Bab 24: Kebenaran yang Diinginkan

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PAGI-pagi lagi Heroic Knight sudah bangun untuk berangkat ke Gaeth Lenora. Selepas bersiap, mereka berlapan menikmati sarapan pagi bersama keluarga diraja Kerajaan Eatherland.

“Sudah lama tidak bertemu dengan kamu semua,” kata Puteri Alyana. Matanya memandang satu persatu wajah anak muda di hadapannya. Dia tersentak apabila melihat seorang gadis berambut emas dan mempunyai sepasang mata berwarna biru.

“Apa namamu, anakanda?”

“Nama patik, Annabella Valiant.” Annabella bersuara.

Walaupun rasa agak keliru, dia memperkenalkan diri juga kepada wanita cantik itu. Puteri Alyana agak tersentak mendengar nama Annabella. Tetapi dia mengawal riak wajahnya agar tidak ketara.
Senyuman manis dihadiahkan.

Mereka menikmati sarapan sambil berbual mesra dan bertukar cerita kerana sudah sekian lama tidak berjumpa. Hanya Annabella sahaja yang tunduk membisu kerana tidak memahami apa yang mereka bualkan kerana keseluruhan isi perbualan dalam bahasa purba. Dia hanya menunduk memandang pinggan. Rasa seperti disisihkan. Hatinya meronta-ronta mahu pergi dari situ.

“Maafkan patik, tuanku. Patik mahu meminta diri ke bilik air.” Annabella bangun.

Langkah diatur ke bilik air apabila mendapat keizinan. Dia termenung sebentar. Hampir sepuluh bulan dia tinggal di sini pelbagai perkara yang terjadi padanya. Kalau dulu dia teringin mahu pulang ke Bumi kerana dia manusia biasa. Setelah apa yang terjadi, dia semakin keliru dengan identiti sendiri. Siapa sebenarnya dia? Keluhan dilepaskan. Dia melangkah keluar dari bilik air dan terkejut apabila wanita cantik sedang berdiri di hadapannya.

“Tuanku!” Dia menundukkan kepala sedikit.

“Tak usahlah begitu... Jom!” Tangan Annabella ditarik untuk mengikut langkahnya. Dia membawa Annabella ke taman bunga diraja.

Annabella pula terpukau melihat keindahan taman bunga tersebut. Pelbagai warna dan pelbagai bentuk. Setiap bunga mempunyai kristal di tengah-tengah. Rama-rama yang pelbagai warna pula berterbangan bersama debu emas.

Dia mendekati bunga berwarna merah jambu yang masih menguncup. Kelopak bunga disentuh lalu bunga merah jambu itu kembang dengan sendiri dan menampakkan warna fuschia pada sebelah kelopak dalam. Kristal berwarna putih berada di tengah-tengah diambil. Sangkanya bunga itu akan layu apabila kristal bunga diambil tetapi bunga itu tetap segar.

“Patik buat salah ke?” Annabella memandang Puteri Alyana yang sedang tersenyum ke arahnya.

“Tidak, anakanda... Mari duduk di sini,” kata Puteri Alyana. Dia menggamit Annabella duduk di atas bangku yang terdapat di situ.

“Sudah berapa lama anakanda berada di sini?"

“Lebih kurang sepuluh bulan...”

“Anakanda suka tinggal di sini?” Puteri Alyana senyum. Kepala gadis itu diusap dengan penuh kasih sayang. Terpancar kasih sayang seorang ibu diraut wajahnya. Sudah besar nampaknya.

“Err... Bolehlah... Selepas ayah meninggal dunia, patik sudah tiada siapa lagi. Berada di sini rasa seperti tempat tinggal sendiri. Dunia ini seperti rumah kedua patik.”

“Ayah sudah meninggal? Bila?” tanya Puteri Alyana yang agak terkejut. Kesedihan terpancar di ruang mata.

“Empat tahun lepas disebabkan kemalangan.”

“Bonda anakanda mana?”

“Patik tidak tahu. Dia masih hidup atau mati? Patik tidak tahu. Namanya pun patik tidak tahu,” katanya sambil tersenyum hambar.

“Kalau anakanda dapat berjumpa dengannya, apa perasaan anakanda? Apa yang anakanda mahu katakan padanya?”

“Terlalu banyak soalan yang patik mahu ajukan kepadanya. Kenapa dia tidak jaga patik? Kenapa dia tidak datang jumpa patik jika dia masih hidup? Dia sayangkan patik atau tidak?”

“Anakanda bencikan dia?”

“Kalau dia mempunyai alasan yang kukuh, patik tidak akan bencikan dia.”

Puteri Alyana mengusap rambut Annabella. Kemudian, dia membelai wajah gadis itu seakan-akan melepaskan rindu. Wajah anak muda itu direnung semahunya. Dia teringatkan sesuatu.

“Ambillah, sebagai tanda kenangan kita berjumpa.”

Annabella teragak-agak mahu mengambilnya. Gelang besar berwarna emas yang diukir dengan ukiran yang sangat cantik malah dikelilingi dengan batu permata kecil dan kristal. Tapi... Besar sangat untuk dipakai pada lengan. Kalau diheret ke belakang, mahu sampai ke lengan bawah bahu. Atau itu fungsi sebenarnya?

“Bangle ini milik seseorang tetapi beta berikannya kepada kamu. Perkataan yang terukir padanya bermaksud berani dan kuat. Beta harap anakanda kuat dan berani dalam menempuh segala dugaan dalam hidup anakanda,” kata Puteri Alyana. Dia masukkan bangle tersebut pada tangan Annabella dan menyorotkan hingga ke lengan.

“Patik tidak kuat malah tidak mempunyai kuasa...”

“Jangan pandang rendah pada diri sendiri. Kuasa bukan segala-galanya. Anakanda perlu percaya pada diri sendiri,” nasihat Puteri Alyana.

“Patik akan sentiasa ingat kata-kata tuanku. Apa yang perlu patik lakukan pada kristal bunga ini?” tanya Annabella. Dia memandang kristal yang diambil dari bunga. Kristal bunga yang berwarna putih biasa kini sudah berubah menjadi warna-warni.

“Kristal bunga ini menunjukkan perasaan kasih sayang antara dua ingin. Ia akan berubah menjadi warna-warna bila dua insan saling mencintai. Warnanya akan pudat apabila tiada lagi cinta di hati. Simpanlah... Apabila anakanda bertemu orang yang anakanda suka, bagilah kristal ini. Ia menandakan yang kamu sangat mencintainya.”

“Tapi bagaimana patik boleh memilikinya?”

“Mungkin anakanda menyukai seseorang dan sentiasa berfikir tentangnya.”

“Mana ada!” Muka Annabella sudah merah apabila diusik manakala Puteri Alyana ketawa kecil melihat Annabella yang gelebah. Rindunya yang bertamu dalam hati terubat sedikit.

“Anna! Jom! Kita dah lambat!” jerit Freya dari koridor istana.

“Ya! Patik pergi dulu tuanku. Terima kasih atas hadiah ini. Patik akan menjaganya dengan sebaik mungkin,” ucap Annabella.

Puteri Alyana menarik tubuh Annabella ke dalam pelukannya.

“Anna, anakanda bonda. Bonda sangat rindukan anakanda.”

EIDAN memerhati tingkah laku Annabella dari jauh. Sejak dari tadi, gadis itu hanya mendiamkan diri tanpa banyak cakap. Selalunya gadis itu tidak berhenti bertanya apabila melihat sesuatu yang belum pernah dilihatnya. Keindahan hutan yang mereka lalui sekarang ini tidak mampu menarik perhatian gadis itu.
Dari tadi lagi Annabella hanya diam membisu dan sering menunduk ke bawah seperti ada sesuatu yang bermain di dalam fikiran gadis itu.

Dahan pokok yang menjuntai dipaut. Dia melonjakkan badan sehingga dia berjaya duduk di atas dahan. Dari satu pokok ke satu pokok dia melompat, dia boleh nampak jelas ahli Heroic Knight yang sedang berjalan mengikuti jalan yang mereka selalu lalu untuk ke Gaeth Lenora.

Dia menggelengkan kepala apabila melihat Serena dan Hariel bergaduh manakala Freya tidak berhenti mengacau Frielan yang ingin menyentuh Ipad. Karyle hanya tersenyum manakala Haziel menyokong pergaduhan kembarnya. Annabella pula hanya menundukkan wajahnya malah semakin jauh dengan yang lain.

Tiba-tiba terlintas satu idea di fikirannya. Dia melompat ke satu dahan pokok menanti Annabella untuk melaluinya. Saat Annabella lalu, dia melompat turun dari dahan pokok bersama pedang kerana ingin menyerang gadis itu. Tetapi serangannya dapat ditahan oleh Annabella dengan menggunakan dua pisau yang terletak di dalam beg kecil yang tersisip di pinggang gadis itu. Dia tersenyum sinis. Cekap juga. Pedang dikembalikan ke dalam sarung di pinggangnya.

“Kenapa kau serang aku?” marah Annabella.

“Saja.”

Pisau yang berada di tangan kanan dilemparkan ke arah Eidan. Tetapi lelaki itu sempat mengelak sehingga pisau itu tercacak pada batang pokok. Annabella mendengus geram kerana balingannya dapat dielak oleh Eidan. Dia menyambung langkah. Pisau yang terpacak pada batang pokok dicabut dan kembali disimpan. Annabella meneruskan perjalanannya. Eidan mengikutinya dari belakang.

“Bagaimana kau tahu aku mahu menyerang kau?” tanya Eidan.

“Sebab aku dapat rasa...” Annabella sengaja melambatkan percakapannya.

“Rasa apa?”

“Musuh sejati.”

“Aku tidak main-main,” kata Eidan dengan nada geram.

“Samalah dengan aku,” balas Annabella dengan nada yang sama.

“Macam mana kau boleh elak serangan aku?” tanya Eidan.

“Sebab aku dapat bau...” Sekali lagi Anna sengaja melengahkan masa untuk membalas soalan Eidan.

“Bau apa?”

“Bau badan kau yang macam kambing!”

“Aku tanya baik-baik kau cakaplah baik-baik tak boleh ke?” marah Eidan.

“Buat apa aku cakap baik-baik dengan orang yang hampir nak bunuh aku?”

“Aku cuma nak uji kau sahaja. Dalam berangan kau, kau sempat mengelak serangan dari aku?”

“Itu sebab aura kau terlalu kuat. Kalau kau tidak sembunyikan aura kau, aku yakin musuh dapat mengesan kedudukan kau dengan mudah. Sekelip mata sahaja kau boleh mati. Melainkan kau mahu menunjuk-nunjuk aura kau yang ada dua warna.”

“Bagaimana kau tahu aku mempunyai dua aura?”

Annabella berhenti berjalan begitu juga dengan Eidan. Dia memusingkan badan ke belakang mengadap muka Eidan yang tidak ada perasaan.

“Sebab aku nampak aura biru dan merah sekeliling badan kau sekarang ni,” kata Anna. Jarinya bergerak membentuk bulatan di depan muka Eidan. Dia kembali meneruskan langkah.

“Kau boleh lihat aura seseorang. Jika kau boleh nampak aura, cuba kau bagitahu warna aura mereka,” kata Eidan. Dia menunding jari ke arah ahli Heroic Knight.

“Aura Karyle berwarna kuning dan putih. Frielan mempunyai aura berwarna ungu. Freya pula berwarna merah jambu dan hijau muda. Aura Serena sama warna dengan rambutnya. Hariel mempunyai aura berwarna biru tua dan Haziel pula berwarna merah. Puas hati kau?” Annabella beritahu satu-persatu.

“Nampaknya kau bukan seorang Lvanian yang biasa.”

“Apa maksud kau?”

“Aku pernah bagitahu kau bahawa Lvanian yang berdarah kerabat diraja sahaja mampu melihat aura dan merasa kehadiran aura.”

“Jadi, kau mahu mengatakan aku merupakan Lvanian berdarah kerabat diraja? Hahaha...” Ketawa Annabella meletus apabila dapat menyimpulkan andaian Eidan terhadap dirinya.

“Kau kelihatan dingin tapi kau mempunyai bakat buat lawak rupanya. Hahaha...”

Eidan mendengus geram apabila melihat Annabella tidak henti ketawakannya.

“Aku dengar apa yang Puteri Alyana bagitahu kau.”

Ketawa Annabella mati serta-merta. Langkahnya terhenti begitu juga dengan Eidan.

“Semua itu tak benar.” Suara Annabella kedengaran serius.

“Jika ia benar?”

“Kau tidak ada hak masuk campur dalam urusan aku! Siapa diri aku? Biar aku sendiri yang cari kebenarannya! Biar aku sendiri yang tahu! Jangan sesekali kau masuk campur dalam hal aku!” marah Annabella. Jarinya ditekan beberapa kali pada dada Eidan.

“Ingat tu!”

Eidan memandang langkah Annabella yang sudah jauh meninggalkannya. Ganas, garang, kasar, keras kepala dan panas baran. Bagaimana aku boleh mempunyai perasaan ini terhadap dia?

“SELAMAT datang, The Circle of Heroic Knight,” ucap Lady Nythana. Dia memandang satu persatu wajah lapan anak muda yang berdiri di hadapannya. Dia memandang lama Annabella.

Kamu juga...”

Annabella membalas pandangan Lady Nythana. Suara Lady of Light itu terngiang-ngiang di mindanya.

“Berehatlah dulu. Petang nanti kita jumpa lagi di Nytve Unarith.” Lady Nythana berlalu pergi.

Annabella tidak berkelip melihat rupa sebenar Gaeth Lenora sangat memukau pandangan mata. Pokok tumbuh menghijau dengan dihiasi bunga yang mekar. Ia membuatkan jantung hutan itu sangat indah.

“Jika waktu malam, pemandangan di sini lagi cantik,” ujar Karyle.

“Betul ke?” tanya Annabella.

“Nantikan sahaja malam ini. Kau pasti akan terpukau,” kata Haziel.

Setelah itu mereka dibenarkan berehat di dalam rumah atas pokok. Tangga yang dibina bersambung antara satu sama lain dengan pokok yang lain. Terdapat juga tangga menghubungkan atas pokok dengan tanah.


Selepas berehat, mereka berkumpul di tempat air terjun. Tempat yang sangat cantik malah dapat memukau sesiapa yang datang. Hanya bunyi deruan air yang mengalir jatuh. Air yang jenih itu mengalir tenang. Suasana yang indah turut dapat menenangkan hati yang gelisah.

“Ini Nytve Unarith?” tanya Annabella.

“Ya,” balas Karyle.

“Kenapa dipanggil sebegitu?”

“Air yang mengalir merupakan air mata seorang dewi yang bernama Nytve Unarith. Setiap kali dia nampak masa depan seseorang. Dia akan menangis. Jadi, inilah air matanya,” terang Karyle.

“Her tear drop is powerful?”

“Hanya digunakan untuk meramal perjalanan hidup seseorang.”

Selepas itu, mereka beredar dari situ. Mereka melangkah menuju tempat yang agak tersorok. Bentuknya seperti gua. Hanya seorang sahaja yang boleh masuk ke dalam tempat tersebut di mana Lady Nythana sedang menunggu. Karyle dahulu yang masuk mengikut kedudukan mereka. Tidak berapa lama kemudian, Karyle keluar bersama senyuman seperti biasa.

Tiba giliran Eidan. Dia melangkah masuk ke dalam. Lady Nythana sudah mencurahkan satu jag air diperbuat daripada kristal ke dalam satu jeluk juga diperbuat daripada kristal terletak di atas batu.

“Apa yang kamu lihat pada waktu dulu?”

“Seorang Pemerintah Astland,” balas Eidan. Dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Sudah tentu dia bakal mewarisi pemerintahan ayahandanya.

“Mari lihat sama ada ia berubah atau tidak.”

Eidan mencelupkan tangannya ke dalam air yang berada di dalam jeluk kristal. Matanya dipejam rapat. Mindanya dikosongkan buat sementara waktu. Perlahan-lahan cahaya mula menyinari tempat tersebut. Air yang terdapat di dalam jeluk tersebut semakin surut perlahan-lahan sehinggalah Eidan membuka mata. Air itu telah kering.

“Saya nampak apa yang kamu nampak, Eidan. Kamu bukan sahaja seorang Pemerintah Astland. Ada tanggungjawab yang perlu kamu jaga.”

“Terima kasih, Lady Nythana,” ucap Eidan. Dia menundukkan kepala sedikit.

“Ianya belum pasti sebab ia boleh berubah. Jangan terlalu banyak berfikir, Eidan,” nasihat Lady Nythana.

“Terima kasih atas nasihat, Lady Nythana.” Eidan melangkah keluar.
Freya masuk dengan wajah penuh harapan yang masa depannya akan berubah. Apabila dia keluar, wajahnya berubah garang.

“Kenapa katak tu juga yang muncul? Tidak ada orang lain ke yamg wujud di dunia ini?” rungut Freya.

“Kenapa? Kau dilamar oleh Lenhil lagi ke? Atau kali ini kau akan berkahwin dengan Lenhil?” usik Hariel dan Haziel.

“Diam kau, kembar tak guna!” marah Freya.

Annabella tidak mengendahkan suasana yang berlaku. Dia melangkah masuk. Sekali lagi dia terpukau melihat keadaan di dalam gua tersebut. Air terjun kecil yang mengalir ke dalam kolam kecil.

“Apa yang kamu mahu, Annabella?” tanya Lady Nythana.

“Saya mahu tahu siapa saya sebenarnya.”

“Baiklah.” Lady Nythana mencurahkan air yang berada di dalam jag kristal ke dalam jeluk kristal.

“Masukkan tangan kamu dan pejamkan mata. Kamu juga perlu mengosongkan minda kamu...”

Annabella melakukan apa yang disuruh oleh Lady Nythana.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro