28 : Apa itu ikhtilat?

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Tudung yang bersangkut dipandang lama. Amir telah memintanya untuk pakai tudung labuh pemberian tempoh hari. Katanya di sana ramai yang bertudung labuh, tak mahu Akma terasa janggal pula.

Dia lapang sahaja pada petang ini. Hujung kening yang tidak gatal digaru. "Nafisah, takpe ke aku pergi ni?"

"Tak apa. Pergilah buat kawan dengan ramai orang. Nanti bila balik, cerita pada saya apa yang awak belajar. Saya boleh bantu baiki yang mana salah," jawab Nafisah.

"Kau tak nak pergi?"

"Saya nak hantar Badrul pergi klinik. Dia demam." Nafisah pun sedang bersiap untuk keluar. Tudung dan jubah telah tersarung pada tubuh. Dipendam sahaja apa yang berlaku lewat malam tempoh hari. Entah bagaimana boleh ada pihak agama islam datang serbu ke bilik mereka. Badrul pun tunjukkan sijil nikah dan kad pengenalan mereka berdua. Tiada apa-apa tindakan yang diambil. Mereka berdua ini suami isteri yang sah di sisi undang-undang.

"Sejak bila dia demam?"

"Sejak pagi tadi. Dia tak pergi kelas pun."

Baru Akma tahu abangnya sedang demam. Tudung labuh itu disarungkan lalu wajah ditilik pada cermin loker. Secalit liptint merah keperangan dikenakan pada bahagian bibir yang dalam. Dikemam bibirnya buat seketika.
" Nanti beritahu aku tau doktor kata apa. Badrul tu selalunya time exam SPM je dia demam. Banyak sangat fikir tu..."

"Okay, Akma. Hati-hati tau pergi usrah." Awning tudung Akma dibaiki Nafisah. Dia tersenyum kecil melihat adik iparnya. Ditarik pipi Akma yang sudah mula berisi itu. Selera makan Akma asyik bertambah hingga lewat malam pun masih menyantap.

Dua gadis itu bersalaman kerana Nafisah mahu bergegas pergi. Badrul telah tunggu di bawah dengan keretanya. Mereka perlu tukar pemanduan untuk memberikan ruang rehat buat Badrul.

Akma terduduk di birai katil.

Amir asyik memujuknya untuk datang ke usrah.

Mahu tak mahu, mungkin dia perlu hadirkan diri sahaja. Lagipun Amir bukannya mengajak ke tempat maksiat. Surau juga tujuan mereka.

Amir Farhan

Akma, petang ni pukul 5 petang.
Jangan lupa solat asar dulu.
Ana tunggu Akma dekat surau.

Okay, nanti aku datang.

Hati-hati, Akma :D

***

"Bismillah. Saya mulakan pertemuan kali ni dengan nama Allah yang agung, tempat kita semua bergantung. Semua sihat?" Seorang lelaki berkopiah bersuara. Matanya mengerling Akma di sudut perempuan. Perjumpaan kali ini terasa istimewa dengan kehadiran Akma.

Akma melarikan anak mata ke arah lain, tak mahu bertaut dengan panahan Amir. Dia tidak menyangka pula Amir akan mengetuai perjumpaan itu. Lagi mengejutkan, usrah mereka bukanlah asing lelaki dan perempuan. Cuma separuh bulatan ini didominasikan oleh kaum muslimat dan diselangi dengan halal gap sebelum disambung oleh kaum muslimin.

"Kak, memang macam ni ya perjumpaan dia?" soal Akma polos. Dia berbisik pada gadis bertudung labuh disebelahnya.

"Selalunya asing lelaki perempuan. Hari ni Amir suruh gabungkan sebab sesi dia beri perkongsian," terang Yana.

"Em, dia tu dikira naqib ke?" Akma masih terpinga-pinga.

"Dulu... Badrul yang jadi naqib dekat sini. Tapi dia dah berubah arah. Dia banyak pergi mengaji dekat surau dan jadi ketua naqib kolej. Jadi usrah badan kepimpinan ni cuma diuruskan Amir seorang."

"Kenapa Badrul buat macam tu? Dia tak suka ke usrah ni?" Gusar pula hati ini. Balik nanti Akma harus rujuk dengan Badrul yang lagi arif soal agama. Walaupun Badrul jarang memakai kopiah namun Akma yakin ilmu lelaki itu tebal di dada. Kalau nak dibandingkan dengan Amir pula, susah juga Akma hendak menilai. Kadang-kadang Amir nampak berilmu, ada masanya Amir seolah orang yang bercakap lantang tanpa isi.

"Pada sisi Badrul, dia nak kawal yang lebih besar. Mungkin dia tak pandang usrah kecil macam ni dan berpindah dengan jawatan rasmi yang diberikan kolej. Badrul banyak berubah dah. Amir kata jangan ikut sangat kalau Badrul ajak pergi surau atau apa. Awak kenal ke Badrul? "

Akma tersenyum senget. Itu kan abangnya? Suka hati ya mereka melabel Badrul itu gila kuasa.

"Perkongsian kali ini tentang satu isu besar dan ramai yang lemah dan gagal memahaminya dengan baik, hatta seorang yang ikut tarbiah sekalipun iaitu isu ikhtilat." Amir mula membuka kalimah.

"Ana pernah berjumpa dengan ramai orang. Ada yang langsung tak rasa ikhtilat ni salah dengan beberapa alasan yang sangat tak berlandaskan syarak tapi akal. Tengoklah berapa ramai pelajar kolej yang tak kisah langsung kalau sekereta antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang tu bertepuk tampar. Entah mana iman mereka masa berduaan. "

Akma terangguk sendiri. Teguran pedas yang seolah menyasar dirinya yang sering keluar bersama-sama Shahrul. Hati gadis itu cuba bersabar untuk tidak makan dalam.

"Hukum asal ikhtilat adalah haram tetapi akan bertukar harus andai berlaku beberapa situasi iaitu dhorurat, hajat dan dakwah.
Kenapa haram?
Kerana ia menghampiri zina. Simple. Dosa yang besar bermula dari dosa yang kecil. Ramai orang yang mati dengan aedeis berbanding kena makan buaya. Ramai orang yang hancur akibat dosa kecil berbanding dosa besar. Segala perkara haram dan perkara yang membuatkan kita akan terjebak untuk melakukan perkara haram, maka hukumnya juga haram.
Tapi itulah, berkawan antara lelaki dan perempuan bebas pergi ke mana-mana seolah perkara biasa dalam kolej ni. Baru kelmarin ada kawan yang kita kenal kena tangkap basah dekat hotel murah. Murahnya maruah perempuan, sama murah dengan harga hotel bajet. Sedangkan zaman Rasulullah SAW dulu, kaum wanita diangkat menjadi mulia. Ingat, mulia perempuan kerana Islam. "

Tekak Akma berpasir. Nak melawan hujah Amir pun tiada guna. Dia hanya menadah telinga seperti yang lain. Salahkah persahabatannya dengan Shahrul selama ini? Jika salah, kenapa Badrul tidak melarang?

Akma makin keliru. Tangannya berat untuk menyalin pesanan Amir.

"Jadi, itu sahaja perkongsian ana. Kalau ada apa-apa soalan, boleh je tanya. Kalau malu, boleh pm tepi." Syarahan Amir telah berakhir. Senyuman manis tergulung buat Akma yang khusyuk mendengar.

Sesi seterusnya diakhri dengan perkenalan Akma, ahli baharu di situ. Akma tersimpul malu, semua orang tampak alim baik. Dia ini jahil dan tidak memegang apa-apa jawatan. Pakai tudung labuh pun kerana paksaan Amir.

"Akma ni kawan ana. Nanti antum beramah mesra la dengan dia," ujar Amir.

Sudah, dia main ana anti pula. Akma tersengih kekok. Kenapa dia perlu ada di sini? Kalau ikut Nafisah ke klinik lagi bagus.

Segala nasihat umum Amir memang sengaja ditekankan pada Akma hingga Akma rasa dia telah melakukan satu dosa besar. Hinakah dia?

"Akma, Akma okay?" sapa Amir. Semua ahli usrah telah beredar. Terkocoh-kocoh dia mengejar Akma.

"Okay. Janganlah berjalan dengan saya. Jaga ikhtilat tu." Digulingkan biji mata ke tepi. Jari kelingking Amir yang berbalut disedarinya.

"Eh, tak apa. Saya berhubung dengan awak dengan tujuan dakwah? Salah ke?" Dengan petah berkata-kata, Akma takkan mampu membalas. Amir tersenyum sendiri.

"Yeke? Kira bolehlah kalau aku nak berdakwah dekat Shahrul?" soal Akma.

"Eh mana boleh. Kalau saya tak apa lah. Saya ni ada ilmu nak sampaikan. Kalau si Shahrul tu tara mana sangat dia? Sekarang ni Akma dengar je cakap Amir. Amir bukan ada niat jahat lain pun. Cuma untuk saling menasihati."

"Hm. Jari kau kenapa?" Akma menghela nafas halus.

Lelaki itu melihat jari sendiri. "Ni... Ada hari tu... Biasalah kalau Allah sayang kita, mesti ada ujian. Sakitkan penghapus dosa? Sikit je ni."

Amir tersenyum. Kelingking kanannya hampir patah dipulas Han. Bahaya sungguh bermain dengan Han ini.

"Akma, janganlah guna kau aku. Bahasakan saya anta atau akhi pun okay. Lagi indah kalau guna bahasa Arab," ujar Amir.

***

22 Mei
Hari ni aku pergi usrah. Entahlah usrah bawah apa, main redah je. Baru aku tahu yang kita sebenarnya tak boleh berhubungan dengan lelaki kalau takde tujuan. Tapi niat aku baik nak kawan dengan Shahrul. Salah ke? Aku siap melawat mak dia lagi. Mak ayah aku pun kenal Shahrul. Makin pening aku lepas apa yang Amir sampaikan hari ni. Aduh.

Amir bawa ajaran sesat ke?

Kepala Akma terdongak apabila Nafisah melangkah masuk ke dalam bilik. Penantiannya berakhir juga. Terus dia menarik gadis bertudung litup itu untuk duduk di birai katil. Akma meletakkan Ipad ke tepi dan mengambil sebuah buku nota.

"Nafisah, Badrul okay tak?" soal Akma.

"Badrul demam biasa-biasa je. Doktor kata kalau melarat tiga hari, baru datang balik untuk ambil darah." Nafisah tersenyum nipis. Tangannya sedang dipegang Akma.

"Nanti baiklah tu. Suruh dia berehat. Aku baru je nak tanya dia satu benda, tapi dia pula tak sihat. Aku tanya kau je la. Boleh?"

"Ya?" Terkeli-kelip dia memandang Akma.

"Salah ke aku berkawan dengan Shahrul?" jujur Akma. Dia amat terganggu dengan pesanan Amir.

"Maksud Akma?"

"Pasal ikhtilat..." Akma tertunduk kesedihan. Dia mahu berkawan dengan Shahrul. Kasihan lelaki itu tak punyai kawan lain. Sudahlah Shahrul berhenti kolej, pasti Shahrul perlukan kawan sebagai pendengar setia.

"Oh, ikhtilat. Ya, memang tiada percampuran antara lelaki dan perempuan melainkan ada hajat." Nafisah mengiyakan sahaja.

"Kenapa tak beritahu Akma awal-awal?"

"Sebab bukan itu je yang saya perlu ajar Akma. Akma perasan tak sekarang ni Akma dah pandai solat?"

Akma mengangguk lemah.

"Saya nak Akma belajar satu-satu. Saya tak pernah nak paksa Akma, sebab takut Akma tak suka. Ikhtilat itu memang ada hukumnya. Jalan ke arah zina kita tak boleh cuba dekati. Sebab itulah saya selalu tegur Akma supaya kurangkan berduaan dengan Shahrul, jangan keluar sampai senja," ujar Nafisah lembut.

Macam perokok tegar, mereka tidak akan mendengar hinaan dan suruhan kasar. Teguran berhikmah akan menjadi kuncinya. Selebihnya terserahlah pada perokok mahu berhenti atau tidak.

" Tak apa. Sekarang Akma dah tahu, kan? Kenalah jaga diri. Jangan sedih. Akma masih boleh berkawan dengan Shahrul, cuma jangan rapat sangat." Perubahan riak wajah Akma membuatkan Nafisah serba salah.

"Tak boleh keluar dah dengan Shahrul?" soal Akma polos.

"Tak. Akma keluar dengan saya, ya?"

Tersebek-sebek Akma. Dia hanya mahu membantu Shahrul. Dia kasihankan Shahrul.

"La... Janganlah menangis." Tubuh Akma dipeluk Nafisah. Begini pula jadinya. Badrul pun tidak terlalu berkeras melarang persahabatan Akma dan Shahrul. Lelaki itu lebih mahukan Akma perlahan-lahan belajar apa yang betul dan salah. Asas agama Akma dikukuhkan sambil belajar ilmu tasawwuf yang asas.

"Akma nak teman Shahrul je," adu Akma di bahu kakak iparnya.

"Saya faham. Badrul kan ada? Dia tengah jalinkan persahabatan dengan Shahrul. Akma tak tahu ya?"

"Hm... Tak."

"Badrul selalu je berjumpa dengan Shahrul belakang Akma. Saya nak tanya, Akma sebenarnya sekadar berkawan dengan Shahrul atau ada perasaan lain?"

"Akma tak tahu." Dia terus berada dalam pelukan Nafisah. Hatinya masih tak berani untuk menyatakan apa-apa perasaan.

"Tak manis lelaki dan perempuan selalu keluar bersama. Kalau Akma ada rasa lebih dari seorang kawan, Akma tahu kan ada cara untuk halalkan hubungan?"

"Kahwin? Akma muda lagi la... Tak nak-tak nak." Pantas Akma menggeleng. Dia belum bersedia untuk jadi isteri orang. Mengarut sahaja idea itu.

"Orang nak kawan je. Bukan nak kahwin," omel Akma.

Nafisah tertawa halus. "Ya, boleh. Jangan rapat sangat ya? Ingat, saya ada untuk Akma. Badrul pun ada."

***
votexkomen
***
buaya berkopiah tak serik lagi ni, dah patah jari pun nak berana anti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro