38 : Pendosa dan Syurga

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Lagi setapak, hilanglah lantai yang dipijak. Badan itu akan jatuh menghempas ke bumi dari tingkat enam hostel lelaki. Jantung Amir Farhan berdegup hebat. Air mata jadi kering dek tamparan bayu malam.

Jari yang menggenggam bingkai tingkap dilepaskan perlahan-lahan.

Baik ayah mahu pun ibu, semua tidak mempercayai diri itu. Atikah makin seronok menuduh satu fitnah besar. Habis rakan bilik memalau Amir gara-gara perbuatan hina tunang sendiri. Nama dijaja seperti seorang penzina. Demi Allah, sentuh Atikah sekali pun tidak pernah inikan pula mahu buat gadis itu hamil.

Amir menurunkan kelopak mata.

"Amir?"

Suara garau itu menyapa malamnya yang sepi. Jawapan tidak diberikan, mulut terus diketap rapat.

Badrul tersenyum nipis lalu memegang pergelangan tangan Amir erat. Dia terpanggil untuk ke kiub bilik itu apabila malam melewati namun apa yang dilihat hanyalah seorang lelaki terpacak di luar tingkap. Hanya sedikit tempat pijakan yang membolehkan Amir kekal berdiri di luar bangunan. Daripada tingkap aras teratas itu, mata mereka disajikan dengan permandangan malam bangunan hostel lelaki yang berderetan dan jalan yang dihiasi lampu kekuningan.

"Aku percaya kau tak buat semua ni," ucap Badrul.

Amir menggeleng lemah. Mata putih kemerahan kerana menanggung lebatnya tangisan.

"Aku tahu kawan aku tak buat semua ni." Apabila lengan Badrul melingkar di belakang Amir, linangan air mata mula menitis kembali. Tubuh dua lelaki itu terpisah dengan bingkai tingkap yang terbuka.

Kelopak mata dipejam erat. Tangisan pecah di bahu lelaki yang direndahkan selama ini. Amir tewas dengan pahit ujian kehidupan. "Kenapa kau datang sini?" Terhinjut-hinjut bahu Amir.

"Aku risaukan kau. Aku sayang kau. Masuklah bilik balik," pujuk Badrul.

"Aku minta maaf," bisik Amir. Egonya terpaksa diturunkan. Dia sudah tidak betah terjerut dengan dosa terhadap Badrul apatah lagi Akma. "Aku tak nak hidup dah..." Bahu Badrul ditolak menjauh lalu telapak tangannya menghapuskan air mata.

"Kau jangan nak buat benda bodoh." Badrul bertindak menarik bahu Amir ke dalam hingga lelaki itu tersembam ke atas lantai. Dengan pantas tingkap bilik dikatup, penyelaknya dinaikkan segera. Ringisan kesakitan Amir langsung tidak dipedulikan.

"Biar aku mati..." rintih Amir. Kaki lemah dipaksa berdiri, tangan pula menolak tubuh Badrul yang menghadang tirai bilik. "Tepi..."

DUSH

Wajah Amir terteleng ke kanan tidak semena-mena. Lebam pukulan abang Atikah ditambah oleh Badrul pula pada malam itu.

"Kau sedar tak apa yang kau cakap ni, Mir?" soal Badrul.

Amir menyentuh pipinya yang berdenyut. Mata kekal memandang lantai bilik. "Aku nak mati."

"Mati bukan jalan penyelesaian. Mati tu pintu kepada alam barzakh. Mati tu permulaan hidup yang berpanjangan di akhirat sana. Kau dah sedia nak mati?" Badrul masih berdiri membelakangi tingkap. Tangannya digenggam erat dek marah yang meruap.

"Aku dah tak nak hidup," bisik Amir.

"Amir, aku pun kena fitnah. Orang fitnah aku berzina dengan Nafisah dalam hotel. Berapa ramai mengata aku dan percaya pendustaan tu? Aku lagi kesiankan Nafisah. Dia dah lah mengandung, kena tahan tekanan orang sekeliling pula... Tapi aku tahu keadaan ni cuma sementara. Lambat laun kebenaran akan tersingkap juga," luah Badrul. Begitu lelaki itu mahu Amir fikir dengan lebih terbuka. Setiap dari ini hanyalah ujian, setiap orang pula telah ditetapkan ujian masin-masing.

"Aku lah orang yang fitnah kau." Nafisah, perempuan yang ingin ditarik Amir dahulu lebih memilih Badrul. Betapa sakitnya hati apabila diketahui Nafisah lah yang sering ke hotel bersama Badrul. "Tumbuklah aku lagi." Amir melangkah merapati sahabatnya.

Kepala digeleng Badrul Amin. "Aku hanya akan tumbuk kau kalau kau cuba sakitkan diri sendiri."

"Aku sakitkan kau. Aku fitnah kau." Suara serak Amir memecah.

"Aku tak kisah kau nak buat apa dekat aku. Tapi jangan sakitkan diri sendiri. Aku sayang kau, Mir." Lelaki itu memandang sahabatnya.

Dunia terasa sepi seketika. Amir tidak berkelip, apa yang dirasai hanya hangat air mata membasahi lekukan tulang pipi. "Aku minta maaf..."

"Tak apa." Senyuman nipis terlekuk di bibir melihat sahabat sendiri menangis teresak-esak. Badrul membuka tangannya. Dengan sendiri Amir perlahan-lahan datang memeluk.

"Minta maaf sebab biasiswa kau dah kena tarik," bisik Amir.

Badrul meleraikan pelukannya. "Dah kalau takde rezeki, nak buat macam mana. Kan? Bukannya aku tak cuba berunding dengan pihak penaja.Siapa yang belasah kau sampai jadi macam ni?"

Jahitan pada dahi Amir masih baharu lagi. Bibir rakannya pecah di hujung. Tangan pula lebam ibarat dipijak dengan kuat. Badrul yakin ada lagi kesan pukulan yang lain di sebalik baju yang tersarung.

Amir menarik nafas dalam. Udara sejuk malam itu menyelubungi tubuhnya. "Abang sulung Atikah. Dia belasah aku macam nak bunuh aku. Sedar-sedar dah ada dekat hospital."

"Astaghfirullah... Kenapa?" Mata Badrul membulat.

"Atikah fitnah aku. Dia kata aku perkosa dia sampai dia mengandung sekarang ni. Tapi Bad, kau percayakan aku. Kan?" Amir cepat-cepat mengangkat wajah. "Demi Allah, bukan aku yang buat Atikah. Anak dalam kandungan dia bukan daripada benih aku. Tapi... Ayah aku sendiri tak nak percaya." Senyuman hambarnya terbentuk.

"Ayah aku tak nak mengaku yang aku ni anak dia kalau aku tak teruskan pernikahan bulan depan. Badrul, aku baru tahu Atikah tu jenis yang macam mana. Malam-malam dia keluar dengan lelaki lain. Sepanjang betunang dengan aku, dia dah kena tebuk banyak kali dengan jantan entah dari mana. Dia nak kahwin semata-mata dengan aku sebab anak luar nikah dia. Aku langsung tak rasa dia akan hormat aku sebagai suami nanti," terang Amir. Sungguh, dia tak mahu membela seorang perempuan yang liar. Dia masih boleh terima jika Atikah sudah menyesal, namun sebaliknya yang dilihat pada bekas tunang sendiri.

"Kau percayakan aku, kan?" soal Amir.

"Ya, aku percaya." Badrul mengangguk. Pandangannya berfokuskan perbicaraan Amir. Sejak pulang ke hostel, hangat nama Amir Farhan menjadi topik utama. Dikatakan Amir telah terlanjur dengan tunang sendiri. Namun, sedikit pun Badrul tidak percaya akan tuduhan berkenaan.

"Abang Atikah nak belasah aku lagi kalau aku tak setuju. Badrul, aku tak nak hidup macam ni. Aku tak nak jadi suami seseorang hanya untuk menebus dosa orang lain," adu Amir. Mungkin sampai dia mati barulah Fatah puas.

"Kau tak slow talk dengan Atikah? Untuk jumpa balik ayah kepada kandungan tu."

"Dia terdesak nak kahwin dengan aku. Dia psiko aku untuk mengaku tu anak aku. Satu habuk pun dia tak nak cakap pasal jantan yang mengandungkan dia. Aku pening, Badrul."

"Macam ni lah. Kau buat temu janji nak jumpa dekat luar, tapi biar aku dan Nafisah yang datang. Kau rehat je," putus  Badrul. Tangan memeluk tubuh apabila atmosfera makin sejuk. Jam tangannya telah melewati 12 tengah malam. Kipas siling laju berpusing.

"Bila nak jumpa?"

"Esok. Sebab Nafisah takde kelas pun hari esok. Aku pula tengah MC lagi."

"Dekat mana?"

"Masjid pun okay dah. Aku malas nak pergi jauh-jauh."

Amir mengangguk faham. Ini sajalah cara yang ada sebelum dia semberono menjadi kambing hitam atas keterpaksaan.

"Kau MC lagi? Kau demam teruk ke?" Kening lelaki itu berkerut.

"Doktor suruh rehat dulu sampai betul-betul kebah."

"Oh." Terus Amir menekur. Raut wajah Badrul masih lesu kerana perlu berehat untuk memulihkan kudratnya. Luka lebam pada kekura tangan Badrul lagi mensayukan hati Amir. "Kenapa kau layan aku macam ni? Aku dah fitnah kau depan orang lain. Dah lah, jangan kawan dengan aku. Aku banyak buat dosa yang kalau kau sendiri tahu pun kau akan terkejut."

"Semua orang buat dosa," jawab Badrul.

"Tapi aku ni buat dosa besar."

"Kita tak tahu pengakhiran hidup seseorang macam mana. Selagi aku boleh bantu kawan aku, aku bantu yang mana boleh."

Ada orang yang baik sepanjang hidup, ketika hembusan nafas terakhir dia mati dalam keadaan dosa. Bila-bila masa sahaja nikmat iman ini boleh ditarik daripada diri kita. Nak pandang rendah pada orang lain, macam tak kena pula sebab pengakhiran hidup sendiri masih belum terjamin.

"Aku minta maaf, Badrul Amin." Tubuh Badrul didakap Amir erat. "Aku minta maaf sebab langsung tak kisah kau demam dalam bilik."

Senyuman Badrul tersimpul. Dia membalas pelukan itu. Semoga nanti Amir akan menjadi lebih baik darinya.

***

"Akma datang seorang diri je ke?" soal Puan Hasmah di muka pintu. Sesekali dikerling kawasan halaman rumah yang tidak di jejaki sesiapa. Hanya seorang gadis yang bertudung litup berdiri terpacak di hadapan rumah.

"Ya," jawab Akma sopan. Kekura tangan wanita itu disalamnya lalu dia menyuakan beberapa barang dapur yang dibeli tadi di pasaraya sebelum singgah ke rumah Shahrul.

"Susah-susah je Akma ni. Nanti anak mak cik tu marah pula sebab ambil semua ni..." keluh Puan Hasmah. "Jemputlah masuk Akma." Plastik yang tidak berapa berat itu diletakkan ke atas riba. Akma hanya membeli gula putih dan sepaket Milo. Terdapat juga bungkusan tepung dan minyak untuk keperluan memasak.

"Eh-eh suka hati dia je nak marah. Nanti saya marah dia balik." Akma menggeleng dengan mata sepetnya.

"Mak cik sarapan apa pagi ni?" Kerusi roda Puan Hasmah ditolak masuk ke dalam rumah. Kasutnya diletakkan bersebelahan selipar yang lain.

"Makan roti je. Mak cik tak sempat nak masak apa-apa sebab gas habis. Nak harapkan Shahrul... Kebulur lah mak cik jawabnya."

"Senyap je... Shahrul mana?" Matanya mengintai bahagian dapur dari ruang tamu.

"Shahrul macam biasalah, selagi matahari tak terpacak atas muka selagi tu lah dia tak bangun. Malu makcik dengan Akma. Ada anak pun membongkang je kerja," omel wanita itu.

"Biarlah dia tu. Dia kan penat kerja sampai subuh. Mak cik jangan bebel dia pula tau," ujar Akma. Dia tersenyum kecil melihat pintu bilik Shahrul yang bertutup rapat. Makanya, sebelum matahari terpacak, Akma harus berangkat terlebih dahulu agar tidak bersua dengan lelaki itu.

"Hm," akur Puan Hasmah. Gadis muda di hadapannya dipelawa untuk duduk di atas sofa.

"Kaki mak cik sakit lagi? Nak saya urut?" Matanya melihat keadaan kaki bonda Shahrul. Dia dikhabarkan Puan Hasmah baru selesai menjalani pembedahan kakinya yang kedua kelmarin.

"Tak payah," Puan Hasmah segan dengan layanan Akma. Tangan Akma yang hendak turun menyentuh kakinya ditarik dan diletakkan di atas riba. "Nanti Shahrul boleh urutkan. Akma janganlah susahkan diri Akma. Akma datang melawat ni pun mak cik dah bersyukur sangat-sangat."

"Tak susah pun. Saya suka datang sini. Dapat melawat mak cik yang makin sihat ni. Muka mak cik pun dah makin cantik," ujar Akma.

Puan Hasmah tertawa halus dibodek kawan anaknya. "Ada-ada je Akma ni. Akma selalu datang sini sebab suka Shahrul ya?"

Akma menggeleng perlahan. "Suka tu memang suka. Sebab dia baik dengan Akma. Tapi dia suruh Akma habiskan belajar sebelum nak ada apa-apa hubungan. Dia nak jaga mak cik dulu nampaknya."

"Dia kata macam tu? Amboi, pandainya mengayat depan perempuan." Puan Hasmah sedikit terkejut kerana dia sedang diutamakan Shahrul. Padahal setiap pagi mulut itu membebelkan Shahrul yang sering tidur hingga tengah hari terik.

Tak boleh juga nak salahkan anak bujang itu, Shahrul sengaja ambil shift malam agar waktu siang dapat digunakan untuk menjaga bondanya. Tambahan pula, bayaran shift malam lebih mahal. Wajah Shahrul terbayang di minda Puan Hasmah.

Akma tertawa halus. "Kalau saya cerita dia cakap apa, mesti mak cik terkejut ni. Mengayat dia tu boleh buat kencing manis."

"Pandai sangatlah tu nak mengorat anak dara orang." Sedarlah Puan Hasmah bahawa anaknya sudah besar panjang. Bukannya anak kecil yang perlu dibebelkan setiap saat. Sejak kemalangan jalan raya tempoh hari, Shahrul lah yang menguruskan segala kerja rumah. Cuma wanita itu agak naik angin kerana kerja-kerja hanya akan dibuat selepas tengah hari dan terkadang senja menjengah pun kain masih tidak dibasuh. Waktu-waktu sebegini kebiasaannya digunakan Shahrul untuk rehatkan diri setelah penat bekerja semalaman.

"Tapi mak cik jangan risau. Shahrul nak jaga mak cik dulu sebelum ambil saya jadi isteri. Saya dengan dia cuma kawan je, tak lebih dari tu," sambung Akma. Takut lain pula pada fikiran Puan Hasmah. Shahrul dan Akma masih memegang tali persahabatan.

"Kenapa Akma sukakan anak mak cik?" Ingin juga hatinya tahu, apa yang dilihat dalam diri Shahrul Ridzwan.

"Kadang-kadang ada sisi baik dia yang boleh kita tengok. Tapi Akma sendiri pun tak baik mana. Akma nak perbaiki diri dulu, sama macam Shahrul. Biar dia jadi anak soleh untuk mak cik, insya Allah yang lain akan datang. Jadi mak cik janganlah marah-marah dia ya?" pinta Akma dengan kerdipan mata. Kekura tangan Puan Hasmah diusapnya lembut.

" Dia cerita dekat Akma ke? Yang mak cik selalu bebel dekat dia..."

Tak dinafikan, Shahrul asyik dimarahi kerana kesilapan kecil. Ada saja gaduh mulut setiap hari.

"Tak adalah. Tapi Akma tahu kalau dia tengah kusut macam mana. Rasanya dia takkan pening fikir benda lain melainkan  tentang orang yang dia sayang. Mesti dia takut kalau dia gagal jadi anak yang baik untuk mak cik."

Puan Hasmah tersenyum kecil mendengar itu. "Shahrul, Shahrul..."

"Akma sendiri pun nak yang terbaik untuk mak cik, apatah lagi Shahrul," tambah Akma.

Pandangan wanita itu jatuh pada barang pembelian Akma. Minuman kegemaran dia dan Shahrul ada di atas riba. Dia asyik memikirkan diri sendiri yang lumpuh hingga terlupa untuk mengambil kira anak tunggalnya.

" Terima kasih, Akma. Sebab datang sini dan selalu ada untuk mak cik," ujar Puan Hasmah. Matanya membentuk senyuman dengan kedutan tua.

"Mak, mak sembang dengan siapa?"

Suara garau itu menghentikan perbualan mereka. Akma tersengih sahaja apabila Shahrul menyedari kehadirannya. Kedudukan sofa yang menempatkan Akma membenarkan gadis itu untuk melihat terus ke arah pintu bilik Shahrul.

"Akma?" Mata Shahrul membulat besar setelah difokuskan baik-baik. "Kan aku dah kata kalau nak datang.... Beritahu dulu," geram Shahrul. Kepalanya yang terjegul di muka pintu kembali diloloskan ke dalam kamar.

Hilanglah Shahrul daripada pandangan mata mereka berdua.

Setelah sehelai baju disarungkan pada tubuh, barulah Shahrul menapak ke ruang tamu. Sempat juga rambut yang serabai dibaiki. Matanya dipencilkan ke arah gadis kecil molek di sebelah ibunya. "Kenapa kau datang sini?"

"Shahrul, tak baik cakap macam tu," tegur Puan Hasmah.

"Takpe, dia dah biasa." Shahrul langsung tidak kisah. Tangannya naik mengesat mata. Dengan Akma ini tak boleh cakap elok-elok sangat, nanti dia cop kaki sweet talker. Rasa mengantuk masih tersisa buat lelaki itu.

"Akma nak melawat mak cik, kan?" Akma berpaling ke arah wanita di sebelahnya bagi membela diri sendiri. Wajahnya yang diusap Puan Hasmah lagi menghangatkan hati Shahrul. Sudahlah datang rumah tiada khabar, main terjah je. Tahu-tahu rancak bersembang di ruang tamu.

***
votexkomen
***

Jadi, mana ayah sebenar baby dalam kandungan Atikah? huhu, 😓😓😭

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro