Bab 38: Ceroboh

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEBUAH kawasan yang pernah menjadi tapak pelabuhan yang terletak di hujung bandar yang sunyi menjadi tempat strategik untuk dijadikan sarang penjenayah. Bukan itu sahaja, ia merupakan kawasan yang sesuai untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin.

​Beberapa buah kargo terbiar dijadikan tempat persembunyian mereka. Ada juga dijadikan tempat menyorokkan warga asing. Bukan itu sahaja, kargo ini juga akan diangkut ke kapal sebagai penyamaran untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

​Kali ini, mereka tidak akan menyeludup masuk pendatang asing. Sebaliknya membantu penjenayah melarikan diri daripada pihak berkuasa. Sekumpulan lelaki yang terdiri daripada warga asing mempunyai cacahan tatu yang sama di badan mereka muncul di situ. Masing-masing mempunyai senjata sebagai pertahanan diri jika tempat itu diserbu oleh pihak polis.

​Mereka masih menanti kapal kargo untuk singgah di situ. Ada di antara mereka masuk ke dalam kargo untuk berehat. Selebihnya berada di luar untuk menjaga keselamatan kawasan mereka.

​Satu bayang-bayang muncul dari belakang sebuah kargo yang agak jauh dari kotak besi yang lain. Hanya kargo itu sahaja yang berada di kawasan yang paling gelap. Bayang-bayang yang berbentuk figura seorang lelaki itu memanjat naik ke atas kotak besi itu. Dia meniarap di atas bumbung kargo agar kehadirannya di situ tidak diketahui oleh kumpulan gengster tersebut.

​Senapang berada di atas belakang diletakkan di atas kotak besi itu. Dia perlu bersiap sedia untuk melancarkan serangan. Satu lagi bayang-bayang figura seorang lelaki muncul di belakang kargo. Dia tidak menyertai lelaki bersenapang itu. Malah dia bergerak ke sisi kotak besi. Dia berdiri diam di situ menanti maklumat dari pasangannya.

​"Six men with firearms detected. Oh, ada seorang tengah berjalan ke sini," beritahu Hud melalui peralatan komunikasi tanpa wayar.

​Seorang lelaki datang menghampiri kargo yang gelap itu. Dia bergerak ke belakang kotak besi sebelum menarik zip seluar ke bawah. Namun, pergerakannya terhenti apabila terasa belakang kepalanya ditekan oleh sesuatu yang keras. Wajah lelaki itu sudah pucat kerana telinga menangkap bunyi yang tidak asing lagi baginya. Tangan yang berada di sisi paha digerak perlahan-lahan untuk mengambil pistol di sisi pinggang.

​Klak!

​"Angkat tangan kau. Campak benda tu," arah Rayan.

​Lelaki itu terpaksa mengikut kata-kata Rayan. Pistolnya dicampak ke tanah dengan segera. Jika dia bertindak terburu-buru, mungkin rakan subahatnya yang lain tidak akan sempat menyelamatkan diri.

​"Mana satu bos kau?" soal Rayan.

​"Kepala botak. Ada tatu ular belakang kepa..."

​Zap!

​Belum sempat lelaki itu menyudahkan kata-katanya, tangan kiri Rayan yang sudah lama menggenggam pisau dikelar pada leher penjahat itu. Sekelip mata sahaja, lelaki itu rebah di atas tanah tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Darah yang terpercik pada tangannya disapu pada dinding kargo.

​"Cari lelaki kepala botak dengan tatu ular belakang kepala dia," ujar Rayan.

​"Roger that."

​Hud mengeluarkan sebuah teropong dari poket baju yang dipakainya. Dia meneliti satu-persatu musuh yang sedang berkeliaran di luar kargo. Setiap lelaki bersenjata yang menjaga kawasan mereka tidak mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki oleh Rayan. Ini bermakna dia boleh guna senapang yang dia bawa bersamanya.

​"Tak ada. Tengah berak kut."

​"Kill all of them."

​"Ready for one, two and three... Bang!" gumam Hud.

​Salah seorang lelaki bersenjata yang sedang berdiri di bawah pokok rebah tanah. Kebetulan rakannya duduk berdekatan bergegas mendekati lelaki itu. Apabila diperiksa keadaan lelaki yang rebah itu, terdapat lubang kecil pada dahi dengan darah yang meleleh keluar. Reaksi panik terlukis di wajahnya.

​"Tempat kita kena cero..." Laungan daripada lelaki itu terhenti di pertengahan kata apabila dahinya menjadi sasaran Hud yang kedua. Musuhnya rebah dengan serta-merta tanpa sempat menyampaikan info sepenuhnya.

​"Ada tiga," kata Hud.

​Tiga orang lelaki bersenjata sempat mendengar laungan dari rakannya bergegas mencari tempat perlindungan. Rayan yang sedang bersembungi di tepi kargo menapak keluar dari kawasan gelap. Muncung pistol sudah lurus terarah kepada penjahat yang sedang membelakangi kedudukannya. Berapa das tembakan dilepaskan. Musuhnya tumbang dengan sekelip mata.

​Rayan mendekati penjahat yang mati di belakang timbunan tong besi. Dia duduk mencakung sambil memeriksa keadaan mayat itu. Poket seluar yang dipakai oleh si mati diselongkor. Dia hanya jumpa sebuah telefon bimbit, kotak rokok dan juga mancis. Jaket hitam yang dipakai oleh penjahat itu diperiksa sehingga tangannya tersentuh benda keras.

​Dia terus menyeluk ke dalam saku jaket dengan mengeluarkan satu alatan berbentuk selindir. Alatan tersebut merupakan bom pemedih mata kerana terdapat huruf CS dan garisan merah pada bom tersebut. Rayan menyimpan bom itu di dalam saku blazer yang dipakainya. Topeng muka yang tersisip di pinggang mayat itu diambil olehnya. Senapang yang digunakan oleh penjahat tadi dirampas.

​"Kau boleh selesaikan dua orang lagi?" soal Rayan.

​"Kena tembak musuh dalam jarak dekat macam ni. It's hurt my pride as a sniper. Tapi tak apa. Demi bos, aku sanggup buat apa sahaja," bebel Hud.

​Dia memejamkan sebelah mata sebelum merapatkan pada peralatan skop untuk mencari titik sasaran yang tepat. Kedudukan musuh yang hanya berjarak 400 meter dari tempat persembunyiannya dijumpai dengan mudah. Setelah mendapat kesan titik sasaran yang dijumpai, Hud tidak ragu-ragu melepaskan serangan. Sekelip mata sahaja, dua orang penjahat yang sedang bersembunyi mati di tangannya.

​"Tak mencabar langsung. Semalam bukan main berlagak pro," ujar Hud dengan perasaan tak puas hati.

​"Tak ada dah?"

​"Ha'ah." Hud melompat turun daripada kargo setelah tugasnya tamat.

​Rayan keluar daripada bersembunyi dari timbunan tong besi. Dia menuju ke arah sebuah kargo yang berdekatan dengan pesisir pantai. Hanya kotak besi ini sahaja kelihatan agak bersih berbanding kargo yang lagin. Kejadian tembak-menembak yang berat sebelah di luar menyebabkan penghuni di dalamnya tidak dapat mendengar apa yang terjadi.

​Pintu kargo diketuk beberapa kali. Dia menunggu di hadapan kotak besi itu dengan bom pemedih mata di tangannya. Rayan memakai topeng muka yang diambil tadi. Sebaik sahaja pintu kargo terbuka, Rayan terus melemparkan bom itu ke dalam kota besi ini. Orang-orang yang berada di dalamnya menjerit kepedihan dengan serangan yang tidak disangka-sangka itu.

​Rayan tidak menanti gas pemedih mata hilang. Sebaliknya, dia melepaskan tembakan bertubi-tubi dengan senapang yang dirampas. Jeritan dan raungan diselang-seli dengan bunyi peluru keluar dari senjata api membingitkan suasana pada malam ini.

Gas pemedih mata sudah beransur-ansur hilang di udara. Asap yang menebal di dalam kargo semakin menipis. Barulah dapat melihat keadaan sebenar rupa kargo yang diserang hendap oleh Rayan. Mayat penjahat bergelimpangan di dalam kotak besi itu. Darah mereka terpercik di atas lantai malah di dinding kargo.

Hud yang menghampiri bosnya agak tercengang dengan perbuatan Rayan yang menghapuskan musuh mereka tanpa belas kasihan. Dia tidak sanggup melihat situasi di dalam kotak besi itu. Semuanya berubah jadi warna merah. Cara majikan itu boleh dikategorikan sebagai kejam.

"Bos, kau bunuh lelaki kepala botak dengan tatu ular," beritahu Hud apabila ternampak mayat lelaki itu di dalam kargo.

"Oh, ya ke? Aku tak perasan pula," balas Rayan selamba.

Rayan melangkah masuk ke dalam kargo tersebut. Sekretarinya itu tunggu di luar kerana takut gas pemedih mata masih lagi bersisa di dalam kotak besi itu. Mayat lelaki bertatu ular itu diperiksa. Tiada apa yang menarik dijumpai selain telefon. Dia cuba membuka gajet itu. Tetapi memerlukan cap jari mayat itu. Jari telunjuk sebelah kanan dapat membuka telefon itu.

​Telefon ini tidak mempunyai senarai kenalan. Rayan membuka log panggilan yang diterima oleh gajet itu. Hanya satu nombor yang tidak simpan sahaja yang tersenarai di situ. Tiada mesej, gambar atau emel yang diterima oleh telefon ini. Rayan memotong jari telunjuk mayat itu jika gajet ini terpadam dengan sendiri.

​"Bos, ada kapal datang," beritahu Hud.

​Rayan melangkah keluar dari kargo tersebut. Sebuah kapal nelayan datang menghampiri pesisir pantai. Mungkin kapal ini akan digunakan oleh penjahat ini untuk melarikan diri ke negara seberang. Topeng muka yang dipakai dari tadi ditanggalkan.

​"Aku ada jumpa satu benda menarik dekat lelaki yang kau kelar tadi," ujar Hud. Dia menyerahkan satu peralatan berbentuk bujur dan menggerutu kepada Rayan.

​"Menarik."

​Kaki Rayan menapak ke pesisiran pantai di mana kapal nelayan itu sedang berlabuh. Ada seorang lelaki yang bersenjata sedang berdiri di buritan kapal. Bom yang diserahkan oleh Hud tapi dipandang silih berganti dengan kapal itu. Mungkin mereka juga berkait dengan kejadian yang menimpa dia dan Azalea. Tanpa ragu-ragu, Rayan menarik picu bom menggunakan gigi lalu dilemparkan ke atas kapal tersebut. Sepuluh langkah Rayan menjauhi pesisir pantai itu.

​Boom!

​Satu letupan yang sudah cukup kuat membuat kapal nelayan itu pecah menjadi serpihan. Bahagian-bahagian kapal terbakar akibat letupan itu. Tiada seorang pun yang terselamat di atas kapal nelayan itu. Semuanya berakhir dengan mudah dan senang tanpa mengeluarkan peluh.

​"Kau pegang ni. Kau track lokasi panggilan nombor telefon dalam ni," kata Rayan sambil menyerahkan telefon dan jari telunjuk kepada Hud.

​Hud sudah membuat muka geli melihat jari itu berada di dalam tapak tangannya. Tetapi dia terpaksa simpan kerana itu mungkin petunjuk mereka yang seterusnya. Dia yakin Rayan masih tidak puas hati apa yang berlaku pada malam ini.

MEREKA kembali masuk ke dalam kereta yang di letak jauh dari pesisir. Walaupun terpaksa berjalan jauh, misi kali ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang kecederaan. Apa yang dirancang berjalan dengan mudah.

​Hud mengeluarkan komputer riba dan pemacu kilat USB untuk mengesan lokasi panggilan yang diterima oleh telefon ini. Kerja mengesan lokasi adalah perkara yang mudah baginya. Apabila nombor telefon itu dimasukkan ke dalam tempat kosong yang disediakan di dalam komputer riba, muncul garis-garis hijau pada skrin teknologi itu. Dot merah yang berkelip-kelip di atas skrin komputer riba.

​"Dah jumpa si bangsat ni," ujar Hud.

​"Kita jumpa dia sekarang."

​Hud terus menghidupkan enjin untuk berjumpa dengan dalang yang menjadi punca kepada kejadian malam semalam. Semakin lama dia menghampiri lokasi musuhnya, semakin dia kenal jalan yang dia lalu sekarang ini. Ini merupakan jalan menuju ke RA'ED Corp.

Hud mengintai wajah Rayan yang duduk di belakang. Wajah majikannya kelihatan tenang biarpun tahu mereka ada musuh dalam selimut.
​Kereta diberhentikan di kawasan letak kereta yang khas untuk pekerja syarikat ini. Di situ terdapat pintu keluar masuk bagi pekerja di situ.
Rayan melangkah keluar daripada kenderaan tersebut. Matanya terpaku pada pondok pengawal keselamatan yang masih terang-benderang untuk menjaga keselamatan syarikatnya.

​"Mana telefon tu?" tanya Rayan.

​Telefon milik penjahat itu bertukar tangan. Nombor yang tertera di skrin gajet itu didail. Kakinya melangkah masuk ke dalam syarikatnya. Bunyi deringan telefon dari arah pondok keselamatan membantutkan langkah Rayan.

Dia mengubah arah menuju ke sana. Seorang lelaki memakai baju keselamatan berwarna kuning mengangkat telefon yang berdering.

​"Aku dah cakap. Jangan call aku lagi. Tugas kau dah selesai!" ucap pengawal keselamatan itu dengan nada berbisik.

​Rayan berdiri di belakang lelaki itu. Apa yang diucapkan oleh pengawal keselamatan dapat didengari dari telefon milik penjahat itu.

​"Pak Hamdan?" tegur Rayan. Talian dimatikan.

​Tubuh lelaki itu terus kaku apabila mendengar suara Rayan dari belakangnya. Saat itu dia sedar bahawa segala rancangannya telah terbongkar. Anak angkat Tengku Marina lebih berbahaya dari dia sangka. Pak Hamdan menoleh ke belakang untuk berdepan dengan Rayan. Dia tahu dirinya sudah terperangkap.

​"Lama kita tak jumpa, kan?"

Dia kenal lelaki itu. Pengawal keselamatan yang bekerja dengannya merupakan bekas pemandu Tengku Marina ketika dia masih kecil. Sudah lama dia tahu lelaki itu bekerja dengannya. Tetapi tidak dihiraukan. Dia fikir pengawal keselamatan itu tidak memainkan peranan penting. Rupa-rupanya dia silap.

Pemadam api yang tersangkut pada dinding pondok telefon dicabut oleh Rayan. Dia melangkah menghampiri lelaki itu sambil mengusung pemadam api di tangannya.

"Pak Hamdan tak kenal saya?" soal Rayan.

Pak Hamdan melangkah setapak ke belakang apabila anak angkat Tengku Marina menghampirinya. Jika Rayan tahu siapa dia, bermakna lelaki itu berjaya menumpaskan gengster yang sepatutnya lari pada malam ini. Tubuhnya menggeletar ketakutan saat memandang Rayan yang tiada kemesraan. Budak lelaki yang kenal berpuluh tahun lamanya sudah berubah jadi seorang lelaki yang menggerunkan.

"Ray..."

Dum!

Pemadam api di tangan Rayan diayunkan ke arah kepala pengawal keselamatan. Lelaki itu terus rebah ke lantai dengan kepala yang berdarah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro