sebagai abang kau." Shahrul berterima kasih pada pelayan yang baru menghidangkan makanannya. Segelas air sirap dan nasi goreng pattaya menjadi pilihan Shahrul pada terik panas itu.

"Jadi... Kau dah tak perlukan aku?" Ketulan ais di dalam gelas dimenungkan Akma. Jika Badrul sudah menjadi kawan baharu Shahrul, apakah maksudnya?

Shahrul mengetap bibir. "Akma, aku nak cakap satu benda boleh tak?"

"Apa?" Akma memandang wajah lelaki itu. Matanya dapat mengesan perubahan kulit Shahrul. Segala parut sedang memudar dan tampak lebih berseri. Ini baru dua minggu. Kalau dua bulan, confirm flawless!

Kalau letak Shahrul jadi testimoni hasil consultation sendiri, boleh buat duit ni. Akma tersenyum-senyum.

"Sebenarnya Badrul ada kata dekat aku supaya jangan keluar berdua dengan kau. Dia kata tak elok."

Senyumannya mati. Akma juga mahu sampaikan hasrat yang sama. Hatinya berat. Sudah bertahun mereka jalinkan tali persahabatan hingga menjadi seakrab ini.

"Aku tahu. Tapi... Aku nak kawan dengan kau," sayu Akma.

"Siapa kata aku nak putuskan persahabatan kita?" Shahrul berkerut. "Aku cuma nak kita tak terlalu rapat. Sebab..."

"Sebab apa?"

"Sebab aku ada perasaan dekat kau. Aku tak tahulah kau rasa benda yang sama atau tak. Tapi aku tengah dalam fasa stabilkan kehidupan. Jadinya, bila sampai satu masa nanti. Aku akan minta tolong kau sebagai seorang kawan."

"Em... Tolong apa?" Akma berkerut-kerut tidak mengerti. Liur ditelan kesat. Bibirnya kembali menyedut air barli ais sambil mata tidak lepas memandang wajah Shahrul yang telah kelihatan kacak pada matanya.

Akma tahu saja Shahrul ini kacak kalau ubah penampilan sedikit.

"Kawan mesti tolong kawan, kan? Nanti bila aku perlukan bantuan kau, aku harap kau boleh tolong." Gelodak di jiwa memaksa dia menyampaikan sesuatu. Biarlah Akma mahu kata apa, asalkan dia telah meluahkan rasa di hati.

"Boleh je."

"Pertolongan ini untuk kita bina masjid sama-sama. Aku harap kau tolong aku pada hari itu. Sebab masjid tu takkan siap dibina kalau hanya aku seorang yang berusaha. Nanti kita boleh dirikan dengan pasak yang kukuh bersertakan perasaan aku. Masalahnya pasak tu aku masih cuba mencari lagi, iaitu ilmu agama dan kehidupan yang stabil. Bahan binaannya ada, rasa sayang sejak berkawan. Hasrat aku ni perlukan bantuan kau. Itulah gunanya kawan, kan? Tapi beri aku masa. Setahun dua? Aku akan panggil kau nanti untuk realisasikan impian aku ni. "

Tersedak-sedak Akma. Dadanya yang pedih diurut perlahan. Sel otaknya seakan mampu menangkap kiasan yang diberikan lelaki itu.

" Akma," tegur Shahrul cemas.

Akma mengangkat tangannya ke arah Shahrul. Nafas dalam ditarik lalu dia terduduk tegak di kerusi. "Aku okay."

"Aku masih nak berkawan dengan kau." Shahrul tersenyum nipis.  "Bila aku datang minta tolong, aku harap kau tak akan tolak pada hari itu."

"Shahrul, aku ni student lagi."

"Ya, aku tahu. Saja nak beritahu awal-awal. Supaya kau tahu yang rasa hati aku ni bukan tak bertujuan." Shahrul menundukkan wajahnya. Bibirnya mengoyak senyuman nipis. Badrul yang banyak mengajarnya yang hak dan batil hingga dia sedar erti sebenar kehidupan.

Nasi goreng USA ditiup-tiup Akma. Satu sudu nasi menerjah masuk ke dalam mulut. " Apa Badrul ajar kau ni?"

"Dia ajar tentang ilmu agama yang aku sendiri jahil. Bila aku tengok gaya dia dan cara layanan dia pada kau... Aku sedar, lelaki yang akan ambil adik dia dari jagaan dia mestilah mampu untuk berikan sebaik dia. Dia tak suka adik dia keluar berdua dengan lelaki meskipun sekadar kawan. Aku belajar dari dia untuk jadi seorang hamba Allah. Aku perlukan masa untuk baiki diri aku. Ya, lagipun aku kena uruskan mak aku sekarang ni. Jadi aku minta masa dari kau." Shahrul mengangkat wajah.

" Shahrul..." Akma terkelu. Sisa nasi dikunyahnya laju lalu ditelan.

"Aku tak perlukan jawapan kau sekarang. Nanti bila aku minta, berilah. Kau pun kata kau student lagi. Aku harap kau belajar elok-elok sebab nanti aku akan tunggu luar dewan dan tengok kau pakai mortar board kelas pertama." Shahrul menyimpulkan senyuman manisnya.

" Kenapa kau kata macam kau nak tinggal aku ni?" Gadis itu mula bimbang. Ini dah macam ucapan perpisahan gayanya.

" Takdelah nak tinggal... Cuma kita tak boleh keluar berdua selalu, tak eloklah. Tapi kalau kau perlukan apa-apa, aku boleh datang tolong. Kalau ada assignment susah, aku boleh ajar," terang Shahrul. Semoga Akma mengerti hasrat hatinya.

"Janji tau kau jangan tinggal aku." Hati Akma makin sayu.

"La... Mana ada aku tinggal. Aku hari-hari pergi kerja pastu balik rumah jaga mak aku. Aku nak pergi mana je? Aku tetap macam ni. Cuma mungkin lain sikit sebab Badrul banyak nasihat aku. Aku janji."

"Janji juga walaupun aku berubah macam mana nanti, kau tetap akan tunggu aku. Kau takkan jatuh hati dekat perempuan lain, janji?" Akma benar-benar memandang ke dalam anak mata Shahrul.

Pinky promise mereka hanya di udara. Akma tertawa halus. Tubir matanya yang berair dikesat lalu dia menikmati makan tengah harinya. Hati itu lega jika Shahrul akan menunggu dia yang gelabah ini.

***

Akma tersenyum gembira melihat helaian diari digitalnya. Di situ ada gambarnya dan Shahrul tempoh hari di kedai makan. Bahagianya dia kerana ada yang ikhlas menyayangi.

Punat home di tekan. Ipad itu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Tampa disedari, betis kecil Akma terjerumus ke dalam penutup longkang yang baru hendak dilalui. Lubang batu segi empat itu berjaya menyekat kaki kanannya.

Air mata Akma berlinangan. Terasa kulit kaki sudah tercarik oleh batu ketika terjerlus tadi. Dia tersebek-sebek ingin mengeluarkan betisnya yang kesakitan. Dipandang kiri dan kanan masjid pusat bandar. Mana semua orang?

"Akma?" Amir terkejut. Lelaki itu segera mendapatkan Akma yang terduduk di atas penutup longkang dengan ringisan kesakitan. Niatnya untuk ke masjid membawa pertemuan dengan Akma. Lelaki itu masih belum solat asar dan bercadang ingin berbuka di masjid berkenaan. Lain pula jadinya.

"Amir... Tolong aku," rayu Akma. Dia benar-benar kesakitan saat itu.

"Sabar ya, aku tolong." Amir menarik betis Akma perlahan-lahan apabila lubang itu dipecahkannya sedikit luas.

Akma mengetap bibir. Kulit betisnya yang cerah berlumur darah merah pekat berjaya dibawa ke atas. Kain baju kurungnya terselak hingga lutut disajikan pada lelaki berkopiah itu.

Amir makin risau. Dia terus mencempung tubuh kurus Akma tanpa berfikir panjang. Tahu perbuatannya itu agak terburu-buru sedangkan boleh saja dia memanggil kaum muslimat di dalam bagi membantu Akma. Akma hanya terluka di betis bukannya sakit kronik.

Buat pertama kali tangannya mencempung tubuh seorang gadis. Hatinya beristighfar panjang. Akma diletakkan ke dalam keretanya. Tubuh Akma begitu rapat ke dadanya tadi. Jantung sendiri berdegup begitu kencang.

"Amir, ke-kenapa kau dukung aku?" Wajah Akma memerah. Dia baru tersedar tubuhnya sedang berada di dalam kereta seorang lelaki.

Amir diam tidak berkutik. Dia tidak biasa melampaui batas hingga begini. Matlamatnya hanya satu untuk merawat luka di betis Akma.

" Ana minta maaf," balas Amir dingin. Sel otaknya tak dapat berfungsi. Sebuaya-buaya dia pun, tak pernah lagi disentuh pinggang anak dara orang. Tangannya sedikit menggigil. Syahwatnya teransang dengan perbuatan sendiri. Dia berusaha sedaya upaya bagi menenangkan hati.

Gadis itu menggenggam kusyen kerusi bagi menahan kesakitan. Kakinya yang perit ditahan sakitnya. Dia tidak tahu kenapa Amir seperti amat terkesan. Amir langsung tak mahu memandangnya.

Istighfar menenangkan hati lelaki itu hingga pemanduannya tiba di hadapan sebuah klinik swasta. Dia berpaling ke kiri bagi melihat sang gadis. "Akma, boleh jalan tak?"

Lama Akma berfikir. Kakinya dibawah cuba digerak-gerakkan.

"Boleh." Sisa air mata dikesat dengan telapak tangan. Nafas dalam ditarik gadis itu. Hanya Nafisah dan Badrul yang berlegar-legar dalam fikiran. Pintu kereta dibukanya.

"Ana nak pergi lain ni." Hanya satu, dia mahu balik ke hostel dan membersihkan diri. Apakah status puasanya pada hari itu? Sayang sekali hanya tinggal beberapa jam untuk berbuka. Disebabkan terlihat betis Akma tadi, segalanya jadi berantakan. Ditambah pula tangannya mencempung tubuh gadis itu.

"Okay, terima kasih," bisik Akma. Dia berjalan terhinjut-hinjut sambil berpaut  pada bumbung kereta berdekatan.

Kereta Amir meluncur pergi begitu sahaja.

"Amin..." Air mata Akma mengalir kembali. Dia takut ditinggalkan seorang diri dalam keadaan betis berdarah.

Langkahnya dikuatkan hingga ke dalam klinik. Kad pengenalan diri diserahkan pada petugas sebelum dia terduduk lemah. Telefon pintarnya dikeluarkan.

"Amin... Aku ada dekat klinik ni. Aku jatuh... Datang lah..." pinta Akma. Tersebek-sebek dia meminta simpati. Angin yang bertiup memedihkan geseran luka.

"Okay-okay, aku datang. Aip, jangan menangis."

"Cepat..." Kelopak matanya terkatup. Panggilan itu pun dimatikan oleh pihak sana. Kainnya diselak sedikit bagi memeriksa keadaan betis sendiri. Kasihan kulit kakinya. Habis bercalar-balar hingga memerah bengkak.

Selepas beberapa ketika, doktor selesai mencuci luka Akma. Mujur doktor perempuan yang merawatnya. Dia sudah boleh menapak, cuma sakitnya agak mencucuk. Beberapa papan ubat diberikan buat gadis itu. Dia mengangguk kecil dan terhinjut-hinjut keluar klinik. Koridor klinik yang kosong menyedihkan Akma. Badrul masih tiada. Dia sudah tidak pentingkah buat Badrul?

"Akma."

Badrul tiba.

Bahu Akma dipegang kedua-dua belah. Dia memeluk tubuh adik susuannya itu. Diusap kepala Akma yang berbalut tudung. "Maaf, aku lambat."

"Tak apa," bisik Akma. Tubuh Badrul ditolak menjauh. "Nak balik."

Badrul tersenyum nipis. Bekas tangisan di wajah gadis itu dikesatnya perlahan-lahan. "Marah ya aku lambat?"

"Marah la," geram Akma. Lengannya dirangkul Badrul agar dia dapat menapak dengan mudah.

"Maaf. Macam mana ni boleh jatuh?" Satu kucupan berlabuh pada dahi Akma. Terus Akma tersenyum kecil. Badrul masih tahu cara untuk memujuknya.

"Tadi... Ada lubang dekat longkang. Sakit sangat," adu Akma.

"La... Kesiannya dia." Lelaki itu simpati dengan wajah adiknya.

Akma menjatuhkan kepala beberapa kali. "Nak ais krim McD."

"Ya-ya. Nanti kita drive thru." Nafas halus dihela. Akma dipeluknya dari sisi sementara menunggu kerera di kiri dan kanan memberi laluan untuk ke seberang jalan.

***

Amir meneguk liur sendiri kesat. Usai menyudahkan mandi wajib, dia duduk di birai katil. Nafas dalam ditariknya. Dia tahu tadi itu di luar kemampuannya namun dia tidak selesa berpuasa dalam keadaan begitu. Lalu dibatalkan puasanya.

6 petang.

"Astaghfirullah..." bisik Amir. Dia tidak dapat memaafkan diri sendiri. Telefon pintarnya dicapai laju. Dia bimbang andai ada ahli usrahnya melihat perbuatan tadi. Habis reputasinya akan jatuh ke tanah.

Bibir sahaja yang lancang menegur orang soal ikhtilat. Hari ini dia telah melihat betis seorang perempuan tidak berkelip, dicempung pula tubuh perempuan itu sesuka hati. Nafsunya bertarung dengan iman di dalam hati.

Akma

Akma, ana minta maaf pasal tadi.
Ana betul-betul tak bermaksud
nak sentuh anti.

Terima kasih sebab tolong
Akma tadi.

Akma jangan beritahu yang
lain ya? Yang ana dukung
anti tadi.

Tak adalah. Akma faham.
Itu kan dikira dharurat?

Telefon diletak ke tepi. Kata-kata Akma ada betulnya. Dia buat tadi atas dasar dharurat. Senyumannya terukir.

Benarkah dia akan terlepas fitnah tadi atas alasan dharurat? Sedangkan ada sahaja rakan muslimatnya di dalam masjid.

"Ah, dharurat la tu. Aku bukan sengaja nak pegang dia. Kira rezeki aku lah dapat tengok kulit betis dia sampai lutut."

Di dalam hutan, dia disajikan dengan rambut Akma separas bahu. Hari ini betis putih gebu itu pula.

"Astaghfirullah..." Wajah diraup kasar. Dia merebahkan diri ke atas katil.

"Jangan, Amir. Jangan layan hati ni. Kau tak boleh jadi teruk macam Badrul yang kena tangkap basah tu. Kau lagi mulia dari dia," gumamnya.

Kepala menggeleng berkali-kali. Imannya masih ada.

***
votexkomen
***

apalah jadi nanti ni

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro