Bab 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Hairan Noramyza. Satu hari suaminya menghabiskan masa di rumah. Jika tidak, jarang jumpa tubuh sasa Khairi berlegar-legar di kawasan rumah pada hujung minggu. Ada-ada saja programnya yang Myza tidak berapa tahu. Kadang- kadang Ben atau Bani Adam yakni kawan rapat dia dan Khairi ada juga cerita tentang aktiviti suaminya. Semuanya bagus-bagus sahaja laporannya. Tapi, ada dia kesah?

Namun begitu, adanya Khairi di rumah seperti orang asing. Resah dan gelisah aje nampaknya sepanjang hari. Tak kesah sangat pun kepada Amyza yang bersusah payah memasak untuk dia. Bukan mudah Amyza berperang di dapur memasak makanan untuk keluarga. Dia orang mewah duit, hari-hari makan di restoran mewah. Tak perlu bersusah payah masak. Gaji suaminya dibayar dalam bentuk USD. Apabila ditukar kepada mata wang rupiah, terus jadi ratus-ratus juta sebulan duit yang mereka dapat. Memang tak habis untuk enjoy malah berlebih-lebih.

Amyza bersantai-santai di ruang tamu sambil menikmati cheese cake. Ops... Cheese cake ni dia tak buat sendiri. Kedai kek yang buat. Jika dia buat pun tak akan sesedap ini. Nak makan sendiri pun tak selera apatah lagi untuk dihidang kepada Khairi dan Hanna.

Khairi yang bermuka tegang datang dari halaman rumah kemudian menghadap Amyza di ruang tamu. Amyza selamba saja mengunyah cheese cake. Tidak ada niat untuk pelawa si suami. Setahun dua ini dia mengamalkan prinsip sendiri punya tekak, sendiri layan. Yang masak tengah hari tadi dikira bonus besar untuk mereka sekeluarga. Itupun Khairi seperti tak punya selera saja makan. Memanglah tidak dapat mengalahkan kesedapan nasi timbel kegemaran Khairi, tapi dia masak dengan penuh kesusahan. Sekurang- kurangnya hargailah sedikit. Jangan buat muka monyok di hadapan makanan yang dia masak.

Khairi melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan Amyza. Jari-jemari kedua-dua belah tangan bercantum di antara kedua-dua belah paha. Ketara kegelisahan tuan punya badan.

"Hanna mana?"
"Atas." Amyza menelan sisa terakhir cheese cake yang ada di dalam mulut.

"Kenapa?" Pelik tengok cara Khairi yang lain macam. Teragak-agak. Biasanya suami dia yakin habis. Lihatlah bagaimana Khairi memikat dia dahulu. Sanggup terjah pejabat orang semata-mata mahu tahu namanya.

"Abang ada something nak bincang dengan Myza..."

"Apa halnya?"

Khairi diam. Dia pandang wajah Amyza. Pandangan yang susah untuk ditafsirkan apakah maksudnya.

"Abang naik pangkat lagi atau kita dah boleh balik Malaysia?" Amyza sudah mempamerkan wajah teruja. Hari-hari dia berharap dapat balik menetap di Malaysia. Jemu sangat hidup di sini.

"Myza rasa dah lama sangat kita tinggal sini. Errr... Berapa tahun ek? Lima? Enam tahun?"

"Lima tahun. Lima tahun, Myza. Abang nak Myza dengar baik-baik apa yang abang nak cakap ni." Semangat lelaki Khairi sudah timbul kembali. Dia kembali yakin walau tidak seratus peratus.

"Apa dia?" Amyza sudah tidak sabar. Khairi berjaya buat dia rasa berdebar dan ternanti-nanti. Macam penting benar dengan apa yang akan disampaikan.

"Abang nak nikah satu lagi." Tegas dan serius suara Khairi.

Amyza menahan nafas dan melihat ke arah suaminya. Kemudian dia ketawa. Tidak percaya dengan apa yang diucapkan dari mulut Khairi. Merapu betul suaminya. Ke mengigau?

"Boleh tak jangan buat lawak dengan benda macam ni? Seram sejuk Myza tau! Nasib baik tak pitam. Kalau tak jenuh abang nak dukung. Dah lama abang tak dukung Myza. Bila kali terakhir abang buat?"

Khairi tarik nafas panjang lalu dilepaskan deras.

"Abang serius, Myza. Bukan main-main, bukan lawak. Tak kelakar untuk buat lawak benda serius gini. Myza dengar sini... Sekali lagi abang ulang yang abang nak nikah lagi satu. Sama ada Myza izinkan atau tidak, abang tetap akan teruskan. Abang mampu."

Seluruh tubuh Amyza menggeletar. Hendak percaya atau tidak. Oh... Dia tak percaya. Dia menggeleng. Khairi tidak akan buat dia begitu. Sehambar mana pun perkahwinan mereka kini, suaminya tidak begitu mudah untuk menduakan dia.

"Tipu..."

"Terpulang kepada Myza untuk percaya atau tidak. Abang dah bagi tahu, habis tanggungjawab abang. Itu niat abang. Abang tak sembunyi daripada Myza untuk kahwin dua."

"Si... Siapa dia?" Amyza gugup. Mulutnya terketar-ketar. Tidak sangka. Sungguh tak sangka habuan untuk dia pada hari minggu ini.

"Siapa dia, Myza suka atau tidak, semua tak penting. Yang penting abang sudah maklumkan hasrat abang. Terpulang kepada Myza untuk terima atau tidak. Bukan hal abang lagi," balas Khairi lalu bangun dari sofa. Dia berdiri untuk pergi dari situ. Selesai sudah tugasnya. Buat apa hendak lepak lama-lama di situ? Rentung mahunya nanti.

Amboi... Angkuhnya kata-kata Khairi. Zalim, menyiat-nyiat jantung dan hati, menghancur luluh jiwa dan perasaan Amyza.

"Miang!" jerit Amyza. Dia bangun dan dengan sekuat tenaga memukul dada suami dengan perasaan marah. Boleh tahan pukulannya sehingga mendorong tubuh Khairi ke belakang. Ini fakta. Apabila seseorang dalam keadaan marah, kekuatan fizikalnya akan bertambah berganda-ganda. Sebab itu boleh dengar orang lemah pun boleh bunuh orang.

"Apa ni Myza? Sedarlah sikit!" marah Khairi. Tidak tahan sakit dengan pukulan menggila Amyza. Tak pernah-pernah sembilan tahun kahwin kena pukul.

"Apa? Abang tu yang patut sedar. Gatal! Miang!" Amyza menghempuk lagi dada Khairi.

"Sudahlah tu!" Khairi bertindak dengan memegang kedua-dua tangan Amyza.

 Mereka berdiri bertentangan. Rupa Amyza serabut sakan. Rambut kusut-masai dengan mata merah dan penuh air mata. Pipi yang gebu itu juga berair dengan air mata. Tidak ada belas kasihan juga daripada Khairi.

Realiti sebenar di luar sana, suami yang ingin berkahwin lain ini sangat kejam sikapnya terhadap perasaan isteri pertama. Sama seperti yang Amyza alami saat ini.

"Kenapa abang? Kenapa?" soal Amyza, lirih.

"Abang bukan miang, Myza. Abang cuma rasa yang abang ni sudah tidak ada perasaan cinta lagi kepada Myza. Hari-hari rasa kosong!"

Jujur Khairi berterus terang tanpa sekelumit memikirkan perasaan isteri yang telah sembilan tahun dinikahi.

Makin tersentap jantung Amyza. Sangat- sangat zalim kenyataan itu. Amyza merentap tangannya. Dia berlari keluar dari rumah. Sebelum tu, tangannya sempat menyambar kunci kereta Hondanya. Hancur hati... Teramat hancur. Retak beribu-ribu. Beginikah pengakhiran mahligai cinta mereka? Perempuan cepat sahaja membalas cinta apabila lelaki mengaku sayang. Tetapi apabila si suami kata sudah ada perempuan lain, maka kasih dan cinta itu terus terbang melayang. Mudahnya lelaki memutuskan ikatan cinta.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro