Bab 29: Pecat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SATU-persatu baju yang tergantung di dalam almari diacukan pada badannya. Semua blaus yang dia pernah pakai sudah semakin sendat. Ada yang singkat, ketat dan juga tidak kena dengan citarasanya. Mungkin perubahan bentuk badannya membuatkan pakaian yang dibeli sudah tidak muat.

“Abang, baju Lea semua dah tak padan,” adunya.

“Lepas check-up kita pergi beli baju mengandung kau,” balas Rayan.

“Sekarang ni Lea nak pakai baju mana? Semua dah ketat.”

“Pakai ajelah dress. Kan banyak lagi dress yang padan dengan kau?”

Masalahnya Azalea tidak suka memakai gaun ataupun skirt. Sukar untuk dia bergerak bebas. Memandangkan semua baju dan blaus sudah ketat, dia terpaksa memilih gaun untuk pergi ke klinik hari ini.

Gaun putih bercorak bunga diambil dari penyakut. Ada tulisan Christian Dior di hujung gaun tersebut. Dia menyarungkan gaun putih itu pada badannya yang mencecah buku lali. Sepatutnya dia pakai dengan tali pinggang untuk kelihatan lebih kemas. Tetapi perutnya yang sudah ke depan jadi dibiarkan di dalam almari sahaja.

Aksesori yang digunakan anting-anting untuk menambah seri pada wajahnya. Mukanya dikenakan solekan nipis. Hanya menggunakan maskara, BB Cushion, pemerah pipi sedikit dan lip tint. Seri wajahnya sudah naik.

Dia memandang koleksi kasut yang tersusun di atas rak. Rasa nak cuba pakai kasut tumit tinggi. Tangannya dipanjangkan memegang kasut tumit tinggi berjenama sama dengan gaun. Tetapi terbantut mendengar kata-kata si suami.

“Lea, pakai kasut biasa ajelah. Kenapa nak pakai high heel juga? Kau tu dah la mengandung. Kau jatuh tergolek aku tak nak tolong,” tegur Rayan bercampur dengan amaran.

Bibir Azalea sudah memuncung mendengar ucapan suaminya. Dia terpaksa membatalkan niatnya. Sandal menjadi pilihannya.

“Buku pink kau letak mana?” soal Rayan.

“Dalam beg.”

“Lebih baik kau check sekali lagi. Bulan lepas dah tertinggal. Aku juga kau salahkan,” bebel Rayan.

“Dah memang salah abang. Nak cepat sangat. Sebab tu tertinggal,” balas Azalea.

“Eh, kau ni dah pandai menjawab ya?”

Azalea cepat-cepat melangkah keluar dari bilik takut kena bebel dan marah dengan Rayan. Sejak dia mengandung, suaminya suka sangat cakap banyak.

“Abang, cepatlah!” Sempat dia menggesa si suami.

SEBELUM mereka ke klinik, Rayan singgah di syarikatnya terlebih dahulu untuk menghadiri mesyuarat penting. Jika dia patah balik rumah selepas mesyuarat, mereka akan lewat ke temujanji yang ditetapkan. Sebab itu dia bawa Azalea sekali ke pejabat. Keselamatan Azalea terjamin dengan adanya Hud dan Haq di situ.

“Abang, Lea nak pergi jumpa kawan sekerja Lea, boleh?” minta Azalea.

“Sekejap aje. Lepas tu kau naik ke pejabat aku.”

Dahi isterinya dicium sekilas sebelum mereka berpisah di depan lif. Sepasang kembar itu mengekorinya dalam jarak dua meter ke belakang. Mungkin tidak mahu dia rasa rimas dengan kehadiran mereka.

Azalea agak teruja untuk bertemu dengan Mia dan Jeeha. Sudah lama dia tidak datang ke sini sejak dia kahwin. Kalau ikutkan hatinya, dia mahu bekerja. Tetapi Rayan tidak benarkan kerana takut perkara tidak diingini terjadi. Azalea akur dengan arahan suaminya kerana hidup mereka tidak sama dengan orang lain.

Sebaik sahaja dia tiba di bilik janitori, kakinya pegun di situ mendengar perbualan Mia dan Jeeha yang jelas kedengaran. Pintu bilik dibiarkan terkuak sedikit untuk mendengar isi percakapan mereka berdua.

“Azalea dah lama tak datang kerja,” ujar Mia.

“Kau nak kisah pasal dia tu kenapa? Entah-entah dah lari dengan jantan mana. Sebab tu setiap hari datang kerja muka lebam-lebam. Mak dia tak suka laki tu la kut,” balas Jeeha membuat andaian sendiri.

“Isy, tak baik kau cakap macam tu. Macam mana apa yang kau cakap tu salah?” Mia enggan percaya cakap gadis itu.

“Kau tahu tak? Boyfriend aku kerja dekat satu hotel mewah ni. Dia ternampak Azalea dengan jantan kaya. Aku rasa dia dah jual bodi. Sebab tu tak datang kerja berbulan-bulan,” balas Jeeha. Mereka bertiga pernah ambil gambar bersama. Jadi, teman lelakinya pernah nampak muka Azalea.

“Takkan Azalea buat macam tu.”

“Suka hati kaulah kalau kau tak nak perca…”

“Apa khabar, Mia, Jeeha?” tegur Azalea sambil melangkah masuk ke dalam bilik janitori itu.

Dua gadis itu terpempan melihat kehadiran Azalea di situ. Wajah mereka kelihatan sangat terkejut melihat penampilan Azalea yang sudah jauh beza dengan sebelum ini. Apa yang tersalut pada tubuh gadis itu kelihatan mewah dan mahal. Malah bergaya dari hujung rambut ke hujung kaki.

Apa yang merisaukan mereka ialah perbualan mereka tadi. Senyuman sinis Jeeha terbentuk di wajah. Memang betullah apa yang dia cakap tadi. Azalea memang ada jantan kaya sebab tu nampak berbeza saat ini.

“Kau dah kaya sekarang ni ya? Sugar daddy mana kau goda? Datuk atau Tan Sri?” soal Jeeha dengan penuh sinis.

“Mana ada aku goda datuk orang,” nafi Azalea.

“Kau jangan nak tipu aku. Kalau tak, macam mana kau boleh kaya sekelip mata. Semua benda yang pakai, mahal-mahal.”

“Aku dah kahwin.”

Jeeha ketawa terbahak-bahak mendengar ucapan bekas rakan sekerjanya itu. Siapa yang mahu gadis miskin macam Azalea? Orang kaya mana yang pandang perempuan macam Azalea? Kecualilah…

“Kau mesti jadi perempuan simpanan kan?”

“Mana ada,” bantah Azalea.

Ataupun…

“Berapa ribu kau dapat dalam satu malam?” soal Jeeha.

“Maksud kau apa?” tanya Azalea. Dia masih mengekalkan wajah tenang.

Dia faham apa yang Jeeha cuba sampaikan. Dia tahu maksud soalan yang diajukan. Tapi dia mahukan sebuah kepastian. Orang yang pernah dia anggap kawan tetapi menghinanya dalam diam. Memang betullah apa yang Rayan cakap. Dia tidak patut mempercayai orang dengan mudah.

“Kau kan cantik. Mesti kau guna muka kau untuk tidur dengan…”

Pang!

Kepala Jeeha terteleng ke kiri apabila ditampar oleh Azalea. Dia terkejut dengan tindakan Azalea yang tidak disangka-sangka. Jarinya menyentuh pipi kanan yang pedih dan berdenyut-denyut kesakitan. Dia memandang ke arah wajah Azalea yang masih tenang.

Pang!

Pipi kirinya pula menerima akibat yang sama. Bergetar jarinya menyentuh muka yang sudah berbekas lima jari Azalea. Matanya merenung Azalea yang tidak pernah menunjukkan rasa bersalah dengan muka naifnya itu. Masih lagi tersenyum nipis setelah menampar pipinya. Entah kenapa rasa gerun bermaharajalela di dalam dirinya melihat ketenangan Azalea. Mana perginya gadis itu yang dulu?

“Kau dipecat,” ujar Azalea.

“Hei! Siapa kau nak pecat aku? Kau fikir kau boleh lepas dengan tampar aku?”

“Suami aku cakap. Aku boleh buat apa sahaja dekat sini. Kalau aku cederakan orang, bunuh orang, dia tetap sayangkan aku. Jadi, setakat tampar dan pecat kau. Tak ada masalah rasanya. Perkara kecil aje,” balas Azalea dengan senyuman.

“Kau jangan nak berlagaklah! Kau tu…”

“Aku ni apa?”

Azalea melangkah setapak ke depan. Jeeha terundur ke belakang. Entah kenapa dia rasa takut dengan gadis ini.

“Kau tak boleh pecat aku macam tu aje? Apa hak kau nak pecat aku, hah?”

“Hud,” panggil Azalea.

Lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik janitori atas arahan Azalea. Kehadirannya di situ membuatkan Jeeha kelihatan sangat terkejut. Siapa tidak kenal sekretari kepada Pengarah Urusan RA’ED Corp? Dia selalu terserempak semasa hendak membersihkan pantri. Lelaki itu pula tunduk pada Azalea.

“Ada apa puan?”

“Saya nak awak pecat dia,” beritahu Azalea.

“Sebab apa?”

“Saja,” ujar Azalea sambil tersenyum ke arah Jeeha.

“Baik. Cik boleh kemas barang cik sekarang.”

“Kenapa pula saya kena pecat? Dia tu siapa?” jerit Jeeha.

“Dia…”

“Aku, Azalea Medina. Isteri kepada Rayan Edrise, pemilik RA’ED Corp,” celah Azalea sebelum Hud membuka mulut.

Jeeha kelihatan sangat terkejut melihat kenyataan yang disebut tadi. Dia tahu berita tentang pemilik syarikat ini telah berkahwin beberapa bulan lepas. Hanya staf atasan sahaja dapat jemputan ke perkahwinan itu. Dia tidak menyangka Azalea merupakan isteri kepada pemilik RA’ED Corp.

Dalam keadaan terpaksa, dia mengemas barang-barang untuk beredar dari situ. Hud sendiri menemani dia keluar dari syarikat itu dengan segera.

Kini hanya tinggal Azalea dan Mia di dalam ruangan itu.

“Kau dah banyak berubah Lea.” Mia bersuara setelah sekian lama berdiam diri.

“Manusia perlu berubah.”

Azalea terus beredar dari situ. Dia tidak sepatutnya menganggap mereka kawan. Mereka tidak layak dianggap kawan kerana mereka tidak mengenali antara satu sama dengan lebih dalam.
Butang lif ditekan untuk naik ke pejabat suaminya. Pasti Rayan sudah tercari-carinya.

“AZALEA?” tegur seseorang dari belakang.

“Eh? Pak Hamdan,” ujar Azalea sebaik sahaja bertentang mata dengan lelaki itu. Dia tidak jadi masuk ke dalam lif.

“Dah lama pak cik tak tengok Azalea datang kerja.”

“Saya dah tak kerja dekat sini. Suami saya tak bagi.”

Pak Hamdan mengangguk faham apabila melihat keadaan gadis itu yang kelihatan berbeza saat ini. Nampak Azalea sudah menemui kebahagiannya buat sementara waktu.

“Gembira dapat jumpa Azalea hari ini. Pak cik pergi dulu ada kerja nak buat.” Pak Hamdan meminta diri.

Azalea memandang pelik ke arah pengawal keselamatan itu. Lelaki itu nampak macam tidak hairan saat mengetahui status dirinya saat ini.

“Kau pergi mana?” soal Rayan apabila terserempak dengan isteri di depan lif. Dia sudah risau kerana tidak nampak kelibat isterinya di dalam pejabat. Sebab itu, dia cepat-cepat habis mesyuarat untuk mencari Azalea.

Tangan Azalea digenggam erat supaya tidak terlepas dari pandangannya lagi. Dia perlu lebih berwaspada kerana musuh mereka bila-bila masa boleh menyerang mereka. Lagi-lagi Azalea sedang mengandung, dia perlu berhati-hati membawa Azalea keluar dari rumah.

“Lea pergi jumpa bekas rakan sekerja,” beritahu Azalea. Dia membolos masuk ke dalam perut kereta.

Rayan kembali pada tempat pemandu. Kenderaan mula bergerak keluar dari kawasan letak kereta.

“Buat apa kau pergi jumpa mereka?”
soal Rayan.

“Saja nak bertanya khabar.”

“Itu aje?”

“Tak. Lea pecat dia,” beritahu Azalea.
Dia memandang suaminya untuk melihat reaksi yang bakal ditunjukkan oleh Rayan. Tetapi suaminya kelihatan tidak terkejut dengan tindakannya.

“Sebab apa?”

“Dia mengata Lea dan abang.”

“Kau pecat dia sebab tu?”

Azalea angguk.

Suaminya ketawa kecil.

'“Suka hati kaulah nak buat apa dalam syarikat tu. Harta aku, harta kau juga.”
“Abang tak marah?”

“Buat apa aku marah kau. Dah kau tak suka dia. Memang patut kau pecat dia. Lagipun, pekerja boleh cari yang lain. Tak perlu simpan pekerja yang hina majikan sendiri,” balas Rayan.

Tindakan Azalea tidak memberi satu masalah untuknya. Dia yang beri kuasa pada Azalea agar isterinya jadi berani menyuarakan pendapat sendiri. Dia mahu Azalea lebih yakin dengan diri sendiri. Malah dia mahu orang memandang tinggi pada isterinya.

“Tapi Lea… Kalau kau ada tak puas hati dengan nurse kejap lagi, kau jangan menjawab. Kau diam aje. Nanti aku juga yang kena tempias nanti.”

Rayan agak risau setiap kali tiba waktu untuk memeriksa kandungan. Apa yang dinasihatkan oleh jururawat mesti akan disoal balik oleh isterinya. Azalea pula tidak mahu mengalah jika apa yang dia soal dipersoalkan balik. Alih-alih dia juga kena tempias dibebel oleh jururawat.

“Abang, kalau nurse tu yang tak puas hati dengan Lea macam mana?”

“Kau diam aje. Faham tak?”

Azalea tidak membalas. Rayan sudah risau. Pening kepala dengan perangai isteri yang suka melawan cakapnya. Sudahlah jururawat di wad bersalin ni lebih garang dari jururawat biasa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro