Bab 8

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

ENCIK Hasan mula berdeham apabila anak-anak lelakinya membuat isyarat mata. Setelah berbincang sesama mereka sebentar tadi, Encik Hasan memutuskan untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluarganya. Ini sajalah peluang yang ada kerana esok hari Kayyisa akan dihantar semula ke rumah sewa.

Air kopi juga sudah terhidang di atas meja, tinggal diangkat saja untuk minum. Masing-masing menanti bicara daripada Encik Hasan.

"Kayyisa dengan Airil macam mana? Okey?"

Pertanyaan mengejut itu membuatkan kepala Kayyisa terangkat memandang abinya. Terkelip-kelip kelopak mata cuba memproses isi tersirat yang ingin disampaikan. Kayyisa cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya ada sedikit kerisauan.

"Err..." Puas memikirkan jawapan yang sesuai, Kayyisa akhirnya angkat bahu. Tak tahu nak sampaikan macam mana. Nak kata mereka okey, tak la sangat. Nak kata mereka tak okey, tak ada pula pergaduhan yang teruk terjadi.

"Ingatkan dah putus. Tak putus lagi la ni?" Eijaz menyampuk. Biar dia yang tanya tanpa berlapik jika orang lain mahu berkias.

Kayyisa tak menjawab, malah dia menundukkan wajah. Sakit dia nak keluarkan jawapan daripada mulut sendiri.

Nadhif tak sampai hati nak biar Eijaz tanya lebih-lebih. Risau Kayyisa pula yang terasa. Jadi, dia bisikkan saja kemungkinan hubungan mereka kepada Encik Hasan melalui apa yang diborakkan bersama Fayyad. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Tetapi, apa yang Nadhif yakin, Kayyisa ada masalah dengan teman lelakinya.

"Kayyisa tahu kan bercinta tu tak elok? Apatah lagi dalam tempoh yang panjang. Abi tak halang kalau Kayyisa nak bersama dengan Airil. Cuma, abi rasa lebih baik ikat dengan cara yang halal. Kahwinlah, kalau Kayyisa rasa itu yang terbaik dan boleh buat Kayyisa bahagia." Encik Hasan berjeda.

"Kalau betul Kayyisa serius dengan Airil, minta Airil jumpa dengan abi. Paling kurang pun, abi boleh sembang dan kenal dulu orangnya macam mana," sambung Encik Hasan lagi. Ayat ditutur sekemasnya agar tidak kedengaran terlalu mendesak.

"Umi pun teringin sangat nak tengok lelaki yang anak umi suka." Puan Sajidah mengukir senyuman.

Dan lagi, Kayyisa cuma kaku membisu. Tak tahu macam mana nak beritahu mereka tentang situasi dia dan Airil. Kalaulah Kayyisa betul-betul bawa Airil jumpa umi dan abi, mampukah mereka terima lelaki itu sebagai menantu? Bukan setakat mereka, Kayyisa turut menyoal diri-sendiri dalam hati, betulkah Airil adalah pilihan yang terbaik? Lelaki yang akan dipilih nanti bakal menjadi teman hidupnya sepanjang hayat, bukan untuk sebulan dua.

"Umi... abi... Kayyisa faham umi dengan abi nakkan yang terbaik untuk Kayyisa. Betul, Kayyisa belum putus dengan Airil. Tapi, Kayyisa betul-betul minta maaf... Kayyisa tak dapat tunaikan permintaan umi dengan abi." Lemah tutur kata Kayyisa. Jari-jemari bersulam antara satu sama lain.

"Maksud Kayyisa?" Nadhif menyelit di tengah-tengah perbualan mereka.

Kayyisa memegang tangannya kuat. Menahan rasa daripada emosi berlebihan.

"Airil tak bersedia lagi nak kahwin dengan Kayyisa. Dia cuma nak hubungan macam ni. Walaupun makan masa yang panjang."

Terkejut semua orang mendengar bait bicara tersebut. Runsing Encik Hasan dan Puan Sajidah memandang sesama sendiri.

"Lelaki jenis apa macam tu? Kalau tak nak kahwin, tak payah bercinta. Buang masa," marah Eijaz, seakan-akan Airil berada di hadapannya sekarang ini. Berkerut-kerut muka menahan bengkak hati. Mana Eijaz tak panas kalau adik sendiri diperlakukan seperti itu.

"Jaz, sabar sikit." Anaqi bersuara ringkas.

"Kayyisa, bagitahu betul-betul. Kenapa Airil cakap macam tu? Dia ada masalah apa-apa ke?" Nadhif yang lebih rasional berbanding Eijaz menyuarakan pertanyaannya.

Kayyisa menggigit bibir bawah perlahan. Dia risau nak bagitahu kenyataan yang sebenar. Tapi, nak berdalih dengan keluarga sendiri pun tak sanggup.

Buntu ingin memberi balasan apa, Kayyisa sekadar menggeleng lemah.

"Oh, kiranya dia sengaja la tak nak kahwin? Sebab apa? Tak nak pening kepala fikir komitmen? Macam ni la, kalau rasa tak bersedia, tak payah bercinta. Tunggu bersedia, bolehlah sembang nak ada hubungan dengan anak orang. Bercinta pun buat apa kalau tak ada hala tuju. Dia ingat dia bercinta dengan anak monyet ke sampai selesa sangat bawa ke hulu ke hilir? Bila suruh kahwin, tak nak pula." Eijaz membuat kesimpulan sendiri. Kata-katanya bagai belati yang menikam hati.

Tekaan yang tepat itu membuatkan bibir Kayyisa semakin terkunci. Bicara yang sangat sakit untuk ditelan tapi itulah realitinya.

"Betul ke, Kayyisa?" Encik Hasan menyoal. Inginkan kepastian setelah melihat perubahan wajah anak perempuannya.

Mengambil kekuatan, Kayyisa menjatuhkan kepala sekali tanda mengeyakan.

Encik Hasan sendiri mati akal ingin berbuat apa-apa. Jika si jejaka sendiri tiada keinginan dan kesungguhan untuk memiliki anak gadisnya, jadi tiada apa yang Encik Hasan inginkan kecuali hubungan mereka terhenti setakat itu. Walaupun ianya mungkin sukar untuk diterima oleh kedua-dua belah pihak tetapi itulah yang terbaik demi menjaga Kayyisa. Encik Hasan perlu berfikir untuk jangka masa yang panjang.

"Kalau macam tu, abi pun tak boleh nak buat apa. Tapi, abi memang tak berkenan kalau Kayyisa bercinta dengan dia tanpa ada perancangan nak kahwin. Abi tak suka dia biarkan anak abi tergantung macam ni. Jadi, Kayyisa, puteri kesayangan abi... abi minta sangat Kayyisa fikir masak-masak. Kayyisa faham kan maksud abi?" Encik Hasan memandang sayu ke dalam anak mata Kayyisa. Nadanya yang lembut itu membuatkan hati Kayyisa luluh. Tak sanggup rasanya ingin menolak permintaan abi.

"Umi setuju dengan abi. Kalau betul Airil sayangkan Kayyisa, anggap perpisahan ni tanda untuk menjaga diri masing-masing. Jika betul berjodoh, percayalah, Allah akan aturkan jalan sebaiknya untuk Kayyisa dan Airil. Ya sayang?" Puan Sajidah lebih kepada memujuk. Anaknya itu lembut hati, jadi nasihat yang lembut mungkin berkesan untuk dia terima.

Selepas mendengar kata-kata uminya, hati Kayyisa lebih lapang. Lebih dapat menerima. Lebih terbuka hati.

"Sejujurnya, Kayyisa memang dah ada perancangan nak putuskan hubungan. Tapi, Kayyisa tengah cari kekuatan untuk lepaskan Airil."

Mereka yang ada di situ menganggukkan kepala. Bersyukur mendengar kata-kata Kayyisa.

"Kayyisa." Nadhif menyeru perlahan setelah beberapa ketika. Daripada tadi lagi lengannya disenggol-senggol oleh Anaqi supaya mengatakan hal ini. Eijaz pun dah jeling-jeling.

"Abang long nak tanya."

"Tanya apa?"

"Abang long tahu situasi Kayyisa dengan Airil macam mana. Tapi, ni salah satu usaha abang long untuk kebaikan adik abang long juga. Ada kawan abang long berkenan dengan Kayyisa. Kayyisa setuju ke kalau nak cuba buka hati untuk dia?"

Kayyisa terpinga-pinga sebentar. Dalam kepala, sedang memikirkan sebarang kemungkinan.

"Siapa?"

"Zayn Al-Fayyad."

Sebaris nama yang keluar dari mulut Nadhif membuatkan Kayyisa tersentak sesaat. Baru saja dia memberi kata-kata yang agak kasar kepada lelaki itu. Tak putus asa rupanya Fayyad ini.

"Kayyisa fikirlah dulu baik-baik. Kalau ikutkan semua orang yang ada dekat sini, sebulat suara kami setuju kalau Fayyad kahwin dengan Kayyisa. Fayyad pun dah kenal-kenal dengan kita." Anaqi menyuarakan kata-katanya setelag lama berdiam diri. Dia lebih memilih menjadi pemerhati.

"Tapi, Kayyisa..." Kayyisa tengah menjana otak untuk memberi alasan tetapi akalnya langsung mati apabila teringatkan harapan seluruh ahli keluarganya. Tak perlu cakap pun dia sudah tahu mereka inginkan siapa sebagai suaminya. Namun, untuk menerima juga... sangat berat untuk Kayyisa.

"Abi dengan umi takkan paksa Kayyisa." Encik Hasan terasa ingin menambah serba sedikit.

"Tapi, ini salah satu hasrat abi juga untuk anak perempuan tunggal abi. Abi nak Kayyisa ada seorang suami yang boleh bimbing dan bahagiakan Kayyisa. Dan dengan itu, abi nak satukan Kayyisa dengan Fayyad. Abi yakin, dia lelaki terbaik untuk puteri abi," sambung Encik Hasan lagi. Senyuman diukir nipis.

Kayyisa semakin lemah. Tapi, dia tak mampu nak melawan lagi. Dia sudah berjanji dengan diri-sendiri untuk tidak melukai hati abi dan uminya. Keredaan mereka sangat penting untuk Kayyisa terus hidup. Kerana reda Allah bergantung kepada reda ibu bapa.

"Kayyisa perlukan masa untuk fikir. Buat masa ni, Kayyisa nak fokus habiskan pelajaran dulu. Apa-apa hasrat atau permintaan sekalipun, boleh kita tangguh sampai Kayyisa habis belajar?"

Encik Hasan dan Puan Sajidah tersenyum lebar. Mungkin seronok mendengar jawapan anak mereka. Kayyisa tidak menolak mentah-mentah, namun lebih kepada meminta masa.

"Okey, anak umi."

"Terima kasih, puteri abi."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro