BAB 16: Kahwin

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

“ENCIK Hud, saya boleh rawat luka dekat wajah encik,” beritahu Azalea sambil memegang kotak pertolongan cemas di tangannya.

“Tak apa Cik Azalea. Esok-esok sembuh la muka saya ni. Cik jangan risau,” ujar Hud.

Hud telan air liur payah. Dari tadi lagi Azalea beriya-iya mahu merawat muka dia yang lebam gara-gara dibelasah oleh Rayan. Wajah gadis itu kelihatan serius mahu merawat lukanya. Bukan dia tak sudi tetapi takut dimarah oleh Rayan lagi. Entah-entah dia boleh mati katak jika menerima tawaran Azalea.

“Tak boleh biarkan luka encik macam tu aje. Nanti berjangkit dengan kuman. Encik jangan risau. Saya pandai rawat luka.”

Azalea tidak mahu mengalah. Dia rasa bersalah terhadap Hud kerana dihukum oleh Rayan gara-gara lelaki itu tidak dapat menjaganya dengan baik. Bukan salah Hud apa yang terjadi semalam. Dia juga leka kerana tidak tahu yang dirinya dalam bahaya.

“Encik, bagi saya rawat luka encik tu.” Azalea bertegas.

Hud pula mengelak. Dia ke kiri. Azalea ke kiri. Dia ke kanan, gadis itu juga turut ke kanan. Mujur ada sofa yang menghalang di antara tengah-tengah. Haq yang sedang duduk menghadap televisyen langsung tidak mempedulikan dirinya.

“If you want to see someone jealous, kau ikut cakap Azalea.” Haq bersuara.

“Tengok? Encik Haq pun suruh encik rawat luka tu,” kata Azalea yang tidak memahami ayat pertama yang dituturkan oleh Haq.

Hud terus diam di situ tanpa bergerak. Betul juga apa yang dikatakan oleh abang kembarnya. Dia belum pernah melihat Rayan cemburu kerana lelaki itu tidak pernah serius dalam mana-mana hubungan. Kerana lelaki itu selalu melayan perempuan bagaikan baju. Sekarang inilah masanya untuk melihat rupa sebenar orang cemburu.

“If I die after this, make sure you take revenge on him.”

Sengaja dia bercakap dalam bahasa Inggeris kerana tahu Azalea tidak faham apa yang dia ucapkan. Haq mengangkat ibu jarinya tanda setuju.

“Baiklah. Kalau itu yang cik nak.”

“Encik jangan risau. Saya memang tahu bab rawat luka ni.”

Hud duduk di atas sofa. Dia memejamkan mata sambil menadah muka pada Azalea yang sudah membuka kotak pertolongan cemas. Bila lagi nak rasa ada orang yang cuba merawat lukanya. Selalunya dibiarkan sembuh dengan sendiri.

Sesekali dia mendesis kesakitan apabila kapas yang mempunyai cecair Dettol melekat pada lukanya. Dia pernah kena luka lebih teruk daripada ini. Luka yang membawa maut. Dia tidak serik mendapatkan luka yang sama. Tetapi luka ini sahaja yang buat dia rasa sakit macam ni. Mungkin ada orang yang tolong rawatkan kut.

“Macam mana Cik Azalea dapat bezakan saya dengan Haq?” soal Hud ingin tahu.

Tiada siapa yang dapat mengecam perbezaannya dengan Haq kecuali Rayan, de Alvera dan Azalea. Musuh mereka yang dulu pun tak dapat bezakan mereka.

“Senang aje. Encik Hud macam ni. Encik Haq macam tu.”

Bahasa Hud gunakan lebih formal apabila bercakap dengan Azalea. Manakala Haq agak kasar sedikit.
Hud mengerutkan dahi dengan jawapan Azalea. Dia tidak faham apa yang gadis itu katakan. Lain yang ditanya, lain pula jawapan yang diberi kepadanya.

“Kau faham ke Haq?” soalnya dengan mata terpejam.

“Faham,” balas Haq selamba. Matanya masih pegun di televisyen.

“Kenapa aku tak faham?”

“Sebab kau bodoh.”

Hud mengetap gigi geram mendengar jawapan si abang.

“Antara encik berdua siapa yang keluar dulu?” soal Azalea ingin tahu.

“Aku keluar 31 Disember pukul 11.59 malam. Hud pula 1 Januari pukul 12 tengah malam. Ini bermakna aku abang, dia tu adik,” balas Haq laju.

“Harey betul doktor tu,” kutuk Hud.

“Kau buat apa, hah?” soal Rayan yang entah muncul dari mana.

Dia berdiri di tepi sofa sambil merenung tajam ke arah Hud yang dirawat oleh Azalea. Kalau gadis itu tidak berada di sini, sudah lama dia sepak terajang lelaki itu. Berani Hud mengambil kesempatan ke atas kebaikan Azalea setelah gagal menjalankan tugasnya semalam. Hud tidak layak dilayan baik oleh gadis itu.

“Terima kasih Cik Azalea sudi rawat muka saya ni,” ucap Hud dengan ikhlas.
Dia menjeling sekilas wajah tegang Rayan. Ada bunga-bunga cemburu di wajah lelaki itu. Dia dan Haq bangun meninggalkan ruang tamu. Sempat mereka melagakan penumbuk kerana dapat melihat muka cemburu Rayan hari ini.

“Tangan awak luka juga, kan? Mari duduk sini. Saya pandai rawat luka.” Azalea menepuk sofa di hadapannya.

Rayan bergerak ke hadapan untuk melabuhkan punggung di hadapan gadis itu. Tangannya yang melecet dan luka ditarik di dalam genggaman Azalea. Dia membiarkan gadis itu melakukan apa sahaja yang dimahukan oleh Azalea. Irisnya memerhati segenap wajah polos itu.

Saat itu, dia terbayangkan Azalea yang selalu terluka setelah didera oleh Sarimah. Tiada siapa yang merawat luka gadis itu melainkan diri sendiri. Bagaimana Azalea dapat telan itu semua dengan mudah? Bagaimana gadis itu menerima setiap penderitaan itu dengan senang? Bagaimana bunga itu masih dapat mengukir senyuman setelah pelbagai perkara terjadi pada dirinya?

Azalea layak gembira.

Azalea Medina layak bahagia.

Bukan dirinya yang akan meletakkan gadis itu dalam bahaya.

Tapi Rayan terlalu tamak. Sungguhpun dia tahu kenyataan itu. Dia tetap mahukan bunga itu jadi miliknya. Bukan kerana harta. Bukan juga kerana dendam pada keluarganya sendiri. Tetapi sebab hatinya yang mahukan gadis itu. Azalea satu-satunya perempuan yang menerima segala sisi buruknya.

Kalau Azalea tidak dibuang gara-gara ketamakan ayah sendiri, apakah gadis itu akan hidup bahagia?

Adakah dia ada peluang untuk memilik gadis itu?

“Dah siap!”

Suara Azalea memecah lamunannya. Balutan kemas di tangannya menandakan gadis itu memang mahir merawat luka.

“It’s good. Dari mana kau belajar balut macam ni?” soal Rayan.

“Saya belajar sendiri. Sebab tak ada siapa yang nak rawat luka saya bila kena dera,” balas Azalea dengan bangga.

“Kalau aku mempercepatkan perkahwinan kita, kau nak tak?” soal Rayan.

Tangan Azalea yang menyimpan peralatan pertolongan cemas terhenti apabila mendengar soalan jejaka itu. Wajahnya sudah berona merah dengan soalan yang tidak dijangka itu.

“Saya nak simpan peti ni dekat atas,” ujarnya.

Azalea tidak menunggu lama di situ. Dia terus naik tingkat atas.

“I take it as a yes, mi diosa,” kata Rayan.

DENGAN adanya persetujuan dari Datuk Khalid, permohonan perkahwinan antara Rayan dan Azalea berjalan dengan lancar. Mereka hanya perlu menunggu seminggu sahaja untuk mendapat kelulusan dari pejabat agama. Sebaik sahaja menerima semula borang kebenaran dari pejabat agama, terus diserahkan kepada imam masjid qariah untuk melangsungkan akad nikah.

Majlis akad nikah yang sepatutnya dilangsungkan di dalam sebuah dewan yang mewah digantikan dengan masjid. Gaun pengantin yang sepatutnya dipakai oleh Azalea diganti dengan baju kurung yang sempat dibeli oleh Rayan. Saksi mereka dari pejabat agama. Tiada saudara-mara yang menghadiri akad nikah mereka.
Yang ada hanya Hud dan Haq.

Rayan dan Azalea.

Datuk Khalid yang sanggup menjadi wali sah kepada anaknya.

“Aku terima nikahnya Azalea Medina binti Khalid dengan mas kahwin sebanyak seratus ringgit tunai.”

Sekali lafaz sahaja, Azalea Medina sah bergelar isteri kepada Rayan Edrise. Majlis yang biasa-biasa namun sangat bermakna baginya. Dia tidak perlukan majlis yang gilang-gemilang. Azalea tidak kisah jika tiada tetamu yang menyaksikan detik ini. Apa yang penting dirinya sudah menjadi milik Rayan sepenuhnya.

Dia tidak kisah siapa Rayan yang sebenarnya. Dia tidak peduli apa kerja suaminya. Azalea cuma mahu bersama jejaka itu. Seorang lelaki yang selalu bersama saat susahnya. Dan dia yakin Rayan akan bersama dengannya di masa senang juga. Kerana hati ini telah jadi milik suaminya buat selama-lamanya.

“Azalea Medina.”

Dahinya dikucup oleh Rayan setelah menyarungkan cincin pada jari manisnya. Ini kali pertama jejaka itu menyeru namanya. Suara Rayan terus meresap ke dalam jiwa membuatkan denyutan jantung berdebar.

“Eres mia.”

Rayan memegang erat jari-jemari isterinya. Dia terasa tanggungjawabnya semakin bertambah. Namun, dia tidak rasa menyesal mengahwini Azalea. Jiwa dan hatinya mahu bunga itu jadi hak miliknya seorang. Dia tidak akan membenarkan sesiapa menyentuh isterinya.

“Saya dah jadi isteri awak, kan?” soal Azalea.

“Ya.”

Senyuman indah Azalea terukir di wajahnya. Seri yang sudah lama hilang sudah kembali. Bening yang selalu nampak kosong diisi dengan penuh perasaan. Rautnya yang polos dihiasi dengan rasa cinta dan kasing sayang. Semuanya disebabkan Rayan.

Rayan Edrise menyuburkan kembali bunga yang hampir layu.

Klik!

Haq melihat gambar yang diambil melalui telefonnya. Pasangan suami isteri itu nampak sangat serasi sekali. Lelaki yang tiada simpati bertemu dengan si bunga yang mati perasaannya. Kedua-duanya kelihatan nampak ‘hidup’ dengan bahasa cinta mereka sendiri. Ini bukan pengakhiran Rayan dan Azalea tetapi permulaan kehidupan mereka dalam menuju kebahagian.

“Kalau Sumayyah dah besar, lelaki macam mana yang dia akan pilih untuk kahwin?” Huh bersuara setelah sekian lama berdiam diri.

“Lelaki yang tidak sekejam kita,” balas Haq. Dia meninggalkan ruangan masjid tersebut.

Datuk Khalid memerhati jauh gelagat Rayan dengan isterinya yang kelihatan bahagia di kaca mata tuanya. Ada rasa penyesalan yang berkunjung di jiwanya saat ini. Jika anak itu dijaga dengan baik, pasti hari bahagia ini akan disambut dengan meriah. Dia akan peluk erat kedua-duanya dengan rasa kasih sayang untuk merestui mereka.

Semuanya sudah jadi bubur. Hanya kerana ketamakan, kebencian dan dendam hidup mereka hancur. Dia punca kepada semua masalah yang berlaku. Dia terlalu tunduk pada Haliza dan terlalu takut pada Marina. Dua wanita yang mengawalnya bagaikan boneka.

Datuk Khalid terus meninggalkan masjid kerana tidak mahu mengganggu anak-anaknya. Dia tidak berhak mengambil berat terhadap mereka. Biarlah mereka merasa saat itu sepuas-puasnya kerana Azalea dan Rayan berhak hidup bahagia.

Sebuah kereta hitam berhenti di sebarang jalan di hadapan masjid. Cermin belakang diturunkan sedikit untuk melihat pasangan pengantin yang baru keluar dari masjid.

“Rayan pilih dia daripada mama.”

SEMUA pakaian dan barang Azalea telah dipindahkan di dalam bilik Rayan. Ini malam pertama mereka akan berkongsi katil, bantal dan selimut. Debaran di dada tidak usah cakap. Dari makan malam tadi lagi, Azalea resah sendiri kerana ini kali pertama dia tidur dengan seorang lelaki. Tetapi lelaki itu suaminya.

Kaki Azalea pegun di depan pintu bilik tidur Rayan yang kini sudah jadi biliknya juga. Dia meramas tangan sendiri yang sudah berpeluh untuk memulas tombol pintu.

“Masuk ajelah. Buat apa kau tunggu lagi.”

Suara Rayan berbisik perlahan di telinganya dari belakang. Tubuhnya terasa kaku apabila belakang badannya tersentuh dengan badan Rayan yang berdiri di belakangnya sekarang ini. Tangan Rayan menyentuh lengannya lalu dibawa ke tombol pintu. Telapak tangan suaminya memaksa tangannya membuka pintu.

Rayan memaut tubuh Azalea dari belakang lalu berjalan masuk ke dalam bilik apabila isterinya tidak mahu bergerak. Daun pintu ditutup dengan kakinya. Tubuh Azalea dipusingkan untuk bertentang dengannya. Lengannya melingkar kemas di pinggang isterinya. Badannya disandar pada pintu dengan si isteri di dalam pelukan. Sempat jarinya mengunci pintu.

Senyuman di wajah Rayan melebar apabila melihat rona muka si isteri telah berubah merah. Namun, iris bunga itu tetap menatap wajahnya. Rasanya, ini kali pertama mereka bertentangan mata dalam jarak yang  begitu dekat. Apa yang terhidang di ruang mata Rayan kelihatan sangat indah.

“Buat apa kau nak malu? Kita dah jadi suami isteri.”

“Tak biasa,” balas Azalea. Bibir bawahnya digigit.

Dagu Azalea ditolak ke atas menggunakan ibu jari membuatkan wajah si isteri terdongak ke atas sedikit. Ibu jari Rayan naik pada bibir untuk menghentikan perbuatan Azalea yang suka mengigit bibir sendiri. Jarinya terus mengusap bibir isterinya yang merah itu. Buah delima yang dia sudah lama teringin rasa.

Wajahnya didekatkan dengan muka Azalea sehingga dia dapat merasa dua ulas bibir itu. Mereka berada di dalam keadaan begitu lama.

“Aduh!”

Rayan mengadu kesakitan saat melepaskan wajah isterinya. Dadanya digosok perlahan kerana ada sesuatu yang mencubit. Matanya mencerun jatuh pada Azalea yang sedang menunjukkan muka tak bersalahnya. Dia rasa geram.

“Kenapa kau cubit aku? Sakit tahu tak?”

“Saya tak boleh bernafas sebab awak. Kalau saya mati sebabkan bercium macam mana?” ujar Azalea.

Rasa marah tadi bertukar senyuman. Rayan tertawa mendengar aduan si isteri. Dia tarik tangan Azalea mendekati katil. Dia melabuhkan punggung terlebih dahulu sebelum memaksa isterinya duduk di atas riba. Dalam keadaan malu dan tidak biasa, Azalea masih menuruti kata Rayan.

“Aku nak tanya kau sesuatu.”

“Apa dia?”

“Kalau kau tahu ibu bapa kau masih hidup, apa yang kau buat?” soal Rayan.

Sudah lama dia mahu bertanya tentang soal ini. Tetapi tidak terluah kerana takut menyinggung  perasaan Azalea. Dia tidak mahu menyembunyikan fakta bahawa dia tahu tentang ibu bapa isterinya. Kalau Azalea ingin kembali kepada keluarganya yang sebenar, dia terpaksa melakukan sesuatu.

“Awak tahu tentang ibu bapa saya?”
Rayan angguk.

“Aku siasat latarbelakang kau. Lelaki yang walikan kau ialah ayah sebenar kau,” beritahu Rayan.

Dia memerhati riak yang dipamerkan oleh isterinya. Bibir bunga itu menggigil sedikit. Bening Azalea mula bergenang dengan air mata. Lehernya dipaut oleh si isteri sebelum wajah disembam pada dada Rayan. Dia mengusap belakang badan Azalea untuk memujuk.

“Mereka dah tinggalkan saya. Mereka buang saya. Saya tak ada keluarga sejak saya lahir. Tapi awak, Rayan… awak datang dalam hidup saya. Selamatkan saya, jaga saya, bagi saya makan, minum dan pakaian. Awak yang tak kenal saya masih lindungi saya biarpun tahu saya ni bukan siapa-siapa pada awak. Hidup saya berubah sebab awak. Saya tak perlukan mereka. Saya perlukan awak,” ujar Azalea.

Dia sudah teresak-esak di dalam pelukan suaminya. Buat apa dia tahu tentang kewujudan orang yang telah membuangnya. Dia tidak pedulikan mereka. Azalea hanya mahukan Rayan dalam hidupnya. Dia tidak kisah apa yang akan terjadi pada dirinya asalkan dia dapat bersama dengan suaminya.
Rayan tergamam mendengar luahan isterinya. Esakan dan tangisan buat hatinya rasa remuk. Perasaan benci yang sudah ditanam pada Datuk Khalid semakin bertambah. Dia benci pada keluarganya sendiri kerana telah menganiaya hidup Azalea.

“Aku ni anak angkat mereka. Jadi, aku ni abang angkat kau. Kau tak bencikan aku?” soal Rayan.

“Saya tak boleh kahwin dengan awak ke?” Wajah Azalea beriak risau kerana perkahwinan mereka yang tidak sampai 12 jam tidak sah di sisi agama.

“Kalau tak boleh, buat apa aku kahwin dengan kau?”

Azalea menarik nafas lega.

“Kau memang nak kahwin dengan aku rupanya,” usik Rayan.

“Ma-mana ada.”

Rayan tersenyum sendiri.

“Aku dah bunuh banyak orang, Lea.”

Azalea merenggangkan pelukan apabila suaminya memanggil dengan nama pendek. Tangisannya reda apabila mendengar sepotong nama itu. Dia rasa seperti dimanjakan apabila Rayan memanggilnya ‘Lea’. Sisa air mata yang membasahi pipi diseka oleh si suami.

“Lea sendiri berniat nak membunuh.”

“Banyak darah yang aku tumpahkan.”

“Hidup Lea selalu bermandikan darah.”

“Nyawa kau dalam bahaya.”

“Abang ada dengan Lea. Lea boleh belajar cara pegang pistol dengan abang.”

Senyuman Rayan tersungging di bibir apabila mendengar kata ganti nama yang digunakan isterinya. Tambahan pula, Azalea berniat untuk belajar menembak. Nampaknya dia beri pengaruh yang tidak baik pada isterinya yang naif ini. Azalea tidak senaif dan sepolos yang dia sangka.
Bunga itu penuh dengan maksud yang tersirat. Hanya dia sahaja yang mampu melihat sisi gelap isterinya. Rayan dapat rasakan Azalea Medina diciptakan untuknya.

Badan isterinya direbahkan di atas katil. Tangannya kedua-dua belah tangannya diletakkan di sisi kepala Azalea. Bibirnya jatuh pada dahi, mata dan akhir sekali singgah di dua ulas bibir buat sementara waktu takut Azalea mencubit dadanya lagi.
Tangannya beralih pada hujung baju isterinya. Baru sahaja dia hendak menyelak ke atas, Azalea menahan tangannya kuat.

“Kenapa pula?” soal Rayan.

“Badan Lea ada banyak parut. Lea tak nak abang tengok. Lea malu,” balas Azalea.

Keluhan kecil dilepaskan. Rayan menanggalkan bajunya sendiri. Biar isterinya tahu bahawa mereka sama-sama ada parut yang tidak akan hilang buat selamanya. Jelas sekali, Azalea sangat terkejut melihat badannya yang penuh parut lama kesam daripada ditembak dan ditikam.

“Tak malu dah, kan?”

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi. Dah banyak kali aku sabar dengan kau.”

Rayan terus menutup lampu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro