°2°

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

*INTEREST*

THUD!

"Selamat pulang, Tuan Halilintar. "

Lelaki yang dipanggil Halilintar itu mengabaikan sambutan daripada pembantu rumahnya dan dengan bongkaknya dia menjeling setiap wajah pembantu-pembantu rumahnya yang kini sedang tunduk kepadanya. Selepas menghempas pintu kereta dengan kuat, dia terus berjalan masuk ke dalam rumahnya melalui pintu utama rumahnya.

"Saya dah balik. "

Halilintar memberi salam ke dalam penghuni rumah tersebut setelah selesai sahaja dia menutup pintu rumah itu. Sunyi. Seperti biasa.

Halilintar menghela nafas panjang. Apa yang dia sangat nantikan sebenarnya? Dia sudah 8 tahun hidup sebegini jadi bukankah dia sudah boleh biasakan diri sekarang?

"Tuan Muda, selamat pulang."

Halilintar menoleh ke sisi kanannya untuk mendapati pembantu peribadinya kini sedang berjalan menghampirinya untuk menerima beg sekolah yang sedang dipikul oleh tuan mudanya. Halilintar tidak berkata banyak, dia hanya menghulurkan sahaja beg sekolah yang disandangnya di atas bahu tadi kepada pembantu peribadi tersebut dan hanya mengangguk kecil.

"Mama dan Papa masih di luar, Ciel?"

"Ya. Dato' dan datin nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda yang mereka akan pulang hari ini."

"Ckh! Kalau dah sibuk sangat ke sana ke mari dan tidur di hotel, apa gunanya buat rumah besar macam ni?! Rumah besar tapi kalau dihuni oleh seorang anak dan pembantu lebih baik tak payah wujudkan langsung keluarga ni!"

Halilintar membebel kesal sambil melangkah maju ke arah tangga rumah agam tersebut. Meninggalkan pembantu peribadinya yang separuh usia itu melihatnya dari belakang dengan pandangan yang simpati.

"Tuan Muda masih marah pada ibubapanya?"

Seorang wanita separuh usia datang mendekati si pembantu peribadi tersebut dan berdiri di sebelahnya untuk melihat sama Halilintar yang kini semakin hilang dari pandangan setelah dia masuk ke kawasan bilik yang ada di dalam rumah tersebut. Untuk menjawab pertanyaan pembantu wanita itu, pembantu lelaki yang bernama Ciel itupun menganggukkan kepalanya dan mendesah kecil.

"Dia berhak untuk marah kepada dato' dan datin. Mereka sudah lama dan jarang pulang ke rumah."

"Kasihannya... Tuan Muda pula ialah anak tunggal di dalam keluarga ini. Tentu dia sedang dalam kesunyian. "

"Tak mengapalah, Elizabeth. Kita cuba usaha untuk hiburkan Tuan Muda nanti. Buat masa sekarang kita biarkan sahaja dia macam tu sehingga makan malam tiba."

"Baiklah. Saya akan arahkan pelayan-pelayan untuk masakkan makanan kegemaran Tuan Halilintar. Saya minta diri, ya?"

Pembantu peribadi tadi menganggukkan kepalanya sebagai tanda membenarkan pembantu wanita tua, atau ketua pelayan itu beredar dari situ. Di dalam kalangan banyaknya pembantu rumah yang ada serta mendiami rumah agam itu, hanya Ciel dan Elizabeth sahaja yang paling lama menjadi penghuni dan mendiami rumah itu. Semenjak dari Halilintar masih belum lahir di dunia, mereka sudah berkhidmat kepada ibubapa Halilintar sehinggalah pada hari ini iaitu tugas mereka hanya menjaga dan memantau keadaan tuan muda itu iaitu Halilintar seorang.

•☆★☆★☆•

Brak!

Sebuah kerusi dicampak kasar mengenai dinding batu yang keras itu. Nasib baik tidak pecah atau patah.

Tuan muda dalam rumah itu mendengus sebal. Sial. Amarahnya masih tidak reda dan biliknya sudah habis berselerak dengan buku-buku yang berterabur di atas lantai serta kertas-kertas yang berterbangan ke sana ke mari seperti dilanda beliung. Namun malangnya, kesemuanya tidak membantu untuk menenangkan api yang sedang membara dalam hatinya.

"Buat apa aku lahir dalam dunia ni kalau akhirnya aku diabaikan?! Ckh!"

Halilintar berjalan menuju ke arah katilnya yang bersaiz besar itu lalu menghempaskan dirinya di atas katil tersebut diselangi dengusan yang panjang.

Hening seketika tatkala Halilintar termenung panjang di atas siling biliknya. Entah apa yang difikirkannya pun tiada siapa yang tahu melainkan dirinya sahaja.

"Haa... nampaknya aku kena alihkan perhatian aku dengan benda lain lagi sekali..."

Usai berkata demikian dengan pasrah, Halilintar pun terus mengeluarkan sebuah telefon pintar miliknya dari saku seluar dan mula menghidupkannya. Setelah skrin menyala, dengan santai jarinya menggesel ke kiri dan ke kanan untuk melihat apa yang boleh dia lakukan sementara untuk mengisi kebosanan dan keserabutan yang ada di dalam jiwanya.

Sebuah aplikasi yang berwarna hitam dengan mempunyai simbol seperti not muzik yang dinamakan sebagai TikTok menjadi pilihan tumpuannya. Tidak membuang masa lagi, jarinya menekan simbol tersebut dan seterusnya skrinnya pun terus mempersembahkan pelbagai jenis video-video yang mempunyai durasi pendek yang menarik perhatian.

"..."

Biarpun sudah beberapa minit berlalu di sepanjang dirinya menggesel layar skrin telefonnya, malangnya masih belum ada sebarang bahan editan yang berdurasi tidak lebih dari 4 minit itu berjaya menarik perhatiannya. Jiwanya yang seketika tenang sedikit demi sedikit mula menjadi serabut semula dan naik rimas.

"Eish! Dekat realiti pun bosan, dekat TikTok pun bosan! Apa yang menarik sebenarnya dengan benda alah ni?!"

Baru sahaja dia berniat ingin menutup telefonnya semula, namun tiba-tiba di video yang terakhir dia tonton tiba-tiba memunculkan sebuah iklan yang mempersembahkan sebuah kumpulan lelaki yang menari dan menyanyi dalam muzik yang rancak.

"Huh? Bukan ke ni kumpulan K-Pop yang terkenal tu ke?" 

"Thank you everyone!!!"

Sehingga ke saat akhir Halilintar menonton video yang berdurasi 3 minit 15 saat itu kerana cukup tertarik dengan setiap gerak-geri yang dipersembahkan oleh sekumpulan lelaki seramai 5 orang itu membuat persembahan. Dan apa yang lebih membuatkannya lebih tertarik adalah dengan mendengar muzik mereka. Entah kenapa muzik itu begitu kena tepat dengan citarasa hatinya yang meminati muzik sejenis Pop dan Rock sikit.

"Pengambilan bakat-bakat baharu dalam syarikat ternama di Bandar Cyber Galax kini dibuka! Adakah anda berbakat dalam menyanyi serta menari? Adakah anda bercita-cita ingin menjadi seorang idol yang terkenal seperti di negara luar sana? Jika benar maka andalah yang kami cari! Sila hadir ke sesi ujibakat yang ada di Bandar Cyber Galax bertempat di syarikat-syarikat tertentu bagi menyertai sesi pemilihan ahli baharu! Serlahkan bakat yang anda ada di sana! Jangan lepaskan peluang ini! Kami menantikan kehadiran dan penyertaan anda!

Untuk maklumat lanjut sila layari www.TAPOPSintheGalaxy.com!"

Halilintar diam tidak terkutik merenung layar skrin telefonnya yang kini sudah main ulang video yang sama tadi. Otaknya sedang bergeliga memikir dan mengulang tayang situasi persembahan tadi. Tidak terkecuali juga dia turut membayangkan situasi di mana dia juga turut sedang berada di atas pentas dan membuat persembahan di hadapan orang ramai.

"Ish... tapi aku mana suka orang ramai..."

Halilintar mengeluh kesal. Telefon pintar tadi terus ditutup lalu dicampak ke sebelah sebelum badannya dihumban kuat di atas katil yang sedang ditidurnya. 

Tok tok!

"Tuan Muda?"

Halilintar berdehem bagi mengarahkan pembantu yang mengetuk pintu dan memanggilnya tadi masuk ke dalam biliknya. Tidak sampai beberapa saat, tombol pintu dipulas dan pintu terbuka menampakkan wajah ketua pembantu rumah agamnya iaitu Elizabeth.

"Boleh saya masuk?"

Halilintar bangkit dari tidurnya di atas katil dan memandang lama wanita tua yang sedang dimamah usia itu. Tidak membalas dengan suaranya, Halilintar sekadar menganggukkan kepalanya untuk mengizinkan wanita tadi masuk ke dalam biliknya.

"Saya ada bawa manisan kegemaran Tuan Muda. Mari makan?"

"...takpelah Nek Elly. Saya takde selera nak makan. Nek Elly bagi je dekat orang lain."

Elizabeth memandang prihatin ke arah anak bosnya. Namun dia sudah cukup terbiasa dengan perangai Halilintar. Maka manisan yang dibawanya itu tadi terus diletakkan di atas meja teh yang ada tersedia di dalam bilik Halilintar sebelum matanya tertangkap sebuah kerusi yang patah yang terkulai sayu di sudut bilik itu.

"Kamu marah dengan dato' dan datin?"

Puan Elly bertanya seraya mengutip setiap serpihan kerusi tadi dan disatukan di tempat yang sama sebelum dia berpatah balik untuk mengambilkan sebatang penyapu dan penyodok untuk menyapu serpihan-serpihan kayu kecil di lantai.

Halilintar mengalihkan kakinya ke bahagian tepi katil dan kemudian mengeluh sedih.

"...tak payah tanya pun Nek Elly dah tahu kan? Diorang tu bukannya peduli pun pasal saya."

"Mana ada... Dato' dan datin sayang sangat tau dekat kamu?"

Halilintar berdecih. Dia pun terus menghempaskan badannya ke atas katil semula dengan muka yang berkerut marah.

"Sayang apanya? Sejak saya kecik lagi mana diorang ada masa untuk saya! Ciel dan Nek Elly je yang selalu ada! Kenapa diorang tak pernah nak anggap saya ni wujud? Padahal saya ni anak diorang! Nek Elly tak payah lah nak pujuk saya dengan ayat tu! Saya dah besar dan dah faham yang diorang tu bukannya suka pun ada anak!"

Elizabeth tersenyum tawar tanpa mengalihkan pandangannya dari terus menyapu lantai.

"Tapi dato' dan datin lah yang paling gembira bila kamu lahir di dunia ni tahu?"

Setelah Elizabeth berkata demikian, suasana di dalam bilik Halilintar tiba-tiba menjadi sunyi. Sebaik sahaja dia selesai menyapu serpihan-serpihan kayu tadi ke dalam penyodok, Elizabeth pun menoleh ke belakang untuk melihat Halilintar yang kini sudah bangun dari tidurnya dan memandang ke arahnya dengan kening yang berkerut dan terkejut.

"Hah? Apa maksudnya?"

Elizabeth tersenyum lagi. Dia pun terus menarik satu lagi kerusi yang elok yang ada di meja teh tadi dan kemudian melabuhkan punggungnya ke atas kerusi tersebut sebelum memandang Halilintar semula.

"Kamu ingat berapa umur Mama dan Papa kamu bila kamu lahir?"

Halilintar mengangguk.

"Mama 32 dan Papa 35, kan?"

"Kahwin?"

"...25 tahun dan 28 tahun?"

Elizabeth mengangguk dan kemudian menunduk melihat tapak tangannya yang sudah berkedut dimamah usia itu. Segala kenangan tentang saat dirinya yang masih muda terus terlintas di dalam memorinya.

"7 tahun... 7 tahun lamanya dato' dan datin tunggu kamu lahir di dunia ni. Kalau kamu nak tahu, 7 tahun Mama dan Papa kamu menahan rasa perit dan sakit menerima setiap kecaman kerana masih belum mendapat cahaya mata walaupun telah lama berkahwin."

Wajah Halilintar kosong tidak terbaca. Dia hanya terkedu dalam memandang jari-jemari kakinya ke bawah.

"Jadi kenapa bila saya dah lahir... Mama dan Papa tak peduli? Adakah saya ni satu beban setelah sekian lama mereka-"

"Tak mungkin, Tuan Muda. Prasangka tu tak benar sama sekali."

"Iya? Macam mana Nek Elly boleh yakin dengannya?"

Elizabeth tersenyum mendengar pertanyaan Halilintar. Tidak menjawab, wanita itu pun terus berdiri daripada tempat duduknya dan tepat pada saat itu, pintu Halilintar sekali lagi diketuk dan masuknya beberapa orang lagi pembantu rumah perempuan yang datang untuk mengemas kekacauan yang telah Halilintar lakukan sebentar tadi.

"Adakah dato' dan datin sudah balik?" Elizabeth bertanya setelah anak-anak buahnya datang mendekat ke arah mereka.

"Sudah, Nek Elly. Mereka sedang berada di ruang utama." Salah seorang daripada mereka menjawab.

Elizabeth mengangguk faham. Dia kemudiannya beralih memandang ke arah Halilintar semula dan tersenyum simpul.

"Pergilah dan sambut kepulangan Mama dan Papa kamu. Dan katakan apa saja yang kamu mahu. Sekiranya apa yang saya kata tadi salah, mereka tidak akan pedulikan permintaan kamu."

"Nek Elly..."

Halilintar dibuat terkedu untuk kesekian kalinya. Hatinya tertanya-tanya ingin tahu kenapa wanita tua itu begitu yakin dengan kata-katanya mengenai ibu bapanya? Dan adakah Halilintar akan ikut cadangan itu? Jawapannya, dia terus mengangguk akur dan segera beredar dari tempat itu. Ya, dia ingin melihat sendiri sejauh mana kedua ibu bapanya peduli ke atasnya.

•☆★☆★☆•

"Mama! Papa!"

Kedua-dua orang tua Halilintar mendongak memandang ke atas setelah mereka terdengar bunyi suara anak tunggal mereka memanggil. Tepat saat mata mereka bertemu, Halilintar pun segera berhenti dari langkahnya di tangga dan terus melihat wajah kedua-duanya.

"Hali sayang? Ada apa?"

"Kamu baru balik ke? Mari kita makan sama."

Halilintar menggeleng menolak. Membuatkan pasangan suami isteri tersebut saling memandang antara satu sama lain kerana kehairanan.

"Ada... ada sesuatu yang Hali nak tanya. Boleh kita bincang di ruang Papa?"

Kini suasana di dalam rumah agam tersebut mula senyap. Masing-masing penghuninya menunggu respon daripada si ketua keluarga untuk mendengar apa jawapan daripadanya.

"Adakah ianya penting? Kalau iya marilah kita ke sana. Papa dan Mama akan dengar-"

Riingg riingg!

"Ah, sebentar."

Perbualan Halilintar bersama-sama kedua ibu bapanya terhenti seketika tatkala bunyi nada dering daripada telefon pintar ayahnya kedengaran. Kerana risau ianya adalah panggilan penting, maka ayah Halilintar terlebih dahulu meminta izin untuk menjauhkan diri untuk menjawab panggilan tersebut.

Halilintar memandang wajah ayahnya yang sedang berbual dengan pemanggil di hujung talian dengan datar. Dia tidak rasa apa-apa. Cuma jauh di sudut hatinya dia sudah dapat meneka apa yang akan berlaku selepas ini. Tetapi otaknya menolaknya. Dia fikir mungkin itu hanya disebabkan kebiasaan ibu bapanya yang sering sibuk untuk meluangkan masa bersama dengannya. Tetapi mustahil untuk ibu bapanya tetap menyisihkannya jika dia awal-awal sudah beritahu ada hal penting, kan?

"Kenapa Papa? Siapa yang call tadi?"

Ibu Halilintar bertanya sambil berjalan mendekati suaminya yang sudah memasang wajah risau setelah panggilan tadi tamat. Ayah Halilintar menoleh ke arah ibunya dengan tatapan hampa, manakala pada masa yang sama Halilintar sudah menggenggam erat kedua tangannya sehingga menampakkan kulitnya yang putih.

"Tadi pejabat ada call... mereka kata ada masalah tentang projek yang syarikat Papa nak keluarkan bulan depan."

"Alamak... jadi Papa kena pergi ke sana ke?"

"Macam tu lah nampaknya. Mama teman Papa ya? Nek Elly, beritahu pembantu lain hanya masak untuk Hali sahaja. Kami berdua akan makan di luar. Entah bila selesainya masalah tu kalau takde saya di sana."

Elizabeth yang mendengar arahan tadi sempat melirik ke arah Halilintar sebelum dia menunduk akur dengan perasaan yang terluka. Seakan-akan dapat membaca apa yang sedang dirasai oleh tuan mudanya, Elizabeth hanya mampu memendam perasaan terluka itu di dalam hatinya.

"P-Papa... Mama... jangan cakap yang Papa dan Mama nak tinggalkan Hali sekali lagi?"

Setelah sekian per detik Halilintar mendiamkan diri, kini dia mula bersuara semula. Keningnya sudah mula berkerut menahan amarah dan sekiranya ada seseorang yang berada dekat dengannya, pasti akan perasan tangan Halilintar sudah mula menggeletar kerana saking geramnya perasaan yang sedang dipendam di dalam hatinya sekarang.

"Ah, maaf sayang. Nampaknya kita tak dapat makan bersama sekali lagi. Tapi Hali kan anak yang baik? Mesti kamu tak kisah-"

"APA YANG TAK KISAH?!"

Kata-kata daripada ibunya terus dipotong dengan jeritan kuat dari suara Halilintar. Kini suasana di ruang yang serba luas tersebut serta-merta menjadi senyap.

"MAMA DAN PAPA SELALU MACAM NI!! BUAT HALI TAK PERNAH WUJUD DALAM HIDUP! Mama dan Papa tak pernah fikirkan perasaan Hali ke?! Anak mana yang boleh terima mak ayah mereka sibuk 24 jam dan tak pernah ada bersama diorang?!"

Halilintar melepaskan segalanya yang selama ini telah dia pendam sekian lamanya. Air mata yang bercucuran jatuh sudah tidak dia peduli kerana emosi dan jiwanya sudah hilang kawalan diambil alih oleh hatinya yang hancur berkecai.

"Kenapa prioriti Mama dan Papa asyik kerja, kerja dan kerja?! Hali sebagai anak Mama dan Papa ni tak penting ke?! Kenapa lahirkan Hali kalau Hali ni tak pernah penting dalam hidup korang?!"

"Halilintar!"

Bahu Halilintar sedikit ternaik terkejut dengan suara lantang ayahnya. Setelah beberapa peratus kesedarannya datang semula, Halilintar cuba untuk mengawal aturan pernafasannya untuk tenang kembali.

"Kenapa? Kenapa Papa dan Mama tak pernah sedikit pun peduli tentang Hali? Hali dah buat macam-macam cara untuk tarik perhatian Mama dan Papa! Jadi budak yang baik, gagal! Jadi budak yang teruk pun gagal! Sampai kena panggil dekat sekolah pun Nek Elly dan Ciel je yang datang gantikan tempat Mama dan Papa! Hati Hali sakit sangat dengan semua ni! Hali tak mintak semua ni! Tapi kenapa Mama dan Papa tergamak buat Hali macam ni!?"

Halilintar mengelap air matanya yang sudah mula berderu turun dari matanya yang sudah mula membengkak. Masih banyak yang ingin dia katakan dan lepaskan kepada ibu dan ayahnya tetapi tidak. Dia sudah tidak tahan!

"Baiklah! Kalau Mama dan Papa nak sangat buat kerja, buatlah! Hali dah takkan peduli! Hali akan buat hal dan kerja Hali sendiri! Tapi jangan menyesal! Sebab mulai hari ni, Mama dan Papa dah hilang satu-satunya anak dan darah daging Mama dan Papa sendiri!"

Setelah berkata demikian, Halilintar pun terus berlari naik ke biliknya tanpa sedikitpun menoleh ke belakang dan mengabaikan panggilan daripada ibu bapanya.

"Halilintar?!"

"Hali!"

Elizabeth dan Ciel yang sempat muncul pada waktu itu hanya mampu memandang hampa ke arah pemergian Halilintar yang telah hilang dari pandangan. Mereka berdua saling menatap dan menyampaikan perasaan yang sama yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

"Budak tu... dengan siapa dia berkawan sampai jadi teruk macam tu?"

Ayah Halilintar berkata seraya mendegus dan meraup wajahnya dengan kesal. Masih banyak masalah yang perlu dia fikirkan, ini ditambah lagi dengan masalah Halilintar ia membuatkan bahunya menjadi semakin labuh ke bawah.

"Papa, Mama rasa ada baiknya kita tangguhkan dahulu perjumpaan syarikat Papa ni. Kita duduk sini dan tunggu Hali turun, ya?"

Ibu Halilintar cuba untuk memujuk namun malangnya dia mendapat gelengan daripada suaminya. Menandakan cadangannya itu ditolak begitu sahaja.

"Tak boleh. Ini projek yang penting. Haih... biarlah Hali macam tu. Lambat-laun dia akan baik semula. Mungkin mood dia tak berapa baik hari ni. Kita pergi ya?"

"Tapi-"

"Dah, jom."

Tidak sempat ibu Halilintar ingin terus berkata-kata tangannya sudah ditarik oleh suaminya dan dibawa pergi begitu sahaja tanpa berpaling ke belakang. Dia sempat menaruh tatapan yang penuh harapan kepada Elizabeth dan Ciel. Berharap agar kedua-dua penjaga anak tunggalnya itu akan mengurus dan menjaga Halilintar dengan baik sehingga mereka pulang semula. 

Dan seolah-olah faham dengan tatapan itu, Elizabeth dan Ciel pun hanya mampu mengangguk dan menunduk hormat sebagai tanda menghantar pergi kedua-dua bos mereka.

Sebaik sahaja kedua ibu bapa Halilintar pergi, Elizabeth dan Ciel pun buat keputusan untuk naik ke tingkat atas dan menemui Halilintar di biliknya. Seburuk mana pun Halilintar sedang marah sekarang, mana mungkin Halilintar akan menyuruh penjaganya sejak kecil untuk pergi. Dan Elizabeth serta Ciel tahu itu.

•☆★☆★☆•

Tok! Tok!

"Tuan Muda? Nek Elly dan Ciel masuk ya?"

"...masuklah."

Elizabeth dan Ciel sempat memandang antara satu sama lain untuk kesekian kalinya. Memastikan kedua-duanya bersedia dengan segala perkara yang mungkin akan berlaku tatkala mereka berhadapan dengan Halilintar. Tidak, Halilintar tidak akan mencederakan mereka. Cuma mungkin dia akan hilang kawalan sekejap dengan mencampak dan merosakkan segala barang yang ada dalam biliknya untuk melepaskan amarahnya.

Namun di luar jangkaan sekali, ternyata bilik Halilintar sama sekali tidak bersepah mahupun kucar-kacir. Segala barang dan perabot tidak terusik atau berubah dari tempatnya berada. Tiada kerusi yang patah, kain-kain yang berterabur di atas lantai dan koyak sana-sini, kertas-kertas dan buku juga tidak bersepah di mana-mana. Segalanya kelihatan begitu kemas sekali.

"Tuan Muda?"

Ciel berinisiatif untuk memanggil Halilintar tatkala dia melihat lelaki muda itu hanya sedang berdiri dan termenung di hadapan tingkap biliknya yang terang bercahaya apabila cahaya matahari menerpa masuk ke dalam. Halilintar tidak menyahut panggilan Ciel tadi. Sebaliknya dia hanya menyuruh Elizabeth dan Ciel untuk mengambil tempat duduk mereka di kerusi bahagian meja teh yang terdapat di dalam biliknya itu. Dan sebagai langkah berjaga-jaga, Ciel dan Elizabeth hanya menurut dengan akur. Harap-harapnya Halilintar tidak menjadi hilang kawalan secara tiba-tiba.

"Nek Elly... Ciel... saya dah buat keputusan."

Sebaik sahaja dia memusingkan badannya yang sedari tadi membelakangi Ciel dan Elizabeth, kedua-duanya disantapi dengan pemandangan yang cukup menyayat hati sekali. 

Wajah Halilintar tidak lagi cerah dan segar seperti dahulu. Matanya yang bengkak juga sudah tidak menunjukkan sebarang cahaya di dalamnya biarpun Halilintar sedang berdiri berdekatan dengan cahaya matahari. Dan postur badannya juga. Keduanya tahu bahawa Halilintar sudah berubah.

"Saya akan pergi dari sini."

"Tuan Muda..."

Halilintar cuba untuk tersenyum biarpun ia terasa perit. Dia berjalan mendekati kedua-dua penjaganya dan kemudian mengambil tempat duduknya berhadapan dengan mereka. Kedua-dua sebelah tangan Elizabeth dan Ciel diraih Halilintar dan digenggam erat seolah-olah ingin menyalurkan segala perasaan yang terpendam di dalam hatinya masuk ke dalam hati mereka berdua.

"Saya dah tak tahan. Saya inginkan perubahan. Ini... ini bukan kehidupan yang saya inginkan Nek Elly, Ciel... Dan saya rasa apa yang saya muktamad ingin lakukan ni adalah satu bentuk perubahan untuk saya. Maaf Nek Elly, Ciel... tolong lepaskan Hali, ya?"

Hati wanita tua yang sudah sekian lama rapuh kini dibentur semula dengan perasaan sedih yang menyelimuti dirinya. Elizabeth berduka. Perkara yang selama ini paling ditakutinya akhirnya terjadi. Halilintar sudah ingin menapak pergi dari rumah agam itu.

"Oh, Tuan Muda... Nek Elly tak tergamak nak halang kamu pergi. Tapi... macam mana kamu nak hidup? Sejak kecil Nek Elly yang jaga dan pantau kamu. Dan untuk terima kamu pergi? Haa..."

Halilintar mengelap air mata Elizabeth yang telah mula mengalir turun dari pipinya yang berkedut itu. Berat rasanya ingin melakukan perkara yang boleh melukakan hati orang yang disayanginya, terutama hati yang Halilintar sendiri sudah anggap keluarga dan ibu keduanya.

"Ini saja peluang untuk saya bebas Nek Elly. Saya dah tak boleh terima hidup bagai layang-layang putus tali begini. Tiada sebab untuk hidup. Hanya bernafas seiring dengan berjalannya waktu. Ia cukup menyedihkan."

Kini Halilintar menoleh dan memandang Ciel yang sejak dari tadi lagi berdiam diri. Biarpun wajah lelaki tua itu sepenuhnya kelihatan tenang dan tidak berubah seinci pun, tetapi Halilintar tahu bahawa di dalam hatinya, lelaki itu sudah menangis.

"Ciel, saya dah tak perlukan perlindungan. Saya nekad ingin berdikari. Jadi saya minta tolong, jangan risaukan saya dan benarkan saya hidup dengan cara saya sendiri."

Lelaki tua itu masih belum berkata apa-apa. Wajahnya tertunduk ke bawah memikirkan sesuatu sebelum diangkat semula dan kepalanya mengangguk faham.

"Baiklah. Saya akan rahsiakan hal ini juga dari dato' dan datin."

"N-Nek Elly pun... hiks... walaupun kamu sudah besar sebegini, tapi di mata Nek Elly, kamu masih seorang bayi kecil yang sentiasa menangis dan perlukan sokongan untuk bantu berjalan dengan baik. Berat hati Nek Elly ingin lepaskan kamu... tapi Nek Elly akan cuba terima."

Halilintar tersenyum. Gembira kerana masih ada yang sayang dan faham akan dirinya seperti Elizabeth dan Ciel. Seandainya ibu bapanya sebegini, Halilintar tidak akan nekad dengan pilihannya.

Lupakan. Dia perlu campak sejauh-jauhnya perasaan dan kehadiran ibu bapanya di dalam hidupnya. Mereka bukan orang yang sesuai untuk Halilintar fikirkan setiap masa kerana faktanya mereka pun sama sekali tidak peduli tentangnya. Halilintar sudah menginjak remaja, sudah sampai saatnya dia fikirkan masa depan yang sebenarnya tanpa ibu bapanya.

"Terima kasih Nek Elly, Ciel... sampai saat nanti, saya akan kembali semula sebagai orang yang berjaya dan boleh banggakan korang berdua."

End Chapter 2

Ah, agak sedikit menyentuh topik sensitif untuk author menulis chapter kali ni. Walaupun rasa setuju dengan cara Hali, tapi tetap saja ibu bapa adalah first priority. Kalau diorang buat salah, tak salah untuk anak menegur dengan cara yang lembut. Tapi kalau sampai tahap mereka sendiri tidak meletakkan kita sebagai prioriti utama mereka... rasanya korang juga tahu apa akan jadi. :')

Btw, it's good to decide your ambition like Hali, but you shouldn't push away your parents yeah? Kat sini kita boleh nampak ya cara Hali dan Gem buat keputusan masing-masing. Jadi para readers boleh cuba-cuba untuk renungkannya sendiri. XD

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro