Bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Amyza bersandar di pintu. Dari situ dia dapat melihat dirinya melalui cermin besar di hadapan sana. Dari jauh cermin itu menayangkan wajah Amyza yang berserabut, kusut, lesu dan tidak bermaya. Kakinya berganjak pula ke meja rias. Melihat refleksi diri melalui cermin di situ pula. Sama sahaja rupanya. Tidak ada perubahan dengan cermin besar sebentar tadi. Tetap mempamerkan seorang Amyza yang murung dengan perasaan yang bercampur aduk.

Dia memerhati plak Novelis Terbaik yang terletak di atas meja rias tersebut. Demi kasih dan cinta kepada Khairi, dia sanggup melepaskan kerjayanya di syarikat ternama untuk ikut suami yang bertugas di sini padahal dia sangat sayang dengan kerjanya sebelum ini. Gaji lumayan dan dengan kebolehan dirinya selalu saja mendapat kenaikan pangkat.

 Untuk Khairi dan keluarga dia berkorban segala-galanya. Berjauhan dengan ibu dan ayah adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Namun dia nekad buat apa saja untuk kebahagiaan suami tercinta. Untuk tidak membuang masa tanpa melakukan apa-apa, dia berjinak dalam bidang penulisan. Hasilnya lihatlah, sehingga dikurniakan Anugerah Novelis Terbaik. Pada awalnya dia tidak tahu apa-apapun tentang bidang penulisan, tetapi demi Khairi, dia gigih berusaha. Takkan hendak biarkan diri mati kebosanan. Sini dia tak ramai kawan seperti di Kuala Lumpur. Kenalah buat sesuatu untuk penuhi ruang masanya.

Kini, ternyata pengorbanannya sudah tidak dihargai. Sia-sia belaka. Dia dibuang oleh Khairi seperti sampah! Hancur hati apabila mengenang kata-kata Khairi tengah hari tadi.

"Abang sudah tidak ada perasaan cinta kepada Myza."

Lancar suaminya melafazkan kata-kata tersebut. Ingat Amyza ni apa? Suka dia ambil, tak suka dia buang macam sampah? Senang-senang pula dia nak gantikan cinta Amyza dengan perempuan lain.

Bingkai foto keluarga diperhati. Gambar dia dan Khairi ketawa riang. Di tengah-tengah mereka ada Hanna yang juga sedang ceria tertawa. Gambar kandid yang diambil oleh Ben semasa percutian mereka ke Bali dua tahun lepas. Satu lagi bingkai foto ialah gambar bahagia pada hari pernikahan mereka. Gambar dia dan Khairi tersenyum manis memandang antara satu sama lain dengan mata masing-masing sarat dengan bunga- bunga cinta.

Argh!!! Amyza menyapu meja dengan tangan. Bingkai gambar kenangan mereka berdua jatuh ke lantai. Berkecai kacanya. Sama seperti hati Amyza yang hancur berderai.

Amyza melambung tubuh lesunya ke atas katil. Air mata tak henti-henti keluar membanjiri pipi yang mulus. Bukan selalu dia menumpahkan air mata. Hidupnya sebelum ini terlalu sempurna. Punya suami romantis, anak gadis cilik yang comel dan bijak serta harta yang melimpah ruah. Dia jarang menangis. Walaupun setahun dua kebelakangan ini hubungan mereka suami isteri agak suram, dia tetap bahagia.

Untuk apa dia menangis jika tidak susah apa- apa? Tapi hari ini, tanpa diarah air mata keluar dengan sendirinya.

Khairi menipu! Janjinya semasa malam pengantin sembilan tahun dahulu tidak ke mana. Janji bahawa Amyzalah wanita terakhirnya. Air mata Amyza terus-terusan mengalir membasahi bantal bersarung putih yang melapik wajahnya. Masih segar dalam ingatan pada malam pertama antara dia dan Khairi.


Bilik pengantin, sembilan tahun yang lalu...

tubuh mereka berdua masih disaluti baju pengantin. Khairi menggendong Amyza menuju ke katil. Mata saling menatap antara satu sama lain. Dekat sekali. Sinar mata Khairi penuh dengan rasa cinta yang membuak-buak. Begitu juga dengan sinar mata yang ditunjukkan oleh Amyza. Sarat dengan kasih dan cinta. Tiada langsung agenda lain yang terlintas dalam fikiran mereka tika ini. Melainkan satu... Mematerikan cinta mereka sepadu-padunya.

Perlahan-lahan tubuh Amyza diletakkan di atas katil bercadar putih bersih yang ditempah khas untuk malam pertama mereka. Kelopak-kelopak mawar merah bertaburan di atas cadar. Indah sekali. Paduan warna putih bersih dan merah menjadikan suasana sangat menarik di mata lalu menusuk hati dan perasaan. Aman dan penuh bibit-bibit cinta. Ditambah pula dengan wangian ros yang disembur sekitar bilik... Huh, romantis sekali.

Khairi melutut dan membelai-belai wajah Amyza. Raut wajah pan-Asia yang dia gila-gila sangat beberapa bulan ini. Tidak pernah dia suka perempuan sesuka dia kepada Amyza. Kini wajah yang dirindu siang dan malam telahpun menjadi miliknya yang abadi.

"Terima kasih kerana Myza sudi menjadi isteri abang," bisik Khairi perlahan dan penuh romantis nada suaranya. Tangan terus merayap ke bahagian lain tubuh Amyza.

Wajah Amyza memerah. Tidak pernah dia merasai situasi begini. Begitu intim dengan berlainan jantina. Walaupun dia bebas bersosial, dia masih punya prinsip dalam hal-hal hubungan intim lelaki dan perempuan.

Ya... Ibu dan ayahnya pun sosial juga tetapi mereka tidak lupa untuk didik anak dalam soal ini malah ibu dan ayahnya sangat tegas dalam hal pergaulan anak-anak perempuan dengan lelaki.

"Malam ini abang hendak Myza tahu sesuatu."

"Apa dia?"

"Dalam dunia ini ada lima orang yang abang cinta. Satu mama, dua abah, keluarga abang, kawan- kawan abang dan yang kelima barulah Myza."

Amyza kaget. Sentap jugalah sedikit. Nak merajuk masih terlalu awal. Mata cantiknya menatap wajah Khairi dengan bulat sekali. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya sekejap tadi.

"Myza yang akhir sekali?"

"Hmmm."

"Ke..."

Belum habis berkata, Khairi meletakkan jari telunjuk ke bibir Amyza. Khairi senyum.

"Ya... Sebab abang nak Myza jadi cinta terakhir abang. Abang janji, selagi abang masih bernafas, takkan ada cinta lain selain cinta terakhir abang untuk Myza."

Khairi meletakkan tangan Amyza ke dadanya. Amyza terasa degupan jantung Khairi yang kencang berlari menunjukkan betapa besar dan ghairahnya cinta Khairi kepada Amyza saat itu.

"Janji dengan degupan jantung ini. Selagi ia berdenyut, selagi itulah abang sayang Myza."

Oh... Alangkah tersentuhnya hati seorang isteri bernama Noramyza. Terpesona dan terbuai-buai dengan kata-kata si suami. Percaya dan yakin sekali akan janji cinta suaminya. Janji menjaga cinta sejati mereka hingga ke akhir hayat. Dia membiarkan tubuh Khairi yang semakin mendekat ke arahnya. Hampir dan semakin hampir sehingga tiada jarak lagi di antara mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro