Bab 37: Serangan Balas

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"ALHAMDULILLAH, keadaan isteri encik sudah bertambah baik. Kami akan pantau dalam beberapa jam sebelum dipindahkan ke wad biasa," ucap doktor tersebut.

​Semua orang berada di situ menarik nafas lega setelah mendengar berita tersebut. Darah yang didermakan oleh Datin Haliza dapat menyelamatkan Azalea.

​"Terima kasih doktor. Terima kasih selamatkan isteri saya," ucap Rayan.

​"Sama-sama. Encik juga perlu mendapatkan rawatan secukupnya," balas doktor tersebut sebelum berlalu dari situ.

​"Pergilah rehat, Rayan. Rawat luka tu dulu. Takkan kamu nak jumpa Azalea dalam keadaan macam ni?" nasihat Datuk Khalid.

​Rayan mengangguk setuju atas cadangan lelaki itu. Dia ditemani oleh Datuk Khalid sepanjdang lukanya dirawat. Kepalanya berbalut, luka di wajahnya ditampal dengan plaster, dan tangan yang terluka dibalut dengan kain kasa.
Setelah mendapatkan rawatan, Datuk Khalid menunggunya di kakinya lima. Dia duduk di sebelah papanya.

​"Betul ke? Betul ke apa yang papa cakap tadi?" soal Rayan.

​Datuk Khalid hanya menundukkan kepala saat diajukan soalan itu. Pasti pelbagai persoalan yang anak angkatnya itu mahu dia rungkaikan. Dari mana dia perlu membuka cerita? Rahsia yang sudah lama disimpan di pekung dada perlu diluahkan dengan segera. Isterinya sendiri masih lagi terkejut dengan kenyataan yang dia lontarkan tadi.

​"Sebab apa papa paksa Rayan belajar di luar negara?" Rayan mengubah soalannya apabila melihat si ayah enggan membuka mulut.

​"Rayan anak yang bijak. Bila-bila masa yang Rayan dapat tahu apa yang berlaku pada keluarga kita. Sebelum Rayan hilang kepercayaan pada kami, lebih baik papa buat Rayan lebih bencikan papa dengan hantar Rayan jauh dari sini. Papa ingat Rayan takkan kembali. Tapi papa sedar bahawa perkara ini akan terbongkar juga," ujar Datuk Khalid.

​"Jadi, papa tahu yang Datin Haliza buang anak sendiri?"

​Datuk Khalid menggeleng lemah.

​"Masa Rayan pergi, barulah papa sedar yang bayi tu anak papa dan Liza. Tapi semuanya dah terlambat. Sebab Sarimah lari dengan Azalea. Papa cuba cari Sarimah. Tapi tak jumpa sampai sekarang. Papa tak tahu Azalea hidup menderita." Suaranya bergetar dengan penuh penyesalan saat menuturkan ayat itu.

​Ini bermakna hanya Datuk Khalid sahaja yang tahu bahawa Azalea anaknya dengan Datin Haliza. Reaksi wanita itu menunjukkan bahawa dia benar-benar terkejut dengan kenyataan itu yang diberitahu oleh suaminya. Datin Haliza tidak pernah tahu bahawa Azalea ialah anaknya yang sebenar.

​"Lea kembar Damien?" soal Rayan mahu memastikan tanggapannya sama ada betul atau salah.

​"Bukan kembar. Tapi mereka memang adik beradik dilahirkan dari wanita yang berbeza pada hari yang sama."

​"Damien tu anak siapa kalau bukan Datin Haliza? Anak mama? Tengku Marina?"

​Rayan tergamam apabila melihat anggukan kecil dari papanya. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Siapa yang rancang semua ini?

Kalau Datin Haliza sendiri tidak menyangka Azalea ialah anaknya, siapa yang menyeksa Azalea jadi begini? Siapa yang sanggup buat begini sehingga menimbulkan salah faham yang besar di antara mereka?

​"Siapa yang ran..."

​"Papa? Papa buat apa dekat sini? Mana mama dan Ian?" tegur Damien apabila ternampak papa dan abang angkatnya duduk di kaki lima. Riak wajah mereka sangat serius ditambah lagi dengan keadaan Rayan yang berbalut dan luka.

​"Apa dah jadi sebenarnya?" soal Damien ingin tahu. Dia hairan melihat keadaan Rayan dalam keadaan begitu.

​"Azalea kemalangan tengah malam tadi. Kebetulan mama dan papa bawa Ian yang demam ke hospital. Damien baru sampai?" beritahu Datuk Khalid dengan ala kadar. Dia tidak perlu beritahu secara terperinci tentang apa yang sebenarnya terjadi.

​"Ya," balas Damien.

Dia baru balik dari Brunei atas urusan kerja. Tetapi dia dapat berita dari Ian bahawa adiknya dimasukkan ke hospital kerana demam panas dan kes buli baru-baru ini. Dia terus singgah ke sini. Tidak menyangka ada berita yang lagi mengejutkan buatnya.

​"Macam mana dengan keadaan dia? Anak dia macam mana?"

​"Alhamdulillah, Lea baru lepas fasa kritikal. Tapi masih dalam pemantaun doktor. Anak dia selamat dilahirkan," balas Datuk Khalid bagi pihak Rayan.

​"Rayan, Azalea, Damien dan Ian tak layak ada ibu bapa macam papa, Datin Haliza dan mama sendiri. Rayan tak kisah sebab Rayan dari awal lagi anak yatim piatu. Anak angkat dari keluarga ni. Tapi mereka bertiga tak sepatutnya jadi macam ni. Children can't choose their parents." Rayan bersuara setelah lama mendiamkan diri.

​"Apa yang kau cakap ni, Rayan?"

​"Aku nasihatkan kau jangan percayakan sesiapa termasuklah mama dan papa kau sendiri, Damien." Rayan menepuk bahu jejaka itu sebelum berlalu dari situ.

MATANYA lurus memandang ke arah inkubator yang menempatkan seorang bayi perempuan. Biarpun jauh terpisah oleh dinding kaca, dia yakin bayi itu sangat comel pada pandangannya. Tangannya ditekap pada dinding. Jarinya digerakkan perlahan seolah-olah membelai anaknya. Dia hanya membayangkan sahaja dari jauh. Itu sudah cukup.

​Rayan memejamkan mata untuk menahan air mata yang sudah bergenang daripada jatuh. Dadanya terasa sakit dan perit apabila melihat nyawa yang tak bersalah sakit disebabkan dirinya. Dia memang tidak layak bergelar suami mahupun ayah. Dia tidak mampu menjaga isterinya dengan baik. Dia tidak mampu beri yang terbaik untuk anak sendiri.

​Janjinya sebelum ini hanya tinggal janji. Segala janji yang ditaburkan pada Azalea dan si anak dikhianati oleh dia sendiri. Sungguhpun begitu, dia mahu menebus kesalahannya. Dia mahu mereka kembali kepadanya. Rayan mahu rasa ada keluarga sendiri bersama isteri dan anaknya.

​"Kalau encik nak jumpa anak encik, encik kena bersihkan diri dulu. Kami perlu ikut prosedur yang ditetapkan supaya tak ada jangkitan kuman pada bayi," ujar seorang doktor yang mendekatinya.

​"Saya tak layak jumpa dia, doktor. Sebab saya, dia terseksa macam ni," balas Rayan.

​"Ini sudah ketentuan Allah, encik. Lagipun, anak encik seorang anak yang kuat. Jarang berlaku anak di dalam kandungan terselamat daripada kemalangan. Ini merupakan keajaiban daripada Allah S.W.T. Saya pergi dulu." Doktor itu meminta diri daripada situ.

​Rayan kembali memandang anaknya. Kelihatan seperti nyenyak tidur di dalam sana. Senyuman nipis terukir di wajahnya apabila teringatkan si isteri. Gaya tidur mereka hampir sama.
Dia mengundurkan diri daripada situ. Mungkin dia patut bersihkan diri sendiri yang masih kotor dengan darah.

​"Soon, I will hold you," gumam Rayan.

​Kini, Rayan hanya duduk di luar wad kecemasan menanti khabar gembira daripada isterinya. Lapan jam bertarung nyawa di dalam bilik pembedahan, empat jam di wad kecemasan. Dia berharap keadaan Azalea semakin membaik biarpun sudah melepasi tahap kritikal. Selagi isterinya berada di dalam wad kecemasan, selagi itu dia resah.

​Dia bangun. Cuba mengintai di celah pintu yang berkaca. Luluh hatinya saat dapat melihat keadaan isteri yang berselirat dengan wayar dari jauh. Dia ingin masuk ke dalam mahu memeluk dan memegang tangan Azalea. Tetapi, keadaannya yang tidak bersih membataskan kemahuannya.

​"Lea... Abang dah tengok anak kita. It's a girl. Comel sangat Lea... Dia tidur macam Lea. Tapi, abang tak tahu nak panggil apa. Kita tak sempat cari nama untuk dia. Lea bangun, Lea... So, we can decide the most beautiful name for her, for our daughter. Anak kita kuat, Lea... Kuat macam Lea. Abang pun perlu kuat demi Lea dan anak kita." Nafas ditarik sedalam-dalam untuk menahan rasa sebak di dada.

​"Abang tahu Lea kuat. Abang tahu Lea mampu hadap semua ni. Jadi, Lea... Cepat-cepat bangun supaya kita boleh jaga anak kita. Kita dah janji, kan? Kita nak jaga dia sampai dia besar, sampai dia boleh tinggalkan kita. Kalau Lea tak nak bangun, tak apa. Ambillah sebanyak mana masa yang Lea nak. Lea boleh rehat sebanyak mana Lea nak. Abang akan sentiasa tunggu Lea. Anak kita pun akan tunggu Lea."
​Air mata yang bergenang di tubir disapu sebelum menitis di pipi. Dia perlu kuat untuk menghadapi dugaan ini.

​"Lea, rehatlah dulu. Nanti abang datang lagi, ya sayang?" ucap Rayan sebelum melangkah pergi dari situ.

​Ada sesuatu yang perlu dia lakukan iaitu mencari dalang kepada kejadian semalam. Dia yakin orang yang menghantar serangan itu merupakan seseorang yang tahu tentang pergerakannya. Orang yang boleh memerhatikan dia dari dekat. Mungkin juga sudah mengenali dia dan Azalea.

​Darah dibalas dengan darah.

​Nyawa dibalas dengan nyawa.

​Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari hospital, Hud mendekatinya seolah-olah sudah lama menunggu dia keluar dari situ. Mereka melangkah masuk ke dalam kereta untuk beredar dari situ dengan segera.

​"Semalam, aku dan Haq dikepung. Van putih rempuh kami dari sisi sehingga langgar tiang elektrik. Aku tak cedera teruk sangat. Tapi, Haq... Perut dia tertusuk kaca. Dia sekarang tengah rehat dekat rumah kau. Sebelum polis datang semalam, aku dan Haq sempat hapuskan bukti sebelum lari dari situ," lapor Hud.

Wajahnya kelihatan sangat serius.

​Van putih yang dimaksudkan oleh Hud juga melanggar keretanya sehingga terbalik dan hampir meragut nyawa isteri dan anaknya. Tangan yang berbalut dikepal kejap menahan amarah yang bergelora di dalam hatinya.

​"Masa aku balik rumah kau, Tengku Marina hilang," ujar Hud.

​Kehilangan Tengku Marina pada malam kejadian buat Rayan tertanya-tanya. Sepatutnya wanita itu tahu keadaan sebenar yang menimpa anak-anaknya. Tengku Marina yang sepatutnya menyelamatkan Azalea, anaknya sendiri seperti yang dikatakan oleh wanita itu.

Tetapi, tidak.

Datin Haliza yang disangka kejam yang menyelamatkan nyawa Azalea.
​Apa yang diucapkan oleh Datuk Khalid kepadanya adalah benar belaka. Ujian DNA yang dilakukan secara diam juga mengatakan mereka merupakan pasangan ibu dan anak. Jika Datin Haliza tidak tahu bayi yang dibuangnya ialah anak sendiri, pasti ada seseorang yang menukarkan Azalea dengan Damien.

​Takkanlah Tengku Marina sanggup menukar anaknya dengan Datin Haliza.

​Siapa yang kejam sebenarnya?

​Tengku Marina atau Datin Haliza?

​Rayan masih mahu percayakan wanita yang telah jadikan dia sebagai anak. Dia masih menaruh harapan bahawa mama tidak terlibat dengan semua ini.

​"Cari dia sampai dapat," beritahu Rayan.

SETELAH tiba di rumah, Rayan terus masuk ke dalam bilik untuk membersihkan badan. Pakaian yang kotor dengan darah dibuang ke dalam tong sampah. Dia duduk birai katil. Bilik itu terasa sangat luas tanpa kehadiran Azalea. Berada di sini buat dia rasa sesak nafas tanpa udaranya. Terasa sunyi yang amat dahsyat.

​Orang yang bertanggungjawab buat dia dan keluarganya jadi begini akan dicari sehingga ke lubang cacing. Dia sendiri akan menghukum mereka dengan tangannya. Gara-gara mereka, dia hampir kehilangan orang yang dia sayang. Dia tidak akan berdiam diri begitu sahaja.

​Rayan bangkit. Dia membuka laci kabinet untuk mengambil telefon kedua yang selalu disimpan jika berlaku kehilangan. Nombor Datuk Khalid didail.

​"Papa, boleh tengok-tengok kan Lea untuk hari ni?" pinta Rayan.

​"Boleh. Tapi Rayan nak pergi mana?"

​"Rayan ada perkara yang perlu diselesaikan."

​Panggilan itu terus ditamatkan dengan segera. Datuk Khalid tidak perlu tahu tentang sisi buruknya. Dia jadi begini atas kehendaknya sendiri bukan sesiapa.

DATUK Khalid masuk ke dalam bilik rehat isterinya. Sejak pulang dari hospital pagi tadi, Datin Haliza terus berkurung di dalam bilik ini. Makan dan minum diabaikan. Keadaan isterinya yang selalu berhias sekarang sudah nampak tidak terurus sedikit. Dia merapati Datin Haliza yang sedang duduk di atas sofa sambil memandang ke arah luar balkoni.

​"I nak pergi hospital. Nak tengok-tengokkan Lea. Rayan tak ada hari ni. You nak ikut tak?" ajak Datuk Khalid.

​Apabila melihat kebisuan isterinya, dia duduk bertentangan dengan Datin Haliza. Wajah wanita itu kelihatan sugul sekali. Matanya juga kelihatan bengkak. Mungkin terlalu banyak menangis atas kenyataan yang dia bongkarkan semalam. Ini kali pertama dia melihat isterinya begini.

​"Lea perlukan kita, Liza."

​"I tak layak jadi ibu dia," ujar Datin Haliza dengan mata yang berair.

​"I apatah lagi? Bukan salah you. Tapi salah I yang biarkan you dan Marina buat sesuka hati. I yang buat anak-anak kita merana. Sekarang I nak tebus kesalahan I."

​"Perempuan tu yang rancang semua ni, kan? Dia yang buat I fikir yang Azalea tu anak dia. Lepas tu, I yang bodoh pergi culik anak sendiri. Buang anak sendiri pada orang lain." Air mata Datin Haliza sudah lebat mengalir di pipi.

​"I jahat, Khalid! I jahat! I seksa anak I sendiri! Sebab harta I buat anak I menderita! I bencikan anak sendiri! Sekarang apa yang terjadi pada Azalea sebab I. I bunuh anak I sendiri."
Tangisan Datin Haliza semakin lebat.

​"Tak, Liza... You tak bunuh dia. Saat dia perlukan bantuan, tiada siapa yang dapat tolong dia. You, satu-satunya yang dapat selamatkan dia," pujuk Datuk Khalid.

​Dia tidak sepatutnya menyimpan rahsia ini daripada isterinya. Dia fikir dengan menutup semua rahsia ini akan menyelesaikan segala-galanya. Tetapi, tidak sama sekali. Dia buat anak-anaknya lebih terseksa.

​"You sepatutnya beritahu I pasal ni, Khalid! Kenapa you sanggup tunggu 15 tahun untuk cakap perkara yang sebenar?"

​"I fikir Azalea tak perlu tahu hal kita. I fikir kalau you dan dia tahu hal ni, dua-dua akan menderita. I nak you dan Azalea bahagia. Tapi..."

​"You buat kami terseksa, Khalid! I nak yang terbaik untuk anak-anak I. Dalam masa yang sama I seksa anak I. Semua ni salah you! Kalau you beritahu hal ni awal-awal, perkara  ni takkan terjadi! Kita semua boleh hidup bahagia dah, Khalid!" jerit Datin Haliza bersama juraian air mata.

​"I minta maaf, Liza. I minta maaf..." Dia memeluk erat isterinya. Dia biarkan Datin Haliza menangis sepuas-puasnya.

​"Semua ni salah you. Salah perempuan tu..."

​"Ya, I tahu."

KEJADIAN semalam mendapat liputan pihak media massa menyiarkan apa yang berlaku tengah malam tadi. Pihak polis memutuskan ini perbuatan kumpulan gengster yang bergaduh sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Beberapa orang gengster yang tidak dapat menyelamatkan diri berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

​Rayan hanya mendengar butir bicara yang disampaikan oleh pembaca berita tersebut. Pistol yang berada di atas meja diambil. Bekas peluru dimasukkan ke dalam senjata itu. Muncung pistol diacukan kepada kaca televisyen. Jarinya menyentuh picu mahu ditekan untuk menembak mereka yang buat isterinya menderita.

​"Bos, aku dah jumpa tempat persembunyian gengster yang serang kita semalam," beritahu Hud sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.

​"Mengikut siasatan aku, kumpulan gengster ni selalu ambil upah untuk membunuh orang dengan bayaran yang lumayan. Mereka akan buat apa aja sampai misi mereka berjaya. Lepas habis kerja mereka, mereka akan lari ke negara seberang dalam beberapa bulan sebelum balik semula. Aku yakin, mereka yang serang kita selama ni," ujar Hud.

​"Misi mereka dah berjaya. Bila mereka akan lari?"

​"Mungkin malam ni."

​"Jadi, malam ni aku akan buat mereka tidur buat selama-lamanya."

​"Aku nak ikut." Suara Haq mencelah dari arah dapur dengan tidak berbaju. Badannya yang berbalut dari perut sehingga ke dada. Langkahnya agak tempang saat menghampiri ruang tamu.

​"Kau tu dah nak mati. Kalau kau ikut kami, sia-sia kau mati katak dekat sana nanti. Jenuh aku nak gali kubur untuk kau," bidas Hud.

​"Aku tak peduli. Aku perlu balas balik apa yang mereka dah buat pada kita. Mereka main kasar dengan serang hendap kita." Haq masih berdegil.

​"Pernah ke penjahat ni tak guna cara kotor? Tak payah! Kau akan menyusahkan aku," tegas Hud.

​"Bos, bagi aku ikut kau malam ni. Aku mampu bergerak lagi." Dia tidak mempedulikan larangan adik kembarnya. Pendapat Rayan lagi penting berbanding Hud.

​"Kau tinggal dekat sini. Perhatikan keadaan Azalea. Kalau kau ikut aku, siapa nak jaga isteri aku? Aku dah bagi tahu, tugas kau jaga Azalea," putus Rayan.

Lebih baik Haq ditinggalkan di sini untuk melindungi Azalea buat masa sekarang. Dia takut musuh mereka akan mengapa-apakan isterinya dalam keadaan begini.

​"Tapi aku dah gagal jalankan tanggungjawab aku sebagai bodyguard dia. Aku akan balas balik apa yang mereka dah buat pada isteri kau."

​"Haq, isteri aku bukan adik kau. Aku, suami dia. Aku yang akan balas dendam pada mereka. Tugas kau, jaga keselamatan dia," tegas Rayan.

Dia faham tindakan Haq untuk menyertainya malam ini. Lelaki itu mahu menebus kesalahan yang pernah dia buat pada adiknya dengan jadikan Azalea sebagai tempat untuk melunaskan perasaan itu.

​Deringan telefon mematikan perbualan mereka. Panggilan dari Datuk Khalid.

​"Alhamdulillah, Rayan. Azalea dah mula stabil. Doktor dah pindahkan ke wad biasa. Rayan tak perlu risau pasal keadaan Lea. Rayan boleh selesaikan kerja Rayan. Pasal Lea dan anak Rayan, papa boleh tengok-tengokkan mereka," ujar Datuk Khalid.

​"Terima kasih, papa."

​"Sama-sama."

​Bicara ayah angkatnya menghadirkan perasaan lega di hati Rayan. Berita yang dinantikan telah tiba. Dia tidak perlu ragu-ragu untuk melancarkan serangannya malam ini.

​"Haq, return to your post. Hud, get ready for tonight," arah Rayan. Wajahnya bertukar serius.

​"Kau jangan risau, Haq. Aku akan selesaikan mereka bagi pihak kau." Hud sengih. Dia agak teruja untuk misi malam ini. Tiada lagi permainan kanak-kanak yang perlu dia hadap oleh musuhnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro