Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Prolog

"Wanita itu tercipta daripada tulang rusuk lelaki, bukan daripada tulang kepala lelaki kerana wanita bukan untuk memimpin lelaki. Dan kenapa bukan daripada tulang kaki kerana wanita bukan untuk menjadi hamba abdi lelaki. Tetapi wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki kerana dekat dengan hati. Sebagai pendamping dan penjaga hati."

Jelas kedengaran teks bacaan daripada tuan kadi seusai lafaz ijab kabul. Syahdu dan penuh perasaan lenggok suaranya hingga terkesan dalam jiwa hadirin di sekeliling. Semuanya diam menghayati bait-bait kata tersebut. Tuan kadi mengingatkan nilai seorang wanita di sisi seorang suami. Bukan sekadar tukang masak, tukang basuh baju, pengasuh anak-anak, menjadi bibik tak berbayar, tetapi peranan si isteri jauh lebih besar dan tinggi iaitu senantiasa berada dalam hati si suami, supaya kedua-duanya menjadi senang dan tenteram.

"Sekarang kamu bacakan lafaz taklik..." Tuan kadi memecahkan suasana yang sunyi sepi. Dihulurkan sekeping kertas kepada pengantin lelaki yang bersila segak di hadapannya.

Terkedu sebentar Azfar Khairi. Dia memandang kertas yang dihulur. Dalam hati terdetik, inilah lafaz taklik yang pertama dan terakhir untuknya. Tidak ada lafaz lain lagi. Sumpah! Wanita yang baharu sahaja beberapa minit dinikahi itulah yang akan didampingi sehingga hari tua. Sepanjang hayat.

Cintanya kepada si dia sudah tersimpul mati! Cinta yang pertama dan terakhir.

Tuan kadi berdehem perlahan.

Azfar Khairi kembali ke alam realiti. Kertas tadi dipandangnya. Dengan yakin dia mula membaca...

"Bismillahirrahmanirrahim... Saya mengaku, apabila saya tinggalkan isteri saya, Noramyza binti Mansor, selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut padahal dia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah dan ia memberi kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu, tertalaklah ia dengan cara talak khuluk."

Habis sahaja lafaz takliknya, mata Azfar Khairi beralih ke wajah Noramyza. Cantik sekali si dia. Sangat luar biasa penampilannya dengan baju nikah yang menutupi seluruh kulit putih gebunya dan kerudung kepala berwarna putih yang melindungi setiap helai rambutnya yang lembut dan lurus. Hari-hari biasa pun si dia memang seorang yang sedia cantik dan seksi, apatah lagi pada hari yang penuh bersejarah ini. Kecantikan Noramyza yang membuatkan dia selalu sasau.

Pandangannya terus tertancap ke tubuh si isteri yang baru dinikahi...


BAB 1

Jakarta...

azfar Khairi asyik dengan telefon pintarnya. Sedari tadi. Hampir satu jam jugalah dia layan benda alah itu. Ping... Ping... Acap kali berbunyi. Tek... Tek... Taip-taip, tunggu... Taip-taip, tunggu... Begitulah keadaan jari-jarinya. Bibir pula tersenyum- senyum, tersengih-sengih. Macam budak remaja tengah maksyuk dengan cinta monyet layaknya. Tetapi yang ini seorang CEO sebuah syarikat antarabangsa cawangan Indonesia. Sudah lima tahun dia menyandang jawatan tersebut. Dan umurnya pula bukan dalam kumpulan remaja lagi, tapi dah masuk dalam kumpulan remaja purba.

Si isteri masuk ke ruang tamu dengan sebuah muk di tangan. Muk berisi air kopi tentunya. Harum aroma kopi Blue Mountain Blend jenama Kapal Api membuatkan mata Khairi mengerling sedikit. Sedapnya! Amyza sangat suka rasa lembut kopi yang berasal dari Jamaica ini. Dia juga. Namun Amyza cuma buat kopi untuk dirinya sendiri. Keluar air liur Khairi. Tak apalah...

Matanya menatap semula ke arah skrin telefon pintarnya. Yang ini lagi penting baginya. Tak dapat kopi Blue Mountain pun tak apa. Ada yang lebih sedap daripada itu. Matanya terus terpaku pada telefon pintar. Tahap tak ada benda lain untuk dipandang. Benda lain semua bosan. Telefon pintar itu sahaja yang tidak bosan!

"So... Apa pelan kita untuk minggu depan ni? Nak balik ke KL atau pergi ke tempat lain?"

Khairi tetap dengan aktivitinya. Tidak beralih wajah daripada fokus pada gadget di tangan. Seolah- olah tidak dengar apa yang diperkata oleh Amyza. Memang tak dengar pun. Jika kepala memikir benda lain yang lebih memikat, apa yang diterima oleh gegendang telinga mana mampu diproses.

Amyza geram dengan tingkah suaminya. Kebelakangan ini selalu saja begitu. Asyik sangat dengan telefon kesayangannya. Jasad saja yang berada di rumah, jiwa dan perhatian pada perkara di luar rumah. Banyak sangat ke kerja pejabat sehingga tak sudah-sudah bekerja? Takkanlah klien atau staf pejabat Khairi tak reti-reti berehat? Asyik mengacau bos sahaja.

Khairi tetap begitu. Tak peduli langsung kepada Amyza di hadapan.

Bengang punya pasal, Amyza merampas telefon pintar di tangan Khairi. Tak peduli dah!

"Hei... Apa ni Myza?!" jerit Khairi. Terkejut sungguh dengan tindakan Amyza. Kurang ajar pun ada.

"Bak balik phone tu," pintanya sambil menghulurkan tangan ke arah Amyza.

Amyza menggenggam telefon pintar tersebut kejap-kejap. Bimbang Khairi merampas semula. Ada gaya suaminya akan berbuat demikian. Wajah bengang Khairi jelas kelihatan dengan tindakannya. Amyza tak peduli. Dia pun sakit hati juga. Siapa lebih penting, isteri ke telefon? Ada ke patut isteri yang cantik ini dibiar seperti tunggul tetapi telefon pintar tak bernyawa ini dilayan bagai nak rak. Tak adil sungguh!

"Myza!" jerit Khairi lagi. "Bagi balik!"

"Nope!" lawan Amyza.

"Myza akan pulangkan kalau abang boleh ulang balik apa yang Myza cakap tadi." Amyza membuat percaturan. Hangat hati dia. Bukan sekali dua tidak dipedulikan kerana sebuah telefon bimbit tetapi acap kali. Malah hari-hari. Malang sungguh nasib isteri-isteri zaman sekarang ini. Nilainya lebih rendah daripada sebuah telefon bimbit.

"Abang tak dengar!" jawab Khairi ringkas.

"Puas hati? Bak balik phone tu!" pintanya lagi dengan wajah yang serius dan suara yang tegang. Dia berusaha untuk merebut semula telefon pintar tersebut di tangan Amyza.

Bertambah terbakar hati Amyza. Selagi boleh, dia akan memegang benda alah tersebut hingga dia dapat apa yang dia nak daripada Khairi.

"Bagi..."

"Nope, nope, nope! Abang nak buat apa kalau Myza tak bagi?

"Myza... Just bagi phone tu. Please..." Walaupun ada perkataan please, suara Khairi sangat serius di telinga Amyza. "Takut Myza bacalah tu. So?"

"Myza..."

"Alaaa... Takut sangat orang baca handphone dia. Nah... Ambillah!"

Amyza menghulurkan telefon pintar tersebut. Mengalah akhirnya. Lalu sepantas kilat disambar oleh Khairi. Ada sedikit perasaan lega di dalam dada lelaki itu. Selamat...

"Macam orang nak sangat!" tempelak Amyza kemudiannya. Sungguh... Dia bukan jenis suka membelek telefon pintar suaminya. Telefon pintar sendiri pun kadang-kadang dia campak merata-rata, tak peduli, inikan pula nak ambil kesah telefon pintar Khairi. Memang tidaklah.

"Apa yang Myza cakapkan tadi?"

Amyza duduk di atas sofa semula. Okeylah, Khairi mahu juga bertanya. Sebab cuak kut takut telefon pintar kena rampas kembali.

"Minggu depan nak balik KL ke kita ni? Nak pergi tempat lainlah. Bosan kami asyik terperap saja di Jakarta ni."

Khairi mengerutkan keningnya yang luas itu. Hatinya sudah mula tidak senang dengan ajakan Amyza.

"Minggu depan? Apa yang istimewanya minggu depan?"

Amyza mendongak muka. Sedikit terkejut. Matanya yang cantik itu membulat merenung wajah si suami.

"Helo... Takkan abang tak ingat?"

Khairi mengecilkan matanya, memerah otak untuk mengingati. Gagal. Tidak ada kena-mengena langsung minggu depan dengan dirinya. Beberapa detik kemudian, dia menggeleng. Pasrah ajelah jika kena bom suara.

"Banyak sangat makan nasi timbel sampai boleh lupa tarikh penting!" bebel Amyza. Mulut yang comel itu boleh tahan kalau bab membebel. Laju saja keluar semua ayat-ayat pedasnya. "Cubalah ingat!" paksa Amyza lagi.

Khairi menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Malaslah dia untuk perah otak. Tak penting semua itu.

"Takkan tak ingat! Tarikh penting buat kita. Cubalah teka dulu..."

Nak main teka-teka pula, rungut Khairi dalam hati.

"Errr... Birthday Hanna? Majlis balet Hanna?

Amyza menggeleng.

"Then what? Errr, balik KL... Birthday ibu? Heh... Tak taulah! Pening berteka-teki!"

Khairi tayang muka serabut. Cepat benar dia berputus asa.

Amyza menggeleng-geleng. Kecewa sangat dengan prestasi Khairi sebagai suami prihatin. Tidak seperti dua tiga tahun pertama mereka bergelar suami isteri. Ke mana menghilangnya sifat-sifat romantisnya dahulu? Ternyata Khairi sudah lupa segala-gala kenangan musim bulan madu indah mereka.

"Abang ni teruklah. Wedding anniversary kitalah minggu depan! Yang kesembilan! Yang kesembilan, bang. Jadi, kalau abang tak ada event apa- apa kat sini, jom kita balik KL. Ataupun kita pergi Bali? Tentu best, kan... Lain sikit dari suasana Jakarta ni."

Khairi menelan air liur. Dia terus mendiamkan diri. Tidak memberi apa-apa jawapan kepada permintaan Amyza. Dia tak suka ke mana- mana. Dia lebih selesa tinggal di Jakarta. Ada sesuatu yang memikat dia di sini. Kuala Lumpur ke, Bali ke, atau mana-mana saja, semua sudah tidak indah lagi. Jakarta juga yang jadi pilihan untuk hujung minggunya. Lagi satu, dia tidak rasa untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka tahun ini. Tidak terlintas langsung agenda itu. Titik!

Amyza mengeluh. Dah agak dah. Itulah jawapan suaminya. Khairi tak bersuara pun Amyza sudah faham. Mesti Jakarta menjadi pilihan. Jakarta... Jakarta... Jakarta. Naik muak Amyza dengan suasana di sini. Ingin sekali dia bertukar angin. Atau sekurang- kurangnya dapat berjumpa ibu bapa dan adik- beradiknya di Kuala Lumpur. Dengan keluarga mentua pun dia tidak kesah. Sama saja. Janji dia dapat keluar dari sini sebentar. Namun itu semua bagaikan angan- angan kosong. Tidak diambil berat oleh si suami. Sadisnya.

Tangan Amyza mencapai muk kopinya lalu dicicip seteguk. Hah... Nikmat sekali. Dia menghirup kopi Blue Mountainnya lagi. Mata dipejam untuk lebih merasai kesedapannya.

Nampak gaya tidak adalah sebarang sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Sampai hati, Khairi. Baru sembilan tahun kahwin, sudah dianggap basi semuanya, rungut Amyza dalam hati. Kecewa. Nasib baik ada air kopi, pemberi ketenangan. Dia menghirup lagi kopi kesukaannya. Nyaman sekali membasahi tekaknya yang perit membebel sebentar tadi.

Tingkah Amyza diperhati lama oleh Khairi. Sebenarnya, tekak dia teringin sangat untuk menghirup kopi, tetapi dia malas untuk pergi ke dapur buat sendiri. Harapkan air tangan isteri, hurm... tekak dia sajalah yang dia ingat.

"Myza cuma buat secawan kopi?" Khairi bertanya juga dengan harapan adalah air untuknya.

"Yup. Nak ke? Buat aje sendiri. Air masih panas. Tahu kan di mana kopi dan gulanya?"

Jawapan Amyza buat Khairi sangat kecewa. Di mana tanda kasih Amyza kepadanya sebagai seorang suami?



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro