BAB 17: Ian

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"KAU berdua nak jadi tukang kebun ke?" tegur Rayan.

Sebaik sahaja pulang dari kerja, dia ternampak kelibat isterinya di taman. Dia tidak jadi masuk ke dalam rumah untuk mengetahui apa yang isterinya sedang buat. Rupa-rupanya sedang menanam sesuatu di dalam pasu dengan Haq. Sejak Azalea sah jadi isterinya, Hud dan Haq lebih mendengar kata Azalea daripadanya. Buktinya, lelaki itu sanggup berkebun di tengah-tengah panas.

"Lea nak tanam bunga. Jadi, Lea minta tolong dengan Haq."

Haq angkat tangan. Dia menyambung menggembur tanah yang baru sahaja dibelinya tengah hari. Demi Puan Azalea, dia sanggup mencemarkan duli ke kedai bunga dua kali kerana tersilap beli biji benih. Mujur majikan barunya itu jenis baik hati.

"Bunga apa yang kau beria-ria nak tanam?"

"Bunga azalea."

"Kan dah ada tu buat apa nak tanam balik?"

Azalea pandang Rayan dengan muka tidak puas hati apabila niatnya dipersoalkan. Dia terus memusingkan badan apabila mendengar ucapan suaminya. Azalea duduk tertinggung sambil tangan menggaul tanah di dalam pasu.

Haq yang perasan perubahan muka isteri Rayan terus bangun pergi ke belakang rumah berpura-pura untuk mengambil pasu. Dia tidak mahu masuk campur hal rumah tangga orang.

"Kau dah pandai merajuk sekarang ni ya?" ujar Rayan.

"Mana ada," nafi Azalea.

Lengan baju kemeja dilipat sehingga ke siku. Dia duduk mencangkung di sisi isterinya yang sedang merajuk. Dari tadi lagi meramas tanah sehingga menjadi gumpalan seperti bebola. Memang betullah isterinya yang baru dua dinikahi sudah pandai merajuk. Ini baru dua hari mereka kahwin dah macam-macam perangai Azalea tunjuk. Belum lagi bertahun-tahun.

"Kenapa kau nak tanam bunga azalea?"

"Tanda permulaan baru hidup bunga azalea."

Rayan senyum sendiri mendengar jawapan isterinya. Lengan baju kemeja disingsing sehingga ke siku. Sarung tangan yang berada di atas tanah dipakai olehnya. Dia mengambil pasu di tangan isterinya lalu dileraikan tanah yang menjadi gumpalan. Jarinya ditusuk ke dalam tanah membentuk lubang kecil. Plastik yang mengandungi biji benih bunga azalea dibuka lalu diletakkan ke dalam lubang yang ditusuk tadi. Selesai menutup lubang dengan tanah yang sama, isterinya mengambil air untuk di siram.

"Abang," panggil Azalea.

"Hmmm?"

"Terima kasih."

"Sebab apa? Sebab semalam ke?" Rayan tersenyum nakal.

"Sebab jujur dengan Lea semalam. Kalau Lea jumpa mereka sekali pun, Lea tak tahu nak rasa apa. Sebab Lea dah biasa hidup seorang diri. Kehadiran mereka takkan ubah hidup Lea. Lea selesa dengan hidup macam ni dengan abang," ujar Azalea.

"Hidup dengan aku tak mudah, Lea. Kau akan terseksa. Nyawa kau dalam bahaya. Sebelum kau kahwin dengan aku, dah banyak kali nyawa kau dalam bahaya. Kejadian tu takkan berakhir dekat situ."

Rayan bangkit dari duduk mencangkung begitu juga dengan Azalea yang sedang memandangnya sekarang ini. Hanya ada senyuman yang menghiasi wajah polos itu. Kenapa tiada rasa gentar pada hati isterinya? Biarpun tahu yang dirinya sangat berbahaya.

"Lea dah beritahu abang kan semalam yang Lea nak belajar pegang pistol. Abang lupa ke?" ucap Azalea dengan wajah tak bersalah.

"Pistol tu berbahaya."

"Ya, Lea tahu."

"Kau faham tak benda tu senjata yang berbahaya?"

"Sebab tu Lea nak belajar guna. Abang bayangkan ya? Kalau Lea belajar menembak, pasti Lea dapat bantu abang masa kejar dulu. Abang juga yang puji Lea. Tak ingat?"

Rayan melepaskan keluhan. Memang isterinya tidak pernah rasa takut dengan darah mahupun senjata berbahaya. Apa agaknya yang buat Azalea takut?

"Aku tak benarkan."

"Tapi Lea nak belajar."

"Tak boleh."

"Lea nak juga."

"Kau kena ada lesen nak guna senjata api."

"Kita dapatkan lesen tu. Apa masalahnya?" balas Azalea dengan muka tidak bersalah.

"Aku cakap tak boleh. Bermakna tak boleh. Kau faham bahasa tak?" Rayan sudah geram. Boleh tahan degil juga isterinya.
Azalea diam.

"Okey tak apa kalau abang tak nak ajar Lea. Lea tanya Haq atau Hud. Mereka mesti tolong Lea kalau Lea minta apa-apa dekat mereka."

Azalea masih tidak mengalah untuk belajar memegang senjata api tersebut. Dia melangkah masuk ke dalam rumah.

"Azalea Medina!"

"Kalau abang tak masuk rumah cepat, nanti hujan turun," balas Azalea sebelum menghilang ke dalam.

"Masa-masa mula kenal tak adalah degil macam ni. Apa yang aku kata dia ikut tanpa banyak cakap. Bila dah kahwin ni, dah pandai melawan cakap aku pula. Kalau aku tanya sikit, merajuk tapi tak nak mengaku. Degil pun degil," bebel Rayan.

Lagi satu, apa faedahnya tanam bunga masa hujan ni?

AZALEA memerhati suaminya yang sedang bersiap untuk pergi kerja hari ini. Memang tidak dinafikan memang Rayan seorang lelaki yang mempunyai segala-galanya. Rupa dan harta. Dia yakin mana-mana perempuan pasti akan tertarik pada suaminya. Tetapi mengenali Rayan belum pernah dia nampak perempuan yang mahu mendekati jejaka itu.

Tipulah dia rasa tidak bertuah kerana dipilih oleh Rayan untuk dijadikan isteri. Sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa. Suaminya boleh dapat perempuan yang jauh lebih cantik dan bijak darinya. RA'ED Corp mempunyai ramai staf wanita yang cantik dan berpelajaran.

"Lea nak pergi kerja juga boleh?" soal Azalea.

"Tak boleh," balas Rayan.

"Lea nak pergi tukar baju."

Baru sahaja sebelah kakinya masuk ke dalam bilik pakaian, lengannya disauk dari belakang membuatkan badannya melanggar tubuh suami yang masih tidak berbaju. Hidungnya hampir menyentuh dada bidang Rayan. Azalea mendongakkan kepala dengan wajah tidak puas hati.

"Kau memang tak faham bahasa ke?"

"Tapi abang dah janji nak bagi Lea kerja dulu."

"Itu dulu. Sekarang ni aku tak bagi kau kerja. Bahaya. Bila-bila masa musuh aku akan cederakan kau."

Pipi isterinya dicekup dengan sebelah tangan sahaja. Wajah Azalea sudah masam kerana dia tidak benarkan isterinya pergi kerja hari ini. Kalau boleh memang dia tidak mahu Azalea bekerja langsung. Dia takut kalau-kalau ada orang yang mengambil kesempatan untuk mengapa-apakan isterinya.

Tangan Rayan sedang mencekup pipi Azalea dibawa ke mulut isterinya sebelum digigit kuat. Dia terus melepaskan muka si isteri. Telapak tangannya sudah berbekas dengan gigi Azalea. Kuat juga isterinya gigit sampai jadi begini sekali.

"Kau ni dah kenapa?"

"Abang seorang saja ke boleh gigit? Lea pun boleh buat yang sama," balas Azalea tak puas hati.

Bibir Rayan tersenyum senget mendengar ucapan isterinya. Wajah Azalea jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap dia. Pinggang sejengkal isterinya dipegang kejap sebelum memerangkap tubuh Azalea di dalam rangkulannya. Rambut yang menutup leher isterinya dibawa ke belakang menampakkan kesan merah di leher Azalea.

"Kenapa kau tak cakap nak gigit aku juga? Kau boleh gigit aku dekat sini," ujar Rayan dengan nakal.

Dia mendongakkan sedikit wajah ke atas untuk menunjukkan tempat yang sesuai digigit oleh Azalea. Dadanya dipukul manja menyebabkan muncung Azalea semakin panjang. Dia pula jadi geram dengan sikap isterinya.

"Bukanlah! Lea nak pergi kerja."

"Kau nak sorok mana leher kau yang merah-merah tu? Kalau orang tanya kau nak jawab apa? Kau nak cakap suami kau jadi harimau tiap-tiap malam ke?" bidas Rayan.

Azalea terus terdiam. Tangannya naik menyentuh leher. Sudah semestinya dia malu dengan keadaan lehernya yang merah. Ini semua salah Rayan.

"Kalau Lea gigit abang juga, jadi adil, kan?" soal Azalea dengan wajah polosnya.

Rayan terus mencempung tubuh isterinya lalu dicampakkan ke atas katil. Dia memanjat naik sekali. Bibirnya mengucup kesan merah di leher Azalea kemudian menjalar di wajah isterinya. Baru sahaja dia mahu makan dua ulas bibir isterinya, wajahnya sudah ditolak ke tepi menyebabkan kepalanya terteleng ke kiri.

"Abang dah lambat pergi kerja."

"Kenapa kau goda aku dulu?"

"Mana ada Lea buat macam tu," nafi Azalea.

"Tak apa. Lima minit aje."

Rayan menarik tangan Azalea dari wajahnya. Tapak tangan isterinya dikucup lembut menyebabkan rona wajah bunga itu berubah kemerah-merahan.

"Abang dah lambat."

"Aku bos. Suka hati aku masuk pukul berapa."

Rayan kembali mencium isterinya tetapi tidak bertahan lama apabila telefonnya berdering membantutkan segala perbuatannya. Dia mendengus perlahan sebelum turun dari katil. Panggilan daripada Bahagian Eksekutif RA'ED Corp untuk beritahunya tentang mesyuarat penting yang mereka akan hadir sebentar lagi.

"Kan Lea dah cakap," ujar Azalea.

"Siap la kau malam ni," balas Rayan geram.

Dia terus mencapai baju kemeja untuk bersiap ke pejabat hari ini.

SETELAH menghantar suaminya pergi kerja, Azalea masuk ke taman untuk melihat biji benih yang Rayan tanam semalam. Pasu semalam sudah penuh dengan air hujan. Dia terpaksa menonggeng pasu sedikit untuk membuang air yang bertakung. Sepatutnya dia letak pasu ini di bawah pangkin.

"Puan nak tanam bunga lagi ke hari ini?" tegur tukang kebun. Seorang lelaki yang sudah berusia yang boleh dianggap sebagai ayah.

"Ada lagi ke biji benih semalam?"

"Ada lagi. Haq ada simpan dalam stor belakang rumah semalam. Puan tunggu sini. Nanti pak cik ambilkan," beritahu tukang kebun itu.

Hanya ada dua orang pekerja yang bertanggungjawab jaga kediaman rumah ini. Tukang kebun dan juga pembantu rumah. Mereka berdua suami isteri yang sudah lama bekerja di sini sebelum Rayan pulang ke Malaysia lagi. Ini bermakna mereka sudah lama mengenali suaminya. Rayan kata pembantu rumah dan tukang kebun kenal dia sejak umur lima tahun lagi. Selepas berhenti kerja dengan tuan lama, Rayan ambil mereka untuk bekerja dengannya.

Sejak dia jadi isteri Rayan, layanan dua orang pekerja rumah ini semakin berubah. Apa sahaja permintaan dia, mereka akan utamakan dengan segera. Bukan mereka sahaja, termasuklah Hud dan Haq. Panggilan yang dia dapat pun sudah berbeza berbanding mula-mula dia tinggal di sini.

Tud!

Bunyi benda berat jatuh ke tanah mengejutkan Azalea yang sedang mencabut rumput liar di dalam palsu. Bunyi yang dia dengar tadi datang dari belakang pangkin yang terlindung dengan pokok dilindungi dengan bird's nest fern berdekatan dengan tembok rumah. Cangkul yang berada di tepi pasu dipegang kemas. Azalea memberanikan diri mendekati pangkin dengan berhati-hati. Telinga menangkap suara yang mengaduh kesakitan.

Daun paku-pakis yang besar ditolak perlahan-lahan untuk mengintai penceroboh yang berani melompat dari tembok yang tinggi itu. Alangkah terkejutnya apabila melihat seorang remaja lelaki memakai kemeja biru. Dia bangun menepuk baju dan seluar yang sudah kotor kesan tanah.

Remaja itu mengambil begnya yang terdampar di atas rumput dilempar ke belakang badan. Dia memusingkan badan ke depan terus badannya kaku apabila bertentang mata dengan Azalea yang sedang berdiri di hadapannya.

"Arghhh!" jerit remaja itu. Dia terduduk di atas tanah kembali kerana terkejut dengan kehadiran wanita itu.

"Azalea!" panggil Haq dari jauh.

Dia berlari keluar dari rumah dengan segera apabila terdengar suara orang menjerit. Pistol yang sentiasa tersemat di pinggangnya dikeluarkan daripada sarung. Haq berdiri di hadapan Azalea supaya dia dapat melindungi wanita itu daripada sebarang bahaya. Muncung pistol sudah dihalakan ke arah musuh yang cuba ingin mengapa-apakan isteri majikannya.

"Siapa kau?" jerkah Haq.

Bibir remaja itu terkunci rapat kerana takut ditembak oleh lelaki itu. Ketakutan jelas terlukis di wajah budak itu. Azalea yang melihat situasi itu dari belakang Haq rasa kesian. Mana mungkin remaja itu mempunyai niat yang tidak elok terhadapnya. Kalau tidak, dia sudah lama tercedera.

"Haq." Azalea menepuk bahu pengawal peribadi itu.

"Kenapa?" soal Haq. Dia masih merenung tajam remaja itu. Muncung pistol tidak berganjak dari wajah budak lelaki itu.

"Mak cik masak apa hari ni?"

"Kari kepala ikan."

Azalea angguk.

"Haq, dia masih budak lagi," beritahu Azalea.

"Aku jadi pembunuh upahan sebaya dia. Jadi, kau tak boleh percayakan budak macam dia," balas Haq masih serius.

"Cuba tanya nama dia siapa?" arah Azalea.

"Nama kau apa?"

"Ian. Ian Darwish," balas Ian dengan suara terketar-ketar.

"Aku rasa macam pernah dengar nama kau."

"Dekat mana, Haq?" soal Azalea teringin tahu.

"Entah."

Haq memasukkan kembali pistol ke dalam sarungnya. Dia tidak lagi rasa remaja lelaki itu berbahaya pada mereka. Tetapi tidak bermakna dia akan biarkan budak lelaki itu begitu sahaja. Kolar baju Ian dicekak memaksa remaja itu bangun berdiri tegak. Penampilan Ian diperhatikan dari atas sehingga bawah.

"Kau buat apa dekat sini, budak?" soal Haq.

"Saya sesat," balas Ian.

"Sesat sampai boleh panjat tembok rumah orang? Baik kau cakap betul-betul dengan aku. Sebenarnya kau ni pembunuh upahan kan?"

"Haq, tak baik ugut dia macam tu. Ian masih budak lagi," tegur Azalea.

"Lebih baik kau berambus dari sini budak. Sebelum bersepai kepala kau nanti."

"Ya, ya... Saya nak balik la ni," balas Ian.

Dia memandang ke arah Azalea sebelum melangkah keluar dari sini. Inilah rupa sebenar anak yang pernah dibuang papanya. Rupa mangsa ketamakan mamanya sendiri. Wajah itu langsung tidak kelihatan terseksa seperti yang digambarkan sebelum ini. Ian nampak kakaknya itu lebih bahagia daripada mereka sekeluarga. Kalau dia keluar dari keluarganya sendiri, adakah dia juga akan lebih bahagia dari sekarang?

Azalea memerhati langkah Ian yang terhincut-hincut. Dia perasaan ada dua keping plaster di atas dahi dan bawah dagu remaja itu. Bibirnya ada kesan darah. Mata sebelah kiri Ian nampak biru sedikit. Tangan remaja itu merah dan melecet.

"Kau tak payah kesian dekat budak tu. Lebih baik kau masuk ke dalam rumah. Pak cik kata benih selama dah basah kena air hujan. Tak payah kau berangan nak bercucuk tanam."

"Haq, betul ke mak cik masak kari kepala ikan hari ni?" soal Azalea.

"Ya."

"Semalam pun kari kepala ikan juga."

"Sebab aku suruh mak cik masak lagi hari ni."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro