Bab 9

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

HABIS saja kelas, Hajar pulang macam biasa ke rumah sewa. Dia teruja apabila melihat kasut milik Kayyisa di luar rumah. Tak sangka kawan baiknya itu akan pulang hari ini memandangkan dia telah diberitahu bahawa Kayyisa dapat MC sehingga esok.

Kaki Hajar meluru terus ke bilik tidur Kayyisa untuk melihat keadaan gadis itu. Tak perlulah dia nak ketuk dahulu apabila daun pintu tersebut sudah pun terbuka luas. Pantas saja Hajar masuk ke dalam dan duduk di atas katil sambil melihat Kayyisa mengemas barang-barangnya.

"Bila awak balik Kayyisa? Bukan awak kata awak cuti sampai esok ke?" tanya Hajar dengan pelik.

"Tak menyabar betul awak ni kan, Hajar." Kayyisa tersengih lalu menggeleng kepala.

"Eh, mestilah! Saya risau tau bila dapat tahu awak masuk hospital. Ni, awak dah sihat ke belum?"

"Dah, Hajarku sayang. Kalau tak, tak adanya abi saya bagi balik rumah sewa hari ni. Alang-alang saya pun dah okey, baik balik sini terus. Boleh teman awak, tak ada la awak sunyi sangat bila saya tak ada, kan?" Kayyisa angkat kening.

Berkerut sekitar hidung Hajar mendengar kata-kata itu. Hesy, poyo saja Kayyisa ni!

"Yalah, yalah. Sunyi sikit je. Tapi, betul ke awak dah okey ni?" Hajar mengalih topik. Lihat daripada luaran, Kayyisa nampaknya ada perubahan yang baik daripada segi emosi.

"Okey je. Ke... awak maksudkan okey yang lain?" Kening Kayyisa mencerun ke bawah.

"Hubungan awak dengan Airil? Sebab dia ke awak demam sampai masuk hospital?"

Terhenti tangan Kayyisa yang sedang melipat dan memasukkan baju daripada bagasi ke dalam almari. Mata dihala fokus ke arah Hajar yang kelihatan ingin tahu. Sepanjang dia masuk hospital sehingga kini, Kayyisa tak beritahu dengan mendalam kepada gadis itu tentang apa yang terjadi sehingga dia pengsan. Tak peliklah kalau Hajar tertanya-tanya.

"Beberapa hari lepas, yes saya tak okey sangat. But now, alhamdulillah feeling better. Mungkin waktu tu saya banyak berfikir lepas jumpa Airil, sampai saya jadi terlalu emosional. Susah nak terima apa yang Airil cakap dan perkara tu mengganggu fikiran saya bila saya asyik berkurung dalam bilik. Saya tak keluar langsung walaupun untuk makan. Itu yang boleh pengsan. Silap saya sendiri, sebab tak fikirkan kesihatan." Kayyisa membalas jujur. Senyuman diukir untuk membuktikan dia benar-benar sudah okey sekarang. Walaupun bukan sepenuhnya.

Hajar mengangguk faham.

"Saya rasa, cukup-cukuplah awak berlarutan dalam masalah yang sama, Kayyisa. Dalam hal ni, awak patut utamakan perasaan awak. Saya sebagai kawan, turut sedih bila awak sedih. Sampai bila awak nak biarkan perasaan awak terperangkap kalau ia hanya memberi awak luka? Melepaskan memang sakit, tapi macam mana kalau bertahan lebih sakit?" Hajar menghampiri Kayyisa lalu tangan gadis itu dipegang lembut. Senyuman nipis diberikan, sekaligus cuba meyakinkan Kayyisa dengan setiap kata-kata yang dituturkan.

"Sekarang, awak mungkin boleh telan segalanya tapi bila sampai satu masa di mana awak simpan sakit tu terlalu lama, awak akan lebih terluka dan lebih lambat ambil masa untuk sembuh. Awak kena ingat Kayyisa, walaupun awak hilang Airil suatu hari nanti, Allah pasti akan gantikan seseorang yang lebih baik untuk awak. Jangan pernah takut untuk melepaskan, kalau itulah yang membuatkan awak masih bertahan sampai sekarang." Hajar hanya mampu memberi pesan secara halus. Biar Kayyisa sendiri menilai pengakhiran bagaimana yang mungkin baik untuk dirinya.

Daripada tak mahu menangis, kini Kayyisa mahu menitiskan air mata. Bukan kerana Airil tetapi kerana Hajar sendiri. Gadis ini terlalu istimewa di hatinya. Hajar dan setiap patah kata yang menenangkan tidak pernah mengecewakan Kayyisa.

Apalah yang Kayyisa sudah buat di dalam hidupnya sehingga boleh menerima pinjaman Allah bernama Siti Hajar. Dia yang tak pernah lokek memberi nasihat kepada Kayyisa, dia yang tak pernah mengalah membantu Kayyisa, dia yang tak pernah memandang hina apa saja keburukan Kayyisa.

"Hajar, saya tak tahu nak cakap terima kasih macam mana lagi dekat awak. Kehadiran awak bagi impak besar dalam hidup saya. Kalau bukan sebab awak, mungkin sekarang saya lebih lalai, malah lebih teruk." Kayyisa berhenti untuk ambil nafas supaya dia lebih bertenang mengawal emosi.

"Awak jangan risau ya, saya tetap akan putuskan semuanya dengan Airil. Sekarang, saya baru sedar, yang mana baik dan yang mana buruk untuk diri saya. Cuma, saya perlukan masa dan sokongan daripada orang sekeliling. Awak akan sentiasa ingatkan saya, kan?" Setitik air mata jatuh walaupun sekuat mana Kayyisa cuba menahan. Lengkungan di bibir sedaya upaya melebar. Tangisannya kali ini kerana besarnya rasa terharu terhadap insan bergelar sahabat.

"Sentiasa, Cinta Kayyisa." Hajar turut sama menyimpul senyum.

"Hajar..." Kayyisa menyeru perlahan.

"Ya, Kayyisa." Mata Hajar bersinar-sinar. Menanti apa saja yang ingin dibicarakan oleh Kayyisa.

"Saya nekad nak cari semula diri saya yang lama. Dan, sekarang saya tengah cuba untuk jadi orang yang lebih baik. Tolong saya, Hajar. Saya nak berubah. Saya nak dekat balik dengan Allah," ujar Kayyisa penuh tulus. Semua ini ikhlas dari hatinya kerana Allah.

Hajar sedikit terkejut. Matanya membulat tanpa dipinta. Tak perlu kata-kata, dia sangat gembira mendengar berita yang sangat bermakna itu. Senyumannya tidak memudar sedari tadi.

"Alhamdulillah... dah lama saya tunggu saat-saat ni, Kayyisa. Akhirnya, Allah dah buka pintu hati awak."

"Terima kasih, Hajar. Nanti teman saya beli tudung?" Kayyisa mengelap saki-baki mutiara jernih di tubir matanya. Habis terbantut kerja-kerja mengemas dek berbual dengan Hajar.

Hajar mengangguk laju. Untuk Kayyisa, apa saja dia akan buat. Dipanjatkan beribu kesyukuran kepada Allah kerana hadirkan hidayah buat kawan baiknya.

Hajar adalah saksi perubahan Cinta Kayyisa suatu ketika dahulu dan kini, Hajar juga saksi penghijrahan Cinta Kayyisa. Dia ada di saat jatuh dan bangun dan di saat gelap dan terang gadis itu. Semoga Allah pelihara hubungan persahabatan mereka sehingga ke SyurgaNya.

︵‿︵‿୨♡୧‿︵‿︵

TEMPOH hari Kayyisa ada beli dua helai tudung bawal, dua helai shawl, sehelai tudung sarung dan tiga helai jubah. Tapi, dia rasa nak beli beberapa helai lagi tudung dan jubah untuk kegunaan pergi kelas. Ikutkan, Kayyisa ada saja tudung-tudung dan jubah-jubah lama tetapi semuanya ada di rumah. Jadi, malaslah dia nak pergi ambil. Sekurang-kurangnya bila balik ke rumah nanti tak perlulah dia bawa sekali tudung dan jubah yang baru dibeli.

Sebab itulah hari ini Hajar menemani Kayyisa ke sebuah butik. Alang-alang tu bolehlah dia belikan set jubah dan tudung buat Hajar sempena hari kelahirannya beberapa hari lagi. Tapi, Hajar tak tahu pun Kayyisa nak belikan hadiah untuknya. Bila tiba hari kejadian barulah Kayyisa akan beri kepada gadis itu.

Selesai cari apa yang patut, Kayyisa mengajak Hajar untuk singgah ke kedai sejadah milik umi dan abinya. Memandangkan kedai itu tidak la jauh mana dengan butik yang mereka pergi.

Sepanjang perjalanan di dalam grab, Kayyisa agak takut tetapi juga teruja dengan penerimaan keluarganya terhadap perubahan dia yang baru. Apa-apa pun, syukur alhamdulillah dia sudah bertudung hampir seminggu. Walaupun tidak selabuh ustazah tetapi cukup untuk menutup apa yang patut. Bila keluar pun Kayyisa amalkan pakai handsock dan stoking. Hajar yang belanja sewaktu mereka keluar beli tudung hari tu.

"Dah sampai, cik. RM6."

Hajar menghulurkan sekeping not berwarna merah kepada pemandu grab. "Baki simpan ya, pak cik. Terima kasih."

Usai Hajar keluar daripada perut kereta, Kayyisa mengikuti. Nampak saja sebuah kereta Mazda terparkir elok di hadapan kedai sejadah milik kedua orang tuanya automatik dahi Kayyisa berkerut seribu. Ini bukan ke kereta Fayyad? Salah masa ke dia datang sampai kebetulan tersama dengan lelaki itu?

Makin tidak selesa Kayyisa dibuatnya. Lagi-lagi mengenangkan permintaan seluruh ahli keluarganya minggu lepas. Panas pula muka Kayyisa sekarang ini. Padahal cuaca tengah mendung.

"Dah sedia ke nak masuk?" tanya Hajar setelah beberapa minit mereka berdiri di situ.

Kayyisa ambil nafas panjang lalu menghembus perlahan-lahan. Kemudian, kepalanya dianggukkan sebelum kaki mengikuti langkah Hajar ke pintu kedai sejadah. Sepatu ditanggalkan dan mereka masuk ke dalam.

"Assalamualaikum." Hajar memberi salam. Sekaligus mengundang fokus daripada seisi penghuni yang berada di dalam kedai itu.

"Eh, Hajar." Puan Sajidah yang tadinya memerhati sepasang suami isteri memilih sejadah di atas rak terus mendapatkan Hajar. Dia belum perasan agaknya kelibat Kayyisa yang berada di belakang gadis itu.

Hajar ke tepi sedikit untuk memberi ruang kepada Kayyisa. Tika itu, barulah Puan Sajidah terkejut melihat anaknya. Naik turun bebola mata melihat pemakaian Kayyisa sekarang ini.

"Kayyisa... Ya Allah, alhamdulillah. Sejuk hati umi tengok anak umi pakai macam ni."

Kayyisa tersenyum mendengar penerimaan uminya. Seronok apabila balasan yang diterima sangatlah positif. Kekura tangan itu disalam penuh hormat lalu pipi mereka saling dilagakan.

Mungkin tersentak dengan kata-kata sang isteri, Encik Hasan yang berada di belakang untuk cek stok sejadah datang ke hadapan. Dengan abinya juga Kayyisa berbuat benda yang sama. Salam dan melagakan pipi. Nampak jelas air muka Encik Hasan sangat gembira dengan perubahannya.

"Cantik anak abi."

Segan Kayyisa apabila menerima pujian. Tetapi, tak dinafikan dia sangat suka kerana pujian itulah menaikkan lagi semangatnya untuk terus istiqamah.

"Terima kasih umi, abi. Kayyisa minta maaf sebab berubah sebelum ni dan ambil masa lama sangat untuk jadi anak umi dengan abi yang lama," ujar Kayyisa.

"Yang dah berlaku tu biarlah. Anggap itu semua ujian untuk kita. Tengok Kayyisa yang sekarang pun abi dah bersyukur sangat. Terus istiqamah ya. Abi akan selalu doakan anak abi." Kepala Kayyisa diusap perlahan oleh Encik Hasan.

"Kayyisa? Abang long tak silap tengok, kan?" Kali ini Nadhif pula datang entah dari mana. Mungkin tadi ke tandas kut. Abang long Kayyisa itu biasalah, dah boleh jadi duta tandas.

"Propa la abang long ni. Siapa lagi yang cantik ni kalau bukan adik abang long, kan?" Kayyisa menyambut sama dalam gurauan.

"Yalah, abang long terpaksa mengaku Kayyisa cantik. Tengoklah abang long dia siapa. Handsome, kan? Baka umi dengan abi semua elok-elok. Kan umi, abi?" Nadhif angkat kening. Encik Hasan guling bebola mata ke atas. Ada-ada sajalah anak dia ini. Angkat bakul tak beringat.

"Eh, dah la. Melayan awak berdua ni terabai pelanggan umi." Sempat Puan Sajidah menggeleng kepala sebelum dia bergerak ke arah sepasang suami isteri yang sedang memanggil.

"Abi nak cek apa yang patut kejap dekat belakang. Kayyisa dengan Hajar duduklah dulu dekat kerusi sana tu. Nanti dah tutup kedai, kita pergi makan sekali dengan Nadhif dan Fayyad. Kebetulan datang sekali, abi ingat nak belanja."

Kayyisa mengangguk kepala. Bagus sangatlah tu, dia pun memang tengah lapar dan ada rancang nak ajak abi makan. Bila Encik Hasan dah ke belakang, Kayyisa dan Hajar membuntuti Nadhif ke beberapa buah kerusi yang tersedia di ruang hadapan.

Saat itu, mata Kayyisa bertentang dengan Fayyad. Masing-masing cepat melarikan pandangan. Apabila sudah melabuhkan duduk, Hajar menyenggol lengan Kayyisa.

"Awak kenal ke lelaki tu, Kayyisa? Saya perasan daripada tadi dia usyar awak."

Kayyisa berdeham kerana tersentak. Sedaya upaya riak wajahnya dikawal. Tiba-tiba dirasakan situasi di situ janggal semacam. Lebih-lebih lagi Kayyisa tengok Nadhif dan Fayyad berbisik sesama sendiri. Entah apa yang mereka borakkan. Kutuk Kayyisa kut?

"Awak silap tengok ni, Hajar."

"Sekali dua mungkinlah silap. Tapi setiap kali saya terpandang dia, dia mesti diam-diam jeling awak. Sejak kita masuk dalam kedai tau." Bersungguh-sungguh Hajar memberitahu. Hajar bukanlah tak menjaga mata tetapi mata dia suka melilau ke sana ke sini melihat ruang kedai.

"Eh, ke ni kawan abang long awak yang awak ada cerita tu?"

"Hmm... siapa lagi yang melekat dengan abang long saya kalau bukan dia." Kayyisa ambil senaskhah majalah di atas meja, buat-buat sibuk. Tak cukup dengan itu, dia ambil sebotol air masak yang telah tersedia.

"Saya approve kalau awak dengan dia."

Pufff!

Tersembur air masak di dalam mulut Kayyisa apabila mendengar kata-kata jujur Hajar. Membulat matanya memandang muka gadis itu. Bukan setakat Hajar, malah Nadhif dan Fayyad juga tersentak.

"Awak jangan nak merepek ya, Hajar. Awak baru kenal dia tau," balas Kayyisa sambil berusaha memanjangkan tangan untuk mencapai tisu. Tetapi, disebabkan kotak tisu itu agak jauh dari tempat duduknya, Kayyisa nak bangkit untuk mengambil.

Namun, belum sempat dia berdiri, kotak tisu itu terlebih dahulu ditolak Fayyad agar lebih hampir dengannya. Sekali lagi, mata mereka saling bersabung. Membuatkan Kayyisa dan Fayyad melarikan pandangan ke arah lain. Tolonglah, canggung sangat keadaan mereka ini.

Kayyisa berdeham walaupun agak segan dengan apa yang berlaku.

"Thank you." Entah Fayyad dengar atau tidak lantak la. Yang penting, dia dah berterima kasih.

Hajar yang melihat perlakuan mereka cuma tersenyum dan memerhati dalam diam. Nadhif juga sama, berpeluk tubuh sambil menyandar tenang pada penyandar kerusi. Senyumannya terjongket sebelah. Apabila Fayyad memandangnya, semakin Nadhif tersenyum banyak makna.

"Kau kenapa, Dhif? Buang tabiat?"

"Jangan ingat aku tak nampak tadi. Jaga mata, Yad. Nak pandang adik aku lama-lama, kena kahwin dulu."

Fayyad usap lehernya apabila termalu sendiri.

Ah, terkantoi pula!

Mata dia pun satu, menderhaka kepada tuan setelah melihat Kayyisa berpakaian lain daripada kebiasaan. Inilah kali pertama Fayyad melihat Kayyisa bertudung. Dan, dia tak nafikan, Kayyisa sangat cantik. Ini baru bidadari dunia, bidadari syurga nanti lagilah tidak tergambar cantiknya.

~

No comment, no update haha. Sorry, lambat update. Ingat nak update semalam tapi edit punya lama sampai tertambah words huhu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro