Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Noramyza memandang tubuhnya di cermin besar. Rupa sama sahaja seperti dahulu. Tak banyak beza dari zaman anak dara. Sebelum kahwin sembilan tahun dahulu, begini juga wajah dan tubuh badannya. Tidak gemuk, tidak kurus keding, masih menggiurkan dan masih seksi. Tak tipu punya. Berani cakap sebab berat badannya sama sahaja. Tidak pernah melantun-lantun jarum penimbang. Dia beruntung punya metabolisme tubuh yang aktif dan mengawal daripada terlebih berat. Walaupun sudah punya anak, tetap maintain. Masih meletop.

Dia memusing-musing pula tubuhnya ke kiri dan ke kanan macam model. Gaun kembang separuh lutut turut sama bergoyang mengikut pergerakan tuan pemakai. Suka sahaja dia memakai pakaian separuh- separuh begini. Baju tanpa lengan, seluar separuh lutut, skirt, ini semua pakaian dia sedari kecil sehinggalah menjadi mama orang. Kulitnya yang putih melepak itu sudah biasa terdedah sana sini. Seksi dan seksa juga ada. Dia tidak mewah dengan baju kurung apatah lagi abaya atau jubah. Tidak biasa berpakaian tutup-tutup semua ni. Panas! Bukannya nak nikah atau pergi masjid. Ibu dan abahnya tidak pernah menegur atau menyuruhnya menutup aurat. Suaminya apatah lagi, dari dahulu belikan dia baju-baju seksi.

Suaminya sasau-sasau, jatuh cinta tahap tak hengat hingga ajak nikah cepat-cepat pun kerana tak tahan dengan kecantikan dan keseksiannya. Serius betul. Berkali-kali Azfar Khairi mengaku yang dia terpikat kepada Amyza kerana kecantikannya. Di mata Azfar Khairi, Amyza sangat sempurna, manis dan seksi.

Masa Azfar Khairi memikat, dia memang anak dara meletop. Ramai yang tergila-gilakan dia tetapi yang menjadi pilihan tentulah suaminya yang tinggi kacak lagi berharta. Masa itu suaminya bekerja sebagai pengurus besar di syarikat antarabangsa. Poket penuh you. Dengan rumah dan kereta mewah sudah tersedia. Anak dara mana yang menolak tuah?

Sebab itu apabila Azfar Khairi gila ajak dating, dia tak nak buang masa dan terus cadang kahwin. Suruh pergi jumpa ayah ibunya cepat-cepat. Buang masa bercinta lama-lama. Takut tak jadi aje. Dahlah Azfar Khairi tu hot stuff, lambat-lambat melepas nanti.

Tambahan pula dia pun jatuh cinta bagai nak rak kepada lelaki itu. Jadi buat apa tunggu lama-lama. Suka sama suka, kan?


Sembilan tahun enam bulan terdahulu.

"Saya suka awak. Suka sangat-sangat."

Wah... Rasa hendak pitam Azfar Khairi. Apa tidaknya, terkejut sangat apabila gadis cantik berambut lurus, bermata bulat menawan, bibir mongel merah bak delima merekah, pipi yang gebu berlesung pipit yang cantik menawan, tiba-tiba datang merapat dan mengaku sukakan dia. Baru kali kedua jumpa kut. Jadinya dia kehilangan kata-kata. Membisu sementara. Bukan tak suka, malah teramatlah suka. Dia sudah jatuh cinta sejak pandangan pertama lagi. Dengan perempuan lain dia boleh elak, tapi yang ini gila dia nak tolak. Perfect, weh... Seperti bidadari seksi. Bikin luruh segala iman di dada. Wait... Wait...Wait, berimankah dia?

"Saya suka awak!"

Gadis itu berkata lagi. Kali ini dengan lebih kuat. Sekali lagi dia tergamam dan terpaku. Seperti patung bernyawa.

"Kenapa diam saja? Awak tak suka saya, ya?

 Kalau begitu tak apalah, saya pergi. Orang tak suka kenapa kita hendak mengharap." Gadis itu memusingkan tubuh kemudian mula mengatur langkah. Merajuk. Buat malu aje berlaku jujur.

"Hei... Jangan pergi, saya pun suka awaklah! Awak cantik dan..."

"Dan apa?" Gadis yang sudah hendak pergi itu berpaling semula. Naklah dengar sampai habis. Orang memuji tu... Rugi kalau tak tahu sampai akhir. Bukan selalu lelaki pujaan hendak puji dengan ikhlas.

"Dan... awak sek... errr... seksi sekali," sambung Azfar Khairi, jujur.

Langsung si gadis berpaling dan pergi dengan laju.

"Gatal!" marahnya sepatah.

"Hei, tunggulah! Saya pun benar-benar suka awaklah!"

Khairi pecut langkah mengejar si gadis. Boleh tahan si cantik seksi itu pecut kakinya. Jauh juga untuk dihambat. Buk! Tubuhnya tersadai di tengah jalan. Boleh pula tiba-tiba kakinya terpeleot. Aduh! Malang sekali.

Dia tersedar. Eh... Di atas lantai rupa-rupanya, bukan di atas jalan. Huh, jatuh katil! Mimpi lagi. Mimpikan orang sama seperti semalam!

Muka disapu dengan tangan beberapa kali.

 Baru sedar yang hari sudah cerah. Mata memandang muka jam bulat di dinding.

"Oh my God... Kesiangan lagi!"

Bergegas Khairi bangun, masuk ke bilik air, mandi dan bersiap. Semalam lewat tak mengapa, jadual kerja tidak padat. Hari ini haru! Ada mesyuarat waktu pagi. Bos-bos besar, pengarah-pengarah semua turun. Mahu kena sambal cili padi dia sekejap lagi.

Mimpi perempuan cantik punya pasallah ni. Dua malam mimpikan orang yang sama, dua hari juga pergi kerja lambat. Kalau jumpa perempuan ni harus dia tempeleng sekali dua. Entah perempuan manalah yang datang dalam mimpi menggoda dia. Hantu ke apa? Atau kiriman orang-orang yang dengkikan dia? Maklumlah, karier tengah meningkat, maka ramailah yang mula memasang hasad.

Kereta yang dipandu sudah sampai ke petak parkir yang dilabel khas dengan nombor plat keretanya. Namun keretanya tidak boleh masuk ke situ. Sebuah Honda Jazz merah berkilat sudah tersadai mengisi petaknya.

"Shit! Si bangang mana yang buta dan tak tahu baca?! Bawa kereta pandai, nak simpan bengap. Menyusahkan orang!" rengusnya. Sudahlah dia hendak cepat, ada pula yang teringin petak parkirnya. Ke ada orang yang perasan diri ketua pengurus lalu parkir kereta di kawasannya?

 Ping! Ping! Ping! Piiinnnggg! Bertalu-talu dia menekan hon kereta. Namun caranya tidak membuahkan hasil. Tidak nampak bayang seorang manusia pun yang datang.

Khairi tidak dapat menahan sabar. Tak mudah untuk dia mencari petak parkir yang lain. Lagi-lagi waktu macam ni, bersusun kereta merebut satu petak kosong. Maklumlah, jam sekarang bukannya subuh bening lagi. Matahari hampir terpacak di dada langit. Mimpi punya pasal weh!

Ponnn!

"Bodoh punya orang!"

Stereng kereta jadi mangsa hentakkannya sebelum dia keluar untuk jengah kereta perampas petaknya.

Dia jenguk ke dalam kereta comel tersebut. Brek tangan tidak diturunkan. Tiada harapanlah baginya untuk menolak. Dia bukannya Badang, boleh angkat sebuah kereta. Diperhati lagi kereta tersebut. Ikut hati marah, mahu digores dengan kunci di tangan, biar padan tuan punya kereta yang bengap itu. Ataupun pancitkan keempat-empat tayar. Lagi puas hati.

Huh! Kerja sia-sia. Jam di pergelangan tangan dilihat. Lewat sangat-sangat dah! Baik telefon budak despatch pejabat untuk uruskan keretanya. Dia sepak sekali tayar Honda tersebut. Lepas geram. Mahu kasi hati puas... Tapi tak puas mana pun.

 Sekejap kemudian, kelihatan seorang gadis berskirt merah menyala dipadankan dengan blaus putih lengan sekerat dan memakai kasut tinggi tujuh inci yang juga berwarna merah terang terkedek-kedek berlari ke arah kereta merah tersebut. Dia menghampiri Khairi dengan wajah cuak.

"Sorry, sorry, ampun encik, ampun, ampun. Saya emergency tadi."

Si gadis berskirt merah menyatukan kedua- dua tangan lalu digoyang-goyang di hadapan mata Khairi. Suaranya mendayu-dayu meminta maaf. Berusaha menukarkan wajahnya yang kiut itu menjadi muka sekupang.

Khairi terpanar. Bukan kerana simpati atau kasihan dengan si manis di hadapan. Marah? Tak sempat terfikir untuk marah jauh sekali untuk tempeleng dan mengamuk bagai. Tak terlintas untuk buat begitu. Yang terlintas dan terbayang ialah gadis dalam mimpinya. Sama dan serupa, sebiji seperti gadis di hadapan ini.

"Encik, minta maaf, ya."

Sekali lagi si cantik meminta maaf. Sama seperti mimpinya. Khairi tergamam tidak mampu berkata apa-apa. Oleh sebab dia tak habis-habis dengan perangai terkebil-kebilnya, gadis persis bidadari seksi itu terlepas begitu sahaja. Apabila sedar, dia sudah terlambat. Hendak dikejar, telefon bimbitnya asyik berdering. Jam itu juga setiausahanya kalut mencari. Naik pitam apabila bos masih belum sampai sedangkan bos-bos paling besar sudah sedia menunggu. Haru jawab soalan.

Itulah pertemuan realiti pertama Azfar Khairi dan Noramyza. Bukan mimpi lagi. Tak perlu kejar hingga jatuh katil. Malangnya di depan mata ia masih terlepas.

Eh... Ada pertemuan kedua tau selepas itu. Betullah kata orang, jika dah jodoh tidak ke mana. Biar ke mana dia menghilang, tetap datang balik untuknya. Selepas jumpa di petak parkir, dia tak pernah bermimpi lagi walaupun setiap malam dia mengharapkan untuk mimpi bidadari seksi itu. Lambat pergi kerja dek mimpinya pun dia tak kesah. Reda.

Namun pada suatu hari, dengan tidak disangka-sangka dia bertemu lagi dengan si dia. Rupa- rupanya gadis itu bekerja sebagai eksekutif di tempat klien syarikatnya. Namun dia terlepas jua. Tetapi dia yakin sekali boleh menangkap kembali gadis tersebut. Si dia tak boleh berhalimunan lagi. Sudah di dalam genggamannya. Dia pasti. Lihatlah, belum apa-apa Khairi sudah berangan hingga ke bulan bintang.

Pertemuan ketiga di sebuah kelab malam. Si gadis meraikan hari jadi kawannya di situ. Masa itu Khairi asyik membuat renungan dari jauh. Ingin hampiri, rasa tidak patut terjah majlis orang. Namun dia sudah ada pelan tersendiri. Baik punya. Bukan susah hendak dekati gadis ini secara profesional. Klien syarikatnya. Petik jari saja.

"Mohd Azfar Khairi yang aku kenal, kalau datang kelab malam, takkan duduk diam dan renung- renung perempuan dari jauh saja. Selalunya dia aktif menggoda dari hujung dinding ke hujung dinding sana," perli kawannya yang selalu menjadi teman rayapnya pada waktu malam. Sekali-sekala pada hujung minggu pasti dia akan ke kelab malam bagi menghilangkan stres kerja.

Konon-kononnya, sesetengah golongan muda selalu beranggapan yang disko atau kelab malam itu boleh menghilangkan stres kerja mereka. Kasihan, kan... Mereka tidak tahu kunci untuk cari ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar. Yang tak perlu keluar rumah malam-malam dan pulang dinihari.

"Itu dulu. Din. Aku dah taubat."

Kahkahkah. Ketawa besar Hasdin. Lepas gelak dia berhenti, tapak tangannya diletak di atas dahi Khairi. "Engkau sihat ke tidak?"

"Sihaaat..." Selamba jawapan Khairi.

"Tiba-tiba saja insaf... Risau aku, Khairi. Kau jangan buang tabiat, sembahyang lima waktu pun aku belum reti, inikan pula sembahyang jenazah. Jika tak sembahyangkan, tak patutlah, kawan baik aku kut!"

Khairi cepuk lengan Si Hasdin sekali. "Hesy, apa merepek ni?"

"Taklah. Engkau tu yang lain sangat!"

Khairi buat muka serius. "Aku nak kahwinlah!"

"Hah?" Bulat mata Hasdin. Tahu sangat yang teman baiknya tidak punya perempuan untuk dibuat bini, tiba-tiba teringin kahwin. "Kahwin. Dengan siapa?"

"Perempuan!"

"Aku tahulah. Belum ada manusia yang kahwin dengan beruk betina. Masalahnya, semua perempuan spesies manusia jadi toys kau aje selama ni. Mana ada yang kau nak buat bini."

"Ada. Kali ni aku serius."

"Yalah tu ada." Sumpah Hasdin tak percaya. Temberanglah Si Khairi ni. Ke dah putus fius?

"Tu..." Khairi muncungkan mulut dan beri isyarat mata ke arah gadis berlesung pipit yang sedang bergembira dan berborak bersama kumpulan kawan- kawannya.

Hasdin melopong. "Cantik, kan?" Hasdin mengangguk. "Siapa nama dia?"

Khairi geleng.

Sebenarnya dia belum sempat siasat siapa nama gadis itu. Informernya, bos kepada si manis itu sedang bercuti di laut mana entah, tak dapat dikesan radar. Bawa bersabar sangat-sangat. Dia dahlah tak dapat tidur malam. Esok lusa mahu dia terjah sendiri ke pejabat orang. Sendiri kena bertindaklah nampak gayanya.

Hasdin ketawa. Dia turut sama menggeleng. Gelengan lain makna.

"Dahsyat kau ni... Nama pun tak tahu, sibuk nak nikah. Entah-entah bini orang tu."

Khairi jeling temannya.

Hasdin menyengih.

"Tapikan... Aku rasa tak sesuailah pilih jodoh dari kelab malam ni. Ni bukan tempat yang elok untuk cari calon. Kita nak cari peneman kita siang malam, ibu kepada zuriat kita, menantu kepada ibu bapa kita, mestilah nak cari perempuan baik-baik, kan? Ni kalau dah jejak tempat macam ni, petandanya apa tu?"

"Habis kita ni layak ke untuk jadi suami kepada perempuan baik-baik tu?" tempelak Khairi. Hangat hatinya dengan kata-kata Hasdin. Yalah, dia sudah tangkap cintan, apabila ada yang pandang rendah, susah untuk dia terima.

"Aku yakin dia perempuan baik! Tak semestinya perempuan dari masjid atau kaki surau aje yang baik. Ada yang haprak juga tau."

Dan Khairi telah membuktikan yang kata-kata dia ada betulnya. Si manis seksi tu bukannya teruk benar. Setelah gigih mengusyar... Baru Cik Noramyza sudi untuk keluar janji temu dengan dia yang macho dan handsome ni. Boleh kata hampir jatuh tergolek ke lantai semua ego lelakinya. Demi seorang gadis yang digila-gilakannya. Yang paling dia tak percaya, selepas dua kali keluar dating, apabila minta untuk dating kali yang ketiga, jawapan Noramyza...

"Boleh... Tapi pergilah jumpa ibu ayah saya dulu. Saya hanya ingin perhubungan yang serius, tak mahu buang masa berkawan tak tentu hala."

Lihat tu... Walaupun seksi tak hengat, Amyza tetap ada prinsip berkawan dengan lelaki. Khairi sangat bangga! Dia tidak salah pilih. Dan dia pun apalagi, tanpa buang masa terus jumpa bakal ibu dan ayah mentuanya. Semuanya berjalan dengan baik-baik belaka. Ibu dan ayah Amyza suka. Mama dan abahnya juga restu. Kalau sudah jodoh, cepat sahaja prosesnya. Tidak banyak halangannya.

Dan selepas diikat tali pertunangan, sungguh- sungguh mereka bercinta. Amyza memang gadis yang tepat dalam hatinya. Dia telah buktikan yang kata-kata Hasdin tu tak boleh dipakai. Merapu aje lebih. Berlagak nak jadi ustaz. Macamlah diri sendiri elok benar.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro