Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Letih ronda-ronda dan pusing-pusing ukur jalan, Amyza balik ke kediaman khas mereka yang disediakan oleh pihak syarikat. Banglo dua tingkat dengan enam bilik dilengkapi kolam renang dan taman yang luas. Pohon-pohon hijau merendang mencantikkan halaman rumah mereka. Tetapi semua itu sudah tidak memberi makna lagi. Yang tenang dan damai kelihatan berserabut dan menyesakkan. Tidak nampak kebahagiaan dan kegembiraan lagi di dalam rumah yang cantik ini.

Amyza mengesat setitis air mata yang tiba-tiba muncul lagi. Diatur langkah perlahan untuk menaiki tangga. Baru sahaja kaki jejak tangga pertama, dia berhenti. Kelibat Khairi yang tiba-tiba muncul di situ membuatkan darahnya kembali menyirap. Perasaan marah kembali merentap-rentap hatinya.

"Siapa betina tu?" soalnya dengan nada benci. Si suami hanya dilihat melalui ekor mata. Kelihatan Khairi tersentap dengan pertanyaannya.

"Dia bukan betina... Nama dia Dewi. Dewi Citra. Jangan panggil yang bukan-bukan. Dia wanita baik, jadi tolong hormat dari awal-awal."

Bersungguh-sungguh Khairi membela kekasihnya. Layak perempuan itu tersangat suci, tak boleh dikutuk atau dikritik di hadapannya. Kekasih lebih tinggi nilai daripada taraf seorang isteri. Si isteri sakit hati, sedih tidak dipedulikan. Untuk kekasih, namapun tak boleh disebut yang tak elok. Huh!

Amyza tidak dapat menahan air mata yang sudah deras mengalir. Nyilu benar hatinya apabila diri tidak berharga lagi untuk seorang suami. Sembilan tahun susah payah bersama. Dan tiba-tiba si suami mengaku tidak punya rasa cinta lagi terhadapnya. Ada perempuan lain yang lebih hebat telah mengisi ruang hati suaminya sekaligus menggantikan dirinya yang masih lagi wujud di hadapan mata.

Perlahan Amyza menyambung langkahnya semula. Satu per satu anak tangga didaki dengan hati yang rawan. Sepanjang perkahwinannya, saat inilah yang sangat merobek-robek perasaannya. Rasa macam tidak percaya boleh berlaku kepada dia. Ternyata dia telah diduakan. Dia tak pernah syak apa-apa sebelum ini. Dia terlalu yakin dengan cinta Khairi.

Amyza masuk ke bilik Hanna Azza, satu- satunya permata hati di dalam rumah ini. Satu-satu juga hasil cinta setinggi langit antara dia dengan Khairi. Azza itu cantuman nama Azfar Khairi dan Amyza. Hasil penyatuan jiwa mereka. Itu dulu. Sekarang ini rasa cinta yang tinggi itu telah pecah berderai lalu jatuh bersepah ke bumi melata malah dipijak dengan tapak kasut sendiri. Hukhukhuk...

Kaget Amyza apabila Hanna terlebih dahulu menghampirinya di luar bilik dan menilik wajah mamanya.

"Kenapa mama menangis?" tanya si kecil.

Cepat-cepat Amyza menyapu air mata lalu menggeleng. Kepala ligat memikir alasan untuk Hanna. "Mama tak nangis. Mata mama masuk habuk tadi." Jawapan klise seperti dalam drama-drama Melayu dan Sinetron Indonesia juga yang mampu difikirnya. Asal nangis saja, mata masuk habuk. Di dalam novel- novel Melayu pun banyak. Macam tak ada idea lain penulis skrip dan penulis novel ni.

Amyza melutut untuk menyamakan ketinggian dengan si anak. Melihat wajah suci ini, hatinya semakin walang. Apakah nasib Si Hanna nanti? Khairi membuat keputusan seolah-olah Hanna tidak wujud antara mereka.

Hanna mengelap air mata Amyza dengan jari kelengkengnya. Dipeluk mama dengan penuh kasih sayang. Ingin sekali berkongsi kesedihan mama. Namun dia tidak tahu apa-apa, apatah lagi untuk memahami perasaan yang mama tanggung.

Lama Hanna memeluk mamanya. Perlahan- lahan Amyza melepaskan tubuh kecil Hanna dan tanpa sepatah kata dia menapak ke kamar kelaminnya.

Pang!

Pintu kamar dibanting kuat. Si kecil terpinga- pinga. Jarang mama kesayangan buat perangai kurang sopan ini. Jika mama marah kepada papa sekalipun, mama tak suka hempas-hempas pintu. Selalu mama memesan kepada Hanna, jika kita marah-marah sekalipun, barang-barang mainan atau barang-barang sendiri jangan dibaling-baling. Barang-barang itu semua tidak bersalah malah boleh jadi rosak dengan perangai kurang asam kita. Tetapi pada petang ini, apa sudah jadi? Mama sendiri menghempas pintu bilik dengan kuat sekali. Bisa runtuh tingkat atas rumah banglo pinjam ini.

Hanna berlari turun tangga. Di ruang keluarga tingkat bawah, Hanna bertemu papa yang sedang tercari-cari kunci keretanya di atas meja konsul yang terletak di sudut dinding.

"Kenapa mama nangis, pa?"

Khairi angkat bahu. Tak ada mood untuk jawab elok-elok. Rasa cinta kepada Amyza telah pudar sepudar-pudarnya. Jadi apa yang berlaku kepada diri Amyza tidak mendatangkan kesan apa-apa dalam hatinya. Lantaklah... Nak nangis ke, nak meraung ke, apa dia kesah. Sendiri punya diri sendiri jagalah. Seperti juga dengan air kopi. Sendiri nak minum sendiri buat. Tak perlu dia susah payah untuk meladeni perangai sentap-sentap Amyza.

"Pa, pergilah pujuk. Kasihan mama..."

"Tak payah! Biarkan dia..." balas Khairi garang. Dia sudah bersedia untuk pergi.

"Papa!" bentak Hanna. Sedih hati tidak dipedulikan oleh papa.

Khairi berpaling ke arah anaknya. Tidak ada perasaan kasihan waktu ini. Dia hanya ingin pergi untuk jumpa Dewi. Biar tenang hatinya. Rumah ini panasnya membahang. Tak dapat bertahan.

"Nak apa lagi?" Bulat matanya memandang si anak.

"Papa nak pergi mana?"

Khairi mendengus. "Keluar." Sepatah jawapan serius untuk si anak. Terus dia meninggalkan rumah. Berderum-derum bunyi enjin kereta di halaman. Sekejapan kereta pun memecut laju. Tidak peduli akan anaknya yang masih berdiri dan melihatnya di muka pintu.

Hanna keliru. Kenapa dengan papa? Serius dan garang yang amat. Mama pula nangis-nangis tahap tak ingat. Macam merajuk besar. Hanna? Ditinggal sendirian? Apa perlu Hanna buat?

Tak mengapalah... Jika papa tak mahu pujuk mama, biar Hanna yang pujuk. Kasihan mama. Selalunya jika mama merajuk, papa akan pujuk. Hanna tak pernah lupa, masa umur Hanna empat dan lima tahun, Hanna selalu lihat papa dukung mama masuk ke bilik. Kadang-kadang Hanna curi-curi lihat dari celah pintu bilik, papa dan mama gembira sekali saat itu. Mama terlentok di atas bahu papa. Mungkin badan mama berat. Yalah, orang dewasa kan, mestilah berat. Tetapi papa sangat gigih dan gagah menggendong mama. Hanna suka saat-saat itu. Rumah mereka dibanjiri kasih sayang dan kemesraan yang melimpah ruah.

Apabila Hanna berumur enam tahun ke atas, Hanna tidak pernah lihat lagi papa buat begitu kepada mama. Malah papa terlalu sibuk dengan kerja-kerjanya dan mama pula sibuk dengan halnya sendiri yang kadang-kadang entah apa-apa. Namun apabila tiba musim bercuti, mereka tetap gembira dan bahagia sekali.

Hanna naik ke atas semula. Dia cuba untuk masuk ke bilik mama tetapi berkunci. Ketuk-ketuk beberapa kali, pintu tetap tidak dibuka. Wah... Marah benar nampaknya mama. Hanna berputus asa. Lantas Hanna masuk ke biliknya sendiri. Dia mula teresak-esak menangis.

Hanna Azza yang baru berusia tujuh tahun pun tahu erti kesepian dan rasa terabai...





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro